“ADAM... kenapa kita tak pernah tengok pun papa awak? Awak
tak ada papa ke?”
Soalan
daripada rakan di sebelah membuatkan Adam terdiam. Hanya matanya yang
terkebil-kebil mencari jawapan yang dia sendiri tak tahu apa.
“Semua
orang ada papa! Adam aje tak ada papa.” Haykal bersuara sebelum ketawa mengejek
lalu disambut oleh tawa rakan-rakan yang lain.
“Adam
ada papalah.” Adam mempertahankan diri sendiri. Wajahnya berubah muram.
“Ya
ke? Kenapa kita tak pernah tengok pun?” Qistina seakan-akan menduga.
“Papa
kita...” Adam terdiam di situ. Kepalanya menunduk.
“Adam
tak ada papa! Adam tak ada papa! Werkk!” Masing-masing mengejek, siap
menyanyikan lagu lagi untuk Adam.
Bibir
Adam sudah tercebik. Selama ini dia hanya diam apabila rakan-rakan bertanyakan
soal papa. Tapi hari ini, hati kecilnya seolah-olah tak mampu menerima lagi.
Sudahnya, tangisannya pecah bergema memenuhi ruang hadapan Taska & Tadika
Anakku Comel itu.
“Kenapa
ni?” Cikgu Hilda tiba-tiba keluar dari rumah. Berkerut mukanya melihat situasi
di situ. “Kenapa ni? Kenapa Adam nangis?”
“Adam
manja!” Haykal masih terus mengejek.
“Haykal!”
Cikgu Hilda menegur dengan muka yang ditegangkan.
“Kita
cuma cakap Adam tak ada papa. Lepas tu Adam nangis.” Kamila menjawab bagi pihak
rakan-rakannya.
Cikgu
Hilda menghembus nafas panjang. “Kenapa cakap macam tu? Cikgu tak ajar tau
murid-murid cikgu cakap macam tu kat kawan-kawan. Nak ke kalau cikgu bagi tahu
mama dengan papa kamu semua?”
Laju
masing-masing menggeleng dengan muka takut.
“Haa...
tahu pun. Dah, jangan kacau Adam lagi,” tegas Cikgu Hilda. Barulah anak-anak
itu bergerak menjauhi Adam.
Adam
masih lagi teresak-esak kecil. Terasa kepalanya diusap lembut, dia mengangkat
muka.
“Adam
janganlah nangis. Walaupun Adam tak ada papa, tapi kan Adam ada mama. Mama Adam
kan mama yang terbaik. Mama selalu bawak Adam pergi jalan-jalan, belikan Adam
aiskrim. Ingat tak apa Adam selalu cerita kat cikgu?” Cikgu Hilda memujuk
lembut.
Adam
mengangguk-angguk.
Cikgu
Hilda tersenyum. “Dah, tak nak nangis-nangis lagi. Adam kan good boy?” Sekali lagi rambut Adam
diusap sayang.
Adam
mengesat muka yang basah. Kemudian tubuh Cikgu Hilda dipeluk rapat. Cikgu Hilda
tersenyum. Namun senyuman itu memudar apabila tangannya menyentuh lengan Adam.
Panasnya!
“Adam,
Adam tak sihat ke? Kenapa badan Adam panas sangat ni?” tanya Cikgu Hilda kalut.
“Adam...
Adam pening...” adu Adam perlahan. Tadi dia masih boleh bertahan, tetapi
sekarang rasa pening di kepala bagai semakin bertambah-tambah.
“Ya
Allah...” Cikgu Hilda mengeluh panjang. “Sini, ikut cikgu masuk dalam.” Lalu
Adam dibawa masuk ke dalam rumah.
NAFAS
dihembus panjang. Kalendar yang terletak di hujung meja dicapai. Tarikh hari ini
10 September. Baru Zenia teringat tentang tempahan hotel untuk program yang
bakal dianjurkan oleh agensi pelancongan Encik Khairil itu yang masih belum
dilaksanakannya. Tak apa, masih ada banyak masa lagi untuk menyelesaikan semua
kerja.
Zenia
mencapai fail di atas mejanya pula. Baru sahaja helaian pertama diselak,
kedengaran suara Kak Milah menegur.
“Nia
nak air? Akak nak pergi buat air ni.”
“Boleh
jugak, kak. Tapi tak nak manis sangat eh?” Arman yang duduk di depan meja Zenia
pula yang menjawab bagi pihak wania itu. Apabila Kak Milah dan Zenia sama-sama
berpaling ke arahnya, dia hanya tayang sengih.
“Kalau
kamu nak buat sendirilah,” balas Kak Milah selamba sambil menjeling. Sengaja
mengusik sebenarnya. Memang dah jadi ‘tradisi’ di syarikat kecil itu, hubungan
antara pekerja sangat rapat bagaikan satu keluarga. Setakat gurau senda macam
tu dah tak jadi apa-apa masalah bagi mereka semua.
“Alah
akak ni... dengan kita selalu aje berkira. Dengan Nia tu, nak apa aje boleh!”
Arman tarik muncung tak puas hati sambil duduk bersilang kaki.
“Mestilah...
Nia kan staf kesayangan bos kita. Akak pun sayang Nia tau?” balas Kak Milah
lagi tak puas bercanda.
Zenia
tak dapat menahan tawanya lagi. “Tak apalah, Kak Milah. Akak buatkan untuk
Arman aje. Nanti kalau Nia nak, Nia buat sendiri,” balasnya malas nak bertekak.
“Hah!
Saaaaayang Nia!” kata Arman lalu memberikan flying
kiss dengan gaya mengada-ngada ke arah Zenia. Zenia membalas dengan muka
yang dicemikkan.
“Kak
Milah! Saya pun nak jugak air.” Zatie yang duduk jauh dari meja Zenia tiba-tiba
mencelah.
“Tak
payah, Kak Milah. Dia nak, biar dia buat sendiri.” Alief pula yang menjawab
bagi pihak Kak Milah.
“Eh,
yang kau sibuk apahal? Aku ada mintak kau buatkan ke?” Zatie naik angin tak
semena-mena. Dengan Alief, cepat aje rasa nak ‘berasap’.
Zenia
dan Kak Milah berpandangan. Masing-masing buat muka. Kalau dah Zatie dan Alief
‘berperang’, apa pun dah tak boleh. Perlahan-lahan Kak Milah berlalu masuk ke
arah pantri.
“Perangai
macam hantu. Patutlah tak ada orang nak!” kutuk Zatie geram.
Masing-masing
menggelengkan kepala tengok dua orang yang tak pernah sebulu itu. Asyik perang
mulut aje kerjanya.
“Okeylah
tak ada orang nak daripada kau tu kerja asyik nak bergaduh dengan boyfriend aje. Lebih baik single, jimat masa, duit dan tenaga.”
Alief kenyit sebelah matanya, kemudian menyambung langkah yang terbantut tadi
menuju ke arah mesin fotokopi.
Pecah
tawa mereka semua sementara Zatie sudah tarik muka. Macam mana entah Alief
boleh tahu yang dia selalu gaduh dengan pakwe dia. Stalker kut mamat ni?
“Dah,
tak payah nak gaduh-gaduh. Kak Milah buatkan air untuk semua.” Kak Milah muncul
sejurus kemudian dengan dulang di tangan.
“Terima
kasih, Kak Milah. Sayang akak!” jawab mereka semua serentak. Kak Milah membalas
dengan senyuman panjang.
Agensi
pelancongan itu sebenarnya mempunyai tiga bahagian, iaitu bahagian pembangunan
industri, pentadbiran dan perlesenan. Zenia dan rakan-rakannya bertugas di
bahagian pembangunan industri yang lebih banyak menguruskan aktiviti-aktiviti yang
berkenaan dengan pelancongan, contohnya kursus-kursus homestay dan pekerja tempat-tempat pelancongan, festival dan media gathering. Disebabkan setiap deparment cuma terdiri daripada bilangan
para pekerja yang sedikit, maka mereka menjadi sangat rapat.
“Good
morning!” Khairil tiba-tiba melangkah masuk ke ruangan pejabat dengan
senyuman ceria di bibir.
“Good
morning! Hai, bos... Gembira bukan main nampak hari ni. Ada apa-apa ke?”
Amira yang terlebih dahulu menegur bos mereka itu.
“Kau ni, Mira... tanya lagi. Dah
tentu-tentulah bos happy. Orang dah
nak kahwin, kan...”
“Seri muka pengantin...”
Lalu mereka ketawa beramai-ramai.
“Pandai ajelah you all ni. Macam tahu-tahu aje I dah book tempat untuk kita semua hi-tea
petang ni,” balas Khairil tersenyum-senyum.
“Alhamdulillah...” Alief dan Arman
sama-sama buat gaya meraup tangan ke muka, tanda bersyukur yang amat sangat.
Yang lain-lainnya hanya ketawa suka.
Dalam keriuhan itu, telefon bimbit
Zenia berdering tiba-tiba. Dia pantas bangun dan bergerak ke tepi. Tak mahu
perbualannya nanti terganggu dengan suara-suara rakan-rakannya itu. Membaca
nama ‘Taska & Tadika Anakku Comel’ tertera di skrin, Zenia segera menjawab
panggilan itu.
“Assalamualaikum,” ucap Zenia.
“Walaikumussalam. Puan Iris ya? Ni
saya, Cikgu Hilda,” jawab suara lembut di hujung talian.
“Oh, Cikgu Hilda. Ada apa ya telefon
ni?” Zenia bertanya lanjut. Jantungnya berdebar tiba-tiba. Ada benda yang tak
kena dengan Adam ke?
“Saya nak bagi tahu... anak Puan
Iris tak sihat, badan dia panas aje dari tadi. Muka pun pucat. Puan boleh
datang ambil dia sekarang tak?”
Zenia memejam mata untuk seketika.
Nafas dihembus perlahan. Gusar di hati, hanya Allah yang tahu. “Baiklah, cikgu.
Kejap lagi saya datang ambil dia. Maaflah menyusahkan cikgu pulak.”
“Tak apa, puan. Saya tunggu puan
sampai.”
Talian dimatikan. Zenia kembali ke
ruang pejabat. Suasana di situ sudah kembali seperti sedia kala. Masing-masing
sibuk dengan kerja. Zenia membawa langkah ke bilik Khairil. Setelah mengetuk
pintu, arahan masuk kedengaran. Dia segera menolak daun pintu.
“Yes,
Zenia... Ada hal apa?” tanya Khairil.
Zenia melangkah mendekati meja Encik
Khairil. “Hmm... bos, saya ingat hari ni nak
ambil cuti setengah hari. Anak saya sakit, jadi saya kena pergi jemput dia kat
tadika dia sekarang ni,” ujar Zenia. Riak wajahnya benar-benar berharap
moga-moga Khairil akan memberi izin.
“Ohh...” Khairil terkejut. “Okeylah
kalau macam tu. You can go now.”
“Err... tapi...”
“Tak apa, you tak payah risau. Just go now. I tak kisah pun,” balas Khairil
tenang. Ada senyuman manis di bibir.
Zenia mengukir senyum lega. Khairil
memang bos yang baik. Langsung tak pernah berkira dengan para pekerjanya.
Setelah mengucapkan terima kasih, Zenia bergegas keluar dari ruangan pejabat.
TUBUH
lesu Adam disandarkan pada bangku menunggu. Zenia duduk di sebelah. Kepala
anaknya itu diusap-usap lembut lalu dibawa Adam ke dalam pelukannya. Setiap
kali Adam sakit, hatinya tak akan pernah reti bertenang, seolah-olah dia juga
dapat merasai kesakitan yang ditanggung Adam.
Mata Adam yang layu itu memandang ke
sekitar ruangan klinik sebelum berhenti pada seorang kanak-kanak sebayanya yang
sedang diriba oleh seorang lelaki. Kepala diangkat mencari wajah mamanya.
“Mama...” Adam memanggil lemah.
“Ya, sayang?” Zenia menundukkan
kepalanya.
Adam kembali memandang kanak-kanak
perempuan tadi. “Kenapa Adam tak ada papa macam dia?”
Jantung Zenia tersentap. Hanya
sebaris soalan, tetapi sudah cukup untuk merentap ketenangan yang cuba dibina.
Ya Allah... kenapa tiba-tiba Adam bertanyakan tentang papanya?
“Kawan-kawan Adam kat sekolah semua
ada papa. Adam pun nak ada papa. Papa Adam ada kat mana, mama?”
Zenia merapatkan pelukan sambil
memejam mata. Air jernih yang hampir menitis keluar ditahan sekuat hati. Pasti
selama ini Adam memendam rasa sendiri melihat rakan-rakan di sekolah dihantar
dan dijemput papa dan mama masing-masing, sedangkan dia cuma ada mama. Memang
Zenia sudah menjangka soalan itu akan ditanyakan Adam, cuma taklah seawal ini,
sewaktu dia belum bersedia dengan apa-apa jawapan.
“Papa Adam ada, tapi papa Adam
sekarang jauh. Nanti bila papa dah balik, mama bawak Adam jumpa papa ya?”
Pembohongan pertama tentang papa Adam. Zenia mengetap bibirnya. Maafkan mama,
sayang...
Adam tak bersuara lagi. Kepala yang
pening terasa semakin berat.
“Muhammad Adam Rizq Bin Abdullah.”
Zenia hembus nafas lega setelah nama
itu dipanggil. Tubuh Adam diangkat ke dalam dukungannya untuk masuk ke bilik
doktor.
Muhammad
Adam Rizq... Satu-satunya permata hati yang dia ada. Walaupun kelahiran Adam ke
dunia ini bukan atas kerelaannya pada awalnya, tetapi kini segala rasa kasih
dan sayangnya tertumpah buat anak itu. Walaupun terpaksa menelan bermacam-macam
jenis kata nista daripada orang sekeliling yang tidak henti-henti mencemuh,
Zenia kuatkan diri demi Adam. Baginya, tiada apa lagi yang lebih bermakna dalam
dunia ini selain dapat terus hidup bersama Adam di sisinya dan melihat senyuman
anak itu terus mekar untuknya.
SELEPAS
menidurkan Adam yang demamnya sudah semakin baik, Zenia keluar ke ruang tamu.
Drama Melayu yang ditayangkan di TV langsung tidak menarik minat sebaliknya dia
mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja kopi. Rindunya ibu,
rindunya ayah. Seingatnya, bulan lepas adalah kali terakhir dia menghubungi
mereka berdua dan malam ini sudah tiba masanya untuk dia bertanyakan khabar
kedua-dua orang tuanya itu.
“Assalamualaikum, ibu...” ucap Zenia
setelah panggilannya dijawab.
“Waalaikumussalam. Nia? Ya Allah...
rindunya ibu dekat Nia. Nia sihat?”
Zenia tersenyum pedih. Daripada nada
suara itu, dia tahu ibu juga amat rindukannya. “Nia sihat, bu. Ibu macam mana?
Ayah?”
“Ayah dengan ibu pun sihat. Ayah
belum balik dari masjid lagi, katanya ada tahlil malam ni. Kalau tak mesti dia
gembira dapat cakap dengan Nia,” kata Maryam sebak. Esakan halusnya
hampir-hampir sampai ke telinga Zenia. Setiap kali Zenia menelefon, rasa sebak
itu memang tak dapat disembunyikan. Rindunya membuak-buak. Bertahun-tahun Zenia
pergi, perasaan yang satu itu tetap tak mahu pergi. Dan setiap kali mengenangkan
semua itu pada pagi hari raya, terasa sayu semakin menjerat sang hati.
“Tak apalah, ibu... Nanti ibu kirim
salam dekat ayah ya? Cakap kat ayah, Nia rindu sangat dengan ayah,” ujar Zenia.
Bibirnya diketap kuat, menahan air mata yang hampir gugur. Biar selama mana pun
dia meninggalkan orang tuanya, rindu untuk mereka tetap ada. Tetapi untuk
pulang, dia masih belum ada kekuatan.
“Kalau rindu, baliklah Nia. Ibu
dengan ayah nak sangat jumpa Nia. Kalau boleh sebelum kami berdua tutup
mata...”
Menitis juga air mata Zenia. Betapa
murahnya air mata itu jika melibatkan ibu dan ayah, orang tuanya yang telah
banyak berjasa kepadanya selama ini, yang tidak pernah membenci ketika orang
lain mencaci, yang tidak pernah membuangnya pada saat orang lain menghina dan mengeji.
“Nia mintak maaf, bu. Nia masih tak
kuat untuk berdepan dengan ahli keluarga kita yang lain. Tapi Nia janji...
sampai masanya nanti Nia akan balik jugak jenguk ibu dan ayah. Nia janji,”
janji Zenia untuk kesekian kalinya. Air mata yang lebat turun hanya dibiarkan.
Biarlah ruang tamu rumah yang sepi itu menjadi saksi tangisannya tumpah sekali
lagi.
“Yalah... ibu faham keadaan Nia. Nia
jaga diri baik-baik ya? Nanti kirim salam ibu dekat cucu ibu tu. Ibu teringin
sangat nak jumpa dia,” pesan Maryam. Itulah pesanannya setiap kali Zenia
menelefon. Tak pernah jemu dan tak akan jemu.
“Ya, ibu. Nanti Nia bagitahu Adam.”
Hanya sampai di situ Zenia mampu bersuara. Kalau perbualan dilanjutkan lagi,
dia khuatir tangisan akan bertukar menjadi raungan. Dia sangkakan setelah empat
tahun berlalu dia akan menjadi insan yang lebih kuat, rupa-rupanya dia silap.
Lampu ruang tamu dimatikan. Zenia
melangkah longlai masuk ke bilik. Memandang Adam yang lena tidur dengan
wajahnya yang polos itu, semangat yang hilang bagai kembali terbina teguh.
No comments:
Post a Comment