Menunggu sesuatu yang
sangat menyebalkan bagiku
Saat ku harus bersabar dan terus bersabar
Menantikan kehadiran dirimu
Entah sampai kapan aku harus menunggu
Sesuatu yang sangat sulit tuk ku jalani
Hidup dalam kesendirian sepi tanpamu
Kadang ku berpikir cari penggantimu
Saat kau jauh disana
Saat ku harus bersabar dan terus bersabar
Menantikan kehadiran dirimu
Entah sampai kapan aku harus menunggu
Sesuatu yang sangat sulit tuk ku jalani
Hidup dalam kesendirian sepi tanpamu
Kadang ku berpikir cari penggantimu
Saat kau jauh disana
…………………………………
Zivilia
Band – Aishiteru
“NAK
ke mana tu?” tegur Puan Sri Hanum kala terlihat kelibat anak bujangnya yang
menuruni anak tangga sambil berlagu riang. Wangi bukan main. Jam baru pukul
6.40 pagi. Anaknya itu sudah kelihatan begitu bergaya sekali. Dengan kemeja-t
polo warna putih bergaris merah, seluar jeans hitam dan bertopi putih. Ini tak
lain tak bukan mesti nak keluar lagi. Susah sangat nak duduk diam kat rumah hujung minggu macam ini.
“Riz nak keluar main golf dengan abang Mie, ma,” selamba Harriz menjawab. Langsung tidak
menghiraukan renungan tajam mamanya itu. Langkahnya sudah dibawa ke ruang
makan. Kerusi ditarik dan dia pun duduk di atas kerusi. Teko berisi air coklat
kegemarannya dituang ke dalam cawan. Bihun goreng campur udang segar disenduk
masuk ke dalam pinggan.
Hmmm… sedap betul bihun hasil air tangan mamanya
itu. Biarpun ada pembantu rumah, hal masak-memasak akan disediakan sendiri oleh
Puan Sri Hanum. Kak Moon hanya membantu menyediakan bahan-bahan yang diperlukan
sahaja. Dia memang tak benarkan Kak Moon masak.
“Iye ke
nak keluar dengan Fahmie? Ke Riz nak keluar dengan teman-teman wanita Harriz
yang berbagai rupa dan ragam tu?” sinis Puan Sri Hanum menyindir. Macamlah dia
tak tahu perangai anak bujangnya yang kaki perempuan itu. Sudah naik berbuih
mulutnya membebel marahkan Harriz yang asyik berkepit dengan
perempuan-perempuan yang langsung tak menepati citarasanya untuk dijadikan
calon menantu. Namun anaknya itu buat tak dengar sahaja. Malah bukan main galak
pula Harriz memasang teman wanita yang berbagai rupa.
“Hisy… mama ni ke situ pulak. Betullah, ma. Riz ada appointment
nak main golf dengan Abang Mie pagi ni. Takkan nak keluar dating awal pagi begini? Shopping
complex pun tak buka lagi tau, ma. Kalau mama tak percaya Riz nak pergi
main golf dengan abang Mie, mama boleh call
Abang Mie atau Kak Hanis,” balas Harriz.
Puan Sri Hanum mengetap bibir. Harriz ni ada sahaja
jawapannya. Susah betul dengan perangai anak lelaki tunggalnya itu. Tak pernah
nak kalah bila bercakap. Sebiji macam perangainya jugak. Bak kata orang, emak borek anak rintik.
“Harriz jangan nak main-main dengan mama. Mama tak
nak Harriz terlibat lagi dengan perempuan-perempuan yang entah dari mana
asalnya itu. Mama dah tak nak baca gosip-gosip pasal Harriz lagi. Ingat mama
dengan papa bangga sangat ke bila ada media yang melaporkan Harriz ni playboy nombor satu di KL? Memalukan aje. Tak pernah ada dalam keturunan kita
yang bergelar playboy. Papa masa
muda-muda dulu pun tak ada buat perangai macam Harriz,” omel Puan Sri Hanum.
Memang benar. Suaminya ketika muda-muda dulu tak ada perangai buruk macam
Harriz ini. Suaminya merupakan seorang lelaki yang budiman. Disebabkan itulah
hatinya terpaut pada Tan Sri Hamdan walaupun ketika itu suaminya hanyalah
seorang anak nelayan.
Kali ini Harriz malas hendak membalas kata. Dia menyuap
lagi bihun goreng ke dalam mulut. Menikmati keenakan bihun itu lebih bagus dari
dengar omelan mama di awal pagi ini. Aduh… mama. Suka sangat membebel.
Betul-betul mewarisi perangai arwah nenek. Dan sekarang perangai kuat membebel
itu jatuh pulak kepada mama dan Hanni. Nasib baik Kak Hanis dan Hanna tak
berjangkit penyakit yang sama. Heheheee…
“Mama tak suka Harriz terlibat dengan perempuan-perempuan
tu lagi. Dahlah perangai tak senonoh, pakaian pulak macam orang tak cukup kain.
Rimas mata mama ni tengok diorang.
Tak sesuai langsung jadi menantu mama,” Puan Sri Hanum mengumam. Dia memang tak
berkenan dengan beberapa orang teman wanita Harriz yang pernah dijumpanya. Dia
juga sudah memberi amaran kepada beberapa orang wanita yang sering Harriz usung
ke sini sana untuk menjauhkan diri daripada anaknya itu. Jangan harap dia nak
terima salah seorang daripada mereka untuk dijadikan menantu. Baginya, dia
sudah ada pilihan yang dirasakan cukup sesuai untuk dijadikan teman hidup
Harriz.
“Iye la,
ma. Riz tahu.” hanya ayat itu yang keluar dari mulut Harriz. Hisy… mama ni!
Buat hilang selera makan aku aje. Boleh tak biarkan aku aman damai menikmati
kelazatan bihun ini? Ini tak… pot-pet
pot-pet macam burung kakak tua.
“Harriz jangan cakap ‘tahu-tahu’ aje. Mama tak nak
Harriz berdampingan dengan teman-teman wanita Harriz tu lagi. Ini last warning dari mama,” nada suara mama
kedengaran serius. Wajah jugak kelihatan serius sekali. Langsung tak ada
segaris senyuman.
Aduh… mama ni kan… buat perut aku kenyang cepat
betullah. Sejak kebelakangan ni mama suka sangat buat aku migrain. Asyik nak
kawal pergerakan aku aje.
“Ehem… awal pagi lagi saya dah dengar awak membebel.
Apa yang dibebelkan tu Cik Hanum oi?” suara Tan Sri Hamdan kedengaran. Kemudian
lelaki yang kelihatan masih segak itu mengambil tempat duduknya di tempat
biasa. Di kepala meja yang menunjukkan dia adalah ketua isi rumah di banglo
mewah tiga tingkat itu.
“Ni hah… anak bujang abang ni. Awal pagi lagi dah
nak keluar. Katanya nak keluar main golf dengan Fahmie. Saya tak nak dia keluar
dengan perempuan-perempuan yang tak senonoh tu. Nanti tak pasal-pasal ada lagi
berita terhangat yang akan keluar dalam akhbar-akhbar tabloid,” ujar Puan Sri
Hanum kepada suaminya. Dia bangun dari duduk. Air coklat dituang ke dalam cawan.
Kemudian dia menyenduk pula bihun goreng ke dalam pinggan untuk diberikan
kepada suami tercinta.
Tan Sri Hamdan mengerling ke arah Harriz. Memang
benar kata isterinya. Harriz nampak begitu bergaya sekali pagi ini. Nampak
sangat yang anak bujangnya itu hendak keluar. Harriz ni dah semakin dewasa
susah sangat nak duduk lekat kat
rumah. Ada sahaja aktiviti hujung minggunya.
Melihat gerlingan mata papanya, Harriz yakin pasti
papanya juga akan meleterinya sama macam mama. Sebelum itu terjadi, ada baiknya
dia angkat kaki. Dia tak mahu awal pagi dibebani dengan leteran kedua orang
tuanya itu.
“Okeylah ma, pa, Riz pergi dulu. Nanti matahari meninggi
pulak kalau nak main golf,” Harriz bangun dari duduknya. Tangan papa dan mama
disalam lalu dicium penuh hormat. Senakal mana pun dia, papa dan mama merupakan
orang yang paling dihormatinya. Setakat ini belum pernah lagi dia meninggikan
suara kepada mama dan papa walaupun kadangkala tahap kesabarannya hampir hilang
dengan sikap mama dan papa yang kuat mengongkong sejak dia tercalon sebagai
lelaki paling banyak teman wanita oleh sebuah majalah tempatan.
“Hah… Harriz jangan balik lambat sangat. Malam ni
mama ada buat makan-makan sikit. Kita ada tetamu nak datang ke rumah,” pesan
mama sebelum Harriz melangkah meninggalkan ruang makan.
“Siapa?” soal Harriz hairan. Mama ni tak habis-habis
dengan tetamu. Entah siapa lagilah tetamu istimewa mama untuk malam ini. Ini
tak lain tak bukan mesti kawan-kawan mama yang ada anak perempuan untuk dikenenkan dengannya. Huh! Mama ni tak
habis-habis mahu mengenenkan dia
dengan anak-anak gadis rakan-rakannya.
“Datuk Syed Rahman dengan Datin Syarifah Elina.
Syarifah Ezora pun ada sekali,” ujar mama sambil bibirnya mula mekar dengan
senyuman yang paling manis sekali. Pantang sebut nama Syarifah Ezora, pasti
sengihan pada bibir mama akan mekar selebarnya.
“Aik… bukan bulan lepas pun mama ada jemput mereka
datang makan malam dekat rumah jugak ke?” takkan setiap bulan nak adakan
makan-makan untuk menjemput keluarga Datuk Syed Rahman datang ke rumah pulak? Soalan yang seterusnya hanya
bergema di dalam hati.
“Itu bulan lepas. Ini bulan ni. Kali ni mama mahu
Harriz ada dekat rumah time mereka
datang. Mama tak nak jadi macam bulan lepas. Kesian mama tengok Ezora. Kecewa
sangat dia tak dapat jumpa kamu. Itu semua kamu punya pasallah. Suka sangat
mungkir janji,” ujar mama. Wajahnya sudah kembali tegang. Teringatkan kejadian
bulan lepas, dia menjadi geram. Sakit betul hatinya dengan Harriz. Boleh pula
anak bujangnya itu tak balik makan malam itu. Sedangkan awal-awal lagi dia
sudah beritahu Harriz akan kedatangan keluarga Syarifah Ezora ke rumah mereka.
Boleh pula Harriz buat-buat lupa.
Harriz sekadar mengangguk. Bosan betul dia bila
mamanya begitu mendesak untuk dia bertemu dengan Syarifah Ezora anak manja Datuk
Syed Rahman dengan Datin Syarifah Elina itu. Entah apalah yang istimewa sangat
dengan Syarifah Ezora sampaikan mama begitu teruja hendak menjadikan Syarifah
Ezora sebagai menantu. Nak kata Syarifah Ezora itu lain daripada yang lain
dengan wanita-wanita yang selalu diusungnya ke sana ke mari, tak ada juga. Sama
aje. Pakai baju pun dedah sana dedah sini jugak. Rambut pun diwarnakan perang
jugak. Itukah calon menantu pilihan mama? Huh!
Kalau iye
pun mama nak cari menantu, carilah yang macam Balkish. Heheheee… Bibir Harriz
tersungging senyuman manis.
“Eheh… senyum pulak dia. Harriz dengar tak apa yang
mama cakap ni?”
“Iye… Riz
dengarlah, ma. Okeylah ma, pa… Riz pergi dulu. Dah lewat ni,” Harriz pun
berlalu pergi. Dia sudah tidak sanggup mendengar mama membebel lagi. Dah tu
siap sebut-sebut nama Syarifah Ezora pula. Playboy
macam mana pun dia, kalau Syarifah Ezora yang terlebih manja itulah hendak
dijadikan teman hidup… huh… memang dia tak hingin!
“Tengoklah anak bujang abang tu. Entah perangai playboy siapalah yang diikutnya? Pantang
nampak perempuan cantik, mulalah dia nak jual minyak. Kalau perempuan yang dia
suka ni baik takpe jugak. Boleh jugak saya pertimbangkan. Ini tak…
perangai entah apa-apa. Hisy… tak berkenan betul saya. Lainlah kalau si Ezora tu.
Memang saya berkenan jadikan dia menantu. Sambil tu dapat juga kita mengeratkan
hubungan dengan Rahman dan Elina.”
Tan Sri Hamdan menggeleng-geleng. Keinginan
isterinya yang mahu menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora itu semakin hari
semakin menjadi pula. Boleh dikatakan setiap hari nama Syarifah Ezora meniti
keluar dari mulut isterinya. Macam dah tak sabar sangat isterinya itu hendak
bermenantukan Syarifah Ezora.
Tan Sri Hamdan memang geram dengan perangai kaki
perempuan anak lelaki tunggalnya itu. Namun dia tidak pula bersemangat waja
hendak menjodohkan Harriz dengan Syarifah Ezora. Apa yang dilihat Tan Sri
Hamdan, anak sahabat baiknya si Syarifah Ezora itu takdelah berbeza sangat dengan wanita-wanita yang sering berkepit
dengan Harriz. Nampak sama aje dari
segi berpakaian. Cuma mungkin Syarifah Ezora ini latar belakang keluarganya
diketahui. Lagipun Syarifah Ezora kan anak sahabat baik Puan Sri Hanum. Pasal
tu lah isterinya berkenan sangat pada Syarifah Ezora. Kalau dia… hurmmm…
rasanya dia tak berapa berkenan dengan anak gadis Datuk Syed Rahman itu biarpun
dia dengan Datuk Syed Rahman berkawan baik sejak dari universiti lagi.
Dia sentiasa berdoa semoga ada wanita yang lebih
baik dari Syarifah Ezora untuk anak lelaki kesayangannya itu.
***************************************************************************
HARRIZ
dan Fahmie mengambil tempat duduk di Golfer’s Terrace Lounge setelah
menghabiskan permainan golf mereka sebentar tadi. Matahari sudah agak meninggi
waktu ini. Nasib baiklah mereka datang awal untuk bermain. Takdelah berpanas
hingga ke tengahari. Setelah sekian lama tak bermain golf bersama Fahmie,
akhirnya Harriz berjaya juga menewaskan abang iparnya itu hari ini. Selalunya
bila ada peluang bermain golf berdua, Harriz memang tak pernah menang dengan
Fahmie. Pasti abang iparnya itu yang menjadi pemenang tegar. Namun hari ini
nampaknya dia sudah berjaya memecahkan rekod dengan mengalahkan abang iparnya
itu. Gembira sungguh dia. Hinggakan dia menjerit keseronokan.
“Lama kita tak main sama, nampaknya Riz dah banyak
kemajuan ye. Sampai dapat tewaskan
Abang Mie hari ni,” ujar Fahmie. Fresh
orange yang dipesan tadi disedut perlahan. Lega rasanya bila dapat
membasahkan tekak dengan jus oren yang sejuk itu. Panas-panas macam ini memang
sesuai sangat minum minuman sejuk.
“See my leg
la Abang Mie,” Harriz sudah bangga diri. Senyumannya lebar hingga ke telinga.
Siapalah yang tak gembira bila dapat menewaskan musuh tradisi dalam permainan
ini. Rasa macam nak umumkan kepada semua aje.
Khakhakhaaa..
Fahmie mencebik. Ini yang dia malas kalau sudah puji
Harriz. Mulalah adik iparnya itu bangga diri tak sedar dunia. Riak bukan main
lagi. Huh!
Tiba-tiba Samsung Galaxy Note Harriz berbunyi.
Harriz mencapai handphone yang
diletakkan di atas meja. Skrin menunjukkan panggilan itu datangnya daripada
mama. Harriz mengeluh. Malas-malas dia menjawab panggilan tersebut. Ini tak
lain tak bukan mesti nak bagi remaind pasal dinner malam ni. Bosan betul!
“Yes… ma,” ucap Harriz ketika talian sudah
dijawab.
Harriz menghela nafas. Bibirnya digerak-gerak
mengikut setiap butir bicara mama. Melihat perilaku Harriz itu, Fahmie
tersenyum lebar. Nakal sungguh adik iparnya itu. Ini kalau mama nampak mesti
dah kena sound. Boleh pulak dia
mengajuk percakapan mama sesuka hati.
“Okey… I know. Riz ingat. Bye ma. See you tonight,”
malas Harriz menjawab. Setelah talian dimatikan, satu dengusan keluar dari
mulutnya. Mama ni tak habis-habis
dengan Syarifah Ezora. Kalau dah berkenan sangat dengan Syarifah Ezora itu, apa
kata mama pinangkan Syarifah Ezora untuk papa. Dapat juga mama kawan baru.
Bebel Harriz dalam hati. Kurang bersetuju dengan kehendak mamanya yang mahu dia
bersatu dengan Syarifah Ezora.
“Kenapa?” tanya Fahmie yang sudah mula mahu
menyibuk. Kalau muka Harriz dah macam cuka basi itu, tentu ada sesuatu yang tak
kena. Dia bukannya tak faham dengan perangai Harriz tu.
“Mama… dia mahu Riz ada untuk dinner malam ni,” jawab Harriz lemah. Malas betul dia hendak fikir
pasal dinner malam ini. Lebih-lebih
lagi bila dia terpaksa berdepan dengan Syarifah Ezora yang terlebih manja tahap
gaban itu. Entah-entah gaban pun kalah dengan kemanjaan
Syarifah Ezora itu. Hisy… geram sungguh rasanya bila terpaksa nak buat-buat
suka bila berdepan dengan Syarifah Ezora malam nanti.
“Habis tu? Yang tarik muka masam tu kenapa pulak?”
Harriz mengeluh lagi. Rasanya kali ini sudah banyak
kali dia mengeluh bila mengenangkan Syarifah Ezora yang cukup merimaskan jiwa
raganya itu. Mungkin inilah yang Balkish rasakan setiap kali dia datang
menganggu. Hah… tahu pun! Itulah yang Balkish rasa Encik Harriz oi. Sekarang
baru sedar ke?
“Riz malaslah Abang Mie. Tak berkenan dengan si
Ezora tu. Entah apalah jampi yang Ezora dah bagi dekat mama sampaikan mama mahu
sangat Ezora jadi menantu. Rimas betul!”
Fahmie sudah ketawa. Kelakar rasanya bila Harriz
yang kaki perempuan itu boleh mengeluarkan perkataan rimas pada seorang
perempuan. Bukankah selama ini dalam kamus hidup adik iparnya itu tak ada
perkataan rimas pada seorang wanita? Sebolehnya Harriz mahu membelai semua
wanita yang mendampinginya. Konon dia itu pencinta wanita.
“Aik… elok sangatlah tu kalau mama nak jodohkan Riz
dengan Ezora. Sekurang-kurangnya dah ada seorang perempuan yang Riz boleh layan
setiap hari sebagai seorang isteri. Takdelah
nak bertukar-tukar pasangan lagi lepas ni,” ujar Fahmie. Boleh pula dia
bersekutu dengan rancangan ibu mertuanya itu.
Mencerlung mata Harriz memandang abang iparnya.
Amboi abang Mie ni. Sebelahkan mama pulak! Tahulah abang Mie tu menantu kebanggaan mama, tetapi tak
payahlah nak sokong mama dalam segala hal pulak. Tahukah abang Mie yang
Syarifah Ezora itu seorang yang cukup menakutkan? Huh… tak sanggup Riz nak jadi
suami dia! Ngeri.…………..
“Hisy… tak nak Riz. Ezora bukan wanita pilihan Riz.
Dalam hati Riz ni dah ada wanita yang bertakhta. Cuma tunggu masa yang sesuai aje untuk disatukan,” perasan pula
Harriz bila berkata sebegitu. Bila masa dia dengan gadis yang dimaksudkannya
itu hendak disatukan. Tak tahu malu betul. Orang tak hingin dia pulak yang lebih-lebih. Nampaknya Harriz pun dah sama
kes dengan Syarifah Ezora juga. Terkejar-kejar orang yang tak sukakan dia.
Huhuhuuu…
“Who? Balkish?”
tanya Fahmie.
Memang sejak kebelakangan ini adik iparnya itu
sering ke pejabatnya. Konon datang hendak berjumpa dengannya bincang pasal
itulah inilah, tapi macamlah dia tak tahu yang Harriz datang semata-mata nak
jumpa dengan Balkish. Setiausahanya yang cantik manis itu. Kadang-kadang tu
Fahmie tegur juga cara Harriz yang dirasakannya agak melampau. Tapi macam
biasalah, Harriz buat tak layan aje.
Malah semakin galak pula Harriz menganggu Balkish. Harriz ni kalau pasal
perempuan memang susah sikit nak bagi nasihat. Lebih-lebih lagi perempuan yang
disukainya. Memang dia mahu miliki sampai dapat. Itulah Harriz Tan Sri Hamdan!
Bibir Harriz sudah tersungging senyuman nakal.
Memang tepat tekaan abang iparnya itu. Memang Abang Mie ni seorang yang
memahami.
“Bijak betullah Abang Mie ni. Tahu aje siapa yang Riz maksudkan.”
“Hurmppp… siapalah yang tak nampak cara Riz pandang Balkish
tu? Semua staf kat bahagian abang tu nampak. Dah serupa nak terkam aje kalau boleh. Kalau iye pun Riz berkenan dengan Balkish, control-controllah sikit sikap gelojoh tu.
Jangan bagi nampak sangat. Buat malu aje
tau.”
Besar ketawa Harriz mendengar komen abang iparnya
itu. Tawanya yang besar itu menarik perhatian beberapa pelanggan yang duduk di
Golfer’s Terrace Lounge, Tropicana Golf & Country Resort.
“Okey bos…
lain kali Riz akan control diri
sikit. Tapi kan Abang Mie… Riz geram sangatlah pada Balkish tu. Dia buat tak
layan aje dengan Riz. Kalau dengan
Abang Mie, bukan main lebar lagi senyuman dia. Dengan Riz… senyuman pun main
paksa aje. Mahu tak mahu aje dia layan Riz.”
Dia tahu senyuman Balkish tak pernah ikhlas
untuknya. Namun dia tetap suka melihat senyuman itu. Padanya senyuman Balkish
merupakan penawar rasa rindu yang sentiasa menggebu.
“Iye la…
Macam manalah Balkish nak senyum semanis kurma dekat Riz kalau tiap-tiap hari
muka Riz terconggok depan meja dia mengacau. Kalau sehari tak menganggu, boleh
tak? Ini tak… tiap-tiap hari nak ganggu. Siapalah yang tak rimas. Jangankan
Balkish, Abang Mie pun rimas jugak tau
asyik tengok Harriz tercongok di ofis
Abang Riz.”
“Alaaa… Riz cuma nak lepaskan rasa rindu dekat
Balkish ajelah, Abang Mie. Kalau
sehari Riz tak pandang wajah Balkish, rasa tak lengkap hari-hari yang Riz
lalui. Rasa kosong aje,” si buaya
jadian sudah memulakan mukadimah jiwang karatnya.
“Abang bukannya apa… cuma nak bagi nasihat sikit kat Riz tu. Kalau Riz serius sukakan
Balkish, bagi Balkish masa dan ruang untuk rindukan Riz. Manalah tahu kalau dia
tak jumpa Riz dalam seminggu ke dua minggu ke dia boleh rindukan Riz. Dari situ
barulah timbul rasa cinta. Ini tidak… hari-hari Riz nak jumpa Kish. Balkish tu
baik orangnya. Abang Mie tak nak Riz main-mainkan perasaan Balkish pulak.”
“Jangan risaulah Abang Mie. Kali ni Riz betul-betul
serius. Tak main-main punya. Riz akan pastikan yang Riz tak akan mempersiakan
hidup Balkish,” bersungguh-sungguh Harriz menyakinkan abang iparnya. Memang
kali ini dia begitu serius. Belum pernah dia seserius ini bila berbicara
berkaitan dengan soal wanita. Selalunya dia sekadar main-main saja.
Fahmie mengangguk. Dia juga berharap agar apa yang
diperkatakan oleh adik iparnya suatu yang ikhlas.
******************************************************************************
AKHIRNYA
Harriz berjaya juga memboloskan diri dari cengkaman Syarifah Ezora. Rimas betul
dia bila Syarifah Ezora yang terlebih aksi manja itu asyik memaut lengannya.
Lagak dah macam pengantin baru pulak
mereka berdua bila Syarifah Ezora tak mahu melepaskan pautan mesranya itu.
Nasib baiklah depan family, jika
tidak memang dah awal-awal lagi Harriz angkat kaki. Tak kuasa dia nak melayan
perangai gediks Syarifah Ezora itu.
Namun mama yang asyik memberi jelingan isyarat mata dekat Harriz itu membuatkan
Harriz terpaksa control perasaan yang
berkocak. Jelingan mama tu bukannya apa, nak suruh Harriz layan Syarifah Ezora
kesayangannya itu baik-baiklah.
Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi berhadapan
dengan kolam renang yang terbentang indah di halaman rumah banglo kebanggaan
papa dan mamanya yang terletak di Bukit Damansara. Selesa sikit rasanya bila
Syarifah Ezora tak ada membuntutinya sampai ke sini. Jika tidak, mahu
mengerbang rambutnya yang sudah agak panjang itu dengan rengekan manja Syarifah
Ezora yang mengada-ngada. Merengek mengalah kanak-kanak lima tahun nak
gula-gula lolipop sahaja.
Harriz mengeluh. Susah betul bila mama dah jatuh
cinta dekat Syarifah Ezora. Semua yang terbaik milik gadis berkulit putih itu.
Kalau macam inilah gayanya, dia kena bertindak lebih cepat daripada mama. Dia
perlu menyelamatkan diri daripada dikahwinkan dengan Syarifah Ezora yang tak
pernah masuk dalam senarai wanita-wanita yang hendak dijadikan calon isterinya
itu.
“Apesal
Abang Riz duduk di sini? Kan kat dalam tu ada tetamu,” tegur Hanni tiba-tiba.
Dia yang baru muncul itu sudah pun melabuhkan punggung di atas kerusi
bertentangan dengan abangnya. Wajah Harriz ditenung. Lagak macam orang ada
masalah besar sahaja abangnya itu. Ini mesti pasal Syarifah Ezora. Alaaa…
taulah!
“Abang Riz saje
nak ambik angin. Panaslah kat dalam tu,” Harriz bagi alasan.
“Iye ke?
Ke… Abang Riz nak larikan diri dari Kak Ezora?” Hanni meneka. Rasanya tekaannya
itu mengena dengan tepat.
“Itu pun salah satu daripadanya jugak,” kata Harriz.
Hanni tersengih. Dari tadi dia memerhatikan tingkah
abangnya itu yang tak ubah seperti cacing kepanasan. Nampak sangat yang
abangnya tak selesa bila Syarifah Ezora asyik berkait lengan dengannya. Yang si
Syarifah Ezora tu satu… tanpa segan silu dia memaut kemas lengan Abang Harriz
di depan ahli keluarga mereka. Apa Syarifah Ezora fikir ini kat luar negara ke nak pegang-pegang
depan orang tua? Dah jadi macam mat salleh. Lainlah kalau dah ada ikatan yang
sah. Bukan setakat nak pegang tangan, cium pipi depan family pun boleh. Ini belum ada apa-apa dah lebih-lebih. Hanni
sendiri naik loya tengok perangai Syarifah Ezora itu.
Satu keluhan kecil keluar dari mulut Harriz. Rimas
betul dia jadinya dengan kehadiran Syarifah Ezora dan orang tuanya itu. Dia
kena berpura-pura senang hati menyambut kedatangan tiga beranak itu dalam
keterpaksaan. Ini semua mama punya pasal. Huhuhuuu…
Hanni menjongketkan sebelah keningnya bila pandangan
bersatu dengan Harriz. Keluhan yang lahir dari bibir abangnya itu pasti ada
makna yang tersirat. Kedengaran macam berat aje.
“Kenapa?” soal Hanni.
“Bosan!” pendek Harriz menjawab.
Hanni mengerut kening.
“Apesal
bosan?” banyak pula soalan si budak kecik
ini.
“Abang Riz bosan dengan perangai mama tu. Bukan main
suka lagi nak pasangkan Abang Riz dengan Syarifah Ezora. Sudahlah Syarifah
Ezora tu tak termasuk dalam list
wanita-wanita yang Abang Riz suka,” luah Harriz tanpa berselindung.
Hanni menarik senyuman lebar.
“Alaaa… apa nak susah. Kan Abang Riz dah ada Kak
Balkish. Abang Riz bawalah Kak Balkish datang rumah kenalkan dengan mama dan
papa. Hanni yakin mama pasti tak akan paksa Abang Riz untuk kahwin dengan Kak
Ezora. Mama tu bukannya apa… dia tak suka tengok Abang Riz berkepit dengan awek-awek Abang Riz yang tak tentu
perangai itu. Pasal tu mama mahu Abang Riz disatukan dengan Kak Ezora,” ujar
Hanni.
“Macam mana nak ajak Kak Balkish datang mengadap
mama dan papa sedangkan Kak Balkish tu langsung tak nak layan Abang Riz?” bodoh
betullah Harriz ni. Selama ni bukan main bijak lagi dia kalau pasal perempuan. Tapi
bila masuk bab Balkish, dia jadi bengong pulak!
“Apalah Abang Riz ni. Itu pun lagi mau tanyakah? Hisy… apa punya playboy dah…”
Harriz tersengih-sengih. Rambutnya digaru-garu macam
ada segumpal kelemumur di atas kepalanya itu.
“Entahlah… kalau dengan Balkish ni Abang Riz jadi
bodoh sikit. Taktik nak mengurat pun tak jalan,” akui Harriz akan kebodohannya
itu.
Hanni menjeling. Hisy… bodoh jugak rupanya abang aku ni.
“Amboi… dekat
sini rupanya anak bujang mama ni. Puas mama cari kat dalam. Rupanya dekat sini Harriz duk melepak dengan Hanni,” suara Puan Sri Hanum mematikan tingkah
dua anaknya. Harriz dan Hanni memang kamceng
sejak dari kecil lagi.
Harriz dan Hanni menoleh ke arah mama mereka. Di samping
mama kelihatan kelibat Syarifah Ezora yang manja memaut lengan mama. Bukan main
lebar lagi senyuman Syarifah Ezora yang manja itu kala terpandangkan wajah
kacak Harriz. Hatinya mula berlagu riang. Di belakang mama dan Syarifah Ezora
pula kelihatan Hanna dan Datin Syarifah Elina sedang berbual mesra. Hanna ni memang
kawan baik Syarifah Ezora sejak dari kecil lagi. Pasal itulah Hanna menyokong
bila mama mahu menyatukan abangnya dengan kawan baiknya itu.
Serentak Harriz dan Hanni bangun dari duduk
masing-masing bila mama dan ahli kabinetnya sudah berdiri di lokasi mereka
berdua. Wajah mama dan Hanna kelihatan begitu berseri menyambut kedatangan dua
beranak itu. Bukan main lagi sengihan mama dan Hanna.
“Saje ambik angin malam kat luar ni, ma.
Kenapa mama cari Harriz?” balas Harriz akan kata-kata mamanya itu. Di hujung
katanya pula dia sempat bertanya.
“Budak bertuah ni. Ni hah… Ezora dengan Auntie Elina
dah nak balik. Jumpa kamulah dulu,” ujar mama.
Dah nak balik ke? Baguslah kalau macam tu. Aman
sikit dunia aku. Kalau nak balik sekarang ni pun takpe jugak! Getus hati kecil Harriz. Bibirnya cuba dilorekkan
dengan segaris senyuman masam-masam manis buat Syarifah Ezora dan mummynya.
“Harriz free
tak esok?” tiba-tiba Datin Syarifah Elina bertanya setelah mendapat signal mata daripada anak kesayangannya
si Syarifah Ezora.
“Boleh temankan Ezora shopping. Auntie ada meeting dengan ahli persatuan yang auntie ikut esok. Tak dapat nak temankan
Ezora keluar shopping. Nak suruh
Ezora jalan sendiri, auntie tak
berani pulak. Maklumlah… Ezora ni kan baru balik dari Itali, tak berapa biasa
lagi dengan kawasan sekitar KL ni. Jadi auntie
berharap sangat Harriz dapat temankan Ezora esok,” panjang pula sambungan Datin
Syarifah Elina. Anak gadisnya Syarifah Ezora pula sudah tersengih-sengih macam
kerang busuk yang tak laku di pasar tani.
“Hah… elok sangatlah tu. Kebetulan Harriz memang free esok. Bolehlah dia temankan Ezora
keluar shopping. Lagipun tentu Ezora
tak arif sangat lagi kat KL ni sebab dah lama duduk kat Itali tu. Kan Harriz… esok Harriz boleh temankan Ezora, kan?”
Belum sempat Harriz berkata apa, mamanya terlebih
dahulu bersuara. Sudahlah tu, siap bagi persetujuan lagi bagi pihaknya. Amboi…
mama, bila masa pula Harriz bersetuju nak temankan Syarifah Ezora keluar shopping. Mama ni pandai-pandai ajelah. Namun kepalanya dianggukkan juga
bila melihat renungan tajam mamanya itu.
Hanni sudah menjulingkan mata ke atas. Meluat betul
dia bila dengar Syarifah Ezora tak reti jalan kat Kuala Lumpur ini. Sedangkan bukannya dua puluh tahun Syarifah
Ezora berada di Itali. Takat dua tahun aje
pun. Itu pun Syarifah Ezora ada juga balik ke Malaysia setiap kali Hari Raya
menjelang tiba. Memang mengada betullah si Syarifah Ezora ini! Padanlah Abang
Harriz langsung tak berkenan.
Lebar senyuman Syarifah Ezora dan mummynya bila melihat anggukan perlahan
pada kepala Harriz.
“Hai… awak berdua kat sana tu tak nak balik lagi
ke?” kedengaran suara Datuk Syed Rahman menegur.
“Iye la…
nak baliklah ni,” jawab Datin Syarifah Elina. Suaminya itu tak boleh nak tengok
dia bersuka ria sedikit. Ada sahaja yang diganggunya.
“Okeylah… auntie
balik dulu ye,” kata Datin Syarifah
Elina kepada anak-anak sahabat baiknya. Seorang demi seorang anak Puan Sri
Hanum datang lalu bersalam penuh hormat dengannya. Dia pun melangkah bersama-sama
Puan Sri Hanum mendekati suaminya yang sedang menunggu di tempat letak kereta.
Di samping suaminya kelihatan juga kelibat Tan Sri Hamdan yang segak berbaju
batik hijau. Sedondon dengan Puan Sri Hanum yang mengenakan baju kurung batik
warna senada.
Melihat Hanna dan Hanni yang sudah melangkah untuk
mendapatkan daddynya, Syarifah Ezora
merapati Harriz. Bibirnya yang bewarna merah jambu itu terukir senyuman manja
ala-ala gadis comel. Ceh!
“Esok I tunggu you kat rumah ye,” tutur
Syarifah Ezora dengan manja. Tubuhnya sudah terliuk-lentuk ibaran api lilin.
Harriz cuba untuk tersenyum. Mahu tak mahu saja dia
melayan kerenah Syarifah Ezora yang gedik.
“Okey… esok I jemput
you.”
Syarifah Ezora mengangguk sambil matanya menjeling
manja wajah kacak Harriz. Sebelum berlalu dia sempat juga menghadiahkan sebuah
ciuman ke pipi Harriz. Membuatkan Harriz tersentak bukan main. Bukannya dia tak
pernah menerima ciuman daripada teman-teman wanitanya, cuma ciuman daripada
Syarifah Ezora itu dirasakan agak melampau la pulak. Mujurlah tak ada sesiapa yang perasan akan tindakan spontan
Syarifah Ezora itu. Buat malu aje!
‘Hisy…
perempuan macam inikah yang patut aku buat bini? Belum apa-apa dah berani
cium-cium. Hurmmm… tak hingin! Fikir
sejuta kali pun aku tetap tak mahukan Syarifah Ezora menjadi isteri. Perempuan
seperti Syarifah Ezora… bukannya aku tak tahu perangai sebenarnya. Kaki clubbing! Cuma aku malas nak bagitau mama. Biasalah mama… mana tak nak
dengar yang buruk pasal Syarifah Ezora. Semua yang ada dengan Syarifah Ezora
yang baik-baik belaka. Huh!’ Hati kecil Harriz berbisik.
Harriz mengeluh. Pipinya yang dikucup oleh Syarifah
Ezora sebentar tadi dikesat dengan telapak tangan. Dia benar-benar terkejut
dengan tindakan yang tidak disangka daripada Syarifah Ezora. berani tahap
melampau benar gadis berambut perang itu.
No comments:
Post a Comment