Dulu
Aku pandang diriku
Kekasih yang setia
Tak pernah berdusta
Aku pandang diriku
Kekasih yang setia
Tak pernah berdusta
Kini
Aku mulai merasa
Sedap hati mendua
Perlahanku tinggalkan kamu
Aku mulai merasa
Sedap hati mendua
Perlahanku tinggalkan kamu
Tapi
Semakin jauh aku
Semakin aku rindu
Rindukan kamu
Menyesal aku putuskan kamu
Kerna ternyata aku tak mampu
Menahan siksa azab cintamu
Aduh aduh mana tahan batinku
Semakin jauh aku
Semakin aku rindu
Rindukan kamu
Menyesal aku putuskan kamu
Kerna ternyata aku tak mampu
Menahan siksa azab cintamu
Aduh aduh mana tahan batinku
……………………………
Klangit
– Sesal Mendua
DHIA
melepaskan sebuah keluhan berat. Lirik lagu itu dirasakan amat kena dengan
situasinya kini. Saat ini, dia begitu rindukan Harriz. Teringat kenangan indah
bersama lelaki itu. Jika dulu, Harriz la yang sering ada di sisinya ketika dia
memerlukan teman untuk berbicara. Tapi kini… dia sunyi tanpa Harriz di sisi.
Hendak berjumpa dengan Harriz, Dhia belum ada
kekuatan untuk bersemuka dengan lelaki yang pernah dikecewakan hatinya itu. Dia
tak tahu bagaimana hendak berdepan dengan Harriz. Tak tahu apa yang perlu
diperkatakan setelah apa yang dia lakukan pada Harriz tiga tahun lalu. Dek
kerana terlalu percayakan Justin, lelaki yang berasal dari Perth, Australia
itu, akhirnya Dhia meninggalkan Harriz. Sedangkan ketika itu Harriz sudah
hantar rombongan meminang dirinya di kampung. Tanpa rasa bersalah Dhia meminta
arwah ayahnya menolak pinangan daripada keluarga Harriz.
Ketika itu memang arwah ayah amat marah dengan
tindakan Dhia yang dirasakan langsung tak masuk dek akal. Namun amarah ayah
tidak diihiraukan sama sekali oleh Dhia. Dhia mabuk dengan amukan cinta Justin
yang sudah berjanji akan menikahinya bila Dhia sudi mengikutnya nanti. Akan
sentiasa menyayanginya sampai bila-bila. Dan dengan senang hati juga Dhia telah
mengikut Justin ke Australia dan tinggal serumah dengan lelaki itu.
Dhia lupa pada Allah. Dia lupa bahawa dia orang Islam.
Dhia lupa pada pahala dan dosa. Dia lalai sehingga terhasut dengan bisikan
syaitan dan terlalu ikutkan nafsu. Sehingga dia merelakan lelaki berlainan
agama dengannya itu membelai segenap inci tubuhnya. Dan yang paling
menjijikkan, dia pernah sekali menggugurkan kandungannya atas permintaan
Justin. Konon Justin belum bersedia mahukan anak. Masih mahu berdua-duaan
dengan Dhia. Dhia yang mabuk cinta masa itu hanya menurut sahaja keinginan
kekasih hatinya itu.
Dhia meraup wajahnya berkali-kali. Terasa dirinya
begitu bodoh kerana terlalu mempercayai kata-kata auta Justin selama ini. Dia
serahkan segala-galanya kepada Justin, namun lelaki itu hingga ke saat ini pun
tidak sudi menikahinya. Bukan sahaja tidak mahu menikahinya, malah sehingga ke
saat ini Justin masih tidak menukar agama asalnya. Dia sahaja yang
tergila-gilakan Justin. Sedangkan Justin, lelaki itu hanya membuat dia sebagai
pelepas nafsu semata-mata. Jijik sungguh Dhia bila mengenangkan hubungan
terlarangnya bersama Justin selama ini. Bagaimana Justin mencumbui segenap inci
tubuhnya. Jika boleh dibasuh dengan tanah merah, sudah lama dia menyucikan semula
tubuhnya yang kotor itu.
Dan ketika ini, rasa rindu terhadap Harriz begitu
menyeksa jiwanya. Membuatkan air matanya mengalir membasahi pipi. Kalaulah dia
tidak terlalu ikutkan kata hati, sudah tentu kini dia bahagia sebagai isteri
Harriz. Sudah tentu Harriz memberikan dia kasih sayang yang tak berbelah
bahagi.
“Dhia…” sentuhan lembut pada bahunya membuatkan Dhia
berpaling kepada wanita pemilik suara serak-serak basah itu.
Cepat-cepat Dhia mengesat air matanya.
“Kenapa ni? Apasal kau menangis?” tanya Azura yang
sudah melabuhkan punggung di sebelah Dhia. Wajah sahabatnya itu ditenung. Sejak
kembali semula ke Malaysia seminggu yang lalu, Dhia sering sahaja mengelamun.
Rasanya Azura tahu apa yang bermain dalam fikiran temannya itu. Cuma dia tak
mahu bertanya dengan lebih lanjut lagi. Biarlah Dhia menenangkan perasaan dulu.
Azura yakin Dhia pasti akan menceritakan segala-gala kepadanya juga nanti.
Dhia melepaskan keluhan. Seminggu berada di tanah airnya
ini, seminggu juga dia dipukul ombak rindu terhadap Harriz Tan Sri Hamdan. Dia
ingin memendam rasa hatinya, namun kesakitan yang dirasa sudah tidak
tertanggung lagi. Dia perlukan seseorang untuk mendengar luahan hatinya.
Kalaulah arwah ayah masih hidup, tentu arwah ayah
akan menempelaknya atas kebodohannya itu.
“Aku… aku rindukan Harriz, Zura. Terlalu rindukan
dia,” luah Dhia. Dia sudah tidak terdaya hendak memendam parasaannya itu lagi.
Dia benar-benar rindukan Harriz. Lelaki yang begitu setia menyintainya. Namun
dengan tegar dia melukakan hati Harriz.
Azura menghela nafas. Sudah ditebak memang perkara
inilah yang membuatkan Dhia diam membisu sejak kembali ke Malaysia. Bukannya
dia tak tahu apa yang telah terjadi pada hubungan cinta Dhia dengan Harriz.
Tiga tahun lalu, Dhia begitu bahagia bersama Harriz. Sehinggalah lelaki bernama
Justin itu hadir dan membuatkan Dhia lupa pada cintanya terhadap Harriz. Dek
kerana mabuk cinta, Dhia sanggup meninggalkan Harriz dan pergi mengikut Justin
ke luar negara. Langsung Dhia tidak menghiraukan Harriz yang begitu setia
menyintainya.
Sejak dari hari itulah, Azura mendapat tahu Harriz
sudah berubah. Seratus peratus berubah! Harriz berubah menjadi lelaki yang suka
mempermainkan perempuan sehingga Harriz digelar sebagai playboy nombor satu di Kuala Lumpur. Teman wanita keliling pinggang.
Begitu hebat penengan cinta Dhia sehingga Harriz berubah menjadi seperti itu.
“Aku tau aku bersalah, Zura. Tapi… aku tak boleh nak
tipu perasaan aku sendiri. Aku rindukan cinta dan kasih sayang Harriz,” luah
Dhia lagi. Air mata yang dikesat tadi mengalir kembali. Kali ini dia sudah
tidak kisah menangis di hadapan Azura. Dia mahu melepaskan semua.
Azura mengenggam jemari Dhia yang lembut.
“Kalau macam tu kau pergilah jumpa Harriz, Dhia. Mintak maaf daripada dia,” cadang Azura.
Dia juga kesian pada Dhia. Lagipun
dia yakin Dhia sudah insaf dengan apa yang talah dia lakukan dulu terhadap
Harriz. Jika tidak, takkanlah sampai begini penyesalan Dhia kerana tindakan
bodohnya dulu.
“Tapi macam mana kalau Harriz tak nak jumpa aku? Aku
takut, Zura. Takut Harriz tak nak bersemuka dengan aku. Aku pernah lukakan hati
Harriz. Mahukah dia berjumpa dengan aku lagi?”
“Kau cubalah dulu, Dhia. Mana tahu Harriz mahu
berjumpa dengan kau. Belum cuba belum tahu.”
Dhia mengesat air mata. Hatinya berbelah bahagi. Tak
tahu apa yang perlu dia lakukan. Namun jauh dalam lubuk hati, dia terlalu ingin
bersemuka dengan Harriz. Meluahkan kerinduan yang terpendam dalam hatinya.
“Kau temankan aku jumpa Harriz, Zura. Boleh tak?” pinta
Dhia.
Azura cuma mengangguk. Tak salah untuk dia menemani
Dhia untuk bertemu dengan Harriz. Manalah tahu cinta sahabatnya dengan Harriz
akan berputik kembali.
***************************************************************************
HARRIZ
mengerut kening. Ni siapa pulaklah
yang main-main? Sekejap-kejap menelefon. Bila dia jawab, tak nak pula bercakap.
Diam macam orang bisu. Ini sah ada orang yang hendak berkenalan dengan aku yang
hensem menawan. Tapi sorrylah. Hati aku ni dah ada yang
punya. Tak lama lagi nak bergelar suami orang. Pilih orang lain aje ye. Aduh… Harriz sudah mula perasan
tahap gaban. Masuk bakul angkat
sendiri!
Sekali lagi Samsung Galaxy Notenya mengeluarkan
irama yang sama. Dia memerhatikan nombor yang keluar melalui skrin. Nombor yang
asing baginya. Juga tak sama dengan nombor yang tadi. Mungkin pemanggil yang
sama dengan nombor yang tadi. Sengaja guna nombor lain sebab dah dua panggilan
nombor itu yang dibiarkan sepi. Malas nak jawab panggilan daripada orang yang
tak tahu bercakap. Bisu betul-betul karang
baru padan muka!
Talian tidak dijawab. Namun selang sesaat handphonenya berirama semula. Juga
nombor yang sama. Harriz mendengus. Cepat dia menekan butang hijau.
“Helo! Siapa ni? Kalau tak nak bercakap baik tak
usah telefon. Buat habis duit aje,” tanpa
mukadimah yang sedap didengar, Harriz terus menengking. Aduh… sejak bila Harriz
dah jadi mat sensitif ni? Marah-marah
tak tentu pasal. Sah! Ini mesti dah terjangkit dengan penyakit suka marah-marah
Balkish. Heheheee…
“Sayang… apesal marah-marah ni?” suara rengekan
manja dari corong sana kedengaran.
Harriz mengerut kening. Sayang? Hisy… ini bekas awek aku yang mana satu pulak ni panggil-panggil aku ‘sayang’?
“Sayang… ini I la. Amylia,” macam tahu-tahu apa yang
Harriz fikirkan, laju Amylia memperkenalkan dirinya. Di hujung sana dia sudah
ketawa manja. Entah apalah yang kelakar hingga membuatkan Amylia ketawa
kesukaan.
Harriz mengeluh. Alahai… Amylia rupanya. Apalah yang
perempuan sorang ini mahukan. Tak
sudah-sudah menelefon dirinya. Jika panggilan melalui telefon bimbit tidak
dijawab, wanita itu akan menelefon pula melalui talian ofis. Mujurlah Zatul setiausahanya itu bijak pandai orangnya.
Bermacam-macam alasan yang dia berikan kepada Amylia. Zatul pun sekarang dah
pandai kelentong. Sama otak dengan bosnya jugak. Heheheee…
Namun malam ini, nampaknya Harriz sudah tidak dapat
mengelak lagi.
“Sayang, kenapa senyap aje ni? You masih ada di
talian ke?” Sengaja Amylia melunakkan suaranya. Hendak menggoda hati lelaki
Harriz dengan suaranya yang lunak itu. Suaranya yang manja itulah yang sering
menggetarkan hati beberapa lelaki yang mendampinginya selama ini.
“Hmmm…” hanya itulah jawapan Harriz. Badannya
direbahkan di atas katil. Telefon bimbit masih melekat pada telinga.
“Sayang, I sekarang ni ada kat Beijing tau. I ikut
rombongan company. Bestnya dekat sini sayang… musim sejuk. Best kalau you ada sama,” beritahu
Amylia tanpa diminta.
Tak tanya pun. Jawab Harriz. Namun jawapan itu hanya
bergema dalam hatinya sahaja. Malas dia nak layan Amylia. Aduh! Kejamnya Harriz
ni! Dulu… Amylia itulah pujaan hati pengarang jantung. Sekarang ni nak dengar
suara Amylia yang merengek manja itu pun dia dah rasa loya. Harriz… Harriz… tak
patut sungguh!
Tapi… padan jugalah dengan Amylia yang terlebih
gatal itu. khakhakhakhakhakhakhakha…
“I dah tak sabar nak balik KL, sayang. Nak jumpa
you. I miss you so much! Dah lama
kita tak keluar sama. I rindu nak peluk lengan sasa you. Nak you belai rambut I,”
Amylia sengaja lagi mahu menggoda hati Harriz dengan menyebut kenangan mereka
bersama. Dia sudah nekad, hati Harriz akan ditawan semula. Tak mungkin untuk
dia melepaskan lelaki seperti Harriz. Kerana lelaki itu sahaja yang akan buat
dia berjaya mencapai apa yang diingininya.
“Huarghhh…”
sengaja Harriz buat-buat menguap besar. Sudah tak larat dia hendak mendengar
celoteh Amylia itu. Sedangkan belum sampai sepuluh minit Amylia berbual dalam
talian.
“Sayang… you mengantuk ke?”
“Ha’ah, Amy. I mengantuk sangat,” bohong Harriz.
“Awalnya you mengantuk, sayang. Selalunya you tak
tidur seawal ini. Sejak bila pulak you
tidur awal ni?”
“I penat sangat siang tadi. Itu yang buat I
mengantuk,” sekali lagi Harriz mencipta alasan. Asal dapat melepaskan diri dari
Amylia. Soalan Amylia langsung tidak dijawabnya. Suka hati dia la nak tidur
awal ke lambat.
“Okeylah kalau macam tu. You rehatlah.” balas Amylia.
Ada nada kecewa yang kedengaran.
“Okey Amy.
Take care tau dekat sana,” Harriz sudah menarik senyum panjang.
“Sayang, dua minggu lagi I akan balik KL. You datang
jemput I di KLIA ye time I balik
nanti,” pinta Amylia dengan manja.
Lamanya rombongan company Amylia buat holiday
di Beijing. Hmmm… ini holiday dengan
staf-staf company ke holidah dengan sugardaddy? Biasalah… Amylia tu kan
ramai yang ‘bela’.
Harriz melepaskan keluhan. Aduh… ada lagi.
“Okey!” pendek jawapan Harriz. Acuh tak acuh aje.
“Okey, bye
sayang. I love you,” gembira bukan
main lagi Amylia.
“Hmmm…” kejamnya Harriz. Hanya itu yang dijawabnya
dan dengan pantas dia terus menekan butang merah.
“Fuh…” lahir
bunyi itu dari mulut Harriz. Lega rasa hatinya bila talian sudah diputuskan.
Kali ini… nampak nombor yang tidak dikenali keluar melalui telefon bimbitnya,
sumpah dia tak akan jawab lagi.
Tok… tok… tok…
Bunyi ketukan pada permukaan pintu memaksa Harriz
bangun dari baringnya. Terjengul kepala Hanni dari muka pintu. Tersenyum-senyum
macam kambing betina.
“Boleh Hanni masuk?” pinta Hanni.
“Hmmm… masuklah Cik Hanni oi. Selalu tu main rempuh aje masuk bilik Abang Riz. Hari ni mintak permission pulak,” selamba
aje Harriz membalas.
Hanni tayang sengih. Punggungnya dilabuhkan di atas single sofa yang terdapat dalam bilik
bujang abangnya itu. Nama saja bilik bujang, tapi hiasannya macam bilik orang
yang dah beristeri. Lengkap segala-galanya. Abang Harriz ni memang mementingkan
kualiti dan kekemasan. Bukan macam dia yang main ‘hentam sajalah…’
“Siapa yang call?
Macam layan tak layan aje Hanni
tengok Abang Riz menjawab. Muka macam belacan tumis,” tanya Hanni yang memang
suka lepak-lepak dalam bilik abangnya itu. Sejak abangnya tidak lagi keluar
malam, Hanni merupakan pengunjung setia yang selalu datang ke biliknya untuk
berbual-bual.
“Owh…
Hanni intai Abang Riz, ye? Curi-curi
dengar ye… dah tu boleh pulak sesedap rasa kata muka Abang Riz ni
macam belacan tumis. Macam ini punya hensem
bergaya Abang Riz, Hanni nak samakan dengan belacan. Tak patut… tak patut!”
Harriz menggeleng-gelengkan kepalanya berulang kali.
“Heheheee… alaaa… tak sengajalah. Bukannya nak curi
dengar pun. Terdengar,” ujar Hanni. Manja bunyi suaranya itu.
“Siapa yang call?”
soal Hanni lagi setelah pertanyaan sebentar tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan.
Selagi dia tak tahu siapa yang menelefon, selagi itu dia hendak tahu. Biasalah
Hanni… penyibuk!
“Amylia.”
“Amylia yang seksi giler tu ke? Yang pakai
baju tak pernah nak cukup kain tu?”
soal Hanni lagi. Setahunya, jika Amylia itu yang dimaksudkan oleh abangnya itu,
orangnya memang seksi gila. Baju memang tak pernah cukup kain. Geli mata Hanni
melihat gelagat awek abangnya yang
seorang itu. Sudahlah seksi melampau-lampau, gatal pun tahap tak tahu malu. Dua
kali lima dengan Syarifah Ezora. Cuma yang membezakan Amylia dengan Syarifah
Ezora adalah mama sukakan Syarifah Ezora dan benci sangat dekat Amylia.
Heheheee…
Biasalah mama… kan Syarifah Ezora itu bakal menantu
tak jadi kesayangannya.
Tersenyum Harriz mendengar komen adiknya itu.
Perlahan Harriz mengangguk.
“Euuww…
apa dia nak call Abang Riz? Abang Riz
jangan nak buat hal lagi ye. Tinggal
dua minggu aje lagi majlis akad nikah
akan berlangsung. Abang Riz jangan nak mengada-ngada nak layan Amylia tu lagi.
Ingat… Abang Riz. Abang Riz tu dah nak jadi suami orang tau,” Hanni sudah jadi
seperti mak nenek. Membebel memberi peringatan kepada abangnya itu. Dia tak nak
Harriz kembali kepada perangai lamanya.
“Iye la
mak cik oi. Abang Riz ingat.”
“Good!”
Balas Hanni yang sudah buat aksi bercekak pinggang. Tak sabar rasanya dia
hendak melihat abangnya itu dalam pakaian pengantin. Tentu bertambah hensem. Kihkihkihhh… Gigit jarilah bekas
awek-aweks Abang Riz lepas ni.
Kemudian Hanni ketawa lagi. Kali ini tanpa sedar ketawanya terlepas keluar.
Ingat nak ketawa dalam hati, tak sangka boleh terlepas keluar dengan bunyi yang
kuat.
“Haih…
yang ketawa tak pasal-pasal ni, kenapa pulak?”
tanya Harriz dengan kening yang diangkat sebelah. Dah macam kening Ziana Zain
pula. Tapi versi lelakilah.
“Takde apelah Abang Riz. Hanni cuma
terbayangkan muka sorang-sorang bekas
aweks Abang Riz yang gigit jari bila
dapat tahu Abang Riz kahwin nanti. Tentu ramai yang frust menonggeng. Kesian…”
Hanni ketawa lagi sambil kepalanya digeleng-geleng. Sukanya dia!
Harriz hanya menarik senyuman segaris mendengar
komen adiknya itu. Bukan awek-aweknya
sahaja yang frust menonggeng, mama
dengan Auntie Elina pun frust menonggeng juga dengan berita
pernikahannya itu. Dengar cerita, Auntie
Syarifah Elina mengamuk sakan bila dapat tahu Harriz akan bernikah dengan
pilihan hatinya awal bulan depan. Sampaikan mak datin seorang itu langsung tak
mahu tegur mama. Kononnya, mama tak berkeras memaksa dia untuk berkahwin dengan
Syarifah Ezora.
Alamatnya… hubungan persahabatan mama dengan Auntie Syarifah Elina yang kononnya
terjalin sejak dari kecil itu terputus. Semua disebabkan kesombongan Datin
Syarifah Elina sendiri yang sudah tak nak tegur mama. Mama pula yang memang
terkenal dengan sikap keras hatinya itu terikut sama rentak sahabat baiknya
itu. Juga melancarkan perang dingin dengan Datin Syarifah Elina. Mama ikut sama
tarik muka. Namun, dalam masa yang sama mama tetap masih melancarkan mogok
dinginnya terhadap Harriz.
Mama dengan Auntie
Syarifah Elina! Macam budak-budak. Main putus-putus kawan! Mujurlah papa dengan
Datuk Syed Rahman masih berkawan baik. Malah Datuk Syed Rahman dengan ikhlas
menyatakan sudah tiada jodoh di antara Harriz dengan anaknya itu. Apa boleh
buat. Mungkin ada lelaki lain yang sudah ditetapkan untuk Syarifah Ezora.
“Mama pun frust
menonggeng jugak. Kesian mama,” ujar
Harriz perlahan. Namun kata-katanya itu mampu didengar oleh Hanni hingga
membuatkan gadis manis itu ketawa kecil.
“Bukan mama aje
tau, Abang Riz. Auntie Syarifah
Elina, Kak Hanna dengan Kak Ezora pun frust
menonggeng jugak dengan keputusan
Abang Riz ni. Kesian...” tambah
Hanni. Ayat ‘kesian’ yang keluar dari mulutnya sengaja dipanjangkan. Sambil
kepala digeleng berkali-kali. Konon simpatilah dengan nasib insan-insan yang
terluka hatinya itu. Sedangkan bibir Hanni sudah melorek senyuman mengejek.
Harriz mengangguk-angguk. Sebenarnya jauh dalam
lubuk hati, dia sedih melihat kekecewaan mamanya itu. Namun apakan daya,
perasaan cintanya tak boleh dipaksa-paksa. Dia begitu cintakan Balkish. Tak
mungkin untuk dia berkahwin dengan Syarifah Ezora atau orang lain selain
Balkish.
“Abang Riz tak patut buat mama macam tu. Tapi… dalam
masa yang sama Abang Riz begitu cintakan Balkish. Abang Riz tak boleh nak
kahwin dengan Syarifah Ezora,” Harriz meluahkan isi hatinya.
Hanni sekadar mengangguk. Perlahan dia melangkah
lalu duduk di birai katil abangnya. Badannya diiringkan mengadap Abang
Harriznya yang masih baring beralaskan tangan.
“Alaaa… nanti-nanti mama okey la tu. Abang Riz
bukannya tak tau sikap mama. Mama tu kalau marah kejap je.”
“Tapi macam mana kalau mama tak dapat nak terima
Balkish bila kami dah kahwin nanti?”
“Alaaa… Abang Riz jangan risaulah. Hanni yakin mama
pasti akan jatuh sayang pada Kak Kish. Mama tu bukannya apa Abang Riz. Mama tu
dah fobia dengan kejadian yang pernah jadi dekat Abang Riz dulu. Ingat tak dulu
kes mama dengan papa pergi meminang Kak Dhia. Bukan main happy lagi mama dengan papa pergi meminang Kak Dhia untuk Abang
Riz, alih-alih Kak Dhia tolak pinangan tu macam tu aje. Tanpa rasa bersalah langsung. Sampaikan keluarga kita jadi
buah mulut orang sebab pinangan Abang Riz yang kena tolak tu. Sebab tu mama tak
nak kejadian yang sama berulang semula. Mama takut hati Abang Riz akan kecewa
lagi,” jelas Hanni.
Biarpun dia tidak bersetuju dengan tindakan mama
yang mahu menyatukan abangnya dengan Syarifah Ezora, namun dia tidak mahulah
hubungan abang dan mamanya renggang dan sedingin salju. Mama bukannya kejam
mana pun. Cuma kejadian lalu membuatkan mama lebih berhati-hati dalam memilih
bakal menantu. Lagipun, Abang Harriz la satu-satunya anak lelaki mama. Tentulah
mama mahukan isteri yang terbaik buat abangnya itu.
“Tapi Balkish tak sama dengan Dhia.”
Hanni cuma mengangguk.
“Itu orang tahu. Abang Riz banyak-banyaklah berdoa.
Minta pertolongan daripada Allah. Insyaallah, Allah akan menolong hambanya yang
berada dalam kesusahan,” bagai ustazah pilihan Hanni memberi kata semangat.
Harriz mengangguk. Adiknya itu, cukup matang dalam
pemikiran.
**************************************************************************
PUAN SRI HANUM
menghenyakkan punggungnya yang berisi itu di atas katil. Wajahnya masam
mencuka. Dia membantah keputusan yang telah diambil oleh suaminya tempoh hari.
Namun suaminya langsung tak ambil peduli. Membuatkan dia melancarkan mogok tak
mahu bercakap dengan suaminya itu.
Dari ekor mata, Tan Sri Hamdan mengerling perilaku
isteri kesayangannya. Bukan main panjang lagi muncung isterinya itu. Kalau
disukat dengan kayu pengukur, entah-entah dah sampai sepuluh sentimeter panjang
muncung isterinya. Hmmm… boleh tahan panjang juga tu. Tanpa sedar dan dapat
ditahan-tahan, tawa kecil Tan Sri Hamdan terlepas juga. Sepantas itu juga Puan
Sri Hanum membuang pandangan ke arah suaminya. Terkejut dia mendengar tawa
suaminya yang jelas pada pendengarannya itu.
Pantas Tan Sri Hamdan menekup mulutnya. Jelingan
tajam isterinya memaksa dia supaya berhenti ketawa.
“Yang abang gelak-gelak ni kenapa?” gumam Puan Sri
Hanum marah. Dia yakin pasti suaminya itu sedang mempertawakan dirinya.
“Eh… mana ada.” nafi Tan Sri Hamdan.
“Yang tadi tu.”
“Owh… abang ketawa baca buku ni,” sambil menunjukkan
buku berkaitan dengan dunia perniagaan itu kepada isterinya yang masih menarik
muncung.
“Jangan nak bagi alasan ye bang. Ini buku pasal dunia niaga. Takde yang kelakar. Saya tahu abang tengah gelakkan saya. Ingat…
kita masih dalam perang lagi ni.”
Tan Sri Hamdan hanya tersenyum lebar. Baru dia
perasan bahawa buku yang ditunjukkan kepada isterinya itu berkisar dunia
perniagaan. Mana ada yang lawak jenaka segala. Lainlah kalau baca buku
gila-gila.
“Awak belum habis lagi ke lancar mogok awak tu
dengan saya?”
Puan Sri Hanum tidak menjawab. Sebaliknya dia
buat-buat sibuk dengan menyapu losyen ke tangannya. Begitulah rutin hariannya
sebelum tidur. Pasti mengulit tubuhnya dengan losyen untuk memberikan kelembutan
dan kesegaran pada tubuhnya yang kian dimamah usia.
“Tak boleh ke awak bertolak ansur sikit dengan
Harriz tu? Apa salahnya dia pilih Balkish sebagai isterinya. Abang tengok
Balkish tu baik budaknya. Tak salah kalau dia jadi menantu kita.”
Puan Sri Hanum mencebikkan bibir mendengar pujian
suaminya itu.
“Hanum sendiri tengok masa kita datang meminang hari
Sabtu lepas, kan. Balkish tu sopan santun orangnya. Sepatutnya awak kena bangga
dapat bakal menantu macam tu.”
“Sudahlah bang. Boleh tak jangan cakap pasal tu
lagi? Sakit tau hati saya ni. Abang tu… asyik nak sebelahkan perempuan tu pasal
apa? Abang kenal sangat ke dengan dia? Takde
maknanya nak bersopan santun. Saya tetap tak suka. Asal usul entah dari mana tah. Kita sendiri tak tau.”
Satu keluhan keluar dari mulut Tan Sri Hamdan. Lalu
majalah dunia niaga itu diletakkan atas meja sisi tepi katil.
“Tak baik cakap begitu. Awak sendiri tengok keluarga
Balkish waktu kita pergi meminang tempoh hari. Dia ada emak, nenek dan kakak.
Keluarganya dari orang baik-baik aje
abang tengok. Tak ada apa yang patut awak risaukan lagi.”
“Iye la tu.
Abang tak nampakkah cara layanan emak dengan nenek dia tu? Nampak sangat yang diorang pun tak sukakan perempuan tu.
Acuh tak acuh aje diorang melayan. Saya nampaklah, bang.
Entah-entah dia tu bukan anak yang baik. Pasal tu emak dengan nenek sendiri pun
layan macam tu,” komen Puan Sri Hanum. Memang itulah yang dilihatnya di hari
dia dengan suaminya meminang Balkish untuk Harriz. Emak dengan nenek Balkish
langsung tak mesra dengan gadis itu. Mahu tak mahu sahaja mereka melayan
Balkish. Cuma wanita bernama Batrisya itu sahaja yang nampak begitu gembira
ketika itu. Sedangkan emak dengan nenek Balkish cuma berpura-pura sahaja.
Menggeleng kepala Tan Sri Hamdan mendengar komen
isterinya itu.
“Tak baik awak cakap begitu. Itu fitnah namanya.”
“Abang… saya bukan suka-suka nak cakap tau. Dari
cara layanan diorang tu pun saya dah
tahu. Nampak sangat yang diorang cuma
berpura-pura rasa gembira.”
Tan Sri Hamdan menggeleng lagi.
“Saya kecewa sangat dengan Harriz tu. Entah apa
kurangnya Ezora sampai Harriz sanggup pilih perempuan tu jadi isteri. Kesian Ezora… gara-gara Harriz, dia
kecewa sangat. Gara-gara tu juga hubungan persahabatan saya dengan Elina
berantakan. Abang tahu apa? Asyik nak sebelahkan anak aje.”
“Hubungan awak yang berantakan dengan Elina tu bukan
disebabkan Harriz. Awak dengan Elina yang bertindak seperti budak-budak.
Bermasam muka tak kena tempat. Cubalah matang sikit. Awak tu dah jadi nenek
tau. Kalau Elina lancar perang dengan awak, awak janganlah lancar perang jugak. Buat tak tahu aje,” pelik sungguh Tan Sri Hamdan
dengan sikap isteri dan isteri sahabat baiknya, Datuk Syed Rahman itu.
Disebabkan tidak jadi berbesan, kedua wanita itu saling menarik muka. Malah,
langsung tak nak bertegur sapa.
“Huh! Tak nak saya. Elina tu yang kebudak-budakan.
Saya dah kata dekat dia yang saya masih boleh pujuk Harriz. Tapi abang tau apa
yang dia buat… habis satu persatuan Zumba dia bagitau pasal Harriz yang nak
kahwin dengan perempuan entah mana-mana tu. Sakit tau hati saya ni. Nasib
baiklah saya kenangkan Ezora. Kalau tidak…” Puan Sri Hanum sudah mengepal
penumbuknya. Aksinya ini membuatkan Tan Sri Hamdan mengekek ketawa.
Puan Sri Hanum mendecit. Geram pula dia dengan
suaminya yang sering mempersendakan kata-katanya itu.
“Dahlah! Saya malas nak cakap dengan abang. Bukannya
abang nak percaya pun apa yang saya cakap. Kita tengok ajelah nanti, baik sangat ke bakal menantu abang pilihan abang tu.
Saya yakin… perempuan macam tu cuma mahukan harta anak kita aje..” seraya itu tubuhnya yang agak
berisi dihempas lembut atas tilam. Malas benar dia hendak bercakap dengan
suaminya sekarang. Ada sahaja yang tak kena. Bosan betul!
Tan Sri Hamdan menjungkit bahu. Hai la Hanum… dah
tua-tua pun masih nak merajuk. Mengalahkan budak kecil. Komen Tan Sri Hamdan
dalam hati. Bibirnya yang sedikit kemerahan itu melakar senyuman segaris. Andai
kata Puan Sri Hanum tahu apa yang ada di sebalik pernikahan anak mereka itu,
pasti isterinya bertambah mengamuk dan sakit hati. Disebabkan itulah Tan Sri
Hamdan mengambil langkah untuk mendiamkan diri daripada menceritakan hal yang
sebenar. Biarlah dia seorang sahaja yang mengetahuinya.
No comments:
Post a Comment