DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 5 April 2016

RAFIQUE'S GIRL - BAB 7



Danial berteleku di atas sejadah. Lama. Cuba meredakan hati yang bengkak sejak petang tadi. Sedikit-sebanyak hatinya lega kerana dapat melepaskan rasa tidak puas hatinya kepada Dhamira tadi. Penat dia membebel selama ni namun Dhamira masih begitu. Masih tidak bisa melawan kata-kata yang dilemparkan kakak mereka. Sampai bila Dhamira perlu bersabar? Kenapa Dhamira tidak mahu membalas? Dia tahu Dhamira lebih daripada mampu mengeluarkan kata-kata bisanya sendiri. Dia pernah mendengar Dhamira lantang berkata-kata demi mempertahankan pendiriannya. Tapi dengan Damia... dia menjadi bisu.

Danial kecewa. Dia tidak mengerti. Pendiriannya mudah sahaja. Mengapa perlu menghormati orang yang tidak layak untuk dihormati? Tak kisahlah sesiapa pun orang itu. What you give, you get back!

Wajah diraup kasar. Dia bangun lalu melipat sejadah. Diri dirapi ala kadar. Dompet dicapai dari atas katil. Pintu bilik ditutup perlahan.

Lima belas minit sahaja dia sudah sampai. Kelihatan Shafika dan Shafique sudah sedia menunggu. Seperti biasa, mereka memesan makanan dan minuman terlebih dahulu.

“Mira mana?” soal Shafika.

“Kat rumah. Aku sengaja tak nak dia datang. Aku nak jumpa korang berdua je.”

Shafique mengangguk. “Apa hal? Pasal kes siang tadi ke?”

“Pasal apa yang korang cakap pada aku tiga hari lepas... Pasal Mira...”

Shafique serta Shafika berbalas pandang. Faham apa yang dimaksudkan Danial.

“Betul ke aku terlalu melindungi dia?” soal Danial dengan sorotan mata yang tajam ke arah Shafique dan kemudian Shafika.

“Pada pandangan aku, ya!” Shafika memilih untuk menjawab. “Apa yang kau buat sekarang ni, buat Mira terlalu bergantung pada kau. Sampai dia tak pandai nak stand up for herself...” Shafika mengeluh seketika. “Jangan salah anggap, Boy. Aku respect gila dengan kau. Kau jaga Mira, macam yang diminta arwah uncle. Kau selalu ada untuk dia... Tapi sampai bila kau nak treat dia macam ni? Kau tak boleh salahkan Mira kalau dia tak reti nak melawan, because you always fight her battles for her!”

“Kau tak faham, Fika. Aku buat semua ni bersebab...”

Diam seketika. Membiarkan pelayan yang datang menghantar makanan serta minuman. “Kau pun tahu dulu Mira bukan lemah macam ni. Dia pandai melawan. Dia tough! Tapi semuanya berubah...” Jeda. Danial menghirup kopi-o pekat yang masih berasap.

“Lepas Kuzim tinggalkan Mira untuk bersama dengan betina tu, aku marah sangat. Korang tahu, kalaulah Mira tak perlukan aku masa tu, aku memang dah jadi pembunuh. Aku akan bunuh betina tu dengan jantan tu sekali. Biar puas hati aku. Dan sampai sekarang aku tak dapat lupa keadaan Mira. Dahlah arwah papa baru je meninggal. Dikejutkan pulak dengan perangai dua ekor sial tu...” Jeda. Segala kesengsaraan yang dilalui Dhamira terlayar di ruang mata. Rasa seperti baru semalam kisah itu berlaku. Dan rasa marahnya terhadap kakak sulung mereka membuatkan perasaan benci terlalu ketara di hatinya sehinggakan lidahnya tidak berdaya lagi untuk menyebut ‘kak yong’ dan digantikan dengan bermacam-macam gelaran yang cukup hina.

“Aku yang bersalah...” lirih suara Danial.

Shafika serta Shafique berbalas pandang. “Apa maksud kau?” soal Shafique.

“Aku salah tafsir siapa Kuzim sebenarnya. Aku ingat dia betul-betul sayangkan Mira, tapi...”

“Boy...” celah Shafika. “Bukan salah kau. Kita orang pun ingat Kuzim betul-betul cintakan Mira tapi siapa sangka yang sekali dia diperkenalkan pada Damia, dia akan jatuh cinta pada Damia? Kau tak boleh salahkan diri kau sendiri. Damia memang suka test power. Mira pernah cerita pada aku pasal Damia. Damia takkan boleh hidup senang kalau Mira senang, kan? Jadi tak hairan kalau Damia sengaja goda Kuzim untuk kalahkan Mira. Tak sangka Kuzim begitu mudah jatuh ke tangan Damia...”

Danial meraup wajah. “Selama ni aku yang tapis semua lelaki yang nak rapat dengan Mira. Kenapa aku boleh benarkan dia rapat dengan Mira? Kenapa aku boleh fikir yang dia lelaki yang baik untuk Mira?”

Shafique menepuk bahu Danial. Terkesan dia dengan kesakitan yang ditangkap telinganya daripada suara Danial. “Boy, Kuzim memang lelaki yang baik. Kau pun tahu tu, kan? Walaupun dia hancurkan hati Mira, aku yakin dia bukan sengaja nak buat macam tu kalau bukan Damia yang gila-gila goda dia. Lagipun, bersungguh-sungguh dia minta maaf pada Mira, kan? Dia rasa bersalah sangat pada Mira sebab dia sendiri tak sangka yang cinta dia akan beralih arah pada Damia...”

“Tapi aku rasa yang aku lebih patut tahu apa yang bakal terjadi. Aku patut dapat agak sama ada Kuzim kuat untuk lawan godaan betina tu ataupun tak! Aku rasa bersalah sangat pada Mira... dengan arwah papa...” bisik Danial. Memang tidak pernah surut rasa bersalah yang bertapa di hati Danial. “Mungkin kalau Kuzim jatuh cinta dengan perempuan lain, aku tak terasa sangat, tapi kenapa dengan betina tu? Aku betul-betul rasa dikhianati padahal Kuzim pernah janji dengan aku dia akan jaga Mira baik-baik...”

“Sebab tu ke kau kawal Mira sampai macam ni sekali?” tanya Shafika.

Lambat-lambat Danial mengangguk. “Aku tak nak ulang lagi sekali kesalahan aku. Sekarang ni, Mira sorang je la keluarga aku, Fika! Aku takde sesiapa lagi. Aku tak nak dia disakiti lagi...” Jeda. “Aku mencari seorang lelaki yang akan sanggup ketepikan aku demi mendapatkan cinta Mira... sebab tu aku nak orang kat luar tu anggap aku dan Mira ada hubungan...” Danial mencari mata Shafique, kemudian mata Shafika. “Aku nak lelaki tu fight for Mira! Aku nak tengok kesungguhan lelaki tu untuk dapatkan Mira. Tu yang aku tunggu selama ni. Selagi aku belum jumpa dengan lelaki yang macam tu, aku akan sentiasa kawal Mira!” tegas Danial.

“Kiranya kau nak sorang lelaki yang sanggup rampas Mira daripada kau la, ya?” soal Shafika inginkan kepastian. “Biar dia ingat kau boyfriend Mira, dan kau nak dia rampas Mira daripada kau?”

Danial mengangguk. Dan di hati kecilnya terdetik rasa yang dia sudah bertemu dengan lelaki itu, cuma dia masih belum mempunyai ruang untuk menduga si dia. “Seorang lelaki tu takkan mudah nak lepaskan sesuatu yang dia dapat dengan penuh kepayahan. Betul tak Shaf?”

Hmmm... mungkin...” setuju Shafique.

So, please. Tolong jangan dedahkan hubungan sebenar aku dengan Mira pada sesiapa pun! Aku percaya pada korang berdua, sebab dari kolej lagi korang tak pernah pecah lubang. Orang mula tahu hubungan sebenar antara aku dengan Mira pun bila dah nak grad, bila tengok nama kita orang berdua. Tu pun tak ramai yang perasan sebab orang kenal aku sebagai Boy. Bukan nama betul aku. Kebetulan aku dengan Mira pun tak datang masa konvo...”

“Boy... pasal apa yang terjadi petang tadi, along ada tanya aku pasal Mira dan Damia...” ujar Shafika. “Dia pun sibuk tanya kenapa aku sebut nama dia sebagai bakal suami Mira dan bukan nama kau...”

Danial mengeluh. “Aku dah agak abang korang mesti akan tanya. Lebih-lebih lagi bila dia setuju dengan idea gila kau tu! Bakal suami konon!”

Shafika tersengih. “Tu aku minta maaf. Aku geram gila tengok muka Damia tadi. Macam bagus sangat je dapat Kuzim tu. Berlagak nak mampus! Tahulah Kuzim tu anak orang kaya tapi aku rasa abang aku berganda-ganda lagi bagus daripada si Kuzim tu walaupun mungkin tak sekaya dia. Sebab tu mulut aku laju je sebut ‘bakal suami’ tu!”

“Tapi pelik jugak along boleh setuju je kan?” soal Shafique. “Padahal dalam kepala dia masa tu, mesti dia fikir yang Boy ni boyfriend Mira.” Dia turut terkejut pabila Shafika menceritakan kepadanya segala yang telah terjadi tengah hari tadi.

Hmmm...” balas Shafika.

Tell me about your brother,” pinta Danial dengan nada serius.

“Kenapa?” berkerut dahi Shafika.

“Aku nak tahu...”

“Apa yang kau nak tahu?”

Everything!”

“Kenapa?” soal Shafique pula. Pelik dirasakan permintaan Danial itu.

“Aku nak tahu sama ada dia lelaki yang aku cari selama ni!” ujar Danial tanpa rahsia.

Bulat mata Shafika. Dia mengilas pandang ke wajah kembarnya. Terkejut dia dengan kata-kata Danial. Adakah Danial turut mempunyai deria hati yang sama sepertinya?

*********

Aduh... sakitnya telinga aku...

Dhamira memegang telinganya. Kiri dan kanan. Mahu memastikan kedua belah telinganya masih elok terletak di tempat yang telah ditentukan sang Pencipta. Tidak hairan kalau sebelah atau kedua belah telinganya sudah luruh. Luruh dek penangan bebelan adiknya, Danial.

Katalah apa pun, Danial, dia akan membela dirinya hanya sekiranya keadaan memaksa. Setakat sindiran serta kata-kata pedas daripada Damia apalah sangat. Dia masih mampu bertahan. Dia sedar bahawa Danial sudah menganggap Damia sudah mati dan dia hanya mempunyai seorang kakak sahaja. Cukup Dhamira dianggap darah dagingnya. Damia sudah dicampak jauh daripada kehidupannya. Namun Dhamira tidak beranggapan begitu. Damia tetap kakaknya. Selayaknya seseorang yang telah menggantikan tempat mama serta papa mereka.

“Mira, bila papa takde, Mira cuba berbaik dengan kak yong, ya? Jangan biar kak yong hanyut dalam dunianya...” Tengku Dahlan menggenggam erat tangan Dhamira. “Mira pun tahu kenapa kak yong jadi macam tu, kan? Disebabkan insiden tu, papa dan mama terlalu manjakan dia... sebab nak pujuk dia balik. Apa yang dia nak semua kami turutkan... tak pernah membantah...” keluh Tengku Dahlan kesal. “Bila mama dah takde, papa biarkan je kak yong, Mira dan Danial sendirian. Sampaikan bila kak yong tak nak sambung belajar tapi kemaruk nak jadi model dan kemudiannya pelakon pun, papa tak larang...”

Dhamira diam. Wajah lesu papanya ditatap dengan mata yang berkaca. Ketika itu papanya sedang berehat di dalam kamar tidurnya dan hanya Dhamira yang ada untuk menemani.

“Dan kak yong semakin hanyut dalam dunia glamornya. Segala kesal papa dah terlambat. Papa tak pernah nak berkeras dengan kak yong...” Jeda. “Tapi yang paling papa kesalkan ialah hubungan kak yong dengan Mira tak pernah baik. Kak yong selalu nampak Mira sebagai pesaing dia. Papa sedar kak yong cemburu dengan Mira...”

“Cemburu dengan Mira? Pa! Apa yang dia nak cemburu dengan Mira? Kak yong ada segala-galanya! Dia cantik, tinggi, badan memang perfect untuk jadi model dan artis. Satu Malaysia kenal dengan kak yong. Papa tengok Mira ni. Dari dulu tak pernah tinggi-tinggi...” tangkis Dhamira tidak percaya.

Tengku Dahlan mengorak senyum. Pipi Dhamira dielus perlahan. “Mira lembut, baik dan pandai. Semua orang suka pada Mira, termasuk cikgu-cikgu Mira. Mira selalu dapat nombor satu dalam kelas sedangkan kak yong tak pernah capai top 10 pun... Dan papa perasan, setiap kali Mira menyanyi atas pentas, kak yong akan tinggalkan majlis tu, tak kiralah majlis apa pun... Kak yong memang tak boleh dengar Mira menyanyi...”

Dhamira mengeluh. Kalau perhatian yang Damia inginkan, setiap kali ada Damia, memang semua perhatian akan berpindah kepada kakaknya itu. Orang tak akan memandangnya jika di situ juga ada Damia. Jadi atas sebab apa Damia perlu cemburu? Cemburu kerana dia boleh bernyanyi? Alaah, kalau sekadar bernyanyi di atas pentas kecil-kecilan dengan penonton beberapa kerat sahaja, tiada apa-apa yang perlu dibanggakan. Damia terkenal seantero Malaya kut? Takkan itu pun tidak cukup lagi?

“Mira anak yang baik. Selalu bersabar dengan kak yong, selalu mengalah. Bukan macam Boy...” Tengku Dahlan ketawa seketika sebelum kembali serius. “Tarik balik kak yong ke jalan Allah, Mira... papa gagal dalam tanggungjawab papa untuk didik dia... tapi papa tak tahu nak harapkan siapa lagi. Lainlah kalau kak yong dah kahwin... Boleh papa harapkan suami dia... Boy pulak tak pernah nak berbaik dengan kak yong sebab Boy terlampau sayangkan Mira...”

“Mira cuba pa... Mira cuba...” tekad Dhamira.

Tengku Dahlan mengangguk. “Selagi boleh sabar dengan kak yong, Mira cuba bersabar, ya?”

Dhamira mengangguk. Dia sebenarnya terkilan. Ketika mama mereka meninggal dunia kerana jangkitan kuman di paru-paru, Dhamira memandang ke arah kakaknya untuk menggantikan tempat mamanya, namun harapannya agar Damia berubah dan merapatkan diri pada dirinya serta Danial ternyata sia-sia. Damia masih dengan dunianya. Dunia yang tiada tempat untuk Dhamira serta Danial. Namun kata-kata serta harapan papanya masih dipegang sehingga kini. Doanya agar Damia berubah tidak pernah surut. Semoga hubungan mereka tiga beradik akan pulih suatu hari nanti... seperti yang diharapkan oleh papanya.

Fikiran Dhamira melayang pula kepada cerita tengah hari tadi. Dia melepaskan keluhan berat. Tak pasal-pasal, Shafika telah melibatkan Rafique dalam masalah keluarganya. Hingga kini, sukar untuk dia percaya reaksi serta perlakuan Rafique ketika berhadapan dengan kakaknya siang tadi. Apa yang telah mendorong lelaki itu untuk berpura-pura begitu? Demi menyelamatkannya daripada lidah Damia sedangkan dia bukan siapa-siapa pun bagi lelaki itu? Tidak logik!

“Aku tak rapat sangat dengan along aku tu. Shaf pun tak. Beza umur kita orang jauh...” Shafika pernah bercerita tentang abang sulungnya suatu ketika dulu. “Aku panggil dia mamat sejuk beku sebab dia tu susah nak mesra dengan orang. Susah nak tengok dia senyum. Ketawa apatah lagi! Girlfriend pun tak pernah lekat sebab dia tu betul-betul kayu! Takde pompuan yang tahan dengan perangai dia yang tak romantik dan kemaruk dengan kerja dia tu! Jangan haraplah along aku tu nak hadiahkan bunga ke, coklat ke, atau nak bagi ucapan yang sweet sweet pada mana-mana pompuan...” Sempat Shafika ketawa. Dhamira hanya tekun mendengar. “Entah-entah bergayut kat telefon dengan girlfriend pun tak pernah...” teka Shafika.

“Ibu kata, along tu dah biasa sorang-sorang. Sampai umur dia tujuh tahun, dia main sorang-sorang sebab ibu dan abi sibuk. Bila ibu lahirkan aku dan Shaf, along dah masuk sekolah dan ada kawan-kawan sendiri. Along tak pandai sangat nak main dengan aku atau Shaf. Dia macam rasa kekok. Sudahnya aku dengan Shaf tak reti nak rapat dengan along sampai dah besar macam ni pun masih ada rasa janggal kalau along ada...” tambah Shafika lagi.

Seingat Dhamira lagi, Rafique sudah lama tidak tinggal bersama keluarganya. Sebaik tamat pengajian, dia sudah mula menyewa dan hidup berdikari. Tidak lama selepas itu, dia membeli sebuah kondominium dan kekal hidup berasingan daripada keluarga, membuatkan hubungannya dengan adik-adik sendiri kekal tidak rapat.

Tidak banyak beza dengan dirinya, Danial serta Damia. Sayang... Dia benar-benar terkilan kerana Damia membencinya atas sebab yang bukan dalam kawalannya. Bukan kehendaknya semua itu terjadi. Dan tiada sebab untuk Damia mencemburuinya. Dia tidak secantik Damia. Dia tiada sesuatu yang bisa menggetarkan jantung mana-mana lelaki seperti yang mampu dilakukan oleh Damia. Sekali pandang sahaja, pasti ada yang tertawan dengan kakaknya itu. Termasuklah Kuzim...

Cepat-cepat Dhamira mematikan fikirannya yang melayang tadi. Tidak mahu lagi memikirkan tentang Kuzim walaupun pertemuan mereka petang tadi masih mampu merobek luka yang pernah terpalit dulu.

Dhamira cuba melupakan seketika babak-babak tengah hari tadi. Notebook di atas meja kerjanya dibuka. Bait-bait kata di hadapan skrin diulang baca. Seperti biasa, Dhamira akan hanyut di lautan aksara. Dan sekali lagi Dhamira sempat berfikir, masalah yang membelenggu dirinya hanyalah sebesar zarah jika dibandingkan dengan masalah si watak utama dalam artikelnya. Kesian Zara... Dan air matanya mengalir lagi mengenangkan nasib Zara...

No comments:

Post a Comment