DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 3 February 2016

SAAT KAU JAUH - BAB 2


Ana cekap mencuci pinggan di sinki. Sedikit pun dia tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Teringat akan bunga-bunga mawar kesayangan Datin Rozilah yang masih tidak disiram, dia melajukan tugasnya. Ana seolah-olah tidak terbeban dengan semua itu biarpun sangat wajar andai dia merasa demikian. Sepatutnya dia sedang belajar di mana-mana sekolah atau paling kurang pun sedang sedap-sedap landing di bilik tidur.
Tetapi tidak, hari-hari yang dilalui hanyalah dengan kerja-kerja rumah yang sepatutnya menjadi tugas orang gaji. Ana tahu tiada guna dia mengeluh penat kerana hakikat tetap hakikat. Sampai bila-bila pun mungkin kehidupannya akan kekal begini. Siapa yang mahukan dia, wanita berwajah hodoh atau lebih tepat seperti hantu? Kadangkala Ana tergelak sendiri mengenangkan manusia sekeliling yang mengelarnya hantu sedangkan mungkin wajah hantu pun tidak pernah dilihat.
“Ana...dah! Biar Mak Mi yang buat”. Tegur Mak Mi yang sudah menjadi orang gaji di banglo mewah milik Datuk Rahman selama 17 tahun, seusia Ana.
Ana ukir senyum. “Tak apa, Mak Mi kan dah banyak kerja. Sikit lagi tinggal. Lepas ni Ana nak siram bunga jap”. Ujar Ana lembut.
Mak Mi di muka pintu menahan sebak. Kenapa anak ini tidak pernah mengeluh letih? Tidak pernah suaranya keluar berkata malas? Bahkan pada pandangannya, Ana bagaikan tidak ada perasaan sedih lagi. Dicaci dan dimaki oleh keluarga sendiri, Ana masih boleh berjalan ke dapur dan tersenyum manis untuknya. Dia bukan Ana yang selalu menangis ketika kecil lagi. Ana di hadapan matanya ini sudah tumbuh menjadi gadis dewasa yang tahu menjaga diri dan kehormatan.
“Okey, Mak Mi..beres. Ana nak buat kerja lain pulak”.
“Ana... tadi Datin telefon, dia suruh Ana masakkan lauk kegemaran dia tapi tak cakap pula apa. Datin kata Ana dah tahu”. Ujar Mak Mi.
Ana merenung Mak Mi lama. Berfikir agaknya. “Lauk kegemaran.. ehmm..okey, Ana rasa Ana dah tahu”.

DATIN ROZILAH melabuhkan punggung di sofa buatan China di banglonya. Huh! Sengal betul orang tua tu. Lain aku suruh, lain pula dia buat. Datin Rozilah menyumpah Pak Daud yang tidak mengikut arahannya dalam perjalanan pulang tadi.
“Ana.. cepat bawakan aku air.. aku dahaga ni..”. Datin Rozilah sudah melaung kuat.
Beberapa minit kemudian, Ana muncul dengan segelas air di tangan. Dihulur kepada Datin Rozilah.
Datin Rozilah meneguk perlahan tetapi mukanya bertukar masam. Dia merenung marah pada anaknya itu.
“Eh, hantu..air apa yang kau bawak ni..? Kau ni nak suruh aku mati tercekik tengah hari ni ke air..? Eee sakit betul aku tengok muka kau ni”. Datin Rozilah sudah menjerit geram. Bergema ruang itu dengan suaranya.
“Ana bawakan air suam untuk ibu. Ana ingat..”
“Nah..ambil air suam kau ni”. Datin Rozilah mencurah air suam ke muka Ana. Terkedu Ana dengan tindakan ibunya biarpun itu bukan kali pertama. Terasa sakit pahanya tika gelas kaca itu dilempar kasar ke pahanya. Mujur lantai banglo berkarpet. Jika tidak, tentu kakinya sudah menjadi mangsa.
“Dah..dah..aku tak nak tengok muka kau lagi. Bersihkan semua ni..Mak Mi..cepat bawakan saya fresh orange. Budak tak guna ni memang tak boleh harap langsung. Menyakitkan hati bolehlah”. Datin Rozilah membebel.
Ana bangun, mengatur langkah perlahan. Hatinya sedih diperlakukan begitu oleh ibu kandung sendiri. Benci sangatkah Datin Rozilah terhadap dirinya? Hanya kerana wajahnya hodoh, semua orang membencinya. Tidakkah mereka tahu, wajah hodoh ini adalah pemberian Allah juga dan yang paling penting bukan dia yang meminta begini. Dia tahu ada  penjelasan yang lebih tepat mengapa Datin Rozilah  membencinya tetapi dia sudah letih untuk memikirkannya.
Ada yang lagi baik daripada menangisi nasib hidupnya, seperti kata Cikgu Salmi... 
‘Berdoalah Ana’.

COME ON... .CHEERS”. Gelas kaca berwarna biru lembut itu dilagakan sesama sendiri. Private room di kelab malam terkemuka kota London gegak gempita dengan gelak tawa. Meja bulat di tengah-tengah bilik dipenuhi minuman haram.
“Ala Zikr, kita ada empat tahun lagi kat sini. Kalau aku and Risha tak ada semester break ni, you don’t need to worry, next semester sure ada. Lagipun, aku dah tak nak balik lagi lepas ni”. Pujuk Ikhwan pada rakan-rakannya yang dari tadi bising dengan keputusannya.
“Yup..kita orang dah buat keputusan”. Sokong Narisha.
“Okey, kalau macam tu..terpulang pada kau”. Zikr angkat bahu, mengalah. Tangannya sibuk mengepit si gadis di kiri kanan. Zikr merupakan kawan baik Ikhwan sejak dari sekolah rendah lagi. Jujurnya, dia sangat senang berkawan dengan lelaki kaya yang langsung tidak pernah berkira jika masuk bab duit.
Mungkin di kota London ini, tiada siapa yang tahu Ikhwan mempunyai beberapa banglo mewah milik keluarganya. Dia juga kenal akan Datuk Umaira. Ibu tunggal yang sangat gigih dalam usahanya membangunkan NUR Holdings. Bahkan kini, NUR Holdings sudah berjaya melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa. Sedikit lagi usaha, pasti syarikat mewah itu akan menduduki ranking no. 1 di Asia Tenggara. Syarikat yang bakal diterajui oleh Ikhwan Fazail, sahabatnya.
 Semua rahsia Ikhwan ada dalam poketnya, termasuk tentang solat dan perangainya yang kaki perempuan. Perangai Ikhwan yang sangat panas baran itu juga sudah lali di matanya.
Dia tidak pasti jika Ikhwan pernah merosakkan anak dara orang tetapi kalau membawa masuk perempuan ke kondo dan tidur bersama, itu sudah menjadi lumrah kehidupan Ikhwan. Namun dalam hal-hal tertentu, lelaki itu perlu dipuji juga, Ikhwan tidak pernah sekalipun berbangga-bangga akan kekayaannya.
Buat sekalian kalinya, Zikr dan anak-anak Adam yang lain terus mabuk melayan air kencing syaitan tanpa sedikit pun rasa bersalah.



KHALISH mengetap bibir. Kalau ikutkan hati yang terasa marah, mahu dibiarkan sahaja dua temannya itu. Tetapi, rasa belas sebagai seorang insan tetap membuatkan dia memapah Ikhwan ke kereta. Berkerut-kerut mukanya apabila bau arak dari mulut Ikhwan menusuk ke hidungnya. Berkali-kali dia menahan rasa nak termuntah. Seketika pula, Zikr yang sudah terbaring mabuk pula dipapahnya.
Bukan nak dengar aku nasihat budak-budak ni. Bebel hatinya sedikit geram. Bukan sekali dua dinasihati teman serumah itu tetapi kata-katanya bagai mencurah air ke daun keladi. Langsung tidak lekat  di kepala Zikr mahupun Ikhwan. Akhirnya, dia sendiri sudah habis cara untuk cuba mengubah kehidupan mereka berdua.
Kalau bukan sebab Narisha yang menelefonnya minta bawa balik mereka berdua ni, alamatnya tidur di kelab la malam ni.
Tak faham aku. Apa yang seronok sangat dalam sana tu? Minum pulak benda haram  tu. Seketika, terlintas pula  di kepala Khalish mengenai sepuluh golongan yang dilaknat mengenai arak iaitu golongan yang memerahnya, yang minta diperahkan untuknya, yang meminumnya,  yang membawanya,  yang minta dihantarkan, yang menuangkan arak walau tidak meminumnya, yang menjualnya, yang makan harganya,  yang membelinya, serta yang minta dibelikan.
Hadis Rasulullah SAW itu dirasakan begitu cukup untuk menggambarkan betapa buruknya arak. Tapi kawan-kawannya ini masih juga tidak sedar-sedar lagi. Ya Allah, aku turut berdosa membiarkan mereka terus lalai dalam mengingati-Mu. Khalish berbisik sendiri.
Dalam marahnya, hati kecil Khalish sempat menitipkan doa agar dua sahabatnya itu, suatu ketika nanti akan diberi hidayah oleh Allah untuk berubah. In Sha Allah.




1 comment: