Pagi-pagi
lagi mummy dah sibuk memasak.
Saudara-mara dari sebelah mummy yang
tinggal di Perlis dan Kedah, sudah sampai pagi tadi. Mereka masing-masing
mengambil feri yang paling awal. Riuh jugaklah rumah keluarga aku ini bila
mak-mak sedara aku dah mula dengan sesi meng‘interview’ aku. Yalah, tiba-tiba sahaja hendak bertunang. Ringan
sahaja mulut aku mahu menyalahkan Benyamin. Aku bukannya tahu apa-apa. Mamat sewel tu yang buat keputusan ikut kepala
otak dia yang senget tu.
Aku
membantu mummy apa yang patut
walaupun malam tadi aku tak dapat tidur langsung. Banyak sangat berfikir sampai
otak dah rasa penat. Nak telefon Benyamin pun, aku bukannya ada nombor telefon
mamat tu. Lepas aku sindir-sindir dia dekat hospital dulu, aku terus cabut
macam tu je. Tak sempat pun nak minta nombor telefon. Yang aku ada, nombor
telefon pejabat dia. Tak pun, encik setiausaha dia tu. Kalau aku ada nombor
telefon dia, malam tadi lagi aku dah sound
dia cukup-cukup. Biar dia rasa telinga dia macam nak tercabut.
“Adik membebel-bebel dalam telefon
tadi. Dia kata dia nak balik jugak. Nak tengok ayong bertunang.” Cerita Aqwa
yang masuk menjenguk ke kawasan dapur. Ingatanku terus melayang pada Afif yang
masih di Perancis, menyambung pelajaran di sana.
“Ala, mummy dah cakap dengan dia. Time
ayong kahwin nanti, dia tengoklah ayong puas-puas. Angah, angah tolong mummy bentangkan karpet dekat depan tu.”
Balas mummy. Mendengarkan mummy bercerita mengenai isu
perkahwinan, aku sudah mula terasa kecut perut. Periuk belanga tak terbang ke
kalau aku betul-betul kahwin dengan Benyamin?
“Najah, Ben baru aje telefon abang. Depa baru je naik kapal terbang.”
Beritahu abah pula.
“Ya ke? Tak apalah, rumah dah kemas,
memasak pun dah sudah. Tinggal anak dara abang ni je yang tak siap-siap lagi.
Tak mandi lagi pulak tu.” Balas mummy
sambil memandang ke arahku.
“Nak pi mandilah ni, mummy.”
Balasku pula dan ingin berlalu ke tingkat atas.
“Nanti ayong pakai baju yang mummy dah sangkut dekat dalam almari
tu.” Pesan mummy.
“Ayong ingat nak pakai baju kurung
kain kapas yang mummy jahit tu je.
Tak boleh ke?” Usikku tetapi mummy
sudah menjegilkan biji matanya. Aku berlalu ke tingkat atas sambil ketawa.
Tetapi tawaku tidak lama sebaik sahaja aku membuka almari dan kelihatan
sepasang baju kurung dari kain lace
berwarna ungu lembut di dalam almari. Bila masa pulak mummy sediakan baju ini?
Ketika aku sudah selesai mandi dan
menukar pakaian, mummy masuk dengan mak
ngah, kakak mummy. Mak ngah ini
merupakan mak andam ketika zaman mudanya dahulu.
“Awat,
mummy? Ayong dah nak pakai tudung dah
ni.” Tuturku.
“Ni, mummy nak mintak tolong mak ngah hang make-up kan ayong sikit. Barulah lawa anak dara mummy ni.” Balas mummy,sambil bertukar senyuman dengan mak ngah.
“Ala, mummy. Tak payahlah. Bertunang je pun. Bukannya ada orang nak
tengok pun.” Balasku sambil mencari-cari pin tudung dari dalam bekas kaca.
“Sikit aje. Biar nampak naik seri.”
Balas mummy pula. Wajahnya sudah
kelihatan mengharap. Akhirnya aku mengalah.
“Ayong nak mak ngah make-up
kan ayong macam make-up zombie
boleh?” Soalku pada mak ngah. Biar bila mamat
tu jumpa aku lepas ni, dia pengsan. Baru padan dengan muka dia.
“Isy, hang
ni. Ada ke nak make-up macam zombie.” Komen mak ngah sambil
mengerutkan dahi.
“Ayong
gurau jelah, mak ngah.” Balasku, tersengih.
“Hang ni, mesti tengah nervous.” Balas mak ngah dan menarik
kerusi untuk duduk di hadapanku.
Aku
hanya tersengih. Nervous? Nervous apanya? Aku rasa tak sabar nak
jumpa Benyamin adalah. Aku nak hempuk dia sekali biar skru-skru dalam kepala
otak dia tu ketat balik.
Sepanjang proses merisik dan selepas
itu bertunang dan juga perbincangan mengenai majlis perkahwinan, aku hanya
duduk di dalam bilik tidurku. Aku sudah panas punggung, hendak sangat
mengetahui apa yang sedang mereka bincangkan di luar sana. Risau aku kalau
Benyamin mengambil keputusan sendiri tanpa berbincang denganku.
“Ayong, pening kepala Ina tengok
ayong ni. Seminit tak boleh duduk diam.” Ujar adik sepupuku, Hardina.
“Ayong tengah risau ni.” Balasku.
“Ayong nak risau apa? Bakal tunang
ayong tu ada je dekat luar rumah dengan abang Aqwa. Handsome kut Ina tengok.” Balas Hardina, tersengih.
“Isy,
Ina ni. Handsome pulak yang Ina
tengok dulu.” Balasku.
“Yalah, Ina bukannya buta.” Balas
Ina dan tersengih lagi.
“Ina, Ina tolong jadi spy ayong boleh tak?” Pintaku.
“Spy?
Spy apa pulak ni, ayong?” Soal
Hardina, pelik.
“Ina keluar jap, tolong curi dengar
apa yang abah ayong tengah bincang dengan wakil Ben tu.” Jawabku. Aku pandang
Hardina dengan wajah mengharap.
“Eh, tak nak lah Ina. Kalau ibu
nampak nanti, tak pasal-pasal Ina kena piat telinga.” Hardina terus
menggelengkan kepalanya.
“Ala, bolehlah Ina.” Pintaku lagi.
“Ayong ni kenapa sebenarnya?” Soal
Hardina pula.
“Kalau ayong cerita pun, Ina bukannya
faham. Ni hal orang dewasa.” Jawabku dan Hardina mencebik.
“Eh, Ina dah besar dah. Dah 17
tahun. Kalau zaman ibu dulu, dah kahwin dah.” Balas Hardina.
“Amboi, amboi. Hang tu, SPM pun tak lepaih
lagi tau dak. Gatai dah nak pikiaq pasai kahwin na.” Usikku dan Hardina ketawa.
Sedang kami seronok berbual, mummy masuk ke dalam bilik sambil
ditemani oleh mak long dan mak ngah.
“Amboi, hangpa dua orang ni syok
bersembang. Ayong, get ready. Sat lagi mak angkat Benyamin nak masuk,
nak sarungkan cincin.” Tutur mummy.
Mak angkat? Siapa pulak mak angkat
mamat tu?
“Ayong dari tadi dah get ready, mak su. Dia dah tak sabar dah
tu.” Usik Hardina.
“Sibuklah, hang. Budak kecik, duduk senyap-senyap.” Balasku pula.
“Assalamualaikum.” Suara lembut yang
memberi salam itu membuatkan semua kepala terarah pada muka pintu. Seorang
wanita berusia lewat 50-an melangkah masuk ke dalam bilik.
“Oh, inilah Nuha ya? Cantik, manis
orangnya. Pandai Ben pilih.” Puji wanita itu sambil duduk di sebelahku. Dia
tersenyum manis. Aku? Hanya mampu tersenyum semenjak tadi, seolah-olah sedang shooting iklan ubat gigi Darlie.
“Mak Engku ni kawan baik arwah mak
Benyamin. Dah macam mak kandung Ben sendiri.” Beritahu Mak Engku. Aku tersenyum
lagi sedangkan di dalam hati sudah ber’wow-wow.
Mak Engku? Kerabat diraja mana pulak yang Benyamin kenal ni? Sukalah buat cik
jantung aku ni kerja lebih masa sampai penat.
Mak Engku mengeluarkan kotak
berwarna biru lembut yang sangat sinonim dengan Tiffany & Co. Sebentuk
cincin ditarik keluar daripada kotaknya dan disarungkan pada jari manisku.
Tangan Mak Engku aku salam dan satu ciuman singgah pada pipi kananku. Amir yang
masuk dengan kamera DSLR miliknya sempat lagi menangkap gambar.
Mummy
menjemput Mak Engku dan rombongan kecil Benyamin untuk makan. Benyamin hanya
datang bersama-sama keluarga Mak Engku yang terdiri daripada suami Mak Engku
dan dua orang lelaki yang merupakan anak Mak Engku. Ketika aku keluar ke ruang
tamu, aku tidak melihat pula keluarga Dato’ Zamir. Mungkin mereka sibuk dan
tambahan pula majlis pertunangan ini sangat tiba-tiba.
Selesai makan tengah hari, abah
meminta aku membawa Benyamin dan keluarga Mak Engku ke resort milik abah yang
terletak tidak jauh dari Pantai Chenang. Nasib baiklah keluarga Mak Engku ada
sekali. Kalau setakat si Benyamin tu, pandai-pandailah dia nak hidup. Aku
sempat menarik Aqwa sekali sebagai peneman.
“Mak Engku, ni kunci bilik. Yang ini
untuk bilik Mak Engku dan Pak Engku. Yang ini untuk bilik anak-anak Mak Engku.
Yang kunci lagi satu ni untuk bilik Benyamin.” Tuturku sopan sambil menyerahkan
kunci bilik kepada Mak Engku, satu lagi kunci bilik kepada anak sulung Mak
Engku, Tengku Iqmal dan satu lagi kunci kepada Benyamin.
“Terima kasih, Nuha. Nanti kita
jumpa lagi sebelum Nuha balik KL. Mummy
Nuha kata flight malam ni ye?” Balas
Mak Engku. Benyamin yang berdiri di sebelah Mak Engku, hanya diam. Sejak dia
sampai, aku belum sempat lagi nak berleter.
“Ha’ah,
Mak Engku.” Balasku.
“Awalnya balik KL. Ingatkan balik
sekali dengan kitorang.” Balas Pak
Engku pula.
“Esok ada appointment dengan client,
Pak Engku. Tu yang kena balik jugak, tak boleh ambil cuti.” Jawabku sambil
tersenyum.
“La…
kesiannya.” Balas Pak Engku.
“Yalah. Dah orang tu ikut suka kepala
otak dia je buat decision.” Gumamku
perlahan sambil menjeling ke arah Benyamin. Benyamin seperti biasa, menayang
muka tidak berperasaan.
“Apa dia, Nuha?” Soal Pak Engku.
Alamak! Diorang dengar ke luahan hati kecil aku tadi?
“Eh, tak ada apa-apa, Pak Engku. Pak
Engku and family, berehatlah. Petang
nanti kita jumpa lagi.” Jawabku, tersenyum seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Kami naik dululah ya.” Balas Mak
Engku dan mereka sekeluarga berlalu.
“Eh, eh! Awak nak pergi mana?”
Soalku, pantas menahan Benyamin yang turut ingin berlalu.
“Pergi biliklah.” Jawab Benyamin
tanpa sebarang rasa bersalah.
“Awak naik atas, letak barang awak.
Lepas tu, awak turun balik.” Ujarku tegas.
“Dah kenapa pulak nak kena turun
balik?” Soal Benyamin tidak puas hati.
“Saya tunggu awak dekat pantai
belakang tu dengan Aqwa.” Pesanku, tidak mahu menjawab soalan Benyamin. Biar
mamat tu rasa panas hati macam yang aku selalu rasa.
“Kalau awak tak datang, saya
pancitkan tayar kereta awak yang dekat KL tu.” Selepas selesai mengugut
Benyamin seperti budak-budak sekolah, aku tarik tangan Aqwa dan terus
cepat-cepat angkat kaki dari situ.
No comments:
Post a Comment