DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 14



MASUK ke pantri, Syarizad terpandangkan beberapa orang pekerja yang sedang berbual di situ.
“Eh, Syari.” Aiza menegur mesra. Zatul dan Salida ikut sama menoleh dan menghulurkan senyuman. Masing-masing berhenti berbual.
“Sembang pasal apa ni?” Syarizad menghampiri kabinet untuk membancuh minuman.
“Tengah bergosip pasal kau dengan Encik Ben.” Selamba Zatul mengakui. Salida di sebelahnya hanya ketawa.
Syarizad menjongket kening. Dia menarik kerusi lalu duduk di depan kedua-duanya.
“Kenapa dengan aku dan Encik Ben?”
“Kau orang ni nampak macam orang bercinta.” Salida tersengih-sengih. Siapa yang tak perasan kalau sudah hampir hari-hari berkepit? Tengok daripada cara masing-masing merenung antara satu sama lain pun sudah cukup memberi jawapan.
“Haah, aku pun rasa macam tu,” sokong Zatul. Senyuman yang terukir di bibir jelas mengusik.
“Kan akak dah cakap dari awal lagi, Syari dengan Encik Ben tu memang sesuai.” Aiza menambah lalu mereka ketawa bersama-sama.
“Kalau Encik Ben suka aku, aku tak kisah,” balas Syarizad selamba siap dengan riak mukanya lagi.
“Amboi, kau... kalau Encik Ben dengar, habislah.” Zatul tergeleng-geleng. Sengaja nak menakut-nakutkan Syarizad. Alah, lagipun semua orang kat situ tahu betapa rapatnya hubungan Syarizad dengan Ben. Bukan setakat hubungan antara PA dan bosnya, tetapi lebih daripada itu.
“Kau cubalah tackle dia, mana tahu kot-kot dapat.” Sesuka hati Salida memberi cadangan.
Syarizad ketawa. Mereka semua tidak tahu, hakikatnya dia sudah cuba pikat Ben sejak dari hari pertama lagi dia bekerja di situ. Cuma dia belum pasti seratus peratus yang usahanya sudah berhasil atau belum walaupun keputusannya lebih memberat di sebelah positif daripada negatif.
“Aku...” tidak sempat Syarizad bersuara apabila terdengar satu suara memanggil namanya. Dia berpaling. Terpandangkan Ben, spontan dia bangkit berdiri. Alamak, dia dengar ke?
Aiza, Zatul dan Salida saling berpandangan. Masing-masing buat muka selamba, kononnya tidak bersalah apa-apa. Padahal sudah jelas-jelas bergosip pasal bos sendiri.
“Kat sini rupanya awak,” kata Ben. Sempat memandang ke arah tiga orang pekerjanya itu sebelum kembali memandang Syarizad. “Ikut saya,” arahnya lalu terus beredar.
Syarizad berpaling ke arah ketiga-tiga rakannya itu.
Fuh!”
Aiza, Zatul dan Salida menyambut dengan tawa.
Syarizad mengikut Ben masuk ke dalam bilik pejabatnya.
“Ada apa-apa ke, Encik Ben?” tanya Syarizad kerana seingatnya, tugas hariannya sudah diselesaikan sejak tadi lagi.
“Awak ada pasport?”
Syarizad mengerutkan muka. Kedua-dua keningnya hampir bertaut. Kenapa tiba-tiba tanya pasal pasport?
“Saya tanya ni, awak ada pasport tak?” Ben mengulangi soalannya sambil memandang tepat ke muka Syarizad.
Err... tak ada, Encik Ben. Tapi kenapa tiba-tiba Encik Ben tanya pasal pasport?” Syarizad semakin diburu rasa hairan.
“Sabtu ni awak ikut saya pergi buat pasport.” Ben memutuskan tanpa bertanya terlebih dahulu.
“Encik Ben nak bawak saya pergi mana ni? Takkan nak pergi kahwin lari kat Siam kut?” Syarizad bergurau lalu ketawa sendiri.
“Sebut lagi macam tu, saya bawak awak kahwin lari betul-betul nanti... baru tahu!” Ben separa mengugut.
Mati senyuman Syarizad. Hesy, serius pak cik ni. Bergurau pun tak boleh.
“Awak kena ikut saya ke London bulan depan,” beritahu Ben.
“Oh... hah, apa dia?” Syarizad terkejut. London? Terkebil-kebil matanya merenung Ben, antara percaya dengan tidak.
Ben panggung kepala.
“Bulan depan saya akan ke London dan awak kena ikut saya. Faham?”
“Tapi... ke... kenapa?”
Because you are my PA.” Tenang Ben menjawab. Macam sudah tiada alasan lagi selain itu. Selebihnya, biarlah Syarizad tidak tahu. Gadis itu tidak perlu tahu apa yang sedang dirangka dalam kepalanya.
Syarizad mengangguk. London? Wow! Langsung tak pernah berangan nak ke sana sebelum ni. Tapi dah alang-alang Encik Ben ajak, apa salahnya, kan?
“Okey.” Syarizad berpusing ke arah pintu.
Stop gossiping. Do your work.”
Syarizad berasa tersindir dengan dua baris ayat itu. Dia tahu Ben dengar apa yang dibualkan bersama Kak Aiza, Zatul dan Salida tadi. Bersama cebikan, dia keluar dari bilik itu.



“BEAUTIFUL roses for a beautiful lady.” Herdy menghulurkan sejambak ros merah kepada Liyana.
Liyana diam memandang jambangan ros itu dan wajah Herdy silih berganti. Dua hari lepas Herdy bukan main dingin dengannya, tetapi hari ini muncul di pejabat untuk menjemputnya makan tengah hari sekali dengan jambangan ros merah. Hatinya berasa dingin bak disiram salju.
Thanks.” Liyana mengambil jambangan itu. “Cantik sangat.”
Herdy tersenyum.
“You rindu I tak?”
Liyana tersenyum malu sebelum mengangguk. Herdy tidak perlu tanya pun dia yakin lelaki itu sudah tahu perasaannya.
“You datang nak pujuk I ke ni?”
Herdy membuka pintu kereta untuk Liyana. Sebaik saja Liyana masuk ke dalam, dia ikut masuk ke tempat pemandu. Kereta dipandu keluar dari kawasan pejabat Liyana.
“I nak bincang dengan you pasal pertunangan kita,” jelas Herdy. Asalnya memang Syarizad yang meminta, tetapi setelah memandang senyuman Liyana, rasa cinta untuk gadis itu seolah-olah mekar semula. Ah, hatinya sendiri sudah semakin keliru.
Liyana membulatkan matanya. Terkejut, tapi gembira.
“You serius ke ni?”
“I nampak macam tengah bergurau ke?” Herdy membalas dengan soalan.
Liyana menggeleng. Bibirnya menguntum senyuman. Dia sudah dapat semula Herdy yang dia sayang.
“Bila orang tua you nak datang jumpa mak I?” tanya Liyana. Hati perempuan manalah yang tidak gembira apabila kekasih hati melamar. Walaupun bertunang, itu sudah lebih daripada cukup untuknya. Bukti bahawa Herdy masih lagi sayang kepadanya.
How about... next two weeks?” Herdy menoleh sekilas ke arah Liyana, menagih jawapan.
“Nanti I tanya mak I dulu,” balas Liyana. Nak buat apa-apa, emaknya di kampung perlu diberitahu terlebih dahulu.
“Okey.” Herdy tersenyum. Tangan kanan Liyana dicapai lalu digenggam erat. Tidak peduli walaupun ketika itu dia sedang memandu. “I miss you...” ucapnya perlahan. Bibir mengucapkan rindu sedangkan di belakang dia bermain cinta dengan gadis lain. Rindu jenis apa macam tu?
Liyana tersenyum keharuan. Genggaman tangan Herdy dibalas. Insya-Allah, masih ada jodoh yang kuat antara mereka berdua.




AGAK lama menunggu, barulah panggilannya berjawab. Liyana tersenyum gembira mendengar suara emak yang sangat dirindui.
“Mak buat apa?”
“Mengemas kat dapur tadi. Kamu sihat tak ni?” tanya Rosni. Terlepas rindu apabila anak yang disayangi menelefon.
“Sihat, mak. Mak sihat tak? Ada sakit-sakit tak?”
“Tak ada, mak pun sihat. Dengar suara kamu lagilah tambah-tambah sihat.”
Liyana ketawa kecil.
“Ni kalau Yana beritahu mak satu hal ni, mesti mak laaaaaagi tambah sihat.”
“Hal apa tu?” Rosni teruja hendak tahu. Dengar dari nada suara Liyana, dia yakin ada berita gembira yang mahu disampaikan anaknya itu.
“Herdy cakap, dua minggu lagi dia akan hantar rombongan meminang,” ujar Liyana. Dia baring di katil sambil bibir terus tersenyum bahagia. Tidak sabar menanti hari itu tiba.
“Alhamdulillah... Jadi jugak akhirnya. Dah lama mak tunggu nak dapat menantu,” ucap Rosni. Lega hati seorang ibu yang terlalu ingin melihat anaknya bahagia.
“Insya-Allah, mak. Tak lama aje lagi,” balas Liyana. Doa dan restu emaknya sangat-sangat dia perlukan.
“Ni, mak nak tanya. Yana ada jumpa Ijad?” Rosni menukar topik. Sudah lama Syarizad tidak menghubunginya. Ditanyakan kepada Idlan pun, anak muda itu lebih banyak diam daripada menjawab soalannya. Sungguh dia risaukan anak saudaranya itu. Entah mana perginya janji Syarizad untuk rajin menelefonnya sebelum ke sana dulu.
“Ada, baru aje hari tu. Kenapa, mak?” Liyana mengerut dahi.
“Tak adalah, mak risau aje takut dia tak okey kat sana. Dah Yana ada jumpa dia, baguslah. Lega hati mak ni.” Rosni ketawa kecil. Mungkin dia yang terlalu berfikiran negatif. Insya-Allah, Syarizad tak apa-apa.
“Dia sibuk kut, mak. Okeylah, nanti apa-apa Yana telefon mak lagi. Okey?”
“Yalah. Assalamualaikum.”
Waalaikumussalam.” Liyana mematikan talian bersama senyuman di bibir.
Matanya terpandangkan bingkai gambar di atas meja di sisi katil. Gambarnya bersama Herdy sewaktu mereka sama-sama bercuti ke Pulau Redang hampir setahun yang lepas. Alangkah indahnya kalau nanti mereka dapat bercuti lagi. Pasti lebih bererti sekiranya mereka ke sana lagi sebagai pasangan suami isteri pula.

No comments:

Post a Comment