DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 14

HARI terakhir praktikal Acam di syarikat itu
merupakan hari yang sangat menyayat hatinya. Walaupun
tidak lama bersama mereka, tetapi rasa mesra dan senang
sedang mula meresap ke jiwa. Qaid dan beberapa orang
teman satu department dan rakan-rakan yang rapat
mengadakan satu majlis perpisahan kecil untuk Acam.
Malah, big boss Acam juga turut menyertai mereka dan
sempat pula memberikan cenderamata sebagai penghargaan
sepanjang Acam berkhidmat di syarikat itu serta sepucuk
sampul surat kecil yang mengandungi elaun yang diberi
syarikat sebagai menghargai komitmen yang Acam berikan
kepada mereka.
Seronok melihat rakan-rakan sedang menjamu selera
dengan gembira sambil berbual. Acam sesekali tersenyum
apabila diusik dan digiat rakan-rakan tetapi jauh di sudut
hatinya tiada siapa pun yang tahu perasaan yang teramat
sedih sedah bermaharajalela. Pilu hati untuk meninggalkan
mereka lebih-lebih lagi apabila terpandang wajah suram
Qaid yang sedari tadi hanya sepatah dua sahaja yang
keluar dari mulutnya. Terfikir Acam sendirian, apakah
selama ini dia telah memberikan harapan kepada Qaid tanpa
dia sedar? Acam amat berharap tiada tingkahnya yang boleh
disalahtafsirkan oleh lelaki itu. Qaid seorang sahabat yang
baik, mungkin yang terbaik untuk dirinya.
Petang itu sekali lagi Acam menerima pelawaan
Qaid untuk menghantarnya pulang ke rumah. Sepanjang
perjalanan, mereka hanya membisu. Qaid menghentikan
keretanya agak jauh dari rumah Acam. Dia ingin mengambil
peluang terakhir ini untuk meluahkan rasanya sekali lagi.
Tidak mampu menelan rasa yang
semakin menggunung.
“Acam, kalau aku hantar mak ayah aku pinang
kau boleh tak?” Acam pegun seketika. Wajahnya ditoleh
merenung Qaid yang tidak berkelip melihatnya.
“Boleh tak kau jangan nak bergurau!” marah Acam.
Kelat wajah putih bersihnya itu bersulam rona merah yang
mula kelihatan.
“Mana ada bergurau, aku betul-betul ni. Aku tak
nak kehilangan kau,” suara Qaid serius.
“Aku tak bolehlah, Qaid. Bukan aku tak suka kau,
aku suka sangat. Kau baik sangat dengan aku, tapi hati aku
ni,” balas Acam lembut.
“Kenapa, hati tu kau dah bagi kat lelaki hari tu ke?”
tebak Qaid. Ada rasa sakit yang menjalar di hati lelakinya.
Wajah Acam ditenung lama. Besar matanya menanti
jawapan dari mulut itu.
“Entahlah. Aku tak pasti hati aku untuk siapa. Tapi
yang aku boleh katakan sekarang, aku dengan kau akan
tetap kawan. Kau boleh aje jumpa aku bila-bila masa pun.
Kalau kau rajin, kau jengah aku kat kampus. Kalau jodoh tu
memang milik kita, aku akan terima kau seikhlas hati aku.”
“Kalau itu kata kau, aku hormat pendirian kau. Tapi
kau jangan lupa janji, kau akan tetap nak jumpa aku bila aku
datang. Kau mesti keluar dengan aku bila aku ajak. Janji?”
gesa Qaid.
Mungkin hari ini dia masih tidak dapat bertakhta
di hati gadis itu. Dia akan berusaha sehabis daya untuk
menawan secebis hati kecil Acam. Andai jodoh itu miliknya,
tidak akan ke mana-mana juga. Dia tidak akan mengaku
kalah.
“Aku janji. Kalau tak, kau pinang aje aku nanti,”
balas Acam. Terjungkit kening Qaid mendengarnya.
“Aku pegang kata-kata kau ni tau. Bila balik Ipoh
nanti, kau jaga diri baik-baik. Apa-apa hal kau jangan malu
contact aku tau. Ingat, aku selalu ada untuk kau. Anytime
babe,” kata-kata terakhir Qaid ketika kereta diberhentikan
di hadapan pagar rumah. Kalau diikutkan hati hendak sahaja
dipeluknya tubuh kecil gadis itu. Tapi mengenangkan anak
dara orang di hadapannya itu, rasa itu dipendamkan jauh.
Ada genangan di tubir mata milik Acam ketika
mengucapkan salam perpisahan. Setelah dia bersalaman
dengan Puan Radziah yang menyertai mereka ketika kereta
Qaid meminggir di hadapan pagar, Qaid mempamitkan
diri. Membawa hati yang gundah melepaskan gadis
idaman hati pergi darinya.
Puan Radziah turut merasai kesedihan yang
dirasakan oleh mereka berdua. Hatinya bagai disapa
persoalan. Adakah wujud sebarang perasaan antara Acam
dengan Qaid? Apabila terpandang wajah sugul Qaid,
tingkah sopan Qaid terhadapnya, hatinya menjadi sebak.
Baik juga budak Qaid ni, getus hatinya. Jauh di sudut hati
ibu Acam bersyukur kerana anaknya bertemu teman-teman
yang cukup baik. Biar siapa pun pilihan Acam, dia tetap akan
terima. Kedua-duanya sangat sempurna di mata tuanya.
DARI jauh sudah ternampak kelibat Dzil yang sedang
duduk menanti Acam. Perlahan langkah Acam disusun
menuju ke arah lelaki itu. Wah, handsome pula hari ni,
getus Acam. Seketika, Acam membelek dirinya. Okeylah
ni, blaus bunga-bunga halus dan jean serta tudung.
Kalau tidak cantik pada mata lelaki tu, nasib dialah.
Mahu lawa-lawa, carilah di pentas Miss Universe. Tapi
kalau dilihat semula, memang banyak perubahan yang
telah dilakukan dek Acam.
Kalau sebelum ini dia tidak kisah pun dengan
penampilan dirinya tetapi semenjak bercampur dan bergaul
dengan Kak Haniza dan Juliana, sedikit perubahan mula
kelihatan. Acam sudah mula bijak mengatur cara
berpakaian. Malah sifat-sifat kewanitaan mula terpancar
dalam setiap perlakuannya.
Dzil yang terlihat Acam berjalan perlahan ke
arahnya sudah tersenyum. Lebar senyumannya. Bagai
ada kompang yang dipalu-palu di dalam hati lelakinya.
20 minit menanti Acam di situ rasanya seperti dua tahun.
Tidak sabar hendak melihat wajah kesayangan yang menjadi
tamu mimpinya.
“Sorry ya awak, dah lama tunggu?” ucap Acam.
“Waalaikumussalam.”
“Err... Assalamualaikum. Sajalah tu kan.” Wajahnya
ditarik 14 inci. Menyampah disindir sebegitu. Sudahlah
orang penat berjalan ni.
“Suka tengok muka awak merah-merah. Lagi awak
marah, lagi merah, lagi cantik,” usik Dzil. Wajah Acam
semakin kelat.
“Cancel keluar nak?” ugut Acam.
“Okey...okey... tak usik dah. Amboi, pandai
mengugut ya sekarang. Tak kasihan kat saya ke? Sebelum
subuh lagi saya dah tunggu awak kat sini,” balas Dzil sengaja
membuat nada rayu. Dalam kelat wajah Acam, tersungging
segaris senyum yang ikhlas. Banyaklah dia punya sebelum
subuh. Dalam pada waktu yang sama, Dzil terpukau seketika
melihat senyuman gadis itu. Cantik!
Jika saat itu ada kamera di tangannya, sudah pasti
dia akan mengabadikan saat itu sebagai saat paling indah
dalam ingatannya. Bukan mudah hendak melihat gadis di
hadapannya itu tersenyum. Senyumlah selalu gadis manis.
Senyuman manis bergulamu itu lebih manis daripada Coca-
Cola, lebih berperisa daripada aiskrim Tutti Frutti.
Acam hanya menuruti sahaja langkah Dzil yang
menuju ke restoran Marry Brown. Suasana sunyi di situ
membuakkan rasa janggal di hati Acam. Lengang tiada
pelanggan. Hanya mereka berdua di sudut itu. Acam
membiarkan Dzil membuat pilihan untuk mereka. Dia
hanya duduk menanti mamat tu di meja. Sebuah
senyuman dilontarkan sekali lagi apabila Dzil
menghampirinya dengan sedulang makanan. Wah, pandai
juga lelaki itu menduga seleranya.
“Awak, dah dua kali awak senyum pagi ni. Kalau
awak senyum terus macam tu, sah petang ni juga saya
suruh umi saya pinang awak,” acah Dzil ketika
menghulurkan minuman kepada Acam. Agak terkejut
mendengarnya, namun segera Acam menenangkan diri.
Huluran Dzil disambut.
“Awak cakap macam tu lagi, saya balik tau,” bentak
Acam. Hish, gadis depan aku ni kalau tak membentak satu
hari tidak sah.
“Nah, carbon typrewriter awak. Betul, kan?” Cepatcepat
topik ditukar. Takut nanti lain cerita yang timbul.
Bukan boleh duga gadis yang seorang ni.
“Ha’ah, betul. Terima kasih awak. Jasa awak
dikenang. Sepupu awak hantar semalam ke?”
“Taklah, saya rempit ke Melaka semalam.” Masih
lagi mengunyah kentang goreng di hadapannya tanpa
menghiraukan Acam yang sudah membulatkan matanya.
“Awak apa?” tanya Acam sekali lagi. Kerana ingin
memastikan apa yang didengarnya sebentar tadi.
“Rempit.”
“Maksud awak, semalam awak ride pergi ke Melaka
semata-mata nak ambil ni?” Kali ini hati Acam sudah terasa
berombak-ombak. Benarkah sejauh itu lelaki di hadapannya
itu sanggup lakukan untuk dirinya.
“Yalah tu. Sepupu saya tak dapat balik, kena pergi
outstation. Jadi, pagi-pagi semalam saya rempitlah ke
Melaka pergi belikan untuk awak. Bukan jauh pun.”
“Tak jauh awak kata, Batu Pahat ke Melaka tu naik
motor pula,” bebel Acam.
“I’ll do anything for you, kalau bulan bintang awak
minta pun saya cuba dapatkan. Tak dapat kait di langit saya
cari kat supermarket, yang hiasan pokok krismas tu pun
boleh, kan,” usik Dzil.
Gembira bukan kepalang hatinya melihat wajah
Acam yang jelas menggambarkan rasa terharu. Kalau
disuruh merempit sepuluh kali dari Batu Pahat ke Melaka tu
pun dia sanggup demi gadis itu.
Acam sudah tidak mampu menahan rasa hatinya.
Saat itu, perasaan terharu sudah menguasai seluruh
jiwanya. Bila-bila masa kolam rasanya akan tumpah di situ.
Sekental-kental jiwa Acam, dia tetap akan terasa jika dirinya
dihargai sebegitu rupa. Segera dia mencapai bungkusan
karbon yang diberi lalu berdiri.
“Awak, saya nak balik. Terima kasih ya belanja.
Awak habiskan ajelah ni.” Tidak mampu meneruskan katakata,
Acam terus menapak keluar laju. Bimbang Dzil akan
perasan air mata terharunya yang sedang perlahan bertamu.
Tidak mahu berpaling lagi, langkah diatur laju.
Dzil tergamam seketika. Ada senyuman tergaris di
bibirnya. Dia tahu, Acam sebenarnya terharu dengan
apa yang berlaku. Dia nampak riak itu di mata Acam. Dia
perasan ada genangan kecil di tubir mata gadis itu. Dia
tahu, gadis itu terlalu tinggi egonya. Semakin sukar hendak
ditakluki hati gadis itu, semakin bermakna buat dirinya.
Dia membiarkan sahaja Acam berlalu, memberi ruang
untuk gadis itu bersendiri.
Tangannya menarik pinggan yang ditinggalkan
Acam sebentar tadi lantas Dzil menghabiskan baki makanan
yang hanya terusik sedikit. Sayang pula hendak membazir,
lagipun suka juga. Tidak dapat menyentuh orang,
dapat berkongsi makanan dan minumannya pun sudah
memadai. Buat bekalan sehingga bertemu lagi. Apalah
Dzil, dah angau kau ni. Senyuman masih mekar di bibir.
Sepanjang perjalanan pulang, mulutnya tidak henti-henti
menyanyikanlagu Penerang Hati, nyanyian kumpulan Six
Sense dan Saujana. Memang tenang betul hatinya saat itu.

No comments:

Post a Comment