JEMARI halus itu memegang krayon berwarna merah lalu
dicoretkan di atas kertas membentuk satu lukisan yang berwarna-warni. Sesekali
kertas itu diangkat tinggi untuk melihat hasil kerjanya sendiri. Puas hati
dengan apa yang terlakar di situ, bibir comel itu tersenyum gembira.
Pin!
Pin!
Adam
tersentak. Kepalanya diangkat memandang ke arah pintu rumah. Kertas lukisannya
ditinggalkan di ruang tamu lalu dia berlari mendekati pintu. Melalui langsir
pintu gelangsar yang diselak sedikit, dia nampak seorang perempuan baru saja
turun dari kereta dan berjalan menghampiri pagar rumah. Aunty Zatie!
“Mama!
Mama! Aunty Zatie datang!” Adam
berlari-lari mendapatkan mamanya yang sedang tidur di dalam bilik. Lengan mama
ditarik-tarik sambil mulut tidak henti-henti memanggil. “Mama! Mama, bangunlah!
Aunty Zatie datang! Mama! Mama!”
Zenia
membuka matanya perlahan-lahan. Terasa sinar terik mentari yang memancar masuk
dari arah tingkap menyilaukan pandangan. Wajah Adam perlahan-lahan singgah di
mata. “Apa, sayang?”
“Aunty Zatie datang. Mama bangunlah, Adam
tak pandai nak bukak kunci pintu,” gesa Adam lagi. Seronok benar bila Aunty Zatie kesayangannya itu datang.
“Yalah,
yalah... mama bangun.” Zenia paksa tubuhnya untuk bangkit dan turun dari katil.
Sejak pagi lagi badannya rasa tidak enak disebabkan period pain. Tak sempat nak tidur lama, tiba-tiba Zatie dah datang.
Terpaksalah dia tinggalkan katil dan menyambut gadis itu di muka pintu.
“Assalamualaikum!”
Zatie tersenyum ceria.
“Waalaikumussalam,”
jawab Zenia perlahan, masih separuh mamai.
“Aunty! Aunty!” Adam terlompat-lompat memanggil Aunty Zatienya itu.
“Ya,
sayang... Aunty datang ni. Adam rindu
aunty ya?” Zatie terus menukar nada
suara, sesuai bercakap dengan budak berumur empat tahun seperti Adam.
“Rindu!
Aunty, aunty kenapa dah lama tak datang tengok Adam?” Adam memuncungkan
bibirnya.
Zatie
ketawa. Rambut Adam digosok-gosok geram. “Aunty
sibuklah. Ni aunty datang nak ajak
Adam keluar jalan-jalan. Nak tak?”
“Nak!
Nak!” Tak menyempat-nyempat Adam menjawab. Sekali lagi Zatie tertawa melihat
aksinya itu.
“Eloklah
tu. Tapi jangan lama sangat. Hantar dia sebelum malam,” kata Zenia sambil
berlalu ke ruang tamu.
Zatie
kerut dahi. Tangan kecil Adam dipimpin ke ruang tamu. “Siapa cakap aku nak
bawak Adam sorang?”
“Habis?”
Zenia yang sudah baring di sofa pula yang kerutkan dahi.
“Aku
nak ajak kau sekali. Pergi siap cepat!” arah Zatie. Adam yang tadinya duduk di
sebelahnya kini sudah bersila di lantai sambil mewarnakan lukisannya tadi.
“Alah
Tie... aku tak sedap badanlah...”
“Dah,
dah... Kau tak payah nak bagi alasan macam-macam. Aku cakap pergi bersiap,
pergi bersiap cepat...”
“Tie...”
“Kau
boleh tak jangan duduk bawah tempurung sangat?” Zatie buat muka garang. Dia
tahu Zenia kalau dah bagi alasan macam-macam, itu maksudnya dia malas.
Zenia
mengeluh panjang. Belum sempat dia bangun, suara Adam mencelah tiba-tiba.
“Mama
pergilah siap-siap. Adam nak keluar jalan-jalan. Tak bestlah kalau mama tak ikut.” Petah mulut kecil itu memujuk.
Tersentuh
hati Zenia tak semena-mena. Wajah Zatie dipandang. Gadis itu cuma angkat
kening.
ZATIE membawa
Zenia dan Adam pergi membeli-belah.
Nak beli baju baru untuk majlis perkahwinan bos mereka nanti katanya.
Almaklumlah, sanding kat hotel mestilah nak baju yang glamour gitu. Tak dapat yang ala-ala Rozita Che Wan pun, yang macam
Anzalna pun dah cukup. Zenia yang sememangnya sudah faham sangat dengan
perangai Zatie itu hanya menurut.
“Bestnya
bos dah nak kahwin. Aku ni entah bilalah dapat kahwin.” Zatie membebel-bebel
sendiri sambil memilih baju yang hendak dibeli.
“Suruhlah Fahri tu masuk meminang
cepat-cepat. Nak tunggu apa lagi?” Zenia menjawab mudah. Sengaja menyebut nama
kekasih Zatie yang hanya dikenali daripada cerita-cerita gadis itu. Tangan
kecil Adam erat dalam genggaman tangannya.
Zatie mencebik. “Penatlah aku dengan
dia tu. Kata sayang, ajak kahwin tak nak...”
“Macam tu pulak dah?” Zenia kerut
kening. Biar betul? Bercinta dah bertahun-tahun lamanya, tapi bila tiba bab
kahwin pandai pula nak mengelak.
Zatie jongket bahu. “Hah! Ni
cantik.” Sepasang baju kurung moden berwarna merah lembut diacukan pada
tubuhnya. Mesti cun!
“Cun... Harga pun cun,” komen Zenia
setelah melihat tanda harga yang tergantung pada baju kurung itu.
Zatie
tersengih. “Setahun sekali aje beli baju mahal macam ni. Pakai sekali untuk
malam ni, lepas tu simpan buat raya.”
Zenia
ketawa mendengar jawapan itu. Padahal Syawal baru saja berlalu, Zatie sudah
rancang untuk beli baju raya lagi.
Penat
pusing satu pusat membeli-belah itu, Zatie memutuskan untuk berhenti makan.
Adamlah yang kelihatan gembira sekali. Walaupun penat berjalan, dia masih
nampak ceria menghirup air Milo aisnya. Tersentuh hati Zenia melihat tingkah
Adam. Sedarlah dia kini, betapa dia terlalu jarang meluangkan masa untuk
membawa anaknya itu keluar berjalan-jalan.
“Nia...” Zatie memanggil perlahan.
Zenia mengalih pandangan ke wajah
Zatie. “Ada apa?”
“Kau tak terfikir nak kahwin ke?”
soal Zatie dengan riak tenang. Tenang-tenang pun, kecut juga melihat riak wajah
Zenia berubah keruh.
“Tak habis-habis lagi hal kahwin?”
Zenia pura-pura ketawa walau jelas canggung bunyinya. Jantung rasa tersentap
tiba-tiba.
Zatie angkat bahu. “Sorry, Nia kalau apa yang aku cakap ni
buatkan kau terasa. Tapi... kau kena fikir masa depan Adam. Dia perlukan
seorang ayah. Kau sanggup ke tengok dia membesar tanpa kasih sayang seorang
ayah?” Bukan niat nak memaksa, tapi Zenia perlu disedarkan tentang hakikat itu.
Sampai bila nak tutup hati hanya kerana kisah lama yang dah jauh berlalu?
Zenia menunduk. Bukan dia tak pernah
fikirkan soal Adam, malah perihal Adam tak pernah dilupakan walau sesaat. Adam
jantungnya, Adam nafasnya, Adam nadinya. Adam segala-galanya untuknya. Semua
orang yang mengenali dirinya terutama rakan-rakan di pejabat menganggap dia
seorang janda yang telah diceraikan suami, seorang ibu tunggal yang terpaksa
menjaga anak yang masih kecil. Tetapi mereka semua silap. Dia sebenarnya tidak
pernah berkahwin. Malah Adam lahir dari rahimnya bukan dalam ikatan hubungan
yang sah. Hanya kepada Zatie dia meluahkan segala-galanya.
“Aku bukan tak nak kahwin, Tie.
Tapi... ada ke lelaki yang sanggup terima aku? Aku bukannya perempuan yang
masih suci, aku ada Adam. Adam... kau tahu dia siapa, kan?”
Tidak
tergamak rasanya hendak menyebut gelaran ‘anak luar nikah’. Hatinya rasa sayu
mengenangkan hakikat itu. Wajah polos Adam yang masih ralit menyedut minumannya
direnung dengan pandangan yang kian kabur.
Zatie menghela nafas panjang.
Simpatinya tumpah. Entah apa malangnya nasib Zenia setelah mengandungkan Adam.
Dibenci oleh ahli keluarga, dicerca dan dicemuh oleh orang sekeliling. Walaupun
kedua-dua orang tuanya masih menerima dirinya dalam keluarga, Zenia nekad pergi
membawa diri. Dia tidak mahu kerana dirinya, kedua-dua orang tuanya terus
menerima hinaan daripada orang luar. Dia tidak sanggup melihat wajah tua itu
sering menangis kerana dirinya. Dia rela keluar dari rumah orang tuanya bersama
Adam dalam kandungannya. Dan kini setelah empat tahun, tak pernah sekali pun
dia pulang ke rumah orang tuanya itu. Hanya sesekali mereka berhubung melalui
talian telefon. Bukan tidak pernah orang tuanya meminta Zenia pulang, tetapi
Zenia sendiri yang takut. Tak berani dan
tak sanggup berdepan dengan ahli-ahli keluarga yang lain dan juga orang-orang
kampung.
Zenia mengusap lembut rambut Adam.
Adam masih kecil, masih tak tahu apa-apa, masih belum mengerti tentang
permainan kejam dunia. Sejenak, Zenia terkenangkan seseorang. Seseorang yang
telah jauh ditinggalkan dalam kotak memori. Seseorang yang telah dilukai tanpa
rasa belas kasihan. Seseorang yang tulus mencintai dirinya, tetapi dia dengan
tegarnya menoreh luka pada hati lelaki itu.
Terasa ada air jernih di birai mata,
Zenia pantas mengesatnya dengan hujung jemari sebelum linangannya mengalir
tumpah ke pipi.
No comments:
Post a Comment