DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 10 April 2016

MAWAR-MAWAR CINTA - BAB 9

“MAK CIK apa khabar?”
Zara tak sangka dia akan bertemu dengan Hajah Orkid
dekat SACC Mall berhampiran dengan Badrul Songket Batik di
tingkat dua. Tangan wanita itu disalam lalu dengan hormat dia
menciumnya. Wanie yang ada di sebelah juga turut menyalami
tangan wanita bergaya itu. Anggun lagaknya.
“Alhamdulillah… baik. Zara pulak macam mana?
Sihat?” Kini giliran Hajah Orkid pula yang bertanya. Lebar
senyumannya melihat wajah Zara yang ada di depan mata.
Sudah agak lama juga dia tidak nampak kelibat gadis manis itu.
“Alhamdulillah… Zara sihat mak cik.”
“Hmmm… dah lama mak cik tak nampak Zara datang
ke rumah Fara.”
Zara tersengih. Rupanya wanita itu pun perasan juga
yang dia sudah lama tidak datang ke rumah kakaknya itu.
Ingatkan alongnya saja yang merungut kerana dia sudah jarang
datang ke sana. Kononnya Zara sekarang sudah tidak berminat
datang ke rumahnya lagi. Kalau nak lepak pun mesti nak lepak
dekat rumah angahnya saja. Sentap juga alongnya bila dia
jarang ke rumah alongnya itu yang terletak di Seksyen 7.
“Sejak kebelakangan ni agak sibuk sikit dengan kerja
mak cik. Tu yang dah lama tak datang ke rumah along.” Yalah
sibuk. Sibuk berkabung sebab baru putus cinta. Tu yang tak
muncul-muncul dekat rumah along takut kena bebel.
“Eh… mak cik datang sini sorang aje ke?” Zara
bertanya akhirnya.
“Tak. Mak cik datang dengan anak.”
“Kak Putri ye?” Tebak Zara. Dia cukup suka dengan Kak
Putri. Wanita itu sebaya dengan usia alongnya. Cuma beza…
Kak Putri ini belum kahwin lagi walaupun usianya sudah
menjangkau tiga puluh tahun. Usia bukan lagi jadi ukuran pada
wanita zaman sekarang. Apa yang penting adalah kerjaya dalam
hidup.
Hajah Orkid menggeleng lembut.
“Bukan. Mak cik datang dengan Putra.”
Baru Zara ingat yang Hajah Orkid ini masih ada
seorang anak lelaki yang bernama Putra. Dulu alongnya pernah
juga cuba-cuba hendak mengenenkan dia dengan anak lelaki
Hajah Orkid itu, tapi dia menolak disebabkan waktu itu hatinya
dimiliki Ajib. Mana boleh dialih sesuka hati perasaannya pada
orang lain walaupun lelaki yang hendak alongnya kenenkan itu
hensem bagaikan pelakon Hollywood sekalipun. Cintanya tak
akan bertukar ganti dengan begitu mudah. Lagipun waktu itu
dia cinta separuh mati kepada Ajib.
Butanya cinta…
“Zara belum kenal Putra lagi, kan? Kebetulan dah
terserempak ni… bolehlah Zara berkenalan dengan Putra.
Kejap lagi Putra sampai. Dia tengah cari tempat letak kereta
tu. Kebetulan… dia baru seminggu balik dari oversea.” Tibatiba
Hajah Orkid membuka usul. Dia memang sudah lama ingin
memperkenalkan Zara kepada anak bujangnya itu. Cuma belum
ada rezeki hendak mempertemukan mereka berdua.
Jadi dah alang-alang bertemu di sini, bolehlah dia
memperkenalkan Zara kepada anak lelakinya yang balik bercuti
itu. Manalah tahu kot-kot anak bujangnya itu berkenan dengan
Zara. Dapat jugalah dia bermenantu dan bolehlah itu dijadikan
alasan untuk Putra menetap kembali di Malaysia ini. Lagipun,
dia memang suka dengan Zara Dania. Gadis itu dirasakan cukup
sesuai untuk dijadikan menantunya.
Zara terkedu. Usul Hajah Orkid membuatkan dia jadi
serba tak kena. Kalau boleh dia memang tak nak berkenalan
dengan anak Hajah Orkid yang bernama Putra itu. Dia masih
belum bersedia.
Bagaimana Zara hendak mengelak ya? Wajah penuh
berharap Hajah Orkid mencuit rasa simpati di hatinya. Tak
sampai hati pula dia hendak menghampakan harapan wanita
itu yang mahu mengenalkan dia kepada anaknya itu. Tapi… dia
benar-benar belum bersedia untuk bertemu dengan Putra.
Aduh… tak boleh jadi macam ni. Kena juga cari jalan
untuk lepaskan diri. Macam mana ye? Aduhai… Idea! Idea!
Idea… please! Tiba-tiba kepala Zara timbul mentol kecil. Dia
mengerling Wanie yang masih setia di sebelahnya. Otaknya laju
mahu menjalankan satu pembohongan. Heheheee…
“Errr… mintak maaf mak cik. Kalau boleh Zara
memang nak berkenalan dengan Putra tapi kawan Zara ni ha…
dia kelam-kabut. Kita orang baru dapat call sebentar tadi. Suami
kawan Zara ni accident masuk hospital. Kesian mak cik… habis
patah riuk tulang suami kawan Zara ni. Tak tahu masih hidup
atau dah mati. Tu yang kita orang nak cepat ni.” Bohong sunat.
Bohong nak lepaskan diri.
Wanie terkejut. Dia mahu membuka kata tetapi cepatcepat
Zara bersuara lagi. Tidak mahu membiarkan Wanie
membongkarkan pembohongannya itu. Wanie ni bukan boleh
percaya sangat mulut dia.
“Zara mintak maaf ye mak cik. Insya-Allah lain kali
Zara berkenalan dengan Putra. Kami nak cepat ni.”
Hajah Orkid menghela nafas. Nampaknya belum
ada peluang lagi untuk dia mempertemukan anak bujangnya
dengan gadis comel di depannya ini.
“Takpelah kalau macam tu. Nak buat macam mana,
kan? Ada emergency. Dah takde peluang untuk Zara berkenalan
dengan Putra untuk hari ini. Lain kali ajelah.”
Zara mengangguk-anggukkan saja kepalanya.
“Kami pergi dulu ye mak cik. Assalamualaikum…”
Cepat-cepat Zara menyalami tangan Mak Cik Hajah Orkid dan
berlalu pergi dari situ. Wanie pula terkocoh-kocoh mengejar
langkahnya yang bagaikan lipas kudung itu.
“Apa kena dengan kau ni? Bila masa aku ada suami?
Aku ni belum kahwin pun lagi. Masih single and available.
Kalaulah ada lelaki-lelaki kacak yang terberkenan nak
berkenalan dengan aku tadi, dengar aje kau kata macam tu sah
diaorang tak jadi nak mengurat aku tau. Semua sebab mulut
kau yang tak berinsurans ni la. Sesuka hati kata aku ada suami.”
Gerutu Wanie dengan ayat ‘terbekenan’ itu ditekannya ketika
mereka sudah menuruni eskalator. Geram dia bila Zara sesuka
hati berkata begitu di depan mak cik yang tidak dikenalinya itu.
Zara tayang sengih. Bukannya dia sengaja nak cakap
begitu, tetapi cuma idea itu sajalah yang dia ada.
Kaki melangkah ke Secret Recipe yang terletak di
bahagian bawah bangunan SACC Mall. Pantas saja Zara memilih
dua jenis kek berasaskan cheese.
“Alaaa… sorrylah beb. Aku bukan sengaja nak kaitkan
kau dalam masalah aku. Tapi aku dah takde cara lain lagi nak
lepaskan diri. Cuma itulah satu-satunya idea yang aku ada
untuk melarikan diri daripada mak cik tadi. Kalau tidak… tak
tahulah macam mana aku nak lepaskan diri.” Ujarnya yang
sudah berlalu ke bahagian kaunter pembayaran.
“Kalau ya pun nak mengelak, janganlah jadikan aku
sasaran kau pulak.”
“Alaaa… sorrylah.” Ujar Zara sambil menghulurkan
not RM 50 untuk membayar harga kek yang diambilnya kepada
juruwang di kaunter.
Hmmm… hensem juga juruwang kedai ni. Ada irasiras
Andy Lau waktu muda-muda dulu. Untung kalau dapat jadi
girlfriend dia. Sempat Zara mengelamun. Senyuman lelaki cina
itu membuatkan dia terpesona. Menggoda kalbu!
“Nah! Untuk kau sebagai tanda mintak maaf daripada
aku.”
Kek Cheese Choc itu diunjukkan kepada Wanie. Dia
tahu Wanie memang pengemar kek berperisa chocolate cheese
itu. Untuk dia pula, dibelinya kek berperisa original cheese. Dia
tak sukakan coklat.
Langkah diteruskan setelah terpukau sebentar dek
senyuman lelaki cina tadi. Tergugat sebentar imannya yang
konon sudah berjanji tidak mahu jatuh cinta dalam jangka
masa terdekat ini. Tup-tup… nampak lelaki iras Andy Lau, terus
dia rasa macam nak jatuh cinta pula.
Wanie mencebik. Senang betul Zara hendak
memujuknya. Hanya dengan sekotak kecil kek kegemarannya
ini. Dalam geram dia tetap mengambil kotak kek yang
dihulurkan. Kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan
dicari. Lupakan ajelah apa yang Zara kata tadi. Heheheee…
“Kalau kau takde, memang susah aku nak lepaskan diri
daripada mak cik tu.”
“Lepaskan diri untuk apa pulak? Siapa sebenarnya mak
cik tu beb?” Wanie bertanya pelik.
“Jiran along aku.”
“Habis tu yang kau beria-ia nak larikan diri daripada
mak cik tu untuk apa? Jiran along kau aje, kan?”
“Eiii… kau ni, kan. Kau dah pekak ke? Kau tak dengar
ke tadi apa yang mak cik tu cakap dekat aku. Dia nak kenalkan
aku dengan anak dia? Jadi… sebelum anak dia tu sampai, baik
aku larikan diri cepat-cepat. Masa itulah timbul idea tu.”
‘Bengap betullah si Wanie ni.’ Getus hati kecil Zara.
Takut pula nak berterus terang mengatakan Wanie ni bengap,
takut temannya itu akan berkecil hati pula. Maka cakap dalam
hati sajalah. Takdelah Cik Wanie ni bermulut muncung nanti.
“Laaa… pasal tu pun kau nak lari? Kenal ajelah.
Bukannya susah mana pun. Lagipun aku dengar nama anak
mak cik tu macam sedap aje. Putra! Biasanya orang kalau nama
dah sedap sampai ber-Putra-Putra ni, mesti muka pun hensem.”
Sambil berkata, Wanie sudah menayang senyuman persis
kucing siam betina yang hendak menggatal.
Zara menjulingkan matanya ke atas. Kalau berbicara
pasal lelaki dengan Wanie, memang tak pernah nak habis. Zara
ni pun pernahlah beberapa kali bercinta dan putus cinta, tapi
takdelah tunjuk sangat gatal dan miang macam temannya ini.
Pantang terkeluar cerita pasal lelaki, mulalah nak tergedikgedik.
Hadoi! Tolonglah control sikit diri tu ye Cik Nur Hawanie.
“Tu kata kau. Nama tak semestinya mencerminkan
diri seseorang. Cuba kau tengok macam si K yang seuniversiti
dengan kita dulu tu. Nama punya gempak. Tengku Indra
Khairul Nizam Shah, sekali orangnya… dahlah kemetot, hitam,
perut boroi, gigi pula warna kuning keemasan. Eiii… tak sesuai
betul dengan namanya yang cukup gempak itu.”
Zara terkenangkan K, Mat Romeo yang kononkononnya
perasan hensem itu. Ada hati nak jadi playboy
tersohor dekat UiTM dengan bentuk fizikal dan rupa paras
sebegitu. Betul-betul tak sedar diri. K pernah juga mengurat
dia. Tapi mintak maaflah. Dia memang tak pandang pun si K
biarpun banyak duit.
Wanie sudah ketawa mendengar omongan Zara. Dia
pun beranggapan sedemikian. K memang tak hensem langsung.
Namun lelaki kemetot tertubuh gempal itu boleh tahan juga
playboynya. Biar tak berupa, dengan duit pun dia sudah boleh
membeli cinta. Sesuai sangatlah dengan perempuan-perempuan
yang sudi menjadi kekasihnya itu. Cuma mahukan duit dan
kemewahan semata-mata. Nampak sangat takde keikhlasan.
Sekarang ni, dengar khabar si K tengah hangat bercinta dengan
seorang model Malaysia yang takdelah berapa nak femes sangat
pun. Harapkan seksi aje yang terlebih untuk tontonan umum.
Sesuai sangatlah bercouple dengan K yang mata keranjang tu.
“Kau tengok pulak macam si Salim tu. Nama
memanglah nampak kekampungan dan tak menarik langsung.
M. Salim! Macam nama orang dulu-dulu pulak. Tapi muka
dia… fuyooo… ada iras-iras Chad Michael Murray. Hensem
tu… aku pun boleh cair setiap kali dia tersenyum. Mujurlah
dia tu dah ada girlfriend dan aku ni bukan tergolong dalam
golongan perempuan yang akan merampas hak orang lain.”
Sambung Zara lagi. Bayangan wajah kacak M. Salim terlayar di
depan matanya. Memang hensem bangat dong!
Wanie menganggukkan pula kepalanya bagai burung
belatuk. M. Salim, bekas pelajar kejuruteraan itu memang
hensem orangnya. Mana tidaknya, M. Salim ini berdarah
kacukan. Ayah melayu, emaknya orang England. Pasal tu muka
dah ada iras-iras pelakon Hollywood. Jadi tak heranlah kenapa
M. Salim sering menjadi tumpuan ramai. Cuma M. Salim aje
yang tak melayan. Setia pada kekasih hatinya si Siti Fatimah
Haji Sidek ketika itu dan kini dengar cerita mereka sudah pun
selamat menjadi pasangan suami isteri.
Dalam kemeriahan Zara dan Wanie bersembang perihal
lelaki-lelaki sekeliling mereka yang mempunyai banyak ragam,
tiba-tiba Zara terjerit kecil.
“Alamak!!!”
Wanie di sebelah terkejut beruk betina. Mujur dia tak
termelatah mendengar jeritan Zara yang nyaring.
“Apasal dengan kau ni? Terjerit-jerit macam tarzan.
Terkejut aku.”
“Aku lupa ambik baki duit dekat Secret Recipe tadilah
beb.”
“Laaa…”
“Nah! Kau ambik kunci skuter aku ni… pergi start
dulu. Kejap lagi aku datang. Aku nak ambik baki duit.” Arah
Zara. Dia bergegas untuk pergi semula ke kedai tadi. Itulah,
terlampau sangat melihat senyuman lelaki cina itu sehinggakan
dia lupa nak ambil duit baki.
Setelah mengambil duit bakinya, Zara terkocohkocoh
untuk pergi ke tempat letak motor. Mujurlah lelaki
cina itu seorang yang jujur. Nampak sahaja kelibat Zara, terus
dia melambai-lambai tangan untuk memulangkan baki duit.
Itulah… siapa suruh lalai sangat.
Dalam terkocoh-kocoh itu, tiba-tiba mata Zara
terpandangkan seseorang. Seseorang yang amat dikenalinya.
Cepat-cepat dia menyembunyikan diri di sebalik restoran Asiari.
Tidak mahu kelibatnya dilihat oleh pasangan pengantin baru
yang masih merah menyala inai dijari itu.
Hesy… macam mana boleh terserempak dengan dia
dekat sini. Menyusahkan betul. Gerutu hati kecil Zara. Jika
boleh, sampai bila-bila pun dia tidak mahu lagi bertembung
dengan Ajib. Sakit benar hatinya melihat kemesraan Ajib
bersama wanita yang tidak dikenalinya itu. Mungkinkah wanita
itu Mastura? Isteri Ajib. Hmmm… bukan main lagi pasangan
itu pegang-pegang tangan. Menyampah!
Zara masih lagi meneropong dari celah-celah
restoran. Dah macam penyiasat pula aksi lagaknya ketika itu.
Terhendap-hendap. Mata-mata yang memandang tingkahnya
di dalam restoran itu langsung tidak dihiraukan. Dia lupa di
mana dia berada. Tertonggeng-tonggeng dia menghendap
kemesraan Ajib dan wanita itu. Cemburunya mula menyala.
Aksi tertonggengnya hanya layak untuk tontonan 18 tahun
ke atas saja. Cukup mengiurkan mata-mata lelaki gatal yang
memandang.
Dalam aksi terhendap-hendap itu, ada seseorang
berdehem dari belakang. Dari tadi dia mengerling aksi gadis itu
dari jauh. Hatinya jadi tidak senang bila ada mata-mata jantan
nakal memerhati punggung Zara yang tertonggeng-tonggeng
begitu.
“Kalau nak jadi penyiasat persendirian sekalipun,
janganlah sampai macam tu awak tertonggeng-tonggeng. Tak
malu ke awak buat macam tu? Sengaja nak tayang punggung
awak tu dekat orang ramai?”
Sinis sindiran yang kedengaran membuatkan Zara
berpaling. Ketika itu juga, matanya membulat bagaikan guli.
Hakimie menjungkit sebelah keningnya. Aksi biasa jika dia
bertembung dengan wajah tegang Zara. Manakala Farok yang
turut berada di sebelah Hakimie hanya tersenyum-senyum.
Perubahan pada wajah Zara menarik senyum yang lebih lebar
lagi pada bibirnya.
Zara sudah mengigit bibirnya. Tak sangka dia boleh
terserempak dengan lelaki-lelaki itu di sini. Entah apalah nasib
dia hari ini, kebetulan ramai pula orang yang dia terserempak.
“Saya tak suka staf saya buat perangai pelik macam
ni. Nanti apa pulak kata orang ramai bila tahu awak tu arkitek
dekat Star Properties? Tentu dia orang tak yakin dengan seni
bina syarikat setelah lihat arkiteknya berkelakuan ganjil dengan
aksi yang melampau. Macam orang kurang siuman.” Sambung
ayat pedas Hakimie lagi. Sesuka hati kata orang tak siuman.
Hakimie ni mulutnya memang takde insurans.
Menyedari aksinya yang terlampau itu, Zara cepatcepat
membetulkan kedudukannya. Baru dia sedar dia sudah
terlebih menonggeng. Kulit wajahnya yang putih bersih sudah
merona merah kerana malu. Dia sudah tidak ada modal hendak
berdebat dengan Hakimie kerana rasa malu yang membendung
jiwa. Lantas tanpa membuang masa dia terus beredar. Dalam hati
dia sudah menggumam. ‘Memang tak guna betul. Macam mana
boleh terserempak dengan mamat poyo tu. Tak pasal-pasal,
air mukanya jatuh hanya kerana ‘keoveran’ tonggengannya.
Aduh… memalukan!
Alunan irama Gwiyomi yang kedengaran dari telefon
bimbitnya membuatkan Zara segera menjawab panggilan itu.
“Beb… kau ni ambik duit baki ke tengah mengayat
tauke iras Andy Lau tu? Cepatlah! Panas tau dekat luar ni. Cair
make-up aku.” Gesa Wanie. Dia yang berada di luar bangunan
SACC Mall sudah berpeluh-peluh menunggu Zara. Cakap kejap,
tapi sudah dua puluh minit juga dia keras menunggu dekat luar
ni.
Zara mendengus. Dia sudahlah tengah malu tahap
melampau ni, Cik Wanie si patung lilin itu dah merengekrengek
suruh dia cepat. Takut sangat make-upnya cair. Huh!!!
“Yalah. Yalah. Aku datanglah ni. Jap.”
“Okey.”
Kemudian talian pun diputuskan.
Langkah dipercepatkan. Dia ingin segera pulang ke
rumah sebelum dia terserempak lagi dengan sesiapa.
HAKIMIE MELANGKAH masuk ke dalam kondominium bujang
miliknya itu. Sudah lama kondominium ini dibelinya. Asalnya
dia nak duduk di sini selepas dia berkahwin dengan Eriza, tetapi
memandangkan pertunangannya dengan Eriza putus, maka
kondominium ini dibiarkan kosong bila dia membawa diri ke
New York. Cuma sekarang ini sahaja, sejak dia kembali semula
ke sini, barulah kondominiumnya ini berpenghuni
Papa ada juga mengajak dia untuk tinggal di rumah
baru mereka. Namun dia menolak dengan alasan mahu hidup
berdikari. Cuma sesekali, dia ada juga menjenguk papanya
di rumah baru mereka. Besar rumah itu. Ada empat bilik
kesemuanya. Kasihan papa tinggal di rumah besar itu seorang
diri. Namun apakan daya, papa sukakan rumah itu. Dan dia pula
sukakan kondominiumnya ini.
Nafasnya dihela. Tiba-tiba pula bayangan gadis
bernama Zara Dania itu singgah dalam fikirannya. Membuatkan
bibirnya tiba-tiba saja mengorak sebuah senyuman. Telatah Zara
yang terhendap-hendap ketika di restoran Asiari tadi berjaya
membuatkan hatinya dicuit. Kelakar benar gaya gadis itu. Zara
itu, gayanya begitu selamba. Tak macam perempuan lain yang
akan control diri setiap kali berdepan dengannya. Zara, gadis itu
sentiasa menjadi dirinya yang sebenar. Buat dia bagaikan tidak
ada apa-apa tarikan yang istimewa.
Bukan nak cakap besarlah. Ikutkan memang ramai
perempuan yang tergila-gilakan dia. Maklumlah, dia inikan
kacak. Mana tidak kacak kalau lahir dalam darah kacukan.
Mamanya merupakan wanita berketurunan Belanda manakala
papanya pula Melayu-Inggeris-Cina. Pasal itulah kut dia
memiliki kulit yang cerah dan wajah yang kacak. Hakimie
tersenyum.
‘Hai… perasan jugak aku ni rupanya.’ Hatinya berbisik
sambil meraup rambutnya ke belakang.
“Amboi… anak papa ni, lebar benar dia tersenyum.
Ingatkan buah hati ke?” Teguran itu membuatkan Hakimie
pantas menoleh.
“Papa? Bila sampai? Macam mana papa masuk?”
Terperanjat dia melihat kelibat papanya yang berada di situ.
Laju dia bangun lalu menyalami tangan papanya. Dicium penuh
hormat tangan tua yang sudah sedikit berkedut itu.
Dr. Haji Helmie tersenyum senang.
“Papa dah dua jam dekat rumah Kimie ni. Papa ada call
Kimie, tapi Kimie tak jawab. Tu yang papa datang aje. Takkanlah
Kimie dah lupa yang Kimie ada bagi papa kunci pendua?”
Pantas Hakimie menyeluk tangan ke poket seluar.
Mengeluarkan telefon bimbitnya. Kalau benar papanya ada
telefon, kenapa pula telefon bimbitnya tidak berbunyi?
Tappp! Tangan sudah menampar dahi sendiri.
“Sorrylah, pa. Bateri phone Kimie kong!” Ujarnya
kemudian sambil menayang telefon bimbitnya yang kehabisan
bateri itu.
“Nasib baik papa ada kunci pendua. Sekurangkurangnya
papa takdelah kena jadi penunggu depan pintu
rumah Kimie tadi.” Balas Dr. Haji Helmie sebaik sahaja melihat
telefon bimbit anaknya yang kehabisan bateri itu.
Bau aroma yang mula menyengat ke rongga hidung
membuatkan lubang hidung dua beranak itu kembang-kempis.
“Ya Allah… papa lupalah. Papa tengah panaskan lauk
dekat dapur tadi.” Cepat Dr. Haji Helmie bangun lalu menuju
ke ruang dapur.
Hakimie tidak mahu ketinggalan. Dia membuntuti
langkah papanya menuju ke ruang dapur yang jarang berasap
itu. Dia lebih senang makan kat luar sahaja.
“Papa masak ke? Sedap aje bau dia.” Tanya Hakimie.
Aroma masakan yang begitu enak itu mampu membuka kembali
seleranya. Terasa perutnya berdondang sayang pula.
“Tak! Lauk ni jiran depan rumah kita yang beri.”
Beritahu Dr. Haji Helmie.
“Jiran depan rumah? Hai… pa, baru duduk enam bulan
kat sana dah ada yang sudi berikan lauk untuk papa nampaknya.
Hmmm… ini mesti jiran depan rumah tu nak mengurat papa.”
Hakimie sudah mula mahu mengusik. Mahu menyakat papanya
yang jarang melatah bila dia sudah menyakat. Papa memang
seorang yang cool!
Dr. Haji Helmie menggelengkan kepalanya. Anaknya
itu sudah mula hendak mengusik dia nampaknya.
“Dah! Kimie jangan nak main tuduh-tuduh. Takde
maknanya jiran depan rumah tu nak mengurat papa. Mereka
tu pasangan suami isteri dan dah beranak cucu pun. Mereka
memang baik hati. Kadang-kadang tu, papa pula yang naik
segan bila mereka kerap sangat beri lauk pada papa.”
Mendengarkan itu, Hakimie jadi tersengih seperti
kerang busuk. Niat hendak menyakat papanya lebih-lebih
terbantut kala mengetahui jiran depan rumah papanya itu
adalah pasangan suami isteri. Jika sudah beranak dan bercucu,
pastinya mereka juga sebaya dengan papanya.
“Wah… untunglah papa, kan. Hari-hari dapat lauk
free.” Hakimie sudah mengambil pinggan di dalam kabinet.
Lalu diatur di atas meja makan.
“Alhamdulillah. Rezeki, kan. Lagipun orang kata,
rezeki jangan ditolak, musuh pula jangan dicari. Kalau nak
harapkan anak papa ni yang memasak untuk papa dia ni,
memang takdelah jawabnya. Kempunan ajelah Haji Doktor
Helmie ni.” Sempat Dr. Haji Helmie menyindir.
Hakimie tersengih lagi. Dia bukannya tidak tahu
memasak. Biarpun dia ini lelaki bertubuh sasa dan boleh
dikategorikan sebagai lelaki maskulin, namun dia pandai
memasak. Segala-galanya dipelajari daripada mak usunya sejak
dia dari zaman remaja lagi. Cuma itulah... kesibukan yang
melanda membuatkan dia malas hendak masuk dapur untuk
memasak. Namun ilmu memasak itu masih tersimpan kemas
dalam mindanya. Alaaa… setakat masak yang simple-simple ni,
petik jari saja dia boleh buat.
Lauk ikan pari asam pedas yang sudah tersedia depan
mata membuatkan air liur Hakimie menjadi kecur. Rasa tak
sabar dia nak menikmati makanan kegemarannya itu. Laju dia
mengangkat tangan dan mula membaca doa makan. Setelah
mengaminkan doa, terus dia menyenduk lauk. Diangkat lalu
diletakkan di atas pinggan papanya. Kemudian barulah dia
mengambil untuk dirinya pula.
“Hmmm… sedaplah pa. Kalah asam pedas dekat hotelhotel
ternama.” Puji Hakimie. Ikan pari masak asam pedas itu
cukup segala ramuannya. Tak ada yang kurang, tak ada yang
lebih. Semuanya secukup rasa.
Malas hendak menjawab, Dr. Haji Helmie hanya
tersenyum mendengar pujian daripada anak bujangnya itu.
Asam pedas air tangan isteri Cikgu Muhammad Zainal ini
memang membangkitkan selera. Dia gembira dapat berjiran
dengan pasangan suami isteri itu. Malah anak perempuan
pasangan itu juga seorang gadis yang cukup menyenangkan
hatinya. Peramah dan ceria orangnya.
Terfikir juga dia hendak mengenalkan anak bujangnya
ini dengan anak gadis Cikgu Muhammad Zainal. Mana tahu
mereka serasi? Hmmm…
Tanpa Hakimie sedar, papanya sudah tersenyum
memasang angan.
HAKIMIE MEMATIKAN talian setelah perbualannya dengan
Memey Suhaiza ditamatkan. Rimas pula dia mendengar
rengekan si anak manja Datin Suhaila yang tergedik-gedik
mengajak dia keluar malam ini. Konon rindukan dia. Nak
jumpa untuk melepaskan rindu yang mencengkam jiwa kepada
Hakimie. Amboi… ayat! Madah berhelah.
Inilah yang dia malas dengan orang perempuan. Baru
saja berkawan-kawan, tetapi Memey Suhaiza Datuk Murat
itu sudah menganggap hubungan mereka serius. Sedangkan
mereka baru aje kenal dua minggu. Namun sikap kurang
menyenangkan si Memey sudah jelas kelihatan. Dia rimas
dengan sikap gadis manja tahap melampau itu. Selalu saja
mahu keluar dan berjumpa untuk melepaskan rindu. Dan apa
yang paling dia tak berkenan jika keluar bersama Memey, gadis
itu suka nak pegang-pegang sana sini. Sikit-sikit nak pegang
tangan dan peluk lengan. Rimas! Dia tak suka macam itu.
Lagipun, antara dia dengan Memey bukannya pasangan kekasih
yang perlu berpegangan tangan segala.
Secara seriusnya, dia bukanlah lelaki yang tergolong
dalam golongan romantika nusantara. Pasal itulah mungkin
suatu ketika dahulu Eriza naik bosan kepadanya. Kerana dia ini
bukan lelaki jenis romantik yang suka membelai manja teman
wanitanya. Namun, dia serius sayang dan cintakan Eriza ketika
itu. Cuma gadis itu sahaja yang tidak dapat menerima sikapnya
yang satu ini.
Dan bila Eriza berpaling kepada lelaki lain demi
mencari kesempurnaan, dia memang terasa sakitnya. Penangan
daripada kesakitan itulah yang membuatkan dia bagaikan serik
untuk bercinta lagi. Dia senang begini. Sekurang-kurangnya
hatinya tidak akan dilukai walaupun terasa kosong tanpa cinta.
Sepanjang tempoh itu, bukannya dia tak pernah nak
berkenalan dengan mana-mana perempuan. Namun semuanya
hanya dianggap sebagai teman biasa. Hatinya belum terbuka
untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan wanitawanita
yang dikenalinya itu. Tapi janganlah pula ada yang salah
faham dengan mengklafikasikan dirinya dalam golongan gay
pulak. Hesy… dia masih lagi lelaki normal. Masih suka dengan
kaum perempuan cuma dia masih belum bersedia untuk
menjalinkan hubungan yang serius sahaja.
Zara Dania!
Tiba-tiba nama dan bayangan gadis itu terlintas dalam
benaknya. Membuatkan dia tersenyum sendiri. Jauh di sudut
hatinya, memang dia akui Zara seorang gadis yang comel.
Malah gadis comel itu juga lain daripada yang lain. Zara tidak
sama dengan gadis-gadis yang dikenalinya. Zara tidak tergedik-
gedik atau memandang dirinya. Dia seolah-olah tiada makna
pun pada gadis itu.
‘Hai Encik Hakimie… apasal tetiba ingat dekat
Zara ni? Ada sesuatu ke?’ Bagaikan ada suara yang berbisik.
Mengejeknya kerana tiba-tiba memikirkan gadis yang sering
menjadi mangsa bulinya itu.
“Ahhh… sudah! Buat apa pula aku nak fikirkan pasal si
minah kelibang-kelibut tu? Dia takde makna pun kepada aku.”
Ucap Hakimie akhirnya.
“Huarghhh!” Besar mulut Hakimie menguap. Cepatcepat
dia menekup mulut yang ternganga luas itu dengan
telapak tangannya.
Kalau mak long nampak dia menguap tak tutup mulut
mesti dia sudah kena sound. Kata mak longnya yang jelita...
“Dah tak tau nak tutup mulut ka ternganga besar
macam tu? Nak suruh iblis masuk dalam perut supaya senang
nak menghasut? Lain kali kalau nampak lagi Kimie menguap
tak tutup mulut… mak long sumbat dengan cili padi!”
Aduh… mak long, rindunya Hakimie kepada mak
longnya itu.
Hakimie tersenyum mengenangkan mak long yang
amat disayanginya. Wanita itu merupakan wanita yang paling
teristimewa dalam hidupnya. Mak long sudah dianggap sebagai
ibu kandung sendiri biarpun hakikatnya mak long tidak
melahirkan dia.
Jam yang sudah merangkak ke angka 11.45 minit
malam membuatkan mata Hakimie kian terkulai layu. Lagipun
esok dia perlu bekerja. Tangan ditadah. Seperti kebiasaan yang
dia lakukan sejak dari zaman kanak-kanaknya lagi, dia akan
berdoa dan membaca surah-surah pendek sebelum melelapkan
mata. Semoga malam ini dia bermimpi yang indah-indah.
Insya-Allah.
Selamat malam semua. Semoga Allah panjangkan
umur untuk berjumpa lagi hari esok.

No comments:

Post a Comment