D’Jammerz Music & Studio
Kad di tangan
dibelek. Membaca setiap perkhidmatan yang disediakan oleh kedai muzik dan
studio D’Jammerz. Menjual peralatan muzik, membaiki alat muzik, perkhidmatan
studio rakaman, sistem bunyi, mixing,
mastering, live band dan bermacam-macam lagi.
Nama ahli D’Jammerz
turut tertulis di bahagian depan kad yang dihulur Joseph malam tadi. Joseph,
Danial, Shark, Togel dan Anis. Anis? Kenapa bukan Mira? Pelik!
Pintu bilik
diketuk. Rafique menyelitkan kembali kad nama di tangan ke dalam dompet.
“Masuk...”
“Kau nak jumpa
aku, Raf?” soal Zaid seraya melabuhkan punggung di kerusi berhadapan meja
Rafique.
“Hmmm.... pasal projek yang aku beritahu
kelmarin. Kau dah suruh orang buat feasibility
study?” soal Rafique kepada rakan kongsinya.
“Dah. Seminggu
dua lagi boleh siap kut reportnya.
Baik betul Dato’ Syed tu kongsi tips
dengan kau. I have a very good feeling
about this deal...”
“Aku pun...
Dato’ dah banyak sangat projek dalam tangan. Kalau gearing syarikat dia terlampau tinggi susah pulak nak menjawab dengan bank. Tu yang dia pas kat aku. Kalau
okey, kita nak labur sendiri atau nak cari investors
macam sebelum ni?” soal Rafique ingin mendengar pendapat Zaid.
“Hmmm... kalau report tu positif, kita labur sendiri pun okey jugak. Lepas kita flip,
keuntungan dapat kat syarikat. Kalau cari investors,
kita cuma dapat komisen... which to me is
also fine. Sebelum ni pun, majoriti income
kita daripada komisen je...”
Rafique
mengangguk. Betul. Dia juga berpendapat yang hampir sama dengan Zaid. Lega
kerana mereka sering sehaluan dan pendapat Zaid amat penting bagi dirinya. Walaupun
dirinya pernah bekerja di bank pelaburan bertahun-tahun lamanya dan banyak
menimba ilmu dalam sektor pelaburan dan perbankan serta mahir dalam bidang
kewangan korporat, namun Zaid bukanlah calang-calang orang. Zaid mempunyai
kepakaran teknikal dalam pelaburan, penilaian hartanah, ekuiti dan mempunyai
portfolio cemerlang dalam perniagaan yang berisiko tinggi, lebih-lebih lagi
jika melibatkan wang pelabur. Dan semestinya, lagi tinggi risiko sesuatu
perniagaan itu, lagi tinggi pulangan serta keuntungannya.
“Aku setuju, bro. Komisen yang kita dapat separuh
tahun ni je cukup untuk syarikat kita
bernafas tiga tahun yang akan datang ni. Jadi, tak salah kalau kita sendiri
yang invest dalam pembelian tanah
tu...”
“Great! Kita sependapat. Aku blah dulu, Raf. Nanti kau tolong tengokkan
valuation report untuk saham syarikat
Gemilang tu ya? Aku dah pas pada Hani. Dia tengah semak. Lepas tu dia akan pas
kat kau... Aku nak jumpa potential
investor. Apa-apa aku roger...”
Rafique
mengangguk. “Good luck! Don’t come back empty handed!”
Zaid ketawa
kecil. Pesanan yang sama diucap Rafique setiap kali Zaid ingin berjumpa dengan
pelabur baharu dan selama ini memang dia tidak pernah pulang dengan tangan
kosong. Ada sahaja fail baharu yang dibuka sebagai bukti usahanya berhasil.
Suatu keluhan
lega dilepaskan Rafique. Alhamdulillah. Syarikat yang dibangunkan hampir tiga
tahun yang lalu bersama Zaid Abdullah, yang mula dikenalinya ketika mereka
sama-sama berkhidmat di bank pelaburan dulu semakin berkembang dan berjaya.
Tidak pernah berminat untuk mengambil alih perniagaan tekstil yang diusahakan
abinya, dia memilih untuk berdikari. Mula-mula kerja makan gaji namun beralih
ke dunia perniagaan milik sendiri. Dia penat. Dan kadang-kadang tertekan. Namun
dia puas!
Rafique
mengilas jam di tangan. Alamak. Dia sudah terlewat. Lupa yang dia harus ke KLIA
untuk menyambut kepulangan adiknya dari Paris kerana ibu dan abinya yang kini
berada di Bangkok tidak dapat menjemput adiknya itu. Adiknya seorang lagi pula
ke India kerana menghadiri mesyuarat dengan syarikat pembekal di sana. Masaklah
telinganya kena bebel sekiranya dia lewat nanti. Bergegas dia bangun. Kocek
seluar diseluk untuk memastikan kunci keretanya masih di tempat yang disimpan
tadi. Pantas kaki melangkah meninggalkan ruang pejabat di tingkat dua, rumah banglo
yang telah diubahsuai menjadi pejabat ini.
***********
Dhamira
mencampak kunci kereta ke atas meja kopi. Dia menghenyakkan punggung ke atas
sofa. Dia tersandar lesu. Mata dipejam dan tangan disilang ke dahi. Tahan
Mira... tahan... Namun agak sukar. Air mata yang ditahan sepanjang sesi temu
bual tadi kini semakin sukar untuk disimpan dalam kolamnya.
Ya Allah...
apa yang dia pernah rasa dan pernah lalui sebelum ini nampak amat kecil jika
dibandingkan dengan pengalaman Zara yang ditemu ramah tadi. Bodohnya dia
menangis bagai nak rak, membayangkan tiada guna meneruskan hidup tanpa si dia,
menyangkakan hidupnya telah hancur, sedangkan di luar sana, ramai lagi gadis
yang diduga dengan dugaan yang begitu hebat. ‘Bodoh kau Mira, so stupid and so selfish! Kau ingat diri
kau tu penting sangat ke sampai semua orang susah hati tengok kau merana dulu.
Untuk apa? Untuk seorang lelaki? Sia-sia je...’
marah Dhamira.
Diri terasa lemah.
Bagaimana hendak menguatkan semangat untuk menulis tentang Zara? Cukup kuatkah
dia?
Inilah kerja
yang dilakukannya sejak setahun lalu. Seorang penulis bebas untuk
bermacam-macam jenis genre, namun kini dia sering menyumbangkan artikel untuk
majalah bertemakan remaja, kerana di situlah dia menemui minat yang semakin
mendalam. Menyelami masalah sosial dalam kalangan remaja dan mengupasnya untuk
dijadikan pengajaran kepada para remaja lain. Dalam mula-mula menulis tentang
destinasi percutian, perasmian restoran, butik, hotel dan sebagainya, hinggalah
mengulas tentang buku, filem dan muzik, dia menerima tugasan untuk menulis
tentang kegiatan menjual dadah kepada pelajar sekolah menengah serta
universiti. Kemudian, dia menulis pula tentang pusat perlindungan yang baharu
dibuka di Gombak untuk gadis-gadis yang mengandung tanpa ikatan perkahwinan dan
dia terus tahu. Inilah minatnya... inilah kekuatannya... inilah yang dicari
jiwanya...
“Kak Yang?”
Dhamira
mencelikkan mata. Pipi yang basah diseka perlahan.
“Bad day?” soal Danial lembut lalu
mengambil tempat di sebelah Dhamira. Bahu si kakak ditarik rapat ke dada.
Kepala
diangguk. “One of the worst...”
Danial
mengeluh. “Boy tak faham kenapa bidang ni la yang Kak Yang minat. Why do you put yourself through this?”
“Untuk
mengingatkan akak yang nasib orang lain kat luar sana lebih teruk daripada
akak. Untuk mengingatkan akak untuk sentiasa bersyukur. Dan untuk akak
sumbangkan sesuatu kepada masyarakat kat luar sana through my writing...”
“Kisah apa pulak kali ni?”
“Budak lepasan
SPM yang dirogol oleh abang-abang sendiri. Tiga orang syaitan semuanya. Mak
bapak tak tahu... Bila tahu, mak dia report
polis walaupun kehidupan diaorang
sekeluarga susah dan bergantung sepenuhnya pada anak-anak lelaki untuk makan
minum mereka. Dalam sekelip mata tiga orang anak lelaki yang menjadi sumber
pendapatan keluarga masuk penjara. Kesian sangat...”
“Astaghfirullah...”
keluh Danial kesal. Abang sendiri? Darah daging sendiri? Apa sudah jadi dengan
masyarakat Melayu kita? “Pompuan tu?”
“Mengandung.
Tak sure bapak budak tu siapa. Dia
pun tak nak tahu. Tak akan merubah apa-apa katanya. Sekarang kat pusat perlindungan.
Sebab dia masih trauma... takut untuk menghadapi masyarakat luar... Masih perlukan
kaunseling,” jelas Dhamira lagi. “Lepas ni, setiap kali lepas solat, Boy tolong
doakan si Zara ni ya. Kesian dia...”
Danial
mengangguk. Sudah beberapa nama yang diberi kakaknya untuk disebutkan dalam
doanya. Kini bertambah lagi satu. Biarlah. Bukannya susah pun nak doakan untuk
kesejahteraan orang lain. Dapat pahala lagi! “Papa mesti bangga tengok Kak Yang
sekarang...” bisik Danial. “Because I am
so proud of you!” Ya. Dia memang bangga kerana dia tahu Dhamira bukan
sekadar menulis. Bukan sekadar bercerita. Pasti beribu-ribu ringgit telah
dihadiahkan kepada si gadis dan juga pusat perlindungan yang menempatkan Zara.
Terharu. “Thanks... Papa pun mesti bangga tengok
Boy. Dulu Boy asyik dengan muzik. Perform
sana perform sini. Sampai final exams pun cukup-cukup makan je. Tapi tengok Boy sekarang. Ada kedai
muzik dan studio sendiri, walaupun kongsi dengan Jo. Business macam tu punya kencang pun Boy masih nak perform sana sini. Kenapa?”
“Muzik tu
nyawa Boy, kak. Walaupun kadang-kadang bayaran yang kita orang dapat tu ciput je, tapi kepuasan yang Boy rasa tu
tak dapat nak dinilaikan dengan wang ringgit. Tapi yang paling penting, I enjoy doing it. Perasaan ni sama
dirasakan Jo, Togel dan Shark. Untuk Togel, muzik untuk lepaskan stress bekerja sebagai engineer. Shark pun sama. Kerja
penat-penat kat ofis, muziklah oksigennya ...”
Dhamira
tersenyum. Mula-mula dulu dia tidak percaya Togel tu seorang jurutera jentera.
Dengan kepala botak dan telinga bertindik, memang nampak macam bouncer! Shark pula seorang arkitek.
Tapi di luar waktu pejabat, dia bertukar menjadi seorang ahli muzik rock! Dua
kali pandang macam mat fit pun ada...
Joseph, Togel
dan Shark, mereka bertiga ini sebaya. Umur mereka lima tahun lebih tua daripada
dirinya dan Danial. Mereka bertiga berkawan rapat sejak sekolah menengah lagi.
Sudi menerima Danial sebagai ahli kumpulan mereka setelah pemain gitar utama
mereka meninggalkan D’Jammerz untuk berhijrah ke Australia.
“Sama macam
Kak Yang kan? Dunia penulisan ni is your
oxigen... your chicken soup for the soul, betul tak?”
“Hei! Akak
bukan loser okey? Well... dulu mungkin, tapi sekarang tak
lagi...”
Pecah tawa
Danial. Dhamira juga.
“Feel better, kak?”
Pandangan
penuh kasih dihantar ke arah Danial. Danial ni memang tau! Cepat sahaja dia
bisa keluar dari zon kesedihan.
“Yes... much better... Cuma bila akak
mula menulis artikel tentang kisah ni nanti, Boy memang kena ada untuk selalu
pujuk akak dan naikkan semangat akak... like
always...”
Danial
mengangkat tangan kanan dan didekatkan ke kening. Lagak seorang askar yang
menabik ketuanya. “Beres, Kak Yang! Boy tahu tugas Boy!” Apa sahaja demi
kakaknya... Apa sahaja...
“Eh, akak tak
pergi KLIA ke? Fika balik hari ni kan?”
Dhamira
mengilas jam Tag Heuer di tangan. “Hmmm...
dia dah sampai kut ni. Dia pesan jangan datang. Abang dia yang akan jemput.
Nanti dia call...”
“Kak Yang
mesti tak sabar nak jumpa dia, kan? Dah lebih dua tahun dia kat sana...”
“Hmmm... mestilah tak sabar. Tiga tahun
kita orang kongsi bilik masa kat kolej. Lepas grad, dia sambung belajar sambil
bekerja kat Paris. Sibuk memanjang sampai tak sempat nak balik KL. Masa tengah
cuti pulak, dia bekerja... respek
akak dengan anak Lord macam tu...”
Ada nada bangga di situ. Shafika memang lain daripada yang lain.
“Eleh... dia
pun anak Lord jugak, cakap orang...”
usik Danial.
Dhamira
menjeling adiknya. “Tapi Shafika lain... Dia sudi berkawan dengan kita padahal
masa tu dia ingat kita ni orang biasa-biasa je.
Dia tak kisah pun kita ni siapa. Dan bila dia tahu kita ni siapa... takde apa-apa pun yang berubah. Sekali pun
dia tak pernah cuba nak ambik
kesempatan atau pergunakan kita macam yang lain-lain tu. Akak dah jumpa dengan
ramai orang kat luar tu, tapi susah nak jumpa dengan orang yang betul-betul
ikhlas macam Fika...”
Danial mengakui
kata-kata kakaknya itu. Shafika memang baik. Kembarnya juga begitu. Dalam
memilih kawan, Danial serta Dhamira cukup berhati-hati. Penat melayan hati yang
tergores apabila sering dipergunakan demi kepentingan masing-masing, sebaik
sahaja mereka tahu tentang latar belakang keluarga Danial dan Dhamira. Dari
zaman persekolahan lagi mereka sudah melaluinya. Budak-budak kecik pun tahu nak
pilih bulu. Maka kerana itu, semakin usia mereka menginjak dewasa, papa mereka
memilih untuk melindungi identiti sebenar mereka adik-beradik daripada umum. Demi
keselamatan mereka juga. Cukup hanya segelintir yang tahu. Lagipun, kini mereka
hidup dalam keadaan biasa-biasa sahaja. Bukan seperti dulu. Tidak terlalu
menonjol dan tidak terlalu mewah... kecuali kereta Mini Cooper S dan Nissan
Fairlady, masing-masing milik Dhamira dan dirinya. Itu memang tak boleh nak
elak... Kegilaan yang tidak dapat dijelaskan... hehe...
“Boy pun lama
tak lepak dengan Shaf... dia pun asyik sibuk. Yalah, dah kerja dengan abi dia
memanglah sibuk. Dahlah abang diaorang
tak minat dengan business tekstil tu...
Nak kerja sendiri. Sudahnya Shaf la yang kena...”
“Hmmm... pelik kan? Sejak berkawan dengan
Fika dan Shaf, sekali pun kita tak pernah jumpa dengan abang diaorang tu. Si mamat sejuk beku tu...”
Gelak Danial
mendengar gelaran yang diberikan oleh Shafika untuk abang sulungnya itu. Selamba
saja dia mengutuk abang sendiri. Dasar pembelot. Sudah lama dia tidak mendengar
omelan Shafika tentang si mamat sejuk
beku tu.
“Alaaah... kita kan belajar kat JB. Bila
bercuti, kita balik Shah Alam, Shaf dengan Fika balik KL. Kita pun mana pernah
pergi rumah Shaf? Tiap kali diaorang
ajak, mesti kita ada hal keluarga. Selalu macam tu... Sudahnya, sekali pun kita
tak pernah ke sana...”
“Mak ayah diaorang pun kita tak pernah jumpa. Tapi
akak tak sabar betul nak jumpa Fika... akak rindu sangat dengan dia...”
“Dia tahu?”
soal Danial perlahan.
Dhamira
mengangguk. Wajahnya bertukar suram. “Shaf pun tahu. Kembar berdua tu mana
boleh ada rahsia? Tapi akak tak kisah... Akak percaya pada diaorang berdua...”
“Padanlah Shaf
selalu tanya Boy sama ada akak okey ke tak... Ingatkan saja tanya khabar. Boy takdelah nak tanya macam-macam. Takut
yang dia tak tahu lagi...”
“Shaf pernah
datang jenguk akak tak lama lepas akak cerita pada Fika. Dia risaukan akak.
Masa tu Boy ada kat KK. Ada show kat
sana. Akak lupa nak cerita dengan Boy...”
“Oh... takpelah... Elok gak Shaf tengokkan akak
masa Boy takde...”
Dhamira diam.
Bukan sekali dua Shafique datang menjenguknya. Berkali-kali. Cuba menaikkan
semangatnya yang telah mati ketika itu.
“Nanti kita
sama-sama jumpa diaorang la ya? Mesti
havoc nanti...”
“Okey, kak.
Minggu ni Boy free. Takde show... Ada kerja sikit je kat studio... Beritahu je Boy nak jumpa kat mana. Nanti Boy join sekali.”
Dhamira
mengangkat dua-dua ibu jari tanda ‘beres’.
“Boy lapar...
nak masaklah... Kak Yang nak makan apa?” soal Danial sambil berdiri.
Mata Dhamira
membulat. Tawaran yang jarang-jarang dibuat adiknya. Maka sekali tawaran
dilontarkan, Dhamira pasti tidak akan melepaskan peluang. “Nak nasi goreng
paprik dengan telur dadar?”
“Siap!” jerit
Danial. Lagak cef di gerai makan sahaja... Koyak bibir Dhamira dengan senyuman.
“Nak akak
tolong?” tawar Dhamira pula.
“Tak payah.
Akak buat artikel akak tu cepat-cepat. Nanti bila Fika dah ada kat KL, mesti tak
jadi kerja apa pun... asyik nak melepak je
kerja...”
Giliran
Dhamira menabik hormat adiknya. “Ai ai, bos!” Comel saja lakunya.
Pecah tawa
kedua-dua beradik itu... Dan apabila kelibat Danial hilang di balik pintu
dapur, tawanya mati lantas satu keluhan berat dilepaskan. Mengumpul kudrat dan
semangat untuk mengubah isi temu ramah tadi, daripada bualan dan rakaman ke
bentuk tulisan dan penceritaan. Mampukah dia? Wajah Zara bermain di ruang mata.
Wajah yang bersih lagi polos. Bercerita dengan suara yang tertahan-tahan
menahan sebak. Gadis itu kini berusia sembilan belas tahun. Masih terlalu muda.
Anak yang
dilahirkan Zara pula dibela oleh pak cik dan mak ciknya kerana keluarganya
tidak mampu membesarkan anak kecil, namun sehingga kini Zara masih belum bisa
menerima kehadiran anak kecil itu walaupun si anak tidak bersalah... Anak itu
mirip abang-abangnya... jadi dia tidak kuat untuk menghadapi anaknya sendiri.
Dia tidak mampu... Kesian Zara... ‘Ya Allah... Kau berikanlah ketabahan dan
kekuatan kepada hamba-Mu, Zara. Temukan dia dengan sinar harapan dan
kebahagiaan yang dicari. Hadirkan rasa reda dengan ujian-Mu di hatinya...’ Dhamira
menitip doa.
Di dalam hati,
dia bertekad untuk tidak lagi menyesali atau meratapi kehilangan masa lalu.
Sesungguhnya kekecewaan serta keremukan hatinya dulu bagaikan sebesar kuman
sahaja. Langsung tidak setanding dengan tekanan perasaan dan jiwa yang dirasai
Zara serta beribu lagi gadis-gadis lain di luar sana. Kisah gadis-gadis yang
pernah ditemu ramah dulu seperti Aida, Hanim, Mazwin dan ramai lagi, bisa
meruntun jiwa sesiapa yang mendengarnya. Dan dia masih mengenangkan peristiwa
dulu? Sia-sia saja!
‘Wake up and smell the roses, Mira!
Pandang depan... lupakan kisah lalu... You
can do it!’
No comments:
Post a Comment