“MANA perempuan tu? Mana perempuan tak sedar diri tu?
Biar aku ajar dia cukup-cukup!”
Suara
lantang itu mengejutkan Zenia yang sedang duduk bersendirian di dalam bilik.
Kedua-dua tangannya bertaut dan jemari saling menggenggam. Jantung berdegup laju
mengepam darah ke seluruh tubuh. Liur ditelan berkali-kali. Sepasang mata
dipejamkan dengan lafaz doa yang meniti perlahan dari dua ulas bibirnya. Kain
langsir bilik yang diselak kasar dari luar menyentakkan Zenia. Wajah bengis Mak
Long Mardiah membuatkan perutnya terasa semakin kecut. Di belakangnya pula,
berdiri Maryam dengan air mata yang sudah basah di pipi. Perlahan-lahan Zenia
bangun.
Mardiah
merenung Zenia dengan mata mencerlung. Anak saudaranya itu dihampiri dengan
rasa sakit hati yang semakin kuat menendang dadanya. “Anak tak sedar diuntung!”
Pipi Zenia menjadi mangsa tamparannya.
Zenia
jatuh terduduk semula di birai katil. Esakan kecil yang ditahan akhirnya
terluah juga.
Maryam
mara ke depan. “Kak long, sudahlah tu. Nia tak bersalah dalam hal ni. Yam
dengan Abang Mokhtar yang bersalah. Jangan buat Nia macam ni, kak long...”
Rayuannya berlagu-lagu bersama tangisan yang bagai tiada penghujung.
“Dia
tak bersalah?” Semakin tinggi nada suara Mardiah. “Tu... anak dalam perut dia
tu, salah siapa kalau bukan salah dia sendiri? Hah!”
“Mak
long, Nia mintak maaf... Nia tahu Nia salah. Nia tak...”
“Kau
diam! Aku tak nak dengar apa-apa dari mulut kau! Sebelum kau buat, kau tak
fikir akibat. Tak fikir ibu dengan abah kau kat kampung ni, tak fikir maruah
keluarga! Kau tahu tak sekarang ni orang kampung sibuk duk bercakap pasal kau?
Kononnya kau melacur diri kat bandar tu sampaikan boleh mengandung! Kau sedar
tak semua tu?”
Terasa
bergegar seluruh isi rumah kayu itu dengan jeritan Mardiah. Tak cukup dengan
itu, tangannya pula naik memukul badan Zenia. Bukan tidak Zenia merayu, bukan
tidak Maryam menghalang, tetapi Mardiah seperti sudah dirasuk hantu. Sementara
Mokhtar yang berdiri di tepi pintu rumah, hanya mampu berdiam diri menahan
sebak atas apa yang telah berlaku.
“Mak
long... Nia mintak maaf, Nia mintak ampun. Nia merayu, mak long...” Zenia terus
merayu. Biarpun sakit dipukul, perit lagi pedih di hati.
“Kak
long, jangan buat anak Yam macam ni. Jangan pukul Nia, kak long. Maafkanlah
dia...” Maryam memeluk Zenia, menghalang kakaknya daripada terus memukul tubuh
tidak bermaya anaknya itu.
“Hah!
Baguslah tu! Tatanglah anak kau tu sampai langsung tak nampak apa salah dia.
Dia dah conteng arang ke muka kita semua pun kau masih nak menangkan dia lagi?
Memang patutlah anak kau jadi sundal macam ni!”
Kata-kata
penghinaan itu terasa berdesing di telinga Zenia. Air mata semakin lebat
mengalir ke pipi. Pelukan ibunya tidak mampu untuk mengubati hati yang telah
tercalar pedih.
Mardiah
tidak sanggup lagi menunggu di situ. Kalau dia berlama-lama lagi, silap-silap
boleh mati Zenia dikerjakan. Dengan hati yang panas membara, dia berlalu keluar
dari bilik itu.
“Jagalah
anak dengan bini kau tu elok-elok!”
Sempat
telinga Zenia menangkap pesanan berbaur sindiran itu kepada ayahnya di luar
bilik. Sampai hati mak long...
“Sudahlah
tu, Nia. Mak long tengah marah tu. Jangan ambik hati dengan apa yang dia cakap
ya?” Maryam memujuk lembut. Walau apa pun tohmahan orang sekeliling, Zenia
tetap anak yang dia sayangi sepenuh hatinya.
Zenia
menggeleng-geleng dalam tangisnya. “Memang betul apa yang mak long cakap tu,
ibu. Nia memang anak tak sedar diri, Nia dah malukan ibu dengan ayah... Nia...”
Maryam
terus memeluk Zenia dengan erat. Biarlah kepedihan yang Zenia rasai dapat dikongsi
bersama.
ZIP pada beg itu ditarik. Sekali lagi Zenia mengesat
pipi yang basah dengan hujung lengan baju kurungnya. Kemudian beg itu diangkat
menuju ke luar bilik. Ibu dan ayah sedang berdiri di tepi pintu. Wajah
masing-masing suram, sesuram hatinya yang terasa terlalu berat untuk pergi.
“Nia
pergi dulu, ibu, ayah...” Biarpun berat, baris ayat itu tetap dilepaskan dari
mulutnya. Zenia mencapai tangan ibu lalu menciumnya dengan penuh rasa hina.
Maryam
mengusap kepala Zenia. Esakannya masih berpanjangan. “Nia betul ke nak
tinggalkan ibu? Tinggalkan ayah?”
“Nia
terpaksa, bu... Nia tak nak sebab Nia, ibu dengan ayah kena hina dengan orang
kampung. Nia sanggup pergi kalau itu yang boleh buat orang kampung tutup
mulut...”
“Tapi
Nia nak ke mana, sayang?”
“Itu
ibu jarang risau. Pandailah Nia nak hidup sendiri lepas ni. Cuma Nia mintak ibu
doakan Nia supaya Nia terus kuat. Boleh kan, ibu?” Zenia meminta dalam tangis.
Maryam
terus memeluk Zenia dengan erat. Hati seorang ibu terasa amat pedih apabila
satu-satunya anak yang dia ada akan pergi meninggalkannya. Pergi ke suatu
tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana. Dahi Zenia dikucup lama,
menzahirkan rasa kasih dan sayang yang tidak mungkin akan pudar walau apa saja
yang terjadi.
“Nia
sayang ibu...” bisik Zenia perlahan.
“Ibu
pun sayang Nia...” balas Maryam.
Zenia
melepaskan pelukan ibu lalu memusingkan tubuhnya memandang ayah. Tangan yang
sudah berkedut itu dicapai lalu dikucup.
Air hangat yang mengalir menyentuh
tangannya membuatkan Mokhtar sebak. Terus tubuh Zenia ditarik ke dalam
pelukannya. Walau apa pun yang terjadi, Zenia tetap anaknya. Biarlah orang
terus menghina dan mencaci, tidak sedikit pun rasa kasih dan sayang untuk Zenia
pudar.
“Nia mintak maaf, ayah...”
“Nia tak salah. Semua ni salah ayah.
Ayah yang tak pandai didik Nia, ayah tak bertegas dengan Nia selama ni. Maafkan
ayah, sayang...” Puas ditahan, air matanya menitis juga ke pipi. Beberapa
keping not RM 50 diselitkan dalam genggaman Zenia. Walaupun sinar dalam
sepasang mata Zenia jelas cuba menolak, Mohktar tetap mahu Zenia mengambil wang
itu.
“Jaga diri baik-baik, Nia. Selalu
telefon ibu dengan ayah. Jaga kesihatan, jaga anak dalam kandungan,” pesan
Maryam untuk kali terakhir.
Suasana ketika itu dibungkus kesedihan.
Zenia mencapai begnya dengan kedua-dua tangan yang terasa gigil. Perlahan-lahan
langkah kaki dibawa turun dari rumah itu. Semakin jauh kaki melangkah, semakin
lebat air mata yang menitis ke pipi. Tangan kirinya mengusap perut yang kini
menyimpan satu nyawa. Ya Allah, andai ini jalan yang Engkau bentangkan untukku,
kuatkan aku untuk melaluinya sehingga ke penghujung.
No comments:
Post a Comment