MUKA
Zatie berseri-seri setelah keluar dari bilik bos. Meja pertama yang dihampiri
sudah tentulah meja sahabat baiknya, Zenia.
“Yes, anything?” Zenia yang sudah masak sangat dengan tingkah Zatie itu
terus bertanya. Kalau dah muka ceria lain macam, dah tentu ada benda yang nak
diceritakan.
“Ingat tak hari tu aku kena arrangekan family day dekat PD?” Zatie mengerdipkan matanya gaya
mengada-ngada.
“Aha...” Zenia mengangguk
teragak-agak.
“Well,
semua benda dah diluluskan! Kalau kau nak tahu, bos siap benarkan kita semua join event tu nanti.” Serta-merta suara
Zatie naik meninggi. Sengaja nak bagi satu ofis tu dengar.
“Serius, Tie? Wah, bestnya!” Amira sudah terlebih teruja.
“Akak nak bawak suami dengan
anak-anak akaklah, boleh?” Kak Milah pula menyampuk.
“Boleh sangat, kak. Ditanggung
beres!” Zatie mengangkat ibu jarinya.
“Aku kau tak nak ajak?” Alief
tersengih-sengih dari mejanya.
Zatie menjulingkan mata ke atas.
Malas nak melayan. Alief membalas dengan gelak panjang.
“Nanti
bagi confirmation siapa yang nak join sebab nanti aku nak kena tambah
tempahan bilik untuk kau orang semua. Okey?”
“Okey!” Serentak mereka semua
menjawab.
Zatie pandang Zenia. “Kau wajib join.” Perkataan ‘wajib’ itu sengaja
ditekan.
Zenia tersengih kelat. “Baru ingat
nak mengelak tadi...”
“Tak ada mengelak-mengelak eh? Kalau
aku join, kau pun kena join,” tegas Zatie tak mahu berkompromi.
Zenia angkat kedua-dua tangannya
tanda mengalah.
“Malam ni ada buat apa-apa tak?”
tanya Zatie lagi.
Zenia menggeleng.
“Good.
Malam nanti kita keluar cari barang-barang.” Zatie tarik sengih lalu terus
beredar ke mejanya.
“Kau tak keluar dating dengan boyfriend
ke malam ni, Tie?” Entah bila si Alief tu pasang telinga, tiba-tiba aje tegur
macam tu.
Zatie menjeling. “Nampak ni?” Pen
Pilot di tangan ditanjukkan ke arah Alief.
Lelaki itu cuma tertawa sakan.
Seronok dapat mengusik.
“ADA
laki sibuk aje memanjang, ada adik pun jarang dapat jumpa. Kena paksa datang
rumah, barulah nak nampak muka tu.” Herny membebel-bebel sambil menolak troli.
Hayyan buat-buat tak dengar.
Teringat tadi, sampai berpuluh-puluh panggilan yang masuk daripada kakaknya itu
yang memaksanya untuk menelefon semula. Dia tahu kalau dah sampai macam tu
sekali Herny mencarinya, mesti ada hal penting. Walaupun hal penting yang
dimaksudkan itu cuma menemaninya ke Tesco untuk membeli barang. Nasib baiklah
sekarang kakaknya itu tinggal di Shah Alam selepas berkahwin dengan Khairil.
Kalau tak, jenuh juga nak balik sampai ke Kuala Lumpur semata-mata nak teman
beli barang. Dahlah hari dah malam waktu tu.
“Nanti pesan sikit kat abang ipar
Riz tu, ada bini buat cara ada bini. Okey?” Herny membebel lagi. Botol pelembut
Downy dicapai satu.
“Yalah, kak...” Panjang Hayyan
menjawab. Dia cuma mengikut Herny berjalan ke hulu ke hilir mencari barang.
Tiba-tiba, matanya menangkap kelibat seseorang tak jauh dari tempatnya sedang
berdiri. Zenia! Di sisi wania itu ada Adam dan juga seorang lagi gadis yang
diyakini rakan sekerja Zenia.
“Kak...” Hayyan memanggil tanpa
memandang Herny.
“Apa dia?” Herny kerut kening.
Barulah Hayyan mengalih pandang ke
wajah Herny. “Riz ke sana kejap... Ada barang nak beli,” ujarnya sengaja
mencari alasan.
“Haa yalah,” balas Herny tanpa
langsung curiga.
Hayyan tak membuang masa. Zenia
dihampiri. Kala wanita itu berpaling ke arahnya, dia terus mengukir senyuman.
Zatie di sebelah Zenia
tercengang-cengang. Aik... ni bukan ke lelaki yang pernah datang ofis hari tu?
Kalau tak silap, masa wedding bos
hari tu pun dia ada. Kenapa tiba-tiba datang senyum ni? Kenal ke?
Zenia merenung Hayyan tak berkelip.
Sejak pertemuan tempoh hari, dia sangkakan mereka tak akan berjumpa lagi.
Rupa-rupanya dia silap sama sekali. Hayyan yang mengekorinya atau mereka memang
sudah ditakdirkan untuk berjumpa di sini?
“Mama... ni bukan ke uncle yang tolong Adam hari tu?” Adam
terlebih dahulu bersuara. Terkebil-kebil matanya memandang uncle yang dimaksudkan.
“Err...” Zenia bagai sudah
kehilangan kata. Tak sangka Adam ingat lagi.
Hayyan menundukkan badannya sedikit.
“Ya, Adam. Ni uncle... Adam ingat uncle lagi?”
“Ingat! Mestilah Adam ingat. Kan
hari tu uncle tolong Adam.” Adam
tersengih-sengih gembira.
Zatie tak bersuara. Hanya bola
matanya bergerak ke kiri dan kanan, masih tak faham dengan situasi yang
berlaku.
“Err... Tie, boleh tak kau bawak
Adam pergi beli aiskrim dulu? Nanti aku pergi sana,” suruh Zenia perlahan.
Hatinya sudah makin resah gelisah.
“Ohh... okey, okey.” Zatie yang
masih tak mengerti hanya menurut. Tangan Adam dipimpin untuk ke bahagian yang
menempatkan aiskrim.
Zenia memandang Hayyan. “Apa awak
buat kat sini?”
“Teman kakak saya beli barang. Tak
sangka pulak ternampak awak kat sini,” jawab Hayyan tenang. Dalam hati dia
berterima kasih kepada Herny sebab paksa dia datang ke sini malam ini. Kalau
tahu dari awal Zenia pun nak datang, dia sendiri yang akan menawarkan diri
untuk teman Herny tadi.
Zenia terangguk faham. Belum sempat
dia membalas, Hayyan sudah mencapai trolinya.
“Jom, saya teman awak beli barang.”
Selamba Hayyan menolak troli itu tanpa menunggu Zenia. Dia tahu kalau dia
tunggu, Zenia akan berusaha mencari jalan untuk menghalang.
Terpaksalah Zenia melajukan langkah
mengikut Hayyan. “Hayyan, apa awak buat ni?”
“Teman awak beli baranglah..”
“Saya boleh beli sendiri,” bantah
Zenia.
“Awak nak apa lagi? Ohh, ini mesti
untuk family day kat PD tu, kan?
Khairil pun ada ajak saya join,”
cerita Hayyan tanpa ditanya.
Zenia terdiam. Hayyan pun pergi?
“Asalnya saya macam malas nak pergi
sebab saya bukannya ada family nak
bawak pun, tapi sebab awak pergi, saya pergi.” Hayyan tersenyum manis.
Memandang sekilas ke arah Zenia lalu menyambung langkah.
Zenia hembus nafas panjang. Langkah
Hayyan diekori lagi.
“Biskut nak? Mana tahu nanti kat
sana awak lapar ke tengah-tengah malam...” kata Hayyan sambil matanya meliar
memerhatikan rak biskut di situ.
“Mana ada orang makan dah
tengah-tengah malam. Orang semua tidur aje,” bebel Zenia. Wajahnya masam, tak
puas hati dengan tindakan Hayyan tadi. Suka-suka hati dia aje nak tolak troli
orang.
“Eh, bukan ke dulu awak suka makan
tengah-tengah malam? Kadang-kadang tu kalau dah lapar sangat, maggi pun awak
bedal.”
Zenia terkunci mulut. Wajah Hayyan
dipandang. Lelaki itu nampak selamba dan bersahaja. Kenapa perlu diungkit hal
itu sekarang? Memang Hayyan sengaja nak buatkan hatinya yang sudah sedia
gelisah semakin huru-hara.
“Chipsmore.” Bungkusan plastik
berwarna kuning dengan gambar biskut Chipsmore itu dicapai Hayyan. “Favourite awak, kan?” Dia terus
meletakkan plastik itu ke dalam troli. Bibir tak lekang dengan senyuman.
Zenia masih diam tak bersuara. Makin
banyak Hayyan bercakap, makin jantungnya berdegup laju tak tentu arah.
“Lagi nak apa lagi?” tanya Hayyan.
“Tak nak apa-apa dah...”
“Haa... Mister Potato awak dah beli?
Dulu-dulu kalau kita keluar dating
wajib beli benda tu.” Hayyan menolak troli yang sudah hampir penuh itu lagi.
Zenia mengikut Hayyan di belakang.
“Hayyan, kita ni nak pergi family day,
tidur kat resort. Bukannya pergi camping
budak-budak sekolah tidur dalam hutan,” rungutnya tak puas hati. Selebihnya,
dia cuma nak mengelak daripada terus bercakap soal masa lalu.
“Kita? Hmm... macam nak pergi honeymoon pulak bunyinya tu,” gurau
Hayyan sambil tersengih.
“Hayyannnn...” Zenia hilang sabar.
Dia berdiri di depan troli, sekali gus menghalang Hayyan meneruskan langkah
kakinya.
Hayyan angkat kening. Gaya orang tak
bersalah. Entah kenapa, seronok pula tengok Zenia masamkan muka macam tu.
Mungkin sebab rindu kut... Dah lama sangat tak mengusik wanita itu.
“Awak cakap awak datang teman kakak
awak beli barang, kan? Jadi boleh tak awak tinggalkan saya kat sini, biar aje
saya nak beli apa-apa pun. Jangan kacau saya. Boleh?” Zenia meminta dengan
suara yang dilembutkan. Pandangan orang yang lalu-lalang di situ cuba untuk tak
dihiraukan.
Hayyan sembunyi senyum. “Kenapa? Tak
selesa kalau saya ada dengan awak?”
Zenia tak menjawab. Bibirnya
diketap.
“Kalau awak tak selesa dengan saya,
itu maknanya awak pun masih tak dapat lupakan saya sepenuhnya. Jadi... saya
akan terus buat awak rasa tak selesa, sampai awak mengaku perasaan awak pada
saya.” Hayyan melepaskan troli itu lalu berjalan dekat dengan Zenia.
Zenia terasa nafasnya semput ketika
itu. Apa maksud Hayyan? Dia tak tahu dan dia takut nak ambil tahu!
“Jumpa nanti kat PD.” Hayyan
berbisik lembut. Sempat mengukir senyuman manis buat gadis itu sebelum berlalu
pergi.
Zenia terdiam lama di situ.
Jantungnya berdegup laju lagi. Mungkin benar kata Hayyan, dia masih belum dapat
melupakan lelaki itu sepenuhnya. Tapi, kenapa susah sangat untuk dia mengaku?
“Mama! Adam beli aiskrim Walls!”
Adam berlari-lari mendapatkan mamanya dengan bekas aiskrim di tangan.
Zatie
di belakang hanya berjalan perlahan. Sebenarnya dari tadi lagi dia memerhatikan
Zenia dan lelaki itu dari jauh. Dia yakin ada sesuatu antara Zenia dan lelaki
itu, cuma dia tak tahu apa. Siaplah Zenia lepas ni, habis rahsianya akan
dikorek.
“Pandai
anak mama pilih. Jom, kita pergi bayar.” Zenia pura-pura menceriakan suara. Dia
perasan renungan semacam Zatie tapi sengaja buat-buat tak nampak.
No comments:
Post a Comment