“Kak Yang!!”
Terangkat bahu
Dhamira disergah secara tiba-tiba begitu. Terkejut dia. Wajah menyengih Danial
yang sudah melemparkan dirinya ke atas sofa keluaran Lorenzo lagak penerjun Pandelela
Rinong dijeling geram. Habis melayang kata-kata yang telah tersusun elok dalam
minda. Tidak sempat dizahirkan ke dokumen dalam notebooknya.
“Amboi!
Comelnya Kak Yang jeling macam tu... Manalah mamat Bangla potong rumput yang selalu datang rumah kita ni tak
berkenan...” usik Danial dalam tawanya.
Dhamira
mencemik. Sikap adik lelakinya yang kaki menyakat ini bukannya boleh dilayan
sangat. Lagi dilayan, lagi menjadi-jadi. Maka dia memaksa diri untuk mengunci
mulut. Mata kembali direndahkan ke skrin notebooknya.
Sengaja tidak mengendahkan kehadiran Danial di hadapan mata.
Mati sengihan
di wajah Danial. Alamak! Kak Yangnya nampak seperti tiada mood untuk bergurau senda. ‘Salah pilih timing ke aku ni? Aisey...’
Daripada posisi baring Danial kini sudah duduk dengan kaki dijatuhkan ke atas
lantai.
“Kak Yang...”
panggil Danial dengan meleret. Berlagu dengan panjang empat harakat.
Dhamira
memanggung mata. Wajah masih masam mencuka. Tidak suka kerjanya diganggu.
Kening dijongket. Soalan ‘nak apa’ tidak perlu disuarakan. Cukup secara isyarat
mata.
“Errr... Kak Yang tengah tulis pasal apa
ni?” Danial membeli sedikit masa sebelum menyuarakan pertolongan yang sebenar
dimahukannya daripada Dhamira.
“Launching branch baru kedai bunga Orchidbox...”
“Oh...
padanlah Kak Yang okey je... Takde nak sedih-sedih...” komen yang
dibuat lebih kepada dirinya sendiri.
Melihat
Dhamira yang tidak bereaksi, Danial mencuba semula. “Kak Yang... Boy dalam
kesusahan ni... Boy nak minta tolong Kak Yang...”
Mata Dhamira
mengecil. Langsung tidak percaya akan riak penuh merayu yang terpampang di
wajah adiknya. Tak nampak macam dalam kesusahan pun? Ni mesti ada apa-apa ni!
Danial melihat
Dhamira yang sudah mengetuk meja dengan jari-jemarinya. Lagak orang tidak
sabar. Dia menelan liur. Rasa kesal kerana telah menyergah kakaknya tadi. Bukan
dia tak tahu si Dhamira ni kadang-kadang badan penuh dengan angin kus-kus.
“Sebenarnya...
malam esok Boy ada show. Kenduri
kahwin. Anis tetiba kena balik
kampung. Tak boleh nak join. So, Boy tengah desperate gila ni nak cari pengganti...”
“No!” balas Dhamira sepatah. Mata
ditunduk kembali ke skrin notebooknya.
Cuba mengarang kembali ayat yang tergantung tadi.
“Kak Yang...”
“No!” potong Dhamira tanpa berkelip. Mata
langsung tidak berkalih.
Danial bangkit
dari sofa lalu mendekati kakaknya yang duduk bersila di atas permaidani. Skrin notebook kakaknya di atas meja kopi
ditutup.
“Hei!” marah Dhamira.
“Apa ni?”
“Kak Yang,
tolonglah Boy. Dah last minute sangat
ni... Please Kak Yang, please, boleh tak? Boy tak tahu nak
tanya siapa lagi...” rayu Danial sambil menggenggam tangan kiri Dhamira. “Lagipun,
Kak Yang selalu ganti tempat Anis masa jamming
kan? Suara Anis tu pun sebenarnya tak sesuai nak nyanyi lagu-lagu kahwin ni.
Lagu rock, sesuailah... Suara Kak Yang yang paaaaaalinggg
sesuai...” pujuk Danial lagi. Bukan main panjang lagi perkataan ‘paling’ itu
ditekankan.
“Jamming lain Boy. Tu dalam studio atau
kat basement rumah Jo. Ni kenduri!
Depan orang ramai...” bidas Dhamira. “Akak tak suka...”
Danial
mengeluh hampa. “Kak Yang pernah apa perform
in public. Kenduri kahwin pun pernah... Okey je?” ungkit Danial.
“Kenduri
kahwin tu sebab akak kalah betting
dengan Boy! Kalau tak, jangan harap akak akan setuju perform masa tu. Boy pun tahu yang I hated every single minute of it.” Dhamira mengetap gigi. Kalau
tak kerana dia kalah pertaruhan dengan adiknya itu, takkan pernah dia sanggup
membuat persembahan di tengah-tengah orang ramai seperti itu. No way! Cerita yang dulu-dulu sebelum
kenduri kahwin tu pula, tak perlu nak diungkit lagi. Sudah menjadi sejarah.
“Tapi, ramai
orang puji suara Kak Yang sedap. Pengantin, famili pengantin semua kata suara
akak lemak merdu bak penyanyi zaman dolu-dolu.
Kalah biduanita Saloma atau Sharifah Aini tau! Kalau akak kata akak kembar
seiras Uji Rashid pun orang percaya agaknya,” bodek Danial sambil memujuk.
“Tolonglah kak... Lagipun lagu orang kahwin ni, majoritinya perempuan yang
nyanyi. Anita Sarawak, Sharifah Aini, Saloma tu semua... Lagu duet nanti, Boy
nyanyi sama-sama akak...”
Dhamira masih
menggelengkan kepalanya. Menyanyi di atas pentas hanya akan menarik perhatian
orang ramai ke atas dirinya. Itu yang mahu dielakkan. Dia tak suka! Tidak suka!
“You know I hate being in the centre of
attention...”
“Boy tahu...” Meleret.
Ya. Memang dia tahu. Dalam lagak selamba dan kasar yang cuba ditonjolkan
kakaknya, ada sifat malu dan kurang keyakinan diri yang begitu tebal tertanam
dalam jiwa Dhamira. Dulu kakaknya bukan begini. Membuat persembahan di atas
pentas begitu mudah bagi dirinya. Dan dia tahu mengapa kakak kesayangannya berubah
sedemikian rupa. Sebab itu dia sengaja mahu mencipta situasi untuk
mengetengahkan Dhamira agar kakaknya dapat mengembalikan ciri-ciri seorang penghibur
dalam dirinya yang sudah hilang.
“Tapi ni kes desperate sangat! Kak Yang yang paling
sesuai untuk gantikan tempat Anis. Dahlah mak dan bapak pengantin request lagu-lagu lama... lagu klasik,
lagu-lagu cinta 70-an dan 80-an. Pengantin je
yang request satu lagu Anuar Zain
untuk dia tujukan pada isteri dia. Yang lain semua lagu lama.” Danial masih
tidak putus asa mencuba memujuk Dhamira. Lagipun lagu-lagu lama begini
merupakan kegemaran arwah papa mereka dan mereka membesar dengan ditemani
lagu-lagu irama 70-an, 80-an dan juga 90-an.
Sesungguhnya,
suara Dhamira memang lemak berkrim dan disukai ramai. Memang sesuai untuk
menyanyikan lagu-lagu seperti yang diminta keluarga pengantin. Dengar sekali,
pasti orang akan meneka suara Uji Rashid. Dengar dua kali, pasti orang akan
kata lagi merdu daripada Uji Rashid. Tak percaya? Ketua kumpulan muzik mereka,
Joseph pun pernah meminta Danial memujuk Dhamira untuk menyertai mereka secara
sepenuh masa bagi menggantikan Anis yang tidak berapa komited tu. Namun Danial
tidak perlu bertanya. Dia sudah tahu jawapannya.
Dhamira
mengeluh. Terasa tersepit antara kemahuan adiknya dengan ketidakmahuan dirinya
sendiri.
“Kak Yang, Boy
sanggup jadi driver untuk Kak Yang
selama sebulan! Just name it sis...
mana-mana je Boy sanggup bawakkan...”
“Habis tu, Bradley
bersarang je lah kat depan rumah tu?”
“Apasal bersarang pulak? Boy tawar jadi driver
je. Tapi mestilah bawak kereta
Kak Yang. Takkan kereta Boy pulak?
Pancitlah nak bayar duit minyak...”
Pantas tangan
Dhamira meluku kepala adiknya. Kedekut!
“Aduh... Kak
Yang!” jerit Danial sambil menggosok kepalanya. “Betullah apa yang Boy cakap
tu. Kak Yang kan banyak kena ke hulu ke hilir. Demi kerja Kak Yang yang
tercinta tu, kan? Boy sanggup jadi driver...”
tawar Danial sekali lagi.
“Takde orang lain ke?”
Danial menelan
senyuman kemenangan. Sudah kenal dengan nada suara kakaknya yang sudah
mengalah. Mana pernah Dhamira menghampakan permintaannya sebelum ini? Sebutlah
‘no’ beberapa ribu kali pun, akhirnya
Kak Yangnya itu pasti akan mengalah. Sebab tu dia sayang gila dengan Dhamira.
Dhamira
mengeluh lagi. Kali ini lebih panjang dan lebih berat.
“Kenduri kat
mana?”
“Dewan Perdana
Felda.”
“Anak Lord ke?”
“Hmmm... anak Datuk,” jelas Danial.
“Pakai baju
apa?”
Bersinar mata
Danial mendengar soalan demi soalan daripada mulut Dhamira.
“Anything yang Kak Yang rasa sesuai untuk
kenduri kahwin...”
“I hate you for this!”
“But I love you even more for this!”
Manis senyuman yang dihulurkan Danial.
Bahu Dhamira ditarik. Suatu kucupan mesra singgah di pelipis Dhamira. “Thanks, Kak Yang... I know
I can always count on you!”
Sejuk hati
Dhamira yang tadinya resah gelisah. Sekali lagi Danial berjaya membeli jiwanya.
Tak sukar mana pun. Adiknya memang pandai memujuknya. Tapi skil memujuk yang
begitu punya baik tidak pernah pula digunakan untuk mencairkan hati perempuan
di luar sana. Tak pernah sekali Dhamira melihat adiknya itu mengurat sesiapa.
Nak kata muda, taklah muda sangat lagi.
Danial bangun.
Tangan Dhamira ditarik bersama. Terpinga-pinga Dhamira jadinya kerana dipaksa
bangun. “Kenapa ni?”
“Practice. Kat rumah Jo. Jom kita dah
lambat. Boy janji pukul lima...”
Dhamira
mengilas jam di tangan. Pukul 4.45 petang. Dhamira mengetap bibir. “Boy dah
janji dengan Jo? Macam tahu-tahu je
yang Kak Yang akan setuju??”
Alamak! Kantoi!
Danial menepuk
dahi. “Alaaaa, Kak Yang... Kak Yang
kan sayang sangat dengan Boy. Takkanlah Kak Yang nak hampakan Boy, kan?
Mestilah Kak Yang setuju...”
Sekali lagi
Danial mengaduh kesakitan. Kepalanya digosok perlahan. Ganas betul kakaknya ni!
Tapi mulut dikunci. Tidak mahu Dhamira menukar fikirannya.
“Habis tu?
Kerja akak ni?” Tangan melayang ke arah kertas-kertas di atas meja kopi.
“Bila due?” soal Danial.
“Selasa
depan...”
“Lama lagi tu.
Sempat...” Tangan Dhamira ditarik laju ke arah pintu utama. Tak guna Dhamira
hendak membantah. Kedegilan Danial melebihi satu peratus saja daripada tahap
kedegilannya. Jadi dia pasti akan kalah dengan Danial.
“Bradley Kak
Yang block kereta Boy. Kita bawak Brad
jelah...”
“Yalah,
yalah,” ngomel Dhamira. Tangan mencapai tas tangan dari atas sofa. “Cepat!
Kunci pintu!”
Danial
menurut. Setelah semuanya berkunci, Danial menyusun langkah ke kereta Mini
Cooper berwarna biru milik Dhamira aka
Bradley Cooper. Cheh! Tak boleh blah Dhamira ni! Kereta pun mahu
dinamakan sempena nama aktor kesayangan dia tu! Kunci kereta yang dihulurkan
Dhamira disambut. “Jom...”
*********
Satu demi satu
keluhan lega dilepaskan oleh Joseph, Togel dan Shark melihat Dhamira mengekor
langkah Danial. Sedarlah mereka yang Danial berjaya memujuk Dhamira untuk
mengambil tempat Anis. Phew! Jangan
dibuat main kalau mereka gagal mencari penyanyi ganti. Nama baik kumpulan muzik
mereka perlu dijaga. Takut disenarai hitam oleh perunding perkahwinan atau
agen-agen yang berkenaan sekiranya mereka ‘mencari pasal’ pada saat-saat akhir.
Hendak menaikkan nama tentu sekali mengambil masa bertahun-tahun, tapi hendak
menjatuhkannya, hanya memerlukan sesaat sahaja.
“Hai, Yang...”
seru Shark dengan sengihan yang cukup lebar sebaik sahaja Dhamira masuk ke
dalam rumah Joseph. Suka betul dia dengan Dhamira. Rasanya Joseph dan Togel pun
suka gila dengan kakak Danial ni. Sporting, satu kepala, dan sangat-sangat
mengambil berat akan mereka bertiga. Dahlah comel! Berwajah babyface walaupun umur sudah dua puluh
lima tahun. Tapi tidak sampai sesaat, sengihannya mati dan digantikan dengan
muka berkerut menahan sakit. Bahagian atas lengan yang ditumbuk Danial digosok
laju. “Kau apahal?”
Dhamira
mengerling wajah mencuka adiknya.
“Dah berapa
kali aku cakap, aku sorang je yang
boleh panggil dia ‘Yang’. Kau jangan nak mengada-ada panggil dia macam tu,”
Danial melontarkan amaran. Jari telunjuk dihalakan tepat ke wajah Shark. Dia
cukup pantang apabila amarannya tidak diendahkan. Sudah berbuih mulutnya. Tak
kisahlah kawan ataupun saudara. Panggilan ‘Yang’ tu eksklusif untuk dirinya
sahaja. Kakak sulung mereka pun tidak memanggil Dhamira sebegitu. Hanya dirinya
seorang!
“Alaaah... aku gurau jelah...” balas Shark. “Lagipun, Mira tak kisah pun kan? Kan?”
Kening dijongketkan ke arah Dhamira. Namun rasa tidak puas hati terhadap Danial
masih berbuku kerana ditumbuk tadi. Dia sendiri masih tidak mengerti mengapa
Danial memanggil kakaknya dengan panggilan ‘Yang’. Dia pernah terdengar Danial
memanggil kakaknya ‘Kak Yang’ apabila mereka hanya berdua, namun di hadapan
orang lain, Danial hanya memanggil Dhamira, ‘Yang’. Pelik betul adik-beradik
ni.
Belum sempat
Dhamira membuka mulut, Danial sudah mencantas. “Kalau kau nak rasa sedapnya
penumbuk besi aku ni, kau panggillah dia macam tu lagi sekali!”
“Boy...” seru
Dhamira perlahan. Isyarat mata dihantar bersama suatu gelengan. Cukup. Danial
mengambil satu langkah menjauhi Shark. Akur dengan permintaan kakaknya.
“Sorry, Mira...” pinta Shark tidak mahu memanjangkan
cerita.
Dhamira
tersenyum lalu duduk. Langsung tidak mengambil hati. Danial turut melabuhkan
punggung di sebelahnya. “Errr...
Jo... betul ke Anis tak boleh esok?” soal Dhamira kepada Joseph selaku ketua
kumpulan. Dia inginkan kepastian.
“Betul, Mira. Anis
ada hal kat kampung. Dia dapat panggilan mengejut daripada mak dia...” jelas
Joseph. Joseph melihat wajah Mira berubah muram. “Mira, terima kasih sangat
sebab sudi tolong kita orang...”
Mata Dhamira
singgah pada wajah penuh mengharap Joseph, lelaki berbangsa Serani yang begitu
minat memperjuangkan irama Melayu. Dibesarkan di perkampungan Melayu di Kelang,
Joseph memang mengamalkan kehidupan mengikut budaya masyarakat Melayu. Ibu
serta ayah angkatnya juga berketurunan Melayu. Pengetahuannya tentang lagu
Melayu dan irama lain memang first class.
Semua dia tahu. Irama zapin, joget, inang, pop, rock, jaz, reggae, namakan
sahaja. Memang tabik dengan Joseph ni.
“Lama ke performance kita nanti?”
“Kalau ikut
atur cara, kita mula perform masa
tetamu mula makan. Lepas tu, masa upacara potong kek, kita kena nyanyi lagu
permintaan pengantin tu. So semua
sekali, lebih kurang 8 buah lagu, tapi kita kena stand-by dua lagu ekstra, just
in case...” jelas Joseph.
Dhamira
menelan liur. Rasa gugup mula melanda. Takut mengenangkan diri yang terpaksa
berdiri di atas pentas untuk menghiburkan para tetamu.
“Chill, Mira. Semua akan okey. Semua akan
sibuk makan. Takde siapa pun yang
akan pay attention to us,” pujuk
Joseph lagi. Sedar dia akan perasaan Dhamira hanya melalui riak wajah gadis
itu.
“Yang... Boy
ada, okey? Boy akan sentiasa berdiri sebelah Yang kat atas pentas tu. Jangan
risau, okey?” tambah Danial bagi meredakan kegelisahan hati kakaknya.
Dhamira
mengangguk lambat-lambat. “Mana senarai lagu?”
Togel
mengambil kertas dari atas meja kopi dan menghulurkan kepada Dhamira. Dhamira
mengamati kertas di tangan. “Siapa yang akan nyanyi lagu Sedetik Lebih ni
nanti?” soalnya perlahan. Rasa perit di hati datang bertimpa-timpa. Sakit
seakan dicucuk-cucuk.
Danial dan
Joseph saling berpandangan. “Errr... Yang...
suara Boy tak sampai nak nyanyi lagu Anuar Zain tu. Sebab tinggi. So it must be you...”
Luluh hati
Danial melihat garis-garis luka di wajah kakaknya. Dia serba salah. Tangan
Dhamira diraih lalu digenggam. Dalam kumpulan mereka, hanya Danial dan Anis
yang boleh bernyanyi. Yang lain sekadar suara latar bolehlah. “Yang... sorry... tapi ni lagu yang diminta khas
oleh pengantin...”
Laju saja
wajah Dhamira bertukar ceria. “Eh, takde
apa-apalah... Akak tak rasa apa-apa pun...” Dhamira gelak. Amat palsu
kedengaran di telinga mereka semua. Sesungguhnya mereka faham gelojak yang
melanda hati Dhamira. Mereka berempat pernah melihat zaman kemurungan Dhamira dua
tahun lepas. Bukan sehari dua mereka mengenal Dhamira. Sudah lima tahun. Sejak
mula-mula Danial menyertai kumpulan D’Jammerz lagi.
Joseph, Togel
dan Shark sama-sama menyulam rasa bersalah serta simpati. Entah bagaimana
Dhamira hendak menghadapi persembahan malam esok. Menyanyikan lagu yang suatu
waktu dahulu pernah menjadi kegilaannya. Sebelum lagu itu dipadamkan dari kotak
memorinya. Sebelum episod itu...
Melihat riak
berbaur simpati di wajah teman-temannya, Dhamira bangun. “Eh, cepatlah practice. Aku banyak kerja lagi kat
rumah tu...”
Lambat-lambat
Danial, Joseph, Togel serta Shark bangun. Mengatur langkah ke basement rumah Joseph untuk sesi latihan
mereka. Menyembunyikan rasa simpati yang tinggi menggunung buat Dhamira kemas
di dalam dada... Kesian Dhamira...
No comments:
Post a Comment