SETELAH pulang daripada berjumpa dengan
Nuh Qays, fikiran Izdiyad sentiasa terkenangkan Qisya
Zulaikha. Hatinya ibarat berbunga-bunga bila menatap wajah
manis itu. Pada asalnya, dia memang tidak berminat dengan
wanita bertudung tapi dengan Qisya Zulaikha, hatinya tidak
mengira tentang itu. Qisya Zulaikha kelihatan sangat cantik
di matanya.
Izdiyad mengeluh, dia nampak dengan jelas wajah
Qisya Zulaikha yang tidak selesa bila berhadapan dengannya.
Akalnya mula membuat strategi untuk mendekati wanita itu.
Tidak kira dengan cara apa sekalipun, janji dia dapat
mendekati Qisya Zulaikha semula.
“Helo..” Terkejut Izdiyad dengan sapaan itu. Dia
melihat Qairina melambai-lambaikan tangan agar
menyedarkan dia daripada leka termenung.
“Eh.. Rina.. Bila you sampai? Sorry I tak sedar.”
Izdiyad memperbetulkan kedudukannya. Qairina
menghampiri Izdiyad dan bertenggek di meja lelaki itu.
“Macam mana nak sedar, kalau you dah leka
termenung.” Dengan manja Qairina menjawab pertanyaan
Izdiyad itu. Qairina mencapai tangan Izdiyad dan memegang
kemas tangan itu. Terasa amat dekat sekali dengan Izdiyad.
Izdiyad hanya membiarkan Qairina buat sebegitu kerana dia
sudah terbiasa dengan situasi itu. Rasa dirinya disayangi.
“You datang ni, nak pantau I ke?”
“You rasa, I nak pantau you ke? Tak adalah sayang.
Saja I datang. I rindukan you.”
“Kan semalam dah jumpa, takkan rindu lagi?”
“Of courselah! That’s because I love you so much.
You know that well honey.” Izdiyad tersenyum mendengar
kata-kata Qairina itu. Dia memang tahu tentang itu. Kalau
tidak, Qairina tidak akan bertahan lama dengannya.
“I know that. Hmm.. Tadi I lunch dengan Nuh.”
“So?” tanya Qairina bosan. Malas mahu ambil tahu
tentang Nuh Qays. Dia juga yakin Nuh Qays juga tidak akan
ambil tahu tentang halnya. Bukan dia tidak kenal dengan
perangai Nuh Qays yang tidak suka ambil tahu tentang
perihal orang lain kecuali ibu dan ayah mereka.
“I tengok, pekerja perempuan di syarikat Nuh tu
cantik-cantik. Tak lama lagi, tersangkutlah dia nanti.”
“Mengada-adalah you ni. Kalau dia yang
tersangkut, I tak kisah tapi jangan you yang tersangkut,
sudahlah. But kalau abang yang tersangkut, rasa tak percaya
pula. Lelaki yang tak ada perasaan macam dia tu, tak ada
yang akan berminat dengan dia.” Qairina menjeling Izdiyad,
sudah masak dengan perangai kasanova Izdiyad itu.
Bagi Qairina, Nuh Qays memang lelaki yang tidak
ada perasaan. Sudahlah tidak pernah mempunyai kekasih
dari dulu lagi. Memang menghairankan, tiada perasaankah
Nuh Qays pada seseorang yang bergelar wanita? Nuh Qays
tidak ramah dengan mana-mana wanita, jika bercakap pasti
dengan nada formal. Lainlah dengan ibu, Nuh Qays amat
manja sekali dengan ibu mereka. Jika dengannya, pasti akan
ada pertengkaran mulut di antara mereka.
“Zaman dah banyak berubah, tak mustahil dia juga
sudah berubah. Hmm.. Kalau I tersangkut dengan pekerja
sana, macam mana?” Izdiyad ingin mendengar jawapan
daripada Qairina. Adakah wanita itu akan melenting atau
sebaliknya. Dia sedar perubahan di wajah Qairina.
“I yakin, you tak akan benar-benar tersangkut
dengan mereka sebab I tahu, you tak serius pun dengan
mana-mana wanita selain daripada I. I percaya, akhirnya kita
akan bersatu bila you dah bersedia sepenuhnya,” jawab
Qairina tenang. Memang dia benci dengan perkongsian tapi
dia percaya bahawa Izdiyad tidak serius dengan mana-mana
wanita yang lelaki itu kenali.
“Tapi dulu you marah benar bila I kawan dengan
budak secretary tu.” Bulat mata Qairina bila Izdiyad tiba-tiba
saja mengungkit tentang Qisya Zulaikha.
“Apa you merepek ni?! Kenapa tiba-tiba saja you
ungkit pasal perempuan gatal tu?!”
“Hey... Calm down dear. I cuma hairan saja.
Dengan perempuan lain, you tak kisah pun tapi dengan
budak secretary tu, you lain benar.”
“Sebab I tahu, dia memang perempuan gatal yang
cuba nak kikis duit you saja. You jangan cuba nak percaya
perempuan macam dia tu. Nampak macam suci tapi hati
busuk!” Dan I tahu, perasaan you terhadap dia lain daripada
perasaan you terhadap I. I nampak dengan jelas tentang itu,
Diyad. kata-kata sambungan yang hanya mampu terluah di
dalam hati. Itulah puncanya kenapa dia amat membenci
Qisya Zulaikha. Qisya Zulaikha tidak perlu buat apa-apa
untuk menarik perhatian Izdiyad, ternyata wanita itu sudah
ada tempat di hati Izdiyad.
“You yakin ke hati dia busuk?”
“Can you stop talking about her? I meluatlah!”
Geram dengan Izdiyad yang masih membicarakan tentang
Qisya Zulaikha itu. Tegak badannya menghala Izdiyad seraya
tangan menyilang ke dada.
“Okey, okey. You ni... Janganlah cepat nak
melenting. I cuma nak tanya saja.” Izdiyad menghampiri
Qairina. Dia menguak lembut rambut wanita itu.
“You dah kurang cantik bila marah macam ni..”
sambung Izdiyad lagi dengan nada lembut menggoda.
Qairina akhirnya tersenyum, dia tidak akan mampu
untuk marah dengan lebih lama, jika dia berbuat demikian
pasti Izdiyad akan terlepas dari tangannya. Tangan Qairina
sudah melingkari leher lelaki itu.
“You jangan ungkit tentang betina tu lagi ya
sayang. I benci dia,” pinta Qairina. Dia melihat Izdiyad
mengangguk perlahan tanda mengerti. Pantas dengan itu dia
memeluk erat Izdiyad dan mengharapkan lelaki itu akan
mengotakan kata-katanya.
Izdiyad tersenyum dengan penuh makna. Dia tidak
pernah tunduk dengan suruhan mana-mana perempuan
kecuali dia mempunyai hajat yang tertentu. Jangan ungkit
tentang Qisya Zulaikha? Itu memang agak mustahil. Dia baru
saja ingin memulakan strategi untuk mendekati wanita itu.
“Sayang... You tak ada kerja ke?” tanya Qairina bila
melihat Izdiyad yang kelihatan santai sahaja.
“Malas nak kerja. I nak rehat hari ni. Nak rehatkan
minda. I ada satu projek besar nak laksanakan lepas ni.”
“Projek besar? Projek apa sayang?”
“Adalah... Kalau I bagitahu you, bukan you faham
pun. You cuma tahu nak design baju saja.”
“Because that’s my capability.”
Kalau hendak diberitahu tentang projek itu, pasti
perang dunia ketiga akan berlaku. Projek untuk memikat
hati Qisya Zulaikha. Itulah projek terbesarnya.
“AFIAH, kenapa tahun lepas, kewangan kita jatuh mendadak?”
tanya Nuh Qays kepada Afiah yang leka menaip sesuatu itu.
“Hah? Err.. Itu sebab ada masalah teknikal Encik
Nuh.” Gugup Afiah menjawab pertanyaan Nuh Qays.
Sedangkan tadi dia leka membalas e-mel peribadinya.
“It’s okay, I’ll ask directly to Encik Kamal.” Pantas
saja kaki Nuh Qays melangkah pergi. Inilah peluang dia
untuk menatap wajah Qisya Zulaikha.
Afiah mahu bersuara tapi Nuh Qays sudah jauh
melangkah. Dia mengetap bibirnya. Afiah pasti Nuh Qays
akan berhadapan dengan Qisya Zulaikha. Dia amat sensitif
sekali bila Nuh Qays ingin ke bahagian pentadbiran. Dia tidak
mahu Nuh Qays selalu berjumpa dengan Qisya Zulaikha
walaupun disebabkan tuntutan kerja.
SECARA automatik badan Qisya Zulaikha tegak berdiri
bila melihat Nuh Qays semakin menghampiri mejanya. Dia
menelan liur berkali-kali, takut jika Nuh Qays mengungkit
segala-galanya.
“Encik Kamal ada?” tanya Nuh Qays. Tiada
senyuman yang menghiasi bibir lelaki itu.
“Err... Ya, ya.. Ada Encik Nuh. Sekejap ya, saya
bagitahu Encik Kamal.” Laju tangan Qisya Zulaikha menekan
interkom.
“Encik Kamal, Encik Nuh nak jumpa.”
“Sure, suruh dia masuk.”
“Okey.”
Qisya Zulaikha mengangkat wajahnya tapi dia
seakan-akan terkejut bila Nuh Qays merenungnya tajam.
“Err.. Silakan Encik Nuh.” Tanpa menghiraukan
renungan tajam itu, Qisya Zulaikha menghampiri pintu bilik
Encik Kamal dan mempelawa Nuh Qays.
“Thanks,” jawab Nuh Qays pendek.
“Sama-sama.” Tidak sanggup Qisya Zulaikha
menatap wajah serius Nuh Qays. Dia rasa takut, takut hatinya
terusik disebabkan lelaki yang bernama Nuh Qays.
Walaupun Nuh Qays berwajah serius namun
sebelum dia masuk ke dalam bilik Encik Kamal, sempat lagi
dia tersenyum kecil. Qisya Zulaikha kelihatan takut padanya.
‘Macam mana hendak memulakan langkah untuk mendekati
Qisya Zulaikha? Susahnya bila tak tahu nak usyar perempuan
ni..’ bisik hatinya.
“Assalamualaikum, Encik Kamal.” Lebar senyuman
Nuh Qays memberi salam kepada Encik Kamal. Panggilan
encik itu masih digunakan walaupun kedudukan pangkat
mereka sama. Itu adalah tanda rasa hormatnya pada Encik
Kamal mengenangkan Encik Kamal lebih berusia
daripadanya.
“Waalaikumsalam. Duduk Nuh.” Pelawa Encik
Kamal.
“Sebenarnya saya nak tanya tentang finance kita. I
just wondering, kenapa kewangan kita jatuh mendadak tahun
lepas, ada masalah ke?”
“Oh ya, lupa saya nak bagitahu. Memang dulu ada
masalah sikit. Masalah teknikal sebenarnya. Sufi hantar
dokumen penting pada orang yang salah. Dia hantar through
email. Maybe typo error email address kut.. Jadi ada syarikat
yang curi kita punya idea. Itulah penyebabnya. Nasib baik
kita ada solution, kita ada plan B. Kewangan syarikat jadi tak
menentu bila masalah tu terjadi, sebab kita memang
mengharapkan sangat idea kita tu dapat diterima.”
Nuh Qays mengangguk perlahan, fahamlah dia
mengapa kewangan mereka merosot pada tahun lepas.
“Kita tak boleh nak salahkan syarikat yang guna
idea kita tu sebab dah memang sah-sah itu kecuaian kita.
Alhamdullilah, Tuan Haji tak cepat melenting, dia tenang
saja tangani masalah itu,” sambung Encik Kamal.
“Ya, saya boleh nampak dari wajah Tuan Haji.
Sentiasa tenang saja saya tengok.”
Sememangnya Nuh Qays amat kagum dengan Tuan
Haji Yusuf. Lelaki tua itu sentiasa tenang saja di matanya.
“So, kita orang sekarang memang tak gunakan
e-mel sebagai alat perantaraan. Takut berulang lagi kejadian
tu,” beritahu Encik Kamal lagi.
“Ya, saya memang tak minat sangat through email
ni. Tak live rasanya.”
Setelah berbual tentang kerja, Nuh Qays
mengundur diri. Mahu meneruskan kerjanya. Dia keluar dari
bilik Encik Kamal dan mata terus memandang meja Qisya
Zulaikha. Leka wanita itu membuat kerja. Dia berdehem.
Cuba menarik perhatian Qisya Zulaikha.
Qisya Zulaikha mendongak bila terdengar
seseorang seperti berdehem. Dia memandang Nuh Qays
seraya berdiri dan menundukkan sedikit kepalanya sebagai
tanda hormat.
‘Apa nak buat ni? Jalan terus atau senyum dekat
dia?’ bisik hati Nuh Qays. Akhirnya dia memilih untuk jalan
terus tanpa memberikan senyuman pada Qisya Zulaikha.
Yakinlah Qisya Zulaikha bahawa Nuh Qays
membencinya. Sudah pasti lelaki itu akan membela darah
dagingnya sendiri daripada mempercayai orang luar
sepertinya. Layakkah dia meraih kepercayaan lelaki itu
sedangkan mereka tidak mengenali antara satu sama lain?
Hanya dia saja yang mempunyai perasaan terhadap Nuh
Qays. Berhentilah berharap Ikha... Antara kau dengan dia,
terlalu besar jurangnya. Dia seakan-akan terdengar suara
hatinya yang berkata itu. Qisya Zulaikha juga hairan, kenapa
hatinya masih menyukai lelaki itu sedangkan secara terangterangan
Nuh Qays tidak menyukainya.
No comments:
Post a Comment