DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 10



“HAI…” satu suara kedengaran menyapa dengan lembut lagi romantis.
Teguran itu membuatkan Balkish mendongak. Mujur dia tak terjatuh dari kerusinya kala melihat tuan punya suara yang sudah tersenyum dengan senyuman menggoda kalbu itu. Iye la tu… menggoda kalbulah sangat!
‘Hisy… apa pulak yang dia buat dekat sini ni? Buat aku bad mood aje la dia ni! Baru hari pertama kerja dia dah munculkan diri. Tak bolehkah dia biarkan hidup aku senang sikit? Aduh… migrain pulak aku tetiba.’
“Encik Harriz? Heee… Encik Harriz buat apa di sini?” soal Balkish yang sudah mula gusar dengan kehadiran mengejut Harriz itu. Cuti selama empat hari itu membuatkan dia hampir lupa pada suara lelaki yang sering kali menganggu hidupnya kini.
‘Alahai… bala ni! Kalau aku ada magik… mahu rasanya aku hilangkan diri saat ini jugak. Tak payah nak berdepan dengan lelaki yang tak pernah faham bahasa ini. Kan aku dah reka cerita yang kulit aku ni tak boleh terkena kelopak-kelopak bunga ros. Lagi nak bagi bunga dekat aku. Huhuhuuu… Entah bahasa apa lagilah yang aku nak cakap dekat Mr. Alligator ini supaya dia faham yang aku tak nak diganggu!’
Saje… jumpa you. I dah lama tak jumpa you. Rindu sangat pada you,” Harriz dengan ramah bersuara. Kemudian dia menghulurkan sejambang bunga ros yang telah digubah dengan begitu indah di atas meja Balkish.
Bulat mata Balkish melihat Harriz dengan selamba meletakkan jambangan mawar itu di atas mejanya. Aduh… lelaki ni betul-betul tak faham bahasa. Dia nak aku cakap dalam bahasa Tamil baru nak mengerti agaknya. Tapi masalahnya, aku pulak yang tak pandai nak berbahasa Tamil.
“Eh… apa ni Encik Harriz? Saya kan dah kata yang saya ni alergik pada bunga. Saya tak nak bunga ni. Nanti kulit saya gatal-gatal,” ujar Balkish. Dia sebenarnya bukanlah alergik pun pada bunga. Cuma yang buat dia jadi alergik dengan tiba-tiba tu sebab si pemberi bunga ni. Itu yang dia alergik tu!
“Tapi ini bunga plastik. Bukannya bunga segar pun. I masih ingat yang you kata you alergik pada kelopak bunga segar. Pasal tu I belikan you bunga plastik aje supaya kulit you tak terkena alergik. I harap you sudi menerimanya. Khas buat yang cantik manis,” ujar Harriz dengan ayat jiwa-jiwa. Mana mungkin dia lupa yang kulit Balkish tak boleh terkena kelopak bunga. Pasal itulah awal-awal lagi dia sudah menempah bunga ros plastik untuk bidadarinya itu. Supaya kulit Balkish yang putih melepak dan halus mulus itu tak mendapat alahan.
Balkish mengetap bibir. Hisy… nampaknya dia sudah tak boleh menolak lagi kali ini. Takkan dia nak kasi alasan yang sama juga sedangkan bunga plastik tak membawa sebarang kesan pun ke atas kulitnya. Mahu tak mahu kenalah dia terima dengan hati yang sebal.
“Terima kasihlah Encik Harriz,” malas-malas Balkish berkata. Jambangan bunga yang diberi oleh Harriz diletakkan sahaja di hadapan mejanya.
Suara ketawa kecil Kak Norma dan Siti membuatkan Balkish mengerling ke arah rakan-rakan sekerjanya itu. Amboi… bukan main suka lagi diorang ni. Kak Norma pula siap angkat ibu jarinya memberi isyarat ‘baik’ kepada Balkish.
“Kasih you dah lama I terima. You aje yang tak sedar,” spontan sahaja Harriz menjawab sambil mata langsung tak mahu lari dari memandang wajah Balkish.
Sedar wajahnya diperhatikan, Balkish buat-buat sibuk. Dia menyambung kembali tugasannya yang tergendala sebentar tadi disebabkan Harriz. Tapi dia tak boleh nak concentrate sebab ada sahaja mata yang memandang tingkahnya itu. ‘Cepatlah berambus oi! Tak selesa betullah ada mata yang tengok-tengok ni.’ gumam Balkish dalam hati.
“You apa khabar? Sihat tak?” tanya Harriz kepada Balkish. Mata masih juga tertumpu pada raut wajah Balkish yang putih bersih. Cantik kulit muka gadis itu. Langsung takde sebarang jerawat. Geram pula Harriz tengok.
“Alhamdulillah… saya sihat. Terima kasihlah sebab Encik Harriz ambil berat tentang saya,” Balkish sekadar berbasa-basi. Ikutkan rasa hati ni, malas sungguh dia hendak melayan kerenah Harriz buaya jadian itu. Menyesakkan fikiran betul.
“I memang sentiasa ambil berat pasal you. I tak boleh nak tengok you sakit atau bersedih. Kalau boleh, biarlah you sentiasa sihat dan ceria. Baru senang hati I ni,” Harriz  bermadah helah. Mahu membeli hati dan jiwa gadis manis itu dengan kata-kata romantiknya yang lembut itu.
Balkish cuba mengukir senyuman mendengar kata-kata Harriz itu. Sedangkan dalam hati rasa nak termuntah sahaja dia dibuatnya. Loya semacam! Uwek!!
“Encik Harriz datang ni nak jumpa Encik Fahmie ke? Kejap ye saya beritahu Encik Fahmie yang Encik Harriz dah sampai,” ujar Balkish yang sudah mahu menekan butang interkom. Dia sudah malas mahu mendengar kata-kata memikat Harriz itu. Rasa hendak terkeluar segala isi dalam lubang telinganya. Geli betul. Lagipun dia takut tahap kesabarannya akan pecah akibat terlalu lama melayan kerenah Harriz. Sudahlah dia memang tak sukakan Harriz ni.
“Eh takpe. I datang bukan nak jumpa Abang Mie. I nak jumpa you. Kalau Abang Mie tu… bila-bila masa pun I boleh jumpa dia,” halang Harriz.
Balkish tersengih. Butang interkom tidak jadi ditekannya.
“Macam mana cuti di kampung? Seronok?”
Husy… banyak pulak tanya buaya jadian ni.
Balkish sekadar menarik senyuma segaris. Kepalanya hanya dianggukkan bagi menjawab pertanyaan Harriz.
Bestnya you dapat balik kampung. Dulu waktu atuk dan nenek I sebelah papa masih ada, kami pernah jugak balik ke kampung papa di sebelah Perak. Tapi bila diorang dah takde, kami semua dah tak balik kampung lagi. Sambut raya pun dekat KL aje. Lain kali I harap dapat ikut you balik ke kampung you. Tentu seronok, kan?”
‘Eheh… ni apa kes pulak nak ikut balik kampung aku ni? Ingat dia tu siapa nak ikut-ikut aku pulak? Tak sedar diri betul Mr. Alligator ni!’ hati Balkish mendesis marah.
Balkish malas hendak menjawab. Cuma bibirnya sahaja dipaksa untuk tersenyum manis. Sedangkan jemarinya sibuk menaip kertas kerja yang Encik Fahmie berikan kepadanya tadi.
“You dah lunch ke?  Jom kita keluar lunch,” ajak Harriz.
Lunch?” soal Balkish. Buat-buat terkejut sakan. Macam tak tahu aje makna lunch dalam bahasa Melayu adalah makan tengah hari. Lagi mahu buat muka terkejut beruk betina. Jemari yang tadi rancak menari pada keyboard komputer terhenti.
Harriz mengangguk-angguk. Bibirnya masih lagi mekar dengan senyuman yang cukup manis. Pelik betul. Tak kejangkah urat-urat sekitar rahang lelaki itu asyik tersenyum begitu? Mungkin Harriz menyangka dengan tersenyum sebegitu hati Balkish akan cair agaknya. Macam hati ramai gadis yang bisa cair disebabkan senyumannya itu.
Sorry Encik Harriz. Saya banyak kerja nak kena buat ni. Empat hari bercuti, kerja melambak-lambak. Lagipun waktu lunch lagi sejam. Lain kali aje ye,” Macam biasa, Balkish pasti menolak. Mana mungkin dia akan keluar makan berdua dengan lelaki playboy itu. Nanti tak pasal-pasal terlihat dek salah seorang teman wanita Harriz, mampus dia dikerjakan. Kalau bukan sebab takut kelihatan oleh salah seorang aweks Harriz pun memang dia tak pernah sudi hendak keluar dengan lelaki itu.
“Alaaa… kerja tu you boleh tangguh dulu. Nanti I bagitau Abang Mie yang I bawa you keluar lunch. Tak jadi hal lah,” desak Harriz.
Ketika itu jugalah pintu bilik Pengurus Kewangan F&F Holdings terbuka luas. Terpacul wajah Fasha yang baru keluar dari bilik bosnya itu dengan wajah mencuka. Ini tak lain tak bukan mesti kena cuci telinga. Pasal tu buat muka macam rojak basi. Pelik betul dengan Fasha sejak kebelakangan ini. Datang kerja lewat. Balik kerja awal. Buat kerja salah. Dah tu rajin pula menghilangkan diri time-time pejabat. Itu yang Encik Fahmie panggil untuk memberi sedikit ceramah buat pekerja seksyennya yang seorang itu.
Sebelum berlalu ke tempatnya, Fasha sempat juga mengerling Balkish dengan pandangan yang menjengkelkan. Cemburu rasa hatinya bila rakan sepejabatnya itu sering mendapat perhatian daripada lelaki kacak idaman ramai, Harriz Tan Sri Hamdan. Dia yang lebih bergaya dan up-to-date daripada Balkish ini langsung tak dipandang dek Encik Harriz.
“Hai… Riz. Bila sampai?” kedengaran suara Fahmie menegur. Membuatkan Harriz dan Balkish menoleh dengan serentak. Lelaki berkemeja biru gelap itu baru keluar dari biliknya selepas memberi ceramah free pada Fasha. Sakit kepalanya bila ada stafnya yang tak memberi perhatian terhadap kerja.
“Baru aje,” balas Harriz pendek.
“Buat apa dekat sini? Kenapa tak masuk dalam bilik Abang Mie?” soal Fahmie lagi. Harriz ni tak lain tak bukan mesti tengah mengacau Balkish. Tengok dari muka Balkish yang tersenyum paksa itu pun dah dia tahu. Hurmmm… entah sampai bilalah Harriz ni nak mengganggu Balkish agaknya? Ini lagi seorang yang buat dia pening. Harriz Tan Sri Hamdan. Bertuah punya adik ipar!
“Riz cadang nak ajak Balkish keluar lunch. Tapi dia kata banyak kerja nak disiapkan. Ermmm… boleh tak Riz pinjam P.A Abang Mie ni kejap? Keluar lunch aje,” pinta Harriz pada Fahmie. Wajahnya sudah mintak simpati abang iparnya. Berharap sangat agar Fahmie akan memberinya kebenaran untuk membawa Balkish keluar makan.
Balkish menggigit bibir bawahnya. Geram betul dia dengan Harriz ini. Berani pula buaya jadian itu meminta kebenaran daripada Encik Fahmie. Aduh… janganlah Encik Fahmie benarkan. Aku tak nak keluar makan dengan si buaya ni. Hati Balkish mula berdebar-debar menanti jawapan daripada bosnya.
Fahmie mengerling jam tangannya. Baru pukul dua belas lima minit tengah hari. Biasanya waktu rehat bermula pukul satu.
“Bolehlah Abang Mie. Kejap aje okey? Janganlah kemut sangat dekat adik ipar sendiri,” pujuk Harriz. Bahu abang iparnya itu dipeluk.
Fahmie menggeleng-geleng. Harriz ni selagi tak diberi apa yang diingininya, selagi itulah dia nak memujuk. Tengok tu, muka dah mintak simpati separuh nyawa aje Fahmie tengok.
“Okey. Abang benarkan. Tapi Riz kena hantar Balkish sebelum pukul dua petang sebab Abang Mie ada kerja nak mintak tolong buat dengan Balkish tu. Boleh?” akhirnya Fahmie memberi kebenaran.
“Okey, set! Sebelum pukul dua Riz pasti akan hantar Balkish masuk ofis balik,” Harriz sudah bersuara riang. Bahu abang iparnya ditepuk perlahan.
“Errr… tapi Encik Fahmie. Saya masih ada kerja nak buat ni,” Balkish mula bersuara. Terasa musnah hidupnya bila bosnya itu memberi keizinan untuk Harriz membawanya keluar makan hari ini. Huhuhuuu… ini yang tak seronok bila Encik Fahmie sudah ikut kehendak adik iparnya ini!
Takpelah Balkish. Awak pergi la. Nanti sebelah petang awak sambung balik kerja awak tu. Lagipun kesian kat adik ipar saya ni. Dari dulu lagi nak keluar makan dengan awak. Nanti kempunan pula dia tak merasa keluar makan tengah hari bersama-sama awak,” dengan penuh diplomasi Fahmie berkata-kata. Betul-betul menunjukkan dia seorang bos yang baik kepada pekerja-pekerjanya.
‘Habis siapa pulak yang nak kesiankan aku ni? Aku lagi kesian jika nak dibandingkan dengan buaya jadian ni. Uwaaa….’
“Baiklah Encik Fahmie,” rendah nada suara Balkish menjawab. Mana mungkin dia bisa melanggar arahan yang diberikan oleh majikan yang baik seperti Fahmie. Mahu tak mahu, dia kena jugalah pergi keluar makan tengah hari dengan Harriz hari ini. Betul-betul hari ini dalam sejarah.
Harriz sudah tersengih panjang mendengar jawapan Balkish itu. Rasa tak sabar dia hendak keluar berdua dengan Balkish. Hari ini memang hari bertuah untuknya.
Come,” ujarnya kepada Balkish ketika gadis itu masih teragak-agak mahu bergerak.
Balkish mengeluh. Dia akhirnya bangun dari tempat duduknya setelah mengambil beg dalam kabinet. Ketika dia melalui meja rakan-rakan sekutunya, kelihatan senyuman lebar pada bibir rakan-rakannya itu. Kak Norma pula siap beri pesanan khas lagi untuknya. Geram betul!
“Ingat Riz. Abang Mie bagi peluang dekat Riz untuk mengenali Balkish. Tapi Riz jangan buat yang tak senonoh pulak tau,” pesan Fahmie kepada adik iparnya dalam nada yang perlahan.
Don’t worrylah Abang Mie. Riz tak akan buat yang tak baik dekat Kish. Riz pergi dulu ye. Thanks bro,” bahu Fahmie ditepuk perlahan.
Have a nice day, Encik Harriz. Good luck,” ucap Kak Norma kepada Harriz ketika lelaki itu melalui mejanya. Lina, Siti dan Suzila pula sudah mengekek ketawa kesukaan. Over pula minah-minah ni!
Harriz mengangguk sambil menaikkan ibu jarinya. Matanya dikenyit nakal ke arah empat wanita manis itu sebelum satu fly kiss diterbangkan buat Kak Norma, Lina, Siti dan Suzila. Huh… memang dasar buaya jadian betul si Harriz ni. Yang Kak Norma, Lina, Siti dan Suzila pun dua kali lima jugak. Bukan kain suka lagi diorang ketawa. Langsung tidak menghiraukan Balkish yang sedang diamuk rasa amarah dalam diam.
Rasa nak cekik aje leher Harriz ini! Biar sesak nafas. Keluh Balkish dalam hati.

***************************************************************************

BALKISH rasa kekok diperhatikan sebegitu. Hingga nak suap nasi ke dalam mulut pun dia jadi ragu-ragu. Mana tidaknya, mata Harriz langsung tak berkalih ke arah lain daripada memandang wajahnya. Macamlah wajahnya itu sebuah pameran untuk diperhatikan seasyik itu.
Hisy… ini yang aku lemah ni. Bisik hati kecil Balkish.
“Errr… Encik Harriz tak nak makan ke? Kenyang ke asyik dok tengok muka saya ni aje?” sinis Balkish menyindir. Geram betul dia bila Harriz tak sudah-sudah mahu merenungnya. Kata nak ajak keluar makan. Ini bukan makan lagi gayanya kalau dah asyik merenung muka aku aje sejak dari tadi. Buat aku pun rasa tak larat nak menelan walau sebutir nasi ke dalam mulut.
Harriz ketawa besar mendengar sindiran itu.
Sorry. Asyik sangat tengok muka you sampai I tak lalu nak makan. You cantik sangat hari ni Balkish. Warna baju kurung merah yang you pakai ni cukup sesuai dengan kulit you yang putih melepak tu,” akui Harriz.
Balkish menggigit bibirnya lagi. Entah sudah kali ke berapa dia asyik menggigit bibirnya untuk hari ini sahaja. Rasa boleh luka bibirnya itu akibat asyik digigit dari tadi. Ini semua Harriz punya pasal. Dalam hati dia sudah mengajuk percakapan Harriz yang memujinya itu. Dasar lelaki yang suka membeli jiwa. Memang ringan mulut sangat memuji.
“Kecantikan manusia ni hanya sementara aje, Encik Harriz. Bila-bila masa aje Allah boleh tarik balik kecantikan yang dia berikan kepada hamba-Nya. Sebab tu kita tak boleh taksub sangat pada kecantikan semata-mata,” ungkai Balkish. Masih lagi menyindir lelaki di hadapannya itu.
Harriz ketawa lagi. Balkish ni bukan sahaja cantik, malah bijak orangnya. Ini yang buat dia semakin sukakan Balkish. Selama ini dia jumpa ramai wanita cantik. Suka dan kembang hati bila dipuji. Tapi hakikatnya wanita-wanita itu tak cukup bijak hingga membolehkan dia jatuh cinta. Balkish wanita bijak yang buat dia semakin ingin memiliki. Bukan sekadar mahu main-main. Tapi untuk dijadikan teman hidup.
“You bukan saja cantik, tapi you jugak bijak. Itu yang buat I semakin sukakan you,” puji Harriz lagi.
Balkish menjulingkan mata ke atas. ‘Hisy dia ni! Asyik nak puji aku aje. Tak sedarkah yang aku sedang menyindir dia? Eiii… geram betul!’
Tanpa menghiraukan Harriz yang masih memandangnya itu, Balkish menyuap nasi ke dalam mulut. Lantak kaulah wahai sang buaya jadian. Tengoklah muka aku ni puas-puas kalau itu boleh buat kau kenyang. Aku dah malas nak layan. Makan lagi bagus dari asyik melayan kau. Lagipun perut aku dah lapar tahap gaban ni.
“Harriz?” tiba-tiba ada satu suara menegur.
Pantas Harriz mendongak. Dia kenal benar dengan suara perempuan yang baru menegurnya itu.
Begitu juga dengan Balkish. Dia pun ikut sama mendongak ke arah suara wanita yang baru sahaja menegur Harriz. Wanita bertubuh agak gempal dengan baju blaus hijau lumut itu memandang dia dan Harriz silih berganti. Tak berkedip mata wanita itu memandang ke arah mereka. Di samping wanita itu ada dua wanita muda yang bergaya seksi. Masam aje muka kedua wanita muda ini. Dah macam muka orang baru tertelan mangga muda pula.
“Eh… mama? Buat apa di sini?” tanya Harriz pada mamanya. Dia bangun dari duduk. Ternyata dia amat terperanjat dengan pertemuan tidak diduga itu. Tak sangka dia boleh terserempak dengan mamanya itu di Top Hat Restaurant hari ini. Sudahlah tu, bersama Hanna dan Syarifah Ezora pula.
Hah… ini sudah bagus. Tak payahlah aku nak main sembunyi-sembunyi lagi.
Air muka Syarifah Ezora nyata berubah bila melihat Harriz yang duduk semeja bersama-sama seorang gadis bertudung bawal hitam. Rasa macam hendak menangis pun ada ketika itu. Maklumlah… Harriz itukan lelaki idaman hatinya. Mana mungkin dia dapat menerima hakikat bahawa Harriz yang dipujanya itu sedang keluar makan berdua dengan perempuan lain selain dirinya yang lagi menawan ini. Jika bukan disebabkan dia control ayu depan Harriz dan Puan Sri Hanum, mahu diganyangnya perempuan bertudung itu. Baru puas rasa hatinya. Siapa suruh suka-suka keluar dengan pakwe orang.
Warghhh!!! Syarifah Ezora sudah meraung di dalam hati.
Eheh… perasaan benar si Syarifah Ezora ini. Bila masa pula Harriz buat pengumuman ambil kau jadi  girlfriend dia? Kau tu aje yang terhegeh-hegeh. Tak malu! Perasan! Ejek satu suara halus. Menyemarakkan lagi rasa geram Syarifah Ezora terhadap gadis di hadapan Harriz itu.
“Singgah makan la. Harriz tu buat apa di sini? Takde kerja ke?” sarkastik Puan Sri Hanum menjawab. Sambil itu dia juga sempat bertanyakan soalan kepada anak bujangnya itu. Wanita yang duduk di hadapan Harriz dipandang sekilas lalu. Mungkinkah ini wanita yang dimaksudkan Harriz kepadanya tempoh hari? Otaknya ligat memikirkan kata-kata Harriz beberapa hari lalu.
“Kan lunch time. Riz keluar makanlah, ma. Takkan keluar shopping pulak kat Top Hat Restaurant ni,” laju Harriz menjawab sambil cuba bercanda. Kalau mamanya singgah ke sini untuk lunch, begitu juga dengan dirinya.
Harriz sedar jelingan ekor mata mamanya yang sekejap-kejap melirik ke arah Balkish itu. Tajam sungguh jelingan mama. Mengalahkan ketajaman sebilah pisau.
“Tadi mama call nak ajak Harriz keluar makan sama, tak nak pulak. Kata banyak kerja la. Ni… dapat pulak Harriz keluar lunch. Takde pulak kerja Harriz yang melambak tu ye,” sindir Puan Sri Hanum dalam nada geram.
Tadi dia ada menelefon anak bujangnya itu. Mengajak Harriz untuk keluar makan tengah hari bersamanya dengan Hanna dan Syarifah Ezora. Namun anak bujangnya itu menolak dengan memberi alasan sibuk dengan urusan kerja. Inikah kerja yang dimaksudkan oleh anaknya itu? Keluar dengan seorang perempuan? Hurmmm… nampaknya perangai Harriz yang kaki perempuan itu langsung tak pernah nak berubah.
Balkish yang hanya menjadi pendengar tidak berminat hendak menyampuk perbualan anak-beranak itu. Dia lebih senang mengambil langkah berdiam diri. Lagipun dia tak kenal pun siapa mereka ini. Cuma dia dapat mendengar dengan jelas Harriz memanggil wanita di hadapannya itu dengan panggilan mama. Dua gadis manis di sebelah mama Harriz itu tidak pula diketahuinya. Cuma salah seorang daripada wanita muda itu memiliki wajah yang hampir sama dengan Harriz dan mamanya. Mungkin adik Harriz kut. Entahlah…
Sempat juga Balkish menghadiahkan sebuah senyuman kepada dua wanita muda itu bila mata mereka saling bertentangan. Tapi malangnya, senyumannya itu dibalas dengan sebuah jelingan tajam pula. Membuatkan senyuman Balkish mati dengan tiba-tiba.
‘Eheh… ni nak jeling-jeling aku apekehal? Korek kang bijik mata tu. Sombong tak bertempat!’ gumam Balkish bila dua wanita seksi itu menunjukkan wajah sombong macam burung merak yang sedang mengembangkan ekornya yang cantik itu. Lebih-lebih lagi wanita yang pakai baju warna pink sebelah mama Harriz itu. Jeling bukan main lagi dia. Macam nak terkeluar aje bijik mata tu!
Puan Sri Hanum berpaling pula ke arah Balkish. Wajah Balkish dipandang lama. Siapa agaknya perempuan ni? Girlfriend baru Harriz ke? Tapi… sejak bila Harriz suka perempuan bertudung? Bukan ke selama ni girlfriend Harriz semua seksi-seksi belaka? Banyak pula soalan yang menerpa minda Puan Sri Hanum.
Sedar dirinya diperhatikan oleh Puan Sri Hanum, pantas Balkish mengukir senyuman. Hendak salam, tapi dia tak berani pula. Mahu salamnya tak disambut oleh Puan Sri itu, tak ke dia malu sendiri. Alaaa… senyum ajelah. Itu pun dah cukupkan? Balkish berkata kepada diri sendiri.
“Awak ni siapa? Girlfriend baru Harriz ke?” Puan Sri Hanum bertanya dengan tiba-tiba. Hatinya benar-benar ingin tahu siapa gerangan wanita itu. Tiada nada mesra pun pada lontaran vokalnya itu. Mendatar bagaikan orang tak ada perasaan.
Terkejut beruk betina Balkish mendengar pertanyaan spontan Puan Sri Hanum itu. Namun belum sempat dia menjawab, Harriz terlebih dahulu menjawab soalan mamanya itu.
Yup! Inilah wanita yang Riz bagitahu dekat mama tempoh hari. Dialah teman wanita Riz. Bakal isteri Riz merangkap bakal menantu mama,” beritahu Harriz dengan tenang. Langsung tidak menghiraukan perasaan wanita-wanita di sekelilingnya ketika ini.
Bulat mata Balkish mendengar jawapan Harriz yang bersahaja itu. Mulutnya sedikit ternganga. Mujur tak ada Cik Lat. Jika tidak tentu dah masuk ke dalam mulut dengan free.
Gila! Ni apa kes pulak nak mengaku yang aku ni girlfriend dia depan mama dia pulak? Aku belum pun iktiraf dia ni sebagai boyfriend. Dia pula dah pepandai nak naikkan taraf aku depan mama dia.
Rasa mahu sahaja Balkish berlari keluar masa itu juga. Namun dia perlu tenangkan hati. Tak eloklah orang ramai yang sedang menikmati makan tengah hari di sana lihat dia berlari keluar dari Top Hat Restaurant meninggalkan anak-beranak ini. Ingat ini cerita filem Hindustan ke? Nak main lari-lari. Lepas tu kena kejar dek sang hero. Huiii… tak nak dia jadi heroin Hindustan. Ingat dia Madhuri Dixit? Kajol? Aiswarya Rai yang main lari-lari sebab cinta dihalang keluarga. Eiii… tolong sikit!
Syarifah Ezora sudah menggigit bibir. Matanya memandang tajam wajah Balkish. Rasa macam nak ditampar sahaja muka wanita itu. Namun langkahnya yang selangkah itu dihalang oleh Hanna.
“Sabar… inikan tempat awam. Malulah orang tengok,” bisik Hanna ke telinga Syarifah Ezora yang sudah berapi marah. Hanna tahu, pasti sahabatnya itu susah hendak menahan rasa sabarnya ketika ini. Ikutkan hati, dia pun macam itu juga.
“Owhhh… jadi inilah perempuan yang Harriz maksudkan itu? Perempuan yang Harriz bangga-banggakan sampai sanggup tolak pilihan mama,” ujar Puan Sri Hanum.
“Ma… please. Ini tempat awam. Riz tak nak bincang hal tu dekat sini. Kita bincang dekat rumah, okey?” ujar Harriz bila melihat air muka mamanya yang sudah berubah kelat. Dia yakin perasaan amarah sedang menguasai mamanya kini. Namun dia tak mahulah membincangkan hal itu di situ. Depan orang ramai dan Balkish. Biarlah hal itu diselesaikan di rumah mereka nanti.
Puan Sri Hanum mengetap bibir. Mujurlah Harriz mengingatkan dia bahawa mereka berada di tempat awam. Kalau tidak, sudah disumpah serananya wanita bertudung di hadapan anaknya itu kerana berani rapat dengan anak bujangnya. Sakit benar rasa hatinya.
“Jom kita makan di tempat lain. Mama takde selera nak makan kat sini,” ujar mama kepada Hanna dan Syarifah Ezora.
Sebelum berlalu, sempat juga tiga wanita itu memberi jelingan tajam buat Balkish yang masih terpana mendengar kata-kata Harriz sebentar tadi. Selera makannya mati dengan tiba-tiba.
“Apa Encik Harriz dah buat ni? Kenapa Encik Harriz cakap saya ni girlfriend Encik Harriz depan mama Encik Harriz tu? Hakikatnya kita tak ada apa-apa hubungan pun. Encik Harriz jangan lupa… saya keluar lunch dengan Encik Harriz ni pun sebab Encik Fahmie. Jadi tolong jaga sikit perangai Encik Harriz tu. Jangan nak pandai-pandai kenalkan saya ni sebagai girlfriend Encik Harriz pulak. Saya tak suka!” tegas dan keras nada suara Balkish. Matanya mencerlung memandang wajah Harriz yang nampak serba-salah itu.
I’m sorry, Balkish. I tahu I salah sebab cakap macam tu. Tapi percayalah cakap I. I ikhlas dengan apa yang I cakapkan tadi. I serius nak jadikan you isteri I,” akui Harriz. Tenang dia mengucapkan ayatnya itu. Dia mahu Balkish tahu dia bukan main-main. Dia serius dengan kata-katanya.
Bertambah bulat mata Balkish mendengar pengakuan berani mati lelaki itu.
I think you’re crazy, Encik Harriz. Kita baru keluar sekali. Saya tak suka Encik Harriz merepek yang bukan-bukan,” bentak Balkish. Saat ini timbul pula rasa menyesal kerana telah bersetuju mengikut Harriz keluar makan tengah hari. Tak pasal-pasal dia berdepan dengan satu lagi masalah besar. Sudahlah masalahnya dengan ibu belum selesai. Sekarang ni timbul satu lagi masalah baru.
“I serius Balkish. I tak main-main. I mahu jadikan you isteri I yang sah. Sudi tak you jadi suri dalam hidup I, Balkish?”
Balkish terkedu. Lamaran jenis apa ni? Berkawan tidak, bercinta tidak… tiba-tiba sahaja lelaki itu melamarnya. Gila! Memang kerja gila.
Stop it, Encik Harriz! Jangan cakap yang bukan-bukan lagi, boleh tak? Saya keluar dengan Encik Harriz bukan nak dengar benda merepek macam ni. Sudahlah! Hantar saya balik ofis. Saya tak ada selera nak makan,” panas hati Balkish. Selera makan mati sebaik sahaja Harriz membuat pengakuan bodoh di hadapan mamanya itu sebentar tadi. Malah lamaran mengejut lelaki itu juga membuatkan dia jadi semakin kenyang.
But… I’m serious.
“Kalau Encik Harriz tak nak hantar saya, takpe. Saya boleh balik sendiri naik teksi,” ugut Balkish. Wajahnya sudah masam mencuka. Hatinya benar-benar mendidih dengan tindakan Harriz.
Sebelum ini, biarpun dia tak sukakan Harriz, tapi dia tak pernah tarik muka masam sebegini. Bercakap kasar pun tak pernah. Dia masih punya rasa hormat terhadap lelaki bernama Harriz Tan Sri Hamdan itu.
Harriz mengeluh. Terasa berat hatinya mahu menghantar gadis itu semula ke ofis. Namun demi mahu hati gadis itu sejuk, dia terpaksa juga mengalah.
“Okey. I hantar you balik ofis.” ujarnya mengalah.

No comments:

Post a Comment