DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 16



“KAU pergi tak jumpa Hayyan semalam?” Eton bertanya sambil menyumbat roti ke dalam mulutnya. Semalam lupa nak tanya, hari ini baru soal itu kembali mengisi benaknya. Dipandang muka innocent Zenia.
            “Tak.” Zenia menggeleng sebelum menyedut minuman dari kotak yang dipegangnya.
            “Tak? Habis, kau biar ajelah dia tunggu?” Terkelip-kelip mata Eton bagai tidak percaya.
            Zenia mengangguk pula dengan sengihan.
            “Serius?” Mata yang tadinya terkelip-kelip kini terbuka luas.
            Zenia mengangguk lagi.
            Eton menepuk dahinya. “Ya Allah... Kau ni, Nia!” Tergeleng-geleng kepalanya mengenangkan tindakan Zenia itu. Bagaikan terbayang-bayang kelibat Hayyan sedang menunggu di tepi keretanya di depan bangunan fakulti, tetapi gadis yang ditunggu tetap tidak muncul. “Tapi kenapa?”
            Kotak minuman di tangan diletakkan Zenia di atas meja. “Entah.”
            “Entah?” Eton tunjuk muka tak puas hati.
            “Aku takutlah nak jumpa dia...” Zenia mengeluh. Badan disandarkan ke kerusi.
            “Takut kenapa? Takut dia buat benda tak elok dekat kau ke?”
            “Bukan.”
            “Dah tu?”
            “Eton, dia tu top student kat sini tau? Semua orang kenal dia. Pelajar dari fakulti lain pun kenal dia jugak. Kalau aku keluar dengan dia, aku tak naklah orang mengata aku macam-macam. Kononnya aku ni gatal sangat nak keluar dengan orang hensem macam Hayyan tu,” ujar Zenia dengan bibir yang termuncung ke depan.
            “Kau nak kisah pasal orang lain buat apa? Dia yang ajak kau keluar dengan dia. Lantaklah yang lain-lain tu. Dengki aje semua tu,” bebel Eton tidak puas hati.
            “Memanglah... tapi aku rasa tak selamat. Boleh percaya ke Hayyan tu?” Lain pula tanggapan yang keluar dari mulut Zenia.
            Kalau tak kerana muka innocent Zenia tu, memang dah lama Eton ‘sembur’ minah ni. Mujurlah kawan baik. Hmm...
            “Kau yang minat dia selama ni. Sekarang ni tak percaya pulak dah?”
            “Minat dengan percaya tu dua perkara yang berbeza.” Bijak Zenia meningkah.
            “Teori?” Eton angkat kening.
            “Memang aku minat dia tapi tu tak menjamin yang dia tu baik. Berapa ramai orang perempuan yang kena tipu sebab percaya sangat dengan orang lelaki?” Zenia ikut sama angkat kening.
            Eton mencebik. “Suka hatilah.”
            Zenia ketawa kecil. Nampak aje muka innocent minah ni, tapi kalau bercakap pandai jugak. Siap dengan hujahnya sekali.
            “Tapi aku macam pelik jugak.” Zenia bersuara lagi.
            “Pelik apa?” tanya Eton. Pandangannya kini terarah kepada seorang lelaki yang berdiri tidak jauh di belakang Zenia.
            “Tak sangka lelaki yang aku minat selama ni boleh ajak aku keluar sama. Kalau fikir balik, macam kelakar, kan?” Zenia tergelak sendiri dengan kata-katanya.
            “Kelakar sebab sepatutnya kau yang ajak dia keluar, kan? Ini terbalik pulak,” balas Eton. Pandangan masih lagi terpaku ke arah lelaki itu.
            Zenia mengangguk. “Entah-entah dia pun suka aku tak?”
            Eton angkat kening.
            “Memang suka pun.”
            Tersentak. Serentak itu Zenia berpaling ke belakang. Seakan-akan kering darah dalam tubuhnya memandang Hayyan sedang berdiri di situ dengan senyuman manis di bibir. Zenia kaku di situ. Sekali pun matanya tidak berkelip.
            Eton tahan gelak. “Hmm... Nia, kejap lagi aku ada kelas ni. So aku pergi dululah ya? Chow!” Beg diangkat dan sekejap sahaja, dia sudah menghilangkan diri.
            Hayyan menghampiri Zenia yang masih kaku di tempatnya. “Boleh saya duduk?”
            Zenia tidak menjawab. Mulutnya bagai terkunci rapat.
            Hayyan menarik kerusi lalu duduk dekat dengan Zenia. “Kenapa? Terkejut tengok saya tiba-tiba ada kat sini?”
            Zenia masih tetap diam. Kepalanya ditundukkan dengan jari bermain-main dengan hujung straw dalam kotak minumannya tadi.
            “Itulah orang kata... cakap siang pandang-pandang,” kata Hayyan sambil menahan senyum. Entah betul entah tidak pepatahnya itu. Main belasah aje. Kedua-dua belah pipi Zenia sudah mula memerah, makin membuatkan dia seronok nak mengusik.
            “Kenapa tak datang jumpa saya semalam?” Hayyan menyandar di kerusi dengan riak tenang. Sengaja bertanya walhal tadi dia sudah dengar perbualan gadis itu dengan rakannya.
            “Err...” Kelu lidah Zenia untuk menjawab. Padahal tadi bukan main rancak lagi bersembang dengan Eton. Sekarang dah jadi patung pula.
            “Kenapalah nak kisah apa orang cakap. Saya yang nak keluar dengan awak, bukan dia orang,” kata Hayyan.
            Lambat-lambat Zenia mengangkat muka memandang Hayyan. “Awak jangan salah faham. Saya bukan tak sudi nak keluar dengan awak cuma...”
            “Jadi saya masih ada peluanglah, kan?” Hayyan memintas laju.
            Zenia terdiam. Bibirnya bergerak bagai mahu mengatakan sesuatu tetapi  sudahnya, tiada sepatah kata pun yang keluar. Riaknya penuh kekeliruan. Topik apa yang sedang dibualkan ni sebenarnya?
            “Kenapa awak beria sangat nak ajak saya keluar?” Zenia memberanikan diri bertanya.
            Hayyan bangkit berdiri dengan senyuman yang masih tak lekang dari bibirnya. “Saya akan jawab soalan tu kalau awak sudi keluar dengan saya.”
            “Err...”
            Text me,” ujar Hayyan. Sempat tersenyum manis sebelum berlalu pergi.
            Zenia masih tercengang-cengang di situ. Itukah Hayyan Rizqi yang diminati selama ini? Ohh... dia rasa macam nak pitam!


“DIA cakap macam tu?” Eton bersuara teruja.
            Zenia mengangguk.
            Great!” Eton memetik jarinya sebelum ketawa suka.
            Great?” Zenia kerut kening. Eton ni suka buat kepala dia berpusing 360 darjah sebab istilah dia yang pelik-pelik tu.
            “Kau text ajelah dia, ajak dia keluar. Habis cerita.” Mudah Eton membalas.
            Zenia menggeleng tidak setuju. “Cerita takkan habis. Lepas ni cerita lain pulak yang akan ada.”
            “Cerita cinta kau dengan Hayyan?” Eton sengih mengada.
            Zenia mengetap gigi dengan mata yang mencerlung. Eton ketawa.
            “Opps! Tengok siapa di sana.” Eton menuding jarinya ke arah hujung kaki lima bangunan fakulti.
            Zenia berpaling ke arah yang ditunjukkan. Alamak! Jelas di situ Hayyan sedang melepak bersama rakan-rakannya. Untuk pulang ke kolej, dia perlu melalui kawasan itu dan Hayyan akan nampak dirinya. Entah apa lagi yang akan lelaki itu lakukan selepas ini.
            “Eton!” Zenia menarik lengan Eton sekali gus membuatkan langkah gadis itu terhenti.
            “Apa?” Terkejut Eton dibuatnya.
            “Aku nak guna jalan belakang library,” beritahu Zenia. Hanya itu yang dapat difikirkannya sekarang.
            Eton ternganga. “Jauhlah, mak cik!”
            “Tak apalah jauh pun. Yang penting selamat.”
            “Kat sini tak selamat ke?”
            “Tak. Kau nak ikut tak?”
            “Malas aku. Jalan dekat ada yang nak pergi guna jalan jauh tu apahal?” Eton membebel tak puas hati.
            Fine. Jumpa kat bilik.” Tanpa menunggu lagi, Zenia terus berpusing dan berjalan laju meninggalkan Eton. Yakin dirinya selamat daripada kelibat Hayyan, barulah nafas lega terhembus keluar dari mulutnya. Kalau difikirkan semula, macam kelakar pula. Dahulu dia yang sering mencari jalan untuk bertemu Hayyan, sekarang dia pula yang melarikan diri. Tanpa sedar, terlepas gelak kecil dari hujung bibirnya.



No comments:

Post a Comment