DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 7



DISEBABKAN malam tadi Syarizad tidur pada waktu hampir ke dinihari, pagi ini dia terbangun lambat. Itu pun selepas berkali-kali Pak Ali menelefonnya. Sepantas kilat dia terjun dari katil dan terus berlari masuk ke bilik mandi. Tak sempat nak bersolek pun, cuma tampal bedak tipis ke muka. Gincu dicalit sedikit ke bibir tanpa sempat pandang cermin. Kasut tumit tinggi yang tersarung pada kakinya hampir-hampir membuat dia hampir jatuh terduduk ketika berlari masuk ke pejabat. Dengan buku lali yang terasa sengal, Syarizad menaiki lif ke tingkat enam.
Berpeluh-peluh mukanya ketika sampai di ruang pejabat. Selesai urusan punch card yang sudah jelas merah, dia segera masuk ke ruang pejabat. Tak sempat dia duduk, Kak Aiza tiba-tiba datang mendekat.
“Kenapa lambat, Syari? Bos dah lama tunggu. Dia pesan, suruh Syari terus masuk bilik dia,” ujar Aiza. Walaupun Syarizad baru bekerja di situ, hubungan mereka berdua boleh dikatakan cukup baik. Lagipun Syarizad mana ada bertegur sapa sangat dengan pekerja-pekerja lain.
“Oh! Okey, okey.” Syarizad kalut mencapai buku notanya. Setelah membetulkan rambutnya, dia segera berlalu ke arah bilik pejabat Ben. Pintu bilik itu diketuk.
“Masuk!” suara Ben kedengaran.
Syarizad terus menapak masuk ke dalam. Dadanya turun naik, tercungap-cungap mencari nafas. Nasib baiklah Pak Ali ada untuk hantarkan dia ke pejabat. Kalau tak, satu kerja pula nak cari teksi atau bas. Nak naik LRT atau KTM? Manalah dia pandai.
Ben memandang lurus ke wajah Syarizad.
“Kenapa lambat?” soalnya. Walaupun sedikit terkejut melihat wajah Syarizad yang bersih tanpa solekan, dia tetap buat-buat tidak nampak. Ternyata, gadis itu nampak lebih cantik tanpa solekan yang tebal, tanpa pembayang mata yang berwarna-warni dan tanpa bibir yang bergincu merah terang. Rambutnya pula sekadar dilepas bebas.
Syarizad tercegat di depan Ben tanpa jawapan. Nak jawab apa? Terlambat bangun sebab malam tadi tidur lambat? Itu namanya cari nahas. Silap hari bulan, ada juga yang kena buang kerja.
“Syari, you are my PA. You are supposed to be here earlier than me.” Ben menegaskan suara. Memang sebelum ni dia berlembut, tapi itu bukan bermakna Syarizad boleh buat sesuka hati. Dia pun bukannya suka sangat marah-marah, tapi sekali-sekala dia tetap perlu menegur. Bukan memang itu ke tanggungjawab seorang bos?
Syarizad mengangguk sambil menelan liur.
“Saya faham, Encik Ben. Maafkan saya,” ucapnya. Anak matanya merenung ke bawah. Nafasnya pun masih belum stabil lagi. Nasiblah pagi ni kena marah. Memang salah sendiri pun.
“Lepas ni saya tak nak awak datang lambat lagi.” Ben merendahkan suara.
Syarizad mengangguk lagi.
“Baik, Encik Ben.”
“Apa jadual saya hari ni?” Ben kembali memandang skrin komputer.
Syarizad tarik nafas. Buku nota di tangan dibuka lalu dia mula membacakan semua jadual Ben dan segala urusan penting yang perlu diselesaikan.
“Itu aje?” tanya Ben.
Yup, itu aje.”
“Okey, awak boleh keluar.”
Syarizad mengetap bibirnya. Itu aje? Muka bukan main lagi dingin. Suara pun keras semacam. Eh, tak boleh jadi ni. Syarizad berpusing lambat-lambat untuk ke pintu. Langkah diatur perlahan sambil hujung mata menjeling ke arah Ben. Sampai di depan pintu, dia pura-pura terpelecok.
“Aduh!” Syarizad terduduk dengan muka yang dikerutkan.
Ben yang terkejut segera menerpa ke arah Syarizad.
“Kenapa, Syari?” kalut dia bertanya.
“Kaki saya... terjatuh...” adu Syarizad dengan suara yang dibuat manja.
“La... kenapa tak hati-hati? Kan dah jatuh.” Ben membebel di luar sedarnya. “Boleh bangun tak?”
“Sakit...” Syarizad mengadu lagi. Makin lama makin manja pula bunyi suaranya.
“Sini... saya tolong.” Ben menghulur tangan untuk membantu Syarizad berdiri. Ketika memaut bahu Syarizad, gadis itu seolah-olah sengaja memaut rapat tubuhnya, sekali gus merapatkan tubuh mereka berdua.
Tidak tahan dengan debaran yang menendang dada, dia cepat-cepat membawa Syarizad ke arah sofa. Sebaik saja tubuh gadis itu dilepaskan, dia segera membetulkan kemeja dan tali lehernya. Nafas panjang terluah tanpa sedar.
Syarizad sembunyi senyum dalam diam. Alah Ben, itu pun nak menggelabah. Relakslah! Nak tergelak pun ada, tapi ditahankan.
“Kaki awak okey tak? Nak sapu ubat?” Ben berlalu ke arah mejanya untuk mencari minyak panas. Rasa-rasanya ada tersimpan dalam laci.
“Boleh jugak... tapi Encik Benlah yang tolong sapukan boleh?” pinta Syarizad. Suaranya jadi semakin manja. Marah Ben tadi terus hilang entah ke mana. Syarizad semakin seronok memainkan wataknya.
Terus terhenti tangan Ben yang lincah mencari minyak panas dalam laci mejanya. Tidak berkelip matanya dek kerana terkejut. Wajah Syarizad dipandang dengan muka yang dikerutkan.
It’s not nice.”
“Kenapa?” Syarizad buat-buat tak faham.
“Kaki awak tu...” Ben cepat-cepat alihkan pandangan daripada terus melekat pada kaki Syarizad yang terdedah. “Tak elok kalau saya pegang. Kalau awak nak sapu ubat jugak, nanti saya panggilkan Kak Aiza. Dia boleh tolong.” Ben baru berura-ura menuju ke pintu apabila suara Syarizad menghalang langkahnya.
“Okey... no. Fine. Saya boleh sapu sendiri aje nanti.” Syarizad bangun dari sofa. Tanpa memandang Ben lagi, dia segera berjalan ke arah pintu. Langkahnya sengaja disengetkan sedikit, kononnya sakit sangat.
Ben hanya memerhati dengan sebelah kening yang terangkat. Di satu sudut hati, ada rasa yang tercuit. Di sudut hati lainnya pula, masih ada yang cuba menafi.
Err... Syari,” panggil Ben.
Syarizad yang sudah sampai di muka pintu berpaling semula. Ben tukar fikiran ke? Senyuman di bibir sudah hampir terukir.
Your lipstick.” Ben menggosok ibu jari di bibirnya sendiri, isyarat bahawa calitan gincu Syarizad comot ketika itu.
Mati senyuman Syarizad. Jemarinya sendiri diangkat menyentuh bibir. Comot ke? Alamak, malunya!
Ben simpan senyum lalu kembali ke mejanya. Syarizad menarik kasar pintu lalu keluar.
Di tempatnya, Syarizad merengus geram. Apa punya lelakilah dia ni? Boleh pula nak minta orang lain tolong sapukan ubat. Apa salahnya sapu sendiri aje? Macamlah aku tak tahu yang dia tu memang teringin pun nak pegang kaki aku. Jual mahal konon. Ceh!
Teringatkan gincu yang comot, Syarizad kalut mencapai bedak kompak dari dalam beg tangan.



DUDUK di pejabat bukan setakat buat kerja, tapi siap perhatikan setiap orang yang datang berjumpa dengan Ben. Maklumlah, CEO syarikat, mestilah sibuk. Setiap masa ada saja yang datang berjumpa. Meetinglah, hal pentinglah, macam-macam.
Tapi dalam ramai-ramai orang yang datang, Syarizad paling tertarik dengan seorang perempuan cantik berambut perang yang juga datang untuk bertemu Ben. Bukan wajah perempuan itu yang menarik perhatian, sebaliknya gaya rambutnya yang sangat stylo.
Syarizad pegang rambut sendiri sambil memerhati penuh minat. Kalau aku buat rambut macam tu, mesti cantik, kan? Lagi bergaya, lagi menarik perhatian. Spontan bibir mengoyak senyuman.
Telefon pintarnya dicapai untuk menelefon Marlyn. Sekejap saja panggilannya sudah berjawab.
“Lyn, you free tak petang ni?”
Hmm... free. Kenapa?”
“Temankan I pergi salun. You tahu tak, mana-mana salun yang terbaik kat sini? I nak buat rambutlah,” beritahu Syarizad. Bibirnya masih lagi tersenyum-senyum. Tak sabar membayangkan penampilan barunya selepas ini.
Marlyn tergelak kecil.
“Tak ada hallah. Okey, petang nanti I jemput you kat ofis. Okey?”
“Cun.” Syarizad memetik jarinya.
Talian dimatikan sejurus kemudian. Sambil menyiapkan kerja, bibirnya terus mencarik senyum yang hanya dia saja mengerti.
Ralit menyiapkan kerja sampai tidak sedar waktu makan tengah hari sudah tiba. Sedar-sedar saja, Ben sudah tercegat di depannya. Cepat-cepat Syarizad bangun. Lupa sudah tentang kakinya yang kononnya sakit pagi tadi.
“Ya, Encik Ben?”
How’s your leg?” tanya Ben. Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.
Err...” Barulah Syarizad teringat tentang itu. Kepalanya tunduk memandang kaki sendiri sekilas sebelum kembali merenung muka Ben. “Hmm... okey. Sakit sikit aje tadi,” balasnya menutup gugup. Macam mana boleh lupa pula ni?
Ben tersenyum-senyum sambil mengangguk. Dia tahu Syarizad cuma berlakon tadi. Tengok riak muka pun dah tahu. Cuma yang dia tak faham, kenapa gadis itu perlu berlakon? Sebab nak tarik perhatiannya? Hmm... entahlah.
“Encik Ben nak ajak saya lunch sama ke?” Dengan tak malunya Syarizad bertanya. Seingatnya, hari ni tak ada lunch appointment dengan mana-mana klien pun.
“Saya dah janji nak makan dengan my dad and mum hari ni. Tapi kalau awak nak join pun, saya tak kisah. Apa salahnya, kan?” Ben angkat sebelah kening.
Syarizad menyimpul senyum. Muka sudah teruja lain macam.
“Betul ke?”
Ben tertawa tidak semena-mena.
Just kidding. Buat apa awak nak jumpa famili saya, kan? Bukannya awak akan jadi isteri saya atau apa.”
Terus hilang senyuman di bibir Syarizad. Mukanya memerah. Tambahan lagi apabila Ben terus berlalu dengan tawa yang masih bersisa. Ohh... kau main-mainkan aku ya? Tak apa, tak apa... kita tengok siapa yang kenakan siapa nanti.
Syarizad mengetap bibirnya. Geram.



RAMBUT panjang separas dada yang sudah digulungkan dan diwarnakan dengan warna merah gelap digayakan di depan cermin dengan senyuman yang mekar. Serius, dia nampak makin cantik! Bukan nak perasan atau apa, tapi itu hakikat.
You look so gorgeous!” Marlyn memuji kagum.
Syarizad tersenyum lebar. “Do I?”
Marlyn mengangguk sungguh-sungguh.
Syarizad ketawa sendiri. Inilah jadinya apabila dia sudah mula berjinak-jinak dengan filem dan drama-drama Inggeris. Secara automatik lidah pun sudah ke arah barat. Dia tersengih sendiri di depan cermin.
“Okey... sekarang you ikut I pergi shopping,” ajak Marlyn.
Shopping?” Bersinar-sinar mata Syarizad. Kalau dulu dia memang benci gila beli baju, tapi sekarang dia sudah jadi obsesi dengan baju baru.
Yup!” Marlyn mengangguk. “Datin dah bagi I duit untuk pastikan yang pakaian you sentiasa up-to-date. So, shall we?”
Yup!” sahut Syarizad lalu dia ketawa.
Mereka berjalan-jalan pusing satu pusat membeli-belah itu sambil membeli baju baru. Penuh tangan kiri dan kanan dengan beg-beg kertas. Walaupun sudah membelanjakan ratusan ringgit, Syarizad langsung tidak peduli. Misi yang perlu dilaksanakan lebih penting. Lagipun memang Datin Hazleena sediakan duit untuk dia berbelanja, demi memastikan rancangan yang sudah diatur berjalan lancar.
Ketika menaiki eskalator, mata Syarizad terpandangkan seorang gadis yang dikenali sedang jalan beriringan dengan seorang lelaki di tingkat atas. Alamak! Liyana! Spontan tubuhnya dipusingkan, tidak mahu Liyana nampak dirinya. Nak bagi Liyana nampak dirinya dengan rambut merah dan pakaian terdedah macam ni? Memang taklah! Kau pun satu Yana, kenapa waktu-waktu macam ni juga kau datang sini? Menyemak betul.
Sampai di tingkat atas, Syarizad berjalan selaju yang mungkin. Marlyn di belakang semakin pelik.
“Kenapa dengan you ni, Syari? Is everything okay?” tanya Marlyn pelik dengan tingkah kalut Syarizad.
Err... okey! Tak ada masalah pun.” Syarizad senyum tapi jelas nampak kelat. Sempat lagi leher dipanjangkan untuk mengintai ke arah Liyana. Nampak seolah-olah Liyana sedang memandang ke arahnya, cepat-cepat dia memusingkan badannya semula.
Marlyn masih lagi hairan tapi melihat Syarizad terus berjalan laju, dia terus mengikut di belakang.



SAMPAI di rumah, jarum jam sudah menghala ke pukul 11.00 malam. Syarizad terus rebahkan badannya di atas sofa di ruang tamu. TV dihidupkan. Drama Inggeris yang entah apa tajuknya sedang ditayangkan pada skrin TV. Bukan jalan cerita yang menarik perhatian, tapi wajah pelakon Daniel Sharman yang membintangi drama itu mengingatkan Syarizad kepada Ben.
Perlahan-lahan bibir mengorak senyum. Ya, muka Daniel Sharman memang seiras wajah Ben. Cuma bezanya, wajah Ben ada sikit rupa Melayu walaupun tak banyak.
Aku ni dah kenapa tiba-tiba teringatkan Ben? Sudahlah Ijad, ingat balik tujuan asal kau. Ini kalau Datin Hazleena tahu, habislah! desis hatinya.
Telefon pintar tiba-tiba berdering. Syarizad kerut kening. Siapa lagi yang telefon lewat macam ni? Takkan Ben kut? Telefon terus dikeluarkan dari beg tangan. Nombor yang tidak dikenali muncul di skrin. Dengan rasa pelik, panggilan itu dijawab.
“Helo...”
“Helo. Ijad ke? Ni akulah, Yana.” Suara Liyana kedengaran gembira.
Syarizad hembus nafas panjang dalam diam. Bukan main dia mengelak, semudah itu pula Liyana dapat menghubunginya.
“Oh, Yana...”
“Kau ni... dah datang KL dua minggu, sikit pun tak terasa nak telefon aku, kan?” Liyana pura-pura berjauh hati.
Syarizad garu kepala.
Sorry... bukan tak nak telefon, cuma... aku...”
Hmm... tak apalah, aku faham. Ni pun mak aku yang bagi nombor telefon kau. So, how’s life? Okey tak tinggal kat sini?” Liyana terus ke topik utama. Gembira dapat berbual dengan sepupu sendiri. Biasanya setiap kali balik kampung baru dapat berbual dengan Syarizad.
Syarizad menyandar di sofa. Ikutkan hati memang malas nak melayan Liyana berbual tapi terpaksa dilayankan juga.
“Okey aje... tak ada masalah pun.”
“Baguslah tu. Eh tapi kan... tadi aku macam nampak kaulah...”
Terus tertegak semula badan Syarizad. Dada mula berdebar-debar. Peluh pula basah di dahi.
“Nampak aku?”
“Haah, kat One Utama tadi. Tapi aku tak sure betul ke tak kau...” Liyana menggumam sendiri.
Syarizad mengetuk kepalanya. Cuai!
“Tak adalah, aku kan baru aje duduk sini. Manalah tahu nak pergi mana-mana. One Utama pun aku tak tahu kat mana, macam mana nak pergi?” Spontan alasan itu keluar. Fuh, nasiblah. Penipuan kedua.
“Haah, betul jugak tu. Lagipun tadi yang aku nampak tu macam bukan kau aje. Takkanlah kau nak pakai seksi macam tu, kan? Siap rambut merah lagi tu.” Liyana ketawa lepas.
Syarizad mengetap bibirnya. Tawa Liyana menyakitkan hati. Ya, aku memang tak layak nak pakai cantik macam tu, kan? Lainlah kau, semua pun kau layak pakai. Hatinya menggerutu geram.
“Kau free tak weekend ni? Lepak jom. Boleh aku kenalkan kau dengan boyfriend aku.” Liyana tertawa kecil. Nadanya macam tak sabar-sabar nak kenalkan kekasih hatinya kepada Syarizad.
Hmm... tak pastilah. Tengoklah dulu...” Syarizad malas berjanji. Yang sebetulnya, dia malas nak keluar hadap muka Liyana.
“Okey. Nanti kalau free beritahu okey? Aku pergi ambik kau kat rumah pun boleh,” balas Liyana masih dalam nada ceria. Sangat kontra dengan nada Syarizad.
“Okey. Aku pun nak tidur dah ni. Bye.”
Syarizad cepat-cepat matikan talian. Nafas berat dilepaskan. Hujung minggu ni keluar dengan Liyana? Ugrhh... memang langsung tak ada dalam agenda!
Muka Daniel Sharman yang kembali tertayang pada skrin TV dipandang lagi. Makin dia tengok Daniel, makin dia nampak Ben. Parah!

No comments:

Post a Comment