DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

MY SOULMATE - BAB 4



Saya dah cuba beritahu dia…tapi dia tak percaya” terang Hanis apabila didesak oleh Taufik tentang reaksi Ayuni terhadapnya. 
            “Apa yang awak beritahu dia sampai dia tak percaya pula?” bentak Taufik.
            “Hishh…Encik Taufik ni…sabarlah sikit.  Janganlah gelojoh sangat.  Kalau nak mengurat perempuan ni, kenalah slow and steady…..ini tak…apa Encik Taufik ingat, nak tackle perempuan ni macam nak panggil kucing makan…bunyikan ‘citcit’ terus berebut-rebut datang?’ jawab Hanis jengkel. 
Sakit hatinya bila dijerkah begitu.  Dahlah minta tolong secara percuma, kita pulak nak ditengkingnya.  Getus Hanis dalam hati! 
Hishh!!! Geramnya.  Kalau tidak kerana Taufik adalah assistant bosnya, memang sudah lama tidak dilayannya hasrat hati lelaki itu yang hendak sangat mengenali Ayuni dengan lebih rapat lagi.
             “Ok…ok…saya minta maaf ye Hanis…teremo pulak saya ni…saya bukan apa Hanis, otak saya dah macam nak gila sebab asyik memikirkan tentang kawan baik awak tu.  Tidur ingat dia, jaga ingat dia, makan ingat dia, mandi ingat dia…aduh, boleh gila saya dibuatnya.  Tolonglah saya Hanis…’ rayu Taufik dengan bersungguh-sungguh bila disedari Hanis terasa hati dengan kelakuannya tadi. 
Hilang sudah rasa malunya pada Hanis.  Taufik sudah nanar!  Dia sendiri tidak percaya akan perasaannya terhadap Ayuni. 
Memang benar, secara logiknya dia tidak mungkin boleh jatuh hati dengan Ayuni kerana mereka memang saling tidak mengenali lebih-lebih lagi Ayuni.  Tambahan lagi, dia mula jatuh hati terhadap Ayuni hanya dari sekeping gambar yang dia sendiri tidak sengaja terlihat semasa menguruskan satu kerja di meja Hanis.  Hatinya tiba-tiba sahaja berdebar-debar bila menatap wajah Ayuni yang tersenyum manja di samping Hanis.  Keayuan wajah gadis bertudung itu benar-benar menyentuh naluri lelakinya. 
Pada mulanya, dipendamkan sahaja perasaannya terhadap Ayuni kerana dia pasti Ayuni sudah mempunyai seseorang yang istimewa.  Maklumlah gadis semanis Ayuni pasti ramai peminat, tetapi bila Hanis sendiri pun perasan akan perubahan air muka Taufik sebaik sahaja terlihat foto itu, kata-kata Hanis ketika itu seolah-olah membuka ruang dan peluang untuknya mengenali Ayuni dengan lebih dekat. 
Menurut Hanis, Ayuni memang belum ada teman istimewa semenjak dikecewakan.  Nampaknya Taufik memang langkah kanan.  Namun, Taufik sedar.  Bukan mudah untuk mendekati Ayuni.  Dari reaksi Ayuni semasa mereka makan tengahari bertiga selepas sesi temuduga tempohari, ternyata Ayuni seorang yang ‘liat’ dan sukar untuk didekati. 
Telahannya, mungkin kerana pengalamannya yang pernah dikecewakan, menyebabkan Ayuni lebih berhati-hati.  Sikap endah tidak endah Ayuni sangat memikat hatinya.  Tidak seperti gadis-gadis lain yang pernah ditemuinya, kebanyakannya mereka yang akan cuba untuk memikatnya.  Bukanlah dia perasan, tetapi pepatah ada mengatakan, sekilas ikan di laut, sudah diketahui sama ada jantan atau betina.  Gadis-gadis seperti itu bukanlah taste Taufik.  Tastenya adalah gadis seperti Ayuni yang sukar didekati, menyebabkan dia akan rasa lebih tercabar untuk memilikinya. 
Taufik akui, bahawa dia masih lagi bersikap konservatif dalam bab-bab pemilihan teman hidup.  Mungkin dia telah banyak belajar dari kegagalan rumahtangganya.  Mahligai yang dibina atas rasa cinta dan kasih sayang, akhirnya musnah biar pun usia perkahwinannya baru setahun jagung.  Rasanya tidak berbaloi menghabiskan masa bercinta bertahun-tahun, meleburkan wang ringgitnya yang bukan sedikit walaupun suatu masa dulu dia tidak pernah berkira tentang wang ringgit kerana cinta telah membutakan mata hatinya. 
Mengingatkan perbuatan bekas isterinya yang curang di depan matanya sendiri, menjadikan dia lebih berhati-hati.  Hati suami mana yang tidak hancur luluh apabila terpaksa melihat si isteri melakukan maksiat dengan lelaki lain di atas ranjang di biliknya sendiri. Hampir separuh mati lelaki itu dibelasahnya.  Kalau tidak disabarkan oleh kawannya yang kebetulan ada bersamanya ketika itu, mungkin lelaki itu sudah mati.  Dia benar-benar sudah hilang pertimbangan dan kewarasannya ketika itu. Talak tiga terus sahaja dilafazkan selepas menampar pipi gebu isterinya, Farah.
 Dia terpaksa mengambil masa yang sangat lama untuk memulihkan perasaannya dan menyingkirkan perasaan dendamnya terhadap golongan hawa.  Dalam tempoh itu, pelbagai jenis wanita datang dan pergi dalam hidupnya.  Semuanya hanya sekadar untuk bersuka-suka bagi menghilangkan lara hatinya. 
Namun, semenjak terpandang foto Ayuni, dan melihatnya sendiri secara dekat sewaktu makan tengahari tempoh hari, dia seolah-olah telah lupa akan kesakitan yang ditanggungnya sekian lama dan dendamnya terhadap golongan itu tiba-tiba terlerai. 
Ajaibnya cinta!  Adakah dia ditakdirkan untukku?  Adakah dia yang akan mengubat lara hatiku?  Ayuni, kau pasti akan jadi milikku jua!  Tetapi melihat kepada reaksi Ayuni semalam, dia tahu kerjanya bukan mudah. 
Nampaknya, Ayuni bukan jenis yang mudah didekati, tetapi entah kenapa, hatinya semakin nekad untuk mendapatkan gadis itu kerana dia amat yakin Ayuni belum berpunya.  Dia amat yakin dengan rasa hatinya.  Nalurinya tidak pernah silap.

No comments:

Post a Comment