DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 7



“MAMA! Mama! Nanti Adam nak mandi kolam boleh tak?” Adam melompat-lompat teruja sambil memandang ke arah kolam renang dari atas apartmen.
            “Ya, sayang... Kejap lagi ya. Adam jangan lompat-lompat kat situ, bahaya,” tegur Zenia. Adam segera berlari masuk ke ruang tamu.
Zenia mengangkat sebuah beg yang memuatkan baju mereka berdua terus masuk ke dalam bilik. Apartmen itu mempunyai tiga buah bilik dan dia akan berkongsi bilik bersama Adam dan Zatie. Amira menginap sebilik bersama Murni dan satu bilik lagi dihuni Aisyah dan Zuhaira. Walaupun Zuhaira dah kahwin, tapi dia tetap datang sendiri. Berlainan dengan Kak Milah yang datang satu keluarga dan menginap di apartmen lain di Permaisuri Resort itu.
“Kau cakap Hayyan nak datang. Aku tak nampak pun dia tadi,” kata Zatie sambil meletakkan beg pakaiannya di tepi katil. Kemudian dia terus baring di situ melepaskan lelah. Lelah apalah sangatnya, KL dengan Port Dickson bukannya jauh sangat.
Dengar saja nama Hayyan, terus jantung Zenia berdegup tak tentu arah. Teringat malam tempoh hari sewaktu terserempak dengan Hayyan di Tesco. Malam itu juga Zatie memaksanya untuk bercerita siapa Hayyan. Jadi terpaksalah Zenia mengaku lelaki itulah Hayyan Rizqi yang pernah menjadi insan istimewa dalam hidupnya suatu masa dulu.
“Entah.” Sepatah Zenia menjawab.
“Tak tanya dia?”
“Buat apa? Tak ada kepentingan pun.” Acuh tak acuh Zenia menjawab. Pakaian yang perlu digantung dikeluarkan dari beg lalu digantung dalam almari yang sudah tersedia dalam bilik itu.
Zatie tersengih. “He’s a nice guy.”
“Mana kau tahu? Kau bukan kenal dia pun,” balas Zenia tanpa memandang muka Zatie. Tak mahu gadis itu tahu apa yang sedang dipendam dalam hatinya ketika itu.
“Kalau dia jahat, dia takkan datang cari kau balik...” jawab Zatie sepi.
Zenia terdiam. Pergerakan tangannya sudah semakin perlahan. Ya, Zatie betul. Hayyan Rizqi memang lelaki yang baik. Sangat baik...
Zatie bingkas menuju ke bilik mandi. Tak sampai seminit Zatie keluar, telefon bimbit Zenia berdering. Terus dicapai dari dalam beg tangan. Nombor yang tak dikenali tertera pada skrin. Zenia menjawab tanpa fikir panjang.
Hello, love. Dah sampai bilik?”
Suara riang itu mengundang kerut pada dahi Zenia. Hayyan? Siapa lagi yang berani panggil dia macam tu kalau bukan Hayyan, kan?
“Hayyan?”
“Ya, saya...”
“Mana awak dapat nombor saya?”
“Dunia sekarang di hujung jari, sayang. Tak perlu tanya pun soalan mudah macam tu.” Hayyan ketawa kecil.
Zenia mengetap bibir. Memang Hayyan suka buat hatinya bergolak hebat. “Awak kat mana ni?” Entah macam mana soalan itu pula boleh keluar. Gelabah punya pasal, main tanya aje apa yang melintas di kepala.
“Kat resort yang sama dengan awak. Saya duduk satu apartmen dengan Khairil,” jawab Hayyan. Khairil datang bawa isteri, dia datang bawa angin aje. Zenia punya pasal, apa pun sanggup. Lagipun dia tak berniat nak sertai mana-mana aktiviti yang diadakan, setakat datang sebab nak ada dekat dengan Zenia. Katalah dia terdesak sekali pun, dia tak kisah.
“Petang nanti turun?” tanya Hayyan apabila Zenia cuma senyap.
“Tak tahu lagi...” balas Zenia perlahan. Dia duduk di atas katil sambil menyandar di kepala katil. Janganlah Zatie masuk bilik waktu itu. Kalau tak, entah apa lagi nak dikorek gadis itu nanti.
“Turunlah, saya nak jumpa awak,” pinta Hayyan. Nada suaranya lembut sekali, menghantar getar dalam hati Zenia.
“Saya bukannya nak join aktiviti pun. Datang sini sebab nak rasa suasana pantai,” jelas Zenia.
“Samalah kita. Kalau macam tu, awak tak payah join apa-apa aktiviti. Teman saya jalan-jalan tepi pantai kat belakang resort ni aje. Okey?” Sesuka hati Hayyan memberi cadangan.
Zenia diam tak menjawab. Jalan-jalan berdua tepi pantai dengan Hayyan? Sebelum Hayyan ‘membelasah’ hatinya lagi dengan kenangan lama mereka berdua, lebih baik dia undur diri dulu. “Tak naklah.”
“Laa...” Hayyan jelas tak puas hati. “Please...”
Pintu bilik terkuak, muncul Zatie bersama Adam yang sedang pot-pet pot-pet entah apa. “Tengoklah macam mana, bye.” Buru-buru Zenia mematikan talian.
“Mama! Cepatlah... Adam nak mandi kolam.” Adam menarik-narik tangan mamanya supaya turun dari katil.
“Panaslah waktu-waktu macam ni, Adam. Mana ada orang mandi kolam,” ujar Zenia. Hal Hayyan belum hilang dari fikiran, Adam pula merengek minta macam-macam. Sakit kepala dibuatnya.
Aunty nak turun kejap jalan-jalan. Adam nak ikut?”
Pucuk dicita, ulam mendatang. Adam terus bersorak tanda setuju. Gembira sangat AuntyZatienya itu ajak berjalan. Zenia sekadar buat muka. Nak halang pun tak ada sebab. Biarlah Adam nak berseronok hari itu.


ENTAH ke mana Zatie membawa Adam. Hantar SMS tanya pun hanya dibalas ‘kau janganlah risau, Adam selamat dengan aku’ siap dengan winky face. Bosan duduk di bilik, Zenia putuskan untuk turun mengambil angin. Kalau tak silap petang itu ada acara permainan bola tampar di tepi pantai untuk para bapa yang datang menyertai hari keluarga itu. Zenia tak ada hati nak menonton jadi dia cuma berjalan-jalan di tepi pantai sambil menghirup udara petang.
            “Tadi orang tu cakap tak nak turun, nak duduk kat bilik aje rehat. Tup-tup, dia yang sampai dulu kat pantai ni.”
            Suara yang disertai dengan gelak kecil itu mematikan langkah Zenia. Tak payah berpaling, dia dah tahu itu Hayyan. Macam mana boleh lupa pasal mamat ni seorang? Nak tak nak terpaksalah dia berdepan dengan Hayyan juga.
            “Mana ada saya cakap nak duduk rehat kat bilik. Saya cuma cakap tak nak turun aje,” dalih Zenia.
            “Ayat dia lain, tapi maksud sama,” balas Hayyan pula.
            Zenia malas melayan. Langkahnya diteruskan.
            “Adam mana?” Hayyan berjalan menyaingi langkah perlahan Zenia. Wajah wanita itu direnung dari sudut tepi. Zenia nampak tenang dengan rambut yang diikat satu, baju T lengan panjang dengan skirt labuh yang hujungnya diangkat sedikit dan dipegang dengan tangan kirinya.
            “Keluar dengan Zatie.” Ringkas Zenia menjawab.
            “Baguslah...” gumam Hayyan sambil tersenyum penuh makna.
            “Apa yang bagus?” Zenia kerut kening memandang Hayyan. Ceria semacam kenapa?
            “Bagus sebab dia orang macam bagi peluang kat saya untuk habiskan masa dengan awak kat pantai ni...”
            “Hayyan...” Zenia menghentikan langkahnya. Lelaki itu kini berdiri menghadapnya. “Cukuplah tu. Saya tak nak dengar awak cakap apa-apa lagi pasal kita.” Wajah Hayyan direnung tepat namun hanya sekejap. Jantung terasa berdegup laju lagi. Kenapa setiap kali dia cuba nafikan rasa di hati, setiap kali itu juga dia gagal?
            “Bagi saya sebab kenapa saya tak boleh cakap pasal kita?”
            “Sebab kita dah putus lama dulu.” Zenia menentang renungan Hayyan lagi. “Saya yang putuskan hubungan kita berdua. Saya yang tinggalkan awak, saya yang mintak awak lupakan saya, saya yang mintak awak cari pengganti lain. Awak dah lupa semua tu?” Bergenang sepasang matanya tika menuturkan kata-kata itu. Angin dingin pantai tidak lagi menyejukkan. Zenia mengetap bibir menahan sebak.
            Hayyan menghampiri gigi pantai. Selipar yang dipakai ditanggalkan dan melipat hujung seluar hingga ke paras betis. Sengaja membiarkan air laut mengenai kakinya. “Nia, sejuk air kat sini. Mehlah try,” ajaknya dengan suara yang diceriakan.
            Zenia memejam matanya seketika. Kenapa Hayyan sengaja mengelak apabila dia membuka kisah itu?
            Come.” Hayyan menarik tangan Zenia supaya mendekatinya. “Tanggalkan sandal awak,” suruhnya.
            Zenia pun tak tahu apa yang merasuknya supaya mengikut kehendak Hayyan. Sandal yang ditanggalkan terus diambil Hayyan tanpa sempat dia menghalang.
            “Lain kali kalau awak nak datang pantai jangan pakai skirt tau. Angin kat pantai ni kuat, nanti habis terbang skirt awak. Lainlah kalau kita ni dah kahwin, tak apalah saya nak tengok lebih-lebih,” gurau Hayyan lalu ketawa sendiri. Dia tunduk bermain-main air dengan tangan kiri sementara tangan kanan memegang seliparnya dan juga sandal Zenia.
            Zenia diam saja di situ. Setiap kata-kata Hayyan, setiap gurauan Hayyan, hanya menambah debar dalam hatinya. Adakah itu bermakna cinta untuk lelaki itu masih ada? Masih tak pernah padam biar apa pun berlaku antara mereka berdua?
            Zenia terkejut apabila tiba-tiba Hayyan memercikkan air ke mukanya. “Hisy, Hayyan!”
            Hayyan ketawa. Makin Zenia marah, makin seronok dia memercikkan air ke muka wanita itu. Zenia yang geram bertindak membalas ‘serangan’ Hayyan. Sudahnya kedua-duanya basah lencun bermain air di gigi pantai itu. Selipar yang dipegang Hayyan tadi sudah terlepas entah ke mana. Seronok sangat bermain sampaikan tak peduli lagi dah keadaan di sekeliling. Wajah Zenia yang tadinya suram, bukan main gembira lagi. Hampir sejam menghabiskan masa di pantai, barulah kedua-duanya memutuskan untuk pulang ke resort.
            “Hayyan, sandal saya!” Zenia terjerit memanggil Hayyan yang sudah jauh berjalan di depan. Sesuka hati dia aje tinggalkan aku kat sini, bebel Zenia dalam hati.
            Hayyan masih lagi dalam tawa rancaknya. Dia berpaling ke belakang. Sandal Zenia di tangannya ditayangkan tinggi.
            Zenia mengetap bibir. Dihampiri Hayyan dengan kaki yang sudah bersalut pasir pantai. Melekit-lekit jadinya. Nasiblah, siapa suruh main air tak ingat dunia.
            “Nah, tuan puteri.” Hayyan meletakkan sandal Zenia di atas pasir.
            Zenia terus menyarung sandal itu. “Ni semua awak punya pasal. Balik nanti tak tahulah nak jawab apa dengan Adam kalau dia tanya.”
            “Pasal Adam tu awak tak payah risau sebenarnya. Awak cakap apa aje dia mesti percaya. Yang awak kena risaukan, macam mana nak jawab dengan Zatie.” Hayyan tersengih.
            Zenia menjeling. Betul kata Hayyan tu. “Salah awak semua ni!”
            Dan Hayyan terus menyambung tawanya yang entah bila akan habis.


AYAM, udang, sotong dan beberapa jenis makanan lagi menjadi hidangan untuk acara BBQ malam itu.
            “Mama, Adam nak ayam!” Adam meminta lagi sesudah ayam dalam pinggannya habis dimakan.
            “Tunggu kejap ya. Ramai orang lagi kat depan tu,” ujar Zenia. Panjang lehernya mengintai ke arah tempat bakar.
            “Nah!”
            Seketul ayam tiba-tiba diletakkan di dalam pinggan Adam. Zenia tercengang-cengang dengan muka terkejut sementara Adam bukan main gembira lagi. Hayyan ukir senyuman panjang sambil duduk di sebelah Zenia.
            “Habis awak tak makan?” tanya Zenia hairan.
            “Tak apa, kejap lagi boleh tambah. Kesian Adam nak makan ayam,” jawab Hayyan masih dalam senyumannya.
            “Terima kasih, uncle!” ucap Adam ceria.
            “Sama-sama,” jawab Hayyan juga dalam nada yang sama.
            Zenia terus tak jadi nak menyambung suapan. “Kenapa tak pergi join dia orang semua makan kat sana? Bos pun ada kat sana,” ujarnya sambil memandang Hayyan.
            “Malaslah, saya bukan kenal pun semua orang kat sana,” jawab Hayyan.
            “Hai... sejak bila pulak awak jadi anti-social ni?” Zenia mencemikkan mukanya. Sengaja nak mengusik.
            “Sejak awak tinggalkan saya,” jawab Hayyan spontan, sekali gus membuatkan Zenia terkunci mulut. Wajah gadis itu tegang serta-merta. Hayyan simpan senyum. Dia sengaja bergurau, bukannya benar-benar memaksudkan baris ayat itu. “Bukan anti-social, cuma malas nak beramah mesra. Baik saya duduk kat sini dengan awak, lagi bagus.”
            Zenia terus diam. Tak tahu lagi nak jawab apa. Tertanya-tanya sama ada Hayyan betul-betul maksudkan kata-katanya tadi atau sekadar gurauan.
            “Mama, Adam nak pergi kat sana boleh tak?” Adam menyampuk tiba-tiba, meminta izin.
            “Pergi mana? Ada apa kat sana?” tanya Zenia.
            “Sana...” Adam memuncungkan bibir ke arah yang dimaksudkan. “Kawan-kawan Adam kat sana.”
            “Kawan-kawan Adam?” Zenia kerut dahi. Bila masa pulak Adam bawak kawan datang sini?
            “Petang tadi masa jalan-jalan dengan Aunty Zatie, Adam dapat ramai kawan.” Adam tersengih-sengih bercerita.
            “Ramai kawan Adam?” Hayyan pula yang bertanya. Sengaja tunjuk minat.
            Adam mengangguk laju. “Ramai sangat! Ramai ni...” Sepuluh jari tangannya diangkat tinggi.
            Hayyan ketawa. Adam memang sangat adorable, sama macam mamanya dulu-dulu. Sekarang aje dah jadi makin garang.
            “Okey, tapi jangan pergi jauh-jauh tau?” pesan Zenia. Pinggan di atas riba Adam diambilnya.
            Adam terus melompat dari kerusi dan berlari mendapatkan kawan-kawannya.
            He’s so adorable... macam awak dulu-dulu.” Entah macam mana apa yang ada di hati boleh terkeluar di bibir. Tapi Hayyan langsung tak rasa bersalah menuturkan kata-kata itu.
            “Jadi sekarang tak adorablelah?” Zenia pun tak tahu macam mana bibirnya boleh berani bertanyakan soalan itu. Hanya selepas terpandangkan senyuman mengusik Hayyan, barulah dia tersedar. Apa aku tanya tadi?
            You are more mature now,” kata Hayyan.
            Zenia diam memandang pinggan di atas ribanya. “Betul ke apa awak cakap tadi?”
            “Yang mana satu? Dah banyak sangat benda yang saya cakap tadi,” balas Hayyan tenang.
            Zenia hembus nafas panjang. “Awak jadi anti-social lepas kita putus dulu?” Direnung wajah Hayyan mencari jawapan. Tak tergamak rasanya nak menyebut ‘lepas saya tinggalkan awak dulu?’ walau memang itu pun hakikatnya.
            Hayyan senyum hambar. “Awak takkan percaya...”
            “Tapi...”
            What’s done is done. Okay?” Hayyan membalas renungan Zenia. Sekejap saja, wanita itu sudah menundukkan kepalanya semula. “Kalau boleh saya nak mulakan semuanya dari awal balik,” tuturnya perlahan.
            “Walaupun awak sendiri tahu tu mustahil,” kata Zenia pedih.
            “Tak mustahil kalau awak pun nak benda yang sama,” tingkah Hayyan.
            Zenia menggeleng-geleng dengan senyuman pahit. Dia bangkit berdiri. “Don’t put your hope too high, Hayyan. Kita tak tahu apa yang bakal jadi pada masa depan.”
            Hayyan hanya memandang sepi langkah Zenia yang kian menjauh. Benar kata Zenia, kita tak tahu apa yang bakal terjadi pada masa depan. Tapi, tak salah kalau kita mencoret masa depan kita sendiri dan berdoa agar semua itu menjadi kenyataan, kan?


No comments:

Post a Comment