DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 11 April 2016

DIA... MR PERFECT AKU! - BAB 10

DIYA berdiri di hadapan pintu bilik itu. Serba
salah dibuatnya. Dia menarik nafas seketika dan menghembus
perlahan. Perlukah dia mengetuk pintu atau datang saja
lain kali kerana sekarang ni pun dah agak lewat. Hampir
nak masuk waktu maghrib. Semua ni gara-gara dia dipaksa
kerja lebih masa oleh Cik Zanita. Memang perempuan itu
betul-betul bikin masalah buat dia.
Kerana pesanan yang diterimanya di kaunter
sebentar tadi juga menyebabkan dia berdiri di muka pintu
bilik itu. Kan lebih baik kalau dia ajak Jemy bersama, tapi
Jemy terpaksa balik awal kerana dia kurang sihat. Tengah
hari tadi, Jemy asyik bersin saja. Badannya pun agak panas.
Mungkin esok Jemy akan ambil cuti.
Kalau tidak mengenangkan lelaki itu akan balik
malam ini, dia boleh menangguhkan aje untuk mengambil
rantai lehernya yang tercicir petang semalam. Atau biarkan
aje rantai itu berada dengan lelaki itu, tapi tak boleh... sebab
rantai itu pemberian ibu sempena hari lahirnya tiga tahun
lepas dan dia benar-benar menyukai rantai leher itu.
Diya mengetuk pintu bilik beberapa kali. Dia
mencuba lagi. Ketika dia berura-ura untuk pergi dari situ,
pintu bilik dibuka. Diya kaku di situ dengan mata yang bulat
memandang fenomena di hadapan. Lelaki itu muncul dengan
hanya mengenakan tuala. Diya merenung seketika muka
lelaki itu. Rambutnya yang masih basah dan belum bersikat
itu nampak begitu menarik. Ditambah pula dengan dada
bidangnya yang terdedah benar-benar membuat degupan di
dada Diya bertambah hebat.
“Ops…” Diya menutup mulutnya yang ternganga.
“Diya, awak buat apa kat sini?” tanya Shah
memandang wajah Diya dengan rasa hairan.
“Er… bukan ke Encik Shah nak jumpa saya untuk
pulangkan rantai leher yang saya tercicir semalam?” Diya
membuka mulut.
Shah menggaru kepala seketika.
“Oh, sorry… saya hampir terlupa. Saya tengah
mandi tadi. Itu yang terlambat datang buka pintu. Masuklah,”
pelawa Shah.
“Erm… saya rasa elok saya tunggu kat sini aje,”
balas Diya.
“Masuk ajelah, saya ni lelaki yang baik. Awak jangan
bimbang.” Kata Shah.
“Tapi…” Diya tetap rasa serba salah.
“Ini hotel, bukannya kampung. Saya pakai baju
sekejap.” Shah masuk ke dalam bilik dan membiarkan pintu
bilik terbuka. Dia mencapai sehelai baju dari dalam beg dan
terus menyarung ke tubuh sasanya. Kemudian dia mempelawa
Diya masuk. Nak tak nak, terpaksalah Diya menjejak masuk
kerana kata Shah, dia terlupa di mana dia meletakkan rantai
milik Diya itu.
“Maaf, saya betul-betul terlupa di mana saya
letak rantai awak tu.” Shah menggaru-garu kepala sambil
tangannya lincah menyelongkar almari dan begnya tapi tetap
tak berjumpa.
“Macam ni ajelah… bila Encik Shah dah jumpa
rantai saya tu, tinggalkan aje kat kaunter hotel, saya akan
datang ambil.” Kata Diya. Dia resah memikirkan situasi
sekarang. Sejak dari tadi perasaannya tak enak.
“Maaf ya, saya dah susahkan awak.” Shah melahirkan
rasa bersalah.
“Tak apalah, kalau macam tu saya pergi dulu.” Kata
Diya dan mengatur langkah ke muka pintu. Namun, sebaik
saja pintu dikuak, matanya terbuka luas dan dia benar-benar
rasa nak pengsan.
Diya berkalih, memandang wajah Shah dengan mata
yang sudah berkaca dan Shah pula dilihat sudah berpeluh
walaupun dia baru saja selesai mandi. Apa sebenarnya yang
sedang berlaku ni, kenapa dia yang jadi mangsa?
DIYA TUNDUK memandang lantai. Sudah jenuh air matanya
keluar menafikan tuduhan yang diterima. Dia dan Shah
ditangkap khalwat. Suatu situasi yang tak pernah dibayangkan
walau sedikit pun. Walaupun hati kecilnya mengakui bahawa
dia bukan hanya menyukai, malah dia juga jatuh cinta
pandang pertama kepada lelaki itu, tapi bukan dengan cara
begini mereka akan disatukan. Amat memalukan.
Apa pandangan orang lain kalau mereka tahu hal ini?
Di mana dia nak sorokkan mukanya? Bagaimana perasaan
ibu dan ayah? Ibu… ayah… sungguh, bukan ini yang Diya
inginkan. Diya terus mengesat air matanya yang tetap laju
mengalir.
Shah pula tak banyak cakap, dia hanya menyerahkan
semua keputusan kepada ayah Diya dan pegawai pencegah
maksiat itu. Nasib baiklah perbincangan ini dilakukan di balai
polis. Apa yang berlaku hari ini hanya disedari oleh beberapa
orang staf hotel sahaja termasuk Puan Khadijah.
“Pak cik minta maaf kalau anak pak cik dah malukan
Encik Shah. Pak cik memang tak jangka, ini yang terpaksa
kami hadapi. Diya anak pak cik, satu-satu anak perempuan
yang pak cik ada dan selama ini kami dah berikan didikan
yang sempurna untuk dia,” kata Encik Jamaluddin dengan
wajah tenang. Tidak sesekali dia menyalahkan Shah atas apa
yang berlaku.
Bagi Encik Jamaluddin, tak ada gunanya kalau dia
nak mengamuk, benda dah jadi. Semua ini harus diterima
dengan berlapang dada. Apa lagi yang harus dia nyatakan
selain daripada menganggap itu sebagai takdir dan juga
musibah.
Puan Hasmah sedang mengusap tubuh Diya
perlahan sedari tadi, matanya bengkak kerana dia juga turut
menangis mengenangkan apa yang telah berlaku. Sementara
Amin hanya diam, wajahnya jelas nampak kecewa dan hampa
dengan apa yang berlaku.
“Pak cik, mak cik… saya rasa semua ini salah faham.
Kami berdua tak salah dan saya berani bersumpah bahawa
kami tak buat perkara yang mencurigakan tu. Diya datang ke
bilik saya kerana dia nak ambil rantai lehernya yang tercicir di
depan bilik saya. Saya yang tinggalkan pesanan tu di kaunter
tadi. Itu aje. Saya pun memang dah berhajat nak balik KL
malam ini sebab urusan saya di sini sudah selesai.” Kata Shah
cuba memberi penjelasan.
“Tapi… apa yang berlaku tadi tak dapat diundur
semula. Pak cik pun tak mengharapkan benda ini berlaku.
Terlalu aib dan memalukan keluarga” Encik Jamaluddin
bersuara sambil mengeluh panjang. Cukup kesal dengan apa
yang berlaku.
Tiba-tiba telefon Shah berbunyi. Dia segera menyeluk
poket seluarnya.
“Mama saya call,” beritahu Shah kepada Diya dan
Puan Hasmah yang sedang memandangnya.
“Assalamualaikum ma. Shah masih kat Kota Bharu.
Memang Shah bercadang nak balik KL malam ni, tapi ada
hal yang tak dapat dielakkan. Mungkin Shah balik pagi esok.
Kenapa? Apa? Baiklah… mama jangan bimbang, sabar ya.”
Shah segera mematikan talian. Wajahnya cemas.
“Kenapa?” tanya Puan Hasmah risau melihat wajah
Shah yang cemas sebaik sahaja menjawab panggilan itu.
“Papa saya masuk wad, mak cik… heart attack.
Sekarang ni dalam wad ICU.” Beritahu Shah kalut.
Encik Jamaluddin memandang ahli keluarganya.
“Macam ni la pak cik, mak cik. Izinkan saya
memperisteri Diya kalau inilah satu-satunya cara untuk
membersihkan nama kita semua. Saya tahu, pak cik
sekeluarga tidak mengenali saya, begitu juga dengan saya.
Saya kenal Diya pun baru semalam. Apa yang berlaku pada
kami bukanlah atas kehendak kami, mungkin ini jodoh kami.
Walaupun dengan cara begini… saya janji, saya akan jaga
Diya sebaik mungkin dan cuba membahagiakannya,” katakata
Shah itu membuatkan orang tua Diya, Amin dan Diya
sendiri tercengang.
Shah sendiri pun buntu memikirkan hal ini, apalagi
selepas mendapat panggilan telefon daripada mamanya
yang mengatakan papanya ditahan di wad. Dan dia juga tak
menjangka yang dia akan mengeluarkan kata-kata itu dalam
keadaan kelam-kabut begini.
“Tapi…”
Encik Jamaluddin cuba menegah. Takkanlah begitu
cepat lelaki ini membuat keputusan sedangkan apa yang
dicadangkan itu memberi impak yang besar buat mereka
sekeluarga. Sepatutnya perkara ini dibawa berbincang antara
kedua belah keluarga. Lainlah kalau Shah itu sebatang kara.
“Apa kata pak cik kahwinkan aje kami malam ni agar
ia dapat diselesaikan dengan segera sebelum hal ini diketahui
umum. Saya akan cuba jelaskan perkara ini kepada orang tua
saya dan saya harap mereka dapat terima dengan berlapang
dada.” Kata Shah setenang yang mungkin. Apa yang dikatakan
tadi tak mungkin ditarik semula. Untuk tidak memanjangkan
cerita, hal ini perlu diselesaikan dengan seberapa segera yang
boleh. Malam ini pun tak apa. Janji dapat diselesaikan. Hanya
itu sahaja yang ada dalam fikirannya sekarang.
Encik Jamaluddin memandang wajah Diya, cuba
meminta pendapat. Diya hanya diam, dia buntu untuk buat
keputusan. Terasa apa yang berlaku terlalu mendadak dan
keputusan Shah yang mahu mereka berdua dinikahkan
segera malam ini juga membuatkan dia rasa tak cukup nafas
untuk bernyawa.
“Diya, apa pendapat Diya. Diya sanggup terima Shah
sebagai suami Diya?” tanya Encik Jamaluddin.
Dia tak mahu membuat keputusan sendiri kerana
ini melibatkan soal masa depan anaknya. Memang dia rasa
itulah keputusan yang terbaik bagi menutup aib keluarga tapi
semua ini boleh dirundingkan lagi kalau Diya menolak. Dia
mahukan yang terbaik untuk anak gadisnya itu.
“Encik Shah… Encik Shah yakin ke yang
perkahwinan ini membuatkan kita bahagia? Macam mana
dengan keluarga Encik Shah? Mungkin Encik Shah dah
punya anak ataupun isteri?” kata Diya serba salah untuk
menerima cadangan itu.
Baginya, banyak impian yang belum terlaksana.
Lagipun, dia masih lagi muda untuk memikul tanggungjawab
sebagai isteri. Dia baru saja tamat pengajian dan juga baru
mencecah usia 24 tahun. Tidakkah keputusan yang dibuat
oleh Shah itu dirasakan begitu tergesa-gesa walaupun
jauh di dasar hati, dia bahagia sebaik sahaja cadangan itu
dikemukakan. Shah bukanlah lelaki yang pengecut, malah
dia rasa Shah seorang lelaki yang bertanggungjawab.
“Diya jangan bimbang, saya belum berkahwin.” Shah
mengukir senyum.
“Diya...” Amin menghampiri Diya.
“Along, maafkan Diya kalau Diya dah kecewakan
along.” Mohon Diya sambil memegang tangan abangnya.
“Diya jangan risau, along akan sentiasa menyokong
Diya kerana Diya satu-satunya adik yang along sayang,” ucap
Amin.
Hati Diya bertambah sebak. Kalau tidak
mengenangkan saat ini mereka berada di hadapan orang luar,
pasti tubuh alongnya itu dipeluk erat.
“Macam inilah… sekarang kita semua ke rumah
pak cik, di sana nanti kita dapat berbincang dengan baik dan
pak cik harap masalah ini dapat diselesaikan dengan secepat
mungkin.”
SELESAI SOLAT isyak berjemaah di masjid, maka dengan
rasminya Diya sah menjadi isteri kepada Shah dengan hanya
sekali lafaz di ruang tamu rumah Encik Jamaluddin. Shah
juga menyediakan cek sebanyak RM10 ribu sebagai mas
kahwin.
Jemy turut hadir sama dalam majlis itu dan ternyata
Jemy benar-benar terkejut menerima berita itu. Bukan main
bulat lagi mulutnya ternganga, nasib baik tak pengsan.
Dahlah badannya kurang sihat, dapat pula berita yang tidak
dijangka. Berita hot dan tergempar.
“Saya minta maaf kerana menyelesaikan hal ini
dalam keadaan mendadak dan tergesa-gesa begini.” Kata
Shah sebaik sahaja semua tetamu yang dijemput sudah
pulang. Hanya beberapa orang sahaja yang dijemput, sekadar
untuk memenuhi syarat.
“Tak mengapa. Sekurang-kurangnya ayah tahu Shah
seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Lepas ni
baru kita fikirkan pasal majlis dan kenduri. Ayah bukannya
nak jual anak, tapi apa yang penting ialah kebahagiaan
anak ayah. Ayah harap Shah dapat menjaga Diya dengan
baik kerana lepas ni semua tanggungjawab akan terletak di
bahu Shah. Tapi, ini bukan bermakna ayah dah lepaskan 100
peratus tanggungjawab ayah pada Shah. Sebagai seorang
suami, Shah patut jalankan tanggungjawab itu dengan sebaik
mungkin. Kalau ada sebarang masalah, jangan segan bertanya
dan berbincang. Ayah akan sentiasa ada untuk membantu.”
Encik Jamaluddin menepuk perlahan bahu Shah yang masih
lengkap berbaju Melayu warna krim milik Amin. Nasib baik
muat.
Sebaik sahaja Shah sah menjadi suami Diya, Encik
Jamaluddin telah menganggap lelaki ini sebagai menantunya
dan terus membahasakan dirinya sebagai ayah dengan
harapan Shah akan selesa.
“Terima kasih ayah kerana terima Shah. Shah janji,
Shah akan jaga Diya sebaik mungkin. Shah pun punya banyak
kelemahan tapi Shah akan cuba menjadi yang terbaik agar
Shah tak mengecewakan ayah sekeluarga, lebih-lebih lagi
untuk Diya,” janji Shah.
Encik Jamaluddin mengangguk kepala tanda dia
berpuas hati dengan kata-kata Shah itu.
“Shah, tolong jaga Diya. Jangan sakiti hati dia kerana
along tak sanggup lihat dia menangis dan kecewa. Kalau
along tahu Shah cuba aniaya dia, nahaslah kamu nanti...
along kerjakan.” Amin memberi pesanan dan peringatan
kepada adik iparnya yang hanya berbeza usia cuma setahun
sahaja.
Shah mengangguk perlahan. Hati kecilnya benarbenar
berharap apa yang berlaku ini dapat diterima dengan
baik oleh orang tuanya sebagaimana orang tua Diya
menerimanya. Selama ini, mamanya mengharapkan agar dia
menerima Hanim Suraya sebagai isteri, tapi dia tetap menolak
kerana merasakan perempuan itu tidak sesuai dengannya.
Baginya, Hanim suka mendesak dan mengongkong hidupnya.
Apa agaknya penerimaan mama kalau dia tahu
hal ini? Dengan papa dia masih boleh bertolak ansur tapi
mama, susah sikit. Bagaimana caranya dia nak memujuk
supaya mama dapat menerima Diya sebagai menantu? Kalau
nak dikira taraf kewangan, keluarga Diya juga orang yang
berharta dan agak terkenal di bandar ini walaupun mereka
tidak menyatakannya, tapi semua itu cukup jelas pada
penglihatannya walaupun untuk pertama kali mereka bersua.
Lihat saja rumah dan perhiasan dalamannya, cukup mewah.
Sama seperti yang dimiliki keluarganya.

No comments:

Post a Comment