KELUARGA
Tan Sri Hamdan sudah berkumpul di halaman rumah. Tadi Harriz ada menelefon,
meminta agar semua ahli keluarga berkumpul malam ini. Ada hal penting yang
ingin diumumkan kepada semua. Pasal itulah Hanis, Fahmie dan anak-anak pun ada
sama.
Yang peliknya, Syarifah Ezora pun tak ketinggalan
untuk turut serta dalam perjumpaan keluarga Tan Sri Hamdan ini. Eheh… sejak
bila Syarifah Ezora dinaiktaraf sebagai ahli keluarga Tan Sri Hamdan ni? Belum register pun dah buat muka tak tau malu nak ikut perbincangan
penting ahli keluarga. Huh! Sungguh menyakitkan hati.
Puan Sri Hanum apa lagi. Siap buat layanan first class untuk Syarifah Ezora yang
menjadi pujaan hatinya itu. Tak lekang senyuman di bibirnya melayan Syarifah
Ezora yang buat-buat manja tahap meroyan. Geli-geleman mata Hanni tengok
tingkah Syarifah Ezora yang tak tahu malu itu bermanja-manja dengan mamanya.
Dari tadi tak lepas-lepas memeluk erat lengan mama. Hmmm… itu nak ambil hati la
tu.
“Eiii… Hanni geram betullah tengok Kak Ezora tu Kak
Nis. Mengada lebih sangat!” bisik Hanni ke telinga Hanis.
Hanis hanya tersenyum sambil menggeleng lembut.
Tiada sebarang komen yang keluar dari mulutnya walaupun dalam hati dia turut
bersetuju dengan kata-kata Hanni itu. Aduhai… kenapalah mama berkenan sangat
dengan Ezora ni? Macam ini punya perangai… aku pun tak hingin nak jadikan sister-in-law.
“Ibu… ibu… mana Pak Ngah ni? Dari tadi abang tak nampak Pak Ngah. Abang dah tak sabar nak
main tembak-tembak dengan Pak Ngah ni,” tanya Adam pada ibunya yang begitu
teruja nak bertemu dengan Pak Ngahnya. Sekarang ni, Adam sudah mula menggelarkan
dirinya sebagai ‘abang’ sejak dia mendapat tahu ibunya sudah ada baby dalam perut. Biarpun perut ibunya
belum besar lagi sebab usia kandungan baru mencecah tiga bulan dua belas hari,
namun Adam dah mula praktis membahaskan dirinya sebagai ‘abang’. Tak sabar dia
nak dapat adik baru. Adam siap buat permintaan lagi. Nak adik lelaki supaya ada
kawan bermain tembak-tembak dan bergusti. Alahai… Adam Izhar. So sweet!
“Pak Ngah tengah on
the way la tu. Adam tunggu kejap lagi ye.
Kan sabar tu separuh daripada iman. Nanti Pak Ngah sampai bolehlah Adam main
tembak-tembak dengan Pak Ngah,” beritahu Hanis dengan lembut. Dia sudah tahu
sangat dengan perangai Adam yang terlalu manja dengan Harriz itu.
Adam sekadar mengangguk. Dia kembali menbelek-belek
pistol mainan yang baru dibelinya seminggu lalu. Langkahnya laju menuju ke arah
ayah dan atoknya yang sedang bersembang-sembang.
Kalau Tan Sri Hamdan dengan Fahmie dah bersembang,
tak lain tak bukan mesti berkisar pasal
perniagaan dan golf.
“Betullah. Abang Riz ni kata nak umum hal penting.
Tapi dia pulak yang lambat. Kak Nis rasa… Abang Riz nak buat pengumuman pasal
apa ye?” Hanni menggaru-garu
kepalanya. Cuba memikirkan apalah yang hendak diumumkan oleh abangnya yang
seorang itu.
“Entahlah. Akak pun tak tau. Tak dapat nak teka.
Hanni taulah abang kesayangan Hanni tu… penuh dengan surprise.”
“Entah-entah Abang Riz nak buat pengumuman dia nak
kahwin tak, Kak Nis?” tembak Hanni. Kemudian tak pasal-pasal dia ketawa.
Sampaikan berkerut dahi Hanis melihat tingkah adiknya itu.
“Hah… yang ketawa tetiba ni kenapa pulak?
Macam orang dah tak betul pulak Hanni ni Kak
Nis tengok.”
“Heheheee… takdelah
Kak Nis. Orang cuma terbayangkan… kalaulah betul Abang Riz nak buat pengumuman
yang dia nak kahwin… tentu mama, Kak Hanna dan Kak Ezora pengsan. Kan?” Hanni
ketawa lagi. Bayangan wajah mama, Kak Hanna dan Kak Ezora yang sudah sakit
kepala andai itu terjadi menerja lagi. Menggeletek hatinya.
Hanis menggeleng-geleng sambil tersenyum nipis.
Adiknya yang seorang itu memang tak pernah sebulu dengan Hanna. Ada sahaja yang
digaduhkan. Tapi kadang-kadang tak boleh salahkan Hanni juga. Hanna tu yang
melampau sangat. Sampaikan dengan adik sendiri pun tak pernah nak beralah.
“Amboi… bukan main happy lagi puteri-puteri papa ni. Tergelak-gelak,” Tan Sri Hamdan
mengambil tempat duduk di tengah-tengah anak perempuannya.
“Sesekali berkumpul macam ni seronok kan, pa?” ujar
Hanis. Sewaktu usianya seperti Hanni, dia begitu manja dengan papa.
“Hmmm… papa kalau anak-anak, menantu dan cucu-cucu
papa berkumpul, itulah saat yang paling gembira sekali bagi papa. Kalau
hari-hari macam ni lagi seronok. Meriah juga rumah ni. Takdelah sunyi sangat,” telus Tan Sri Hamdan berkata.
Hanis dan Hanni bersetuju dengan papa. Seronok dan
meriah rumah banglo ni bila semua orang berkumpul. Lebih-lebih dengan keletah
si Adam Izhar yang sering mencuit hati itu. Memang bertambah meriah.
“Betul tu. Lagipun… takdelah asyik nak mendengar suara leteran mama aje kan, pa?” ujar Hanni dengan manja.
Lengan papa dipaut mesra sambil bibir sudah tersungging dengan senyuman nakal.
Mujurlah mama duduk jauh sikit dari mereka. Jadi takdelah mama dengar apa yang Hanni
cakapkan.
Tan Sri Hamdan hanya tersenyum mendengar komen
Hanni.
“Yeyyy…
Pak Ngah dah sampai!!!” jeritan Adam membuatkan semua mata memandang ke arah
Harriz yang baru melangkah masuk ke halaman rumah yang dihiasi taman mini yang
indah.
Harriz segera menyambut Adam. Membawa Adam ke dalam
dukungannya. Pipi si comel yang baru berusia lima tahun itu dikucup.
“Wah… semakin hencomboy
la anak sedara kesayangan Pak Ngah ni,”
puji Harriz.
“Mestilah. Sekarang abang dah ada girlfriend tau Pak Ngah. Bukan sorang tau. Tapi…” Bangga Adam memberitahu
Pak Ngahnya sambil jarinya dinaikkan tiga. Itu bermakna dia ada tiga orang
teman wanita.
Adam! Adam! Kecik-kecik
dah tau pasal perempuan. Ini tak lain tak bukan tentu mewarisi perangai playboy Pak Ngah dia.
“Iye? Wah…
hebatlah anak sedara Pak Ngah ni.
Macam inilah anak lelaki. Kena ramai girlfriend,”
sekali lagi Adam dipuji. Rambut anak saudaranya itu digosok perlahan.
Membuatkan Adam menepis tangan Harriz.
“Alaaa… janganlah gosok rambut abang cam tu. Tak hencomboy la nanti,” rengek Adam manja. Rengekannya membuatkan
Harriz ketawa besar.
Ketika dia melangkah, matanya sempat terlihat
kelibat Syarifah Ezora yang sudah mengerling-gerling manja ke arahnya. Bukan
main manja lagi gadis itu dengan mama.
Eh… bukan ini perjumpaan ahli keluarga aje ke? Yang Ezora terlibat sama kenapa pulak?
Bisik Harriz dalam hati. Meluat pula dia melihat tingkah Syarifah Ezora itu.
Aduh… kenapalah perempuan ni tak tau malu sangat.
“Late!” ucap
Hanni setibanya Harriz di tempat mereka berkumpul. Jarinya mengetuk-ngetuk
pergelangan tangan yang konon-konon memberi isyarat jam.
Harriz tersengih.
“Sorry.
Jalan jam sangat tadi. Ada accident dekat jalanan. Itu yang lambat,”
beritahu Harriz.
Wajah mama digerling. Bukan main lebar lagi senyuman
mama melayan Syarifah Ezora yang duduk di sebelahnya. Manakala di sebelah kanan
mama pula kelihatan kelibat Hanna yang rancak menaip-naip sesuatu pada
BlackBerrynya sambil tersenyum seorang diri.
“Harriz cakap nak umumkan sesuatu. Apa dia? Cakaplah
cepat. Sebab mama pun memang ada pengumuman penting jugak malam ni,” ujar Puan Sri Hanum sambil tersenyum-senyum. Dia
sudah tak sabar nak bagitau semua yang ada di halaman itu berkenaan dengan
majlis yang telah dirancangnya.
Tan Sri Hamdan hanya mengerling sikap isterinya itu.
Dia rasa sejak akhir-akhir ini sikap isterinya sedikit keterlaluan. Asyik mahu
orang mengikut kehendaknya. Sedangkan isterinya itu tak pernah mahu bertolak
ansur.
“Kalau iye
pun, bagilah Harriz tu tarik nafas kejap Puan Sri Hanum oi,” balas Tan Sri
Hamdan.
Puan Sri Hanum mencebik. Suaminya itu memang suka
sangat menyebelahi anak-anak. Pasal tulah semua anak-anak rapat dengan Tan Sri
Hamdan berbanding dirinya. Kecuali Hanna yang sedari kecil memang sudah begitu
manja dengan dirinya.
Harriz pandang satu-persatu wajah-wajah yang ada di
halaman malam itu. Semua ahli keluarga kesayangannya ada di situ. Nafasnya
ditarik dalam. Kemudian dihembus perlahan. Dia sudah bersedia mahu memaklumkan
kepada semua yang ada bahawa dia ingin menamatkan zaman bujang.
Semua mata memandang Harriz. Tak sabar nak tau.
Alisya dan Adam yang tak tahu apa-apa itu pun pandang tepat ke wajah Pak Ngah
mereka. Excited aje dua budak kecil itu mahu tahu apa yang Pak Ngah mereka ingin
umumkan.
“Harriz nak kahwin,” laju ayat itu meniti keluar.
Melopong mulut semua yang hadir. Syarifah Ezora
sudah tersenyum panjang. Belum pun dengar Harriz nak kahwin dengan siapa,
senyumannya sudah lebar hingga ke telinga. Confident
sangat yang Harriz mahu berkahwin dengannya.
“Harriz nak kahwin dengan Balkish,” sekali lagi
Harriz mengatur ayatnya. Kali ini dengan lebih jelas dan menyebut tuan punya
nama yang bertakhta di hati.
Kali ini semua yang hadir sudah bulat mata memandang
Harriz. Begitu juga dengan Syarifah Ezora. Merah padam mukanya ketika mendengar
nama perempuan yang meniti keluar dari mulut Harriz itu. Rasa hendak sahaja dia
menjerit kuat. Namun cuba dikawal amarah itu bila dia mengenangkan dia kini
berada di tengah-tengah keluarga Tan Sri Hamdan.
“Apa yang Harriz cakap ni?!” tinggi suara Puan Sri
Hanum. Dia sudah bangun dari duduknya dengan api kemarahan yang meluap-luap.
“Yes… ma.
Riz nak kahwin dengan Balkish. Kami dah bincang hal ni siang tadi dan kami dah
bersetuju nak adakan majlis akad nikah hujung bulan ni. Sebab tu malam ni Riz
nak bincang dengan semua orang untuk meminang Balkish untuk Riz hujung minggu
ni,” terang Harriz.
“Nope!
Mama dah ada calon untuk Harriz. Mama dah pilih Ezora untuk jadi pasangan
Harriz.” bentak Puan Sri Hanum.
“Sorry, ma.
Riz tak cintakan Ezora. Riz….”
Belum sempat Harriz menghabiskan kata-katanya, Syarifah
Ezora sudah bangun dari duduk lalu berlari laju meninggalkan taman mini yang
indah itu. Laju air matanya jatuh membasahi pipi.
“Ezora... tunggu dulu,” panggil Puan Sri Hanum. Dia
sudah mula mengejar anak manja sahabat baiknya itu. Begitu juga dengan Hanna.
Sempat dia melemparkan sebuah jelingan maut kepada abangnya.
Hanni sudah menjerit keriangan. Berita yang baru
disampaikan oleh abangnya itu merupakan berita paling hangat di pasaran ketika
ini.
***************************************************************************
“HARRIZ
sedar tak apa yang Harriz cakap ni? Mama tak setuju!!!” tinggi lontaran vokal
Puan Sri Hanum ketika Harriz memaklumkan hal itu kepada mereka semua sebentar
tadi. Mencerlung matanya memandang
Harriz. Bagai hendak ditelan sahaja anak itu.
Kesian Syarifah Ezora. Teresak-esak gadis manis itu
meninggalkan rumah ini sebentar tadi.
Seperti yang Harriz jangka. Mamanya pasti akan
menentang hasrat murninya itu. Kan ke mama dah berkenan mahu mengenenkan dia dengan Syarifah Ezora?
Rasa mahu tergelak juga dia melihat perubahan air muka Syarifah Ezora tadi.
Merah padam muka gadis itu. Itulah… sibuk sangat nak datang ikut sama dalam
pertemuaan keluarga ini, kan dah frust
menonggeng.
“Riz sedar, ma. Tapi ini memang pilihan Riz. Riz nak
kahwin dengan Balkish,” balas Harriz.
Puan Sri Hanum mendengus kasar. Dia berdiri dekat
dengan anak lelakinya itu. Tak senang hati dia dengan keputusan mendadak yang
Harriz buat. Dia baru nak jalankan rancangannya mahu mengikat tali pertunangan
antara Harriz dengan Syarifah Ezora. Harriz pula sudah terlebih advance mahu bernikah dengan Balkish.
Memang boleh buat dia mendapat heart
attack.
“Harriz memang dah melampau kan? Langsung tak nak
dengar cakap mama. Apa kurangnya Ezora tu sampai Harriz beria-ia sangat nak
kahwin dengan perempuan lain? Apa lebihnya perempuan tu???” bentak Puan Sri
Hanum. Matanya tajam menikam wajah Harriz.
“Ma… please.
Tolonglah bagi Riz peluang untuk buat pilihan sendiri. Riz cintakan Balkish.
Bukannya Ezora. Riz nak kahwin dengan Balkish.”
“Kamu ni memang…” jari telunjuk Puan Sri Hanum sudah
terarah dekat ke muka Harriz. Bibirnya diketap tanda geram yang teramat sangat
sehinggakan susah untuk dia meneruskan kata.
“Sudahlah tu Hanum. Tak guna awak nak halang apa
yang anak kita mahukan. Ini sudah menjadi pilihan dia. Biarkan ajelah. Lagipun Harriz dah besar
panjang. Dah tahu pilih mana yang terbaik untuk diri sendiri,” ujar Tan Sri
Hamdan yang sudah mula masuk campur. Takut kalau dibiarkan nanti lain pula
jadinya. Bukannya dia tak tahu isterinya itu ada penyakit darah tinggi. Takut
juga kalau-kalau tekanan darah tinggi isterinya akan naik dengan mendadak pula.
“Abang ni memang selalu nak sebelahkan si Harriz ni.
Pasal tu anak ni naik minyak sangat. Buat hal ikut suka dia aje. Kalau abang rasa abang nak ikut
sangat kehendak anak kesayangan abang ni… abang pergilah pinangkan perempuan tu
untuk dia sorang-sorang. Saya tak nak
ikut. Saya tak nak pisang berbuah untuk kali macam kita pernah pinang si Dhia tu
dulu.”
“Ma… Balkish bukan Dhia. Dan Balkish tak sama dengan
Dhia. Tolong jangan sesekali mama nak samakan Balkish dengan Dhia. Balkish
dengan Dhia langsung tak sama.” Harriz mempertahankan cinta hatinya. Memang
itulah kenyataannya. Balkish tak sama dengan Dhia!
Mencerlung mata Puan Sri Hanum memandang Harriz.
Geram mendengar jawapan lantang anaknya itu.
“Apa yang tak sama? Harriz jangan nak sebelahkan
sangat teman wanita Harriz tu. Jenis-jenis perempuan yang selalu Harriz angkut
tu… semua mama dah faham sangat fiilnya. Bukan serius mana pun sukakan Harriz.
Tapi lebih kepada sukakan harta Harriz aje.”
“Balkish bukan macam tu, ma.” sangkal Harriz pantas.
Dia sudah tak tahan dengan kata-kata kesat mamanya sendiri terhadap Balkish.
Mama tak kenal pun siapa Balkish, tapi sudah membabi buta menuduh Balkish sama
dengan wanita-wanita yang pernah dia dampingi selama ini.
“Mama tak peduli!!! Mama tak izinkan Harriz kahwin
dengan perempuan yang kita tak tahu asal-usulnya itu. Kalau Harriz nak kahwin…
kahwin dengan Ezora. Ezora berkali-kali ganda lebih baik daripada teman-teman
wanita Harriz tu. Mama yakin sangat kalau Harriz kahwin dengan Ezora, hidup
Harriz akan bahagia. Lagipun Harriz dengan Ezora sama taraf,” dalam marah yang
membara, Puan Sri Hanum sempat lagi menyatakan hasrat hatinya yang terlalu
ingin menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora.
Tan Sri Hamdan menggeleng-geleng. Mujurlah Hanis
dengan Fahmie serta anak-anaknya sudah pulang ke rumah. Sebaik sahaja melihat
keadaan yang bakal menjadi tegang tadi, Fahmie segera mengajak isteri dan
anak-anaknya pulang. Jika tidak, tak elok sangat menantu dan cucu-cucu melihat
perangai isterinya yang sudah seperti orang hilang akal itu. Cakap langsung tak
bertapis. Hanna dengan Hanni pun sudah diarahnya masuk ke dalam bilik
masing-masing. Biar dia, isterinya dan Harriz sahaja yang duduk berbincang.
“Perempuan tu… siapa nama dia… hah, Balkish. Dia tu
mesti ada niat yang tak baik pada Harriz. Pasal tu ajak kahwin dengan cara yang
mengejut. Itu tak lain tak bukan mesti nak mengikis harta Harriz la tu.
Perempuan macam tu… tak layak nak jadi menantu mama! Tak malu ke dia nak
bermertuakan orang besar-besar macam kita ni? Sedarlah diri dia tu sikit!”
“Hanum!” suara Tan Sri Hamdan sudah melengking
tinggi menyebut nama isterinya.
Terdiam Puan Sri Hanum buat seketika. Harriz juga
terkejut mendengar suara papanya yang tinggi itu. Selama ini jarang benar dia
mendengar papa menbentak mamanya sebegitu. Mungkin tahap kesabaran papa sudah
hilang dek sikap mama yang sukar sangat dikawal.
“Sudah-sudahlah tu. Tak baik awak tuduh meluluh
orang yang awak tak kenal. Kita belum kenal pun budak Balkish tu lagi. Tak tahu
pun bagaimana perangainya. Jangan nak samakan dia dengan perempuan-perempuan
yang pernah Harriz usung selama ni. Tak adil untuk kita tuduh dia sebegitu,”
ujar Tan Sri Hamdan tegas. Tan Sri Hamdan ni sesekali bersuara memang kecut
perut juga dibuatnya.
Puan Sri Hanum mendengus. Tangan disilangkan ke
dada. Wajahnya masam mencuka. Sakit hatinya bila suaminya juga turut
menyebelahi Harriz.
“Saya pun bukan asal dari keluarga senang-senang.
Saya pun anak nelayan aje, Hanum.
Tapi awak pun suka saya jugak kan?
Kahwin dengan saya jugak kan? Tak
semua orang susah tu hanya mahukan harta orang-orang kaya. Sebagai ibu bapa,
kita kena terima pilihan anak kita. Bukannya bertindak membabi buta macam ni.
Awak tak malu ke dengan Fahmie dan Hanis tadi? Dengan cucu-cucu awak?
Sepatutnya awak kawal sikit diri awak tu. Jangan sampai berkelakuan seperti ini
depan anak dan menantu.”
“Abang suka sangatkan sebelahkan si Harriz ni. Pasal
tu anak kita ni semakin besar kepala. Bertindak ikut suka hati tanpa bincang
dengan kita terlebih dahulu,” Puan Sri Hanum masih tidak berpuas hati.
“Apa yang Harriz buat sekarang ni nak berbincanglah.
Hanum… boleh tak awak bertimbang rasa sikit. Jangan asyik nak ikut kehendak
awak tu aje. Saya tahu awak dah janji
dengan Syarifah Elina nak satukan Harriz dengan Syarifah Ezora. Tapi kalau anak
kita dah ada pilihannya sendiri, biarkanlah dia dengan pilihannya. Dia yang nak
bina masjid, biarlah dia yang pilih makmumnya. Kita sebagai orang tua doakan
saja yang terbaik untuk dia dengan pasangannya.”
Sekali lagi Puan Sri Hanum mendengus. Tak guna
bertekak dengan suaminya bila suaminya sudah menyebelahi Harriz. Nampaknya
memang dia kempunan nak bermenantukan Syarifah Ezora.
“Suka hati abanglah!” bentak Puan Sri Hanum dengan
muka yang masam mencuka.
“Mama tak nak ambil tahu semua tu. Mama tak nak
masuk campur! Kalau Harriz rasa nak kahwin, nak buat majlis akad nikah, Harriz
uruslah sendiri. Mama tak ambil peduli lagi segala urusan Harriz lepas ni,”
bentak Puan Sri Hanum. Kemudian dia melangkah naik ke tingkat atas sambil
menghentak-hentak kakinya sebagai tanda protes.
Harriz meraup wajahnya. Dia memang sudah menjangka
tindakan mama ini. Dia memang sudah menyangka mama tidak akan bersetuju.
“Dahlah… Harriz jangan fikir sangat. Minggu depan
kita pergi meminang. Perkara baik macam ni tak elok dilambat-lambatkan,” ujar
Tan Sri Hamdan. Kesian dia melihat wajah sugul anak lelakinya itu. Geram juga
dia dengan perangai isterinya yang semakin menjadi-jadi itu.
“Tapi mama macam mana, pa? Riz yakin sangat mama tak
akan ikut serta pergi meminang,” keluh Harriz.
“Takpelah.
Kalau mama tak nak pergi… biar papa, Fahmie dengan Hanis aje yang pergi. Harriz jangan risau sangat. Pasal mama tu… alaaa,
jangan layan sangat. Lambat-laun hatinya pasti akan sejuk. Mama tu bukannya
apa… dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk Harriz. Kan Harriz satu-satunya
hero di hati mama. Pasal tu dia mahukan yang terbaik untuk Harriz. Tapi cara
mama tu aje yang salah. Nak Harriz
ikut kehendaknya sahaja,” panjang papa berbicara.
“Dah. Harriz jangan fikir sangat. Papa naik atas
dulu tengok mama. Merajuk panjanglah mama kamu tu dengan papa malam ni.”
Harriz tersenyum nipis.
“Thanks, pa.”
ucap Harriz. Rasa terharu bila papa sentiasa membela dirinya.
Papa memejam sekejap mata sambil tersenyum senang.
Dalam hati dia mengucap rasa syukur kerana satu-satunya anak lelaki yang dia
ada akhirnya sudah terbuka hati untuk mendirikan rumahtangga. Semoga wanita
yang bernama Balkish itu dapat membimbing anaknya itu.
***************************************************************************
SEJAK
balik dari rumah Tan Sri Hamdan tadi, Syarifah Ezora asyik mengunci diri dalam
biliknya. Langsung tak mahu keluar. Jenuh Datin Syarifah Elina dengan Datuk
Syed Rahman memujuk puteri kesayangan mereka itu untuk membuka pintu. Namun
Syarifah Ezora tetap tidak mempedulikan mereka. Malah semakin menjadi-jadi pula
tangisan Syarifah Ezora.
“Ezora sayang… kenapa ni? Tolonglah buka pintu ni.
Jangan buat mummy dengan daddy risau. Siapa yang buat Ezora
bersedih? Cuba beritahu mummy dengan daddy. Please open the door my dear, Ezora,” lembut suara Datin Syarifah
Elina memuju anak manjanya itu. Risau sungguh rasa hatinya mendengar suara
tangisan Syarifah Ezora yang semakin menjadi-jadi. Malah dia semakin bimbang
bila anaknya itu mula membuang barang-barang hingga ada bunyi pecah yang
kedengaran.
“Darling. I
risaulah. Apesal dengan Ezora tu? I
rasa mesti ada yang tak kena. Pasal tu Ezora jadi macam ni.” Datin Syarifah
Elina menoleh ke arah suaminya.
“I nak call
Hanum la. Tentu dia tahu apa yang dah jadi pada Ezora sampai macam ni Ezora
mengamuk,” pantas Datin Syarifah Elina cuba untuk menelefon sahabat baiknya
itu. Hatinya kuat mengatakan amukan Syarifah Ezora malam ini pasti ada
kaitannya dengan keluarga itu. Sedangkan sewaktu anaknya itu hendak berjalan ke
rumah Tan Sri Hamdan tadi, bukan main berseri-seri lagi wajah Syarifah Ezora.
Tapi balik sahaja dari sana, Syarifah Ezora terus mengunci diri di dalam bilik
sambil menangis dan membuang-buang barang.
Nombor telefon Puan Sri Hanum didail. Bibirnya
diketap. Telefon bimbit sahabatnya itu berada di luar kawasan.
“Hisy… tak dapatlah pulak,” gumam Datin Syarifah Elina. Bibirnya digigit-gigit.
“Takpelah.
Biar I call Hamdan. You tolong pujuk
Ezora,” ujar Datuk Syed Rahman. Telefon bimbit isterinya diambil. Kemudian
nombor telefon Tan Sri Hamdan dicari dan didail.
Tiga kali deringan, akhirnya talian dijawab.
“Sayang… please.
Open the door. Jangan buat mummy
macam ni. Apa sebenarnya yang dah terjadi? Cuba cakap dengan mummy. Kita bincang elok-elok,” suara
Datin Syarifah Elina berkumandang lagi. Lembut dan penuh sabar dia memujuk anak
kesayangan itu.
Kali ini suara tangisan Syarifah Ezora sudah
berhenti. Suasana menjadi sunyi-sepi. Ini membuatkan hati Datin Syarifah Elina
semakin menjadi tak keruan. Takut anak kesayangannya itu bertindak sesuatu yang
diluar jangkaan.
“Bik! Oh… Bik! Cepat bawa ke sini kunci pendua bilik
Cik Muda,” teriak Datin Syarifah Elina memanggil bibik.
Bibik yang baru hendak menyuap nasi ke dalam mulut
bergegas mendapatkan kunci pendua bilik Syarifah Ezora. Dengan pantas dia
memanjat anak tangga menuju ke arah Datin Syarifah Elina yang masih memujuk
anak kesayangannya itu di luar bilik.
“Hah… cepatlah, bik. Yang bibik masih tercegat dekat
situ buat apa lagi? Cepat bawa sini kunci penduanya.”
“Ini kuncinya, bu,” kunci diserahkan kepada Datin
Syarifah Elina.
Dengan kasar kunci dirampas. Geram betul Datin
Syarifah Elina dengan bibik yang lembap itu.
“Hah, yang tercegat dekat sini kenapa pulak? Dah… pergilah!” kasar Datin
Syarifah Elina berkata.
Terkocoh-kocoh bibik yang sudah berusia lima puluh
tiga tahun itu meninggalkan majikannya. Dalam hati terasa sayu diperlakukan
sebegitu oleh Datin Syarifah Elina. Namun ditabahkan juga hatinya dengan
kata-kata kesat wanita itu. Demi mencari rezeki yang halal, dia perlulah
bersabar. Allah sentiasa bersama-sama hambanya yang sabar.
Bulat mata Datin Syarifah Elina melihat keadaan
bilik anak tunggal kesayangannya itu. Bersepah sana-sini. Malah bunyi pecah
tadi rupanya datang dari cermin solek Syarifah Ezora yang sudah terpecah dua.
Perlahan-lahan Datin Syarifah Elina menghampiri
Syarifah Ezora yang sudah duduk sambil memeluk lututnya sendiri. Menangis
teresak-esak tanpa bunyi.
“Baby… what happened? Talk to me,” lembut suara
Datin Syarifah Elina kedengaran. Berlainan sekali bunyinya bila dia sedang
berbicara dengan bibik. Rambut ikal anaknya yang bewarna perang itu dibelai
penuh kasih sayang.
Syarifah Ezora tidak bersuara. Cuma tangisannya
sahaja yang sudah pecah kembali. Tubuh mummynya
dipeluk erat.
Tersentak Datin Syarifah Elina. Laju dia turut
membalas pelukan anak manjanya itu.
“Hey… kenapa ni? Siapa yang buat anak kesayangan mummy ni menangis? Bagitahu mummy. Apa dah jadi sebenarnya? Ezora
janganlah asyik menangis macam ni.
Buat mummy risau tau.”
“Ha… Harriz,” Syarifah Ezora cuba untuk memberitahu
kejadian yang sebenar.
“Yea…
kenapa dengan Harriz? Apa yang Harriz dah buat dekat Ezora ni?” rasa tak sabar Datin Syarifah Elina mahu tahu. Mungkin ada
sesuatu yang telah Harriz lakukan terhadap puterinya itu sehingga Syarifah
Ezora menangis beria-ia.
“Ha… Harriz nak kahwin mummy. Ha… Harriz nak kahwin dengan orang la… lain,” teresak-esak
Syarifah Ezora memberitahu. Kemudian tangisannya pecah lagi.
“What? Are you
sure my dear?” soal Datin Syarifah Elina terkejut mak beruk. Melengking
tinggi suaranya.
Syarifah Ezora hanya mengangguk-angguk. Tiada suara
untuk berkata-kata lagi. Hatinya sakit bercampur pedih mendengar kenyataan
Harriz tadi. Andai kata gadis bernama Balkish itu ada di depan matanya, mahu
sahaja dia mencekik-cekik leher gadis itu kerana begitu berani merampas Harriz
daripada dia.
“It’s okey.
Nanti mummy cakap dengan Auntie Hanum. I’m sure Auntie Hanum tak
akan bersetuju dengan perkahwinan ini. Kan Auntie
Hanum sayangkan Ezora. Please, stop
crying. Biar mummy handle masalah ni. Ezora tak perlu risau
apa-apa,” api amarah Datin Syarifah Elina juga sudah menyala-nyala.
“Tapi…” Syarifah Ezora tidak dapat meneruskan
kata-katanya. Suaranya tersekat-sekat.
“Syhhh…
dah, dah. Jangan banyak fikir. Mummy
taulah apa yang harus mummy lakukan. Mummy tak akan maafkan orang yang dah
buat anak mummy ni menangis.”
Siapa agaknya gerangan wanita yang berani sangat
membuatkan anaknya itu menangis dan kecewa hingga jadi begini?
“Mummy…
Zora sayang sangat kat Harriz. Zora
tak boleh hidup tanpa Harriz. Zora tak nak kehilangan Harriz, mummy,” rintih Syarifah Ezora dalam
pelukan ibunya. Esak tangisnya kedengaran lagi.
Sayu rasa hati Datin Syarifah Elina mendengar
rintihan anaknya itu. Api kemarahannya semakin meluap-luap. Ikutkan amarah yang
bertandang dalam hatinya itu, mahu sahaja dia pergi ke rumah Tan Sri Hamdan dan
Puan Sri Hanum malam ini juga. Tegar sungguh anak lelaki sahabat baiknya itu
melukakan hati Syarifah Ezora.
“I know my
princess. Dahlah. Jangan menangis lagi. Mummy promise akan paksa Harriz kahwin dengan Ezora.”
Syarifah Ezora mendongak. Memandang wajah mummynya dengan penuh harapan. Selama
ini mummy dengan daddy tidak pernah menghampakan segala permintaannya. Sebutlah apa
yang dia inginkan, pasti akan ditunaikan oleh mummy dan daddy.
“Promise,
mummy?” pintanya penuh mengharap. Dia tak mungkin akan melepaskan Harriz
kepada perempuan lain.
Datin Syarifah Elina mengangguk penuh yakin. Harapan
menggunung anaknya itu tak mungkin akan dihampakan.
Perlahan ada segaris senyuman mekar pada bibir
Syarifah Ezora. Dia berharap agar mummy
berjaya memaksa aunty Hanum
menyatukan dia dengan Harriz.
No comments:
Post a Comment