DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 10



KERUT di dahi jelas kelihatan. Keluhan terlepas lagi.
“Aduhai... macam mana aku nak guna benda ni?” Syarizad mengetuk dahi sendiri dengan pen di tangan. Kepala didongakkan memandang rakan-rakan lain yang sedang ralit menyiapkan kerja. Kemudian pandangannya terhenti ke arah pintu bilik pejabat Ben.
Malas fikir panjang, dia terus bangun mencapai buku notanya. Ben yang sedang menulis sesuatu terkejut apabila pintu bilik tiba-tiba ditolak dari luar.
“Syari, awak tahu macam mana nak ketuk pintu, kan?” Ben tergeleng kecil. Ini bukan kali pertama Syarizad main redah masuk macam tu saja.
“Saya kan PA Encik Ben. Boleh masuk bilik Encik Ben bila-bila masa aje, kan?” Syarizad tersenyum manja. Ben dihampiri.
Ben menghela nafas panjang. Dia nak membantah tapi entah kenapa tiada apa yang keluar dari mulutnya.
“Encik Ben...” Syarizad memanggil lembut.
“Ya, awak nak apa?” Ben tegakkan kepalanya ke arah Syarizad. Meremang bulu roma dengar suara manja Syarizad itu. Apatah lagi apabila gadis itu sudah semakin dekat dengannya.
Buku nota di tangan diletakkan di atas meja Ben.
“Tadi saya nak cuba buka sistem e-jab company tapi tak dapat. Boleh tak Encik Ben ajarkan?” pinta Syarizad dengan suara yang dibuat manja. Tiru gaya Liyana kelmarin. Kalau Liyana boleh buat, dia seribu kali boleh buat.
Ben telan liur.
“Kenapa tak minta aje Kak Aiza yang tolong?”
“Kak Aiza sibuk. Semua sibuk.”
“Habis saya ni tak sibuk?”
“Alah... Encik Ben kan baik...” Jari telunjuk Syarizad mula merayap di lengan Ben.
Cepat-cepat Ben bangun dari kerusi empuknya. Syarizad simpan senyum. Tak susah pun!
Fine. Duduklah, saya ajarkan.” Ben mempersilakan Syarizad duduk di kerusinya.
Syarizad menurut saja. Tanpa sedar, Ben melepaskan nafas panjang. Nasib baik hari ni Syarizad pakai seluar panjang. Walaupun baju kemeja putihnya masih lagi ketat dan tanpa lengan, tapi ia dipadankan dengan blazer hitam. Tak adalah seksa sangat mata nak memandang.
“Okey...” Ben berdiri di belakang kerusi sambil tangannya mengawal tetikus. Kalau bukan sebab Syarizad tu PAnya dan sebagai seorang PA, Syarizad perlu mahir menggunakan sistem itu, jangan harap dia nak ajar sampai tahap macam ni.
“Awak cuma perlu log in kat sini.” Jari telunjuknya menuding ke arah skrin.
Syarizad menurut arahan Ben. Entah apa kebetulannya, ketika dia memegang tetikus, Ben turut sama menghulur tangan. Secepat kilat lelaki itu melarikan semula tangannya. Macam terkena renjatan elektrik.
“Kenapa, Encik Ben?” Syarizad pura-pura bertanya.
Nothing.” Ben buat muka selamba.
Serius Syarizad rasa nak tergelak tapi ditahankan.
“Tengok sini...” Ben terus menerangkan apa yang patut kepada Syarizad.
Syarizad pula tekun mendengar. Badan Ben terasa hampir dengannya memandangkan lelaki itu membongkok memandang ke arah skrin komputer. Haruman yang dipakai Ben menerobos masuk ke rongga hidung. Tidak semena-mena, jantungnya rasa berdebar.
Ah, sudah... kenapa pulak ni? Aku yang nak goda dia, sudahnya aku pulak yang tergoda. Hesy! Tak boleh jadi ni.
“Faham?” Ben menoleh ke wajah Syarizad. Langsung dia tidak sangka Syarizad juga sedang merenung ke arahnya ketika itu. Mereka berdua saling berbalas pandang buat beberapa ketika.
Telefon pintar Ben yang tiba-tiba berlagu ‘menyelamatkan’ kedua-duanya. Buru-buru Ben menjarakkan dirinya lalu mencapai telefon pintarnya. Sementara Syarizad pula menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya panjang-panjang. Rentak jantung kembali normal.
Fuh, this is too dangerous. Desis hati Syarizad.  Dia bangun. Ben masih lagi ralit bercakap di telefon. Dia menggaru kepala sendiri, tak tahu sama ada nak minta izin keluar atau main keluar macam tu saja. Sudahnya, dia keluar saja tanpa meminta izin. Tak pastilah Ben sengaja berlama-lama cakap di telefon sebab tak mahu berdepan dengannya atau memang ada hal yang sangat penting yang sedang dibincangkan.
Sebaik saja Syarizad keluar, Ben segera meminta diri untuk memutuskan talian. Kedua-dua tangannya meraup muka. Kalau macam inilah selalu, lama-lama boleh mati sakit jantung dia.
Ketika duduk semula di kerusinya, Ben terpandangkan sebuah buku nota di atas mejanya. Dahinya berkerut. Ni bukan ke buku nota Syarizad?
Buku nota itu dibelek-belek. Tak ada apa yang menarik pun, semuanya catatan tentang urusan kerja. Namun tangan Ben berhenti menyelak di helaian terakhir. Di situ terlukis banyak love shape yang diwarnakan dengan pensel. Di tengah-tengah helaian itu pula tertulis ayat ‘IJAD RINDU IBU DAN ABAH’.
Ben terdiam di situ. Hatinya rasa dingin tidak semena-mena. Syarizad mungkin nampak seperti gadis yang berani, tetapi sebenarnya ada sesuatu yang jauh terpendam di lubuk jiwanya. Renungan matanya saja sudah terkandung seribu cerita. Dan tiba-tiba, keinginan Ben untuk lebih mengenali Syarizad semakin mendalam.



“DAH lama akak nak ajak Syari keluar makan dengan akak. Hari ni baru dapat peluang,” kata Aiza sambil tersenyum manis.
Syarizad membalas senyuman itu.
“Maaflah kalau saya nampak macam sombong kat ofis tu. Bukan apa, segan nak tegur-tegur orang ni.”
“Dengan akak tak payah nak segan-segan,” balas Aiza.
Syarizad mengangguk. Lega. Sikap Kak Aiza benar-benar buat dia rasa disayangi. Hairan, tapi itulah yang sebenarnya.
“Akak ada benda nak tanya Syari, tapi akak harap Syari tak salah faham ya.” Aiza berhati-hati menyusun ayat. Takut juga kalau-kalau Syarizad ingat dia sengaja nak busybody ke apa.
“Apa dia, kak?” Ini yang tak sedap ni. Tapi Syarizad tetap cuba berlagak biasa.
“Hari-hari akak nampak Syari datang ofis dengan kereta, ada orang hantar. Tapi itu akak tak kisah. Yang akak hairan, kenapa berhenti jauh dari ofis? Syari takut ada orang nampak ke?”
Syarizad terdiam. Dia tahu, lambat-laun akan ada juga orang yang bertanya. Cuma dia tidak sangka secepat ini dan dia langsung tidak bersedia dengan apa-apa jawapan.
“Maaflah kalau akak buat Syari tak selesa. Kalau tak nak jawab pun tak apa. Akak tak kisah.” Aiza semakin serba salah. Dia tidak mahu Syarizad rasa tidak selesa dengannya selepas ini. Niatnya baik.
“Itu...” Syarizad berjeda mencari nafas. “Itu... pak cik saya. Memang saya sengaja minta dia hantar saya jauh sikit dari ofis sebab saya tak nak orang fikir yang bukan-bukan.” Entah dari mana jawapan itu keluar, dia sendiri pun tidak tahu. Kalau nak diikutkan logik, memang tak logik langsung. Hantar secara sembunyi macam tu, lagilah orang akan fikir yang bukan-bukan. Buktinya sekarang, dah jelas Kak Aiza bertanya.
Penipuan kelima. Entah berapa banyak lagi penipuan yang bakal dicipta selepas ini. Keluhan kecil terlepas tanpa sedar.
“Ohh...” Aiza mengangguk-angguk. Walaupun jawapan Syarizad itu kedengaran longgar di telinganya, dia tetap memujuk hati untuk percaya. Lagipun dia bukannya ada hak nak bertanya lebih-lebih. Karang apa pula yang difikirkan Syarizad tentang dirinya.
“Kalau macam tu tak apalah. Maaf kalau Syari tak selesa dengan soalan akak ya...” ujar Aiza lagi. Janganlah sebab itu hubungan baik mereka tergugat pula.
“Tak apa.” Syarizad pura-pura tersenyum manis. Hati yang gelisah cuba ditenangkan. Kak Aiza tidak tahu dan dia tidak perlu tahu.
Aiza menyambung suapan yang terhenti tadi.
Err... kak, kalau saya pulak yang nak tanya boleh?”
“Apa dia?” Aiza bersedia menjawab soalan Syarizad.
“Akak dah lama ke kerja kat situ?” tanya Syarizad. Rasa-rasanya, Kak Aiza orang yang tepat untuk ditanyakan soalan yang berlegar-legar dalam kepalanya setelah sekian lama. Persoalan tentang dirinya tadi biarlah tertutup terus tanpa perlu dibuka lagi.
“Lamalah jugak... dalam lima tahun macam tu,” jawab Aiza yakin.
“Kalau macam tu, mesti akak dah kenal sangat dengan Encik Ben tu, kan?” Kelat muka Syarizad ketika itu. Takut kalau-kalau Kak Aiza salah faham dengan tujuannya bertanya.
“Kenal. Akak pun dah rasa macam Encik Ben tu adik akak,” jawab Aiza. Sepanjang bekerja di JAB Holdings, dia sangat menyenangi Ben. Ben seorang bos yang baik, memahami dan sangat jarang marah-marah.
“Encik Ben tu sebenarnya orang dia macam mana ya?” tanya Syarizad. Terlepas saja soalan tu dari mulut, sumpah dia rasa nak menyorok bawah meja.
Aiza ketawa kecil. Rasa-rasanya dia faham kenapa Syarizad bertanyakan soalan itu.
“Encik Ben tu baik orangnya. Sepanjang akak kerja dengan dia, boleh kira berapa kali aje akak tengok dia marah. Itu pun kalau ada pekerja yang buat salah besar sampai tahap dia tak boleh nak sabar lagi. Tapi most of the time, dia memang baik.” Aiza tersenyum lagi. Tidak silu memuji Ben kerana itu memang hakikatnya.
Syarizad ikut sama tersenyum. Seraut wajah Ben muncul di ruang ingatan.
“Habis, kenapa akak tak cuba pikat dia?” Soalan yang membuatkan Aiza ketawa lagi.
“Akak ni dah tualah, Syari. Dah kahwin, dah ada anak. Tak sesuai pun nak try dia. Tapi kalau Syari, hah baru sesuai...”
Syarizad terdiam. Memang itu pun yang sedang diusahakan. Tapi bukan atas dasar cinta, sebaliknya perjanjian yang sudah termeterai antara dia dan Datin Hazleena, ibu tiri lelaki itu sendiri.
“Oh ya, tak lama lagi company ada buat annual dinner. Semua staf dijemput datang tau. Manalah tahu nanti kalau-kalau Encik Ben minta Syari jadi partner dia ke...” Aiza mengusik. Sudah terbayang Syarizad yang cantik di sisi Ben yang kacak. Memang sesuai sangat-sangat.
“Eh, takkanlah, kak...” Syarizad tertunduk. Tapi dalam kepala sudah terbit satu idea. Kalau betul Ben ajak dia jadi partner, mesti best, kan?



JAM tangan dipandang lagi. Tak cukup dengan jam itu, ditoleh pula ke arah jam yang tergantung pada dinding ruang pejabat. Sudah pukul 6.30 petang. Ruang pejabat itu sudah semakin lengang. Dia pun sudah memberitahu Pak Ali supaya tak payah datang menjemputnya di pejabat. Tiba-tiba terasa macam nak minta Ben hantarkan dia balik ke rumah. Sekali-sekala nak mengada-ada, apa salahnya, kan?
Syarizad masuk ke dalam bilik pejabat Ben tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Selamba macam pejabat itu dia yang punya. Melihat renungan Ben, dia hanya tayang sengih.
“Dah pukul 6.30 ni, Encik Ben tak nak balik ke?”
Ben tersentak. Terus dia memandang jam di tangan.
“Ya Allah... tak sedar langsung.”
“Saya nak minta Encik Ben hantarkan saya balik boleh tak?” Syarizad tersenyum.
Ben yang sedang mengemas mejanya segera mengangkat kepala.
“Biasa balik dengan apa?”
“Alah... bolehlah...” mulalah dia nak buat suara manja.
Ben mengeluh. Sebelum Syarizad semakin mara ke depan, baik dia bersetuju saja.
“Okey...”
Syarizad tersenyum lebar. Tahu Ben tidak akan mampu menolak permintaannya. Bak kata Kak Aiza, bos mereka itu kan baik...
“Saya nak solat asar dulu. Awak dah solat?” Ben memandang tepat ke muka Syarizad.
Err... dah tadi.” Hilang senyuman mekar di bibir Syarizad.
Ben memerhati reaksi Syarizad. Asal tanya hal solat, mesti nampak menggelabah. Spontan terlepas keluhan dari bibirnya.
Wait here.” Kemudian dia terus berlalu keluar untuk ke surau kecil yang terletak bersebelahan pantri.
Syarizad duduk di atas sofa sambil termenung panjang. Solat? Entah bila kali terakhir dia solat pun dia sendiri sudah lupa. Tiba-tiba dia rasa malu dengan Ben. Walaupun Ben tidak bersuara, tapi dia yakin Ben tahu yang dia menipu.
Lima belas minit menunggu, Ben muncul semula. Syarizad terpegun memandang lelaki itu dalam kemeja yang lengannya sudah dilipat hingga ke siku. Matanya sendiri yang ada masalah atau Ben memang lebih kacak selepas solat?
“Jom.” Ben mencapai kot, briefcase dan kunci keretanya setelah mengemaskan meja ala kadar.
Syarizad hanya mengikut tanpa suara. Setelah masuk ke kereta, barulah dia teringat perbualan dengan Kak Aiza tengah hari tadi. Ben yang sedang memandu dipandang.
“Kak Aiza ada cakap pasal annual dinner company. Encik Ben tak ada cakap apa-apa pun kat saya?” tanya Syarizad dengan tak malunya.
Ben angkat kening.
“Oh, saya pun baru teringat pasal tu. Baguslah kalau Kak Aiza dah beritahu.”
“Bila dinner tu?”
“Bulan depan. Around... next three weeks.”
“Encik Ben tak nak ajak saya jadi partner Encik Ben ke?” Syarizad senyum comel-comel. Nak membodek haruslah kena cara, baru Ben cair.
Ben memandang sekilas ke arah Syarizad sebelum ketawa. Aduhai, tak pernah aku jumpa perempuan macam Syarizad ni.
“Saya tak pernah bawak partner pun selama ni.”
“Itu selama ni, bukan kali ni.” Bijak Syarizad menjawab.
Ben masih lagi dalam sisa tawa.
“Betul ke awak nak jadi partner saya ni?” Wajah Syarizad ditoleh lagi.
“Rugilah lepas peluang jadi partner Encik Ben.” Syarizad mengangguk-angguk.
Ben buat muka.
Okay then, you can be my partner,” putusnya malas fikir panjang lagi. Lagipun memang tidak menjadi masalah kalau dia membawa Syarizad sebagai temannya pada malam jamuan itu nanti.
Syarizad bersorak dalam hati. Ben tak nak ajak, biar dia sendiri yang tawarkan. Tak susah pun, kan?
Audi A6 Ben berhenti di depan kawasan pangsapuri Syarizad.
Thank you for the ride,” ucap Syarizad ceria.
“Esok datang kerja dengan apa?” sempat lagi Ben bertanya.
Hmm... macam biasalah.”
I’ll pick you up before 8.00,” putus Ben tanpa bertanya kepada Syarizad dulu.
“Serius?” mata Syarizad bersinar-sinar teruja.
Ben mengangguk. Dia sendiri terkejut dengan apa yang baru keluar dari mulutnya. Spontan sungguh!
“Kecil tapak tangan, satu taman bunga saya tadahkan!” jawab Syarizad riang.
Melihat senyuman Syarizad, hati Ben tercuit lagi. Senyuman itu nampak sangat ikhlas. Tidak macam selalunya.
“Pergilah naik. Nanti nak tidur jangan lupa baca doa, baca surah...”
“Okey, saya tahu.” Laju Syarizad memotong. Sebelah tangan menutup telinga. Kalau ucap ‘I love you’ ke okeylah juga, ini asyik nak bagi tazkirah aje kerjanya, bebel hati Syarizad.
I will remind you every night if I have to,” kata Ben sambil sembunyi senyum.
“Kalau macam tu, Encik Ben kena hantar saya balik hari-harilah, kan?” Syarizad senyum mengada-ada. Bijak putar belitkan ayatnya.
Ben ketawa kecil.
See you tomorrow.”
Syarizad mengangguk. Tali pinggang keledar ditanggalkan lalu dia terus turun. Walaupun kereta Ben sudah berlalu pergi, dia masih lagi di situ. Merenung ke arah bayang kereta itu dengan satu irama indah yang entah dari mana muncul di hati.

No comments:

Post a Comment