DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 10 April 2016

MAWAR-MAWAR CINTA - BAB 7

ZARA mencebik. Malas benar dia dengan Wanie
yang tak henti-henti asyik memuji Hakimie. Asyik-asyik nak
ulang topik yang sama. Mentang-mentanglah hari ini hasil
kerjanya mendapat pujian daripada Hakimie semasa mesyuarat
pagi tadi. Bukan main lagi dia puji mamat poyo itu. Konon,
Hakimie merupakan ketua yang paling baik di dunia ini. Takde
bos yang lebih baik berbanding Hakimie. Sudahlah baik, kacak
pula itu. Begitulah melambung tinggi pujian Wanie kepada
Hakimie.
Nak termuntah Zara mendengar setiap pujian Wanie
kepada musuh ketatnya itu. Melampau sangat Wanie memuji
lelaki itu begitu. Semua yang baik-baik dan indah-indah milik
Hakimie. Sedangkan hakikatnya, lelaki itu merupakan lelaki
paling teruk, cerewet dan poyo di muka bumi ini. Tiada lelaki
yang paling teruk selain Muhammad Hakimie Bin Helmie!
“Zara!”
Namanya yang dipanggil itu membuatkan Zara
berpaling ke belakang. Begitu juga dengan Wanie.
Pak Cik Os yang tersengih-sengih sedang menapak
menghampiri Zara dan Wanie. Sikat di poket seluar dikeluarkan
lalu dia menyikat rambutnya yang hanya tinggal beberapa helai
sahaja lagi. Wanie sudah kelucuan. Rasa mahu dia tergelak
melihat tingkah Pak Cik Os yang berlagak bagaikan Mat Romeo
itu. Apa hal pula agaknya dengan Pak Cik Os hari ini. Lain benar
tingkahnya. Bagaikan ada sesuatu yang mengusik jiwa tua Pak
Cik Os itu.
Zara yang memandang sudah kegeraman. Hatinya jadi
tidak senang dengan tingkah Pak Cik Os.
‘Hai… harap-haraplah Pak Cik Os yang miang ini
tidak mengulangi perangai nyanyuknya pagi semalam. Jika
tidak, mahu setahun aku menjadi bahan usikan Wanie. Otak
mengusik Wanie ni memang boleh tahan juga jahatnya. Kena
banyak bersabar jika Wanie sudah mula mengusik. Kalau tak,
mahu bergaduh besarlah jadinya dengar usikan Wanie yang
terlalu menguji keimanan itu.’ Dalam diam, Zara berharap.
Hal pagi semalam ketika Pak Cik Os memberinya sekuntum
bunga matahari masih segar dalam ingatan. Dan tiada seorang
pun yang tahu akan hal tersebut walaupun teman baiknya, Nur
Hawanie.
“Selamat tengah hari Zara.” Sapa Pak Cik Os mesra.
Bibirnya tersungging senyuman. Pagi tadi dia ada juga cubacuba
mengintai Zara, namun bayang pujaan hatinya itu tidak
kelihatan.
“Selamat tengah hari Pak Cik Os… ada apa ya?” Zara
bertanya. Dalam hati dia berdoa, semoga penyakit nyanyuk Pak
Cik Os tidak menyerang tengah hari ini. Dia tak nak Wanie tahu
Pak Cik Os sebenarnya sedang cuba nak menggatal dengan dia.
Malu tu!
“Alaaa… Zara janganlah panggil abang... pak cik. Rasa
macam dah tua sangat pulak kalau Zara panggil abang macam
tu. Panggil ajelah Abang Os. Kan nampak muda dan mesra.”
Dengan tak sedar dirinya, Pak Cik Os menutur kata.
Zara ketap bibir. Pak Cik Os sudah mula menunjukkan
ciri-ciri hendak menggatal kat dia lagi nampaknya. Wanie yang
di sebelah dikerlingnya. Daripada air muka sahabatnya itu, dia
tahu Wanie sedaya upaya sedang menahan tawanya. Mulutnya
dikemam-kemam menahan ketawa daripada terus meletus.
Pasti dia terkejut mendengar pak cik pengawal keselamatan itu
membahasakan dirinya sebagai abang kepada Zara.
Abang! Kahkahkah…
“Heheheee… errr… ada apa ya?” Sekali lagi Zara
mengulangi pertanyaan yang sama. Dia cuba sedaya upaya
menyabarkan hatinya.
“Hmmm… macam ni, abang ada dua keping tiket
wayang Dilwale Dulhania Le Jayenge untuk tayangan hujung
minggu ni. Kalau Zara free… abang nak ajak Zara menonton
sama. Nanti abang jemput Zara dekat rumah Zara. Sambilsambil
tu… boleh abang berkenalan dengan mak ayah Zara
sekali. Heheheee…” Pak Cik Os tersengih menampakkan
giginya yang hanya tinggal beberapa batang sahaja lagi.
Amboi… gatal nak mampus!
Rasa seperti ada skru yang tersangkut pada kerongkong
Zara ketika ini. Sukar untuk dia hendak bernafas. ‘Abang Os’
ni nampaknya sudah nyanyuk benar. Adakah patut dia nak ajak
Zara menonton wayang. Dah tu Dilwale Dulhania Le Jayenge
pulak. Aduh… kalau cerita itulah, dekat DVD pun boleh tengok.
Malah Panggung Sabtu dekat TV3 pun dah beberapa kali
menayangkan cerita tersebut.
‘Eh… tolonglah pak cik! Jangan nak menggatal pula
ya! Tak teringin aku nak keluar menonton wayang dengan
pak cik. Pak cik pun jangan perasan nak jumpa abah dan umi.
Sedar-sedarlah diri tu pak cik!’ Hati Zara mengumam marah.
Mahu saja dihamburkan kemarahannya kepada Pak Cik Os
namun memandangkan lelaki itu warga emas, rasa simpati pula
dia nak menghamburkan kemarahannya itu.
Wanie yang setia di sebelah sudah mahu pecah ketawa
bila mendengar pelawaan Pak Cik Os kepada Zara. Kira nak ajak
datinglah tu. Hai… kelakarnya!
“Errr… mintak maaflah Pak Cik Os. Zara tak free
hujung minggu ni. Ada overtime nak kena buat dekat ofis. Kan
Wanie, kan?” Zara minta sokongan Wanie yang kelihatan cukup
sukar mahu menahan rasa kelakarnya itu.
Wanie yang asyik mengemam mulutnya daripada
pecah di depan Pak Cik Os hanya mengangguk-anggukkan
kepalanya bagaikan burung belatuk. Kelakar betul dia dengan
permintaan Pak Cik Os yang nak mengajak Zara keluar tengok
wayang cerita hindi.
Alahai… Pak Cik Os, rupa-rupanya selama ni ada hati
dekat Zara. Padanlah selama ni Pak Cik Os selalu jeling-jeling
manja dekat mereka. Rupanya menjeling manja dekat Zara.
Aduyaiii… Kelakarnya...
“Ya ke? Takpelah kalau macam tu. Lain kali ajelah kita
pergi tengok wayang berdua ya. Kesian Zara kena overtime.
Lama ke overtimenya?” Di sebalik kata-katanya, ada nada sedih
yang kedengaran.
Dia sudah merancang mahu mengenali Zara dengan
lebih dekat lagi, tapi apakan daya… kerjaya gadis pujaan hatinya
itu lebih penting daripada menonton wayang. Sebagai kekasih,
dia pasrah bila kekasih hatinya menolak untuk menonton
bersama demi kerjaya. Dia sokong seratus peratus.
Hamboi… pak cik! Tak sedar diri langsung. Sejak bila
Zara tu jadi kekasih hang? Inilah yang dinamakan tua kutuk tak
sedar diri. Rumah kata pergi, kubur kata mari pun masih tak
nak bertaubat lagi. Huh!
Zara sekadar memberi sengihan paksa. Perilaku Pak
Cik Os yang asyik membahasakan dirinya sebagai Abang Os
itu cukup meloyakan tekaknya. Jika bukan kerana dia ingin
menjaga air muka lelaki itu sebagai pengawal keselamatan di
Mawar-mawar Cinta
88
situ, mahu rasanya dia menengking lelaki itu. Meluat benar dia
dengan sikap Pak Cik Os duda anak lima itu yang cuba-cuba
menggatal dengannya. Kenapalah dalam ramai-ramai staf dekat
Star Properties Sdn. Bhd ini, Pak Cik Os harus memilih dirinya?
Kenapa tak pilih orang lain. Kan ramai lagi yang cantik-cantik.
Kareena! Kan Kareena itu lagi cantik. Lagi seksi. Lagi bergaya.
Kenapa tak pilih Kareena saja?
Biarpun Zara kini sudah menjanda sejak Ajib
meninggalkannya, namun dia takdelah kemaruk sangat nak
cari pengganti Ajib dalam masa terdekat ni. Dan kalau pun dia
nak cari pengganti Ajib, dia tak akan cari lelaki yang dah sama
taraf dengan usia abahnya. Atau lebih tua lagi daripada abahnya.
‘Husy… simpang malaikat empat puluh empat! Lelaki
macam Pak Cik Os ini bukanlah termasuk dalam list aku.’
“Okeylah Pak Cik Os. Kita orang pergi dulu ye. Nak
lunch ni.” Pinta Zara kelam-kabut.
“Yalah. Hati-hati jalan tau. Tengok kiri kanan. Kalau
ada yang kacau atau sakat Zara, beritahu dekat Abang Os. Biar
abang luku kepala diaorang guna cotar ni.” Pak Cik Os berpesan
sambil menepuk-nepuk cotar yang selalu ada bersamanya setiap
kali dia bertugas.
Tiada sebarang balasan daripada Zara. Cuma bibirnya
sahaja yang memberi sengihan. Kemudian cepat-cepat dia
menarik lengan Wanie untuk berlalu dari situ. Mengheret
temannya itu sampai ke parkir kereta.
Setelah mereka berlalu, ketawa Wanie akhirnya
pecah juga. Dia sudah tidak dapat menahan rasa geli hati yang
bersarang dalam jiwa. Apatah lagi bila melihat perubahan air
muka Pak Cik Os bila ajakannya ditolak mentah-mentah oleh
Zara.
Pappp!!!
“Aduh! Sakitlah, dowh!” Jerit Wanie bila lengannya
menerima tamparan Zara. Tawanya serta-merta terhenti.
“Tau pun sakit. Yang kau tergelak-gelak ni apa hal?
Sengaja nak cari pasallah tu.” Gumam Zara bengang. Sakit hati
bila Wanie tak sudah-sudah mentertawakan dirinya. Kalau ya
pun dah kelakar sangat lawak tengah hari yang pak cik tua tu
buat, janganlah ketawa sampai macam kena rasuk hantu pulak.
Sengaja tau nak buat dia bengkak hati.
“Heheheee… takdelah. Aku geli hati tengok Pak Cik
Os tu. Rupanya dia ada hati dekat kau selama ni. Padanlah
asyik jeling-jeling kau aje... Rupanya dalam hati ada taman. Tak
sangka sungguh aku beb. Dalam ramai-ramai pekerja dekat sini,
kau jugaklah yang paling bertuah dapat tiket wayang percuma.
Kahkahkah.”
Sekali lagi ketawa Wanie pecah. Kelakar benar!
Zara malas nak layan. Wanie tu bukannya makan
saman punya orang. Lantaklah nak ketawa sampai pecah perut
sekalipun. Nanti dah pecah perut si Wanie ni barulah giliran dia
pula yang akan ketawa terbahak-bahak.
“Dahlah tu Cik Nur Hawanie. Dah takde bertuahnya
kalau pak cik tua tu yang mengajak. Malang ada lagi la...”
Semakin galak Wanie ketawa mendengar keluhan Zara.
“Cepatlah! Asyik nak ketawa je. Kata dah lapar tahap
gaban. Kalau kau rasa dengan tergelak tu lapar kau boleh
hilang, kau tinggal. Aku dah lapar ni. Takde masa nak dengar
ketawa kau tu.”
“Yalah… Yalah… jom! Kau ni asyik nak marah je. Nanti
cepat tua tau!” Wanie sudah memeluk bahu teman baiknya itu
sambil jalan beriringan. Mereka memang BFF! Tanpa mereka
sedari, rupanya kejadian itu sempat diperhatikan oleh seseorang
sehinggakan orang tersebut tersenyum lebar.
ZARA MENGECILKAN sedikit anak matanya. Balik daripada
makan tengah hari bersama Wanie tadi, dia perasan akan
kelibat seorang wanita yang tertinjau-tinjau di luar pintu pagar
Star Properties Sdn. Bhd. Ketika itu dia tidak merasa apa-apa.
Mungkin wanita itu sedang menantikan seseorang.
Namun bila dia turun untuk mengambil barangnya
yang tertinggal di dalam keretanya, kelibat wanita itu masih
lagi kelihatan di tempat yang sama. Masih seperti tadi yang
terjenguk-jenguk. Tingkahnya itu menimbulkan rasa curiga
dalam benak Zara. Pantas, dia cuba menghampiri wanita
tersebut.
“Assalamualaikum… boleh saya tolong?” Tegur Zara.
Si wanita yang sedang tertinjau-tinjau bagaikan seorang
pencuri itu terkejut. Terhenjut bahunya. Tangannya dibawa ke
dada lalu diurut perlahan. Dia tak sedar pun kehadiran gadis
yang menegurnya itu. Asyik sangat berfikir sama ada hendak
masuk atau tidak, sehinggakan dia tidak sedar pun ada yang
datang menghampirinya.
“Maaf.” Pinta Zara. Sedar yang dia telah membuatkan
wanita itu terkejut.
Wanita berambut perang itu berpaling. Orangnya
cantik dengan wajah kacukan. Kacukan mat salih agaknya.
“Dari tadi saya nampak cik dekat sini. Cik tunggu
orang ke?” Tanya Zara kembali.
Wanita cantik itu menggigit bawah bibirnya yang
dicalit dengan gincu warna merah menyala. Dia berkira-kira
hendak bersuara.
Melihat kebisuan wanita cantik itu, Zara mengecilkan
anak matanya. Wajahnya cuba mencari wajah wanita cantik
itu. Lagaknya memandang dengan gaya penuh curiga sehingga
membuatkan wanita cantik itu jadi gelabah.
‘Hesy… apa kena perempuan ni pandang aku macam
ni?’ Hati wanita cantik itu berdetak. Kurang senang dengan
cara tenungan gadis berambut panjang yang diikat seperti
ekor kuda itu. Gadis itu jika pandai bergaya, pasti terserlah
kecantikannya. Ini pakai tangkap muat saja. Sempat dia menilai
gadis di depannya itu.
“Cik ada niat tak baik dekat syarikat kami ye? Cik ni
pengintip ye?” Zara menebak. Main tuduh melulu aje.
Yalah, kan sekarang ni ramai yang jadi pengintip untuk
menjatuhkan syarikat lawan. Bukannya dia tak tahu yang Star
Properties Sdn. Bhd ini dicemburui oleh beberapa syarikat di
luar sana. Ada di antaranya yang berniat hendak menjatuhkan
Star Properties Sdn. Bhd. Manalah tahu wanita cantik ini
dihantar untuk mengintip projek-projek di sini. Siapa yang
tahu, kan? Muka cantik ni tak semestinya baik.
“Eh! Tidak!” Pantas wanita cantik itu menjawab.
Kepalanya digeleng laju-laju. Dia tidak mahu gadis muda di
hadapannya itu menyangka dia ini ada niat yang tidak baik
terhadap Star Properties Sdn. Bhd. Dia bukan seperti yang
disangka.
Zara tersenyum.
“Laaa… pandai bercakap jugak cik ni rupanya.
Ingatkan bisu tadi. Heheheee… saya gurau ajelah cik. Saya
tahu cik bukan orang jahat.” Zara sudah ketawa besar. Suka
bila jeratnya mengena. Memang otak Zara ni kerek. Boleh pula
cakap begitu semata-mata nak tahu wanita cantik itu orang
bisu atau tidak. Haish!
Wanita cantik itu mengetap bibirnya rapat-rapat.
‘Tak guna betul budak perempuan ni. Boleh pulak
dia kenakan aku begitu. Buat cuak aje.’ Sungut wanita cantik
bergaya moden itu. Terkena dia!
“Sorrylah cik. Saya saja nak buat cik bercakap tadi.
Saya tanya, cik diam aje. Ingatkan cik orang bisu tadi.” Ujar
Zara penuh selamba. Memang kerek.
Wanita itu cuba mengukir senyuman. Wanita muda di
hadapannya itu nampak begitu bersahaja orangnya. Mungkin…
gadis itu dapat menolong dia.
“Cik ni tunggu orangkah? Kenapa tunggu dekat sini?
Kalau nak jumpa atau tunggu orang, masuklah ke dalam. Kat
luar ni panas.”
“Tak mengapalah, cik. I sebenarnya… cuma nak bagi
sampul ni dekat Hakimie.” Wanita itu menunjukkan sampul
surat warna putih yang dipegangnya sedari tadi kepada Zara.
Dengar saja nama mamat poyo itu meniti pada bibir
wanita cantik di hadapannya, mata Zara mengecil lagi.
“Boleh tak you tolong I berikan sampul ni dekat
Hakimie?” Pinta sang wanita cantik.
Kali ini Zara mengherot pula bibirnya ke kiri dan
kemudian ke kanan. Menimbang tara permintaan wanita cantik
di hadapannya itu. Kalau boleh dia tak nak jumpa lelaki itu atas
urusan yang remeh-temeh. Dia kan tak suka Hakimie.
“I need your help. Please...” Wanita cantik itu
mengharap dengan penuh harapan. Dia tahu, dia tak mungkin
dapat bertemu dengan Hakimie. Dia perlukan seseorang untuk
membantunya. Dan gadis itu... dia rasa gadis muda itu mampu
membantunya untuk menyampaikan sampul yang dibawanya.
Zara menghela nafas. Inilah yang dia paling tak suka
bila ada yang cuba tunjuk muka minta simpati di depannya.
Cepat saja hatinya menjadi belas.
“Yalah.” Dia akhirnya akur dalam keterpaksaan.
Wanita cantik itu tersenyum. Dia menghulurkan
sampul berwarna putih itu kepada Zara. Dalam sekelip mata
saja sampul surat itu sudah bertukar tangan.
“Thanks. I harap sangat sampul tu sampai kepada
Hakimie.” Penuh harapan wanita cantik itu menutur kata.
“Okey. Nanti saya sampaikan. Apa dalam ni? Surat
cinta ke?”
Mendengar pertanyaan Zara, serta-merta wajah
wanita cantik itu bertukar merah. Bagaikan udang yang sudah
dipanggang saja.
‘Hai… menyibuk betul perempuan ni.’ Kata hati wanita
cantik itu. Namun pertanyaan itu tidak pula mengundang rasa
marah dalam benaknya.
“Terima kasih cik….” Ayat wanita cantik itu terhenti.
Dia tidak tahu nama gadis peramah di hadapannya itu.
“Zara Dania. Panggil aje Zara. Cik?”
“Eriza.”
KALAU BUKAN disebabkan permintaan wanita cantik jelita
bernama Eriza itu yang beria-ia mahu dia menyampaikan
sampul ini kepada Hakimie, jangan haraplah dia akan datang
ke bilik lelaki itu. Bencinya dia kepada Hakimie begitu
menebal sehingga dia tak suka berhadapan dengan lelaki itu.
Namun, petang ini dia terpaksa demi menjalankan amanah
yang diberikan oleh seorang wanita yang mengharapkan
pertolongannya.
Siapa wanita itu? Tidak pula dia hendak tahu dengan
lebih lanjut. Dia menegur pun kerana dia hairan melihat Eriza
yang terhendap-hendap bagaikan seorang pencuri. Ingatkan
pencuri betul-betul tadi. Tapi… masakan seorang wanita cantik
yang pandu kereta BMW itu seorang pencuri? Tak masuk
dek akallah, kan? Tapi kalau pengintip yang dihantar untuk
mengintip Star Properties Sdn. Bhd... itu mungkin juga.
Terkenangkan wajah Eriza yang sedikit keruh bila
dia berkata begitu, membuatkan dia tersenyum. Kelakar juga
rasanya. Kesian… tak pepasal wanita cantik yang baik itu
dituduh sebagai pengintip. Jahat betul otak Zara.
“Kalau awak masuk bilik saya ni sekadar untuk
termenung, baik tak usah datang. Saya takde masa nak tengok
awak termenung macam tu depan saya. Macam orang kurang
siuman aje tersenyum-senyum sorang diri.” Sedas Hakimie
menembak. Langsung tak peduli yang kata-katanya itu mampu
mencederakan hati orang lain. Main tembak aje.
Dengar saja ayat maha pedas daripada Hakimie, sertamerta
Zara tersedar dalam dunia khayalannya. Senyuman
di bibir mati dengan serta-merta. Dia menggigit bibir bawah
menunjukkan dia geram mendengar kata-kata Hakimie yang
lebih berupa penghinaan itu.
Mamat poyo itu kalau buka mulut saja pasti kata-kata
yang keluar dari mulutnya itu sesuatu yang menyakitkan. Itu
yang buat Zara benci sangat nak mengadap si Hakimie ini. Ini
pun, hanya kerana dia terpaksa demi amanah yang diberikan
oleh seorang wanita kepadanya.
“Ni… ada surat untuk Encik Hakimie.” Ujar Zara
sambil meletakkan sampul surat di atas meja Hakimie.
Mamat tu memang tak bertimbang rasa. Daripada Zara
masuk, sampai ke saat ini langsung tak dipelawanya duduk.
Naik lenguh kaki Zara berdiri tegak macam tu.
Berkerut dahi Hakimie melihat sampul surat yang
terletak elok di atas mejanya itu. Sampul surat dan wajah Zara
yang masih berdiri itu dipandang silih berganti.
“Tadi ada seorang wanita suruh saya hantar surat ni
pada encik. Katanya, dia teman lama Encik Hakimie.” Tanpa
disuruh, Zara menjelaskan kedudukan dari mana dia dapat
surat tersebut.
“Siapa?” Hanya ayat itu yang keluar dari mulut
Hakimie. Hatinya jadi tidak senang. Dia bagaikan sudah dapat
meneka siapakah gerangannya wanita yang dimaksudkan oleh
stafnya itu.
“Cik Eriza.” Laju dan penuh yakin Zara memberikan
jawapan.
‘Dah agak. Pastinya dia.’ Hati lelaki Hakimie berbisik.
Kemudian satu dengusan keluar dari mulutnya.
“Yang awak pergi ambil surat ni kenapa? Sejak bila
awak tukar profesion jadi posmen pulak? Setahu saya, syarikat
takde pulak lantik awak jawatan sebagai posmen.” Sindir
Hakimie penuh nada sinis.
‘Aduhai… sabarlah wahai hati! Lelaki ni memang
sengaja betul nak uji tahap kesabaran aku. Eiii… nak rasanya
aku cili-cilikan mulut dia yang tak berinsurans tu.’ Bentak Zara
di dalam hati. Sakit hatinya kepada Hakimie semakin menjadijadi
pula.
“Dah! Saya tak nak surat ni. Awak pergi ambil dan
buang dalam tong sampah.” Surat yang terletak di atas meja itu
langsung tidak diusiknya.
“Tapi Encik Hakimie… surat tu Cik Eriza mintak saya
sampaikan dekat encik. Tak baik tau encik tak baca surat tu.”
Amboi… Zara. Berani juga nak menjawab dan ingkar
arahan tuan ketua ya. Dah lupakah yang lelaki itu garang seperti
singa jantan? Nak rambut Encik Hakimie tu mengerbang
macam raja singa baru nak diam ke? Menjawab aje kerjanya.
“Sekarang ni siapa ketua awak? Saya atau Cik Eriza
tu?”
Zara mengetap bibirnya.
“Saya tanya awak ni? Siapa ketua awak?” Kali ini
Hakimie bertegas. Nadanya kedengaran keras sekali menerpa
cuping telinga Zara.
Dalam malas-malas Zara akhirnya menjawab, “Encik
Hakimie la.”
“Hah… tahu pun. Yang awak tak dengar arahan saya tu
kenapa? Awak nak melawan ye?”
Zara menggelengkan kepalanya. Namun dalam hati dia
sudah mula membebel marah.
‘Ikut hati ni, memang nak melawan. Kau tu kaki
pembuli. Nasib baiklah aku kena fikir pasal prestasi kerja.
Dahlah zaman sekarang ni nak cari kerja punya main susah.
Kalau prestasi kerja tak elok, takut kena buang kerja pula.’
“Tahu pun zaman sekarang ni susah nak cari kerja.
Oleh sebab tu… jangan sesekali awak berani nak melawan cakap
saya. Saya penilai prestasi kerja awak.” Sambung Hakimie lagi.
Terkejut Zara mendengar ungkapan kata lelaki itu.
‘Haish… tahu-tahu saja dia apa yang aku gumamkan dalam
hati. Macam nujum pak belalang pulak.’
“Dah! Buang surat tu. Saya tak nak surat tu menyemak
atas meja saya.”
Akur dengan arahan ketuanya, Zara mengambil semula
surat Eriza yang diletakkan di atas meja Hakimie. Kasihan Eriza.
Bersusah payah dia tulis surat untuk Hakimie, namun sedikit
pun lelaki itu tidak mahu membaca isi di dalamnya. Kejam!
“Pastikan awak buang surat tu betul-betul. Saya tak
nak ada yang baca surat tu nanti. Jika itu terjadi… saya akan
pastikan awak tak akan hidup dengan senang.” Pesan Hakimie
dengan wajah serius.
Glup! Cuak pula Zara mendengar pesanan penaja
ketuanya itu. Nampak macam kes serius sahaja sampai begitu
sekali pesanan yang ditajanya. Tidak mahu membuang masa
dengan lebih lama di bilik Hakimie, pantas Zara keluar dengan
perasaan yang sebal. Beginilah perasaannya setiap kali keluar
dari bilik Hakimie. Sentiasa nak marah-marah saja.

No comments:

Post a Comment