DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 11




Enam tahun lalu...

SELESAI urusan pendaftaran, Zenia bersama ayah dan ibunya naik ke bangunan kolej untuk mencari bilik yang telah ditetapkan. Hari pertama menjejakkan kaki ke kampus, perasaan mestilah teruja lebih daripada segala-galanya. Saat melangkah masuk ke dalam bilik, mata Zenia sudah melilau-lilau memerhatikan sekeliling bilik.
            “Nia nak katil nilah!” Cepat-cepat dicop katil sebelah kiri.
            “Elok jugak bilik ni. Bersih, tak adalah kecik sangat...” komen Mokhtar sambil ikut sama perhati sekeliling. Bagasi yang diangkat dari bawah tadi diletakkan di sebelah katil.
            “Muat-muat untuk dua orang duduk,” ujar Maryam pula.
            “Macam nilah baru best!” kata Zenia teruja. Dihampiri lokar besi yang disediakan di dalam bilik itu. Pintu dibuka luas-luas. Kalau boleh, setiap inci dan segenap sudut dalam bilik itu nak ditiliknya.
            “Nia nanti duduk kat sini jangan nakal-nakal ya. Belajar rajin-rajin, jangan nak main aje,” pesan Mokhtar. Dah faham sangat perangai anak gadisnya yang seorang itu.
            Zenia tersengih. “Ayah janganlah risau... Nia kan budak baik, mana ada buat benda-benda yang tak elok. Kan, bu?” Dipeluk lengan ibunya manja.
            Maryam tersenyum. “Yalah, lepas ni tak boleh nak manja-manja dengan ibu dan ayah lagi. Kena belajar berdikari. Basuh baju sendiri, kemas bilik sendiri, cari makan sendiri. Boleh ke buat semua tu?” duga Maryam. Selebihnya, sengaja nak mengusik anaknya itu.
            “Hmm...” Zenia menggumam lama. “Alaaa susahlah macam tu...”
            “Nak belajar dekat U mestilah semua benda kena buat sendiri. Takkanlah ibu dengan ayah nak datang sini jenguk Nia tiap-tiap minggu,” ujar Mokhtar pula.
            Zenia memuncung. Ayah dan ibu ketawa mengusik.
            Selesai mengemas segala barangnya, Mokhtar dan Maryam meminta diri untuk pulang. Menitis juga air mata Zenia. Sedih sebab kena tinggal. Dipeluk tubuh Maryam macam tak mahu lepas.
            “Jaga diri, jaga solat, jaga pelajaran, jaga pergaulan. Ingat ya sayang,” pesan Maryam lembut. Belakang Zenia diusap-usap.
            Zenia mengangguk. Pelukan ibu dileraikan lalu dipeluk pula tubuh ayah. “Nanti mesti Nia rindu ayah dengan ibu...”
            “Ayah dengan ibu pun sama. Telefon selalu tau,” pesan Mokhtar pula.
            Zenia mencium tangan kedua-duanya dan akhirnya, tinggallah dia terkebil-kebil di situ. Program orientasi untuk pelajar-pelajar baru akan dimulakan pada pukul 5.00 petang nanti. Sekarang baru pukul 3.00. Tak tahu nak buat apa, sudahnya Zenia baring saja di katil melepaskan penat dan kesedihan yang masih belum hilang.
            Tak sampai sepuluh minit baring, pintu bilik dibuka dari luar. Masuk seorang gadis sambil mengangkut beg di kiri dan kanan tangannya. Zenia terus menghulur bantuan.
            Thanks...” Gadis itu tersenyum ke arah Zenia. “Haih... penat betul angkut barang sorang-sorang ni,” bebelnya sambil mengesat peluh yang basah di dahi.
            “Sorang aje? Family mana?” tanya Zenia. Gadis itu bakal menjadi teman sebiliknya, jadi tak salah kalau nak beramah mesra. Bukan bakal, tapi memang dah sah jadi pun.
            “Aku dah suruh dia orang balik. Itulah kononnya tak nak nanti sedih kalau dia orang hantar sampai atas. Padan muka diri sendiri. Nasib baik tak tersungkur kat tangga tadi.” Laju mulut gadis itu berceloteh. Dia terus terbaring di katil untuk membuang lelah.
            “Nama?” tanya Zenia lagi. Kalau tengok dari cara gadis itu bercakap, macam boleh ‘masuk’ aje.
            “Nur Zaitun. Panggil aje Eton. Kau?” Eton memulangkan soalan.
            “Nur Iris Zenia, panggil Nia.” Zenia tersenyum manis.
            “Berbelitnya nama kau. Tapi memandangkan kau ni dah jadi roommate aku, kira okeylah.” Eton tertawa sendiri.
            “Jom aku tolong kau kemas barang.” Zenia menawarkan diri untuk membantu. Eton yang sememangnya tengah penat sangat langsung tak menolak. Lagi bagus ada orang tolong.
            “Wah... dari sini boleh nampak tennis courtlah! Bosan-bosan nanti boleh intai abang-abang hensem main tenis!” Eton tersengih-sengih gatal. Panjang lehernya mengintai dari celahan tingkap.
            Zenia ikut sama ‘menghendap’. “Haahlah. Dia orang tu senior ke? Bukan ke senior cuti lagi sekarang ni? Tak silap aku dia orang masuk minggu depan, lepas kita habis orientasi,” ujar Zenia hairan. Matanya fokus memerhati abang-abang senior yang sedang bermain tenis di gelanggang. Dalam ramai-ramai, sepasang matanya hanya tertarik untuk terus merenung satu wajah.
            “Entah...” Eton jongket bahu. “Mungkin dia orang cuma datang nak main tenis aje kut. Dahlah main tengah panas, sengaja nak tarik perhatian junior ke apa?”
            Terlepas tawa Zenia dengan komen selamba Eton itu. Kalau si abang berbaju putih dengan tulisan Adidas di bahagian dadanya itu yang sengaja nak tarik perhatian, memang usahanya dah berjaya sebab Zenia yakin hatinya sudah ditarik dan dia sudah sangat tertarik. Oh my God!


SELESAI makan tengah hari, semua pelajar baru dikehendaki berkumpul di dewan. Tiga hari orientasi, Zenia terasa badannya letih yang amat. Mana tidaknya, dahlah sepanjang hari terpaksa mengerah tenaga, program tamat pula dah lewat malam. Tidur lewat, bangun awal. Kalau waktu subuh tak tersengguk memang tak sah. Tapi nak buat macam mana, dia tetap perlu teruskan sampai tamat program untuk tempoh seminggu ini.
            “Nia!” Eton berbisik sambil mencuit lengan Zenia.
            Zenia berpaling. “Apa?” Keningnya diangkat tinggi. Ketika itu mereka sedang berjalan dalam barisan untuk ke dewan utama.
            “Cuba tengok siapa kat gazebo tu,” ujar Eton sambil bibirnya dimuncungkan ke arah gazebo yang dimaksudkan.
            Zenia terus mengalih pandangan. Terpandangkan saja lelaki yang sudah menjadi tumpuannya sejak tiga hari lalu, terus berbunga-bunga senyuman di bibir. Kalau tadi bukan main merungut penat, sekarang automatik rasa penat itu hilang. Sahlah, memang dia dah angau dengan abang senior tu walau hakikatnya cuma kenal dari jauh. Nama? Jangan ditanya. Haram tak tahu.
            “Sukalah tu!” Eton menyenggol lengan Zenia lalu ketawa-ketawa.
            Zenia tersipu menahan senyuman.
            “Cepat sikit jalan tu! Jangan nak bersembang pulak dalam barisan!”
Suara salah seorang urusetia memeranjatkan Zenia dan Eton. Mati senyuman kedua-duanya. Apatah lagi apabila suara kuat itu menarik perhatian abang-abang senior yang sejak tadi menjadi tumpuan mereka berdua. Terus kedua-duanya menundukkan muka dan berjalan laju-laju. Cover line!
Malam terakhir orientasi, program tamat ketika jam sudah menghala ke pukul 3.00 pagi. Walaupun penat, tapi masing-masing puas hati. Sampai ke bilik, Zenia dan Eton tidak terus tidur. Elok aje kedua-duanya baring di atas satu katil sambil berbual macam-macam perkara.
“Kau tak ada boyfriend ke, Ton?” tanya Zenia sambil merenung siling bilik.
            Tak semena-mena Eton ketawa. “Aku yang ganas ni mana ada orang naklah,” jawabnya lalu menyambung tawa.
            “Hmm...” Zenia menggumam sendiri.
            “Hah... tu mesti teringatkan Abang Adidas tu, kan?” teka Eton. Tahu sangat memang Zenia dah angau habis dengan abang senior yang digelarkan sebagai Abang Adidas itu. Tergeleng-geleng kepalanya dengan gelak yang panjang.
            “Entahlah... tapi aku asyik ingatkan dia aje. Am I falling in love?”
            Crush aje kut...” kata Eton. Entahlah, dia sendiri pun mana reti bab-bab hati dan perasaan ni. Pandang mana-mana lelaki pun hati kayu aje. Memanglah kadang-kadang hormon ‘gatal’ tu ada, tapi tak adalah sampai tembus ke hati. Setakat minat pandang-pandang macam tu aje.
            “Nama dia apa eh?” tanya Zenia, lebih kepada diri sendiri.
            “Nanti kuliah dah start, kau cubalah korek. Mesti ada cara tu nanti.” Eton angkat-angkat kening.
            Zenia tersengih. Betul kata Eton, pandai-pandailah nanti dia nak ‘siasat’ tentang si dia jejaka idaman hati itu nanti.


SUDAH dua minggu kuliah dimulakan, tetapi Zenia masih belum hafal selok-belok bangunan fakultinya sendiri. Sebab itulah setiap kali perlu berjumpa pensyarah, dia terpaksa pergi ke pejabat untuk bertanyakan arah. Kata orang, malu bertanya sesat jalan. Dia tak nak sesat, jadi pandai-pandailah usaha sendiri.
            Mungkin dah memang tuahnya hari itu, masuk-masuk aje ke dalam pejabat, orang pertama yang dia nampak adalah lelaki itu, Abang Adidas pujaan hati. Lelaki itu sedang duduk menunggu di bangku sambil tunduk bermain-main dengan telefon bimbit di tangan. Mungkin ada urusan kut. Zenia menahan senyuman yang mula terukir. Terjumpa Encik Crush, hati bukan main berbunga-bunga.
            Tak mahu dikatakan gatal sebab perhatikan anak teruna orang, Zenia terus ke tujuan utamanya. Kaunter pejabat dihampiri. “Assalamualaikum...”
            “Walaaikumussalam. Ya, dik?” tanya pekerja yang menjaga kaunter di situ.
            “Saya nak tahu, bilik Puan Erlissa kat mana ya?” Zenia mengajukan soalan.
            “Oh, Puan Erlissa. Awak keluar dari sini, lepas tu masuk kiri. Kat paling hujung sekali ada tulis nama kat pintu bilik Puan Erlissa tu,” jawab wanita yang memakai tanda nama Laili itu.
            Zenia mengangguk-angguk. “Okey, terima kasih, kak.”
            “Sama-sama.”
            Zenia bergerak menjauhi kaunter. Nak keluar, tapi mata belum puas tengok Abang Adidas. Jadi terpaksalah pura-pura membelek-belek fail di tangan, kononnya mencari nota. Sambil itu ekor mata terus memerhatikan lelaki itu dari jauh.
            “Hayyan Rizqi Bin Azlan.”
            Nama itu dipanggil dari arah kaunter. Abang Adidas bangun lalu berjalan mendapatkan kaunter. Zenia telan liur. Apa nama dia? Hayyan Rizqi Bin Azlan? Sungguh, Zenia rasa macam nak pitam. Akhirnya, dia tahu juga nama sebenar Encik Crush tersayang! Wuhuuu! Rasa nak menjerit bagi tahu Eton sekarang juga.
            Selesai urusan di kaunter, Hayyan Rizqi berjalan melepasi Zenia untuk mendapatkan pintu. Sikit pun dia tak menoleh memandang Zenia. Tapi tak apa, dapat tahu nama dia aje pun dah cukup. Tak semena-mena, persoalan tentang Puan Erlissa tadi hilang begitu saja.




No comments:

Post a Comment