DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 9



Tertutup sudah pintu
Pintu hati ku
Yang pernah dibuka waktu
Hanya untuk mu
Kini kau pergi
Dari hidup ku,
Ku harus relakan mu
Walau aku tak mau

Berjuta warna pelangi
Di dalam hati
Sejenak luluh bergeming
Menjauh pergi
Tak ada lagi
Cahaya suci,
Semua nada beranjak
Aku terdiam sepi
…………………………………
Agnes Monica – Matahari

“JANGAN lupa apa yang ibu pesan pada Kish. Kalau boleh ibu mahu majlisnya berlangsung secepat mungkin,” itulah pesanan penaja Hajah Badariah kepada Balkish ketika dia mahu berangkat balik ke Kuala Lumpur pagi itu. Pesanan yang penuh dengan harapan.
Balkish mengeluh. Sejak sampai tadi, dia tak putus-putus mengeluh. Permintaan ibu yang mahu dia berkahwin itu membuatkan otaknya berserabut. Takkanlah ibu langsung tak percayakan dia? Jahat sangatkah dia ini sampai begitu serong pandangan ibu kepadanya?
Walaupun dia bukan anak kandung ibu, namun dia tidaklah sejahat sangkaan ibu hingga sanggup merosakkan rumahtangga kakak sendiri. Dia sudah tidak ada perasaan lagi terhadap Eidham, walaupun sebesar kuman sekalipun. Masakan dia mahu menerima lelaki itu semula dalam hidupnya. Lagipun dia tidak tergamak hendak memusnahkan rumahtangga kakak yang amat disayangi. Dia rela berkorban demi melihat kebahagian Batrisya.
 “Hoi… apesal ni? Muka monyok aje. Takde seri langsung. Orang balik dari kampung muka gembira, kau pulak muka serabut. Macam ditimpa masalah negara!” sergah Ella. Dia yang baru lepas mandi menghenyakkan punggung di atas sofa bersebelahan dengan Balkish. Kusyen kecil berbentuk hati itu dilempar ke muka Balkish yang masih lagi termenung.
Wangian losyen Nivea Body Care yang dipakai oleh Ella menyerbu masuk ke dalam lubang hidung Balkish. Membuatkan lubang hidung Balkish yang mancung itu kembang kempis menghidu bau yang cukup menyenangkan itu. Kalau Ella duta Nivea Body Care, Aleya duta Vaseline Lotion, Balkish pula duta Garnier Body Lotion di rumah ini. Masing-masing ada jenamanya yang tersendiri. Heheheee…
“Kau ni tak reti nak bagi salam ke mak cik? Main ‘hoi-hoi’ macam orang tak ada pendidikan. Cubalah guna bahasa yang sedap untuk didengar sikit,” gumam Balkish. Geram betul dengan perangai Ella yang semakin menjadi-jadi itu. Kusyen kecil yang Ella lemparkan ke arahnya tadi dilemparkan semula ke arah gadis tinggi lampai itu. Tapi Ella cepat mengelak. Kusyen kecil itu tak kena pun pada muka Ella yang sudah ditempek dengan bedak sejuk itu. Ella dengan bedak sejuk memang tak dapat nak dipisahkan.
Ella tersengih macam arnab betina control muka comel. Dua jarinya diangkat menunjukkan simbol ‘peace’. Ngeee…
“Alaaa… itu pun nak sentap. Aku memain ajelah, mak cik.”
Balkish menjelirkan lidah. Geram dengan Ella yang suka main-main. Macamlah zaman kanak-kanak dulu tak puas nak main-main sampai dah besar panjang macam ini pun nak main-main lagi.
“Kau ni aku tengok sejak sampai dari kampung petang tadi asyik termenung aje. Dah tu kejap-kejap mengeluh. Kau ada masalah ke? Cer citer kat aku sikit. Manalah tahu aku yang bijaksana ini dapat menyelesaikan masalah dalam kepala otak kau yang berserabut tu,” selamba biawak betina saja Ella mengeluarkan ayat-ayatnya. Memang tingtong betullah minah ni.
Balkish mengeluh perlahan. Perlukah dia bercerita pada Ella segala-galanya? Sekali lagi sebuah keluhan kedengaran dihembuskan.
“Ni asyik mengeluh aje kenapa ni? Cuba cakap kat aku ni hah. Tak elok pendam masalah. Nanti lama-lama bawak penyakit dekat kau tau,” kali ini barulah nada Ella itu kedengaran sedikit dewasa. Tak main-main macam selalu.
Balkish mengeluh. Aduh… kalau banyak kali mengeluh macam ini rasanya Balkish dah boleh pegang gelaran ratu mengeluh ni.
“Aku peninglah Ella,” ujar Balkish.
“Laaa… kau pening aje ke? Kalau pening pergilah makan ubat.”
“Tapi ini bukan pening yang boleh sembuh lepas makan ubat. Ini pening benda lain.”
Dahi Ella berkerut empat. Tidak faham dengan kata-kata Balkish. Aik? Tadi cakap dia bijaksana. Sekarang buat muka blur pulak. Cakap tak serupa bikin betul minah senget ni.
“Ibu aku… dia suruh aku kahwin,” malas hendak pusing-pusing taman bunga Mak Leha, Balkish akhirnya berterus-terang sahaja. Nanti kalau dia pusing-pusing lagi, bertambah banyak kerutan pada dahi Ella. Tak pepasal tua awallah kawannya yang seorang itu.
“Baguslah macam tu. Umur kau pun dah masuk dua puluh tiga tahun. Elok sangatlah kalau kau nak berkahwin. Umur macam kau ni memang dah layak berumah tangga, Kish,” laju Ella memberi komen.
Balkish menggigit bibir bawahnya.
“Amboi… bukan main kau mengata aku ye. Yang kau tu pun apa kurangnya. Kita ni sebaya tau,” balas Balkish.
Ella tersengih. Lupa diri sebentar yang dia sebaya dengan Balkish. Ingatkan dia budak sekolah lagi.
“Kau dah ada calon ke? Heheheee… padanlah beberapa hari ni aku asyik terbau nasi minyak aje. Rupanya kau dah nak kahwin. Eh… nanti kau kahwin aku jadi pengapit ye,” senyuman pada bibir Ella sudah melebar. Kalau benarlah sahabatnya itu mahu berkahwin tak lama lagi, dapatlah dia makan nasi minyak. Dah lama benar dia tak meratah nasi minyak lepas majlis kahwin Kak Zaiton binti Sameon kira-kira tiga bulan yang lepas.
Balkish mengetap bibir. Ini yang dia malas berkongsi masalah dengan Ella. Bukan nak tolong selesaikan masalah, lagi menambahkan masalah ada la!
“Ini yang aku malas nak cerita kat kau. Bukannya nak tolong aku. Malah bukan main suka lagi kau. Aku ni manalah ada special boyfriend yang hendak dijadikan calon suami. Lagi mahu tanya. Apa selama ni kau nampakkah aku keluar dating dengan mana-mana lelaki? Kalau keluar pergi belajar tiap-tiap hari Sabtu dan Ahad tu memang selalulah aku pergi. Dating dengan buku dan assignment.”
Ella buat sengih. Lupa pula dia yang kawannya yang seorang itu belum punya teman lelaki. Jauh sekali nak ada calon suami. Memang pelik betul Balkish ni. Muka cantik, tapi boyfriend takde. Bukannya takde lelaki yang minat pada dia, cuma Balkish ni aje yang jual mahal sangat. Harga berjuta-juta hengget, mana ada yang berani dekat. Kalau ada pun si hensem itulah. Tapi itu pun Balkish buat tak layan aje. Konon si hensem itu buaya jadian. Buaya jadian pun kira okey apa. Poket tebal, kereta besar, rupa pun hensem. Kalau dialah di tempat Balkish… dah lama agaknya dia jadi isteri si hensem itu.
Sorry… lupalah,” ujar Ella.
“Belum tua dah nyanyuk,” tungkas Balkish.
Kemudian kedua sahabat itu diam membisu. Melayan perasaan masing-masing.
Aleya yang baru muncul dari dapur memandang pelik kedua sahabat baiknya itu. Dari dia sempat dengar keriuhan antara Balkish dengan Ella. Sekarang ni senyap pulak. Pantas Aleya mengambil tempat duduk di sebelah Balkish. Wajah sahabatnya itu dipandang. Keningnya diangkat sebelah ala Ziana Zain. Namun tiada sebarang tindak balas dari gadis itu. Dia beralih pula kepada Ella. Ella pun dua kali lima dengan Balkish. Diam membatu. Aleya mengetap bibir. Geram dengan dua minah kerek itu.
“Hey… yang korang berdua ni diam macam batu apesal?” soal Aleya dalam nada yang tak puas hati.
Balkish dan Ella tidak memberi sebarang jawapan. Sebaliknya hanya keluhan kecil yang keluar dari mulut masing-masing. Tapi itu hanya untuk seketika sahaja bila dengan tiba-tiba Ella menjerit nyaring. Hampir gugur tangkai jantung hati Balkish dan Aleya dek jeritan mengejut Ella itu. Dah macam orang disampuk hantu Kak Limah Balik Rumah aje.
Balkish dan Aleya mengurut-urut dada masing-masing yang berdebar hebat dek jeritan Ella itu. Mata keduanya sudah mencerlung memandang Ella yang sudah menyusun jari sepuluh memohon maaf atas keterlanjurannya.
“Opsss… sorry… aku tak sengaja,” ucap Ella dengan muka yang konon nak mintak simpati. Tangan diangkat seolah-olah orang sedang menyerah kalah.
Balkish memberi jelingan burung helang. Tajam sungguh jelingannya. Sudahlah otaknya sekarang tengah berserabut dengan desakan ibu, Ella pula buat hal dengan terjerit-jerit. Dah buang tebiat agaknya anak Pakcik Karim ini. Nanti ada juga aku hantar dia ni masuk ke Hospital Bahagia. Baru padan dengan muka yang cantik itu.
“Kau ni apehal? Tetiba aje terjerit-jerit. Dah buang tebiat?” gumam Aleya geram. Rasa macam nak ketuk aje kepala Ella bagi betul sikit. Manalah tahu kepala sahabatnya itu sudah mereng. Sebab tu terjerit-jerit.
“Alaaa… aku tak sengajalah. Tetiba aje kat kepala aku ni terlintas satu nama makhluk Allah ni. Tu yang aku terover sampai terjerit,” tungkas Ella. Dia bangun dari duduknya dan beralih pula ke sebelah Balkish. Peha Aleya yang cukup berisi itu ditampar perlahan memberi isyarat agar memberi sedikit ruang kepadanya untuk berada dekat dengan Balkish.
Aleya tak banyak songeh. Dia ikutkan sahaja tingkah Ella itu.
“Aku ada calon yang terbaik untuk kau,” kata Ella. Tiba-tiba dia teringatkan seorang calon yang dirasakan terbaik untuk menjadi teman hidup Balkish. Memang sesuai sangat!
Dahi Balkish berkerut seribu. Bebola mata Ella kelihatan begitu bersinar ketika itu. Dah macam mata Himawari adik si Shin Chan melihat lelaki kacak atau barang perhiasan yang berkilauan sahaja miripnya.
Siapa pulak calon yang hendak dijadikan suami aku ni? Jangan disyornya apek duda yang ada kedai runcit di blok C itu sudahlah. Tak hingin Balkish nak jadi bini baru apek yang gatal itu. Tua-tua pun miangnya boleh tahan. Tak sedar diri yang anak-anak dia tu dah sebaya dengan Balkish dan teman-temannya. Setiap kali ke sana membeli barang, pasti apek tua itu main kenyit-kenyit mata pada Balkish. Eiii… memang tak sedar diri langsung!
Saper?” soal Balkish.
“Harriz,” lancar sahaja nama Harriz meniti keluar dari mulut Ella.
Bulat mata Balkish kala mendengar nama Mr. Alligator itu keluar dari mulut Ella. Hisy… Ella ni! Macam dah takde nama lelaki lain lagi yang hendak disebutnya. Nama itu jugak yang menjadi pilihan pertama.
Aleya yang duduk di sudut hujung sebelah kiri sudah mengerut kening. Dia yang tak tahu hujung pangkal jalan cerita Balkish dan Aleya berasa bingung. Ni apa kes tetiba libatkan nama mamat hensem tu? Tanyanya pada diri sendiri.
“Kau ni macam dah takde nama lelaki lain yang kau nak sebut. Nama buaya jadian itu jugak yang kau pilih. Cubalah kau cari nama yang glamor sikit. Macam Tom Cruise ke… Shah Rukh Khan ke… Rosyam Nor ke… barulah semangat aku nak dengar.”
“Nama-nama yang kau sebut tu nama hero zaman 90-an. Ini hero zaman sekarang. Aku tengok Harriz tu sesuai sangat dengan kau. Bagai pinang dibelah dua. Walaupun aku ni sukakan Harriz tu, tapi aku rela korbankan perasaan suka aku ni demi kau, tau. Sebab aku memang suka sangat tengok kau dengan dia,” ujar Ella. Ceh!
Balkish mencebikkan bibir. Bagai pinang dibelah dua? Husy… tak sesuai! Buta agaknya Ella ni.
“Lagipun Kish… aku tengok Harriz tu macam serius aje sukakan kau. Tengok cara dia aje aku dah tahu. Kau cubalah bagi dia peluang sekali. Mana tahu kau boleh sukakan dia. Tak salah kalau kau cuba buka sikit pintu hati kau tu untuk Harriz,” ujar Ella menyambung kata.
“Cuba kata kau? Hisy… aku tak nak ar. Kau tak kenal lagi siapa Harriz tu, La. Dia tu playboy nombor satu kat KL ni. Aweks dia keliling pinggang. Entah-entah pinggang dia pun belum tentu muat untuk awek-awek dia tu. Aku tak nak jadi salah seorang daripada koleksi terkumpul dia. Na’uzubillah!” ujar Balkish.
“Tapi aku tengok dia serius sukakan kau,” kata Ella lagi. Masih berusaha mahu Balkish mencuba nasib untuk bercinta dengan Harriz.
“Hisy… Tak nak ar!”
“Alaaa… naklah,” desak Ella. Bahunya melanggar bahu Balkish.
“Tak nak!” dengus Balkish. Wajah sudah kelat macam buah belimbing muda.
“Nak,” kata Ella.
“Tak nak!” balas Balkish.
“Eiii… stop! Stop! Hey… apekehe dengan kome berdua ni? Cer citer dekat teman ni… biar terang,” ujar Aleya cuba berbahasa dalam loghat Perak. Bahasa yang ditirunya daripada Usop Wilcha. Sejak kebelakangan ini fenomena loghat Perak yang diperkenalkan oleh Usop Wilcha dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah dah semakin terkenal.
Aleya yang sudah bangun dari duduknya dan berdiri betul-betul di hadapan Balkish dan Ella sudah bercekak pinggang. Dah macam mak-mak tiri pula miripnya buat gaya macam itu. Wajah Balkish dan Ella dipandang silih ganti.
“Aku peninglah. Apa yang nak, tak nak ni? Dah tu kenapa libatkan nama Harriz pulak? Mamat tu tercalon dalam anugerah apa sampai korang bertengkar pasal dia ni?” bertalu-talu Aleya bertanya.
Wajah Balkish dipandang. Nampaknya wajah cantik itu sudah masam mencuka. Wajah Ella pula dipandang. Ella macam biasalah, tersengih ibarat kerang bakar busuk.
“Begini ceritanya. Ibu si Kish ni hah… dia nak Kish kahwin. Tapi masalahnya Kish ni mana ada boyfriend yang nak diajak berkahwin. Jadi aku pun tolonglah fikirkan saper insan bertuah yang boleh jadi pasangan Kish. Tup-tup yang terlintas dalam kepala otak aku ni si Harriz. Itu yang aku cadangkan dekat Kish untuk beri Harriz tu peluang. Lagipun aku tengok Harriz tu macam serius aje sukakan Kish. Kish ni aje yang terlebih syak. Tak salahkan kalau mencuba? Mana tahu serasi bersama,” panjang Ella memberitahu cerita sebenar kepada Aleya.
Aleya hanya mengangguk-angguk. Sudah faham apa sebenarnya yang terjadi. Padanlah muka Balkish masam macam kena simbah cuka, rupa-rupanya si Ella bagi cadangan nak kenenkan dia dengan Harriz. Alahai… si Ella ni, macamlah tak tahu yang Balkish ni alergik sangat dengan nama Harriz tu. Mulalah tarik muka empat puluh empat.
“Biar aku tak bersuami… nama nak jadi isteri Mr. Alligator itu jangan harap. Tak hingin aku!”
“Belum cuba belum tahulah, Kish. Mana tahu dengan kau si Harriz tu memang betul-betul serius. Kau cubalah bagi dia peluang. Kalau kau nak tahu, Kak Liza kata dia ada datang sini dua hari lepas cari kau. Tapi waktu tu kita semua balik kampung. Daripada air muka Harriz, Kak Liza kata dia kecewa sangat tak dapat nak jumpa kau. Kesian Kak Liza tengok dia,” Aleya mula menceritakan apa yang diberitahu oleh Kak Liza kepadanya sewaktu dia baru sampai pagi tadi. Termuncung-muncung bibir Kak Liza bercerita. Penuh penghayatan.
Aleya pun setuju dengan Ella. Apalah salahnya kalau Balkish memberi sedikit ruang untuk mengenali hati budi Harriz. Mana tahu Balkish boleh jatuh cinta pada lelaki yang dipanggil Mr. Alligator itu. Siapa tahu, kan?
Lagipun perasaan cinta itukan boleh dipupuk. Macam zaman dulu-dulu. Ramai yang kahwin atas pilihan keluarga. Akhirnya bahagia juga. Malah anak orang dulu-dulu lagi ramai berbanding dengan anak orang zaman sekarang yang konon kahwin atas dasar cinta. Lagi penting, usia perkahwinan orang dulu-dulu lagi bertahan lama berbanding dengan orang yang bercinta sebelum berkahwin ini.
Balkish ketap bibir. Ni apa kes pula Ella dengan Aleya tetiba nak suruh dia kahwin dengan Harriz pulak? Tak cukup dengan ibu yang asyik mendesak untuk dia berkahwin, Ella dan Aleya pun memaksa untuk dia berkahwin dengan Harriz. Aduh… bertambah migrain kepalanya. Ingat dengan bercerita pada Ella dan Aleya, bolehlah kurangkan sedikit beban dalam kepala otak ni. Tak sangka pulak semakin serabut jadinya. Huhuhuuu…
Bencilah macam ni! Sikit-sikit Harriz.
“Dahlah! Aku malas nak layan korang. Masuk bilik lagi bagus,” gumam Balkish. Dia bangun dan bergerak menuju ke biliknya.
“Kata tadi nak tengok Mentor,” ujarAleya.
“Malaslah! Takde mood,” balas Balkish dengan muka masam. Pintu bilik ditutup rapat.
Tiba-tiba BlackBerry Balkish mengalunkan irama indah ombak rindu. Mesej masuk! Pantas Balkish mencapai Samsung S3 yang terletak atas meja sisi tepi katil. Bibirnya diketap geram. Baru disebut-sebut, sekarang tuan punya badan sudah menghantar mesej.
“Ini semua Aleya dengan Ella punya pasal. Suka sangat sebut nama Mr. Alligator itu,” bebel Balkish seorang diri.
Namun kotak mesej tetap dibuka.

Hi, sweet princess. Miz u so much.

Hanya itu mesej ringkas dari Harriz. Balkish menggigit bibirnya lagi. Tanpa berlengah laju mesej daripada lelaki itu dipadam dari kotak inbox. Buat semak kotak inboxnya saja mesej lelaki itu. Menyampah!
“Menyakitkan hati jer. Dahlah orang tengah serabut dengan permintaan ibu yang mengejut tu. Dia pula nak ber’mizu miz u! Reply ‘hate u’ kang, baru dia tau. Huh!” Balkish masih mengomel sendirian.
Badannya dihempaskan di atas katil beralaskan tilam empuk. Fikirannya benar-benar berserabut kini.
Kenapalah ibu tak pernah nak percayakan aku? Jahat sangatkah aku ni pada pandangan ibu? Sampai ibu takut sangat aku merampas suami Kak Risya. Ya Allah… apa yang aku kena buat ni??

***************************************************************************

EIDHAM mengeluh lagi. Bayangan wajah Balkish bermain-main di ruang matanya. Rasa tak puas dia menatap wajah Balkish ketika gadis manis itu berada di kampung. Balkish tak banyak berubah. Masih cantik macam dulu. Cuma Balkish dah tak selembut dulu. Balkish kini seorang gadis yang tegas dan keras hati. Tengok sahaja cara Balkish melayannya sepanjang gadis itu bercuti di kampung, langsung tak ada sebarang kemesraan. Bukan itu sahaja, renungan tajam Balkish juga dapat dilihatnya. Tentu Balkish masih marahkan dia disebabkan keputusannya untuk berkahwin dengan Batrisya dulu.
Sekali lagi Eidham mengeluh. Kepalanya didongak memandang langit malam. Betapa cantiknya cahaya bulan malam ini. Namun keindahan itu tidak mampu menceriakan hatinya yang sedang dilanda rasa gundah. Dia tahu semua ini adalah salahnya. Dia sedar Balkish terluka dengan tindakannya tiga tahun dulu. Dia tak patut memungkiri janji yang telah dia lafazkan sewaktu dia berkasih sayang dengan Balkish. Sepatutnya dia berpegang teguh pada janji yang dia lafazkan buat buah hatinya itu. Betapa kejamnya dia kerana telah membuatkan hati suci milik Balkish terluka.
Lima tahun dulu, sebelum dia berangkat ke UK, dia dengan Balkish pernah berkasih sayang. Biarpun ketika itu cinta mereka bergelar ‘cinta monyet’, namun dia tak pernah menghiraukannya. Baginya, dia mahu melindungi Balkish dan menyayangi gadis malang itu. Dia tahu nasib yang menimpa Balkish. Dia mahu membuatkan Balkish gembira dengan kehadirannya. Rasa sayangnya pada Balkish tak pernah berubah.
Setahun ketika dia berada di UK kerana melanjutkan pengajian di sana, kasih sayangnya masih utuh buat Balkish. Cinta mereka masih mekar di taman hati. Sehinggalah tahun kedua, ketika Batrisya belajar di universiti yang sama dengannya. Perasaan itu perlahan-lahan hilang dan beralih pula kepada Batrisya.
Sikap penyayang dan mengambil berat Batrisya ketika dia jatuh sakit membuatkan hatinya terbuka untuk gadis itu. Enam bulan dia mengenali hati budi Batrisya, akhirnya dia membuat keputusan untuk melamar Batrisya yang manis. Ketika itu dia lupa pada Balkish. Langsung tak ingat janji-janjinya pada Balkish. Cintanya hanya untuk Batrisya.
Tapi kini, setelah masuk tahun ketiga membina rumah tangga bersama-sama Batrisya, perasaannya kembali hadir buat Balkish. Dia terasa rindukan gadis itu. Dia rindu pada ketawa dan senyuman Balkish yang hadir untuk dirinya. Dia ingin menyuarakan kerinduan itu, namun dia tiada keberanian untuk berbuat demikian setelah apa yang dia lakukan terhadap Balkish. Cuma bila Balkish ada balik ke kampung minggu ini, barulah dia berpeluang menyuarakan kerinduan yang terpendam. Dia seperti sudah tidak menghiraukan lagi apa yang bakal terjadi andai Batrisya mendengar luahannya itu.
Sempat jugalah beberapa kali dia mencuri peluang berbual dan meluahkan kerinduan kepada Balkish andai Batrisya tiada sama. Namun Balkish cepat mengelak dan menghindarkan diri. Itulah yang amat mengecewakan dirinya.
“Abang…” panjang panggilan daripada Batrisya. Bahu suaminya itu disentuh perlahan. Kemudian dia mengambil tempat duduk di sebelah suaminya. Mug berisi air Nescafe panas diletakkan di atas meja kopi berhadapan dengan kerusi rotan tempat mereka duduk.
Eidham menarik senyuman segaris.
“Kenapa ni? Sayang tengok abang senyap aje. Abang ada masalah di pejabat ke?” soal Batrisya penuh kelembutan. Memang selama ini dia tak pernah berkasar pada suaminya itu. Jika ada pun perselisihan faham, Batrisya jarang meninggikan suaranya terhadap Eidham. Rajuknya juga hanya rajuk yang sementara.
Eidham menggeleng.
“Habis tu… kenapa abang diam aje dari tadi? Apa yang abang fikirkan?” tanya Batrisya masih ingin tahu apa yang sedang difikirkan oleh suaminya itu sejak kebelakangan ini. Sejak mereka kembali semula ke tanah air, sikap Eidham berbeza sekali. Suaminya itu selalu sangat termenung dan lebih mementingkan urusan kerja daripada dirinya. Kadang-kadang dia terasa hati juga. Namun cepat-cepat dia mengusir rasa itu dari terus bermukim dalam hatinya. Tidak mahu perasaan itu menjadi nanah dalam kehidupan rumah tangganya.
Takde apa-apa sayang. Abang cuma penat sikit,” bohong Eidham. Tak sampai hati hendak memberitahu Batrisya apa yang difikirkannya.
Kesian abang. Meh sini sayang picitkan bahu abang,” Batrisya menawarkan diri untuk memicit bahu suaminya. Fikirnya memang benar Eidham sedang keletihan. Langsung dia tak terfikir bahawa suaminya itu sedang memikirkan pasal perempuan lain. Pasal adik kesayangannya.
Perlahan Batrisya meletakkan jarinya ke bahu Eidham. Kemudian dengan lembut dia memicit-micit bahu suami kesayangannya itu. Suasana antara mereka sunyi sahaja ketika itu. Tiada apa yang hendak dibicarakan.
“Abang….” panggil Batrisya dengan manja. Jarinya masih setia memicit bahu Eidham.
“Hmmm….” hanya bunyi itu yang keluar dari mulut Eidham.
“Sayang sayang abang,” luah Batrisya. Perlahan urutannya dileraikan dan tubuh suaminya dipeluk. Entah kenapa dia rasakan seperti ada jurang dalam hubungan mereka kini. Tidak semesra dulu. Dia takut perasaan Eidham berubah.
Eidham yang nyata terkejut dengan tindakan spontan isterinya itu menggigit bibir bawahnya. Matanya dipejam. Perlukah dia membalas pelukan Batrisya itu? Kenapa perasaannya semakin beku terhadap Batrisya? Pelukan manja Batrisya langsung tidak menggetarkan hati lelakinya. Tidak sehangat dulu.
“Abang pun sayang sayang jugak,” luah Eidham tanpa perasaan cinta yang ikhlas. Dia berpaling mengadap wajah Batrisya. Sebuah senyuman dihadiahkan buat isterinya itu. Cuba menyembunyikan apa yang bermain dalam perasaannya kini.
“Abang jangan tinggalkan sayang ye,” tutur Batrisya. Dia takut andai suami yang disayanginya itu akan meninggalkan dia suatu hari nanti. Cintanya pada Eidham tidak pernah berubah. Eidham lelaki pertama yang telah membuka pintu hatinya. Dan dia juga berharap agar lelaki itu menjadi lelaki terakhir buatnya.
Eidham sekadar mengangguk lemah. Perlahan dia mengangkat tangan lalu memeluk bahu Batrisya. Pelukan yang erat namun tiada sebarang rasa. Itu yang Eidham rasa kini.
Apa sebenarnya yang aku mahukan? Kenapa perasaan sayang itu sudah tiada lagi buat isteriku ini? Bisik Eidham dalam hati. Kian keliru dengan perasaannya sendiri

No comments:

Post a Comment