DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 6 April 2016

MAMA MIA SYAZA - BAB 12



“ASSALAMUALAIKUM papa, mama.”
“Waalaikumsalam,” jawab Arshad dan isteri serentak.
Mala muncul di depan pintu dengan senyuman lebar. Mencium tangan mama dan papa yang sedang duduk di ruang rehat. Punggungnya dilabuhkan di sebelah mamanya.  Sempat mata menjeling sekilas ke arah papanya yang memandangnya tajam. Ni mesti kes akan kena goreng dengan papa tak lama lagi.
“Baru balik? Dah pukul 11 dah ni.” Arshad membuka mulut.
Mala tayang senyuman lebar. Bantal kecil di sebelahnya dicapai dan dipeluk.
“Ada hal dengan kawan kejap tadi,” jawab Mala.
“Ada hal dengan kawan ke dengan Maya?” Arshad menyerkap jarang.
Gulp!
Mala telan liur. Dah agak dah! Ini mesti Pak Ali yang beritahu papa. Menyesal minta tolong pemandu papanya itu hantarkan.
“Kejap aje pun,” balas Mala. Tangan memintal–mintal hujung bantal.
 Arshad merengus. Wajah selamba Mala ditatap tajam.
“Kan papa dah pesan jangan jumpa Maya lagi? Dia bukan keluarga kita.”
Mala sekadar diam. Senang papa tuduh kak long macam–macam. Gatal sangat nak kahwin awal. Anak luar nikah. Menconteng arang di muka papa dan mama. Bla bla bla.... Tapi baginya kak long tak salah langsung. Cuma nasib saja yang tidak menyebelahinya.
“Jangan jumpa lagi Maya tu, Mala. Nanti lama–lama Mala pun akan jadi macam dia,” kata Arshad lagi.
Dia mengangkat punggung dan beredar untuk ke tingkat atas. Malas mahu berbalah dengan anak bongsunya. Kalau muncung dah panjang seinci, haruslah jangan diteruskan juga ceramah tetapnya. Nanti Mala makin tunjuk protes.
“Mala, Maya apa khabar?”
Mala menoleh ke wajah mamanya di sebelah. Diam dari tadi, tup–tup sekarang buka mulut bertanyakan khabar kak long. Kena sampuk ke?
“Maya apa khabar?,” tanya Maimunah untuk kali kedua.
“Sihat,” jawab Mala sepatah.
Maimunah angguk kepala. Matanya tertacap semula pada skrin tv di hadapan. Diam sejenak sebelum menyambung kata.
“Mama rindu kak long.”
Mala terpana. Wajah mamanya dipandang lama. Tak salah dengar ke dia? Betul ke mama rindukan kak long?
“Dah lama tak jumpa kak long. Mama rindu,” kata Maimunah lagi dengan suara yang sedikit bergetar.
Hati Mala tersentuh. Faham dengan perasaan mama. Kepalanya dilentokkan ke bahu mama. Dan bila kepalanya diusap lembut, Mala pejam mata. Air mata menitis keluar.
“Mala pun rindu kak long,” jawab Mala.
Mata Maimunah kabur. Sejak akhir–akhir ini murah sangat air mata tuanya. Maya. Maya. Maya. Nama anak sulungnya itu selalu menjengah minda, tak kira siang atau malam.
Tipulah jika dia katakan yang sayangnya pada Maya sudah pupus. Sayang pada Maya masih seperti dulu. Bak kata orang, ibu mana yang tak sayangkan anak. Tapi marahnya pada Maya masih menebal. Nak maafkan Maya? Hati masih belum terbuka lagi.
“Maya dengan anak dia tinggal mana sekarang?” tanya Maimunah ingin tahu.
“Kota Damansara. Sewa dengan Kak Nadia.”
Oh anak mama! Maimunah menahan air mata daripada jatuh. Ada rumah sebesar ini tapi anaknya terpaksa menyewa di luar. Argh! Dia dan suami juga yang menghalau Maya keluar dulu.
“Mama tak nak jumpa kak long ke?,” duga Mala. Soalan-soalan Maya tentang kedua ibu bapa mereka bergegas masuk ke kepalanya.
‘Mama dan papa apa khabar? Sihat?’
‘Papa ada makan ubat hypertension dia tak? How about mama? Kolesterol masih tinggi?’
‘Papa dan mama tak nak jumpa Mia ke adik?’
Kasihan kak long. Tiap kali berjumpa, tak pernah walau sekalipun kak long lupa bertanyakan khabar mama dan papa. Tapi apa saja yang dia mampu buat? Takkan nak dipaksanya mama dan papa untuk terima kak long semula.
Not now, Mala. Mama tak sedia lagi,” jawab Maimunah.
Alright. Bila–bila mama dah sedia, let me know.”
“Anak Maya tu comel kan?” Maimunah memuji ikhlas. Terbayang–bayang wajah comel Mia tempoh hari.
Mala mengangkat kepalanya dan memandang mama dengan senyuman lebar. Lega hatinya mendengar pujian tersebut.
“Comel sangat–sangat,” balas Mala.
Mama sudah terpikat dengan Mia. Anak secomel Mia, siapa–siapa pun akan tertarik hati.That innocent little Mia!

ARSHAD duduk di kerusi rehat di balkoni bilik. Menghembus asap paip sambil memandang kosong di luar halaman rumah dari tingkat atas. Kalau isteri masuk bilik ketika ini, mesti pok pek pok pek mulut isteri menegur.
“Tak sayang nyawa ke, abang? Sudah–sudahlah menghisap paip tu. Nanti mudah hinggap penyakit.”
Arshad tersenyum sendiri. Lebih dua puluh tahun beristerikan Maimunah, dah lali dengan teguran si isteri. Dia cuma berserah saja. Dia akan pergi juga satu hari nanti andai ajalnya tiba.
“Maya sayang papa. Kurangkan paip dan rokok, okey.” teringat ayat Maya yang menegurnya dulu–dulu.
Haih! Maya. Arshad tarik nafas dalam–dalam. Rindu pula pada  Maya. Maya yang lincah. Maya yang petah bercakap. Maya yang periang. Maya yang manja. Tapi perginya Maya adalah sebab salah Maya sendiri.
Lebih tiga tahun yang lalu, bukan main lagi Maya menyuarakan hasrat mahu berkahwin dengan pilihan sendiri melalui telefon. Lelaki satu universiti kata Maya. Mahunya dia tak terkejut. Anak dihantar jauh untuk menyambung pelajaran, bukan mencari jodoh.
Pertama kali berjumpa dengan Syazwan, memang dia tak berapa berkenan. Lelaki yang tidak menepati ciri–ciri yang diingininya langsung. Dia taklah mengharapkan ustaz atau pak lebai untuk menjadi suami Maya. Tapi sekurang–kurangnya berperwatakan menarik. Hormat orang tua, berkelakuan sopan dan boleh membimbing Maya nanti.
Tapi Syazwan? Sekali pandang memang tak ubah macam muka kasanova. Kalau pertama kali jumpa pun tak reti nak bersalam, macam mana dia nak berkenan.
 “Yo, papa! What’s up?”
Itu ke cara bertegur sapa dengan bakal mertua? Entah kenapalah Maya boleh terpikat Arshad tidak pernah mengerti.
Sedang termenung di situ, pintu bilik tiba-tiba ditolak dari luar membuatkan Arshad berpaling. Isterinya melangkah masuk dengan mata memerah menuju ke katil. Menangis lagilah tu.
Paip di tangan diletakkan di atas meja sebelum Arshad bergerak masuk ke arah isteri yang bersandar di kepala katil.
“Rindu Maya lagi ke?” soal Arshad.
Maimunah memandangnya sekilas dan menganggukkan kepala. Arshad mengambil tempat di sebelah isteri. Lengan isteri dicapai dan digenggam erat.
“Abang pun.”
Dua–dua diam. Air mata yang mengalir diseka Maimunah dengan tangan kanannya.
“Kenapa Maya sanggup malukan kita, bang?”
Arshad tersenyum kecil. Soalan isteri yang dia sendiri tiada jawapannya. Maya yang ditatang dengan penuh kasih sayang. Maya yang cukup ajaran agama. Menghancurkan hati mama dan papanya dalam sekelip mata.
“Anak dia hari tu cucu kita kan bang?”
Arshad tidak menjawab. Anak luar nikah itu. Layakkah dipanggil cucu?
“Mari tidur. Esok kena bangun awal. Mah nak pergi Palliative Center kan?” Arshad mengubah topik.
Maimunah angguk kepala. Bila lampu utama ditutup dan hanya bertemankan lampu tidur, mata Arshad masih berkedip–kedip.
“Abang, agaknya Maya ada rindu kita tak?” tanya Maimunah sayu.
Arshad mengetap bibir.
“Entahlah, Mah. Tak kot. Dia dah pilih untuk hidup begitu.” Jawapan Arshad bagai mengguris hati sendiri. Benarkah begitu?













No comments:

Post a Comment