DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 1



GULA-GULA getah yang sudah hilang manisnya diludah selamba ke tepi jalan berbatu di tepi rumah. Hujung topi yang dipakai pula ditarik agar menutup sebahagian dahi. Sempat membetulkan anak rambut yang berjuntaian keluar sebelum membongkokkan badan. Setelah mengetatkan tali  kasut Conversenya, dia terus berjalan mendapatkan basikal yang tersandar di tepi rumah.
Syarizad mengayuh perlahan sambil menyanyi-nyanyi kecil. Cuaca baik, hati pun tenang. Walaupun tadi masa nak keluar dari rumah sempat lagi berperang mulut dengan mak ngah, semua tu dia buat tak kisah. Alah, nanti balik baiklah semula dengan mak ngah. Mak ngah pun bukannya kejam sangat sampaikan tak nak bagi dia masuk rumah, kan?
Kayuhan basikal dilajukan lagi sambil mata melilau ke sekitar sawah padi yang terbentang luas. Fikiran melayang-layang. Asyik sangat melayan perasaan sampaikan dia tidak sedar ada sebuah kereta sedang bergerak dari arah bertentangan dengannya. Terdengar sahaja bunyi hon kereta itu, Syarizad tersentak. Basikalnya tidak sempat dikawal dan dia terus terjatuh ke tepi jalan berbatu itu tanpa sempat mengawal imbangan basikalnya.
“Aduh!” Syarizad terjerit kuat.
Basikal yang jatuh menimpanya diangkat dan ditolak kuat agar menjauhinya. Mujur pakai kasut, jadi tak adalah luka kat kaki. Cuma lengan bajunya yang terkoyak menyebabkan luka sepanjang tiga inci tertoreh di situ. Darah pekat meleleh perlahan-lahan. Syarizad mendesis. Pedih!
Kereta Mercedes berwarna silver yang hampir melanggar Syarizad sebentar tadi berhenti di tepi jalan. Pemandunya keluar lalu berjalan tergesa-gesa mendapatkan Syarizad. Nasib baik pak cik tua. Kalau tidak... memang waktu itu juga Syarizad ‘sembur’. Dalam hati tak henti-henti menyumpah.
“Nak... anak tak apa-apa ke? Maaflah pak cik tak sengaja tadi. Pak cik dah cuba elak tapi jalan ni sempit sangat. Maafkan pak cik ya?” pinta pemandu itu sambil membongkokkan badannya memandang Syarizad. Riak wajahnya berkerut-kerut tanda kesalahan memang berada di pihaknya.
“Tak apa, tak apa... sikit aje ni.” Syarizad paksa bibir untuk tersenyum meskipun nampak sangat tidak ikhlas. Fuh, nasib baik tak terjun masuk sawah. Kalau tak, tak tahulah apa akan jadi. Mahunya balik nanti kena bebel seguni dengan mak ngah.
Syarizad cuba bangkit berdiri tetapi tidak semena-mena kakinya terasa sangat sakit untuk berpijak. Sudahnya dia terduduk semula di situ.
“Anak ni okey ke tak? Boleh jalan? Ke nak pak cik hantar balik rumah? Rumah anak ni kat mana?” Pak cik itu bertanya dek kerana rasa bersalah yang amat sangat. Kasihan tengok gadis yang hampir dilanggar itu bersusah payah bangun berdiri. Bahagian lengan bajunya koyak, siap berdarah lagi tu.
Syarizad menggeleng-geleng laju. “Tak apa, pak cik. Saya okey, boleh jalan sendiri,” ujarnya tanda tidak mahu menerima sebarang bantuan.
“Pak Ali!”
Syarizad dan pak cik itu sama-sama menoleh ke arah kereta Mercedes yang masih terparkir di birai jalan. Seorang wanita dalam lingkungan 30-an sedang berdiri tercegat di situ sambil berpeluk tubuh. Tengok daripada penampilan, Syarizad yakin wanita itu memang orang berada. Tak perlu tengok orang, tengok kereta aje pun dah cukup. Hmm, padanlah dengan orangnya. Berlagak.
“Buat apa lagi tu? Tahu tak saya dah lambat sekarang ni?” jerkah wanita itu dengan wajah garang.
Errr... datin, saya cuma nak tolong anak ni. Kesian, kaki dan tangan dia luka. Boleh tak kalau saya hantar dia balik ke rumah dia dulu?” Pak Ali meminta izin. Pun begitu, wajahnya nampak takut benar.
Wanita yang dipanggil datin itu mencerlungkan matanya.
“Pak Ali ingat kereta saya ni ambulans ke? Dah, cepat! Tak payah nak tunjuk baik sangat. Saya dah lambat ni!” katanya dengan suara yang kuat lagi tegas. Tanda dia tidak mahu mendengar sebarang bantahan daripada pak cik tua itu.
Pak Ali memandang Syarizad dengan wajah serba salah. Dia nak sangat menghulur bantuan tapi sedar di mana tempat kakinya berpijak.
“Pak cik minta maaf, nak... pak cik tak boleh nak tolong anak.”
“Tak apa, pak cik. Saya boleh balik sendiri,” ujar Syarizad laju. Dalam hati sempat dia menyumpah wanita sombong itu. Mentang-mentang kaya, sesuka hati nak menengking orang tua sebegitu rupa.
Kaki digagahkan untuk bangun dan mendapatkan basikal yang sudah tercabut rantainya. Ingat aku hairan sangat nak naik kereta dia tu? Naik kereta sorong lagi best kut.
“Pak cik pergi dulu ya?” Pak Ali menundukkan kepalanya sedikit kepada Syarizad sebelum kembali ke arah kereta.
Syarizad hanya memandang Pak Ali berlalu dengan ekor mata tanpa berkata apa-apa. Terasa dirinya direnung, dia mengangkat pandangan ke arah wanita berlagak tadi. Renungan wanita itu semacam saja. Syarizad mula rasa tidak sedap. Tadi bukan main nak cepat, ini elok pula tercegat kat situ sambil tengok muka dia tak berkelip-kelip, apahal?
 “Ada apa-apa yang boleh saya tolong ke, puan? Eh maaf... datin?” Syarizad kuatkan suara sambil ukir senyuman palsu. Geram di hati hanya Allah S.W.T. yang tahu.
Wanita itu berpeluk tubuh sebelum menyusun langkah penuh gaya mendekati Syarizad. Matanya liar memerhatikan gadis itu dari atas ke bawah.
Syarizad makin tidak sedap hati. Tengok orang macam nak telan ni kenapa? Ke dia ni mak ayam? Entah-entah dia nak jual aku kut? Ohh tidak! Kena lari sekarang! Tapi... macam mana nak lari? Kaki dahlah sakit, basikal pulak tercabut rantai. Isy! Bala betul.
“Nama?” Datin Hazleena bertanya sambil merenung muka Syarizad.
Syarizad mengerutkan dahinya. Ni apahal tiba-tiba tanya nama orang? Sahlah, memang perempuan ni ada niat tak baik. Hati masih tidak habis-habis berprasangka buruk.
“Kenapa datin nak tahu? Datin kenal saya ke? Atau... datin sebenarnya berminat nak kenal dengan saya?” tanya Syarizad dengan riak muka tegang. Dahlah lengan sakit lagi, terpaksa berdepan pula dengan perempuan berlagak ni. Dengan hati sekali boleh jadi bengang.
“Tengok dari gaya, saya tahu awak ni mesti anak orang susah, kan?” Datin Hazleena tersenyum sinis.
Syarizad mengetap bibir. Hei, aku pakai Converse, okey... tak nampak ke? Hatinya membentak geram. Rasa nak baling Converse pemberian arwah abahnya itu tepat ke muka perempuan berlagak itu.
“Macam ni...” Datin Hazleena menurunkan cermin mata hitam yang sejak tadi diletakkan di atas rambutnya. “Saya ada satu tawaran untuk awak.”
“Tawaran?” Syarizad mengerutkan mukanya pula.
Datin Hazleena mengangguk.
“Minta maaflah, datin. Apa aje tawaran datin tu, saya tak berminat.” Selamba Syarizad menjawab. Dia kembali duduk melutut untuk membetulkan rantai basikalnya. Tidak dihiraukan lengan yang masih terasa pedih.
“Tawaran ni lumayan tau. Rugi kalau awak tolak.” Datin Hazleena mengumpan lagi. Dia sememangnya sedang mencari calon untuk meneruskan rancangan yang sudah terangka kemas dalam kepala. Dan gadis di depannya itu seolah-olah memenuhi ciri-ciri yang dimahukan. Rupa ada, walaupun terlindung di sebalik penampilan dan perwatakan kasarnya.
Syarizad mengangkat muka memandang Datin Hazleena. Hujung topinya dinaikkan sedikit. “Datin nak offer saya apa? Jadi pelacur?”
Berubah riak muka Datin Hazleena dengan soalan celopar Syarizad itu. Terkejut dan tak sangka soalan itu akan ditanyakan dengan nada selamba sebegitu. Tetapi dia tetap cuba untuk menahan sabar. Sekeping kad kecil dikeluarkan dari beg tangannya lalu diletakkan di atas jalan, betul-betul di tepi tayar basikal Syarizad.
Syarizad hanya pandang dengan ekor mata. Apa, jijik sangat ke nak hulur terus kat aku ni?
 “Kerja yang saya tawarkan ni tak adalah sekeji pelacur. Kalau awak setuju, awak boleh contact saya.” Kemudian tanpa berkata apa-apa lagi, Datin Hazleena terus berpaling dan mendapatkan keretanya. Pak Ali yang sudah sedia menunggu di dalam kereta segera memandu pergi.
Syarizad memerhatikan kereta itu dengan mata yang tidak berkelip. Hilang bayang kereta itu, dia tunduk memandang kad wanita itu tadi. Kad itu dicapai dengan tangan kanan sementara tangan kiri masih memegang basikal.
Tawaran kerja apa ya? Syarizad mula panasaran.



“IDLAN!” Syarizad terjerit memanggil nama sahabatnya itu sebaik sahaja sampai di bengkel Abang Bob, tempat biasa untuk dia melepak. Abang Bob, pemilik bengkel itu sendiri sudah kenal sangat dengan dirinya. Jadi dia boleh datang bila-bila masa yang dia suka dan balik bila-bila masa dia rasa bosan.
Idlan yang ketika itu sedang menyelongkar bonet sebuah Proton Waja menoleh ke arah Syarizad yang sedang berjalan masuk ke dalam ruangan bengkel.
“Hah! Datang pun kau. Ingatkan hari ni tak datang,” jawab Idlan setelah Syarizad berdiri dekat dengannya.
“Mana boleh tak datang. Kau tahu tak, hidup aku ni tak lengkap kalau sehari aku tak jumpa kau?” Syarizad tersengih membalas.
Idlan buat muka. “Nak buat aku touchinglah konon?”
Spontan Syarizad mencapai sebatang spanar lalu diketuk bahu Idlan dengan spanar itu. Terjerit lelaki itu mengaduh kesakitan.
“Ganaslah kau ni!” Idlan jegil mata.
Syarizad tayang muka tak bersalah.
“Kau...” Idlan mahu terus bersuara tapi tersekat apabila terpandangkan lengan baju Syarizad yang terkoyak dengan kesan darah di situ. Wajah yang tadinya ceria bertemu gadis itu, kini berubah risau dan terkejut.
“Ijad! Kau kenapa ni? Jatuh basikal ke?” Kalut Idlan bertanya. Tidak sempat Syarizad mengelak apabila tangan Idlan sudah menarik tangannya untuk melihat dengan lebih dekat.
“Sakitlah!” Syarizad menarik semula tangannya. Hilang sudah watak gembira tadi.
Sorry... aku cuma terkejut aje. Tiba-tiba datang dengan lengan berdarah macam ni. Kau okey tak? Jatuh basikal ke? Ada orang kacau ke? Ke... ada orang langgar...”
“Dah! Dah!” Syarizad menekup kedua-dua belah telinganya dengan mata yang dipejamkan. Idlan kalau dah tanya soalan, bertalu-talu mengalahkan peluru pistol.
Idlan mencemik. “Aku tanya sebab risau...”
Syarizad malas menjawab sebaliknya keluar menghampiri bangsal kecil di luar bengkel. Selalu kat situlah tempat mereka berdua melepak. Lengan yang masih terasa pedih dibelek-belek. Tak tahulah apa nak jawab kat mak ngah nanti. Mesti kena bebel lagi.
Idlan mengikut, lalu duduk di sebelah Syarizad. “Kau ni kenapa? Risau pulak aku. Cuba cerita, apa yang dah jadi tadi?”
“Aku accident,” jawab Syarizad akhirnya.
“Hah? Accident?” Idlan terperanjat. Matanya terbuntang luas.
Syarizad mengerutkan dahinya memandang reaksi Idlan itu. “Kau jangan buat muka macam aku ni dah mati, boleh?”
Idlan terus tarik sengih. Over sangat rupa terkejut. “Tak adalah, aku terkejut aje. Kau accident dengan apa tadi?”
“Ada kereta entah dari mana datang tiba-tiba nak langgar aku. Nasib baik aku sempat elak. Terus jatuh tepi jalan tu. Sakit dowh!” cerita Syarizad dengan muka tegang. Kalau ingat semula kejadian tadi, sumpah dia rasa nak cekik-cekik aje leher perempuan berlagak tu tadi.
Idlan tergeleng-geleng, terkejut bercampur kasihan. “Luka kat lengan aje, kan? Kat lain-lain?”
“Kaki aku sakit sikit, tapi dah okey... lengan ni ajelah.”
“Tak nak pergi klinik?”
“Hesy, tak naklah aku. Esok lusa baiklah ni,” bantah Syarizad laju. Nak jumpa doktor? Kirim salam!
Idlan tergeleng-geleng sebelum ketawa kecil. Nampak aje kasar, tapi penakut kalau bab jumpa doktor. “Kau kenal tak siapa yang langgar kau tadi?”
“Tak. Punyalah berlagak perempuan tu tadi. Kalau ikut hati aku ni, eii... dah kena perempuan tu.” Syarizad menggenggam tangannya sendiri. Sakit hati dan geram bercampur menjadi satu.
Idlan ketawa lagi. Tahu sangat dengan perangai rakan baiknya itu. Syarizad walaupun perempuan, tapi jangan dibuat main. Bila dah datang angin taufan dia, padah jadinya.
“Basikal kau?”
Syarizad memuncungkan bibirnya ke arah basikalnya yang tersadai di luar bengkel.
Idlan angkat kening. “Nanti aku repair,” ujarnya sambil mencapai sebotol air mineral yang terletak di atas meja di situ.
Hmm...” Syarizad menyandar tenang di kerusi. Kepala ligat berfikir, menyusun ayat untuk disuarakan kepada Idlan. Bukan apa, dia tak mahu Idlan gelak kalau dia beritahu. 
“Aku rasa macam aku nak cari kerjalah,” ujarnya sambil menoleh memandang muka Idlan. Lelaki itu merenungnya dengan kening terjongket dan riak muka tidak percaya. “Aku tak main-mainlah, weh. Serius ni!”
Serentak itu juga Idlan melambakkan tawanya. Syarizad nak kerja? Seorang gadis tomboi yang hanya tahu menghabiskan masa dengan melepak setiap hari tiba-tiba menyuarakan hasrat nak bekerja? Ni dia tengah tonton rancangan Maharaja Lawak Mega ke apa ni?
“Weh!” Selamba Syarizad menendang betis Idlan yang masih tidak berhenti ketawa. “Kau apasal gelak sakan ni? Ingat aku main-main ke? Aku seriuslah!”
Idlan masih ketawa terbahak-bahak. Hampir tergolek dia dari kerusi dengan tangan menekan-nekan perut. Syarizad mengecilkan anak matanya. Geram! Nasib baik lengannya sakit lagi. Kalau tidak, tahulah macam mana dia nak kerjakan Idlan tu. Gelak macam dia tengah buat lawak tahap antarabangsa!
“Lan!” Syarizad menjerit kuat, sekali gus memaksa Idlan untuk berhenti ketawa.
Idlan berdeham beberapa kali, membuang sisa-sisa tawanya. “Okey, okey...” Nafas ditarik dalam-dalam. “Kau cakap apa? Nak kerja?”
Syarizad mengangguk sungguh-sungguh. Dalam hati sempat memasang niat, kalau Idlan gelak lagi sekali, dia akan tendang sebelah lagi betis lelaki itu sampai lebam. Tak kisahlah kaki dia sakit, lagipun dah memang sakit sebab kemalangan tadi.
Idlan menahan senyum. “Kau nak kerja apa?”
“Kat sini.” Syarizad sesuka hati memberi idea. Dia tersengih.
Idlan kerut muka. “Abang Bob tak cakap pun nak pakai orang.”
“Alaaa... kau tolonglah cakap kat Abang Bob. Bukannya dia baru kenal aku sehari dua,” tingkah Syarizad tak puas hati dengan jawapan Idlan itu.
“Kau yang nak kerja, kan? Kau cakaplah sendiri,” balas Idlan lalu meneguk lagi air mineral dalam botol di tangannya.
Syarizad mencebik.
“Lagipun...” Botol di tangan diletakkan di atas meja semula. “Kau pandai ke bab-bab baiki kereta ni?”
“Kalaupun aku tak pandai, kau bolehlah ajar aku. Kan?” Syarizad sengaja sengih comel-comel.
Idlan buat muka sebelum mengangguk-angguk. “Sejam RM 5. Kalau kau sanggup, aku no hal!”
“Kejam!” Sebelah lagi betis Idlan menjadi mangsa tendangan kaki Syarizad.
Behave sikit boleh? Kau tu perempuan. Tahu nak main tendang-tendang aje,” bebel Idlan. Hujung topi Syarizad ditarik geram. “Tak ada orang nak, baru tahu!”
“Alah... apa aku kisah?” balas Syarizad sambil mencebik bibir. Topinya dibetulkan semula. Ketika itulah dia teringatkan sesuatu. “Oh ya, tadi perempuan yang hampir langgar aku tu ada bagi aku kad.”
“Kad?” Idlan kerut dahi.
“Dia cakap dia nak offer aku kerja,” cerita Syarizad. Wajah Idlan dipandang semula lalu dia mula membuka cerita tentang apa yang dikatakan wanita sombong itu tadi. Bermula bagaimana cara wanita itu merenungnya dengan satu renungan penuh curiga sehinggalah dia melenggang semula masuk ke dalam keretanya.
Idlan terkelip-kelip memandang Syarizad. “Kau nak terima ke?”
Syarizad jongket bahu. “Entah, tengah fikir-fikir lagi.”
“Tak payahlah, Jad.”
Apasal pulak?”
“Kau bukan kenal pun siapa dia tu. Tiba-tiba aje offer kerja. Entah-entah nanti dia jual kau kat Siam tu, baru kau tahu.” Idlan separa mengugut. Tetapi bukan sekadar ugutan kosong, ada benar kata-katanya itu kalau difikirkan dengan logik akal. Mana ada orang nak offer kerja tengah-tengah jalan lepas kemalangan macam tu?
“Tapi aku rasa tak macam tu la,” gumam Syarizad perlahan.
“Eh, tadi kau jugak yang menyumpah dia macam-macam. Sekarang nak sangka baik pulak?” Idlan buat muka tidak percaya.
Syarizad terdiam. Entah kenapa, tetapi hatinya seolah-olah tertarik dengan tawaran wanita itu tadi. Dia mahu tahu kerja apa yang ditawarkan. Kalau kena dengan dirinya, apa salahnya terima, kan? Lagipun sekarang dia memang betul-betul memerlukan kerja. Nak harapkan kelulusan STPM tu aje, kerja apa sangatlah yang dia boleh dapat. Dia sudah tidak mahu menyusahkan mak ngah lagi. Peluang datang sekali seumur hidup. Jadi, dia rasa tidak salah sekiranya dia mencuba.
“Dah tu... aku nak kerja sini, kau tak nak bagi,” balas Syarizad sepi.
“Kalau ni bengkel aku, memang aku dah bagi. Kau nak gaji berapa pun, aku bagi. Masalahnya, ni bukan bengkel aku. Faham?” Idlan jegilkan matanya lagi.
Syarizad mencemik dengan riak muka ‘whatever!’.



RUMAH kayu setingkat itu sudah pun gelap. Syarizad hampir pasti mak ngahnya sudah lama dibuai mimpi. Langkah diatur perlahan menghampiri pintu rumah. Seharian merayap, baru ingat nak balik rumah. Selepas membuka kunci, dia terus masuk ke dalam rumah. Terjengket-jengket kakinya berjalan untuk masuk ke bilik, takut kepulangannya disedari mak ngah.
Namun belum sempat dia menolak daun pintu bilik, lampu ruang tamu tiba-tiba menyala. Syarizad keras kejung di situ. Ahh... damn it!
“Baru balik, Ijad?” tegur Rosni sambil bercekak sebelah pinggang merenung Syarizad.
Perlahan-lahan Syarizad memusingkan tubuhnya menghadap mak ngah. Dia mengangguk sambil mengukir senyuman tidak bersalah. Nasib baik tadi Idlan bagi pinjam kemeja dia, jadi tak perlu beritahu apa-apa pasal kemalangan tu kat mak ngah.
“Tadi pagi kamu cakap apa dengan mak ngah? Nak balik awal, kan?” Rosni mengungkit hal itu.
Kadang-kadang, Rosni jadi sedih mengenangkan perangai Syarizad yang sudah jauh berubah. Dahulu, anak saudaranya itu tidak begitu. Syarizad merupakan seorang anak yang sangat taat kepada kedua-dua orang tuanya. Tetapi setelah ibu dan abahnya pergi, dia berubah sikap seratus peratus.
Rosni tidak pasti perubahan Syarizad itu sama ada berpunca daripada pemergian orang tuanya ataupun ada sebab lain. Yang pasti, Syarizad di depannya ini bukan lagi Syarizad yang ditatang bagai anak kandung sejak kecil.
“Alaaa mak ngah, bukannya Ijad pergi mana pun. Pergi lepak dengan Idlan aje. Lepas tu pergi makan-makan, jalan-jalan. Ni... kan Ijad dah balik? Mak ngah janganlah kecoh sangat.” Syarizad buat muka bosan. Hari-hari dia terpaksa menadah telinga mendengar bebelan mak ngah. Bukannya kesalahan yang dia buat tu besar sangat sampai mak ngah boleh menghukumnya sebegitu.
“Ijad, kamu tu anak dara. Tak elok anak dara merayap hari-hari macam tu, macam tak ada arah tujuan. Kalau arwah ibu dan abah Ijad masih ada, Ijad ingat mereka suka dengan perangai Ijad macam ni?” Rosni membebel panjang. Dia mahu Syarizad membuka hatinya kembali, ingat kepada kedua-dua orang tuanya yang telah pergi menghadap Ilahi.
“Sepatutnya Ijad banyakkan buat amal ibadah, sedekahkan Al-Fatihah dan surah Yasin untuk arwah abah, ibu dan adik-adik Ijad,” tambah Rosni lagi.
Syarizad terdiam. Apabila soal tentang ibu dan abahnya disebut, dia seolah-olah tidak mampu lagi untuk menjawab. Bibirnya terkunci rapat dengan sebak yang tiba-tiba hadir.
“Kalau Ijad keluar pergi kerja, mak ngah tak kisah. Ini tak, merayap entah ke mana. Ijad ingat, elok ke kalau orang-orang kampung tengok Ijad ke hulu ke hilir dengan lelaki entah siapa-siapa?” Rosni tergeleng-geleng lagi.
Setelah ibu dan abah Syarizad meninggal dunia, dia yang mengambil alih tugas menjaga gadis itu. Kehadiran Syarizad diharap dapat mengubati kesunyiannya memandangkan anak perempuannya yang tua lima tahun daripada Syarizad kini bekerja di Kuala Lumpur dan jarang pulang ke rumah. Tetapi sayang, Syarizad yang sekarang bukan lagi Syarizad yang dulu. Anak saudaranya itu telah jauh berubah. Dirinya yang dulu telah pergi bersama perginya kedua-dua orang tuanya.
“Ijad cuma keluar dengan Idlan, mak ngah. Mak ngah pun kenal dia, kan?” Syarizad makin bosan dibebeli begitu. Riak wajahnya berubah tegang sambil bibir diketap kuat menahan sebak.
“Memang mak ngah kenal dia. Tapi orang kampung?” Rosni meninggikan suara. “Mak ngah tak nak Ijad jadi buah mulut orang kampung. Ijad tu perempuan, kena jaga adab. Kalau ibu dan abah Ijad masih ada, tentu mereka malu tengok perangai Ijad yang sekarang ni...”
“Sudahlah, mak ngah!” Syarizad meninggikan suara di luar sedar. “Ijad bosan tau tak? Hari-hari dengar mak ngah membebel. Kalau mak ngah tak suka Ijad duduk kat sini, Ijad boleh keluarlah!”
Tanpa menunggu lagi, Syarizad terus masuk ke dalam bilik. Pintu bilik dihempas kuat. Dia menyandar di pintu itu dengan kolam mata yang bergenang. Perlahan-lahan, tubuhnya melurut jatuh bersama gugurnya air mata ke pipi.
“Ijad... mak ngah tak bermaksud macam tu. Mak ngah tegur sebab mak ngah sayangkan Ijad. Mak ngah dah anggap Ijad ni macam anak kandung mak ngah sejak Ijad lahir ke dunia lagi.”
Terdengar suara mak ngah memujuk dari luar bilik. Syarizad memeluk lutut dengan esakan yang semakin kuat kedengaran.
“Mak ngah minta maaf kalau mak ngah dah kecilkan hati Ijad. Mak ngah tak bermaksud macam tu, Ijad.”
Syarizad diam tidak menjawab. Hujung jarinya mengesat kasar air mata di pipi. Mak ngah tidak faham, semua orang tidak faham dan tidak akan ada orang pun yang akan faham betapa deritanya hidup seorang Syarizad setelah kejadian itu.

No comments:

Post a Comment