DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 8 April 2016

BUNGA-BUNGA BAHAGIA - BAB 12

PANGGILAN telefon yang diterima dari Akif
Irham ketika di ofis pagi tadi membawa dia ke Hotel Istana.
Dia mengeluh apabila Honda Citynya tersangkut di Jalan Raja
Chulan yang sentiasa sesak dengan kenderaan itu.
Dia membuat anggaran sendiri. Kalau pulang ke
rumahnya di Bangsar, pastinya dia tidak sempat sampai seperti
yang dijanjikan. Jadi, selepas solat Maghrib di ofis, dia bergegas
ke Hotel Istana. Nasib baik ofis ada menyediakan locker
untuk kemudahan kakitangan menyimpan barangan peribadi.
Sempat jugalah dia mandi dan bersiap ala kadar. Kalau boleh
dia malas untuk keluar ke mana-mana. Dia mahu berehat di
rumah sambil memanjakan dirinya. Beberapa hari ini dia begitu
lelah memikirkan masalah bertimpa dalam hidupnya. Sejak
pembongkaran dilakukan oleh sepupu Zariff Adam, tidurnya
tidak lagi lena. Hidupnya kembali kucar-kacir.
Selepas memarkirkan Honda City di basement 3A,
Nuha Qalisya berjalan pantas menuju ke restoran. Di situ, dia
melihat Akif Irham bersedia menunggunya. Meja lelaki itu
dihampiri.
“Sorry awak... Saya lambat sikit. Tahu sajalah, Jalan
Raja Chulan kalau petang-petang macam ni sentiasa sesak.”
Lelaki itu angguk. Dia tidak kesah menunggu Nuha Qalisya.
Lagipun setakat sejam dua, dia tidak berkira mana kerana untuk
membawa gadis itu makan malam ini, bukan satu kerja yang
senang. Pelbagai alasan diberi sehingga dia hampir berputus
asa.
“Errr... Awak…” Akif Irham teragak-agak. Sebelum
dia meneruskan kata-katanya, telefon bimbitnya berdering.
Dia bercakap seketika kemudian dia mematikan talian. Telefon
bimbitnya dimasukkan kembali ke dalam poket seluar jean.
“Mama saya.” Dia berterus terang. Nuha Qalisya
mengangguk. Dia tidak ambil pusing dengan siapa lelaki itu
berhubung. Datang ke sini pun sekadar memenuhi undangan
seorang rakan.
“Awak...” Sekali lagi dia memanggil. Kali ini panggilan
itu dirasakannya cukup romantik. Lembut dan sedikit manja.
Dia melemparkan senyuman paling manis buat Akif Irham.
“Emmm… Terima kasih awak sebab terima pelawaan
saya malam ni. Susah betul saya nak pujuk awak for dinner
malam ni. Yalah... Orang tak sudi.” Sedikit merajuk suara Akif
Irham. Kening Nuha Qalisya berkerut. Dia tidak begitu gemar
mendengar kata-kata dari bibir lelaki itu.
“Kalau saya tak sudi, saya tak ada kat sini malam ni,”
kata Nuha Qalisya agak dingin. Agak terasa dengan kata-kata
yang keluar dari ulas bibir pemuda itu. Akif Irham bagaikan
mahu menampar pipinya sendiri. Masing-masing diam.
Kemudian pelayan membawa makanan yang dioder.
“Sila makan…” Akiff Irham memecah kesunyian
antara mereka. Nuha Qalisya angguk. Garpu dan sudu dicapai.
Mmm… Menyelerakan, bisik hati Nuha Qalisya. Selepas
mengaminkan doa makan, mereka mula menikmati hidangan.
Tiada suara kedengaran antara mereka. Hanya sesekali bunyi
sudu dan garpu berlaga antara satu sama lain.
Akif Irham melihat kebekuan Nuha Qalisya. Sesekali dia
memerhatikan gadis itu yang begitu tertib menyuap makanan
ke mulutnya. Walaupun Nuha Qalisya tidak dikategorikan
sangat cantik, namun gadis ini mempunyai kecantikan semula
jadi. Tanpa perlu dia bermekap tebal.
Satu persatu dia meneliti wajah gadis itu. Bermula
dengan bibir, dia melihat Nuha Qalisya hanya mengenakan
lipstik nipis. Kemudian beralih ke pipi. Mmm… Agak merah
jambu tetapi dia tahu itu bukannya disebabkan pemerah pipi.
Matanya terus berjalan ke mata gadis itu. Cantik! Bermata
redup tetapi begitu sempurna di matanya.
“Sudah puas awak meneliti wajah saya?” Nuha Qalisya
bersuara dingin. Tudung di kepalanya dibetulkan. Macam tak
pernah melihat orang, detik hatinya. Akif Irham sudah tergelakgelak.
Dia tahu agak keterlaluan sikapnya sebentar tadi tetapi
dia akui amat sukar untuk menahan perbuatannya.
“Apa salahnya melihat keindahan ciptaan Allah. Saya
mengaguminya. Benda comel dah ada di depan mata, tengok
ajelah,” ucap Akif Irham. Senyuman terukir di bibirnya. Nuha
Qalisya mencebik. Mulutnya diherot, tak puas hati mendengar
kata-kata tersebut.
“Buatlah gitu...” Ketawa Akif Irham makin galak. Lucu
melihat kelakuan gadis itu. Nuha Qalisya sudah menunjukkan
protesnya secara terang-terangan. Wajah gadis yang semakin
mendapat tempat dalam hatinya direnung. Pinggan nasi ditolak
ke tepi.
“Alhamdulillah. Kenyang saya. Terima kasih atas dinner
malam ni.” Nuha Qalisya terpaksa menolak apabila Akif Irham
menghulurkan sepiring buah-buahan. Kepala digeleng-geleng.
Perutnya benar-benar penuh dan tiada ruang lagi untuk diisi.
Pantas, lelaki itu memasukkan sepotong tembikai ke mulutnya.
“Malam ni begitu istimewa untuk saya. Kalau boleh,
saya nak mengenali awak lebih dekat.” Akif Irham bersuara.
Wajah Nuha Qalisya direnung. Dia nampak gadis itu agak keliru.
“Errr...” Dia tidak mampu untuk meneruskan butir
bicara. Dia menimbang baik buruk kata-katanya itu kepada
Nuha Qalisya.
“Apa maksud awak?” soalnya begitu polos. Sumpah!
Ketika ini otaknya tidak mampu mencerna apa-apa. Dia tidak
mampu berfikir jauh sekarang ini.
“Maksud saya... saya nak jadikan awak sebahagian
daripada hidup saya selepas ini.” Akif Irham tahu bukan saja
gadis itu yang terkejut mendengar kata-kata itu, malah rasanya
dia sendiri turut terpegun dengan keberaniannya sebentar tadi.
Dia sendiri tidak menyangka akan mengeluarkan kata-kata
seperti itu. Lari langsung dari ayat yang sudah dihafal sejak
berhari-hari lalu.
Hajatnya dari rumah tadi hanyalah mahu mengenali
Nuha Qalisya lebih dekat lagi tetapi apabila berjumpa Nuha
Qalisya sebentar tadi, baru dia sedar, dia tidak mahu kehilangan
gadis itu.
“Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni?” tanya
Nuha Qalisya. Sungguh dia terkejut. Dia mahu menyedarkan
lelaki itu. Akif Irham kelihatan tenang. Senyuman tak lepas dari
bibirnya.
“Sedar…” Sepatah kata keluar dari mulut Akif Irham.
Nuha Qalisya merengus. Sakit hatinya melihat ketenangan
yang ditunjukkan oleh lelaki yang berada di depan matanya itu.
“Saya tak minta banyak pun. Saya minta awak bukakan
pintu hati untuk menerima saya. Saya tahu hati awak pernah
terluka tetapi tolong jangan jatuhkan hukuman kepada semua
lelaki yang mahu mengenali awak. Kami sama-sama lelaki
tetapi kami tidak sama dari segi perangai.”
Melampau! Nuha Qalisya mengepam bibirnya.
Sakit hatinya dituduh begitu. Dia bukan sengaja tidak mahu
menerima lelaki lain dalam hidupnya, tetapi pada masa ini,
hatinya sudah tawar. Mungkin hari ini dia berkata tidak, belum
tentu esok atau lusa jawapan sama akan diberikan.
“Mengapa awak tuduh saya begitu?” Cepat saja dia
membangkang. Tidak puas hati dengan kata-kata Akif Irham.
“Kalau awak tak tahu apa-apa, baik awak diam… Don’t
judge a book by it’s cover. Kadangkala cover yang kita tengok
tu tak menggambarkan isi kandungannya, Encik Akif Irham.”
Tanpa sedar, dia sedikit emosional. Lelaki itu sudah tergelak
melihat wajah Nuha Qalisya yang begitu lucu pada pandangan
matanya. Apabila gadis itu marah, matanya menjadi sepet
macam anak Cina. Mungkin gadis di depannya ini ada darah
campuran, tekanya.
“Betul tu, Cik Nuha Qalisya Mohamad Razlan. Lelaki
tidak semuanya sama. Jadi, jangan jatuhkan hukuman ke atas
lelaki lain hanya kerana pengalaman Cik Nuha dengan bekas
kekasih,” balas Akif Irham.
Mereka sudah bercanggah pendapat. Perang boleh
meletus bila-bila masa saja. Akif Irham bagaikan sengaja mahu
membakar hati Nuha Qalisya biar hangus rentung.
“Awak buat saya sakit hati…” Nuha Qalisya bersuara.
Wajah lelaki itu dipandang. Kalau boleh, mahu ditelan hiduphidup.
“Saya tahu…” Akif Irham membalas. Dia menjongket
keningnya.
“Apa yang awak tahu?” tanya Nuha Qalisya.
“Saya sedang sakitkan hati awak dan awak sedang
marahkan saya,” balas Akif Irham sambil tergelak-gelak. Masam
saja muka Nuha Qalisya tatkala mendengar kata-katanya
sebentar tadi.
“Nuha... Kali pertama saya pandang awak, hati saya
sudah berkata-kata, wanita ini mempunyai keistimewaan
tersendiri dan saya mahu mendekatinya. Saya berjaya dekati
awak kerana Zakry Adlan. Dia banyak bagi info mengenai awak
kepada saya.” Akif Irham membuka rahsia. Sungguh! Nuha
Qalisya tidak pernah menyangka Zakry Adlan punya kaitan
dalam semua ini.
“Empat hari kita bersama di Sun Beach Resort.
Walaupun masanya tidak lama, namun ia cukup bermakna pada
saya. Saya mahukan awak untuk melengkapkan kehidupan saya
kelak. Jadi, saya minta awak pertimbangkan permintaan ini.
Tolong jadi sebahagian daripada hidup saya,” rayunya. Kali ini
nada suara Akif Irham sudah bertukar. Tiada lagi suara mainmain
sebaliknya ada nada tegas kedengaran. Nuha Qalisya
terdiam. Sungguh dia tidak menyangka perkara ini berlaku
secara tiba-tiba lantas membuatkan dia hilang suara seketika.
“Awak tahu usia saya?” tanya Nuha Qalisya sekadar
mahu menguji. Fikirnya, apabila Akif Irham tahu dia lebih
berusia, pasti lelaki itu akan menolaknya jauh-jauh. Itu
harapannya.
Lelaki itu tersenyum, dia tahu salah satu sebab Nuha
Qalisya tidak menerimanya adalah faktor usia. Jadi, dia perlu
meyakinkan gadis itu.
“Tahu... Awak tiga tahun lebih tua daripada saya.
Ada masalah ke benda ni? Wanita lebih berusia tidak boleh
berkahwin dengan lelaki muda ke?” tanyanya lagi.
Suara Nuha Qalisya bagaikan tersekat di kerongkong.
Dia tahu usia aku? soalnya dalam hati. Tiba-tiba tekaknya terasa
pahit seperti baru menelan peria.
“Awak boleh terima wanita lebih tua daripada awak?”
Nuha Qalisya mahu tahu pendirian lelaki itu. Ditilik jam di
pergelangan tangannya. Baru setengah jam dia bersama Akif
Irham walhal dia rasakan sudah berjam-jam lamanya. Dia
mengeluh. Ketika ini masa bagaikan lambat berlalu.
“Yup... Bagi saya, wanita itu juga perlu disayangi
dan dikasihi. Usia hanya sekadar angka. Apa yang penting,
persefahaman dan kasih sayang yang wujud antara mereka.”
“Walaupun awak boleh terima, bagaimana dengan
keluarga awak? Mereka boleh terima?” Nuha Qalisya membalas.
Dia tidak mahu terluka lagi. Cukuplah sekali luka yang digores
oleh Zariff Adam dulu.
“Insya-Allah… Keluarga saya terbuka dalam soal
perkahwinan. Muda atau tua, bukan persoalan besar kepada
mereka. Contohnya… Zakry.” Akif Irham tidak menyambung
kata-kata itu. Belum tiba masanya dia merungkai siapa dirinya
sebenar. Suasana tiba-tiba jadi hening. Akif Irham memandang
wajah Nuha Qalisya. Lama. Perasaan sayang makin lama makin
bercambah dalam hatinya.
“Awak... Percayalah, mereka lebih pentingkan
kebahagiaan anak-anak mereka. Bagi papa dan mama,
kepentingan anak-anak didahulukan. Percayalah awak…
Mereka tidak akan halang hubungan kita.” Sekali lagi Nuha
Qalisya mati kutu. Hujahnya kerap kali berjaya dipatahkan.
Lama dia memandang wajah lelaki itu, mencari kejujuran di
sebalik sinar mata lelaki itu.
“Kita berkawan dulu. Soal jodoh biarlah Allah yang
tentukan. Kalau Dia sudah katakan awak adalah jodoh terbaik
untuk saya, saya dengan rela hati akan menerimanya,” kata
putus diberikan. Rasanya Akif Irham manusia berakal. Dia pasti
boleh menerimanya dengan reda. Dia melihat lelaki itu meraup
muka berkali-kali kerana tidak mampu menahan rasa kecewa.
“Awak tolak saya?” soalnya ingin tahu. Sakit! Itulah yang
dirasakan saat ini. Selama ini, tiada wanita yang menolaknya,
malah mereka sering kali terkejar-kejarkan dirinya. Cuma dia
saja yang tidak pernah melayan mereka lebih daripada seorang
kawan. Tetapi hari ini dia akui hatinya sudah terluka. Belum
sempat bercinta tetapi sudah terasa peritnya dikecewakan.
“Awak... Saya tak tolak kehadiran awak dalam hidup
saya. Tetapi soal jodoh biarlah dia datang sendiri. Kalau
Allah bukakan pintu hati saya untuk awak, siapa saya untuk
menolaknya. Tetapi buat masa ini, saya selesa berkawan saja,
selebihnya kita tidak tahu ketentuan Allah. Mungkin esok atau
lusa hati saya berubah, kita tidak tahu, kan?” katanya lagi.
“Saya senang dengan kehadiran awak. Sungguh!
Kehadiran awak membuatkan hati saya kacau-bilau. Sekejap
berdegup kencang, sekejap panas, sekejap sejuk. Semua rasa itu
ada pada saya. Tapi bercinta dalam masa terdekat ini, saya tidak
sanggup. Hati saya masih terluka,” ucap Nuha Qalisya.
Akif Irham mengangguk. Dia sudah boleh menerima
alasan gadis itu. Apa yang penting, gadis itu tidak menolak terus
dirinya. Dia masih ada peluang.
“Saya sanggup tunggu pintu hati awak terbuka.
Tapi tolong jangan tutup pintu hati awak lama-lama. Nanti
saya makin parah.” Walaupun dia berkata dengan nada
bergurau, tetapi dia mahu Nuha Qalisya tahu dia serius apabila
mengeluarkan kata-kata itu.
“Insya-Allah... Doakan akan ada suatu hari itu,” kata
Nuha Qalisya berkias.
Lama mereka diam. Hanya mata yang berbicara.
Saling bertatapan dan akhirnya Nuha Qalisya tertunduk. Tidak
sanggup untuk terus bermain mata.
PUAN AMNAH menggeleng kepala melihat empat orang gadis
bertenggek di tangga batu. Memang dah tak ada kerja agaknya
anak gadisnya bersama tiga member kamcingnya. Bergurau
senda, bertepuk tampar, entah apa cerita yang dihidang oleh
mereka. Sekejap-sekejap kedengaran suara mengilai. Kalau
tengah malam, tentu orang kata suara pontianak. Umur sudah
‘setengah abad’ tapi hairan, masing-masing tidak teringin
nak berumah tangga. Baik anaknya, Maryam, Edora dan Afifa.
Masing-masing seperti alergi apabila disebut isu kahwin.
Puan Amnah bergerak ke tempat ampaian di belakang
rumah untuk mengangkat kain baju yang disidai sejak awal
pagi tadi. Kalau diharapkan Nuha Qalisya, alamatnya kain tu
berembunlah gamaknya. Dia masuk ke ruang tamu. Kain
di tangannya diletakkan di atas sofa. Malam nanti dia akan
menjalankan operasi melipat. Ilaian gadis-gadis itu makin
galak kedengaran. Dia melihat kumpulan itu sudah bertambah
seorang lagi. Parah ni. Daripada berempat kini dah jadi berlima
pula. Laju saja kakinya melangkah ke muka pintu.
Eh, bila masa pula angah balik? Tak dengar kereta
masuk pun? Dia melihat anak keduanya, Aina Izzati duduk
bersembang baik punya. Dua cucunya, Saffiya Aisha dan Aqil
Imran asyik berkejaran ke sana ke mari. Riuh-rendah suara
mereka. Halaman rumah mereka di bandar, keluasannya
tidak seberapa. Jadi sesekali balik ke kampung, cucu-cucunya
bagaikan kemaruk tanah, berlari ke sana ke mari. Angah ni,
anak-anak dibiarkan begitu saja. Dia pula asyik bersembang,
desis hatinya. Kawan along, kawan dia juga. Apatah lagi mereka
tinggal sekampung. Sudah kenal sejak kecil.
“Dah lama angah sampai?” tanya Puan Amnah sebaik
saja tiba di halaman rumah. Dia mendukung Saffiya Aisha
tetapi si kecil itu memang lasak. Sekejap saja dia diam di
atas dukungan. Selebihnya berusaha meloloskan diri untuk
bergerak bebas.
“Baru saja, umi. Umi dari mana ni? Babah dengan adikadik
mana? Angah tak nampak pun?” Tangan uminya dikucup.
Mata Aina Izzati melilau mencari kelibat babahnya. Begitu juga
kelibat adik kembarnya tetapi langsung tidak kelihatan.
“Ada. Babah kamu tu kat bilik. Katanya nak rehat
sekejap sementara nak pergi ke surau. Petang tadi babah ke
kebun menebas, tu yang penat sampai sekarang. Adik-adik
kamu tu, kalau tak dengar azan tak akan balik ke rumah.
Sorang ada kat padang, sorang lagi katanya nak ke rumah Erma.
Errr... Mana suami kamu? Umi tak nampak pun sejak tadi?” Dia
tercari-cari kelibat menantunya. Hairan juga dia kerana Hafizi
jarang membenarkan isterinya balik hanya dengan anak-anak.
“Mana boleh Abang Fizi lepaskan angah balik dengan
anak-anak saja. Umi macam tak kenal menantu umi tu. Tadi
Abang Fizi kata nak ke kedai. Entah apa dia nak beli, angah pun
tak tahu.” Aina Izzati bersuara. Matanya tidak lepas memandang
si kecil, Aqil Imran yang leka bermain. Seronok bukan main.
“Bawa anak-anak masuk. Kejap lagi dah nak Maghrib,
tak elok anak kecil masih di luar rumah waktu-waktu begini.”
Uminya sudah berleter sebelum berlalu. Banyak lagi kerja yang
boleh dia lakukan daripada melayan kerenah anak-anak dara
itu. Terkedek-kedek Saffiya Aisya mengekori neneknya masuk
ke dalam rumah.
“Mak cik-mak cik ni tak reti nak masuk rumah ya,
Saffiya... Dah malam kan Saffiya Aisyah? Mak cik ni semua tak
ada kerja nak buat. Sebab tu mereka ni asyik berkumpul kat
tangga.” Puan Amnah bersuara sebelum masuk ke ruang dapur.
Sempat lagi dia memerli anak gadisnya yang asyik berlonggok
di tepi tangga itu.
“Umi kau kalau dah bercakap, pedih rasanya ulu hati
ni. Tak gitu, Ifa? Huh, rasa menyengat tadi. Kau tak rasa apa-apa
ke tadi? Sakit, beb.” Edora berseloroh. Dia sudah bersiap sedia
untuk bergerak pulang ke rumah. Begitu juga Maryam.
“Hahahaaa… Tapi kan, nasib baik umi kau tak suruh
kita ambil tikar bantal dan bermalam kat tengah laman ni
macam dulu-dulu tu.” Gelak tawa kedengaran antara mereka.
Cerita itu tidak pernah dilupakan walaupun masing-masing
kini sudah dewasa.
“Kak Ifa… Nanti adik boleh temankan. Khemah adik
masa pergi panjat gunung dulu masih elok. Nanti adik tolong
dirikan.” Aliff Adha berjenaka. Entah bila dia ada di belakang
Nuha Qalisya. Bulat mata Afifa mendengarnya manakala si
adik tersengih melihat abang kembarnya mengenakan teman
alongnya.
“Wah... Wah... Wah... Banyak cantik muka kamu.
Asyik nak mengenakan Kak Ifa. Pergi masuk sebelum umi
mengamuk. Tadi kami dah kena, nanti anak kesayangan dia
pula kena.” Maryam mengarahkan si kembar masuk.
“Yalah... Yalah... Kak Mar tak sporting macam Kak Ifa
dan Kak Dora. Kan, kan, kan…” Matanya dikenyitkan kepada
si adik. Maryam berpura-pura mengangkat tangan. Berdecit
kedua-duanya meluru masuk.
“Gemar benar dia orang menyakat aku!” marah
Maryam. Edora ketawa. Sejak kecil dia sudah terbiasa dengan
kembar itu. Ada saja bahan usikan untuk dikenakan kepada
kakak-kakak mereka.
“Biasalah tu. Kalau tiada dia orang nanti, kita pula yang
sunyi.” Afifa bersuara. Dia sudah berdiri. Punggungnya disapu
beberapa kali untuk membuang kekotoran yang melekat.
“Weh, aku gerak dulu... Esok confirm jadi program kita
tu. Dalam pukul dua petang kami sampai,” ujar Afifa. Mereka
merancang ke Pantai Teluk Ketapang untuk makan ikan celup
tepung yang begitu popular di kawasan itu.
Tak lama kemudian, kelihatan Persona masuk ke
pekarangan rumah. Hafizi keluar. Sempat lagi dia bertegur sapa
dengan kakak ipar dan dua teman Nuha Qalisya sebelum dia
melangkah masuk ke dalam.
Teman-temannya sudah berlalu. Pintu jeriji dikunci
kemudian Nuha Qalisya menutup pintu. Dia berpaling apabila
mendengar suara uminya.
“Kau orang ni macam tak pernah jumpa padahal
setiap hari menghadap muka sama aje. Cuba kamu cari muka
bakal menantu umi. Ada juga faedahnya. Umi pun boleh dapat
menantu.” Puan Amnah sudah melambakkan tawanya dengan
kata-katanya. Saja mahu mengenakan anak sulungnya.
“Umi ni… Sikit-sikit menantu.. Sikit-sikit menantu.
Cuba umi tanya along dah makan ke, dah mandi ke. Ni tak,
benda alah itu juga yang umi asyik sebut-sebut. Belum ada
jodoh, umi. Kalau dah ada, along kahwinlah.” Nuha Qalisya
sudah menarik muka masam. Sudah lama umi tidak bercerita
tentang jodohnya. Kalau dulu, hampir setiap hari dia terpaksa
menadah telinga mendengar bebelanuminya.
Selepas angah dirisik, hampir setiap hari uminya akan
menelefonnya memujuk dia menerima anak ketua kampung,
Luqman Hakim sebagai suami. Kata umi, dia tidak mahu
angah melangkah bendul. Kalau boleh umi mahu anak sulung
berkahwin terlebih dulu.
“Umi bukannya apa…” Nuha Qalisya sudah boleh
mengagak kata-kata umi yang seterusnya.
“Along tolong sambungkan, ek... Umi dah tua, nak
juga umi rasa along berumah tangga. Nak tengok anak umi ni
bahagia macam orang lain. Ada suami, ada anak-anak. Umi nak
kata macam tu, kan?” Nuha Qalisya sudah tergelak-gelak. Rasa
mahu bergolek-golek di atas simen. Geli hati melihat wajah
masam uminya meninggalkan ruang dapur.
“Dah balik kawan-kawan kamu tadi?” Tiba-tiba babah
masuk ruang dapur. Babah sudah siap memakai baju Melayu
dan berkain pelekat serta berkopiah. Pasti babah dah bersiap
sedia untuk ke surau di hujung kampung. Entah apa yang dicari
babah hingga ke dapur, dia sendiri tidak tahu.
“Bah... Cari apa?” tanyanya hairan. Babah tersengih.
Pelik dia melihat perangai babahnya tetapi tidak susah untuk
meneka sebenarnya. Mesti mencari uminya. Mana boleh umi
hilang dari pandangan mata babah.
“Cari umi ke?” tanya Nuha Qalisya lagi, biarpun
sebenarnya dia sudah tahu jawapan yang akan keluar dari
mulut babahnya.
“Ha’ah... Umi mana? Babah dah nak ke surau ni.” Kan
betul bagai dikata. Dia tersengih-sengih.
“Entah, babah... Tadi ada kat sini, asyik berleter aje.
Sakit telinga along tau. Umi tu, berleter memang tak boleh
dipisahkan. Macam irama dan lagu tak boleh berpisah,”
adu Nuha Qalisya. Babah sudah ketawa, kelakar benar dia
mendengar perumpamaan yang dibuat oleh anak sulungnya.
Kopiah di kepala dipusing-pusing.
“Umi berleter ada sebabnya. Ada kamu tengok umi
kamu tu berleter tanpa sebab? Suka-suka nak berleter?” balas
Encik Razlan. Nuha Qalisya tersengih. Dia tahu babahnya pasti
menyokong uminya. Umi dan babah sehati sejiwa dan saling
menyokong, desis hatinya.
“Dah... Dah… Babah nak ke surau ni. Mana pula adik
kamu ni? Dia tak tahu ke Maghrib dah lama masuk? Budakbudak
gitu la, suka sangat main-main. Suka sangat lambatkan
solat.” Kepalanya digeleng-geleng.
Mmm... Babah pun sama seperti umi. Kalau dah mula
berleter, memang susah nak berhenti. Aliff Adha muncul. Di
belakangnya kelihatan Hafizi juga bersiap sedia mengikut
babahnya ke surau.

No comments:

Post a Comment