HAMPIR menjelang tengah hari, Qisya
Zulaikha sudah siap memasak, hanya untuk dihidangkan saja
lagi. Sudah menjadi rutinnya pada hujung minggu, dia akan
menyediakan makanan untuk tengah hari dan makan malam
mereka. Mak su selalu saja ingin menolong tapi ditegah oleh
Qisya Zulaikha kerana dia mahu mak su berehat saja pada
hujung minggu. Hendak harapkan Afiah, memang tak akan
berasaplah dapur mereka. Afiah tidak pernah makan semeja
dengan Qisya Zulaikha semenjak pemergian ibu bapa mereka.
“Sukalah kau kan, bila Abang Diyad dah muncul.
Bolehlah kau menggatal dengan dia lepas ni. Oh ya... Aku
lupa pula... Sekarangkan target kau dekatkan diri dengan
Encik Nuh. Lebih senang lagi, dekat saja, tak macam Abang
Diyad.”
Tangannya yang mengelap permukaan meja makan
itu terhenti bila Afiah berkata sebegitu. Qisya Zulaikha
memandang Afiah yang duduk santai di kerusi meja makan.
“Apa maksud kau, Fiah?”
“Takkan tak faham? Well... Kalau kau rasa nak
dekat dengan Encik Nuh tu, aku rasa baik kau hentikanlah.
Sebab aku tahu, dia memang benci dekat kau. Now Abang
Diyad dah muncul, rasa tak sabar pula aku dengan
kemunculan Kak Rina lepas ni. Mesti kau nak rasa penampar
dia lagikan.” Afiah tersenyum sinis bila nampak dengan jelas
wajah Qisya Zulaikha menahan marah itu.
Sebenarnya dia terkejut bila melihat Izdiyad
muncul di hadapan bangunan pejabat mereka tempoh hari.
Walaupun Qisya Zulaikha kelihatan tidak selesa dengan
kedatangan lelaki itu namun dia rasa hidup Qisya Zulaikha
akan semakin menarik selepas ini. Semakin menarik untuk
melihat Qisya Zulaikha menderita seperti dulu.
“Kau memang selalu cakap tak gunakan akal, kan?
Selama ni aku tak pernah nak menggatal dengan mana-mana
lelaki pun! Lainlah kalau kau terasa diri kau sendiri yang
gatal. Itu sebab kau nak kaitkan aku sama.”
“Kurang ajar kau, Ikha! Kau tunggu dan lihat lepas
ni... hidup kau akan semakin menderita. Kau tak akan dapat
Encik Nuh apatah lagi Abang Diyad. Muncul aje Kak Rina
nanti, hidup kau akan musnah. Aku tak sabar nak tengok saat
tu.” Afiah menghampiri peti sejuk untuk mengambil
minuman. Pintu peti sejuk dihempas kuat.
“Kenapa kau jadi macam ni Fiah? Cukupcukuplah!”
“Tak akan pernah cukup! Kau tak akan dapat
kembalikan mak bapak aku, Ikha!”
“Tapi mak dan abah aku juga dah tak ada! Kau tak
boleh nak salahkan sesiapa sedangkan itu dah ditakdirkan.
Kau kena percaya Qada dan Qadar.”
“Itu sebab mak bapak kau yang bunuh mak bapak
aku! Kalau tak disebabkan pak long yang ajak ayah aku ikut
serta percutian bodoh tu, mereka tak akan pergi buat selamalamanya.
Kau dengan mak bapak kau sama saja, pembunuh!”
Gelas kaca dihempaskan ke singki dan menyebabkan gelas itu
pecah berderai.
Terkejut Qisya Zulaikha melihat tindakan Afiah.
“Kejadian tu dah lama Fiah. Ketika umur kita 17
tahun lagi. Dah 8 tahun berlalu. Semua tu bukan kehendak
kita. Mak bapak kita pergi dengan sekelip mata. Bukan kau
saja yang rasa kehilangan. Aku tak minta kau lupakan semua
ni sebab memang aku tahu, perkara ni tak dapat nak
dilupakan tapi terimalah ketentuan Ilahi.” Qisya Zulaikha
cuba menenangkan Afiah.
Ibu bapa mereka meninggal dunia ketika dalam
perjalanan ke Melaka. Abah Qisya Zulaikha yang beria-ia
mengajak ibu bapa Afiah untuk ikut serta. Manakala Qisya
Zulaikha dan Afiah bercadang untuk tinggal bersama dengan
mak su mereka dan memberi peluang kepada ibu bapa
mereka untuk bercuti. Tapi sebagaimana yang diketahui, kita
sebagai manusia hanya mampu merancang dan Allah yang
menentukan segala-galanya. Lori kayu balak merempuh
kereta ayah Qisya Zulaikha yang menyebabkan emak, abah
Qisya Zulaikha dan ayah Afiah meninggal di tempat kejadian
dan emak Afiah meninggal ketika dalam perjalanan ke
hospital.
“Hei.. Kamu ni kenapa? Bunyi macam benda pecah
saja mak su dengar tadi?” Dengan wajah cemas, mak su
bertanya. Dia melihat silih berganti wajah-wajah anak
saudaranya itu. Ini bukan perkara lain, mesti hal yang sama
diungkit oleh Afiah.
“Tak adalah mak su. Tak payah risau. Gelas tu pecah
dekat singki aje,” beritahu Qisya Zulaikha.
“Sebab apa pula ni?” tanya mak su lagi.
“Sebab Fiah, kenapa? Mak su mesti nak menangkan
Ikha, kan? Semua orang nak menangkan dia saja!” jawab
Afiah. Mata mencerlung memandang Qisya Zulaikha.
“Sampai bila-bila, Fiah akan ungkit benda yang
sama sebab Fiah nak tengok, Ikha menderita sebagaimana
Fiah menderita!” sambung Afiah lagi.
“Tapi aku juga menderita Fiah. Bukan kau saja yang
rasa kehilangan. Aku juga rasakan semuanya! Kalau kau rasa,
cuma kau saja yang menderita, kau silap. Itu bermakna kau
pentingkan diri kau sendiri.” Terketar-ketar Qisya Zulaikha
menjawab kata-kata Afiah itu. Sakit hatinya dengan tuduhan
Afiah.
“Sudahlah! Kenapa Fiah tak pernah nak terima
kenyataan ni? Kenapa biarkan Ikha tanggung semua ni?” Mak
su menghampiri Afiah dan mengusap lembut bahu anak
saudaranya itu, tapi tangannya cepat ditepis oleh Afiah.
“Tak mak su. Kalau dia serik, dia kena tinggalkan
rumah ni. Kalau nak tunggu Fiah, memang Fiah tak akan
keluar dari rumah ni walaupun rumah ni, rumah bapak dia!
Fiah tak akan mengalah.”
Qisya Zulaikha menggigit bibirnya. Memang
mustahil Afiah akan mengalah padanya. Afiah tidak pernah
mahu berbuat baik padanya. Dia tak akan keluar dari rumah
ini sedangkan rumah ini adalah salah satunya peninggalan
arwah ibu bapanya. Rumah banglo dua tingkat hasil titik
peluh ibu bapanya. Dulu bapanya seorang pensyarah
universiti dan ibunya pula guru di sekolah menengah. Inilah
salah satu harta peninggalan ibu bapanya kepadanya.
Tanpa menunggu lama, Qisya Zulaikha berlalu
meninggalkan dapur itu. Tidak tahan melayan kerenah Afiah
yang tidak pernah jemu mahu mengungkit perkara yang
sama dan kini timbul tentang Nuh Qays, Izdiyad dan Qairina
juga turut diungkit semula.
“LAMA abang tak balik sini. Ibu rindukan abang.” Ibu Nuh
Qays, Puan Nurain mengusap lembut rambut Nuh Qays yang
berbaring di pahanya itu.
“Maaf Ibu. Sekarang abang sibuk sikit, itu sebab tak
ada masa nak singgah ke sini.”
“Malam ni, tidur sini ya? Ibu nak masak lauk
kegemaran abang.”
Nuh Qays menarik tangan Puan Nurain dan
meletakkan di dadanya. Dia tidak melepaskan tangan ibunya
yang seakan-akan dimamah usia hari demi hari.
“Bukan ibu tak tahu dengan Kaka tu. Abang
malaslah. Macam mana kalau ibu tidur di kondo abang?”
“Ayah macam mana? Ibu tak boleh nak tinggalkan
ayah.”
“Ayah bawa sekalilah bu.” Cepat saja Nuh Qays
memberikan cadangan. Dia memang tidak selesa tinggal di
rumah ibu bapanya kerana adanya Qairina. Kemungkinan
besar, pasti akan ada pertengkaran mulut. Siapa yang tidak
tahu dengan mulut pedas adiknya itu.
“Kaka macam mana? Takkan nak tinggalkan dia
seorang?”
“Pandailah dia uruskan diri dia. Lagipun, bukan ibu
tak tahu dengan dia tu, kalau tak pukul satu atau dua pagi
baru nak balik rumah. Layan sangat dengan design dia tu.
Nak jadi pereka fesyen terkenal yang kononnya nak mencapai
ke peringkat antarabangsa tapi dekat Malaysia ni pun dah
susah nak naik.”
Qairina mempunyai cita-cita yang tinggi. Adiknya
ingin menjadi pereka fesyen yang terkenal di persada
antarabangsa. Walaupun di Malaysia sudah banyak dalam
kalangan artis mahupun ahli korporat yang mempercayai
hasil kerja Qairina namun itu bukan semudah yang disangka.
“Tak apa abang. Dah memang minat dia. kita tak
boleh nak halang. Ibu akan sentiasa sokong anak-anak ibu
walaupun cita-cita itu seakan-akan sukar untuk kamu capai.
Ibu mesti bagitahu Kaka dulu tentang ni. Nanti dia terkejut
pula bila tengok ibu dan ayah tak ada di rumah.”
“Nanti ibu call dia. Abang nak rehat kejap.” Nuh
Qays memejamkan matanya. Rasa selesa di pangkuan ibunya
itu.
“Abang... Ibu nak tanya ni..” Tangan Puan Nurain
kembali membelai lembut rambut Nuh Qays.
“Tanyalah bu.”
“Abang belum ada siapa-siapa lagi ke? Kaka dah
ada, abang bila lagi?” Dengan pantas kelopak mata Nuh Qays
terbuka luas. Dia menatap wajah lembut ibunya.
“Abang tak tahu ibu. Bila dah jodoh, sampailah tu
nanti.”
“Nak ibu carikan? Ibu bukan apa, ibu tak pernah
nampak abang berkawan rapat dengan mana-mana
perempuan. Umur abang pun dah 29 tahun, sikit masa lagi
dah nak masuk 30. Dah sesuai benar kalau nak kahwin.” Nuh
Qays menutup kembali kelopak matanya. Keluhan
kedengaran.
“Tak naklah ibu. Biar abang cari sendiri saja. Abang
sebenarnya tak tahu perasaan abang yang sebenar.”
“Abang dah ada calon?”
“Emm... Tak tahu nak katakan dia calon atau tak,
sebab dia tak tahu pun yang abang suka dekat dia. Lagipun
dia macam takut dengan abang, bu.” Puan Nurain tergelak
kecil membuatkan Nuh Qays memandang wanita tua itu
dengan pandangan hairan.
“Cuba belajar ramah sikit abang. Mana tak takut
perempuan tu kalau abang cakap dengan dia dengan nada
formal. Tegas semacam. Bukan ibu tak tahu perangai abang
tu.”
“Ibu macam mana? Ibu akan terima siapa saja
pilihan abang?”
“Insya-Allah abang. Ibu percaya dengan pilihan
abang. Lainlah kalau perempuan tu secara terang-terangan
tak elok perangai dia.”
“Walaupun Kaka tak suka atau benci dekat dia?”
“Dia tak suka ke? Ibu juga kenal dengan perangai
anak ibu yang seorang tu. Kadang-kadang Kaka tu cuma ikut
kata hati. Ibu tak mudah mendengar kata-kata orang abang.
Biar ibu tengok dengan mata kepala ibu sendiri, baru ibu
dapat menilai seseorang tu macam mana.”
Nuh Qays bangun daripada berbaring dan
menghadap Puan Nurain. Tanpa isyarat, dia memeluk erat
wanita tua itu.
“Terima kasih ibu. Abang akan cuba bawa dia jumpa
ibu, itupun kalau dia sudi terima abang. Ibu doakan yang
terbaik buat abang ya. Abang akan protect dia kalau Kaka
cuba nak halang hubungan abang dengan dia nanti.”
“Berani kerana benar abang. Kalau abang yakin
bahawa abang di pihak yang betul jadi, pertahankan sebaikbaiknya.
Ibu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anak
ibu.”
Puan Nurain sudah faham dengan kerenah anakanaknya.
Qairina seorang yang cepat melenting, amat
pantang sekali apabila kata-katanya dibantah. Manakala Nuh
Qays, seorang yang tidak suka ambil pusing tentang perkara
yang remeh-temeh. Nuh Qays juga sangat manja dengannya.
Tapi jika berhadapan dengan Qairina, pasti pertengkaran
mulut akan meletus dan sudah pasti Qairinalah punca segalagalanya,
memulakan pertengkaran. Itulah juga penyebab
Nuh Qays berpindah ke rumah lain. Tidak mahu tinggal
serumah dengan Qairina. Dia hairan dengan sikap berbeza
anak-anaknya itu sedangkan mereka berdua adalah adikberadik
kembar dan hanya merekalah saja anak yang dia ada.
Tapi sebelum segalanya semakin teruk, dia akhirnya
membenarkan Nuh Qays berpindah ke kondominium dan
Nuh Qays tidak pernah melupakannya. Hampir setiap hari
anaknya itu bertanyakan khabar dan hampir setiap hujung
minggu juga Nuh Qays akan melawatnya. Bukan dia mahu
membeza-bezakan Nuh Qays dan Qairina tapi dia nampak
dengan jelas perbezaan itu. Tuan Haji Qaid, suaminya juga
sedar tentang itu.
Nuh Qays tersenyum senang, apa yang penting
adalah restu kedua ibu bapanya. Tentang Qairina, dia tidak
mahu ambil pusing sebab sudah tahu dari mula lagi
kembarnya itu tidak menyukai Qisya Zulaikha.
No comments:
Post a Comment