Penaku menari
mencoretkan
Sebuah puisi kelukaan
Gurindam jiwa
Cinta dan airmata
Di kamar hati ini
Masih ada sembunyi
Kenangan yang tak mampu
Ku lemparkan jauh
Penaku menari melakarkan
Gambar kesayuan masa silam
Tinta bersulam biru
Warna kerinduan
Berkaca jernih ingatanku
Biarpun dikau telah jauh
Dari pandanganku
Sebuah puisi kelukaan
Gurindam jiwa
Cinta dan airmata
Di kamar hati ini
Masih ada sembunyi
Kenangan yang tak mampu
Ku lemparkan jauh
Penaku menari melakarkan
Gambar kesayuan masa silam
Tinta bersulam biru
Warna kerinduan
Berkaca jernih ingatanku
Biarpun dikau telah jauh
Dari pandanganku
…………………………………
Erra
Fazira – Berteman Sepi
Kancil
putih 2431 akhirnya selamat sampai ke destinasi yang dituju. Bibirnya diketap
kala pandangan dihala ke arah rumah banglo dua tingkat yang tersergam indah
itu. Tiba-tiba debaran di hatinya kian berkocak deras. Sudah lama dia tak melihat
banglo itu. Tidak banyak yang berubah kecuali warna banglo itu yang kini
bewarna putih susu. Persekitaran masih lagi cantik dan teratur macam dulu.
Sebuah keluhan kecil tercetus keluar dari mulut
Balkish. Entah kenapa tiba-tiba hatinya terasa berat mahu melangkah keluar.
Jika boleh dia mahu mengundurkan semula Kancil itu dan beredar keluar dari
perkarangan banglo Seri Impian. Rasanya tak sanggup untuk dia melangkah turun.
Tok! Tok! Tok! Ketukan pada cermin kereta membuatkan
Balkish tersentak. Pantas dia memusingkan kepalanya. Spontan itu juga bibirnya
yang comel mekar dengan senyuman manis. Seorang wanita berambut panjang hingga
ke paras bahu tersenyum sambil memberi isyarat menyuruh dia keluar. Wanita itu
nampak begitu cantik sekali.
“Kak Risya!” jeritnya yang masih berada dalam
kereta. Gembira bukan kepalang lagi dia kala terpandangkan wajah cantik
Batrisya yang kelihatan berseri-seri. Segera dia membuka pintu kereta lalu
mendapatkan Batrisya. Lama mereka berpelukan bagi melepaskan rasa rindu yang
selama ini dipendam.
“Rindunya dekat Kish…” luah Batrisya sambil
mengeratkan lagi pelukannya.
“Kish pun rindukan akak. Dah lama tak jumpa,”
Balkish turut meluahkan kerinduan yang terpendam selama ini.
Cukup lama rasanya dia tak berada dalam pelukan
Batrisya yang sering membuatkan dia berasa tenang. Dulu jika dia bersedih dan
berharap ada bahu yang dapat dijadikan untuk melepaskan kesedihan, Batrisyalah
yang akan ditemuinya. Batrisya tak akan membiarkan dia menanggung kesedihan
seorang diri. Begitulah tulusnya hati Batrisya kepadanya. Saat suka dan duka
Batrisya pasti ada bersama. Disebabkan itulah bila Batrisya melanjutkan
pengajian ke UK, Balkish terasa kesunyian. Tiada kawan tempat meluahkan segala
yang terpendam di dalam hati.
“Kish semakin cantik sekarang. Dah gemuk sikit,” komen
Batrisya setelah pelukan terlerai. Jemarinya dengan jemari Balkish bertaut
erat.
“Iye ke Kish gemuk kak? Alaaa… kena diet la macam ni.”
Batrisya mengangguk sambil bibirnya yang agak
kemerah-merahan itu meleret dengan senyuman. Tak payah nak pakai lipstick merah
menyala, bibir Batrisya memang dah kemerahan asli. Pak Salleh, bekas pemandu
ibu pernah berkata, wajah Batrisya lebih ikut wajah arwah ayah.
“Sikit je. Macam ni barulah nampak cantik. Takdelah kurus cekeding sangat macam dulu. Ingat, tak? Dulukan badan Kish kurus
sangat. Macam orang tak cukup makan aje.
Sampaikan semua kawan-kawan sekolah usik Kish ‘bini popeye’ ” Batrisya ketawa mengenang kelucuan masa lalu.
Tersenyum Balkish mendengar usikan Batrisya. Dia
juga perasan yang kini tubuhnya sudah tidak sekurus zaman sekolah dulu. Jika
dulu, dia selalu mendapat jolokan ‘bini popeye’
kerana badannya yang melidi itu. Idrus si mulut longkang itulah yang paling
suka mengusiknya dengan panggilan tersebut. Kononnya Kish tak cukup vitamin.
Tapi kini, badannya sudah sedikit berisi.
“Akak pun makin cantik jugaklah. Berseri-seri aje Kish
tengok,” puji Balkish pula. Pujiannya ikhlas. Memang kakaknya itu kelihatan
semakin cantik sekarang ini. Dari dulu sampai sekarang, kecantikan milik
Batrisya tak pernah pudar. Malah makin berseri-seri pula kakaknya itu.
“Iye la
tu… pandai betul adik akak ni puji. Nak bodek ye,” Batrisya menarik hidung mancung si adik. Membuatkan gadis
manis itu ketawa.
“Jom la kita masuk. Boleh bercerita panjang kat dalam. Akak ada banyak story mory nak kongsi dengan Kish. Dah
lama sangat tak sembang dengan adik kesayangan akak ni,” Batrisya menarik
tangan Balkish untuk masuk ke dalam.
“Eh… kejap ye
kak. Kish nak ambik beg. Kish ada belikan rojak buah kegemaran akak kat dalam kereta,” Balkish membuka pintu
belakang kereta Kancilnya. Dia mengeluarkan beg pakaian sederhana besar bersama-sama
satu plastik hitam rojak buah yang dibeli khas buat Batrisya. Dia tahu kakaknya
itu memang gemarkan rojak buah dari dulu lagi.
Mekar senyuman Batrisya ketika menyambut plastik
hitam yang dihulur Balkish. Dia melihat isi di dalam plastik hitam itu.
“Terima kasih, Kish. Ingat lagi Kish dengan makanan
kesukaan akak ye? Ingatkan Kish dah
lupa.”
“Mana boleh lupa. Kish tahu sangat akak tu ‘hantu’
rojak buah. Sebab tu masa nak balik sini tadi Kish singgah kat gerai, beli rojak buah,” usik Balkish. Batrisya sudah ketawa
mendengar usikan adiknya itu. Sudah lama dia tak makan rojak buah kerana berada
di luar negara. Nampaknya Balkish tak pernah lupa makanan kegemarannya itu.
Balkish memang adik yang baik.
Ketika kaki melangkah masuk ke dalam banglo itu,
hati Balkish tiba-tiba sahaja menjadi sayu. Kenangan lama mula menerpa ke ruang
minda. Di sinilah segala rahsia tentang siapa dirinya yang sebenar terbongkar.
Di ruang inilah dia menangis tersedu-sedu seorang diri tanpa dihiraukan oleh
ibu dan tok mak. Pedihnya kenangan malam itu.
“Ingatkan aku dah tak akan tengok muka kau lagi. Tak
sangka pulak kau akan balik semula ke rumah ni.”
Satu suara kedengaran sinis menyindir. Pantas
Balkish dan Batrisya menoleh serentak. Di ruang tangga kelihatan kelibat tok
mak yang sudah bergerak mahu turun ke bawah. Wajahnya kelihatan masam mencuka.
Langsung tidak tersenyum. Benci sungguh dia kala terpandangkan kelibat Balkish
yang berada di ruang tamu rumah itu. Serta-merta dendam lamanya menyala
kembali.
Balkish cuba memaniskan wajahnya. Cuba tidak
menghiraukan sindiran sinis tok mak yang telah mengguris perasaannya ketika
itu. Perlahan dia melangkah untuk memberanikan diri menghampiri tok mak yang
sudah berada di ruang tamu. Tangannya dihulurkan kepada tok mak mahu bersalam.
Namun seperti yang telah dijangka, huluran tangannya langsung tidak disambut
oleh tok mak. Dengan selamba dan muka yang masam tok mak berlalu ke luar rumah.
Tindakan tok mak itu telah membuatkan Balkish malu sendiri. Kecil benar hatinya
dengan tindakan tok mak itu.
Melihat tingkah tok mak yang langsung tak berubah
itu, Batrisya mengetap bibir. Geram pula dia dengan sikap tok mak yang tak
pernah mahu melayan Balkish dengan baik. Layanannya terhadap Balkish masih sama
seperti dulu.
Kesian Kish. Bisik hati kecil Batrisya. Dia kemudian
melangkah merapati adik kesayangannya itu.
“Kish jangan ambil hati dengan kata-kata tok mak tu ye. Biasalah tok mak tu kan dah tua,
memang suka cakap yang bukan-bukan,” pujuk Batrisya. Bahu adiknya disentuh.
Bibirnya terukir sebuah senyuman nipis.
“Takdelah
kak. Kish tak kisah pun. Kish okey je.
Dah biasa dengan cara tok mak yang macam tu,” Balkish sekadar mahu menyedapkan
rasa hati Batrisya dan rasa hatinya sendiri.
Batrisya menarik senyumanya lebar. Dia tahu hati
adiknya itu terluka dengan kata-kata tok mak yang tak pernah berlapik. Namun
dikawal untuk menjaga hatinya.
“Risya… ibu dah nak pergi ni. Betul ke Risya tak nak
ikut ibu dengan tok mak sekali?” suara ibu kedengaran lembut berkata kepada
Batrisya. Ibu begitu asyik membetulkan lengan baju jubah yang dipakai. Ketika
matanya memandang ke bawah, dia benar-benar tersentak melihat gadis bertudung
biru yang berdiri di sebelah Batrisya. Bila masa gadis itu sampai? Setelah
sekian lama… dia benar-benar tidak menyangka akan tertemu lagi dengan gadis
itu.
Balkish melakar senyuman pada bibir. Dia menghampiri
ibu yang kaku berdiri di anak tangga terakhir. Tentu ibu terkejut dengan
kepulangannya yang tidak dijangka itu. Mana tidaknya, lebih kurang tiga tahun
dia tidak pulang-pulang ke rumah itu. Tiba-tiba hari ini dia muncul semula.
“Assalamualaikum, bu. Ibu apa kabar?” sapa Balkish.
Tangan ibu dicapai lalu dicium penuh rasa hormat. Biarpun dia bukan lahir
melalui rahim ibu, namun ibulah wanita yang telah menjaga dan membesarkannya
walaupun ibu tak pernah mahu menyayangi dirinya.
“Errr… walaikumusalam. Baik. Bila sampai?” kaku
Hajah Badariah bertanya. Dia bagaikan tidak percaya melihat kelibat Balkish di
dalam rumah itu lagi.
“Baru je. Kish ada belikan buah tangan untuk ib…”
belum sempat Balkish menghabiskan ayatnya, ibu terlebih dahulu bersuara.
“Errr… takpelah.
Ibu nak keluar ni,” tungkas Hajah Badariah. Dia melangkah mendekati Batrisya.
“Betul ke Risya tak nak ikut ibu dengan tok mak
pergi ke majlis kenduri cukur jambul cucu makcik Senah ni?” tanya Hajah
Badariah sekali lagi. Wajah anak kesayangannya itu dipandang penuh rasa kasih.
Batrisya merupakan harta paling berharga yang dia miliki. Zuriat peninggalan
arwah suaminya.
“Hmmm… betul, bu. Risya nak duduk kat rumah temankan Kish. Lagipun dah
lama Risya tak duduk bersembang dengan Kish. Ibu sampaikan aje salam Risya dekat Shasha dan makcik Senah ye,” dengan manja Batrisya mengenggam jemari ibu kesayangannya.
Sejak ayah meninggal dunia hampir dua puluh dua tahun lalu, pada ibulah segala
kasih sayangnya tertumpah. Ibulah segala-galanya.
“Kalau Risya dah kata macam itu baiklah. Ibu pergi
dulu. Assalamualaikum.”
“Walaikumusalam. Ibu pandu kereta hati-hati tau,” sambut
Batrisya lalu tangan ibu dicium penuh hormat. Sebagai balasan, ibu dengan penuh
kasih telah mencium pipi anak perempuannya itu.
Melihat kemesraan antara ibu dengan kakaknya, hati
Balkish dipagut rasa sedih. Alangkah bahagianya jika ibu memberi layanan yang
serupa dengannya. Tentu dia tak akan rasa tersisih meskipun tok mak tak pernah
menyayanginya. Kasih ibu sahaja sudah cukup buat Balkish. Namun apakan daya,
ibu tak pernah melayan dia seperti itu. Sikap ibu terhadapnya sedingin salju.
Bagi ibu… Balkish merupakan anak wanita yang telah merosakkan kebahagian ibu
dan ayah.
Balkish menghela nafas. Cuba menghalau rasa sedih
yang bertandang. Air mata yang sudah bergenang itu juga disapu perlahan. Dia
tidak mahu Batrisya sedar ada air mata yang mahu mengalir.
“Jom kita naik atas. Akak dah kemaskan bilik Kish,” ajak
Batrisya. Jemari adiknya sudah diraih lalu ditarik untuk naik ke bilik di tingkat
atas. Balkish hanya menurut tanpa banyak bicara.
Sebaik pintu bilik yang sudah lama ditinggalkan itu
dibuka, hati Balkish menjadi semakin sayu. Bilik itu tidak banyak berubah.
Masih macam dulu. Bezanya cuma kain cadar dan langsir sahaja yang berubah warna.
Susun atur dalam bilik itu masih sama seperti hari terakhir dia tinggalkan
bilik tersebut.
Perlahan Balkish melangkah masuk ke dalam biliknya.
Memerhati segenap ruang yang kelihatan cukup bersih daripada sebarang habuk.
Tentu pembantu rumah di rumah ini yang sering membersihkan biliknya itu. Jika
tidak, takkanlah sebersih itu biliknya kelihatan.
Batrisya melabuhkan punggung di atas katil bertilam
empuk milik Balkish. Hari pertama dia sampai ke rumah ini, bilik Balkish ini
kelihatan tak berseri langsung. Seolah-olah dijaga ala kadar sahaja. Dia dan
Kak Gaya orang yang bertanggungjawab membersihkan dan mengemaskan bilik adiknya
itu supaya kelihatan berseri seperti ini. Dia mahu bila Balkish balik nanti
hati adiknya senang melihat biliknya yang dijaga rapi. Dia tidak mahu Balkish
terasa hati melihat keadaan biliknya yang langsung tidak berseri itu. Nampak
sangat apa sahaja benda yang berkaitan dengan Balkish tak diambil peduli oleh
ibu dan tok mak.
“Tak banyak yang berubah dalam bilik ni kan, kak?”
tanya Balkish. Punggungnya dilabuhkan di sebelah Batrisya.
Batrisya hanya tersenyum dan mengangguk. Kesian
Balkish. Kalaulah dia tahu keadaan biliknya sebelum ini, tentu dia akan sedih
dan semakin berjauh hati dengan penghuni dalam rumah ini.
“Ibu tu
nampak aje dingin macam salji kat UK, tapi ibu tak pernah abaikan Kish. Tengok
ajelah bilik Kish ni. Dijaga dengan
rapi. Itu tandanya ibu sayang Kish tau,” Batrisya buat cerita agar Balkish
dapat merasakan kasih sayang ibu mereka.
Balkish sekadar tersenyum segaris. Susah untuk dia
mahu percaya pada kata-kata Batrisya itu. Bukannya dia tak tahu macam mana ibu
tak sukakan dia. Mustahil untuk ibu mahu bersusah payah menjaga biliknya ini.
Namun Balkish malas mahu mengulas panjang lebar. Biarlah….
“Akak tu… kenapa tak bagitahu Kish awal-awal yang
akak dah pulang ke JB? Sampai betul hati. Dah tiga hari kat sini baru nak call Kish bagitahu yang akak dah ada kat sini,” Balkish buat-buat merajuk.
“Heheheee… akak saja nak suprisekan Kish.”
“Iye la tu…. Akak ni jahat tau!” ujar Balkish
sambil menarik muncung.
Batrisya ketawa besar. Sudah lama benar dia tak
lihat Balkish tarik muka macam itu. Dulu dia suka sangat mengusik Balkish,
sehingga adiknya itu menarik muncung seperti ini.
“Kenapa akak ketawa?” tanya Balkish yang sudah buat
muka kehairanan. Pelik betul kakaknya itu. Tiba-tiba sahaja mengilai macam
Sundal Bolong.
“Akak rindu sangat pada Kish. Dah lama tak tengok
muncung sejemput Kish yang macam Daisy
Duck itu,” usik Batrisya. Bahu
adiknya itu dirangkul penuh kasih.
Balkish yang konon-konon mahu buat merajuk itu
tiba-tiba ketawa sama. Sudah lama dia tak dengar nama Daisy Duck yang sering
kakaknya gunakan setiap kali mengusik dirinya itu. Rindu pula pada kenangan
silam antara dia dengan Batrisya. Kenangan antara mereka berdua semua
manis-manis belaka. Batrisya merupakan segala-galanya bagi Balkish. Tanpa
Batrisya, dunianya terasa sunyi.
Sepanjang hari itu, Balkish dan Batrisya
menghabiskan masa bersembang bersama. Banyak cerita yang mereka bualkan.
Sehinggakan mereka tak sedar masa semakin merangkak petang. Mereka berdua
kelihatan begitu gembira sekali. Maklumlah… sudah lama tidak berjumpa. Tentu
banyak yang dibualkan.
Kak Gaya yang memandang dari tingkap dapur turut
tumpang gembira melihat dua beradik itu. Sudah lama Balkish menghilang. Kini
gadis itu kembali lagi. Kak Gaya juga turut berdoa, semoga ada bahagia yang
sampai kepada gadis itu suatu hari nanti.
***************************************************************************
SUDAH
lama Balkish tidak duduk di pangkin yang terletak di bawah pokok rambutan ini.
Dulu dia suka menghabiskan masa malam duduk di situ. Melihat cahaya rembulan
dan kerlipan bintang di dada langit yang luas terbentang. Sambil itu dia mula
pasang angan-angan, alangkah bahagianya andai ada seorang putera raja
membawanya pergi ketika itu juga. Heheheee…
Teringatkan kenangan itu, Balkish tersenyum lebar.
Gatal juga dia time budak-budak. Umur
baru dua belas tahun tapi dah pandai fikir pasal lelaki. Dah tu tak nak pulak yang
‘cemeh-cemeh’, demand nak putera raja
jugak. Hahahaaa…
Tapi itu dulu. Waktu Balkish belum tahu apa itu erti
cinta. Pabila usianya semakin meningkat remaja, dia mula sedar apa yang
dimaksudkan dengan cinta. Dan dalam usia baru mencecah lima belas tahun,
Balkish sudah tahu bermain cinta dengan seorang lelaki. Dia sedar cintanya pada
masa itu masih digelar ‘cinta monyet’. Namun hatinya sudah jatuh sayang pada
lelaki itu. Keperibadian lelaki itulah yang telah membuatkan dia berani
menyambut cinta yang dihulurkan. Tanpa memikirkan akibatnya di kemudian hari.
Balkish mengeluh. Bila teringatkan lelaki pertama
yang bertakhta di hatinya itu, ada rasa terkilan yang bertandang dalam hati.
Terkilan kerana lelaki itu mengkhianati janji-janji mereka sebelum berangkat ke
UK untuk menyambung pengajiannya di sana. Terkilan kerana lelaki itu begitu
tegar melupakan dia dalam sekelip mata. Namun dalam terkilan dengan tindakan
lelaki itu, terselit juga rasa bahagia. Bahagia kerana melihat insan yang
paling disayanginya bahagia di samping insan yang telah melukakan hatinya.
“Assalamualaikum…” ada satu suara menyapa dari
belakang. Membuatkan Balkish yang sedang asyik melayan perasaan itu tersentak.
Sudah lama dia tidak mendengar suara itu. Tadi di meja makan pun suasana antara
mereka sunyi sepi. Hanya celoteh Kak Risya sahaja yang menceriakan keadaan.
Salam yang diberikan di sambut dalam hati.
Eidham melangkah mendekati Balkish. Kemudian dia
berdiri lalu bersandar pada batang pokok rambutan yang buahnya sudah masak dan
memerah. Petang tadi ketika dia balik dari pejabat, dia terkejut melihat
kelibat Balkish di rumah ibu mentuanya itu. Sudah terlalu lama dia tidak
melihat wajah manis itu. Hanya sesekali, bila Batrisya melihat gambar-gambar
Balkish melalui FB barulah dia dapat
melihat. Itupun hanya sepintas lalu. Dia takut dengan perasaannya sendiri
setiap kali melihat wajah Balkish.
Eidham tersenyum. Tangannya dimasukkan ke dalam
poket seluar track suit yang
dipakainya.
“Kish apa khabar? Dah lama kita tak jumpa. Kish
masih cantik macam dulu. Cuma… sekarang ni Kish dah berisi sikit. Takdelah kurus sangat macam zaman
sekolah dulu,” tutur Eidham. Komennya sama dengan Batrisya ketika pertama kali
Balkish sampai siang tadi.
Tiada jawapan yang keluar dari bibir Balkish. Dia
kaku di situ. Kehadiran lelaki itu benar-benar mengejutkannya. Tiba-tiba
lidahnya kelu untuk berbicara. Sedangkan dulu dialah yang paling meriah setiap
kali berbicara dengan Eidham. Ada sahaja yang dibualkan bagi menceriakan
suasana di antara mereka berdua.
Kebisuan Balkish membuatkan Eidham mengeluh kecil.
Dia tahu Balkish pasti masih marahkan dia. Dia akui kesilapan yang telah dia
lakukan. Sepatutnya dia tidak mengkhianati janjinya pada Balkish sewaktu mereka
berkasihan dulu. Dia yang bersalah. Memang patut Balkish marahkannya.
“Kish masih marahkan abang?” tanya Eidham mahukan
jawapan yang pasti daripada Balkish.
Masih marahkah aku pada lelaki ini? Soal Balkish
pada dirinya sendiri.
“Maafkan abang, Kish. Abang tahu abang salah. Tak
patut abang khianati janji-janji yang pernah abang lafazkan pada Kish. Abang
menyesal kerana terlalu ikutkan perasaan. Abang… abang… rindukan Kish. Teramat
rindukan Kish,” luah Eidham tanpa mahu berselindung lagi akan perasaannya. Dia
langsung tidak menghiraukan apa tanggapan Balkish padanya bila dia berkata
sedemikian. Dia mahu Balkish tahu akan rasa rindunya itu. Dia juga yakin
Balkish tentu masih mempunyai perasaan yang sama sepertinya ini.
Tajam mata Balkish merenung wajah Eidham. Sedarkah
lelaki itu dengan apa yang telah diperkatakan? Lupakah Eidham bahawa kini
hubungan di antara mereka hanya sekadar hubungan abang dan adik ipar? Kenapa
perlu Eidham meluahkan kerinduan itu padanya? Setahu Balkish ini bukan sikap
Eidham yang pernah dikenalinya dulu. Eidham yang dikenalinya seorang lelaki
yang kaya dengan budi pekerti yang baik. Kenapa Eidham boleh berubah seperti
ini? Apa yang telah merasuk Eidham? Takkan disebabkan Eidham berada di UK
membuatkan sikapnya juga turut berubah? Bertalu-talu soalan berlegar dalam
benak fikiran Balkish.
“Abang tak boleh nak lawan perasaan rindu pada Kish.
Abang tak dapat lupakan Kish. Abang masih sayangkan Kish macam dulu,” semakin
berani pula Eidham meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya. Dia seolah-olah
lupa hakikat bahawa dia kini sudah pun bergelar seorang suami kepada seorang
wanita yang dicintai selama berada di UK.
“Enough Abang
Eid! Abang Eid tak malukah cakap macam ini pada Kish? Abang Eid lupakah yang
Kish ini adik ipar Abang Eid? Sepatutnya Abang Eid kena terima hakikat bahawa
antara kita kini dah takde apa-apa
hubungan kecuali hubungan sebagai adik ipar dengan abang ipar.”
“Tapi abang masih sayangkan Kish.”
Balkish menggeleng-geleng. Rasa benci tiba-tiba
terbit buat Eidham. Selama ini biarpun Eidham mengkhianati cinta mereka, dia
tidak pernah membenci lelaki itu. Apa yang penting Eidham dapat membahagiakan
Batrisya. Satu-satunya kakak yang dia ada di dunia ini. Namun bila Eidham
berkata sebegini padanya, terbit pula rasa benci pada lelaki yang selama ini
cukup dikagumi keperibadiaannya itu.
“Sudahlah Abang Eid. Tolong jangan cakap soal sayang
dekat Kish. Abang Eid simpan aje
sayang Abang Eid tu kemas-kemas untuk Kak Risya. Kish rasa Kak Risya lagi
berhak untuk menerima rasa sayang Abang Eid itu. Jangan lupa Abang Eid, Kak Risya
tu isteri Abang Eid. Kish tak nak Abang Eid mempersiakan hidup kakak Kish,” di hujung
katanya, Balkish memberi sedikit amaran kepada Eidham.
“Tapi abang…”
“Abang…” panggil Batrisya panjang dan manja.
“Di sini rupanya. Puas sayang cari abang kat dalam tau. Ingatkan abang pergi mana
tadi,” suara Batrisya mematikan bicara Eidham. Serentak itu juga dia dan
Balkish menoleh ke arah Batrisya yang sudah menghampiri lokasi mereka berdua.
Balkish mula bangun dari duduknya.
“Abang tengah berbual dengan Kish. Dah lama kitaorang tak borak-borak,” pantas
Eidham bersuara.
Batrisya tersenyum.
“Nah… ini air Nescafe yang abang nak,” mug berisi Nescafe dihulurkan kepada
Eidham. Lengan suaminya dipaut mesra. Dulu Eidham dengan Balkish memang sabahat
baik. Sehinggakan dia pernah beranggapan Balkish dengan Eidham mempunyai
hubungan istimewa yang lebih daripada hubungan sahabat baik. Namun dia tersilap
bila Eidham menafikan tanggapannya itu ketika mereka belajar sama-sama di UK.
Kata Eidham, hubungannya dengan Balkish hanya sekadar sahabat baik. Lagipun tak
salahkan seorang lelaki berkawan baik dengan seorang perempuan? Tak semestinya
hubungan rapat itu berkaitan pasal cinta aje.
“Abang dengan Kish sembang pasal apa?” soal Batrisya
manja.
“Bual kosong ajelah sayang,” balas Eidham.
“Iye la…
dulukan abang dengan Kish kawan baik. Kalau abang nak tahu… Kish ni penyokong
setia abang tau. Dulu zaman sekolah kalau sayang cakap yang tak baik pasal
abang, Kish selalu bela abang. Kish cakap abang baik la… abang tak macam itu
la… abang ni berkarisma la… macam-macam lagilah yang Kish puji abang. Sampai
naik jemu sayang mendengar puji-pujian Kish tu. Sayang memang tak boleh nak
cakap yang tak baik pasal abang depan Kish masa tu. Maklumlah… bestfriend, kan.”
“Apa ni kak… itu cerita lamalah,” pintas Balkish.
Kurang senang bila Batrisya mengungkit kisah lalu yang sudah lama dikuburkan
dalam hati. Buat apa hendak dikenang lagi.
“Memanglah cerita lama, tapi disebabkan cerita lama
itulah akak jatuh cinta dekat Abang Eid. Segala yang Kish cakapkan itulah yang
buat akak mula membuka pintu hati akak untuk Abang Eid. Tak sangka, cinta yang
akak pendam dalam hati itu akhirnya terluah ketika kami belajar sama-sama di UK,”
ujar Batrisya. Wajah suami tersayang dipandang penuh rasa cinta di hati. Pautan
pada lengan suaminya semakin diperkemaskan. Eidham turut membalas dengan memaut
bahu isterinya. Bibirnya cuba dilorek dengan senyuman segaris.
Balkish sekadar tersenyum nipis mendengar isi hati
kakaknya itu.
“Okeylah, Kak Risya. Kish masuk ke dalam dulu. Nak
masuk tidur. Letih rasanya badan ni,” ujar Balkish. Dia mendapatkan Batrisya
lalu pipi gebu milik kakaknya itu dicium penuh kasih.
“Okeylah. Esok Kish temankan akak pergi shopping ye. Dah lama kita tak keluar shopping
berdua.”
Balkish mengangguk dan tersenyum. Kemudian dia
membawa langkah masuk ke dalam rumah. Eidham pula sempat mengerling Balkish
dengan ekor matanya. Hatinya perit melihat kedinginan yang Balkish pamerkan.
Rasa menyesal menerpa tak henti-henti.
***************************************************************************
“MASUK
bilik ibu kejap,” ketika kakinya melangkah ke tingkat terakhir anak tangga,
tiba-tiba suara Hajah Badariah kedengaran memberi arahan. Wajah itu kelihatan
masam mencuka. Membuatkan hati Balkish berdebar hebat.
Perlahan Balkish membuntuti langkah ibunya. Daun
pintu ditutup rapat bila ibu menyuruh dia menutup semula pintu yang tadi
terbuka. Langkahnya mati di situ. Tidak berani berganjak mendekati ibu yang
sudah duduk bersandar atas sofa. Apatah lagi bila melihat wajah yang langsung
tidak tersenyum itu.
“Apa hubungan Kish dengan Eidham?” soal Hajah
Badariah serta-merta. Langsung tak ada intro.
Balkish yang tadi begitu khusyuk memandang karpet
warna hijau yang terhampar atas lantai dalam bilik ibunya mendongak. Wajah ibu
yang masam itu dipandang.
“Hubungan abang dengan adik ipar.” lurus bendul Balkish
menjawab.
“Bukan itu maksud ibu. Ibu mahu tahu apa hubungan
Kish dengan Eidham yang sebenar? Ibu rasa kamu berdua ada hubungan yang lebih
dari sekadar abang dengan adik ipar. Betulkan?” teka Hajah Badariah.
“Errr… takde
apa-apa, bu. Kish dengan abang Eid hanya kawan biasa waktu sekolah.”
“Jangan bohong ibu! Kish ingat ibu tak dengarkah apa
yang Eidham katakan pada Kish tadi? Ibu tahu Kish tentu ada hubungan dengan
Eidham sebelum ni,” jerkah Hajah Badariah. Namun nadanya masih direndahkan. Dia
tidak mahu suaranya yang melengking tinggi itu akan didengari oleh Batrisya
mahupun ibu mertuanya, Hajah Bedah. Biarlah rahsia ini hanya dia yang tahu.
Selama ini biarpun dia tak sukakan Balkish, namun dia belum pernah menjerit
seperti itu kepada anak itu. Tapi kali ini hatinya benar-benar mendidih. Sakit
benar hatinya mendengar kata-kata Eidham tadi. Teringat dia pada kisah silamnya
yang pedih bila sahabat baik yang paling dipercayainya mengkhianati
persahabatan mereka berkahwin dengan suaminya.
Balkish menundukkan wajahnya. Tidak berani menatap
renungan tajam mata ibu. Nampak sangat api kemarahan ibu ketika itu.
“Kish dengar sini baik-baik. Ibu tak nak Kish jadi
perosak kepada rumah tangga Risya. Ibu tak akan izinkan.”
Bagai ada air jernih yang ingin mengalir bila ibunya
berkata sebegitu. Macamlah dia memang berniat hendak menjadi perosak rumah tangga
Batrisya.
“Kish janji tak akan rosakkan rumah tangga kakak,
bu. Kish sayangkan kakak.”
Hajah Badariah menarik senyuman sinis. Dulu, Kiran
juga pernah berkata macam itu kepadanya. Tapi tengoklah apa yang jadi? Sahabat
yang paling dipercayainya itulah yang telah merampas Borhan daripadanya. Dia
tidak akan percaya lagi dengan kata-kata keturunan Kiran.
“Tak payah nak berjanji segala. Ingat ibu nak
percaya? Kish dengan arwah mama Kish sama aje.
Kalau betul Kish ikhlas sayangkan Risya, ibu mahu Kish kahwin untuk buktikan
dekat Ibu apa yang Kish katakan tu.”
“Apa? Tapi…” Balkish angkat balik kepalanya. Wajah
ibu dipandang.
“Takde
tapi-tapi. Kish kahwinlah dengan sesiapa pun asalkan Eidham menjauhkan diri
dari Kish. Soal belanja kahwin, biar ibu yang tanggung. Asalkan rumah tangga
Risya tak akan hancur gara-gara suaminya yang tergila-gilakan adiknya sendiri.
Cuma Risya anak ibu dekat dunia ni. Ibu mahu tengok Risya bahagia di samping
lelaki yang dicintainya.”
Sayu hati Balkish mendengar kata-kata ibunya. Nampak
sangat ibu tidak pernah menghargai kehadirannya di sisi. Terasa airmata ingin
mengalir ketika itu juga. Namun cepat-cepat Balkish menyeka. Dia tidak mahu
menangis di hadapan ibunya lagi. Biarlah tangisan itu pecah di dalam biliknya
nanti. Cukuplah dia menangis selama ini kerana hatinya yang terluka itu.
“Selama ni ibu tak pernah mintak apa-apa dari Kish. Ibu jaga Kish biarpun hati ibu tak pernah
senang setiap kali melihat wajah Kish. Kali ini ibu mohon dari Kish… tolong
jangan rosakkan rumah tangga Risya. Cukuplah ibu pernah merasai kepedihan bila
rumah tangga dimusnahkan oleh orang-orang yang ibu sayangi. Ibu tak nak Risya
rasa apa yang pernah ibu rasa,” sambung Hajah Badariah. Dia bergerak ke koridor
di dalam biliknya. Di bawah sana dia dapat melihat dengan jelas hubungan mesra
Batrisya dengan Eidham. Betapa gembira anaknya itu di samping lelaki yang
dicintainya.
Semakin bergetar jantung Balkish mendengar kata-kata
ibunya. Rasa dia sudah tidak sanggup mahu menadah telinga mendengar rintihan
berbaur sindiran itu lagi.
“Ibu… Kish takde
apa-apa hubungan dengan Abang Eid. Percayalah…” ujar Balkish meraih kepercayaan
ibunya.
Serentak itu Hajah Badariah menoleh ke belakang.
Memandang wajah Balkish dengan pandangan yang cukup tajam. Sehingga gadis itu
menundukkan wajahnya semula.
“Ibu tak nak dengar apa-apa. Yang penting sekarang
ibu mahu Kish berkahwin! Soal belanja biar ibu yang tanggung. Ibu mahu Eidham
putus harapan dengan Kish,” desak Hajah Badariah dengan tegas. Suaranya
walaupun agak rendah namun kerasnya jelas kedengaran.
“Ibu tak perlu risau. Kish tak akan rampas Abang Eid
dari Kak Risya. Kish tak akan rosakkan kebahagian kakak Kish sendiri. Kish
belum bersedia untuk berumah tangga, bu.”
Menyemarak api dalam diri Hajah Badariah mendengar
kata-kata anak itu. Nampaknya Balkish sudah pandai melawan kata. Pantas dia
masuk semula ke dalam bilik. Berdiri benar-benar di hadapan Balkish.
“Kish ni degil ye?
Selama ni ibu tak pernah mintak
apa-apa pada Kish. Ibu bela Kish walaupun hati ibu ni sakit bila mengenangkan
apa yang telah mama Kish buat pada ibu. Sekarang bila ibu mintak Kish berkorban sedikit untuk kebahagian Risya, banyak betul
alasan Kish. Ibu tak nak dengar sebarang alasan. Ibu tetap mahu Kish berkahwin
dalam masa terdekat ni. Ibu bagi Kish masa sebulan. Kalau Kish takde teman lelaki, biar ibu yang
carikan. Keputusan ibu muktamad. Hanya ini balasan yang ibu mahukan dari Kish
sepanjang ibu bela Kish,” Hajah Badariah
sudah mengungkit.
Terkejut Balkish mendengar kata-kata ibu. Selama ini
walaupun ibu bencikan dirinya, tak pernah ibu menunjukkan rasa bencinya. Tapi
malam ini ibu sudah berlainan. Ibu tak ubah macam ibu-ibu tiri yang garang
dalam cerita-cerita dongeng. Dendam ibu terhadap arwah mamanya kelihatan
menyala-nyala.
“Kish fikirlah masak-masak. Kish mahu rumah tangga
Risya musnah disebabkan Kish atau Kish mahu ikut kehendak ibu? Keputusan di
tangan Kish. Kalau betul Kish anggap Risya tu saudara kandung sendiri, ibu mahu
Kish ikut kehendak ibu,” sambung Hajah Badariah lagi dengan tegasnya.
Balkish memejamkan matanya rapat-rapat. Sedih
sungguh rasa hatinya diperlakukan sebegitu oleh seorang insan yang sudah
dianggap sebagai ibu kandung sendiri.
“Ingat, Kish. Kalau perkara ni sampai ke pengetahuan
tok mak, lagi teruk Kish kena,” Hajah Badariah sudah mula mengugut. Dia yakin
Balkish tentu tak sanggup perkara ini diketahui oleh tok mak memandangkan tok
mak begitu bencikan Balkish.
“Keluar dari sini. Ibu nak berehat.”
Tanpa berlengah Balkish keluar dari bilik ibunya.
Dia berlari menuju ke biliknya yang terletak di hujung. Setelah pintu biliknya
tertutup rapat, dia bersandar belakang pintu. Menekup mulut dan menangis
semahu-mahunya. Hatinya benar-benar terluka kini.
‘Ya Allah… tabahkanlah hatiku menempuh dugaan-Mu
ini. Berilah aku kekuatan Ya Allah. Mama… kenapa tinggalkan Kish dengan duka?
Kenapa mama tak bawa Kish sekali bersama mama? Ma… Kish rindu mama… terlalu
rindukan mama.’
Balkish menangis. Menangis tersedu-sedu. Biarpun dia
tak pernah bertemu dengan ibu kandungnya yang sebenar, namun ketika ini dia
begitu rindukan kasih sayang seorang ibu. Dia rindukan kasih sayang seorang ibu
yang sudi membelainya. Ketika ini juga dia mula terkenangkan Mak Aminah. Jika
wanita itu ada, pasti wanita itu sudi meminjamkan bahunya untuk Balkish
menumpang kasih.
No comments:
Post a Comment