DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 26 June 2016

Puzzle Cinta Aisara - Bab 2

“Jika dunia aku yang punya, akan ku dirikan sebuah Syurga
malam tanpa siang untukku bermimpi...”
(Bagaikan Puteri – Farra)

YA, kerja, kerja, kerja! Tugas harian dalam hidup
yang tidak boleh berhenti selagi dia tidak mati. Pagi tu
bersama pembantu peribadi dan pemandunya, Aisara
ke Johor Baru. Meninjau kesesuaian dewan yang bakal
menjadi tempat pameran fotografi. Acara yang sengaja
disenaraikan dalam kalendar aktiviti tahunan Tiara
Holdings.
‘Syarikat tu aku punya, kan? Suka hati akulah
nak buat apa,’ bisik hati kecil Aisara. Dia tidak rasa salah
pun menambah rancangan tu. Niatnya baik. Bukan sengaja
hendak berhibur sesuka hati, bibirnya disengetkan sedikit
ke tepi. Tak fasal-fasal dia rasa panas hati apabila muka RY
melintasi mindanya. Walaupun boleh bertindak
sesuka hati dia masih ada masalah. Semua urusan kalau
tidak dipersetujui bersama penasihat yang menyakitkan
hati itu, jangan haraplah kelulusan dari segi kewangan
akan diterima. Pandai-pandai dialah macam mana hendak
menampung kos aktiviti yang mahu dianjurkan itu. Ada RY
kisah? Sukalah lelaki itu dapat mengawal kuasanya dalam
syarikat. Ada jawatan paling tinggi pun tidak guna, muka
Aisara berubah kelat. Memang tidak adil langsung.
Berhadapan dengan RY, dia bagaikan kehilangan kuasa.
Seketika itu fikirannya kembali melayang ke hari
perkenalan mereka dan sekaligus membenci lelaki bergelar RY
itu.
CIK AISARA, menurut wasiat terakhir Tan Sri Megat
Izzuddin bin Megat Iskandar, cik diminta menerajui Tiara
Holdings,” jelas peguam pada hari pembacaan wasiat.
“Hah!” Berita seperti itulah yang Aisara tidak mahu
dengar. Apahal pulak dia yang dijadikan mangsa? Bukan
arwah ayahnya tidak tahu dia benci dunia perniagaan. Hish!
Ini cerita karut! Dia tidak boleh terima. Ya Allah, tolonglah
aku. Aisara tayang muka tak berminat sejelasnya.
“Alisa, kan ada. Amir atau Amirul pun boleh. Kenapa
saya?” Aisara menyebut nama adik-beradiknya yang
lain. Mungkin peguam itu belum habis baca apa yang
ditinggalkan dalam wasiat kut. Ataupun peguam itu
terkeliru antara namanya dan kakaknya, Alisa.
“Saya hanya menjalankan amanah. Saya tak tahu
kenapa tan sri buat begitu. Lagipun dalam ni nama cik yang
tertulis, tak kan saya nak sebut nama mereka.”
Peguam ini kalau bercakap memang pandai. Aisara
mencebik. Peguam bernama Javandra itu sedang meneliti
isi kandungan wasiat itu dan Aisara memandangnya
dengan tajam.
“Kalau saya menolak dan serahkan semua tu kepada
Lisa, macam mana?” Dia memang tidak ada hatilah untuk
fikir semua tu. Hatinya sudah tidak bahagia lagi macam
dulu. Sekarang yang ada dalam fikirannya hanya
kebebasan. Itu saja yang buat hidupnya bermakna.
Kalaulah terperangkap dalam bilik pejabat setiap hari,
rasanya dalam masa sebulan dia akan mati. Mulalah dia
terasa hendak meraung saja di situ. Tetapi hati yang ego terus
bertahan.
“Menurut wasiat ni, kalau cik menolak... semua
yang cik dan keluarga miliki akan diserahkan sepenuhnya
kepada penasihat cik, Raja Ahmad Yusuf bin Raja
Abdullah,” tekan Javandra.
Hai, main ugut-ugut pulak wasiat ni. Aku
koyakkan karang surat wasiat tu nanti baru tahu, gumam
Aisara geram. Dia terdiam mencari akal. Hatinya kata
tidak mahu semua itu, tidak mahulah. Peguam ini
degillah. Muka ahli keluarganya dan seorang pemuda asing
dipandang silih berganti. Semuanya diam. Kenapa dengan
semua orang, erk? Dia rasa pelik. Hujung matanya
mencuri pandang perempuan yang paling dibenci.
Perempuan terhormat itu tidak mahu buat
bantahan ke? Tidak risau dia akan lelong syarikat tu nanti?
Lemah betullah kalau terpaksa terima semua itu. Dunia
perniagaan padanya macam tali gantung, dia tidak mahu
terjerut. Aduh... kenapa dengan semua orang ini? Kenapa
hendak bebankan aku? Mustahil terkejut sampaikan bisu.
Mana mungkin aku hendak terima bulat-bulat saja?
Tangan Aisara menyentuh dahi dan jari mula memicit
perlahan. Mulalah kepalanya pun mengada nak sakit.
Puan Sri Marina yang tenang dari tadi mula
rasa kurang senang dengan kenyataan Javandra. Dia
mulai khuatir. Macam mana kalau Aisara nekad tidak
mahu terima wasiat itu. Habislah harta mereka. Dia tidak
mahu hidup miskin dengan status yang ada.
“Pendek kata, nasib syarikat dan keluarga cik kini
di tangan cik sekarang.” Javandra mengingatkan. Niatnya
mahu Aisara segera akur dan urusan itu selesai.
“Macam mana kalau saya mati sebelum terima semua
ni?” Soalan sakit hati Aisara ajukan.
Semua yang ada terus memandangnya dengan
dahi yang berkerut. Kecuali Javandra, tersenyum. Lucu
mendengar pertanyaan itu.
“Masalahnya sekarang cik masih hidup dan sudah
pun mendengar isi kandungan wasiat ini. Janganlah
bersifat seperti budak-budak. Cik setuju sajalah. Senang
untuk saya menguruskan prosedur seterusnya,” hujah
Javandra tenang namun sempat menyindir. Memang dasar
peguam, lidahnya lancar saja menutur kata yang berbaur
tekanan.
Aisara memandang Javandra. Satu keluhan
dilepaskan. Pening, memang pening hendak buat
keputusan. Dia memang sudah tidak ada hak untuk
tentukan hidup sendirikah? Eh, bukankah dia manusia
bebas? Tetapi kenapa dari dulu hidupnya sering saja
diatur-atur? Pandangan mata Aisara dialihkan.
“Kak Lisa, Amir... Semua ni mengarutlah. Mana
boleh macam ni!” protesnya dan mahu salah seorang
daripada mereka turut bersuara. Tanggungjawab sebesar
itu manalah mampu dia hendak pikul seorang diri. Selama
ini kakaknya yang banyak bekerja keras untuk syarikat,
selayaknya Alisalah yang menerajui syarikat. Tetapi ia
diketepikan. Itu tidak adil. Dia tidak percayalah kalau Alisa
tidak berkecil hati.
Bantahlah bodoh! Kau lagi berhak, marah hatinya.
Amirul dipandang sekilas sebelum beralih kepada Alisa
semula. Bukan ke bagus kalau adik bongsunya tu sudah
cukup umur. Boleh dia pengaruh untuk membantah wasiat
tu. Agaknya dialah manusia paling tidak logik dalam dunia
kerana menolak kekayaan yang menggunung tu.
“Kak Lisa!” Marah betul dia melihat Alisa masih
membatu.
Puan Sri Marina tarik muka masam. Aisara direnung
tajam.
Aisara buat tidak peduli. Dia lagi suka kalau
perempuan terhormat tu tidak ada di situ. Buat menyemak
saja. Tetapi hendak buat macam mana, tanpa kehadiran
perempuan terhormat itu, wasiat tidak boleh dibaca.
Sabar sajalah.
Alisa memandang Aisara. Mata mereka bersatu.
Dia memang tidak setuju dengan isi kandungan wasiat
tu. Tetapi dia tiada pilihan. Muka yang berkerut cuba
dimaniskan.
“Ini amanah. Daddy nak kau yang tentukan
semua tu. Rasanya daddy tahu apa yang terbaik untuk
keluarga kita. Aku pun dah ada keluarga yang perlu diurus.
Sekarang giliran kau uruskan syarikat dan bimbing
adik-adik,” pujuknya dengan nasihat dan alasan. Tetapi
dalam hati, kalau Javandra boleh dirasuah untuk
menukar isi kandungan wasiat itu, pasti dia sudah
lakukannya. Masalahnya RY mahukah buat begitu? Mana
ada manusia yang menolak rezeki terpijak meskipun mereka
bersaudara.
‘Maaflah, Ai. Kalau aku setuju dengan kau, mesti
keluarga kita kehilangan segalanya. Orang lain pulak yang
bakal senang. Kau pun bukan ada buat apa selama ni.
Merayap ke sana, ke mari aje membuang waktu,’ omel
Alisa dalam hati. Dalam pada itu dia risau juga andai
syarikat warisan keluarga itu musnah di tangan Aisara.
Aisara mengeluh. Terasa semua orang macam
sengaja mahu menyeksa dirinya demi mempertahankan hak
mereka saja. ‘Ya Allah, bila hidup aku ni nak aman!’ rintih
hatinya. Javandra dipandang semula.
“Raja Ahmad Yusuf tu siapa pulak? Apa kenamengena
dia dengan keluarga kami?” Lancar dia
menyebut nama lelaki itu. Entah siapa pula yang diselit
arwah ayahnya dalam wasiat itu sebagai senjata untuk
memaksa dirinya.
“Oh. Ini dia Raja Ahmad Yusuf.” Javandra
memperkenalkan pemuda asing yang duduk di hadapan
Amir. Mereka belum sempat berkenalan kerana Aisara
terlewat menghadiri perjumpaan tu.
Aisara memandang tepat lelaki itu. Nampak okeylah,
ada rupa dan matang, tafsir hatinya.
Lelaki itu melemparkan senyuman. “Call me RY.” Lawa gila,
bisik hati kecilnya yang menilai Aisara dari tadi.
Aisara menjeling, menunjukkan sifatnya yang angkuh.
‘Ek eleh perempuan ni. Kau ingat aku nak sangat ke
semua harta kau? Aku pun kena paksa macam kaulah.
Kalau kau bagi kerjasamakan senang. Tak payah aku nak
duduk sini lama-lama,’ omel RY yang berhidung mancung
dan berkulit kuning langsat itu terus mengukir senyuman,
menyembunyikan rasa hati yang mula naik meluat
dengan Aisara.
“RY ni sepupu kita. Ibu dia dengan daddy adikberadik.
Dia baru balik dari oversea. Balik atas permintaan
daddy,” jelas Alisa tidak mahu Aisara berteka-teki
mengenai latar belakang RY. Dia harapan Aisara tak sinis
dengan kewujudan RY.
“Oh, kau orang dah kenal.” Aisara memandang Alisa.
Alisa mengangguk dan tersenyum.
Aisara buat muka menyampah. Dia bukan kenal
sangat saudara-mara ayah mereka. Itu pun sebab Puan Sri
Marina tidak suka sangat balik ke kampung ayah mereka.
Hanya kerana bukan menantu pilihan, perempuan
terhormat itu terus menjarakkan hubungan kekeluargaan
mereka.
“Tak kisahlah siapa dia ni. Aku tetap tak boleh
nak terima semua ni secara mengejut. Aku perlukan masa
untuk berfikir,” getus Aisara. Dia terasa seperti baru
dibebani batu yang besar dan tubuhnya yang kurus itu
akan penyek dihempap tanpa belas kasihan.
Berkerut dahi RY. Dia kena bekerja dengan budak budakkah?
“Tiada masa yang awak perlukan, Cik Aisara. Semua
tanggungjawab ini harus dipikul segera. Dalam urusan
business, setiap minit ialah duit,” celah RY selamba. Dari tadi
memerhatikan lagak Aisara, naik rimas pun ada.
Waa... Lelaki di hadapannya ini sudah mula hendak
tunjuk kuasa. Langsung tidak mahu faham. Bila masa dia
bersetuju mahu menurut arahan lelaki itu?
“Aku cakap dengan kau ke? Tak, kan? Jadi
jangan menyibuk!” marah Aisara menyerlahkan lagi
kesombongan yang tersembunyi dalam diri.
“Aisara!” tegur Puan Sri Marina. Dia semakin terbiasa
dengan perangai buruk Aisara kebelakangan ini. Aisara
berubah macam itu pun kerana dia, tetapi dia tidak
kesal pun. Kalau dia tidak bertindak pantas sebelum ini
pasti orang lain yang mendapat untung sekarang. Isi
kandungan wasiat itu sudah dijangkakan. Aisara anak
kesayangan suaminya, masakan anak-anak lain dapat
merebut kelebihan Aisara di hati ayah mereka. Sementara
anak-anak lain masih dungu menentukan hala tuju masa depan
mereka, biar dia saja yang lebih dahulu memainkan peranan.
Hati Puan Sri Marina tersenyum puas dengan apa yang sudah
dimenangi.
Aisara menjeling Puan Sri Marina.
“Ah, sudahlah. Aku nak balik. Buatlah apa kau
orang semua suka. Tak mati aku kalau tak ada syarikat ni,”
ucap Aisara berang kerana sakit hati ditegur lantas ruang
pejabat itu segera ditinggalkan. Daun pintu dihempas
dengan kuat sebaik sahaja dia keluar. Semua yang berada di situ
terpinga-pinga dengan tindakan nekadnya.
RY terus menggeleng. Dia tidak tahu sejauh mana
mereka mampu bekerja sama. Ciri-ciri diri Aisara yang
diceritakan arwah bapa saudaranya jauh berbeza dengan apa
yang dilihat.
“Emm...” Javandra ingin meneruskan kata-kata tetapi
Alisa lebih dulu mengangkat tangan, memberi isyarat
supaya peguam itu diam.
“Berilah dia sedikit masa, dia masih terkejut. Saya
percaya dia akan menurut juga,” celah Alisa yakin. Bila
pernah lagi Aisara membantah kemahuan ayah mereka.
Dan belum pernah juga ayah mereka membantah
kemahuan Aisara. Pandangan Alisa beralih kepada RY
pula.
RY yang menghormati keluarga bapa saudaranya itu
menyokong permintaan Alisa dengan senyuman.
Javandra mengangkat bahu, terpaksa menurut
kemahuan keluarga itu.
Sementara mereka masih berbincang akan beberapa
lagi hal berkaitan, Amir keluar menyusur Aisara.
Kelopak mata Aisara mula membendung air
jernih. Sikit lagi mesti tumpah. Dia benci mengenang nasib
diri yang selalu terikat dan terjerat demi kebahagiaan
orang lain. Tahukah mereka bahawa hampir seluruh
kebahagiaan hidupnya telah dikorbankan demi memuaskan
hati mereka? Hatinya bukan saja sudah tercalar, tetapi
hancur berkecai. Perasaannya sudah mati. Mungkin
sedikit masa lagi dia akan benar-benar berubah personaliti
menjadi lebih kejam. Kelopak matanya disentuh kasar
dengan belakang tangan sendiri, geram rasa hatinya
apabila air jernih itu meleleh juga ke pipi. Hatinya tetap saja
hati seorang perempuan, biarpun sudah sehabis daya
mengeraskan perasaan.
“Kak Ai... Kak Ai... tunggulah,” laung Amir mengejar
dari belakang.
Di kaki lima bangunan 24 tingkat itu langkah
kaki Aisara terhenti, dibiarkan adik kesayangannya itu
datang menghampiri. Setelah pemergian ayah mereka,
siapa lagi yang memahami dirinya? Hanya Amir. Rugilah
kalau merajuk hati dengan Amir. Hilang terus tempat
mengadunya.
“Sis... janganlah emosi. Kau kan, tabah. Mesti
ada sebab daddy suruh kau buat semua tu. Kaukan anak
kesayangan daddy, mesti dia nak kau bahagia,” sengaja nama
ayah mereka diungkit. Amir harap kakaknya yang kepala batu
ni akan terpujuk.
Aisara menjeling.
“Bahagia? Bahagia yang macam mana?” marahnya
tetap tidak boleh terima semua tu. Kata-kata Amir hanya
menyakitkan hati. Macam Amir tidak tahu apa erti
kebahagiaan buat dirinya. Semua tu sudah diragut dengan
kejam dan hatinya dibiarkan menangisi kekecewaan yang
kian meracun jiwa.
“Aku faham...” ujar Amir simpati. “Aku tahu apa
yang kau lalui tu susah.” Dia sendiri kurang mengerti,
mampu ke Aisara melakukan sesuatu yang tidak disukainya.
“Tapi kau tak boleh hilang semangat. Bukan ke kau
selalu percaya, setiap kebaikan akan mendapat balasan
baik juga?” Amir berlagak tenang seraya mengingatkan
Aisara akan nasihat yang pernah diberikan dulu.
“Baik?” Aisara tersenyum sinis. Dia memang tidak
suka hendak dengar semua tu. Semua itu tipu!
“Aku dah tak percaya dengan semua tu. Kau beritahu
aku, kebaikan aku yang mana dah berbalas? Tak ada! Satu pun
tak ada,” tekan Aisara kesal. Entah berapa lama lagilah agaknya
dia kena menjadi dian yang menyinari hari.
Amir menggeleng perlahan. Tidak percaya Aisara
cakap seperti itu.
“Sis... kenapalah kau jadi macam ni? Mana kakak
aku yang penuh kasih sayang dan nasihat tu? Mana kakak aku
yang lemah-lembut penuh sopan dan santun tu? Mana kakak
aku yang manja tu?” Rindu dia dengan Aisara yang dulu.
Namun sayang, kakaknya itu sedang terperangkap di sebuah
demensi lain.
“Dia dah tak ada. Dah mati!” jawab Aisara benci
dengan diri sendiri yang lemah dulu. Dirinya yang gagal
mempertahankan orang-orang yang disayangi. Dirinya yang
melukakan hati insan yang sanggup korbankan apa saja
untuknya.
“Aku yang baik tu dah mati!” ulangnya tegas. Air mata
yang tumpah diseka dengan jari.
“Kak Ai! Sampai hati kau. Sejauh mana pun kau lari
dan bersembunyi, aku tahu hati kau tak kan tenang. Kau ubah
diri kau sebab nak lupakan...”
“Cukup!” tengking Aisara. Ketinggian nada suaranya
menyentakkan tubuh Amir lalu bicara adiknya itu mati
begitu saja.
Amir langsung tidak faham kenapa Aisara begitu
benci dengan lelaki itu? Sedangkan sedikit masa dulu
merekalah insan yang saling menyayangi dan tidak
mungkin dipisahkan. Apa sebenarnya yang terjadi? tanpa
sebab kukuh Aisara memutuskan hubungan itu. Siapa yang
mencurangi hubungan mereka? Lelaki itukah atau Aisara
punya sebab lain? Berkerut-kerut dahinya berfikir. Ah,
biarlah. Masalah cinta biasalah, ada masa bahagia dan dapat
bersatu, ada masa tersangkut di pertengahan jalan dan
kecewa. Dia gagal mencari jawapan dari pertanyaan yang
bermain di hati. Tidak perlu ambil pusing lagi.
“Cerita lepas tak payah nak ungkitlah.” Aisara
memberi amaran. “Aku yang dulu tu dah mati. Dah tak
ada! Kalau kau tak suka dengan aku yang ada depan kau
ni, kau boleh berambus!” marahnya lagi tidak mahu terus
dinasihati. Tiada siapa faham apa yang dilalui. Walaupun
selama ini Amirlah penyimpan rahsia-rahsia besarnya
kerana mereka sangat rapat. Tapi masih ada satu perkara yang
dia belum sudi mahu berkongsi dengan Amir.
“Kak Ai...” tegur Amir sedikit terasa hati ditengking
begitu.
“Aku dah cakap, kan? Soal syarikat tu kau jangan
risau. Aku tak kan sia-siakan amanah daddy. Kau orang
tak kan jatuh miskin selagi aku hidup!” janji Aisara
sebelum berlalu pergi.
Amir terpaku berdiri di situ. Memerhatikan
kakaknya yang benar-benar sudah menjadi orang lain.
Mungkinkah ada cara untuk mengembalikan kakaknya yang
dulu? Dia terkilan sendiri.
LAMUNAN Aisara mati di situ. Kisah yang merantai
dia dan syarikat itu jika terus dikenang tetap tidak
meloloskan dirinya dari tanggungjawab besar yang sudah
terpikul kini. Berbekalkan apa yang dipelajari dan
pengalaman bekerja di bawah paksaan ayahnya sedikit
masa dahulu, syarikat itu terus diusahakan. Secara tidak
langsung dia sedar RY banyak memainkan peranan
sebagai tulang belakangnya. Tanpa RY pasti syarikat itu
semakin merosot dek sikap sambil lewanya. Aisara
mengeluh. Egonya masih belum mahu berbaik dengan lelaki
itu. Tiap kali terfikirkan RY hati dia pasti diserang virus.
‘Ah, lantaklah! Siapa suruh suka ambil kesempatan?
Banyak mana pun jasa yang dah RY curahkan, aku tetap rasa
dia ada agenda tersendiri. Cuma penelitian mata kasar aku
aje yang belum nampak niat dia selama ni.’ Aisara terus
syak wasangka melayan perasaan benci yang menular
dalam hati. Dia tidak kisah pun kalau nanti dikata tidak
mengenang budi. RY itu kuli, dia bos. Apa pun yang RY
buat untuk syarikat, sudah dibayar. Aisara rasa menang
dengan berfikir macam tu.
Pandangan matanya beralih keluar tingkap, rasa
sesak nafas dalam dada harus dikurangi dengan mengalih
perhatian. Pemandangan serba menghijau dibiarkan
menjamu mata dan sedikit keselesaan mula menyerap ke jiwa.
Seketika kemudian Aisara kembali normal, tiada lagi bayang bayang
kisah semalam menghantui mindanya.
iPad yang terletak atas pangkuannya dihidupkan.
Sambil menunggu kereta yang dipandu Hafiz tiba ke
destinasi, bolehlah dia menghabiskan sedikit masa
menjengah dua akaun sosialnya. Sekadar melihat
sepintas lalu kemas kini rakan-rakan di cuit-cuit, dia
beralih ke muka buku pula.
Hah! Muka buku ni kalau dibuka memang boleh
melemahkan denyutan jantungnya. Dia sudah buat akaun
dengan nama baru dan kawan-kawan baru pun kenangan
yang satu itu tidak mahu lenyap. Nampak sangat dia gagal
tipu diri sendiri. Tidak jadilah untuk tengok lama-lama.
Hatinya sudah mula berlagu resah dan rasa terluka. Cepat-cepat
iPad itu ditutup. Kalau tengok juga nanti mahu air matanya
menitik atas skrin itu.
“Tempuhlah jalan pertengahan dan keseimbangan
dalam cinta dan benci seperti pesan Rasulullah, cintailah
kekasihmu dengan biasa-biasa saja, kerana boleh jadi
suatu hari nanti dia akan menjadi sesuatu yang kamu
benci, dan bencilah sesuatu yang tidak kamu sukai
dengan biasa-biasa saja, kerana boleh jadi suatu hari nanti
dia akan menjadi sesuatu yang kamu sukai...” Tazkirah itu
mengakhiri segmen cinta dan hati di radio.
Aisara mencebik. Aik? Radio tu apahal? Macam
tahu aje apa yang bermain dalam hatinya. Tidak adil betul.
Seolah-olah kisah hidupnya sudah dilihat oleh semua orang.
“Fiz, tolong mainkan lagu-lagu dalam thumbdrive tu,”
arah Aisara dari tempat duduk belakang.
Melisa dan Hafiz yang duduk bersebelahan saling
berpandangan. Aduhai... mahu koyak gegendang
telinga mereka rasanya. Entah kenapalah bos mereka itu suka
sangat mendengar lagu itu berulang-ulang kali.
“Cik Ai, boleh tak kalau kita dengar radio aje?” pinta
Melisa perlahan. Bukan niat untuk membantah tetapi
betul-betul sudah tidak larat hendak dengar semua itu.
“Radio apa tengah highway ni? Siaran tak jelas,”
bantah Aisara. “Dengar aje lagu-lagu dalam thumbdrive tu.” Dia
mula bersandar sambil memejam mata.
Huk... huk... huk... Bos mereka naik angin pula.
Melisa terdiam. Dari tadi elok saja radio itu berkumandang,
bila masa pula siarannya jadi tidak jelas? Memang tidak ada
pilihan. Dia pantas menurut arahan. Lagu Cinta Pertama
dan Terakhir nyanyian Sherina mula menyapa halwa
telinga mereka untuk kali yang ke-150 kali.
Hipokrit sungguh dirinya, lari dari muka buku
kononnya mahu melupakan cerita lalu. Tetapi hatinya
dibiarkan pula menangis dibuai lagu-lagu kenangan.
Berapa lama lagilah dia harus begitu? Ego Aisara enggan
menjawab. Demi cinta yang sudah dilukai, dia rela
terhukum begitu.
URUSAN di Johor Bahru selesai. Lebih kurang jam 5.40
petang mereka tiba di Kuala Lumpur. Pekerja Tiara
Holdings mula pulang. Bangunan itu beransur menjadi
sunyi dan sepi. Beberapa minit kemudian pintu bilik Aisara
diketuk. Dengan riak malas, tanpa arahan dibiarkan saja daun
pintu dikuak lebar dari luar. Muncul wajah Melisa.
“Cik Ai nak minum? Saya buatkan air,” tanya Melisa
ramah. Kalaulah waktu bekerjanya sama seperti pekerja
yang lain, pasti sudah lama dia balik. Tetapi jadual
kerjanya mengikut keperluan Aisara. Dia faham dengan
kandungan kontrak kerja yang ditandatanganinya dulu, jadi
jangan hendak merungut.
“Tak payah. Saya nak rehat. Kejap lagi kita balik,”
tolak Aisara dengan nada letih.
Melisa mengangguk dan menutup daun pintu
semula. Begitulah tugasnya sebagai PA Aisara yang
dibayar ribuan ringgit untuk sedia berkhidmat 24 jam
setiap hari. Tiada cuti kecuali benar-benar sakit atau
khidmatnya memang tidak diperlukan.
Telefon bimbit Aisara berlagu minta diangkat. Dia
mencapai telefon bimbit yang terletak atas meja. Baru saja ikon
jawab mahu disentuh, panggilan itu terputus.
Aisara mengenggam telefon bimbit itu di tangan.
Malaslah dia hendak duduk di situ lagi. Lebih baik balik
menulis kisah-kisah hidupnya sebagai novel. Selama ini
pun semua novelnya ialah kisah hidup sendiri yang diolah
menjadi kisah cinta. Pembaca bukannya tahu, hanya dia dan...
Ya Allah kenapa degil sangat hati ni? Aku tak nak
ingat dia lagilah! Marahnya kepada diri sendiri. Buat apa
berharap lagi. Tidak cukupkah rasa sakit yang ditanggung
selama ini? Luka dalam hati yang kian parah ini kalau
asyik disentuh dia juga yang terseksa. Orang yang sudah
menghancurkan hidupnya kini terus mendabik dada dan
ketawa megah. Ingat dia puas hati ke tengok manusia
kejam itu senyum setiap kali mereka berhadapan. Dia
mahu orang itu pun selalu hidup dalam duka macam
dirinya. Barulah adil.
Hati Aisara masih berdegil mahu tahu macam mana
kehidupan si dia sekarang? Kalau bukan sebab manusia
kejam tu, mesti sekarang mereka bahagia. Punya
keluarga dan anak-anak yang comel. Sekarang dia hanya
boleh berharap si dia yang sudah jauh dari hidupnya itu
sedang berbahagia. Biarlah hatinya selalu terseksa setiap kali
bayangan wajah si dia terlintas di fikiran. Kerana dia tahu, dia
insan berdosa.
Aisara melepaskan keluhan. Penat sudah melayan
perasaan. Lagipun dia bukan wanita lemah-lembut lagi,
yang mudah tersentuh dan tidak pandai melawan.
Sekarang dirinya sudah dinaik taraf. Jadi cerita bertahun
dulu sudah jadi sejarah dan tidak perlu diungkit-ungkit
lagi.
Segera badannya ditegakkan daripada posisi
bersandar. iPhone dan dua lagi telefon bimbit miliknya
dimasukkan ke dalam beg tangan. Meja dirapi seperti
biasa. Dia bangun dari duduk dan mengangkat beg tangan
serta beg yang berisi gajet-gajetnya ke bahu. Hati sudah
mahu pulang. Rindu kepada apartmennya mula menujah
perasaan. Dia ingin bertapa di situ.

No comments:

Post a Comment