DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 17



MAJLIS pertunangan Liyana dan Herdy berlangsung juga akhirnya. Tidak mengikut adat Melayu, Herdy juga turut hadir pada majlis itu. Cuma bukan dia yang menyarungkan cincin, sebaliknya mamanya sendiri. Dia hanya duduk di tepi menyaksikan upacara itu berlangsung indah.
Syarizad yang duduk di hujung kiri pelamin menjadi penonton dengan wajah yang bosan. Kerap kali matanya singgah di wajah Herdy, seolah-olah memanggil lelaki itu supaya berpaling ke arahnya. Mungkin perasan dirinya sedang diperhati, Herdy akhirnya menoleh.
Syarizad mengukir senyuman. Herdy pula membalas dengan senyuman nipis sebelum kembali memakukan pandangan ke wajah Liyana. Syarizad merengus dalam diam. Takkanlah tengok Liyana pakai cantik-cantik macam tu Herdy terus lupa tentangnya?
Selesai majlis berlangsung, Syarizad terus menghilang ke dalam bilik. Lagipun tetamu yang hadir dijemput menjamu hidangan ringkas di luar rumah, jadi tak perlulah dia menempel lagi. Satu pesanan ringkas dihantar ke nombor telefon Herdy.
Agak lama menunggu, pintu biliknya tiba-tiba ditolak dari luar. Herdy masuk dengan senyuman nipis.
“Tutup pintu,” arah Syarizad dengan suara yang sedikit berbisik.
Herdy menurut. Kemudian Syarizad yang berdiri di tepi katil dihampiri. Sekejap saja tangannya sudah memaut pinggang gadis itu rapat dengannya.
“Ada orang nampak tak?” tanya Syarizad perlahan. Tangannya dilingkarkan pada leher Herdy.
Herdy menggeleng.
“You yakin?”
Yup.” Herdy senyum. “I miss you...”
Syarizad mencebik.
“Ingatkan lepas dah tunang dengan Liyana you yang tersayang tu, dah lupa terus kat I ni...”
“Hesy, mana boleh lupa. Kalau bukan sebab you, I takkan datang hari ni tau,” balas Herdy. Hidung Syarizad dicuit lembut.
Syarizad tersenyum panjang. Hati menggeletek suka mengenangkan Liyana yang bodoh itu. Kalau Liyana nampak apa yang berlaku sekarang, agak-agak apa reaksi dia? Oh, belum masanya lagi untuk Liyana tahu. Tunggu dan lihat saja.
Herdy mendekatkan wajahnya ke wajah Syarizad. Syarizad yang mengerti tidak langsung menghalang. Hanya membiarkan Herdy melaksanakan apa yang dimahukan, melampiaskan nafsu masing-masing.
Hmm...” Herdy bersuara tiba-tiba di tengah-tengah keasyikan itu. “I kena pergi sekarang. Tak nak nanti Yana perasan I hilang lama.” Dia melepaskan pelukan di tubuh Syarizad.
Syarizad berdecit. “See? Kan I dah cakap yang you memang lebihkan dia daripada I...”
“Hei...” Herdy mencuit pipi Syarizad. “You dah lupa ke? You jugak yang suruh I tunang dengan dia.”
Syarizad tersenyum.
“Mestilah I tak lupa.” Satu lagi ciuman diberikan di pipi Herdy sebelum lelaki itu keluar dari biliknya. Syarizad berdiri di depan cermin, membetulkan ikatan rambut dan juga baju kurung yang dipakai. Sepuluh minit berlalu, barulah dia keluar dari bilik. Dia menuju ke dapur untuk membasahkan tekak.
“Kau buat apa dengan tunang Yana tadi?”
Soalan tiba-tiba itu mengejutkan Syarizad. Nasib baik tidak terlepas gelas dari tangannya. Dikesat air yang meleleh keluar dari bibir dengan hujung lengan baju kurungnya. Tubuh dipusingkan ke arah Idlan yang sedang tercegat di depan pintu dapur yang terbuka luas.
“Lan... apa kau cakap?” sengaja Syarizad bertanya semula. Cover line. Takkan Idlan nampak kut? Mampus!
Idlan menggeleng-geleng. Riak wajahnya penuh kekesalan.
“Aku nampak Herdy masuk bilik kau tadi. Kau buat apa dengan dia?”
Syarizad diam tidak menjawab. Gelas tadi dicuci lalu diletakkan semula di tempatnya. Kemudian dia berjalan ke arah pintu. Selipar disarung dan dengan selamba melangkah keluar.
“Ijad!” Idlan menguatkan suaranya. Dia tahu Syarizad sengaja mengelak dan dia tidak akan berhenti mendesak sehingga Syarizad mengaku. Dia bukannya bodoh sampai tak boleh nampak apa yang sedang cuba disembunyikan Syarizad. Orang lain Syarizad boleh tipu, tapi bukan dia.
Syarizad berhenti melangkah. Matanya dipejamkan sesaat dua. Mengawal debaran jantung yang kian tidak menentu. Sungguh dia tidak sangka Idlan akan nampak apa yang baru berlaku. Mujur Idlan, kalau orang lain macam mana?
“Kau buat benda tak elok dalam rumah Yana sendiri, masa majlis pertunangan dia, dengan tunang dia? Apa semua ni, Jad? Kau dah hilang akal ke?” Idlan mengetap giginya. Marah, tapi tidak tahu macam mana nak lepaskan. Kalau perlu diukur kekesalannya sekarang, dia sendiri tidak pasti sudah sampai ke tahap berapa.
Syarizad berpaling. Renungannya tajam menikam.
“Aku benci Yana.” Selamba dan langsung tanpa rasa bersalah dua patah perkataan itu dituturkan. Mujur tiada orang di kawasan belakang rumah waktu itu. Hanya ada dia dan Idlan.
Idlan tergeleng-geleng. Sangkanya, benci Syarizad hanya di mulut selama ini.  Tak sangka benci itu benci yang betul-betul benci.
“Sampai macam ni kau sanggup buat dia?”
“Kenapa tak?” Riak wajah Syarizad masih selamba.
“Ijad! Kau sedar tak apa yang kau dah buat ni? Otak kau letak kat mana? Dah tak ada akal sampai dah tak boleh fikir? Dah tak ingat dosa pahala?” Kasar bunyi suara Idlan. Dia sudah tidak peduli lagi. Syarizad perlu disedarkan sebelum betul-betul terlambat.
Syarizad ketawa kecil. Sinis bunyinya.
“Kau tak payahlah nak berceramah pulak dengan aku. Kalau kau tak suka, kau boleh berambus daripada hidup aku. Aku pun tak hadaplah nak berkawan dengan kau lagi!”
“Oh...” Idlan kehilangan suara. Hatinya tercalar dengan kata-kata pedih yang dilontarkan Syarizad itu. Sampai hati Syarizad. Sanggup putus kawan hanya sebab dendam yang selama ini dipertahankan.
“Jadi kau tetap nak sanjung dendam kau tu? Okey.” Idlan mengangguk-angguk.
Syarizad mengetap bibir. Terasa dadanya turun naik menahan sebak yang semakin kuat menghentak jantungnya. Ya Allah... apa aku cakap tadi? Dia mahu menarik semula kata-katanya tadi tapi dia tahu sudah terlambat.
“Aku memang dah tak kenal siapa kau sekarang, Jad...” Idlan kecewa. Benar-benar kecewa. Kemudian dia berpaling dan beredar pergi.
Perlahan-lahan setitis air mata jatuh ke pipi Syarizad. Adakah itu bermakna persahabatannya dengan Idlan sudah sampai ke titik noktah? Dia sendiri yang menoktahkannya.Sanggup menggadaikan harga persahabatan yang tidak ternilai hanya kerana dendam yang disanjung.
Syarizad terduduk di tepi rumah. Puas ditahan, esakan sepinya terluah juga.



BEG yang digalas sejak tadi diletakkan di atas riba lalu dipeluk rapat. Kepala disandarkan pada kusyen sambil membuang pandang ke luar cermin tingkap bas itu. Tiga hari menghabiskan masa di kampung yang langsung tiada harganya, sudah tiba masanya untuk dia pulang ke Kuala Lumpur, meneruskan apa yang telah dimulakan.
Dua hari lepas, Idlan berjanji untuk membawanya berjalan-jalan pagi tadi. Tapi selepas apa yang berlaku semalam, Idlan terus menyepi daripadanya. Dia cuba untuk menelefon, tapi sudahnya tak jadi apabila teringatkan hubungan persahabatannya dengan Idlan sudah retak.
Tangannya pantas mengesat air mata yang jatuh ke pipi. Come on, Ijad... Kau tak boleh nangis. Kau kena kuat. Kau tak boleh lemah. Kau yang mulakan semua ni, jadi kau kena teruskan segalanya sampai ke titik noktahnya.
When a person who means the world to you turns his back on you, it hurts like hell, bisik hati Syarizad sendiri. Mata dipejamkan rapat-rapat, mengharap lena yang datang bakal membawa mimpi yang indah.



BEN yang datang menjemput Syarizad di hentian bas. Mengenangkan rasa rindu terhadap gadis itu, dia sanggup tinggalkan katil awal-awal pagi untuk pergi berjumpa Syarizad.
“Sihat?” tanya Ben.
Syarizad mengangguk. Nada suara Ben yang penuh prihatin menghantar satu rasa ke dalam dirinya. Hati yang lara sejak semalam terubat sudah.
“Macam mana majlis tu?” tanya Ben lagi. Kalau boleh semua yang berlaku dalam hidup Syarizad sepanjang gadis itu berada di kampung dia mahu tahu. Pintu kereta dibuka untuk Syarizad masuk sebelum dia sendiri masuk ke tempat pemandu.
“Okey aje...” perlahan suara Syarizad menjawab. Keluhan dilepaskan. Hatinya jadi tidak senang tiba-tiba. Terbayang-bayang wajah kecewa Idlan di ruangan matanya.
“Nampak macam tak happy aje,” rumus Ben. Betullah, tengok dari riak wajah saja pun dia sudah tahu.
Syarizad tersenyum hambar. Keprihatinan Ben semakin menambah sayu di hati.
“Encik Ben, saya tak nak balik rumah lagi boleh tak?”
“Habis awak nak ke mana?” Ben kerut kening. Pelik.
“Mana-mana ajelah. Saya tak nak balik rumah lagi. Nanti kalau saya balik, saya rasa sunyi. Lepas tu mesti overthinking.” Syarizad mengeluh lagi. Jemarinya bertaut sesama sendiri.
Ben tersenyum kecil. Comel sungguh riak wajah Syarizad itu di matanya.
As you wish.”
Syarizad hanya diam apabila Ben melencong ke laluan yang lain daripada jalan ke rumahnya. Dalam banyak-banyak tempat, Taman Tasik Titiwangsa itu juga yang dipilih.
“Tak rasa macam awal sangat ke nak lepak kat taman ni?” tanya Syarizad sambil menoleh ke sebelah.
Ben ketawa halus.
“Jom turun.”
Syarizad hanya menurut. Ben duduk atas bangku, dia juga ikut duduk. Suasana sekeliling masih gelap. Maklumlah, subuh pun belum.
“Kenapa awak nampak macam tak happy? Mind sharing?” Ben bertanya lagi.
Syarizad menggeleng-geleng.
“Tak adalah, penat aje.” Dia malas cerita lebih. Lagipun Ben tidak perlu tahu apa yang telah terjadi kepadanya sepanjang dia ada di kampung.
Ben mengangguk akur.
“Saya cuma nak awak tahu... kalau awak perlukan kawan untuk luahkan apa aje yang ada kat dalam hati awak tu, saya ada.”
Barulah terukir senyuman di bibir Syarizad.
“Encik Ben ni baik sangatlah, sampaikan kadang-kadang saya lupa yang Encik Ben ni bos saya.”
“Pernah ke awak anggap saya ni bos awak?” usik Ben membuatkan Syarizad menyenggol lengannya. Dia ketawa. “Gurau ajelah.”
“Tak apa, saya faham. Saya memang selalu buat benda tak fikir dulu, kan? Tapi Encik Ben tetap baik, tetap layan saya baik-baik.” Puji Syarizad. Dia bukan hendak membodek, tapi memang betul pun Ben tu baik.
Ben ketawa kecil. Segan dipuji begitu.
“Tak adalah. Dah memang saya macam ni sejak azali lagi. Dah tak boleh nak ubah dah.”
Syarizad tersenyum. Duduk berdua di situ sambil bercerita tentang macam-macam perkara membuatkan dia lupa masalah yang baru melanda. Dia lupa apa yang baru terjadi antara dia dan Idlan. Dia lupa yang dia merupakan orang ketiga antara Herdy dan Liyana. Dia lupa tentang perjanjian yang dibuatnya dengan Datin Hazleena. Yang dia tahu, berbual dengan Ben mampu buat dia tersenyum dan ketawa.
“Dah subuh. Saya hantar awak balik.” Ben bangkit berdiri.
Syarizad ikut bangun. Riak mukanya seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu tetapi tiada apa pun yang keluar dari mulutnya.
Fine. Awak boleh cuti hari ni.” Ben yang faham segera bersuara.
Syarizad tersenyum lebar.
“Terima kasih, Encik Ben. Sebab tu saya saaaaayang Encik Ben!”
Ben membalas dengan tawa kecil.
“Dapat cuti terus sayang, kan?”
Syarizad tersengih.
“Tak adalah. Saya memang sayang Encik Ben pun.”
“Dahlah, tak habis-habis mengarutlah awak ni,” balas Ben pura-pura tidak dengar sambil melangkah menghampiri kereta.
“Encik Ben ingat saya mengarut?” tanya Syarizad.
Ben tidak menjawab. Hanya senyumannya masih belum surut dari bibir. Sebenarnya pengakuan Syarizad tadi sangat mengusik hati cuma dia yang malas fikir jauh-jauh. Takut apa yang dia harapkan tidak sama dengan kenyataan sebenar.
“Tak apa, nanti Encik Ben akan tahu jugak sama ada saya mengarut atau tak,” ujar Syarizad masih setia dengan topik yang sama.
“Masuk,” arah Ben lalu dia sendiri masuk ke dalam kereta.


No comments:

Post a Comment