“Jangan kau merasa jauh. Bila kau dekat
dengankuJangan kau menganggap cinta.
Mudah datang, mudah pergi”
(Benci Bilang Cinta – Radja)
“KAU nak apa lagi? Nanti dah siap aku letaklah
invois tu kat bilik kau,” marah Aisara. Sakit matanya
melihat RY berlama-lama kat situ.
Alah, RY tahu, kalau yang dihadap Aisara itu skrin
iPad, pasti bukan pekerjaan berkaitan syarikat, itu kerja
peribadinya. Kerja rahsia yang diusung sepanjang masa.
Dia hendak juga tahu apa rahsia di sebalik iPad tu. Tetapi
nanti kalau ditanya dia dituduh penyibuk pula. Aisara
terus direnung.
Aisara kurang senang. Kenapa RY merenung dia
begitu? Apa lagi yang tidak kena? Mulalah hatinya
mendidih.
“Kau ada masalah apa lagi dalam bilik aku ni? Dah
waktu makan pergilah makan, karang kebulur pulak,”
halaunya. Orang yang tidak reti bahasa memang kena layan
seperti itu.
RY tarik muka masam. “Awak tak nak makan sekali
ke?” Dia masih berusaha untuk perbaiki hubungan mereka.
“Tak payahlah nak buat baik. Menyibuk aje!”
balas Aisara meluat. Jarinya terhenti daripada menaip. Tahu
tak? Lelaki itu baru sahaja menyebabkan idea-idea yang
datang dalam fikirannya berterbangan entah ke mana.
Ingat senang ke nak mencipta idea? Hei! Dia sudah rasa
hendak menjerit pula. Kalau RY tidak keluar juga dari bilik
itu pasti sekejap lagi dia buat perangai histeria.
Eiii, perempuan ni memang tak reti nak jaga hati
orang langsung. Sombong! Memang tak guna buat baik
dengan orang macam ni. Ingatkan dia dah bawak bubur ke
hospital hari tu, adalah can nak berbaik. Tapi... hampeh!
omel RY lantas terus saja meninggalkan bilik itu.
Aman! Aisara tersenyum sinis. Tidak perlu dia buat
perangai pelik-pelik. Seronok rasanya. Barulah ada sedikit
ruang privasi. Idea mahu terus menulis sudah terbang
dibawa RY, terpaksalah dia menyimpan saja hasil yang ada.
Setelah itu dia mendaftar masuk akaun Flickrnya pula.
Dunia alam maya yang memang tidak boleh ditinggalkan di
setiap masa terluang. Dia mula memilih gambar-gambar yang
mahu dipamerkan di pameran fotografi nanti.
Di pameran itu nanti dia bukan sekadar hendak
tonjolkan keindahan alam sebagai kempen kesedaran hari
bumi sahaja, tetapi dia mahu ambil kesempatan memilih
gambar-gambar baru. Dia hendak cetak poskad untuk
diberikan kepada pengunjung-pengunjung rangkaian hotel
di bawah Tiara Holdings sebagai cenderahati. Okey tak?
Pandai dia curi hati pelanggan, kan?
Poskad yang mempamerkan tentang keunikan dan
kecantikan Malaysia itu akan menarik lebih ramai pelancong
mengunjungi Malaysia dan sekali gus memberi keuntungan
kepada rangkaian hotelnya. Lepas tu gambar-gambar yang
lebih cantik akan ditempah menjadi puzzle, disusun semula,
dibingkaikan dan diletakkan pada dinding-dinding
rangkaian hotelnya sebagai hiasan. Manalah tahu ada
pelancong yang berminat, puzzle-puzzle itu boleh dijual.
Hasilnya akan dimasukkan ke dalam dana kebajikan syarikat.
Yang untung bukan hanya syarikat tetapi semua yang
terlibat. Ya! Dia memang bijak. Aisara tersenyum.
Pekerjaannya disambung.
Hampir sejam memilih gambar-gambar yang telah
dirakam oleh lensa kameranya, Aisara berpuas hati dengan
hasil kerja sendiri. Tidak sedar pula dia sudah semakin bijak
mengendalikan kamera dan mengambil sudut-sudut
terbaik untuk diabadikan. Satu lagi kelebihan dirinya
bertambah. Dia bangga sendiri. Dulu, dia tidak minat
fotografi. Tetapi bila hidupnya menjadi terhenti dan sepi,
dia terfikir untuk isi masa. Dia pun belajar-belajarlah
merakam pelbagai aksi dan sudut yang menarik minatnya.
Lama-lama dia rasa hobi itu seronok. Macam
paparazzi pun ada juga. Terima kasih kesepian kerana
mengajarnya lebih menghargai hal-hal kecil yang ada di
sekelilingnya. Sekarang untuk memantapkan kemahiran,
dia suka menyertai seminar dan kursus-kursus berkaitan
dengan fotografi. Rahsia di sebalik semua itu, sebenarnya
dia mahu tipu dirinya lagi dengan memastikan setiap
waktunya terisi. Jika tidak kenangan silamnya akan muncul
mengguris hati. Dia mahu berhenti mengisi waktu hanya
dengan tidur. Tidur sahaja yang buat dia tak perlu
menangis dan berfikir. Kecuali mimpi. Tetapi kalau sudah
penat itu memang dia tidak bermimpilah.
Aisara mengeliat semahu hati. Matanya sudah
letih sebab lama sangat mengadap skrin iPad. Daripada
membiarkan diri terus mengantuk di situ, elok dia pergi
basuh muka sekejap. Selepas itu boleh basahkan tekak
dengan secawan Neslo panas di pantri. Haus. Melisa pula
tiada. Dia menyuruh Melisa bertugas di studio fotografinya
sehingga petang nanti. Dia bangun dan melangkah keluar
dari pejabatnya menuju ke bilik air. Ketika melalui pantri,
cuping telinganya menangkap suara orang sedang berbual
mesra di situ. Siapalah itu? Merengek-rengek macam
minta kena kaki. Dia rasa ada yang tidak kena dalam pantri
tu. Tapi dia bukanlah jenis manusia penyibuk. Bilik air
terus ditujui. Sepuluh minit kemudian dia singgah ke pantri.
“Alah, kalau you free malam nanti kita jumpalah,”
suara mesra dan manja kedengaran di sebalik daun
pintu. Aisara buat tidak peduli. Tombol pintu dipulas
perlahan dan daun pintu dikuak.
“I memang selalu free,” balas suara lelaki yang
membelakangkan Aisara itu.
Wekkk... rasa hendak termuntah. Mengayat tidak
kena tempat. Aisara berdeham. Matanya menatap aksi
asmaradana yang terpamer. Kedua pasangan yang sedang
asyik berbual mesra itu seperti terkejut. Si gadis tersipu
malu, si jejaka pula buat-buat tidak peduli. Mana hendak
peduli, lelaki itu memang tidak punya hati. Puas dicemuh
pun masih berwajah selamba.
“Drama biasa kat TV... Bos menggatal dengan
pekerja. Pekerja pulak dari brand tak sedar diri. Anak dah
berderet di rumah perasan solo lagi,” sindir Aisara sambil
berjalan mendapatkan muk yang tersimpan dalam kabinet.
Heliza, setiausaha RY membetulkan rambut
panjangnya yang baru dibelai bosnya itu tadi. Dia terkebil-kebil
menahan malu. Betullah cakap Aisara itu dia sudah ada dua
orang anak dan suami.
Sekilas Aisara memandang Heliza. Dia buat muka
kerek. Tahu malu ke perempuan ini? Di mana-mana pun boleh
saja layan lelaki.
RY selamba saja ketika pandangan Aisara beralih
kepadanya. Langsung tidak rasa bersalah atas perlakuan
sumbangnya. Dia hanya mengayat, bukan buat hal tidak
senonoh pun. Tidak perlulah Aisara untuk besarkan hal itu.
“Jealous ke?” duga RY.
Aisara buat muka sengal.
“Eiii, tolong sikit. Tak kuasa aku nak jealous.
Kau siapa aje dengan aku? Kuli,” balasnya sombong.
Plastik serbuk bancuhan segera Neslo dikoyak dan isinya
dituang ke dalam muk.
Wah, manis betul mulut Aisara melontar kata. Buat
telinga RY rasa macam terpacak duri saja.
“Kalau tak, baguslah. Takut ada orang simpan hati
dan merana sendiri nanti,” balas RY mengejek.
Aisara kerut dahi. Apa hal mamat ni? Ingat aku ni
dah hilang akal ke nak jatuh hati dengan dia. Aku sedar diri
lagilah! getus Aisara dalam hati. Atas bawah RY dipandang
sebelum dia berpaling ke kabinet semula. Plastik yang sudah
kosong dicampak ke dalam bakul sampah di sisi kaki
kanannya.
“Jangan nak perasanlah. Mati hidup semula pun
tak ada sebab aku nak simpan hati kat kau,” ujarnya
selamba lantas butang dari alat pemanas air ditekan. Air
panas yang keluar ditadah dengan muk di tangan.
RY tersenyum jahat. Ada orang yang bakal menangis
dikerjakan kejap lagi, isytihar hatinya.
“Sayang, you keluar dulu. I ada hal sikit dengan
bos kita ni,” arahnya sambil membukakan Heliza pintu.
Heliza yang memerhatikan perang mulut antara
dua orang bosnya itu akur. Buat apa lagi dia tunggu di
situ. Jika dia terus mendengar lagi kata-kata Aisara, boleh
menangis jadinya. Elok cepat-cepat beredar.
RY sengaja mengunci pintu.
Aisara menoleh kepadanya.
RY melemparkan pandangan nakal. Bibir bawahnya
sengaja digigit dengan gaya seksi.
Aisara mencebik buat tidak peduli. ‘Jantan ni kalau
berani buat bukan-bukan, aku pun tak teragak-agaklah nak
siram air panas kat muka dia. Aku bukan Heliza yang boleh
digoda dengan kata- kata manis,’ bisik hatinya.
RY mula mendekat. Rambut Aisara yang lurus
hampir mencecah pinggan itu disentuh. Hitam
berkilat memang menggoda pandangan. Baunya wangi.
Arghhh... tergoda sukma. Khayal naluri lelakinya
seketika.
“Awak ni cantik sangat... macam bidadari. Sesiapa
pun pandang mesti jatuh cinta,” pujinya. Selamba saja hujung
rambut Aisara dihidu.
Aisara menjeling tajam. Hish! Memang angin puting
beliungnya sampailah. Dia tidak suka sikap kurang sopan tu.
RY membalas dengan senyuman nakal. Suka hatinya
melihat Aisara marah. Kita teruskan permainan.
“Tapi, sayang... awak ni ego, hati kering. Tak ada
perasaan,” tuturnya separuh berbisik. Tangannya
menyentuh bahu Aisara. Hehehe... kejap lagi mesti Aisara naik
gila. Dia suka! Hati RY senyum lebar.
Eh, apasal tangan laki ni merayap-rayap macam ketam
pulak ni? Nak kena kerat? Muka Aisara yang putih licin
semakin merah.
“Hati aku kering ke, apa ke. Kau susah hati kenapa?”
marah Aisara. Sempat juga Neslo dari muknya diteguk.
“Bukan susah, tapi kesian,” balas RY mempersenda.
Mulutnya didekatkan ke telinga Aisara.
“Hish!” Badan RY ditolak ke tepi. Aisara mengambil
tempat untuk duduk.
“Ish... ish... ish... awak ni makin garang, makin
menawanlah. I like it,” sakat RY. Dia ambil tempat di
hadapan Aisara. Wajah itu ditatap sedekatnya.
Aisara buat tidak peduli. Belum masanya lagi dia
melenting. Kau tunggu sekejap ya jantan! gumam Aisara dan
Neslo diteguk lagi.
RY semakin teruja mahu menguji hati perempuan tu.
“Berambuslah! Aku tak minat nak layan sasau
kau nilah.” Hah! Kan bom dah meletup. Hidung RY yang
hampir mengenai hidungnya ditolak kuat dengan tapak
tangan. Aisara bangun dari duduk. Mahu menikmati
Neslo pun tidak senang. Minuman yang masih banyak
ditinggalkan.
Walaupun hidungnya terasa perit RY tetap
menerpa Aisara. Dirapatkan diri serapat yang boleh
dengan Aisara. Dari belakang tubuhnya menghimpit tubuh
kurus Aisara ke daun pintu yang tertutup rapat itu.
Bahang di hati Aisara hampir mencapai tahap
maksimum. Setan! cemuhnya dalam hati. Dia sedikit
meronta.
“Kau ni apa hal?” Aisara cuba melawan pula. Ternyata
tenaga lelaki RY terlalu kuat. Dia terus terhimpit. Menyesal
tidak belajar kung fu dulu.
RY meletakan dagu atas bahu Aisara pula. Bibirnya
dimuncungkan. Sengaja cuba mendekati pipi Aisara.
Aisara semakin berang dan meronta-ronta. Sungguh,
apa pun terjadi dia tidak rela dicium sepupunya itu.
“Lepaslah!” bentaknya mula rasa nak menangis.
Suka RY melihat Aisara dalam keadaan tidak
berdaya. Ada mulut macam puaka pun tidak mampu
menyelamatkan diri. Perempuan! Apa sangatlah kudratnya
berbanding lelaki.
Aisara pejam mata sekuat hati. Memang terasa
lemahnya menjadi seorang wanita. Dia tidak terdaya
melawan. Eiii... sakitnya hati! Lepas ini mesti ada orang
bakal disaman atas dakwaan cuba melakukan gangguan
seksual di tempat kerja.
Melihat Aisara tewas, RY melepaskan tubuh perempuan
itu. Dia ketawa semahu hati dan duduk menjauh di belakang
Aisara. Suka dia tengok muka pucat Aisara. Hilang suara
lantang dan kata-kata nista perempuan tu ketika dalam keadaan
sedemikian. Padan muka.
Sebaik mendengar suara ketawa RY agak jauh
daripadanya, Aisara membuka mata perlahan-lahan. Dia
berpaling dan memandang dengan penuh amarah. Lelaki itu
memang melampau! Berani menyentuh tubuh perempuan
yang bukan muhrimnya dan memperlakukannya
sedemikian rupa? Langsung tidak tahu hendak hormat
makhluk Tuhan yang lemah bernama perempuan ini. Huh!
Pandangannya beralih ke meja. Menurut hati yang panas
berapi, pantas muk yang ditinggalkan tadi disambar dan
dibaling ke arah RY sekuat hati. Dia merengus geram.
Pemegang pintu pantri ditarik kasar dan daun pintu itu
ditampar, melepaskan geram.
“Iblis! Aku tak sangka perangai kau teruk!” jerit
Aisara sambil menjeling tajam sekali lagi. Daun pintu
dihempas sekuat hati sebelum berlalu pergi.
Ketawa RY berderai melihat gelagat Aisara. Mujur
dia dapat menepis muk itu. Kalau tidak alamatlah
kepalanya berkecai.
No comments:
Post a Comment