DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 8 April 2016

BUNGA-BUNGA BAHAGIA - BAB 8

SEPERTI yang dijanjikan dengan uminya minggu
lalu, dia pulang ke kampung bersama Maryam. Selepas
menempuh perjalanan hampir enam jam, akhirnya dia sampai
ke bandar Kuala Terengganu.
Nasib baik sekarang ni Terengganu sudah ada lebuh
raya, maka perjalanan yang sebelum ini mengambil masa tujuh
jam, kini hanya dalam lima atau enam jam menggunakan
Lebuh Raya Pantai Timur.
Selepas dia menurunkan Maryam, dia meneruskan
pemanduan pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari
rumah Maryam. Ketika dia sampai, kelihatan Puan Amnah leka
menyiram dan menyusun pelbagai pokok bunga.
Disebabkan hobi umi yang satu itu membuatkan
rumah mereka berseri. Sekeliling rumah ditanam pelbagai jenis
bunga. Bukan setakat bunga ros yang pelbagai warna tetapi
juga pelbagai spesies orkid. Ada yang dibeli dan ada juga yang
diberikan oleh sahabat handai.
“Umi...” Dia hulur tangan untuk bersalam. Sedikit
terkejut Puan Amnah apabila mendengar suaranya. Uminya
mengusap dada. Dia terasa sedikit bersalah apabila membuatkan
uminya sebegitu. Nasib baik jantung uminya masih lagi kuat.
Kalau tidak, haru jadinya.
“Eh, along... Bila sampai? Tak perasan langsung umi.
Tak dengar pun bunyi kereta kamu… Nasib baik pasu bunga ni
tak terkena kepala along.”
Nuha Qalisya tersengih. Pasu bunga yang dipegang
oleh uminya sebentar tadi selamat mencium tanah.
“Maaf, umi... Tak sangka pula umi terkejut sampai
macam ni. Ingatkan umi sedar bunyi enjin kereta along tadi.”
Tangannya melingkar ke bahu si umi.
“Tangan umi kotor ni. Kamu pergi naik dulu. Umi nak
sudahkan kerja menyusun pasu bunga ni dulu. Kejap lagi umi
masuk.” Tanpa memandang ke arah anaknya, dia meneruskan
kembali kerja mengangkat dan menyusun pasu bunga yang
terhenti tadi.
Selepas selesai, kakinya melangkah ke arah paip
di penjuru rumah untuk membasuh kaki dan tangannya.
Kemudian Puan Amnah mendaki anak tangga masuk ke dalam
rumah.
Pagi itu, uminya tiba-tiba membuat lawatan tak
rasmi ke bilik tidurnya. Kelam-kabut dia mengambil novel
yang bersepah di atas lantai. Selepas menunaikan solat Subuh
tadi, dia tidur semula. Ingatkan mahu tidur sejam dua, ruparupanya
jam mencecah angka sepuluh pagi. Kalau uminya tidak
membuat lawatan rasminya, pasti dia masih dibuai mimpi.
“Anak umi ni kenapa sejak balik petang semalam,
asyik kat dalam bilik aje? Along ada masalah ke? Tak nak
kongsi dengan umi?” Bertalu-talu soalan daripada uminya.
Nuha Qalisya memberi ruang kepada uminya untuk duduk di
atas katilnya. Risau benar Puan Amnah melihat tingkah laku
Nuha Qalisya yang dirasakan agak pelik kali ini. Biasanya, anak
sulungnya itu tidak pernah bersikap sebegitu.
Putus cintakah Nuha Qalisya? Tapi bila pula anak
gadisnya itu bercinta? Selama ini, nama Zariff Adam kerap
meniti di bibir anaknya. Adakah itu bermakna mereka bercinta?
Dia sendiri tidak tahu. Tetapi sejak sampai ke kampung
petang semalam, nama lelaki itu langsung tidak disebutnya.
Bergaduhkah mereka? Hati tuanya berdetik.
Kalau diikutkan, Nuha Qalisya bagaikan alergi jika
mendengar ada rombongan datang merisiknya. Ada saja alasan
untuk dia menolak pinangan itu. Belum bersedia lagilah, kaya
sangatlah, tiada kerja tetaplah, tak hormat orang tualah.
Pendek kata, semua yang datang meminang tidak
berkenan dalam hati. Memang memeningkan kepalanya dan
suami apabila melihat kedegilan Nuha Qalisya. Nasib baik
perangai keras hatinya itu tidak menjadi ikutan kepada adikadiknya
seramai empat orang itu. Aina Izzati yang dipanggil
angah, muda dua tahun daripada Nuha Qalisya. Dia sudah
berumah tangga dan mempunyai dua cahaya mata.
Manakala Aidil Asyraf, anak sulung lelaki dalam
keluarga Encik Razlan yang lebih gemar dipanggil acik, kini
berusia dua puluh tahun dan masih menuntut di Universiti
Malaya dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.
Di rumah itu, hanya tinggal si bongsu pasangan kembar
tidak seiras. Aiza Umairah lebih gemar membahasakan dirinya
acu dan memanggil Aliff Adha dengan nama adik. Kedua-dua
akan mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR). Puan
Amnah bahagia dikurniakan anak yang begitu akrab antara satu
sama lain.
“Along buat apa sejak tadi langsung tak keluar bilik?
Babah tu dah bising sebab batang hidung along tak nampaknampak
sejak balik petang semalam.” Tangan Puan Amnah
menyusun novel Nuha Qalisya ke rak berhampiran katil.
Banyak! Membazir betul budak ni, getusnya. Dia sedikit geram
apabila nasihat yang diberi langsung tidak diendahkan oleh
anaknya.
“Tak ada apalah, umi... Along penat sikit aje. Malam
nanti okeylah ni. Umi masak apa untuk makan tengah hari ni?
Rindulah masakan umi. Dah lama sangat rasanya along tak
makan...” Tangannya melingkari bahu Puan Amnah. Memang
dia rindukan masakan uminya, apatah lagi masak gulai nanas
ikan masin. Boleh bertambah dua tiga pinggan dibuatnya.
“Ada tu kat dapur. Babah along la bila tahu anak
kesayangan dia nak balik, siap-siap pergi kedai beli ikan masin
dengan nanas. Biasanya kalau disuruh, banyak betul alasan
diberikan tapi bila sebut anak kesayangan dia nak makan, laju
saja geraknya,” balas Puan Amnah.
Geli hati betul dia melihat Encik Razlan apabila tiba
bab anak kesayangannya. Pergi ke mana pun sanggup. Nuha
Qalisya ketawa mendengarnya.
Antara adik-beradiknya, dia paling rapat dengan babah.
Mungkin disebabkan anak sulung maka kasih sayang babah
dan umi tertumpah lebih kepadanya dan selepas kelahiran
adik-adiknya, kasih sayang mereka tidak pernah berkurang
untuknya.
Tetapi dia tahu mana mungkin umi dan babah pilih
kasih dalam memberi kasih sayang kepada anak-anak mereka.
Umi dan babah tetap menyayangi anak-anak lain cuma dia yang
terlebih sikit.
Sehingga kini, angah kerap merajuk dengan sikap
babah kerana beranggapan alongnya sering diberi keutamaan.
Kata angah, ucu dan adik pun tidak setanding along dalam
hati babah. Nuha Qalisya hanya akan tergelak mendengarnya.
Langsung tidak menolak kerana apa yang dikatakan oleh adik
keduanya itu ada benarnya.
“Ni buku banyak-banyak ni, along nak buat apa? Balik
kampung, umi tengok bukan along bawa balik hadiah kat umi
atau babah tapi umi tengok tu, haaa… Buku-buku juga along
duk usung. Banyak sangatlah along, bukan benda alah tu boleh
dimakan pun,” marah Puan Amnah. Bilalah agaknya dia dapat
melihat anak sulungnya itu membawa balik bakal menantu
untuknya. Muncung uminya sudah panjang sedepa.
“Umi nak hadiah rupa-rupanya. Kenapa umi tak cakap
awal-awal? Bukan setakat hadiah saja, benda lain pun along
boleh bagi.” Dia sudah tergelak-gelak. Puan Amnah teruk
diusiknya.
“Kalau along bawa balik bakal menantu, lagi umi suka.
Boleh juga umi timang cucu nanti. Dah lama rumah ni sepi
dengan suara tangisan bayi. Ni tak, setiap kali balik kampung aje
along duk usung novel-novel tu. Kerja membazir tu semuanya.”
Puan Amnah masih tidak berpuas hati.
Bulat mata Nuha Qalisya mendengarnya. Umi ni pun
satu, ingat senang ke cari suami sekarang? Petik jari berduyunduyun
lelaki datang meminang? Nuha Qalisya membebel.
Cadangan uminya langsung tak masuk dek akal.
“Kat mana nak cari? Takkan kat pasar di pekan tu?”
Dia bergurau. Satu cubitan singgah di pahanya. Aduh, umi ni...
Kalau mengetam memang kegemaran dia. Macam manalah
babah sabar dengan sikap umi ni, bisiknya.
“Hesy, ke situ pula dia. Kalau along tiada siapa-siapa
baguslah. Semalam ada orang datang, katanya nak merisik
along.” Bersahaja kata itu keluar dari bibir Puan Amnah.
Dia tidak bergurau. Memang ada orang datang merisik anak
sulungnya petang semalam.
Bulat saja mata Nuha Qalisya mendengarnya. Biar
betul?! Takkan umi dah tak sanggup untuk menjaganya lagi?
Wajah uminya direnung. Dia tak pasti mahu percaya atau tidak
kata-kata uminya itu.
“Tak naklah, along… Umi jangan pandai-pandai kata
setuju pada rombongan tu. Nanti tak pasal-pasal umi tak jumpa
along lagi,” ugutnya. Puan Amnah mengeluh. Itu saja modal
anak gadisnya apabila ada orang datang merisik.
“Ikut suka alonglah... Malas umi nak kata apa lagi.”
Puan Amnah sudah angkat kaki keluar dari bilik Nuha Qalisya.
“Setakat ni along belum jumpa yang sesuai dalam hati.
Kalau dah jumpa, umi orang pertama akan tahu. Along janji.”
Dia lempar senyuman paling manis kepada uminya sebelum
masuk ke bilik air. Seketika kemudian, kedengaran semburan
air dari arah bilik air.
Puan Amnah keluar menuju ke dapur. Dia mahu
menyambung sesi mengemas yang terbantut sebentar tadi
gara-gara mengadakan lawatan tak rasmi ke bilik anak
sulungnya. Nuha Qalisya sejak kecil senang diuruskan cuma
tahap kedegilannya kadang-kadang membuatkan dia dan suami
kerap kali hilang sabar.
“Awak dah siap masak?” Tiba-tiba satu suara menegur
dari arah belakang. Penyapu yang dipegangnya terlepas. Dada
diusap lembut. Huh, suaminya gemar sungguh menyergah
begitu. Kalau dia ada sakit jantung, sudah lama gamaknya dia
jadi arwah. Encik Razlan tergelak. Seronok benar dia membuat
isterinya terkejut begitu.
“Eh, abang ni... Kalau tak mengejutkan saya, tak boleh
ke? Gugur jantung saya ni, tau tak?” marahnya. Dalam marahmarah
itu, dia masih lagi mengukir senyuman kepada suami
tersayang.
“Kalau gugur abang sambutkan.” Encik Razlan masih
lagi mahu berjenaka dengan si isteri. Bahu si isteri diusap
lembut. Pantas saja muncung Puan Amnah keluar.
“Dah siap masak?” soalnya kepada si isteri.
“Dah, abang… Duduklah dulu. Nanti saya panggilkan
along. Boleh kita makan sama-sama. Ucu dan adik dah balik
kelas tambahan ke?” Tiba-tiba dia teringat anak kembarnya.
Awal pagi lagi dua beradik itu dihantar acik mereka ke kelas
tuisyen yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Kebetulan
anak ketiganya itu cuti semester, bolehlah menghantar si
kembar itu ke kelas tuisyen.
“Tak nampaklah pula. Agaknya belum balik lagi.
Mungkin kejap lagi sampailah kat rumah. Acik mana? Tak
nampak pun lepas hantar adik dengan ucu ke kelas tuisyen pagi
tadi?” tanya Encik Razlan.
Puan Amnah masuk ke ruang tamu untuk mencari
kelibat anak ketiganya. Matanya bulat melihat Aidil Asyraf lena
di atas sofa dengan televisyen terpasang. Kepalanya digeleng.
Itulah kerja Aidil Asyraf setiap kali cuti semester. Pantang ada
masa terluang, membuta saja kerjanya. Pantas dia menutup
televisyen. Beberapa kali dikejut, barulah anaknya itu membuka
mata.
“Pergi basuh muka, solat… Lepas tu kita boleh makan
sekali. Babah dah tunggu kat meja makan. Jangan lambat,”
pesan Puan Amnah apabila melihat anak lelakinya masih tidak
bergerak. Aidil Asyraf menggeliat. Penat betul dia rasa hari ini.
Selepas balik menghantar si kembar pagi tadi, dia berbaring di
depan televisyen. Tak sangka pula boleh terlelap.
“Umi…” Nuha Qalisya memanggil. Selepas selesai
makan, uminya sibuk membasuh pinggan mangkuk. Puas
dilarang tetapi langsung tidak dihiraukan oleh uminya.
“Sudahlah tu, umi. Nanti along basuhkan. Umi
rehatlah. Sekali-sekala along balik kampung, biarlah along
yang buat itu semua.” Nuha Qalisya menolak tubuh uminya
agar menjauhi singki.
“Babah oder air kopi.” Tiba-tiba terjongol wajah Aidil
Asyraf di ruang dapur. Pantas uminya bergerak. Kalau berkaitan
babah, uminya tak akan berlengah. Keperluan babah pasti
didahulukan. Seketika, kelihatan uminya membawa keluar
seteko air ke ruang tamu.
“Awak dah bagi tahu along?” tanya Encik Razlan.
Puan Amnah yang baru meletakkan cawan di atas meja hanya
mengangguk-angguk.
“Tak adalah saya tanya secara direct tapi tadi ada
juga saya hint-hint ada orang datang merisik. Tapi biasalah,
anak kesayangan awak tu, banyak aje alasan dia bagi kat kita,”
beritahu Puan Amnah.
“Kita tak boleh tangguh-tangguh, Puan Amnah oiii…
Pihak sana bagi kita seminggu saja. Ni dah masuk hari kedua,
lagi cepat kita tanya si along tu lagi bagus. Mudah kerja kita
tu.” Air kopi diteguk perlahan. Nuha Qalisya yang baru melabuh
punggung di atas sofa memandang kedua-duanya.
“Ada apa umi?” tanya Nuha Qalisya. Air kopi dihirup.
Begitu sedap rasanya. Kopi dibuat sendiri oleh uminya. Dia
pandang ke arah uminya, seketika kemudian wajah ayahnya
pula dipandang.
“Mmm…” Nuha Qalisya setia menunggu. Namun,
tiada tanda-tanda uminya akan menyambung butir bicara
seterusnya.
“Babah?” Dia melihat ayahnya membetulkan songkok
di kepala. Dipusing beberapa kali. Satu perbuatan yang agak
biasa dilihat jika babah mahu menjelaskan sesuatu kepada
mereka adik-beradik. Aidil Asyraf yang baru tiba di ruang tamu
sambil menatang sepiring kek turut dilanda kehairanan.
“Babah nak tanya ni…” Kata-kata itu terhenti lagi.
Nuha Qalisya sudah naik pelik melihat kelakuan kedua-duanya.
“Bila masa pula babah nak cakap kena minta izin anakanak?”
Nuha Qalisya dijentik rasa hairan bercampur pelik.
Dari tadi kedua-dua orang tuanya asyik tolak-menolak untuk
memulakan bicara. Walaupun dia tak tahu hujung pangkal,
tetapi sedikit sebanyak dia rasa dia mengetahui apa yang mahu
disampaikan oleh kedua-duanya.
“Semalam ada orang datang meri…” Belum sempat
babahnya habis bercakap, Nuha Qalisya sudah menyampuk.
“Beritahu orang tu, along tak nak…” Nuha Qalisya
seakan-akan tahu perkataan yang belum sempat dihabiskan
oleh ayahnya adalah merisik. Apa lagi meri… kalau tidak
merisik. Kedua-duanya saling memandang dan akhirnya
keluhan dilepaskan.
Wajah umi tampak mendung, begitu juga babah. Cuma
Aidil Asyraf saja yang tersengih-sengih. Dia sudah mengagak
kata-kata itu yang keluar dari bibir kakak sulungnya.
“Umi... Babah... Along bukan nak berkurang ajar tapi
along memang tak bersedia untuk berkahwin. Kalau along
nak kahwin, along akan cari sendiri. Umi dan babah tak perlu
bersusah payah carikan calon untuk along.”
“Insya-Allah, kalau ada jodoh along akan kahwin juga,
cuma belum tahu dengan siapa dan cepat atau lambat saja.”
Nuha Qalisya menerangkan isi hatinya. Dia tidak mahu ayah
dan uminya berkecil hati atas penolakannya itu.
Aidil Asyraf yang sejak tadi tersengih-sengih, mengaduh
kesakitan apabila tangan runcing Nuha Qalisya singgah di
pahanya. Orang tua-tua cakap, dia pula asyik menjongket
kening ala-ala Ziana Zain... Mahu tidak membara Nuha Qalisya
dibuatnya.
“Apa ni long? Main kasar nampak?” Si adik bangun
lalu menempel ke badan uminya. Minta dimanja tetapi Puan
Amnah pantas saja menolak tubuh anak bujangnya itu jauh dari
tubuhnya.
“Acik ni kenapa? Dah buang tabiat ke?” Kata-kata itu
mengundang ketawa Nuha Qalisya. Padan muka, getusnya. Nak
bermanja tetapi salah tempat. Ibu jari kanannya diangkat. Suka
benar dia menyakat Aidil Asyraf.
“Ala umi ni... Orang nak bermanja pun kena marah.
Kalau along tu, memanjang aje boleh tidur atas riba umi. Entahentah
tidur atas riba babah.” Dalam lembut, dia mengenakan
kakaknya. Bukan dia tidak tahu kakaknya itu kalau membodek
babah memang nombor satu.
Cepat saja tangan Nuha Qalisya hinggap di bahu si
adik membuatkan muka Aidil Asyraf berkerut. Cubitan si
kakak membuatkan dia mengaduh. Matanya dijegilkan ke arah
kakaknya membuatkan Puan Amnah tergelak.
“Apa ni along, sakitlah.” Dia menyapu lengannya yang
dicubit oleh Nuha Qalisya tadi. Huh, terasa perit walaupun
cubitan kakaknya tidaklah terlalu kuat.
“Kau tu, sejak dari tadi sengih memanjang. Apa lagi
kalau tak mengumpat along. Bukan along tak kenal perangai
kau tu.” Nuha Qalisya bukan marah sangat pun tetapi senyuman
Aidil Asyraf tu benar-benar menyakitkan hatinya.
“Pandailah along ni. Orang senyum pun kata kita nak
mengata dia. Senyum tu kan sedekah. Takkan kau tak tahu,
long?”
“Memang senyum tu sedekah tapi kalau cara kau
senyum tu, along tahu sangatlah... Itu bukan sedekah tapi
senyum mengejek along tu.” Terburai tawa Aidil Asyraf. Jelingan
tajam along singgah kepadanya.
Puan Amnah dan Encik Razlan hanya memandang
sesama mereka. Kalau itu keputusan Nuha Qalisya, mereka
hanya menurut.
“Mmm... Kalau dah along kata macam tu, kami
turutkan saja. Esok umi ke rumah Auntie Ramzila bagi tahu
along belum bersedia untuk berkahwin.” Bulat mata Nuha
Qalisya mendengarnya. Auntie Ramzila? Kawan rapat uminya
waktu bersekolah dulu meminangnya?
“Mi... Pinangan tu untuk anak bujang dia yang mana?”
Setahu dia, anak Auntie Ramzila semuanya masih muda
usianya. Takkan mahu dipadankan dengannya.
“Untuk Kamarul.”
“Kamarul? Siapa tu? Lawyer? Majistret?” Dia mengajuk
kata-kata Nyonya Mansor dalam filem Ibu Mertuaku.
“Hesy... Along ni kalau tak bergurau boleh tak? Benda
ni serius, bukan main-main.” Bahunya dilibas si umi.
“Okey… Okey, along serius ni. Siapa Kamarul tu, umi?
Along tak kenal pun dia.” Selama ni nama dia langsung tak
pernah disebut bukan saja oleh uminya tetapi Auntie Ramzila.
Dia tak tahu pula Auntie Ramzila ada anak lelaki yang bernama
Kamarul.
“Anak Auntie Ramzila dengan suami dulu. Memanglah
along tak kenal sebab dia tak tinggal dengan Auntie Ramzila
tetapi tinggal dengan ayah dia kat Johor.” Puan Amnah sendiri
sudah tidak ingat yang Datin Ramzila sebelum berkahwin
dengan Datuk Hasnor, temannya itu pernah berkahwin dan
mempunyai seorang anak.
“Auntie tu jandalah dulu masa kahwin dengan
Uncle Hasnor?” Pantas pula si adik menyampuk dan sebagai
balasannya, sekali lagi paha si adik ditepuk oleh Puan Amnah.
“Jangan menyampuk cakap orang-orang tua. Hesy...
Mulut dia ni kan pot pet pot pet macam perempuan. Semua
benda nak ambil tahu. Awak tu lelaki!” marah Puan Amnah.
Aidil Asyraf hanya tersengih. Tahu kesilapan diri sendiri.
“Ooo... Patutlah along tak kenal.”
“Along setuju ke?”
“Setuju apa?” Dia blur seketika dengan pertanyaan
uminya.
“Terima pinangan Auntie Ramzila.”
“Keputusan along tak berubah. Along masih belum
teringin nak kahwin buat masa ini. Umi jangan bimbang…
Along akan kahwin... cuma tak tahu bila masanya. Umi tak
marah, kan?” soalnya. Dia perlu berhati-hati kerana dia lebih
bimbang perasaan uminya berbanding babah yang nampak cool
dan tidak kesah.
“Jadi, lambat lagilah umi dapat timang cucu… Dah
lama tak dengar tangisan bayi kat rumah ni.” Puan Amnah
sudah tahu maksud diam anak sulungnya itu.
Aidil Asyraf dah mula tergelak-gelak. Wajah along
dipandang. Uminya sudah membuat permintaan yang pastinya
akan menghuru-harakan perasaan alongnya selepas ini.
“Umi buat macamlah umi belum ada cucu lagi. Anak
angah tu bukan cucu umi ke? Umi dah ada dua orang cucu pun,
takkan umi dah lupa? Kalau nak dengar sangat suara bayi kat
rumah ni, umi suruhlah Saffiya dan Aqil menangis. Jadi, umi
dapatlah dengar nanti.” Nuha Qalisya melawak. Dia merujuk
kepada dua anak saudaranya, Saffiya Aisha dan Aqil Imran.
Aidil Asyraf dan babah sudah mula tergelak-gelak
mendengar kata-kata Nuha Qalisya. Puan Amnah tarik
muncung panjang, sakit hatinya apabila kata-katanya dijadikan
bahan gurauan. Dia berlalu ke dapur. Malas mahu melayan anak
dan suaminya. Buat menyakitkan hatinya saja.
Dari arah dapur, Nuha Qalisya mendengar uminya
membebel. Kali ini dia pasti uminya melepaskan marah kepada
dua adiknya yang baru pulang dari kelas tuisyen.
“ALONG DAH fikir dalam-dalam ke?” soal Puan Amnah. Malam
itu, sekali lagi dia menerjah masuk ke bilik anak daranya itu
untuk mencuba nasib. Petang tadi, dia sudah menelefon Datin
Ramzila untuk menjelaskan penolakan anaknya itu, tetapi
teman karibnya meminta dia mencuba nasib sekali lagi. Anak
gadisnya pula sibuk memasukkan baju ke dalam beg galasnya.
“Mmm… Kenapa mi?”
“Taklah... Umi takut along tolak tanpa berfikir panjang.
Kalau along terima Kamarul, umi rasa hidup along pasti
bahagia. Kamarul berpangkat besar, jadi umi tahu masa depan
anak umi ni pasti terjamin.” Dia cuba memujuk. Mana tahu
anaknya akan berubah hati.
“Umi… Cara umi cakap ni macam drama Sinetron
dulu-dulu pula. Nak bahagia, nak hidup mewah kena kahwin
dengan orang kaya. Cara tu dah tak sesuailah. Kita nak hidup
mewah tak semestinya perlu berkahwin dengan orang kaya.”
Nuha Qalisya sudah terkekek-kekek ketawakan uminya.
“Lain kali tak payahlah umi tengok Sinetron Indonesia
tu. Entah apa-apa ceritalah. Berbelit-belit saja along tengok.
Errr... Lagi satu yang along geram, asal nak hidup bahagia
aje kena kahwin dengan orang kaya. Tak boleh ke cari harta
sendiri?” bebel Nuha Qalisya. Bulat saja mata Puan Amnah
mendengarnya.
“Along ni ke situ pula dia. Umi tengok cerita tu pun
sekadar isi masa lapang aje. Tengok suka-suka saja. Lagipun
artis dia orang tu comel-comel belaka. Baik yang perempuan
atau lelaki. Handsome banget umi tengok,” lawak Puan Amnah.
Nuha Qalisya tersengih mendengar kata-kata uminya.
Mmm... Nampaknya cerita pinangan sudah bertukar kepada
Sinetron Indonesia. Harap-harap umi terus melupakan tentang
pinangan Auntie Ramzila tu.
“Umi bukan apa, tetapi umi kasihan kat Auntie Ramzila
tu. Dia teringin sangat nak bermenantukan anak umi ini.
Kamarul pun baik, handsome, kaya... Pendek kata kalau along
kahwin dengan dia, along takkan hidup susah.” Harap-harap
anak sulungnya itu termakan dengan kata-katanya. Wajah anak
sulungnya itu dipandang.
Grrr… Nuha Qalisya sudah menepuk dahi. Nampaknya
umi masih belum melupakan permintaannya tadi.
“Tak naklah umi… Apa hal umi nak jodohkan dengan
anak kawan umi yang pendek tu?” Tiba-tiba Nuha Qalisya
bersuara. Bulat mata uminya mendengar kata-kata Nuha
Qalisya.
“Pendek? Siapa yang pendek?” soal Puan Amnah
kehairanan. Ada ke dia kata Kamarul pendek? Rasanya dia tidak
sebut pun isu pendek tadi. Dia pandang wajah anak sulungnya.
Salah cakap ke dia? desisnya.
“Siapa yang pendek?” tanyanya lagi. Dia melihat Nuha
Qalisya tersengih-sengih. Macamlah dia tak tahu muslihat anak
sulungnya itu. Ada aje cara untuk menyakitkan hatinya.
“Kamarullah… Bukan umi cakap tadi, pendek kata...
Hahaha... Maknanya Kamarul tu pendeklah.” Dia membuat
lawak antarabangsa dan dia juga yang ketawa. Puan Amnah
menjeling tajam. Bertuah punya anak. Orang cakap serius, dia
pula buat lawak bodoh. Pantas saja lengan si anak dikutil. Nuha
Qalisya mengaduh kesakitan.
“Apa ni umi… Orang gurau pun tak boleh. Tak
sportinglah umi ni.” Tangan yang dikutil uminya tadi digosokgosok.
Huh, pedih dan perit rasanya. Padan muka kau, Nuha
Qalisya. Umi serius kau pula buat lawak.
Puan Amnah buat-buat tak layan. Dia angkat punggung
untuk berlalu. Langsung dia tak peduli panggilan Nuha Qalisya.
“Tak apalah... Biarlah along hidup sengsara nanti
asalkan along boleh hidup mewah. Boleh tidur atas duit nanti.
Umi pun tak sayang along lagi, sebab tu umi nak along terima
Kamarul.” Nuha Qalisya buat-buat sedih.
Dia sudah bermain psikologi dengan uminya. Susah
betul mahu membuatkan Puan Amnah memahami perasaannya.
Dia tayang muka sedih. Harap-harap doanya menjadi. Puan
Amnah menjeling ke arahnya. Pintu bilik tidak jadi dibuka. Dia
berpatah balik menuju ke katil anaknya.
“Tak apalah kalau umi dah berkenan sangat. Umi
terima sajalah pinangan Auntie Ramzila tu.” Sekali lagi dia
buat-buat suara sayu. Masih bermain psikologi dengan uminya.
Dia kenal siapa uminya, mudah sangat tersentuh apabila
mendengar rayuan anak-anak. Wajah uminya dijeling. Nampak
sangat uminya tersentak mendengar kata-katanya sebentar
tadi. Dia mengira… Satu… Dua… Ti…
“Yalah... Yalah…” Akhirnya… Nuha Qalisya sudah
tersengih-sengih. Uminya mengaku kalah juga. Puan Amnah
hanya mampu mengeluh. Nampak gayanya, kempunan dia
mahu berbesan dengan rakan karibnya itu.

No comments:

Post a Comment