ZARIFF Adam merenung Blackberry di tangannya.
Baru sekejap tadi dia menghubungi Maryam bertanyakan Nuha
Qalisya. Sudah beratus kali dia menghubungi dan menghantar
SMS namun satu pun tidak berbalas. Gadis itu bagaikan hilang
ditelan bumi.
Pantas kakinya melangkah ke BMW 6 Series. Hajatnya
mahu ke Tanjung Leman menemui Nuha Qalisya. Walaupun
Maryam tidak bercakap secara terang-terangan, tetapi dia
boleh mengagak wanita itu ada bersama Nuha Qalisya di sana.
Nalurinya kuat mengatakannya.
Sejak bertolak selepas Subuh tadi, hanya sekali dia
berhenti di kawasan rehat iaitu di R&R Pagoh. Itu pun kerana
perutnya tidak tahan memulas. Dia mahu sampai ke Tanjung
Leman sebelum malam. Tepat jam tujuh malam, BMWnya
berhenti di sebuah resort.
Selepas memarkir kenderaannya, dia bergerak menuju
lobi untuk mendaftar masuk. Malangnya tiada sesiapa kelihatan
di kaunter berkenaan. Mungkin semua petugas menunaikan
solat Maghrib memandangkan sayup-sayup bunyi azan
kedengaran. Tetapi, takkan semua menunaikan solat serentak?
Mana boleh macam ni, desisnya. Tubuhnya terasa begitu letih.
Dia merebahkan badannya di atas sofa. Dilunjur kaki
untuk menghilangkan rasa lenguh. Beg sandang di sisinya
dicapai lantas telefon bimbitnya dicari. Dia mahu menghubungi
Maryam. Nombor telefon Maryam didail. Selepas beberapa minit
menunggu, kedengaran suara gadis itu dalam talian.
Zariff Adam sabar menanti. Janjinya dengan Maryam
ada berbaki setengah jam lagi. Setengah jam terasa begitu lama.
Namun dia terpaksa menahan dirinya jika mahu berjumpa
dengan Nuha Qalisya. Itu pesan Maryam sebelum talian
diputuskan tadi. Mahu tidak mahu, dia perlu akur.
Kawasan sekitar lobi diperhatikan. Cantik! desis
hatinya. Dekorasi moden dicampur dengan tradisional
menghiasi ruang lobi resort berkenaan sekali gus mewujudkan
suasana tenang.
Dari jauh dia melihat kelibat Maryam menghampirinya.
Gadis itu hanya keseorangan. Langsung tidak nampak kelibat
Nuha Qalisya. Zariff Adam kecewa. Perjalanannya beratus-ratus
batu dirasakan sia-sia.
“Aku lambat sikit. Kau tahulah nak pujuk minah
tu bukan senang. Kalau dah dia kata putih, maka putihlah,
takkan jadi hitam punya. Aku tahu lepas ni gerenti aku kena
tadah telinga dengar kata-kata pedas keluar dari mulutnya.
Perempuan tu kalau dah marah, teruk juga penangannya.”
Muncungnya dihalakan ke arah Nuha Qalisya yang baru keluar
dari lif. Bagaikan melompat dia apabila melihat Nuha Qalisya
keluar dari lif.
“Aku mampu membantu kau hanya setakat ini. Selepas
ni, pandai-pandailah kau berdepan dengan dia. Hati dia masih
terluka. Jadi, janganlah kau berharap kau akan mendengar katakata
manis dari mulutnya. Kalau dia tak sembur kau, dah kira
itu cukup baik,” katanya. Zariff Adam mengangguk. Tahulah dia
memujuk Nuha Qalisya nanti.
Zariff Adam menarik nafas lega. Dia betul-betul
berterima kasih kepada Maryam kerana tanpa pertolongan
temannya itu, tidak mungkin dia dapat menemui Nuha Qalisya.
Gadis itu dilihat menarik muka apabila melihat wajahnya.
Namun perkara itu tidak menjadi kudis gatal padanya. Maryam
berlalu meninggalkan mereka berdua. Nuha Qalisya terus
melabuh punggungnya di atas sofa berhampiran, agak jauh dari
sofa yang diduduki Zariff Adam.
“Ada apa nak jumpa? Saya rasa urusan antara kita
berdua sudah lama selesai. Apa lagi nak dibincangkan?” soal
Nuha Qalisya.
Wajahnya dimasamkan. Dia langsung tidak
memandang Zariff Adam. Sakit hatinya apabila teman rapatnya
sendiri bersekongkol dengan lelaki itu. Ketika di atas tadi, dia
sudah ‘membasuh’ cukup-cukup Maryam dan kalau tidak kena
gayanya, nanti Zariff Adam juga akan menerima nasib yang
sama.
“Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu.” Nuha
Qalisya bangun. Pantas Zariff Adam menarik tangannya
sehingga dia terduduk.
“Sorry...” Tangan itu dilepaskan. Dia berdehem
mencari kekuatan untuk memulakan perbualan.
“Awak… Saya rindu.” Bulat mata Nuha Qalisya
mendengarnya. Gila ke apa mamat ni? Sudah ada isteri tapi
masih lagi menyimpan rindu terhadap gadis lain. Jantan
memang macam tu, tak pernah cukup dengan seorang wanita.
Tak pernah nak fikir hati dan perasaan wanita, kutuknya.
“Betul awak… Saya rindukan awak. Saya tak mainmain
bila saya kata saya rindu dekat awak.” Tangan Nuha Qalisya
cuba dicapainya tetapi pantas saja gadis itu mengelak. Nuha
Qalisya mencebik. Rindu kepada aku tetapi berkahwin dengan
wanita lain. Banyaklah kau punya rindu, kutuknya dalam hati.
“Beratus batu awak menempuh perjalanan datang
ke sini hanya semata-mata nak beritahu awak rindukan saya?
Peliklah awak ni... Dulu tak ada pula awak sebut rindu-rindu,
sayang atau cintakan saya. Bagi awak, kata-kata itu tak perlu
diulang beratus kali. Cukup sekali awak pernah lafazkan.”
Zariff Adam mengeluh. Dia akui kesalahan yang
pernah dilakukan dan sekarang gadis itu memulangkan paku
buah keras terhadapnya. Diam.
Nuha Qalisya memerhati kaunter pendaftaran. Hanya
ada seorang pekerja yang bertugas ketika itu. Mungkin pada
waktu malam tidak perlukan tenaga kerja yang ramai. Petugas
yang bernama Amin itu sekadar mengangkat tangan sebelum
berlalu mengangkat telefon yang berdering sejak tadi.
“Sayang... Saya tahu saya salah tetapi berilah peluang
untuk saya perbaiki keadaan ini. Saya perlukan awak dalam
hidup saya dan saya tidak boleh hidup tanpa awak. Saya
sayangkan awak.” Lamunan Nuha Qalisya terganggu. Dia
mengalih pandangan ke arah Zariff Adam.
“Awak nak saya terima awak macam tu aje ke? Dania
tahu awak merayu dekat saya ni? Sanggup awak nak beri madu
kepada saya.” Kata-kata itu begitu sinis pada pendengaran Zariff
Adam. Lelaki itu mengeluh. Betapa sukarnya mahu meraih
semula kepercayaan gadis itu. Dia merenung Nuha Qalisya
seolah-olah menagih simpati.
“Awak nak saya percaya awak belum berkahwin? Begitu?
Awak kena terima kenyataan. Apabila kita terima kenyataan, ia
menjadi semakin mudah untuk kita meneruskan kehidupan
masing-masing. Biarkan saya pergi kerana saya bukan sesiapa
dalam hidup awak. Saya tak mampu buat semua perkara ini
tidak wujud.” Dia berharap Zariff Adam dapat menerimanya.
“Awak ni kenapa tak faham-faham? Saya dah beritahu
foto-foto tu semuanya superimpose, kenapa awak nak ulang
banyak kali?!” Nada suaranya sudah berubah. Tinggi satu oktaf
daripada biasa.
“Saya sedang menyiasat siapa dalang di sebalik
penyebaran gambar tu.” Begitu yakin Zariff Adam menutur
kata-kata. Nuha Qalisya terdiam. Dia jadi keliru. Jika betul Zariff
Adam berkahwin, takkan lelaki itu yakin untuk menegakkan
kebenaran.
Jika itu satu pembohongan, dia tidak tahu jenis
manusia apa yang sedang berada di depannya itu. Hatinya tibatiba
menjadi bersimpang-siur. Zariff Adam tahu nada suara
gadis itu semakin lembut. Sudah ada tanda-tanda Nuha Qalisya
mahu mengalah dengannya.
“Sudahlah awak... Saya dah penat dengan semua ini.
Kalau jodoh kita masih ada, saya terima dengan hati terbuka
tetapi kalau jodoh kita sampai di sini, saya harap awak dapat
menerimanya dengan reda.”
Kata-kata itu mengundang rasa tidak puas hati pada
Zariff Adam. Wajahnya kembali tegang. Dia tidak menyangka
kata-kata itu yang keluar dari bibir Nuha Qalisya. Dia meraup
mukanya berkali-kali. Bagaikan tidak mempercayainya.
Maryam melambai tangan memberitahu dia berada
tidak jauh dari tempat rakannya berada. Di situ dia bukan
keseorangan tetapi ditemani Akif Irham dan Zakry Adlan.
Sesekali kedengaran gelak tawa mereka.
“Sebab itu, kan?!” Nada suara Zariff Adam tiba-tiba
menjadi keras. Matanya dihalakan ke arah lelaki yang duduk
berdekatan Maryam. Entah mengapa, kehadiran dua lelaki
di sisi Maryam membuatkan dia terasa tergugat walhal dia
langsung tidak mengenali lelaki berkenaan.
“Sebab lelaki itu, kan?” soal Zariff Adam, keras. Bulat
mata Nuha Qalisya mendengar herdikan daripada Zariff Adam.
Sakit hatinya kerana terpaksa melayan sikap tidak matang lelaki
berkenaan.
“Kerana lelaki itu, awak menolak saya sekarang.
Gambar perkahwinan tu hanya sekadar alasan untuk awak
putuskan hubungan kita.”
Wah, mulut lelaki ini memang tiada insurans langsung.
Cakap ikut sedap mulut dia saja. Mahu saja Nuha Qalisya ketukketuk
kepala Zariff Adam biar jadi siuman sikit.
“Awak jangan buat hal. Mereka tu kawan Maryam.
Secara kebetulan kami berjumpa di sini. Tolong jangan buat
andaian yang boleh membuatkan saya makin benci dekat awak.”
Matanya memandang tajam ke arah Zariff Adam. Bibirnya
diketap.
“Tetapi lelaki itu memang ada hati dengan awak,
kan? Baik awak mengaku sebelum saya pergi ke sana dan
menyerangnya,” tuduhnya. Mata Zariff Adam tidak lepas
memandang lelaki yang dia dakwa kekasih baru Nuha Qalisya.
Dia yakin seratus peratus lelaki yang dikatakan kawan Maryam
itu sebenarnya menyimpan hati terhadap kekasihnya.
Nuha Qalisya mengetap bibir. Tuduhan lelaki itu
benar-benar menyakitkan hatinya. Wajah lelaki itu direnung
membuatkan Zariff Adam serba tidak kena. Dia berpura-pura
melihat sesuatu di dalam Blackberry di tangannya.
“Saya minta diri dulu. Lepas ni jangan cuba-cuba nak
cari saya lagi. Kisah kita dah berakhir dan biarlah ia berakhir
untuk selama-lamanya.” Nuha Qalisya malas mahu menjawab
pertanyaan Zariff Adam.
Kalau dia menafikan sekalipun, belum pasti lelaki itu
akan percaya. Pantas saja Nuha Qalisya bangun dan bergerak
dari tempat duduk berlalu meninggalkan Zariff Adam. Lelaki
itu hanya mampu melepaskan keluhan.
Hanya matanya mengiringi langkah gadis itu. Kali
ini biarlah dia yang mengalah dan membiarkan gadis itu
berlalu pergi. Esok atau lusa, belum tentu dia akan tunduk
kepada kemahuan Nuha Qalisya. Dia akan berjuang untuk
mendapatkan gadis itu kerana dia tahu Nuha Qalisya adalah hak
miliknya yang kekal.
Zariff Adam menggeliat. Terasa seluruh badannya
sengal-sengal. Perjalanan yang jauh dan memandu tanpa henti
membuatkan dia hilang seluruh tenaganya. Dia perlu berehat
dan mencari jalan untuk memujuk Nuha Qalisya.
Dia tidak mahu kepenatannya itu membuatkan dia
hilang arah dan tidak mampu untuk berfikir secara rasional
sehingga menyebabkan gadis itu jauh dari jangkauannya. Jadi,
dia perlu bersabar menanganinya. Dia turut bangun kemudian
berlalu pergi.
AWAL-AWAL pagi lagi, dia dan Maryam sudah siap memasukkan
beg sandang ke dalam bonet kereta. Hajat mereka selepas selesai
sarapan, mereka akan terus pulang ke Kuala Lumpur. Percutian
selama empat hari di Sun Beach Resort, Tanjung Leman akan
tetap diingati. Takdir telah menemukan dia dengan Akif Irham
dan takdir juga yang akan memisahkan mereka nanti.
Kakinya melangkah ke restoran untuk mengalas
perut. Di situ kelihatan Akif Irham dan Zakry Adlan. Mereka
melambai-lambai supaya Nuha Qalisya bersama mereka di
meja berkenaan. Tidak ketinggalan Maryam turut berada di
situ. Patutlah tergesa-gesa saja memasukkan beg ke dalam
bonet kereta. Ada yang menunggu di situ rupa-rupanya. Dalam
hati ada taman rupa-rupanya. Hatinya tertanya-tanya, siapa
sebenarnya Akif Irham kerana bukan saja pekerja Sun Beach
Resort yang menghormatinya, tetapi juga Zakry Adlan begitu
menyanjungi lelaki itu.
Dia menuju ke meja mereka. Tanpa mempedulikan
Maryam yang asyik menyuap nasi lemak, dia berlalu ke tempat
makanan. Pelbagai jenis hidangan disediakan. Semua nampak
enak dan lazat. Tanpa berfikir panjang, dia mencedok nasi
dagang ke atas pinggan. Sudah lama juadah itu tidak dinikmati.
Masakan itu juga paling digemari Zariff Adam.
Kalau dulu setiap kali pulang ke kampung, pasti uminya
tidak lupa menyediakan masakan itu dan bila pulang ke Kuala
Lumpur, umi tidak akan lupa kegemaran bakal menantunya itu.
Bekalan untuk Zariff Adam tidak pernah dilupakan.
Hatinya terusik dengan kisah lalu, cepat-cepat dia
membunuh ingatan berkenaan. Aturan Allah memang cantik.
Nuha Qalisya memujuk hatinya. Zariff Adam sudah menemui
pemilik hatinya dan kau sepatutnya reda dengan apa yang
berlaku, bisiknya lagi.
Selepas bersarapan, keretanya meluncur laju
meninggalkan Sun Beach Resort. Kali ini Maryam yang
memandu. Dia mengambil kesempatan untuk melelapkan mata
seketika kerana selepas ini gilirannya pula mengambil alih.
Sambil memandu, Maryam menyanyi. Wah, nampak gembira
semacam aje perempuan ni. Mesti ada apa-apa. Matanya dibuka.
“Gembira nampak hari ni? Berseri-seri saja aku
nampak muka tu. Tak nak kongsi rahsia dengan aku ke?” usik
Nuha Qalisya.
Maryam ketawa. Matanya dihala ke arah jalan raya. Dia
perlu berhati-hati memandu kerana di luar hujan mulai turun
dengan lebat.
“Hesy, mana ada… Aku macam biasa saja.” Dia
berdalih. Belum tiba masanya untuk berkongsi kegembiraan
dengan Nuha Qalisya.
“Ala, aku bukan tak kenal kau. Sejak kecil kita
berkawan sampailah ke tua bangka ni. Apa yang kau suka, apa
yang kau benci, apa yang kau sedih semuanya dalam poket aku
ni. Takkanlah muka kau macam bulan purnama bersinar ni kau
kata tak ada apa-apa? Tak percayalah aku.”
Maryam tergelak.
“Gelak kau tu pun aku dah tahu… Kau tengah gembira,
kan? Ceritalah kat aku. Mana tahu aku boleh tumpang gembira
untuk kau. Ni pasal Zakry, kan? Betul tak?” Nuha Qalisya
meneka. Lambat-lambat Maryam angguk.
“Kan aku dah cakap… kau kalau pasal Zakry, hidup
saja. Yang sedih pun boleh tiba-tiba ketawa. Kenapa? Dia
luah perasaan kat kau ke?” Entah mengapa, dia dapat rasakan
kegembiraan Maryam ada kaitan dengan Zakry Adlan. Selama
ini nalurinya boleh dikatakan agak tepat.
“Kau tahu kan Zakry pernah mendapat tempat
istimewa dalam hati aku ni dulu? Dia satu-satunya lelaki yang
berjaya mencuri hati aku. Tapi aku sedar diri aku siapa... Mana
mungkin lelaki sehebat, semuda Zakry tu nak berdamping
dengan aku yang tua beberapa tahun daripadanya tu.”
Nuha Qalisya mengangguk. Dia tahu kisah cinta
Maryam dulu. Lama jugalah member di sebelahnya ini merana
disebabkan penangan cinta tak kesampaian.
“So? Ada kaitan dengan kisah lama kau dulu ke?”
soalnya. Dia masih tak nampak hubung kait antara keduaduanya
atau… Tiba-tiba mulut Nuha Qalisya ternganga...
Cepat-cepat dia menutup dengan tangan.
“Oh my God! Kau... Kau Siti Nur Maryam binti Haji
Shariff dengan Zakry Adlan Tan Sri Zain Azran sekarang. Are
you kidding?” soal Nuha Qalisya. Dia bagai tidak percaya.
“Mmm…”
“Serius?” soalnya lagi. Maryam angguk. Merah
wajahnya menahan malu.
“Bila kau orang declare?” soalnya tak sabar. Senyuman
manis terukir di bibirnya.
“Kami declare semalam. Zakry kata dia dah lama
simpan perasaan kat aku tetapi dia tidak berani nak beritahu
kerana ada orang cakap, aku sudah ada kekasih,” kata Maryam.
Waktu itu dia terkejut sangat apabila Zakry Adlan berterus
terang Mahzar turut menyimpan perasaan kepadanya dan
mungkin sebab itu Mazhar memberitahu Zakry Adlan dia sudah
berpunya.
Nuha Qalisya menadah tangan tanda gembira.
Syukur… Syukur... Sesungguhnya Maryam berhak mendapat
kebahagiaan itu. Tindakan spontan Nuha Qalisya mengundang
tawa Maryam. Pantas pipinya berona merah.
No comments:
Post a Comment