Sebaik sahaja Ayuni melangkah keluar dari lif, kelihatan
Hanis sudah tersenyum lebar menunggunya.
Di sebelahnya kelihatan seorang lelaki yang tidak dikenali. Melihatkan Ayuni yang berjalan lambat-lambat,
Hanis segera berlari anak mendapatkan Ayuni.
Dia terus memaut lengan Ayuni dan dibawanya ke ruang duduk yang terdapat
di lobi Menara
Holding. Lelaki itu terus tersenyum memandang
Ayuni.
Cantik! Memang
dia cantik! Dalam diam lelaki itu memuji kecantikan Ayuni dalam hati. Ternyata wajahnya jauh lebih cantik berbanding
dengan wajahnya di dalam gambar yang pernah dilihat tempoh hari.
“Kenalkan, nilah
Encik Taufik, pembantu peribadi CEO Menara Holding” Hanis memperkenalkan lelaki
itu kepada Ayuni.
Mendengar nama Taufik, Ayuni segera teringatkan
kata-kata Hanis tempoh hari yang mengatakan Encik Taufik yang menyuruhnya
menulis di dalam resumenya bahawa dia
fasih berbahasa Jepun.
“Hai, saya Taufik.
Macam Hanis cakap tadi, saya ni pembantu kepada CEO syarikat ni
merangkap PA…” Taufik berbasa-basi sambil menghulurkan tangannya.
Dengan teragak-agak Ayuni menyambut huluran tangan
Taufik. Kalau diikutkan hati, dia tidak
mahu menyambut salam lelaki itu. Dia tak
tahu ke? Bukan muhrim mana boleh bersalaman tetapi untuk mengelakkan Taufik
malu jika huluran tangannya tidak disambut, Ayuni memaksa dirinya bersalam juga
dengan Taufik. Cepat-cepat Ayuni menarik
tangannya bila dirasakan lelaki itu cuba menggenggam tangannya. Ayuni juga melarikan pandangan matanya
apabila renungan beserta senyuman lelaki itu melekat di wajahnya.
“Apa kata kita
pergi lunch sekarang?” pelawa lelaki
itu kepada Ayuni.
Lunch?
Lunch apa waktu sekarang ni?
Ayuni menjeling jam tangannya.
Hampir jam sebelas pagi.
“Err..takpelah
Encik Taufik. Sebenarnya saya ada hal
yang hendak diuruskan lepas ni.
Takpelah, Encik Taufik pergi sajalah lunch
dengan Hanis” Ayuni menolak lembut pelawaan Taufik.
“Alah…janganlah
macam ni Ayuni. Jomlah kita makan
sama-sama. Lagipun, kau mana kerja lagi kan? Balik awal pun, asyik terperap kat
rumah. Aku tahu kau belum makan
lagi. Jomlah. Encik Taufik nak belanja ni….” gesa Hanis
sambil matanya mengenyit pada Taufik menandakan dia meminta Taufik belanja
mereka makan tengahari.
Taufik hanya tersenyum sambil mengangguk tanda setuju
untuk membelanja Hanis dan Ayuni makan tengahari. Nak tak nak terpaksalah Ayuni bersetuju
walaupun dia sudah kehilangan selera untuk makan, ditambah lagi dia rimas bila
asyik ditenung oleh Taufik.
Di pihak Taufik pula, kata-kata Hanis seolah-olah
membuka ruang dan peluang kepadanya.
Wah, ada peluang ni!
Senyum Taufik semakin lebar apabila akhirnya Ayuni
bersetuju untuk makan tengahari bersama-sama.
Ayuni lebih banyak
mendiamkan diri. Dia hanya menjadi
pendengar perbualan antara Hanis dan Taufik.
Hanya sesekali dia menjawab apabila Taufik bertanya. Itu pun, sepatah ditanya sepatah yang dijawab.
Sebenarnya hanya jasad Ayuni berada di situ sedangkan fikirannya menerawang
entah ke mana. Masih terngiang-ngiang kata-kata
lelaki muda yang menemuduganya tadi. Dia
cukup malu apabila disindir begitu.
Terasa maruah dan harga dirinya diinjak-injak sedangkan dia bukanlah
penipu seperti yang didakwa tadi.
Namun, dia terpaksa
berbuat begitu disebabkan keinginan untuk mendapatkan pekerjaan itu begitu
tinggi sekali, walaupun dia sedar, cara yang dilakukannya itu salah. Jauh di sudut hatinya, dia agak kesal kerana
terlalu mengikut kata-kata Hanis. Tambah
kesal apabila dia sendiri tidak berfikir panjang.
“Hei, Ayu…kau
dengar tak aku cakap ni?” sergahan Hanis serta-merta mematikan lamunannya. Ayuni terpinga-pinga.
“Hah, confirmlah
tu memang kau tak dengar. Kau ni
kenapa? Lepas temuduga tadi, aku tengok
kau ni semacam aje. Apa dah berlaku masa
interview tu? Ada
apa-apa yang tak kena ke?”pertanyaan Hanis menambah serabut kepalanya.
Serta-merta riak wajahnya berubah. Ayuni memang hendak meluahkan segala apa yang
dirasanya semasa sesi temuduga tadi, malahan dia juga hendak menyuarakan
ketidakpuasan hatinya terhadap Hanis di atas idea bodoh rakan baiknya itu,
tetapi kehadiran lelaki asing yang ada bersama-sama mereka, menyebabkan Ayuni hanya
memendamkan hasrat hatinya.
“Hishh…kau
ni. Kalau ye pun nak tahu, tak boleh ke
kau tanya satu-satu. Dah macam polis
pencen!” balas Ayuni tidak puas hati.
Taufik hanya tersenyum melihatkan kedua-dua gadis di hadapannya itu
‘bertekak’.
“Ok…ok…kalau kau
segan nak cerita sebab ada Encik Taufik ni, kita cerita kat rumah ajelah
nanti. Sekarang ni kita nak makan. Aku dah lapar ni. Dah penat aku tanya, kau nak order apa?” potong Hanis pantas.
Memang tak tahu malu si Hanis ni!
“Hanis…kau order ajelah. Aku makan aje apa yang kau order”
balas Ayuni yang malas nak melayan kerenah Hanis apatah lagi dia perasan yang
Taufik asyik merenungnya sedari tadi.
Hishh! Rimas
betullah. Apa yang tak kena dengan muka
aku ni? Tengok orang macam nak telan!
Ayuni merungut
di dalam hati.
Sebaik sahaja
hidangan yang dipesan sampai, mereka terus menikmati hidangan. Berselera sungguh si Hanis makan, sedangkan
Ayuni dan Taufik seolah-olah terpaksa menelan makanan itu kerana di dalam hati
masing-masing sedang bermonolog.
Bagi Taufik, gadis yang sedang duduk di hadapannya itu
cukup istimewa. Walaupun dia sendiri
belum mengenali gadis itu sepenuhnya, tetapi entah kenapa jauh di sudut
hatinya, dia dapat merasakan ada sesuatu yang istimewa mengenai gadis itu. Kali pertama terpandang gambar Ayuni yang
tersenyum manis bersama Hanis, hatinya sudah mula berdebar-debar. Belum pernah lagi dia merasa suatu perasaan
yang halus sebaik terpandang gambar mana-mana gadis pun, tetapi berbeza dengan
Ayuni. Hatinya terus tertarik walaupun
dengan hanya melihat sekeping gambar.
Bermula dari situ, hatinya mula meronta-ronta ingin
mengenali Ayuni dengan lebih dekat lagi dan kerana itu dia tidak teragak-agak
untuk menawarkan peluang pekerjaan di Menara Holding kepada Ayuni dan kerana terlalu
mengharapkan Ayuni akan diterima berkhidmat di Menara Holding, dia sanggup
memberikan idea gila lagi berisiko kepada Ayuni dengan mengaku fasih berbahasa
Jepun.
Bagi Ayuni pula, harapannya untuk menamatkan zaman
menganggurnya hampir berkubur, setelah berlaku insiden yang amat memalukan
tadi. Kadangkala dia hampir berputus
asa. Kenapalah susah sangat untuk
mendapatkan kerja yang baik sekarang ini?
Kerja yang sesuai dengan kelulusan yang dimilikinya. Belajar sikitlah punya susah! Berhempas pulas siang malam dia mentelaah
pelajaran kerana course perakaunan yang diambilnya bukan calang-calang course. Ramai teman-teman sekuliahnya dahulu
menggelarkan course yang diambilnya itu adalah killer course.
Syukur Alhamdulillah.
Berkat usahanya yang tidak mengenal erti penat itu membuahkan hasil
apabila dia dikurniakan ijazah kelas pertama dan yang lebih manis lagi apabila
dia dianugerahkan dengan ‘anugerah dekan’ semasa majlis konvokesyennya
dahulu. Rasa bangga dan terharu tidak
dapat dibendung kerana dia adalah diantara beberapa anak melayu yang
memperolehi keputusan secemerlang itu kerana biasanya ia didominasi oleh
bangsa-bangsa lain.
Tetapi tidak disangkanya, keputusan cemerlang yang
diperolehinya itu, bukanlah satu laluan mudah untuk menyandang jawatan yang
telah menjadi cita-citanya sejak dahulu lagi.
Betullah kata seorang temannya dahulu.
Keputusan yang cemerlang tidak cukup untuk menjamin seseorang itu mudah
untuk mendapatkan pekerjaan tetapi perlu juga dilengkapi dengan
kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran dalam berkomunikasi dan bagaimana
seseorang itu menyesuaikan diri dengan khalayak. Seseorang itu perlu bijak mengadaptasikan
diri dengan suasana dan persekitaran kerja yang secara totalnya amat berbeza
dengan teori yang dipelajari.
Dan apa yang berlaku semasa sesi temuduga tadi, secara
dasarnya sudah menunjukkan dia gagal dari segi sahsiah diri dengan menonjolkan
dirinya sebagai seorang yang tidak jujur dan PENIPU seperti yang didakwa oleh
lelaki muda yang entah siapa namanya tadi!
No comments:
Post a Comment