DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 19

HUJUNG-HUJUNG minggu begini memang
dah jadi kebiasaan Acam untuk bangun tidur agak lewat.
Biasalah, selepas subuh sambung tidur semula. Mandi pun
kadang-kadang sudah hendak masuk zuhur baru jumpa
bilik air. Jimat air katanya. Kalau di rumah, sudah
semestinya bernanah telinga mendengar bebelan Puan
Radziah. Tidak pun, jelingan maut Encik Daud saja sudah
cukup buat Acam menciput lari ke bilik air. Sebenarnya
tidur selepas subuh ini bukanlah amalan yang baik dalam
Islam. Pernah dalam satu kisah, Rasulullah terlihat
Fatimah radiallahuanha berbaring selepas subuh, lalu
baginda bersabda yang bermaksud: Wahai anakku,
bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, janganlah
engkau terdiri daripada kalangan orang yang lalai,
sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di
antara terbit fajar sehingga terbit matahari.
Seronoknya berbaring-baring malas di atas katil
sambil memeluk Teddy Bear kecil pemberian Kak Haniza.
Sesekali digomolnya Teddy Bear kecil itu. Nasib baiklah
hanya dia seorang sahaja mendiami bilik kecil itu, kalau
berkongsi mahu kantoi dengan teman sebilik. Bukan baru
sekarang Acam minat dengan Teddy Bear dan patung-patung
kecil tu, dari kecil pun memang dia gemar mengumpul
benda-benda tu semua. Cuma orang saja yang tidak tahu
minat Acam itu dek kerana sikap kasarnya selama ini. Pandai
cover line.
Pintu bilik Acam tiba-tiba diketuk. Cepat-cepat
Acam menyanggul rambutnya yang panjang berjurai agak
tidak ketara kelihatan seperti baru bangun tidur. Wajah
Yani tersembul di sebalik daun pintu yang terkuak sedikit.
“Wei, kau baru bangun tidur ke? Ada orang cari
kaulah kat depan,” tegur Yani.
“Cari aku? Siapa? Mamat tu lagi ke? Alahai malas
betul aku nak mandi,” getus Acam.
“Aku tak kenallah, kau pergilah turun kejap,” balas
Yani sambil menjungkitkan bahunya.
Tak kenal? Lagilah buat Acam terpinga-pinga.
Siapa pula yang datang hendak bertemu dengannya pagi
pagi alam ni.
Yani memang tahu sangat fiil Acam tu, kalau dapat
bantal satu hari suntuk pun tak apa menternak badan.
Lagipun Acam memang jarang keluar kalau hujung
minggu kecuali kalau datang mamat perasan kacak,
si Dzil itu. Yani memang sudah hafal sangat dengan hobi
Acam, kalau tidak menternak taik mata melayan e-novel di
blog. Malah, bukan Acam sahaja, dia dan rakan-rakan
serumah yang lain pun sudah terjerumus sama dengan
minat Acam itu.
Mulanya hairan gak mereka melihat Acam yang
suka sangat terperuk di dalam bilik sehinggakan kadangkadang
sampai sanggup tidak makan tengah hari. Tapi
apabila dirisik-risik rupanya minah itu tengah seronok
melayan e-novel. Apa lagi, bila dah terjerumus sama
sudahnya seisi rumah tengah menggila dengan pelbagai
e-novel baru. Pantang tahu ada penulis baru yang
menulis di blog, cepat sahaja mereka mencarinya.
Nama-nama seperti Ayumi Syafiqah, Rehan
Makhtar, Zura Asyfar, Rinsya Chasiani, Puan Yati, dan
beberapa nama penulis yang melakar nama di blog-blog
mereka dengan hasil nukilan yang mantap sudah sebati
dengan mereka kini. Malah sudah ada banyak platform
untuk mengetengahkan karya-karya hebat penulis-penulis
ini seperti Penulisan2u.com, Ilham.karangkraf.com dan
NovelMelayuKreatif.com.
Kini ada di antara mereka gak sudah mula
berblogging. Tidak pandai menulis cerita, dapat menulis
entri-entri semasa pun sudah dikira hebat juga.
ACAM menarik cardigan yang tergantung di almari.
Kepalanya hanya dilutupi dengan tuala panjang. Itu sahaja
yang sempat disauknya saat itu. Segera dia menuruni anak
tangga dengan hati yang tertanya-tanya siapalah tetamu
yang datang itu. Mustahil ibu dan ayah pula. Kalau ibu dan
ayah hendak datang, tentu mereka akan menelefon terlebih
dahulu.
Hampir terloncat Acam apabila melihat kereta
yang terparkir di luar pagarnya. Tubuh lelaki yang
bersandar pada pintu kereta itu diamatinya lama. Hati
disapa rasa gembira dan rindu pada wajah itu.
“Wei, kau buat apa kat sini?” jerit Acam dari muka
pintu. Hish, sudah tidak ada hendak sopan-santun lagi
sudah. Selipar disarung lalu Acam melangkah laju ke arah
lelaki yang sudah pun tersenyum memandangnya. Cermin
mata hitam yang terlekat di wajah lelaki itu ditanggalkan.
Tergambar sinar gembira di anak matanya.
“Aku rindu kat kaulah aku datang sini. Nak tunggu
kau balik sana, sampai kucing berjanggutlah,” balas Qaid.
Terubat rindunya melihat wajah gadis itu. Biarpun
hanya bertutupkan tuala, namun wajah itu tetap ayu di
matanya. Nampak sangat baru bangun tidur. Hish, minah
ni. Gelak Qaid dalam hati.
“Kenapa tak telefon sebelum datang. Kalau telefon
awal-awal aku dah siap tunggu kau tahu,” bebel Acam
menyedari yang dia hanya bertudung menggunakan tuala
dan lebih parah, belum mandi pagi pun lagi.
“Huh, saja aku nak terjah macam ni. Barulah
boleh tengok rupa kau belum mandi,” gurau Qaid
disambung dengan gelak sakan. Rakan-rakan serumah
Acam sudah mula bertempek di tingkap hadapan
melihatkan mereka.
“Ada ajelah kau ni. kau dari mana sebenarnya,
dah tu tahu pula rumah aku kat sini?” tanya Acam masih
tidak puas hati dengan kehadiran Qaid.
Yalah, bukan dekat Batu Pahat ke Ipoh tu kalau
saja-saja hendak datang. Tentu ada alasan lain tambahan
melihatkan Qaid yang berpakaian sikit punya kemas.
Handsome juga mamat ini kalau tengok betul-betul,
mungkin pada mata dia susah hendak nampak ketampanan
tu. Kalau pada mata orang lain memang dah cukup kriteria
yang ahu dipastikan dikatakan handsome tu. Dah tentu
rakan-rakan yang sedang sibuk menghendap tu akan
membenarkan kenyataannya tadi.
“Aku datang sini sebab nak pergi kenduri kahwin
sepupu aku. Isteri dia orang sini juga, orang Persiaran
Cempaka Sari 24 itu. Semalam dia orang dah nikah, tapi
aku tak dapat datang. Aku baru balik dari kursus kat
Melaka, dari sana aku terus ke sini ni. Jomlah, temankan
aku pergi kenduri sepupu aku tu.”
“Eii.. tak naklah. Seganlah aku. Lagipun aku mana
ada kena jemput, tak baik tau pergi kenduri tak dijemput.”
“Banyaklah kau punya tak baik. Aku dah calling
calling sepupu aku tu cakap aku bawa awek datang,” balas
Qaid serius. Awek? Walawei... minta ampun mamat ni.
Entah bila aku isi borang jadi awek dia entah.
“Siapa entah awek kau. Alah... aku seganlah.”
Wajah Acam sudah mula membahang. Kalau
setakat keluar dengan Qaid okeylah lagi, ini mahu hadir
kenduri kahwin pula, lagipun kaum keluarga Qaid semua
ada di sana. Huh, tidak dapat dia bayangkan macam mana
hendak bawa diri.
“Please, Acam. Tak kesian ke kat aku, ni aku nak
ajak kau pergi bandar Ipoh sekali cari hadiah. Tengok,
kesian aku, kan. Hadiah pun aku tak sempat nak beli.
Dahlah aku mana tahu nak terjah kat bandar ni, takkan
aku nak pergi tangan kosong aje,” rayu Qaid dengan
wajah mohon simpati.
Alahai, apasallah mamat ni merayu bagai, kan dah
terlembut hati aku yang macam apam beras ni. Terdetik
rasa sayu di hati Acam melihatkan lelaki itu. Yalahkan,
dahlah datang dari jauh, takkanlah nak dikecewakan
hatinya tu. Hai, kecik aje mamat ni aku tengok, getus
Acam. Namun, akhirnya Acam mengangguk perlahan tanda
bersetuju dengan pelawaan Qaid. Tak sampai hati nak
menolak lagipun memang dia rindu nak berbual dengan
Qaid.
“Okeylah, aku temankan. Tunggu aku siap kejap.”
“Bereh... 15 minit ya. Sekarang dah pukul 9.00,
nanti lambat pulak.” kata Qaid.
“Banyaklah kau punya lima belas minit, aku belum
mandilah. Setengah jam, kau tunggu aku kat sini. Tak
boleh jemput masuk, anak dara aje semua kat dalam
tu,” balas Acam sambil mengenyitkan sebelah mata.
“Tak boleh eh... kau? Kau takut aku mengurat
member kau ke?”
“Banyaklah kau punya mengurat.” Acam
menunjukkan jari-jemarinya yang dikepal kemas. Eleh,
ingat besar sangatlah penumbuk dia tu!
“Alah, tak ada kopi ke teh ke sementara tunggu
kau?” Banyak pula songeh encik abang seorang ni. Kata
suruh orang cepat, siap minta kopi pula.
“Helo Encik Qaid, kalau nak teh ke, kopi ke... tu
nampak tak kat depan simpang sana tu? Ha, ada mapley
ya kat situ. Silalah angkat diri sendiri bawa pergi sana,
bukan setakat teh dengan kopi aje, latte, mocha, kapucino
semua pun ada. Mapley gred AAA tu.” Amboi. Sinis.
Yalah, sudah bagi masa 15 minit untuk bersiap
lepas tu boleh pula demand nak kopilah, nak tehlah. Ada
juga mamat ni kena tinggal seorang-seorang kat luar ni
nanti. Acam mengecilkan anak matanya memandang Qaid
dengan muka tidak puas hati. Berlainan pula dengan Qaid,
tersengih-sengih memandang Acam. Sukanya dapat
menyakat budak seorang ni. Alahai, rindunya.
RINDU yang dipendam selama ini akhirnya terlerai juga
apabila melihat gelagat gadis itu. Suka melihat sikap
cemerkap Acam jika dalam keadaan kelam kabut. Ada-ada
saja yang tak betulnya. Jika selama ini hanya kenangan dan
gambar-gambar yang ditangkap secara curi-curi sahaja
yang menjadi penemannya, tapi hari ini wajah itu segar di
depan mata.
Akan dia pastikan, hari ini dihabiskan
sepenuhnya dengan gadis itu. Biarlah tiada ruang di hati
gadis itu untuk menerima cintanya, asalkan gadis itu sudi
berkawan dan melayan kedatangannya. Dia sanggup
menunggu jika itu yang diperlukan untuk mendapatkan
gadis itu. Acam, kau terlalu istimewa.
Setengah jam kemudian, kelihatan seorang gadis
bertudung ayu dengan baju kurung biru berbunga coklat
yang sedondon dengan tudungnya. Mata Qaid terpaku
melihat kecantikan gadis yang sedang berdiri di hadapannya
itu. Matanya tidak mampu berkelip. Adakah benar di
hadapannya kini gadis yang dikenalinya, hatinya berperang
sendiri. Sejak bila Acam mula merubah penampilan.
Bukankah selalunya Acam agak sempoi, bukan agak lagi,
memang sempoi habis. Kalau bertudung, setakat tudung
bawal biasa dan tudung ala-ala Ekin itu sahajalah. Tapi hari
ini berlainan benar penampilan Acam.
Melihat Qaid yang seakan-akan terpaku
menggeletek hati Acam. Heh, lawa sangat ke aku ni? Silap
bergaya ke hari ni? Tangannya dilambai-lambaikan di
hadapan mata Qaid.
“Pstt... tengok apa tu sampai melopong aje. Tutup
mulut tu nanti lalat masuk,” tegur Acam yang sudah pun
berdiri betul-betul di hadapan Qaid. Segera Qaid
merapatkan mulutnya yang sedikit ternganga.
Rakan-rakan serumah Acam yang mengintai di sebalik
langsir sliding door juga riuh-rendah mentertawakan
Qaid.
“Kau nampak lainlah, Acam. Kalau macam ni,
aku nak telefon pejabatlah, tambah cuti sehari lagi,”
ucap Qaid sambil tangannya lincah membukakan pintu
kereta buat Acam.
Sudah menjadi tabiat Qaid untuk membuka
pintu kereta untuk Acam ketika naik mahu pun turun
dari kenderaan. Malah, bukan sekadar Acam, mama,
kakak, adik dan semua wanita yang pernah menaiki
keretanya dilayan begitu. Memang dia amat menghormati
kaum hawa itu dan perlakuannya itu melambangkan
penghormatannya.
“Tak ada maknanya. Aku ni Acam, Acam... A.C.A.M,
as usual, sempoi aje.”
“Kita nak ke mana dulu ni? Kata nak cari
hadiahkan?” soal Acam apabila Qaid sudah mula
melabuhkan punggung di kerusi pemandu.
“Ikut kaulah. Aku mana tahu kat Ipoh ni kat nama
nak dicekau,” ujar Qaid.
Kereta sudah mula dipandu keluar dari kawasan
taman perumahan Acam. Sayup-sayup meninggalkan
Taman Cempaka jauh.
“Kalau macam tu kita pergi Ipoh Parade sajalah.
Nanti kalau jauh-jauh, lewat pula sampai kat rumah
pengantin,” cadang Acam. Qaid hanya angguk bersetuju.
Ikutlah Acam, asalkan kau ada kat sebelah kat langit biru
pun aku sanggup. Eh, langitlah sangat!
Udara yang dingin dan segar di dalam kereta
Mitsubishi Evo 10 milik Qaid itu menenangkan
perasaan Acam. Sesekali matanya mengerling ke arah
Qaid yang fokus memandu. Mamat ini kalau dengan kereta
memang tidak mengalah. Dahlah harga kereta pun boleh
tahan, diriasnya lagi dengan pelbagai aksesori keretanya
ini. Acam pun tahu, Qaid ni bukanlah daripada keluarga
yang susah.
Dengar katanya, mak dan ayah Qaid pun
berharta juga orangnya. Hendak pula Qaid hanya tiga
beradik sahaja, sudah tentulah hidup mereka lebih daripada
senang. Malahan, gaji bulanan Qaid pun bukan sedikit. Itu
belum lagi elaun tambahan yang diberikan oleh syarikat.
Acam bertindak sebagai jurupandu hari itu. Jalan
raya yang agak lengang memudahkan perjalanan mereka.
Bukanlah jauh sangat rumah Acam dengan pusat bandar
tu, lima kilometer sahaja. Jadi memanglah sekejap sahaja
kalau jalan raya lengang begitu. Kereta Mitsubishi Evo 10
milik Qaid sudah pun menyusuri laluan parkir di dalam
bangunan Ipoh Parade. Mudah sahaja mendapatkan
tempat.
“Kau nak beli hadiah apa ni?” tanya Acam ketika
mereka sudah berada di dalam perut bangunan.
“Entahlah kan. Aku bab-bab hadiah untuk orang
kahwin ni memang fail. Kau ajelah tolong aku cari.
Lagipun kaukan handal bab-bab hadiah ni.”
Qaid mula menggaru kepala. Memang kalau
bab-bab hadiah ni dia agak kurang sedikit. Selalunya pun,
kalau teman-teman sepejabat berkahwin, mereka
hanya akan mengutip duit dan seorang staf akan
dipertanggungjawabkan untuk urusan pembelian hadiah.
Senang sahajalah kerjanya, hulurkan Ringgit Malaysia saja,
tahu-tahu semuanya sudah beres.
“Hmm... jomlah kita usyar dulu. Aku pun bukan
pandai sangat. Kalau shopping untuk aku, memanglah aku
lebih daripada pandai. Yang itu aku pakar.”
Qaid merenung Acam yang selamba badak sahaja
menuturkan kata. Penampilan memang berbeza, tapi mulut
itu memang tidak ada maknanya untuk berubah. Acam...
Acam... memanglah aku rindu sangat kat kau, bisik hati
Qaid. Dalam diam, hatinya berbunga riang.
Mata Acam tertangkap pada sesuatu yang menarik
minatnya. Tanpa disedari, Acam menarik lengan baju
Qaid agar menuruti langkahnya. Apabila disedarinya,
segera tangannya dileraikan. Masih bersikap selamba
walaupun wajahnya sudah pun membahang. Hish,
memalukan betul. Macam mana boleh tertarik lengan
baju anak bujang orang ni. Nasib baik mak ayah dia
tak ada, kalau ada harus aku kena kahwin dengan anak
dia orang ni nanti.
“Kau, tengok ni. Cantiklah lampu tidur ni.
Aku rasa kalau belikan hadiah lampu tidur pun okey juga,”
saran Acam.
“Alasan?” Hukaloh, boleh pula encik abang ni
tanya alasan. Acam mencebir bibir. Haish malas sungguh
untuk beralasan bagai ni. Namun segera otaknya ligat
berfikir mencari alasan yang logik. Macam inilah kalau
bercakap dengan orang teknikal, semua nak alasan.
“Lampu tidur tu kan letak dalam bilik. Romantis
sangat. Lagipun praktikal sebab akan digunakan setiap
hari, tak adalah membazir.” Fuh, itu ajelah pun jawapan
yang terlintas di kepalanya. Jangan lepas ni ditanya siapa
pencipta lampu tidur pula sudahlah.
“Hmm... alasan yang baik. Okey, kita cari satu.”
Dibelek satu per satu barisan lampu tidur yang ada
di kedai Lovely Lace itu. Dari yang mahal hinggalah yang
sederhana harganya, semuanya cantik-cantik. Teringin juga
dia tapi bila difikirkan duit belanja pun hanya cukup sampai
hujung bulan, jangan nak berangan. Qaid hanya menjadi
pemerhati. Suka dia melihat gelagat Acam apabila memilih
barang.
Teringat ketika mereka mencari hadiah untuk hari
keluarga di Wiracourt ketika Acam masih menjalani
praktikal bersamanya dahulu. Kisah yang sama,
berulang lagi kini. Apa sahaja yang disentuh oleh jejari
Acam, memang akan tepat dan kena sahaja di matanya.
Memang gadis itu mempunyai anugerah istimewa yang
jarang dijumpai pada orang lain. Ketelitian dan kehalusan
rasa yang sukar dimengertikan. Cerewet… memang tapi
itulah yang istimewanya.
“Okey tak yang ini?” tanya Acam.
“Cantik!”
“Err... tapi harganya mahal sikit. Aku tak tahu
berapa budget kau.”
“Tak kisahlah. Janji cantik. Err.. kau tak nak ambil
satu ke? Ambillah, aku belanja,” pelawa Qaid. Acam hanya
menggelengkan kepala.
“Aku belum nak kahwin, kalau aku kahwin nanti
bolehlah kau hadiahkan.” Selamba Acam mengenakan
Qaid. Eceh minah ni!
“Ha’ah, kalau kita dah kahwin nanti bilik kita tak
payah pakai lampu tidur, gelap lagi romantik, kan.”
Fuh, padan muka. Itulah lagi nak mengenakan orang,
dah diri sendiri yang terkena. Acam mempamerkan riak
tidak puas hati dengan kata-kata Qaid namun Qaid sudah
sakit perut menahan gelak melihat wajah Acam.
Ambil kau!
“Okey, aku panggil salesgirl tu kejap. Suruh dia
balut sekalilah,” ucap Qaid pantas tanpa menunggu lama.
Bukan apa, takut kena flying kick saja dengan minah
yang dah merah padam muka tu.
Gadis jurujual yang sedari tadi memerhatikan
mereka pantas sahaja tiba apabila digamit Qaid. Acam
yang malas hendak mendengar butir bicara antara Qaid
dan gadis itu beredar menjelajah ke bahagian belakang
kedai yang menempatkan lebih banyak cenderamata.
Wah, boleh rambang mata melihatnya. Sabar hati, sabar.
Nanti tak makan sampai hujung bulan baru tau, pujuk
Acam sendiri.
“Ambillah kalau berkenan, aku belanja,” tegur
Qaid yang tiba-tiba sudah berada di belakang Acam.
“Kus semangat, terkejut mak. Kau ni boleh sakit
jantung aku dibuatnya tau. Eh... tak naklah. Aku temankan
kau aje.”
Setelah membayar harga barangan yang dibeli,
Qaid dan Acam laju melangkah ke kawasan parkir.
Mata Acam mengerling ke arah beg-beg yang dijinjing
oleh Qaid. Tadi rasanya beli satu saja lampu, ni dah
dua tiga beg plastik yang dibawanya. Sempat juga
mamat ni shopping, desis Acam.
Acam hanya membimbit beg plastik yang
mengandungi sehelai tudung dan jubah. Itupun Qaid
yang beria-ia menyuruh dia memilihnya ketika mereka
melalui butik tudung Ratu yang terletak berhampiran
pintu keluar tadi. Mulanya Acam menolak juga, tapi
melihatkan Qaid yang mula menampakkan riak rajuk,
segera dia bersetuju. Jenuh mencari dan membelek
barisan tudung yang tergantung.
Bukan mudah hendak memilih yang berkenan di
hati, apatah lagi jika di hati sudah disetkan untuk memilih
tudung yang berharga paling murah. Tak mahu dikatakan
demand pula oleh Qaid. Tapi apa yang terjadi, memang
sebaliknya. Setiap satu yang diambil, mesti mendapat
tentangan daripada Qaid.
Sudahnya, terbang juga seratus lebih duit mamat
tu untuk sehelai tudung. Dah tu, sempat pula mamat tu
menyambar sehelai jubah moden yang berwarna sedondon
dengan tudung yang dipilihnya.
“Qaid, janganlah boros sangat. Kau manjakan aku
nanti aku lebih-lebih esok, kau yang tak larat,” ugut Acam.
“Heh, tak ada maknanya. Bukannya hari-hari kau
menempel dekat aku pun nak perabiskan duit aku.
Sekali-sekali biarlah aku belanja kau. Kau macam tak
sudi aje kan,” balasnya. Ada nada rajuk yang bertandang.
“Alah... tak comellah kau merajuk. Okeylah, aku
ambil. Kalau kau nak borong semua pun tak apa,” suara
Acam mula mengendur. Susah juga kalau dah terasa hati
mamat ni. Dahlah datang dari jauh, kasihan pula.
Lamunan Acam terhenti apabila pintu lif terbuka.
Segera dia membuntuti Qaid melangkah ke petak kereta.
Kalau mahu suruh dia berjalan di hadapan, masak
hangitlah nak mengingatkan petak kereta diletakkan
tadi. Memang dia kantoi sentiasa kalau bab itu. Setelah
membayar tiket parkir, kereta dipandu laju menyusuri
jalanraya yang lengang menuju ke Persiaran Cempaka
Sari.
Jam pada dashboard kereta menunjukkan angka
12.30. Lagi sejam, mesti pengantin sudah tiba untuk
bersanding. Kalau boleh, mereka ingin hadir lebih awal.
Acam pun sudah lama tidak pergi makan kenduri, tentu
seronok dapat menyaksikan pengantin yang cantik
dan berseri-seri duduk bersanding.
Hati Acam berdebar kencang apabila Mitsubishi
Evo 10 mula memasuki lorong ke rumah pengantin.
Kelihatan deretan kereta tetamu di parkir sepanjang bahu
jalan. Khemah-khemah yang terpasang juga kelihatan sesak
dengan tetamu. Wah, bukan kecil kenduri ni. Lapan kanopi
terpasang kemas bertemakan warna putih ungu di
sepanjang jalan menghala ke rumah pengantin.
Setelah mendapat ruang yang boleh memuatkan
keretanya, Qaid terus meminggirkan kereta ke ruang itu.
Susah juga hendak mencari kawasan parkir, maklumlah
banyak kenderaan yang telah lebih awal tiba.
Hadiah yang terletak di belakang kereta diambil
Acam sebelum keluar. Langkah diatur perlahan menuruti
langkah Qaid yang memahami rasa segan Acam. Bukan
Qaid tidak perasan resah gelisah Acam semenjak enjin
kereta dimatikan lagi. Sengaja dia membiarkannya.
Suka sebenarnya melihat rona-rona merah yang
bertandang di wajah gadis itu. Hish, kalaulah mudah
ditakluki hati gadis itu, dah lama rombongan dihantar.
Tidak perlu lama-lama, bertunang hari ni, esok terus
menikah. Heh, mimpilah Qaid. Tersengih dia sendiri
mengenangkan gelodak hatinya itu.
Mereka disambut oleh pak cik dan mak cik Qaid,
iaitu kedua orang tua pengantin lelaki yang sudah
berkumpul di situ. Khabarnya pengantin lelaki sedang
bersiap di rumah sebelah. Sekejap lagi majlis bersanding
akan diadakan. Kesempatan itu diambil oleh Qaid dengan
membawa Acam berjumpa dengan kedua ibu bapanya
yang sedang berbual-bual di perkarangan rumah
tempat pihak lelaki bertamu.
“Mama,” siapa Qaid lalu menghulurkan tangan
menyalami ibunya. Tubuhnya dirangkul dan dicium mesra
oleh wanita itu.
“Sampai pun anak mama ni. Ingatkan tak jadi
datang. Terus dari Melaka ke tadi?” tanya Puan Sahara.
“Ha’ah, Angah terus dari sana tadi. Singgah rumah
kawan sekejap,” ujar Qaid.
Puan Sahara menjungkitkan kening apabila
mendengar perkataan kawan dari mulut anak jejakanya
itu. Pandangannya dibuang ke arah gadis yang berdiri di
belakang Qaid. Comel!
“Aunty, apa khabar?” siapa Acam lalu menyalami
ibu Qaid. Wah, anggun wanita yang berada di hadapannya.
Tidak berkelip-kelip wanita itu memerhatikannya. Dari
atas ke bawah, dari bawah ke atas. Agaknya apa yang tidak
kena, getus Acam.
Terkejut dan terharu apabila tubuhnya gak turut
dirangkul dan pipinya dicium mesra oleh wanita itu. Qaid
yang memerhatikan hanya tersenyum. Minta-mintalah
hati gadis itu tersentuh dan terbuka untuknya dengan
layanan first class mama, desis hati kecilnya. Penat
betullah, tiap kali bersama Acam, asyik nak bercakap
dalam hati saja. Bilalah dapat bercakap depan-depan.
“Mama, ni kawan Angah, Acam,” Qaid
memperkenalkan Acam. Sepatutnya diperkenalkan dahulu
barulah nak bersalam dan berpeluk bagai. Ini tidak, terlebih
mesralah pula.
“Acam?” Puan Sahara terpegun dan mengerutkan
dahi mendengar nama itu.
“Err... Acam tu panggilan saya aunty. Nama saya
Puteri Darlina,” terang Acam serba salah. Hish, Qaid ni
pun, agak-agaklah kalau hendak sebut. Terdengar letusan
tawa daripada wanita itu. Geli hati agaknya mendengar
nama Acam itu.
“Ini kena cerita kat aunty ni macam mana boleh
dapat nama Acam tu. Rare names,” usik Puan Sahara, suka
melihat wajah putih gadis itu kemerah-merahan. Alahai,
mak dengan anak sama aje, suka benar mengusik. Ini
bukan like father, like son tapi sudah jadi like mother like
son.
Suasana mula meriah di situ. Seorang demi
seorang datang menyalami Acam. Masing-masing sibuk
hendak berkenalan dengan Acam. Maklumlah, Qaid itu
anak lelaki tunggal keluarga, malah susah pula hendak
mengusung anak gadis orang berjumpa mereka. Papa
Qaid juga tidak terkecuali turut serta dalam sesi
temuramah itu. Tercungap juga Acam dibuatnya dengan
lontaran-lontaran soalan yang bertalu-talu.
Masing-masing sibuk ingin mengetahui mengenai
Acam sehingga pengantin lelaki yang segak dengan
persalinan raja sehari berdiri di muka pintu pun tidak
dihiraukan. Nasib baiklah adik perempuan Qaid datang
menghentikan sesi temu ramah itu, kalau tidak mahu
sampai ke malam pengantin lelaki tercegat di situ.
Tangan Acam diraih oleh Puan Sahara. Tidak
dilepaskan tangan gadis itu ke mana sahaja dia pergi.
Malah, semasa menepung tawar pun sibuk wanita itu
menyeret Acam sama. Sudah macam belangkas pula
kisahnya. Qaid hanya tersenyum melihat sikap mamanya
yang nampak seperti berkenan benar dengan Acam. Kalau
mama berkenan, Angah seratus kali berkenan mama oii,
tapi dia saja yang tidak berkenan kat anak mama ni.
Gelodak di jiwa semakin mencengkam. Aduhai…
“Acam, kau okey ke?” bisik Qaid ketika mereka
sedang menjamu selera. Duduk semeja dengan pengantin
makan beradab memang istimewa.
“Okey aje, tapi penatlah kena interview,” balas
Acam namun masih tersenyum.
“Oh, sorry ya. Kesian kat kau, kan.”
Qaid seperti mengerti perasaan Acam. Yalah,
ingat tak penat ke nak melayan masing-masing sibuk
bertanya itu dan ini. Lebih-lebih lagi mama dan kak
longnya. Qaid pun bosan juga apabila terasa dirinya
kurang mendapat perhatian, nasib baik ada Qiera anak
buahnya yang baru berusia dua tahun tu. Boleh juga
didukung-dukung dan diajak bergurau.
“Eh... tak ada hal. Aku tak kisah pun, seronok pula
ada. Macam VVIP pula aku rasa.” Meleret senyum Acam
apatah lagi tertangkap mata Puan Sahara yang redup
merenungnya. Ada garis gembira di wajah ibu itu.
Lensa kamera sibuk dipetik. Cahaya flash sesekali
mengenai wajah Acam dan Qaid. Rasa macam mereka pula
yang bersanding. Aduhai, perasan sungguh si Qaid ni.
Seketika, hatinya dibuai rasa gembira yang tiada bertepi.
Alangkah indah jika semua ini berkekalan. Dialah insan
yang paling bertuah jika hati gadis itu dapat dimilikinya.
Dalam diam dia berdoa agar Allah membuka ruang
di sudut hati gadis bernama Puteri Darlina itu untuknya.
Kalaulah sepuluh tahun diperlukan untuk menambat hati
gadis itu, dia rela.

No comments:

Post a Comment