Lebar Shafika
mengorak senyum melihat Dhamira membuka pintu kaca.
“Hei beb!” tegur Dhamira. “Aku lambat ke?”
Shafika
menggelengkan kepala. “Nope, you’re right
on time...”
Dhamira
mengatur langkah mendekati Shafika yang baru selesai berbincang dengan seorang
lelaki Cina yang mungkin merupakan ketua kontraktor yang dilantik Shafika untuk
mengubah suai sedikit premis kedai yang telah disewanya ini. “Dah sudah?” soal
Dhamira.
“Belum. Sikit
lagi. Kau cuba tengok layout plan ni.
Okey tak?”
Dhamira mengintai
kertas yang siap terbentang di atas meja kerja yang tersedia. Melihat susun
atur premis yang bakal diubah menjadi butik Shafika tidak lama lagi.
“Tak banyak
pun yang perlu aku ubah. Sebelum ni pun, penyewa kedai ni jual baju. Jadi aku
ubah sikit-sikit je... Jadi
kerja-kerja ubah suai ni pun tak lama. Mungkin bulan depan aku dah boleh mula
operasi...” jelas Shafika dengan nada teruja.
“So kau nak mula macam mana?” soal
Dhamira ingin tahu. “Aku dah tengok konsep yang kau bentangkan dalam business plan tu. Menarik sangat!”
Shafika
tersenyum puas mendengar pendapat Dhamira. “Aku dah ada koleksi yang aku rasa
cukup untuk permulaan ni. Aku mula dengan office
atau formal wear dulu. Lepas tu baru
aku branch out dengan evening dresses pulak. Yang dalam proses
pun ada, jadi bila aku bukak kedai ni
bulan depan, Insya-Allah tak la nampak kosong je...”
Dhamira
mengangguk. “You are so talented
Fika! Aku bangga dengan kau... Aku ni nak jahit butang yang tercabut pun
terkial-kial. Sudahnya masa sekolah dulu, Boy yang kena ajar aku macam mana nak
jahit benda-benda basic macam butang
tercabut atau seluar terkoyak tu semua...” Dhamira ketawa.
Shafika turut
sama ketawa. “Aku tahu... masa kat kolej pun aku yang tolong kau jahitkan benda
tu semua...” Shafika mengimbau kenangan silam mereka. Dhamira hanya mengiakan
saja kata-kata Shafika. Sememangnya dia tiada alasan untuk membela
kelemahannya.
“Eh, aku bawak
cek untuk kau. Agreement yang kau
bagi tu pun aku dah sign...” Dhamira
bersuara tiba-tiba. “Lupa pulak aku
nak bagi nanti...” Dhamira membuka zip beg galas Deuter yang sedari tadi
tersangkut di bahu.
Wajah Shafika
berubah riak. “Mira... aku minta maaf. Bukan aku tak percaya pada kau tapi
along yang beria-ia suruh aku buat agreement
tu. Dia takut sangat aku kena tipu. Dahlah aku rahsiakan identiti kau sebagai
salah seorang pelabur butik aku ni. Lagilah dia fikir macam-macam. Jadi aku
minta lawyer tu buat agreement simple je. Sekadar nak
sedapkan hati along...”
Dhamira
mengangkat wajah. “Hei! Kau tak payah minta maaf. Aku faham. Along kau tak
salah pun. Arwah papa pun pernah sebut, bab duit dan business ni, adik-beradik pun boleh bergaduh dan bermusuhan. Inikan
pula kawan rapat. Aku langsung tak kecik hati kau suruh aku sign agreement tu... Seriously!” Dhamira cuba meyakinkan
temannya. Walaupun dia tidak pernah terlibat secara langsung dalam dunia
perniagaan arwah papanya, bukan bermaksud dia tidak sama sekali mengambil tahu
tentang selok-belok perniagaan. Papanya rajin bercerita dan menyampaikan
pesanan. Danial dan Joseph pun menandatangani perjanjian sebelum mereka
berusaha sama. “Papa aku selalu berpesan, better
be safe than sorry... Papa kata, bab nak negotiate agreement, biar gaduh sekarang. Jangan gaduh esok-esok hari
sebab business yang akan suffer... So nah!” Cek dihulurkan.
Perlahan-lahan
Shafika menyambut huluran Dhamira. Tanpa melihat amaun yang tertera di cek, dia
memeluk Dhamira. Terharu bukan kerana temannya itu sudi melabur sejumlah wang
yang besar dalam perniagaan yang tentunya sarat dengan persaingan, tetapi
kerana sudi mengambil risiko bersama-samanya... meletakkan kepercayaan pada
kebolehannya dan memberikan kebebasan penuh kepadanya untuk menerajui hala tuju
perniagaan kecil mereka ini. “Thank you...”
bisik Shafika. “Your papa is absolutely
right... esok-esok kalau ada apa-apa yang kau tak puas hati, kita bincang
sama-sama ya? Aku tak nak kita bergaduh pasal apa-apa pun, especially about money...”
Shafika
merenggangkan pelukan. “And thank you for
your trust...” Temannya ini memang istimewa.
Dhamira
mengangguk. “Aku tahu kau boleh, Fika. Aku akan bantu apa-apa yang terdaya...”
Manis senyuman
di bibir Shafika. Terharu. “By the way...
abi aku tak jadi nak labur sama-sama dengan kita tau sebab along kata dia yang
nak jadi pelabur...”
Dhamira
menjongket kening. Eh? ‘Padanlah mamat
tu sibuk suruh Fika sediakan agreement...
takut aku tipu adik dia la tu... Protective
gak mamat ni...’ fikir Dhamira.
“Tiba-tiba je along tu. Aku pun terkejut. Tapi aku
perasan, sejak aku balik dari Paris kan, along selalu balik rumah abi. Dinner sama-sama dengan kita orang.
Kadang-kadang tu sempat maghrib berjemaah. Lepak kejap lepas dinner, baru dia balik kondo dia...
Pelik...”
“Kenapa pelik pulak?”
“Sebab
sekarang dia macam nak ambik tahu hal
aku... hal Shaf... Dulu mana dia peduli pun? Dia dengan dunia dia je. Sekarang macam dia nak berbual-bual
dengan kita orang. Mula-mula aku dengan Shaf rasa kekok jugak, tapi makin lama makin okey...” Shafika tersenyum. Nampak
agak bersungguh-sungguh Rafique ingin merapatkan hubungan mereka adik-beradik. “Bila
dia kata dia nak melabur dalam G&E, aku terkejut badak tahu tak? Tapi kau
tak payah risau. Dengan along pun aku suruh sign
agreement. Tak aci la kalau dia suruh kau sign tapi dia sendiri tak sign,
kan?”
“Baguslah
kalau macam tu. Ada jugak effort dia,
betul tak? Tak macam kak yong aku...” suara Dhamira berubah lirih.
“Mira...”
Pantas Dhamira
melenyapkan rasa terkilannya. Dia tidak mahu mengganggu rasa gembira yang jelas
mewarnai perilaku Shafika hari ni. “So,
kau dengan Shaf jadi ikut aku Jumaat ni kan?” celah Dhamira laju. Tiba-tiba
mengubah topik perbualan mereka.
Laju Shafika
mengangguk. Sedar apa yang cuba dilakukan temannya itu. “Kita orang on! Bestnya!
Tak sabar nak ke Cherating! Shaf pun dah ambik
cuti hari Jumaat ni...”
“Yes!” Lebar senyuman di wajah Dhamira. “Lama
kita tak buat outing macam ni kan?
Kali terakhir sebelum kau bertolak ke Paris...”
“Haah. Tu yang
aku tak sabar tu. Sambil menyelam, kita minum. Dapat tengok Boy buat
persembahan, lepas tu dapat bercuti sekali...” Shafika tambah teruja. “Aku dah
lama tak kongsi bilik dengan kau, Mira!”
“Kan? Aku
rindu gila dengan kau!” Mereka ketawa. Terlalu banyak kenangan manis yang telah
dikongsi bersama sepanjang melayari kehidupan di kolej.
“Okeylah Fika.
Aku kena gerak sekarang ni. Boy tunggu aku kat luar. Aku singgah pun sebab nak paskan cek dengan agreement tu je...”
“Laaaa... Boy yang hantar kau ke? Baru je nak ajak minum-minum. Hari tu tak
sempat!”
“Boy kan kena
jadi driver aku untuk sebulan?” gelak
Dhamira. “No choice! Dia kena ikut ke
mana aku nak pergi!”
Shafika
mengangguk. “Kau dah okey ke dengan Boy?” soal Shafika ingin tahu.
“Eh...
mestilah okey! Mana boleh Boy marah aku lama-lama? Tak senang hidup dia!
Lagipun dia balik je malam tu, dia
terus cari aku nak pujuk aku balik...” Dhamira membangga diri. “Dia tu memang
macam tu. Dah bebelkan aku satu petang, malam sibuk cari aku balik...”
Kuat Shafika
menghamburkan tawanya. Ya... Dia sedar perangai Boy begitu. Cepat panas dan
cepat juga surutnya.
“Jom aku hantar
kau sampai luar...” pelawa Shafika. Dhamira tidak membantah. Sambil berjalan
menuju ke pintu utama Multi Mall, mereka berterusan berbual.
“So Jumaat ni aku ambik kau kat rumah kan?” tanya Shafika. “Kau jadi ke tak tumpang
aku dengan Shaf?”
“Hmmm... Boy bertolak ke sana lusa sebab
dia akan perform Khamis dan Jumaat
malam. Jadi, macam biasa diaorang
cadang nak sampai satu hari sebelum show.
Aku memang nak tumpang kau sebab aku malas nak drive sorang-sorang ke sana. Kau ambik aku boleh ke?”
“No hal la... Nanti aku confirm dengan Shaf kita orang ambik kau Jumaat ni pukul berapa okey?”
“Thanks, Fika! Aku excited gila ni tau! Tak sabar nak bercuti ramai-ramai macam ni...”
“Aku pun...
Hah tu Boy...” Mulut Shafika memuncung ke arah Danial yang elok bersandar di
badan Bradley kesayangan Dhamira. Shafika mengangkat tangan melambai ke arah
Danial. Danial hanya tersengih. Malas mahu mengangkat tangan yang enak
tersimpan di dalam kocek kiri dan kanan jean birunya.
“Aku balik
dulu, beb. Apa-apa roger aku, ek?” Dhamira berlaga-laga pipi dengan temannya.
“Beres!” balas
Shafika ringkas. Shafika masih melambai ke arah Dhamira serta Danial yang sudah
mula berlalu. Kaki masih pegun di situ. Tangan menggagau mengeluarkan cek
Dhamira dari tas tangan. Alhamdulillah... Di dalam hati, dia berdoa agar Allah
memurahkan rezeki temannya itu berlipat ganda lagi. Doa turut dipanjatkan agar
Dhamira tidak akan pernah terdetik rasa kesal kerana melabur dalam dirinya yang
masih merangkak mencari tempat dan nama dalam dunia fesyen ini. Semoga Allah
permudahkan segala-galanya...
**********
“Kau dah siap packing ke?”
Shafika
memanggung kepala daripada majalah di atas paha. Sempat melihat Shafique
melabuhkan duduk di hadapannya di ruang tamu yang sederhana besar di tingkat
atas rumah orang tua mereka ini.
“Dah... aku
malas nak buat kerja last minute
macam kau!” Sempat Shafika menyindir adiknya.
Shafique
mencemik. “Alaaah, macam la susah
sangat nak kemas barang. Aku senang je,
bukan macam kau. Segala apa pun nak bawak. Sudahnya pergi tiga hari macam nak
pergi tiga minggu...” Giliran Shafique menyindir kakak kembarnya. Macamlah dia
tidak tahu perangai Shafika. Pakaian saja pun entah berapa banyak persalinan
yang akan dibawa bersama.
“Blah la kau!”
“Korang nak pergi mana?” suara garau dari
arah belakang Shafika menyampuk perbualan dua-dua kembar itu.
Tidak sempat
Shafika berpaling, kelibat abang sulung mereka sudah mengambil tempat di
sebelah Shafique di atas sofa berangkai tiga.
“Cherating...”
balas Shafika serta Shafique hampir serentak.
Kening Rafique
terjongket sebelah. “Ada apa? Cuti ke?”
Kepala Shafika
mengangguk sebagai menjawab soalan Rafique.
“Berdua je ke?”
“Taklah...
ramai-ramai...” jelas Shafique. “D’Jammerz ada show kat sana. Kita orang nak cuba catch persembahan malam terakhir diaorang. Lepas tu sambung cuti-cuti Malaysia...”
Tegak telinga
Rafique mendengar nama D’Jammerz meniti di bibir Shafique. ‘Minah tu join sekali ke nanti?’ fikir Rafique sendirian.
“Nak pergi
hari apa?”
“Bertolak
Jumaat. Balik KL hari Ahad...” Shafique masih setia menjawab pertanyaan
abangnya.
“So, semua sekali korang bercuti bertujuh la ya?” teka Rafique cuba memancing jawapan
pada soalan yang tidak disuarakan secara zahir.
“Eh, berlapanlah,
campur Mira sekali...” balas Shafique lurus.
Shafika
menyembunyikan senyum. Tahu apa yang cuba dilakukan Rafique. Lebih-lebih lagi
melihat perubahan riak di wajah abangnya tatkala nama Dhamira disebut Shafique
tadi. Riak yang macam mana ya? Susah hendak dihuraikan. Seperti lega semacam...
“Apasal tiba-tiba nak cuti ni?”
“Dah lama tak
cuti, long. Lagipun lepas ni mesti lagi susah kita orang nak cuti. Fika tu
mesti sibuk nak uruskan butik dia nanti...”
“Along nak join boleh ke?” Sebaik sahaja soalan itu
dilafazkan, dahi Rafique berkerut. ‘Eh, dah kenapa aku nak join diaorang ni bercuti? Mana pernah aku bercuti ramai-ramai macam
ni?’ Rafique bingung. Tidak sedar soalan yang laju meluncur dari bibirnya tadi.
Dia tidak menjangka lidahnya bertindak lebih laju daripada kemampuan akalnya.
Atau sebenarnya hatinya yang telah bersuara?
Shafika serta
Shafique berbalas pandang. Shafique menjongketkan keningnya beberapa kali ke
arah Shafika. Menghantar pesanan hanya kembarnya sahaja yang memahami. Rasa
pelik dengan permintaan Rafique.
“The more the merrier, long... Join je...
tapi along kena tutup mata la tengok perangai kita orang yang gila-gila bila
dah berkumpul nanti...” gurau Shafika. Di dalam hati dia berharap agar abangnya
benar-benar mahu mengikut mereka bercuti ke Cherating. Mungkin rancangan mereka
yang melibatkan Dhamira serta Rafique yang masih terlalu rapuh boleh dimulakan
secara perlahan-lahan dalam masa yang terdekat ini.
“Tengoklah
macam mana...” tiba-tiba Rafique menjual mahal. Wajah kekal serius namun riak
tidak berminat dipamerkan. Ingin menyembunyikan keterlanjuran kata-katanya
sebentar tadi. “Along sibuk sebenarnya ni. Kalau Zaid boleh cover, along join la korang nanti...”
“Hmmm... kita orang tak kisah pun.
Lagipun takut along rasa kekok je
nanti...” sengaja Shafika mengambil sikap tidak peduli. Tidak mahu kelihatan
seperti ingin memujuk abangnya itu.
“Korang rapat ke dengan ahli kumpulan
D’Jammerz tu?” soal Rafique lagi.
“Rapatlah jugak. Selalu jugak kita orang tengok diaorang
ni perform dulu. Kalau diaorang ada gig kat sekitar Johor, kita orang akan pergi tengok. Lepak dengan diaorang tu memang selalu la...” terang
Shafique.
Rafique
sekadar mengangguk. Hati mendesak agar percutian adik-adiknya kali ini disertai
bersama. Konon ingin merapatkan hubungan mereka adik-beradik menjadi alasan
yang perlu dipertahankan. Hubungan yang masih belum sampai ke tahap mesra ini,
banyak yang perlu diperbaik. Itu diakuinya. Tapi benarkah itu alasan yang
sebenar-benarnya? Atau dia mempunyai alasan lain sedangkan selama dia
mengusahakan syarikat bersama-sama Zaid, tidak sekali pun dia pergi bercuti?
Kerja merupakan segala-galanya bagi dirinya.
Rafique
mengeluh di dalam hati. Kalau Zaid mendengar dia menggunakan alasan sibuk di
pejabat seperti tadi, tentu sekali dia akan ditertawakan. Projek semua bergerak
seperti yang direncanakan setakat ini. Tenaga pekerja mereka semuanya boleh
diharap. Semuanya pakar dalam bidang masing-masing. Lagipun Zaid ada. Tiada
apa-apa yang perlu dirisaukan.
“Duduk hotel
mana?” akhirnya Rafique bersuara.
“Tengkujuh Hotel...
resort yang baru bukak kat Cherating tu. Ada macam-macam promosi sekarang ni. Tu
yang D’Jammerz dapat undangan menyanyi tu...” ujar Shafique. “Kalau along nak
ikut, kita boleh kongsi bilik.”
Rafique
mengangguk kecil sebelum bangun. Tidak mahu kelihatan seperti terlalu berminat
dengan percutian yang telah dirancang oleh adik-adiknya ini. “Okey, along balik
dulu...” Tangan dihulurkan ke arah Shafique. Bersambut. Kemudian dia mendekati
Shafika yang masih duduk. Kepala adiknya itu diusap perlahan sebelum kaki
diayun menuruni anak tangga. Terpempan Shafika di tempat duduknya. What just happened?
“Shaf... along
pegang kepala aku kan tadi?” Membulat mata Shafika.
“Haah...”
“Kenapa aku
rasa macam nak nangis ni?” Sebak. Perlakuan Rafique sesuatu yang baharu... yang
tidak pernah dilakukan sepanjang dia hidup selama dua puluh lima tahun ini.
Shafique diam
tidak membalas. Mata Shafika yang sedikit bersinar ditatap lembut. Dia juga
hairan dengan kelakuan abang sulung mereka sejak dua menjak ini.
“Aku rasa
along sebenarnya rasa kekok dengan semua ni... but I can see that he’s trying...” komen Shafique. Mamat sejuk beku la katakan... mana
biasa nak bermesra-mesra dari segi fizikal ni?
Shafika
melepaskan nafas perlahan-lahan. Bibir mula menguntum senyum. “Aku berani bet yang along akan ikut kita Jumaat
ni!” Penuh yakin Shafika bersuara.
“Kau nak cakap
pada Danial atau Mira?”
Laju Shafika menggelengkan kepalanya. “Biar dulu. Biar surprise...”
Shafique akur.
Dia tahu Shafika kuat berdoa agar percutian mereka kali ini akan disertai oleh
orang yang kesembilan. Dia turut sama berdoa. Manalah tahu, kan? Mamat sejuk beku tu mahu mengambil cuti
rehat... Nampak seperti mustahil, namun setelah melihat perubahan Rafique
kebelakangan ini, dia tidak berani mahu menggunakan perkataan ‘mustahil’ itu
lagi. Tunggu saja hari Jumaat nanti...
No comments:
Post a Comment