MENGINGATI
apa yang berlaku malam tadi, Zenia tersenyum sendiri. Entah apa kenanya dengan
mamat tu sampaikan sanggup hantar SMS tanpa henti. Kalau setakat SMS tanya
khabar tu Zenia tak kisah sangat, ini sampai kata-kata indah berupa ayat-ayat
cinta yang entah mana diciloknya yang buatkan Zenia ketawa tak ingat dunia.
Dalam banyak-banyak SMS yang dihantar, tiada satu pun yang dibalas.
Antara kata-kata yang dihantar
Hayyan malam tadi;
Sejak
bertemu awak, hidup saya menjadi lebih bermakna. Awak bagaikan cahaya yang menerangi
gelapnya hari-hari saya selama ini.
Mungkin
awak tak tahu, tapi awak melengkapkan hidup saya. Mungkin awak tak sedar, tapi
awak menjadikan hidup saya lebih bererti.
Buka
hati awak, beri saya peluang untuk masuk dan tinggal di situ buat selama-lamanya.
Tengok daripada susunan ayat-ayat
tu, Zenia separuh yakin semua tu Hayyan reka sendiri. Kelakar okey? Sampai
tergolek-golek dia di atas katil malam tadi. Tapi tak adalah pula ditunjukkan
kepada Eton. Aib lelaki itu tetap perlu dijaga. Ingat senang nak buat ayat-ayat
macam tu? Setidak-tidaknya, adalah juga perasaan terharu yang menyelit di hati.
Tetapi sebaik sahaja terpandangkan
Hayyan di depan mata, perasaan itu bagaikan terhakis sedikit demi sedikit.
Bukan sebab tengok Hayyan tersenyum lebar, tetapi sebab tengok gadis yang
sedang berdiri di sisi Hayyan. Karima! Entah apa yang dibualkan kedua-duanya
sampai gadis itu ketawa sakan. Timbul satu persoalan di benak Zenia, apa
sebenarnya hubungan mereka berdua?
Ralit memerhati sambil berjalan,
Zenia tidak sedar di depannya ada tangga kecil yang membuatkan dia jatuh
terjelopok di situ. “Aduh!” Terlepas jeritan itu dari mulut tanpa sempat
dikawal. Serentak itu juga pasang-pasang mata yang ada di situ tertoleh ke
arahnya, termasuk Hayyan dan Karima.
Malu punya pasal, kalut Zenia
mengambil buku-bukunya dan bangkit berdiri. Tak dihiraukan buku lali yang
terasa sengal. Laju langkah dengan harapan Hayyan tidak nampak dirinya walau
dia tahu itu mustahil. Apatah lagi apabila Hayyan sudah pun berada di
sebelahnya, cuba berjalan menyaingi langkahnya yang langsung tak laju itu.
“Nia, awak okey?” Hayyan bertanya
prihatin. Nadanya lembut sekali di pendengaran Zenia.
“Okey, okey, saya okey. Tak ada apa
pun, saya okey.” Berkali-kali Zenia mengulangi ayat yang sama. Masih cuba
berjalan laju untuk menjauhi Hayyan.
“Awak nak ke mana laju sangat ni?
Berhentilah kejap, rehat dulu. Kaki awak tu macam teruk aje saya tengok.”
Hayyan cuba menahan langkah Zenia.
Zenia menggeleng. “Saya okeylah.
Kaki saya tak sakit pun. Betul, saya okey.”
Hayyan pula yang menggeleng. “Tengok
cara awak jalan pun saya dah tahu kaki awak sakit. Come...” Lengan Zenia dipegang. “Duduk kat bangku tu kejap, bagi
urat kaki awak tu lega sikit.”
Zenia terdiam. Bagaikan dirasuk, dia
mengikut sahaja apabila Hayyan menarik lembut lengannya untuk duduk di bangku
berdekatan.
“Boleh saya tengok kaki awak?”
Hayyan bagai meminta izin.
Laju Zenia menggeleng. “Tak payah,
nanti okeylah ni.” Diusap-usap perlahan buku lali yang masih terasa sengal.
Niat di hati nak lari daripada Hayyan langsung tak kesampaian. Perasan ada mata
yang memerhati dari jauh, Zenia menoleh. Tajam renungan Karima ke arahnya.
Sambil menepis rambut panjangnya, gadis itu berlalu pergi.
“Awak tak nampak ke ada tangga kat
situ tadi? Macam mana boleh jatuh?” Hayyan cuba mencipta perbualan. Allah aje
yang tahu betapa terkejutnya dia melihat Zenia terjelopok di situ tadi. Nasib
baik tak ada luka kat mana-mana.
“Dah nak jatuh nak buat macam mana?”
Perlahan Zenia menjawab.
“Apa dia?” Hayyan yang tidak
mendengar terus bertanya semula. Dia macam ada dengar sesuatu tapi tak jelas.
Zenia pantas menggeleng. “Tak ada
apa. Hmm... kaki saya macam dah okey ni. Saya nak balik kolej, rehat atas katil
lagi best.” Kemudian dia bangkit
berdiri dan mula melangkah.
Hayyan turut sama berjalan
beriringan dengan Zenia. “Kenapa awak macam mengelak dari saya?”
“Mana ada,” nafi Zenia.
“Come
on, Zenia... Saya bukannya bodoh tak boleh menilai,” pangkah Hayyan.
Zenia menghembus nafas panjang.
“Saya tak nak orang salah fahamlah. Tengoklah tadi, awak baru tolong saya sikit
saya dah dapat ‘jelingan maut’ daripada kawan awak tu.”
Hayyan kerut kening. “Siapa?”
“Entah apa nama dia, tak ingat,”
bohong Zenia walhal sebenarnya malas nak sebut nama.
“Karima?” Hayyan meneka.
Zenia diam. Hisy, kenapalah kolej
jauh sangat? Bila nak sampai ni? Dahlah kaki sakit lagi. Berlagak aje macam tak
sakit padahal Allah aje yang tahu.
Hayyan ketawa kecil. “Dia tu kawan
sayalah. Awak tu yang fikir pelik-pelik.”
“Mana ada.” Bersungguh Zenia
menafikan.
Hayyan ketawa lagi. “Okey, kalau
macam tu, awak kena keluar dengan saya.”
Zenia tidak menjawab sebaliknya cuba
melajukan langkah. Namun langkahnya terhenti apabila Hayyan sudah tercegat di
depannya, sekali gus menghalang laluannya.
“Not
this time, okay?” kata Hayyan sambil tersenyum. Dia sudah faham sangat
tingkah Zenia itu. Selagi boleh mengelak, selagi itulah Zenia akan mengelak
daripadanya.
Senyuman Hayyan itulah yang sering
membuatkan hati Zenia tidak keruan. Dia tahu kali ini dia tidak boleh mengelak
lagi. “Fine. Bila?”
“Bila awak free?”
“Hmm... kena tengok jadual dulu.
Nanti saya text awak,” balas Zenia.
“Boleh percaya ke ni?” Hayyan
ragu-ragu.
Zenia mengangguk sambil menahan
senyuman. Hayyan nampak comel sangat!
“Okey. Tapi kalau awak tipu lagi,
saya cari awak sampai ke kolej,” ugut Hayyan.
Zenia mencemik.
“Tak percaya?”
“Hmm...” Zenia buat muka sambil
menahan tawa yang hampir meletus.
“Jangan terkejut tengok saya
tiba-tiba ada dalam bilik awak sudahlah ya?”
Akhirnya terlepas juga tawa dari
bibir Zenia. Hayyan yang memandang hanya menguntum senyum. Zenia nampak lebih
comel apabila ketawa.
“Okey, nanti saya text awak,” ulang Zenia.
“Okey. Bye, see you.” Hayyan
mengangkat tangannya.
“Assalamualaikum,” ucap Zenia.
“Waalaikumussalam,” balas Hayyan
sebelum tertawa kecil. Diperhati langkah Zenia yang semakin menghilang dengan
senyuman yang masih tak lekang dari bibir.
PENING
kepala Eton melihat Zenia yang tak habis-habis mencuba setiap baju yang ada
dalam lokarnya. Tak cukup dengan itu, semua baju yang cantik-cantik dikeluarkan
dan disepahkan di atas katil. Atas lantai pun ada juga. Eton menggeleng sambil
mengeluh.
“Kau ni kenapa, Nia?”
“Aku tak jumpa baju yang sesuailah.
Kan esok aku nak keluar dengan Hayyan,” jawab Zenia dari sebalik pintu
lokarnya.
“Petang esok kau nak keluar dengan
dia, kan? Sekarang ni baru pukul 11.00 pagi. Logiklah sikit!” kata Eton. Hairan
bercampur pelik, semua ada.
Zenia berpaling ke arah Eton.
“Memanglah... tapi aku kena jugak pilih baju. Ini kan first date aku dengan dia.”
“Date?”
Bulat mata Eton serta-merta.
“Err...” Zenia mengetap bibir.
Terlepas cakap!
Eton ketawa melihat reaksi Zenia.
“Tak apa, Nia... aku faham. Kau excited,
kan? Konon nak jual mahal mula-mula. Last-last,
dia yang teruja lebih. Hahaha.”
“Gelaklah kau!” rajuk Zenia.
Wajahnya masam.
“Alololo... bucuk-bucuk... Merajuk
ya dia?” Eton mencubit pipi Zenia.
Puas ditahan, terlepas juga gelak
dari mulutnya. “Eton, tolonglah aku cari baju!”
“Ya... aku tolong. Kau nak pakai
baju apa ni?”
“Baju apa yang sesuai?”
“Hmm...” Eton mengetuk-ngetuk dagu.
“Gaya kau hari-hari kemeja, jeans, rambut tocang satu. So apa kata kalau esok kau cuba pakai blaus?”
Zenia terkelip-kelip. “Aku tak ada
blaus.”
“Pinjam aku punya.” Eton berlalu ke
arah lokarnya. Belum sempat blausnya dikeluarkan, telefon bimbit Zenia sudah
berdering nyaring minta diangkat. “Hmm... dah berbunyi dah...”
Zenia tersengih. “Kejap lagi kita
sambung eh?” ujarnya lalu terus mencapai telefon bimbit yang terletak di atas
meja. “Helo,” sapa Zenia mesra.
“Finally...
awak angkat jugak call saya.” Hayyan
menghembus nafas lega. Riang benar bunyi suaranya.
Zenia garu kepala. Nak ketawa tapi
ditahankan. Melihat pandangan mata Eton terhala ke arahnya, dia segera membawa
langkah kaki keluar dari bilik.
Eton tersengih sendiri. Kalau Zenia
gembira bersama Hayyan, dia sedikit pun tidak akan menghalang.
No comments:
Post a Comment