TEKUN sekali Hakimie membelek majalah di
tangan. Siaran berita yang ke udara langsung tidak menarik
minatnya. Bukannya dia tidak suka menonton berita, cuma
sejak kebelakangan ini berita di Malaysia lebih banyak berbicara
soal politik. Dia bukanlah seorang yang obsesi soal politik ini.
Daripada terlalu mengikuti perihal politik yang tak akan ada
surutnya, baik dia membelek majalah berkaitan dengan design
terbaru rumah-rumah di luar negara. Boleh juga dijadikan
ilham untuk projek terbaru Star Properties Sdn. Bhd. nanti.
Bukannya copy-paste hasil idea orang lain, cuma menginginkan
ilham untuk menambah baik lagi hasil lukisan pelan di syarikat
pak longnya itu.
Dr. Haji Helmie yang duduk di sofa berhadapan dengan
anaknya hanya memerhati gelagat Hakimie. Sejak anak lelaki
tunggalnya itu balik dari New York, belum pernah dia melihat
Hakimie keluar ke mana-mana pada waktu malam. Aktiviti
harian anaknya itu hanya di rumah dan pejabat sahaja. Jika
tiada di rumah, di pejabatlah Hakimie berada. Dia sudah masak
benar dengan aktiviti harian Hakimie.
Walaupun anak lelakinya itu tidak tinggal bersamanya
kerana Hakimie lebih suka duduk sendirian, namun dia
sudah faham benar dengan perangai anak bujangnya yang
seorang itu. Hakimie bukanlah jenis yang suka menjelma jadi
‘Batman’ di malam hari. Hakimie lagi suka duduk di rumah
dan menghabiskan masa dengan melukis pelan-pelan untuk
mengisi waktu malamnya itu.
Sebagai seorang bapa, bukannya dia tak suka Hakimie
duduk di rumah malam-malam begini. Sejujurnya dia gembira
bila anaknya tidak terlalu melibatkan diri dalam aktiviti sosial
di luar sana. Tidak seperti anak-anak muda zaman sekarang
yang suka menghabiskan masa malam mereka ke kelab malam
dan melepak di gerai-gerai mamak. Hakimie bukan anak seperti
itu. Dia tidak gemar aktiviti di luar rumah pada waktu malam
meskipun dia bebas melakukan itu kerana dia tidak tinggal
bersama papanya.
Alhamdulillah… walaupun tidak dibesarkan dengan
didikan daripada seorang mama, namun Hakimie tetap menjadi
anak yang soleh. Dia amat berterima kasih kepada kakaknya,
Datin Haliza yang telah berjaya mendidik anaknya ini menjadi
insan yang berguna kala dia sibuk dengan kerjanya sebagai
seorang doktor di hospital kerajaan suatu ketika dulu.
Namun, keadaan Hakimie yang terlalu menyibukkan
diri pada kerja membuatkan dia sedikit risau. Sepatutnya
Hakimie memberi ruang kepada dirinya sendiri untuk bersosial
bersama teman-temannya di luar sana. Bukanlah keluar hingga
masuk ke kelab-kelab malam, tetapi cukuplah sekadar duduk
bersembang sekejap di gerai-gerai makan. Tidak pun, keluar
beriadah di hujung minggu. Ini tidak.... Anaknya itu seolaholah
tiada masa untuk semua itu.
Lagipun, sampai bila Hakimie perlu hidup dengan
kerja, kerja, kerja... Dalam usia yang sudah menjangkau dua
puluh lapan tahun, sepatutnya Hakimie sudah memikirkan soal
kahwin. Tidak pun soal teman wanita. Ini tidak… anaknya itu
seolah-olah tiada masa memikirkan masa depan dirinya sendiri.
Terlalu sibuk dengan urusan kerjanya sahaja.
Sebuah lagi keluhan terlahir pada bibir Dr. Haji Helmie.
Pening kepalanya memikirkan perihal satu-satu anak lelakinya
itu. Itu baru seorang, jika dia punya sepuluh anak yang perangai
sama macam Hakimie, entah-entah dia sudah diserang penyakit
darah tinggi agaknya.
Hakimie angkat kepala. Memandang papanya yang
tidak sudah-sudah mengeluh sejak dari tadi. Entah apa yang
dikeluhkan oleh papanya itu. Kedengaran berat sekali bunyinya.
“Pa… kenapa ni? Asyik mengeluh aje Kimie dengar.
Papa ada masalah ke, dekat klinik papa tu?” Soal Hakimie ingin
tahu. Majalah di tangan ditutup dan dibiarkan berada di atas
riba. Tumpuannya kini tertumpah kepada papanya.
Dr. Haji Helmie menghela nafas. Sedar pula anaknya
itu yang dia asyik mengeluh sejak dari tadi. Ingatkan, Hakimie
sudah hanyut sangat dengan majalah kegemarannya itu.
“Hakimie ni bila lagi nak kahwin? Takkan nak
membujang sampai ke tua pulak? Papa ni dah tua Kimie.
Bila-bila masa sahaja Allah akan ambil papa untuk kembali ke
pangkuan-Nya. Sebelum papa menutup mata, papa teringin
sangat tengok Kimie berumah tangga. Ada isteri dan anakanak.”
Itu dia! Tanpa mukadimah, tanpa salam, Dr. Haji
Helmie terus kepada isinya sahaja. Sudah malas hendak pusingpusing
satu taman bunga. Baik dia terus bertanya soalan yang
berlegar di kepala otaknya ketika ini.
Giliran Hakimie menghela nafas. Ini yang menyebabkan
dia jarang balik ke rumah sejak kebelakangan ini. Papa suka
sangat bercakap soal nikah dan kahwin sekarang. Sikit-sikit nak
tanya benda yang sama.
“Papa janganlah cakap macam tu. Kimie selalu doakan
papa panjang umur dan diberi kesihatan yang baik.”
“Itu papa tahu, tapi papa ni dah tua Kimie. Bila-bila
saja akan pergi. Sebelum tu… papa pun mahu juga lihat Kimie
berkahwin. Punya keluarga sendiri. Papa pun teringin nak
bergurau dan bermain dengan cucu-cucu papa. Tengok rakanrakan
sebaya dengan papa, kebanyakannya sudah ada cucu-cucu
mereka sendiri untuk diajak bermain. Tapi papa… tiada sesiapa
pun untuk diajak berhibur.”
Besar sungguh impian Dr. Haji Helmie mahu melihat
anak lelakinya itu mendirikan rumah tangga. Dia terlalu
mengharapkan keadaan rumah ini berubah dengan kehadiran
menantu dan cucu-cucunya.
Nak harapkan siapa lagi kalau bukan Hakimie. Dia
bukannya ada anak lain selain daripada Hakimie. Hanya anaknya
itu sahaja harta yang dia miliki. Jika boleh, dia mahu melihat
Hakimie berkahwin sebelum dia menutup mata. Lagipun,
dalam usia yang sudah menjangkau dua puluh lapan tahun itu,
sudah terlalu eloklah jika Hakimie mendirikan rumah tangga.
Bukannya asyik sibuk dengan urusan kerja dua puluh empat
jam.
“Bukan Kimie tak nak kahwin pa, cuma… belum
sampai waktunya lagi untuk Kimie mendirikan rumah tangga.
Kimie masih belum bersedia.”
Dr. Haji Helmie mengeluh lagi. Hakimie bila disoal
pasal kahwin, pasti itu sajalah jawapannya. Belum sampai
waktu dan belum bersedia.
“Sampai bila nak tunggu waktu tu... kalau Kimie
langsung tak nak buka hati tu untuk mana-mana perempuan.
Papa kenalkan Kimie dengan beberapa orang anak perempuan
teman-teman papa, tapi… semua Kimie tak berkenan. Kata tak
sepadan dan tak serasi. Papa sendiri tak tahu perempuan macam
mana lagi yang Kimie nak cari untuk dijadikan pasangan hidup.
Sedangkan anak-anak kawan-kawan papa tu tak kurang juga
hebatnya, cantik dan sopan. Kimie tu saja yang selalu bagi
alasan macam-macam untuk mengelak.” Bukan sekali dua
dia memperkenalkan Hakimie kepada anak teman-temannya,
namun semua ditolak mentah-mentah oleh anak bujangnya itu.
Bermacam alasan yang Hakimie berikan.
Hakimie hanya mampu berdiam. Bila bab nikah dan
kahwin ini diutarakan, memang dia tak banyak menjawab.
Sebenarnya dia rimas membicarakan topik ini. Tapi dia
tak mahulah papanya terasa hati bila dia menyuarakan
kerimasannya itu. Mahu dengan tidak, kenalah dia menadah
telinga mendengar saja omongan papanya.
“Kalau Kimie kecewa sebab Eriza, papa rasa Kimie tak
patut hukum diri sendiri tentang masa lalu. Bukan jodoh Kimie
dengan Eriza. Sepatutnya Kimie pasrah menerima ketentuan
Ilahi.” Dr. Haji Helmie menambah. Sejak anaknya itu putus
tunang dengan Eriza tiga tahun lalu, perangai Hakimie juga
sudah berubah. Hakimie seolah-olah menjauhkan diri daripada
jatuh cinta sekali lagi. Anaknya itu seolah-olah sudah kurang
keyakinan kepada kaum Hawa.
Inilah yang Hakimie bosan bila papa sudah
mengutarakan soal perkahwinan. Pasti akan timbul juga soal
Eriza. Gadis yang pernah menjadi tunangannya. Gadis yang
pernah dicintai sepenuh jiwanya. Namun, gadis itu juga yang
telah melukakan hatinya bila memutuskan pertunangan
mereka pada saat-saat mereka hampir menuju ke gerbang
perkahwinan. Eriza pergi tanpa mahu memandangnya.
Benar dia kecewa sangat dengan perbuatan Eriza
yang begitu tegar memutuskan pertunangan mereka kerana
mengejar cinta lelaki lain. Namun dia sudah dapat menerima
hakikat perpisahannya dengan Eriza. Malah dia sudah tidak
menaruh apa-apa harapan lagi kepada gadis itu untuk kembali
kepadanya. Baginya, Eriza sama saja dengan perempuan lain
yang suka bermain dengan cinta. Kepolosan dan wajah cantik
gadis itu tidak secantik hatinya.
Dia sedar, jodohnya bukan bersama Eriza Binti
Khalid. Cuma kekecewaan itu membuatkan dia kurang percaya
kepada kaum Hawa. Baginya, wanita umpama mawar berduri.
Nampak cantik dan harum, namun durinya cukup tajam bak
belati menusuk kalbu. Jika sebelum ini Hakimie pernah fobia
pada wanita, tapi kehadiran Eriza menyuntik semangat baru
dalam hidupnya. Eriza meyakinkan dia bahawa tidak semua
wanita itu perangainya serupa dengan mama Hakimie. Eriza
begitu bermakna buat dia. Tapi… akhirnya gadis itu juga telah
mengkhianatinya. Membuatkan dia serik dengan insan bergelar
wanita.
“Papa bukan nak paksa Kimie untuk berkahwin dalam
masa terdekat ini. Papa cuma mahu Kimie beri ruang kepada diri
sendiri untuk bercinta sekali lagi. Jangan kerana kekecewaan
masa lalu, Kimie dah serik untuk bercinta lagi. Bukan semua
wanita itu sama perangainya, Kimie. Cubalah beri ruang itu
untuk Kimie mengenali hati budi mereka. Jangan jadikan
kenangan lalu punca Kimie menolak cinta dalam hati Kimie
tu.” Sambung Dr. Haji Helmie lagi. Cuba menyuntik kata-kata
semangat buat anaknya.
Hakimie tertawa kecil. Kata-kata papanya itu
kedengaran lucu pula pada halwa telinganya. Papa kalau bagi
nasihat memang pandai. Dia suka mendengar segala nasihat
papanya tapi… nasihat papa tentang perempuan kedengaran
lucu pula pada dia.
Bukannya papa tak boleh nak bagi nasihat berkaitan
dengan cinta, rumah tangga dan wanita. Cuma… kelakar! Itu
saja jawapan yang dia ada.
“Aik… ketawa pulak dia. Papa tengah serius ni, Kimie
boleh pulak ketawakan papa.” Tukas Dr. Haji Helmie bila
anaknya itu sudah mula ketawa.
Anaknya itu begitulah, jika diajak berbicara soal
nikah dan kahwin, bukannya mahu diambil serius. Malah dia
pula yang ditertawakan. Entah apa yang kelakar sangat pada
nasihatnya itu.
“Macam manalah Kimie tak ketawa. Papa ni pandai
sangat nak suruh Kimie kahwin. Tapi papa tu… sampai sekarang
ni masih menduda jugak. Langsung tak nak buka pintu hati
papa tu dekat sesiapa. Kalau Kimie yang kahwin dulu, tu
langkah bendul namanya, pa. Kimie tak naklah langkah bendul
pulak. Sebagai anak dan lagi muda daripada papa, biarlah Kimie
mengalah. Biarlah papa yang nikah dulu sebelum Kimie.”
Sambil berkata, bibir Hakimie tersungging senyuman nakal.
Hatinya rasa digeletek rasa suka dapat mengusik papanya.
“Tu hah… Mak Cik Siti dah lama sangat menunggu
papa. Papa saja yang buat tak layan. Kesian Kimie tengok Mak
Cik Siti tu. Setia benar nampaknya dia dekat papa.” Sambung
Hakimie lagi bersama gelak tawanya yang sudah pecah.
Sememangnya itulah kenyataan. Papanya pandaipandai
hendak menyuruh dia mendirikan rumah tangga.
Namun, papanya sendiri sampai sekarang ini masih terus
menduda sejak berpisah dengan mamanya. Bukannya tiada
perempuan yang cuba mengurat papanya. Tapi papanya saja
yang tak nak melayan. Mak Cik Siti, jiran mereka sewaktu di
rumah lama dulu sudah lama menaruh hati kepada papanya.
Cuma papanya saja yang buat tidak tahu. Buat tidak kisah pada
perasaan Mak Cik Siti. Kasihan Mak Cik Siti. Sampai mereka
berpindah ke rumah baru ini, papa tetap tidak membalas cinta
Mak Cik Siti.
Dr. Haji Helmie mengetap bibir. Inilah yang dia malas
hendak berbicara soal nikah dan kahwin dengan Hakimie. Pasti
anaknya itu akan memulangkan paku buah keras kepadanya
semula.
“Papa lain Kimie. Papa ni dah tua. Dah tak layak nak
fikir soal nikah dan kahwin ni lagi. Yang penting, tumpukan
perhatian pada amal ibadah dan dekatkan diri kepada Allah.
Soal kahwin ni dah tak termasuk dalam senarai.”
“Tua-tua papa pun… masih laku jugak. Papa tu aje
yang selalu nak jual mahal.”
Itulah hakikatnya. Papanya biarpun sudah berusia, tapi
masih ramai juga yang hendak mengurat papanya itu. Cuma…
papanya tidak pernah melayan. Bukannya dia tak tahu senarai
peminat-peminat papanya itu. Waktu dia kecil dulu pun, cikgu
kelasnya Cikgu Saripah minat giler-giler dekat papanya. Tapi
papa buat derk aje. Sampaikan Cikgu Saripah berputus asa nak
pikat hati papa.
Dr. Haji Helmie hanya mampu menggeleng. Itulah
dia Muhammad Hakimie. Anak lelakinya yang terlalu bijak
mengelak bila diajak berbicara soal perkahwinan. Alih-alih, dia
pula yang terkena.
“Bercakap dengan Kimie ni… memang takde
kesudahannya. Ada saja modal nak menjawab. Dahlah… papa
nak masuk tidur. Esok pagi papa dah janji dengan kawan nak
keluar joging bersama.”
“Kawan? Hah… ini mesti perempuan, kan? Bakal mak
tiri Kimie ke? Papa ni baru aje pindah kat sini pun dah ada
kawan ye.” Galak Hakimie mengiat papanya yang sudah bangun
dari duduknya. Bersedia untuk naik ke atas.
“Bakal mak tiri apanya? Kawan papa tu lelaki. Jiran
kita yang tinggal kat depan tu ha. Tu la kamu… jarang sangat
balik rumah sampaikan jiran yang duduk depan rumah kita ni
pun Kimie tak kenal.” Dr. Haji Helmie menggumam.
Dr. Haji Helmie memang masih baru berpindah ke
sini. Baru tiga bulan. Rumah ini adalah rumah yang dibeli
daripada seorang temannya yang sudah berpindah ke Indonesia.
Rumah lama yang terletak di Taman Seri Jaya telah disewakan
kepada orang lain. Dia suka rumah ini. Walaupun tidak sebesar
rumahnya di Taman Seri Jaya itu, namun rumah ini sudah
cukup untuk dia dan Hakimie. Cuma itulah… anak bujangnya
ini tidak tinggal bersamanya. Lebih suka tinggal sendirian di
apartmentnya. Nak berdikari la katakan!
Hakimie tidak menjawab. Dia hanya ketawa saja.
“Kimie pula jangan tidur lewat sangat. Fikir-fikirkanlah
apa yang papa cakapkan tadi. Untuk kebaikan Kimie jugak.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam, pa. Sweet dreams, pa. Jangan
lupa mimpikan Mak Cik Siti ya.” Ucap Hakimie, masih lagi terus
mengusik papanya.
Dr. Haji Helmie menggeleng-gelengkan kepalanya.
Nakal benar anaknya itu. Sempat juga mahu mengusik dirinya
ini. Alahai… dengan Puan Siti si janda beranak lima itu pulak
tu.
Setelah kelibat papanya tidak kelihatan, Hakimie
menghela nafas lega. Mujurlah dia pandai mengelak daripada
terus diasak dengan soalan nikah dan kahwin daripada papanya
sebentar tadi. Sudahlah dia memang tidak suka mendengar
persoalan itu tapi papanya pula suka membangkitkan hal itu
di depannya.
“Bosan!” Tukas Hakimie.
Bukannya dia anti-wanita. Cuma… kenangan lalu
membuatkan dia seolah-olah alergi dengan wanita. Rumah
tangga papanya yang berkecai dan pertunangannya yang
terputus di tengah jalan membuatkan dia fobia jatuh cinta lagi.
Baginya semua wanita sama saja perangainya. Sama seperti
mama dan Eriza. Dia tak akan percaya lagi pada makhluk
bernama PEREMPUAN!
TERKEBIL-KEBIL mata Zara memandang siling yang dicat
dengan warna putih. Hatinya dipagut rasa geram yang teramat
sangat. Geram dengan si mamat poyo yang memang sengaja
hendak mencari pasal dengannya siang tadi. Tahulah Hakimie
itu bos dia, anak saudara Datuk Omar yang baru balik dari
New York, tapi janganlah sesuka hati nak buli staf bawahan
sepertinya ini. Memang tak adil!
Arghhh… Zara rasa ingin menjerit sekuat hati. Sakit
benar hatinya dengan keangkuhan Ketua Arkitek barunya itu
siang tadi. Berlagak lebih sangat. Muka tu pula poyo semacam
aje. Langsung tak senyum. Hensem pun, kalau muka ketat
semacam tak guna juga. Itu baru jadi Ketua Arkitek, kalau
jadi pemilik Star Properties Sdn. Bhd. entah macam mana
angkuhnya lagi muka si Hakimie itu agaknya.
‘Mujurlah dia itu bukan anak pemilik syarikat. Sekadar
anak saudara aje. Itu pun dah berlagak. Kerek!’ Komen hati
Zara.
Ingatkan bila Puan Rohana sudah berpindah ke tempat
lain, dia akan bebas seperti sang burung merpati. Rupanya dia
silap. Kali ini dia berjumpa pula dengan sang singa jantan. Lagi
ganas daripada Puan Rohana naga betina itu.
Huhuhuuu… apalah nasib!
Tahulah yang dia bersalah sebab melanggar belakang
kenderaan Hakimie pagi tadi, tapi janganlah nak ambil
kesempatan membalas dendam pula. Tak adillah namanya tu.
Dia paling benci orang yang tak berlaku adil sebegitu. Mentangmentang
jadi tuan ketua, sesuka hati nak jalankan edisi
buli-membuli. Itu baru sehari mereka bekerja di bawah satu
bumbung, jika sudah lama... sah akan menjadi-jadi sifat kaki
buli si Hakimie itu. Bayangkan, pagi tadi tak pasal-pasal lelaki
itu menyuruh dia membuat air kopi untuknya.
“Ingat aku ni setiausaha dia ke? Kan Kareena ada.
Sepatutnya kerja-kerja seperti itu Kareenalah yang kena
buat. Tentu Kareena berbesar hati menyediakan minuman
mamat poyo tu. Kareena kan minat tahap meroyan dekat dia.
Memanglah ringan tulang bila disuruh. Apa kena mengena
dengan aku pulak? Aku ni hanya seorang arkitek biasa sahaja.
Bukan setiausaha merangkap pembuat kopi!” Zara berkata
sendiri melepaskan amarah yang bersarang dalam hati.
“Lagipun… aku kerja kat sana sebagai seorang arkitek,
bukannya sebagai setiausaha. Jadi buat apalah nak suruh aku
buat semua kerja tu. Tu… nampak sangatlah nak kenakan aku.
Nak balas dendam dengan aku sebab dah terlanggar kereta dia
pagi tadi. Arghhh… tak sukanya!!!” Dia menyambung lagi.
Meluahkan sakit hati kepada Hakimie dengan menumbuknumbuk
bantal peluknya. Membayangkan itu adalah wajah
Encik Muhammad Hakimie yang cukup menyebalkannya.
Kalau hari-hari dia marah-marah begini, alamatnya
tak lama lagi dia akan masuk ke dalam grup Puan Rohanalah
jawabnya. Masuk grup pesakit darah tinggi!
Dia bangun dari baringnya. Kemudian melompat
turun dari atas katil. Langkahnya dibawa ke rak kecil yang
menempatkan segala novel-novel dan peralatan melukis. Pantas
sahaja dia mencapai pensil dan kertas putih. Daripada tak dapat
tidur, ada baiknya dia menconteng sesuatu untuk memuaskan
hatinya sendiri. Lagipun… sudah lama dia tak buat aktiviti
menconteng ini. Selalu tu asyik buat design rumah aje.
Kerusi ditarik kemudian dia duduk. Kedua belah
tangan menongkat dagu. Cuba berfikir apa yang perlu dia
lakukan saat matanya liat hendak terlelap ni.
“Nak lukis apa ya?” Soal Zara kepada dirinya sendiri.
Otaknya ligat berfikir apa yang perlu dia lukis pada waktu
tengah malam begini. Dulu waktu zaman sekolah, dia memang
suka subjek lukisan. Malah lukisannya sering menang di dalam
pertandingan yang disertainya.
Di universiti dulu pun, dia sering melukis dan lukisan
itu akan dijual kepada rakan-rakan sekuliah dan dijadikan duit
poket untuk menampung perbelanjaannya. Ada juga di antara
lukisan-lukisannya yang mendapat tempat untuk dijual di
Galeri Raja Rezza, abang iparnya itu. Dapatlah duit sampingan
sedikit.
Ting!
Tiba-tiba mentol kecil menyala di kepala. Tersengihsengih
dia dibuatnya. Waktu-waktu begini, timbul pula idea
yang dirasakan cukup bernas ini. Lantas dia terus mencapai
pensil.
“Bagus-bagus… dapat juga aku nak lepaskan geram.
Lepas ni bolehlah aku tidur dengan nyenyak. Heheheee…” Zara
berbicara sendiri.
Laju tangannya menconteng kertas putih di
hadapannya. Bibirnya sudah tersungging dengan senyuman.
Figura seorang lelaki mula bermain-main di layar ingatannya.
Heheheee…
No comments:
Post a Comment