DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 16



ROSNI yang paling gembira menyambut kepulangan Liyana bersama Syarizad. Terus dipeluk tubuh Liyana sesudah anaknya itu tunduk menyalami tangannya.
“Yana sihat?”
“Sihat, mak. Mak sihat?”
“Sihat sangat. Lagi sihat bila ingatkan kamu dengan Ijad nak balik,” balas Rosni dalam keharuan.
Syarizad pula yang diam di tepi kereta. Tiga bulan lebih meninggalkan kampung, kenapa tiada rasa rindu di hatinya terhadap tempat dia dilahirkan dan dibesarkan itu? Kalau ada rindu pun, hanya untuk mak ngahnya dan juga... Idlan.
Syarizad mencapai tangan Mak Ngah Rosni lalu dikucup hormat. Rosni terus menarik tubuh Syarizad ke dalam pelukannya. Didakap seolah-olah tidak mahu dilepaskan lagi.
“Ijad... rindunya mak ngah dengan Ijad...” kata Rosni. Mata yang basah dikesat dengan hujung lengan bajunya.
Syarizad tersenyum pahit. Rasa berdosa kerana membiarkan mak ngahnya menangis merindukan dirinya, sedangkan dia bergembira di Kuala Lumpur. Ya Allah... perlahan nama yang Maha Agung itu meniti dalam hatinya.
Syarizad meleraikan pelukan.
“Sekarang kan Ijad dah balik. Mak ngah tak payah rindu-rindu lagi,” katanya lalu ketawa kecil.
Rosni tersenyum. Kedua-dua belah pipi Syarizad dipegang lembut.
“Lain mak ngah tengok Ijad sekarang...”
Syarizad mengalih tangan mak ngahnya. Kata-kata itu menghantar rasa tidak senang ke hatinya.
Err... apa yang lain?”
“Rambut Ijad.” Rosni menyentuh rambut Syarizad yang ditocang satu.
Syarizad mengawal riak wajah agar tidak kelihatan di mata mak ngahnya.
Hmm... saja Ijad buat rambut macam ni, mak ngah. Ijad kan kerja dengan orang kaya, jadi Ijad kenalah nampak cantik.” Dia ketawa namun jelas kedengaran canggungnya.
Rosni masih mahu bersuara tetapi suara Liyana memanggil membantutkan niatnya.
“Tolong aku angkat barang ni, Jad.” Liyana bersuara dari arah but keretanya.
Syarizad menghela nafas panjang. Lega. Kemudian dia terus menghampiri Liyana. Barang-barang yang dibawa pulang diangkut satu per satu ke dalam rumah. Barang apa lagi kalau bukan barang hantaran pertunangan Liyana dengan Herdy. Mengenangkan Herdy, bibir Syarizad terukir senyuman sinis.
Ketika mengangkat barang yang terakhir, Syarizad tiba-tiba teringatkan Idlan. Keluhan panjang terlepas lagi. Patut ke dia pergi jumpa Idlan? Kalau jumpa, nak cakap apa ya? Puas berfikir-fikir, akhirnya Syarizad putuskan untuk ke bengkel Abang Bob saja.



BASIKALNYA ditongkat di tepi bengkel. Kemudian dia berjalan lambat-lambat masuk ke dalam. Matanya dililaukan ke sekitar bengkel itu. Di belakang kereta Proton Perdana yang masih dalam pembaikan, dia nampak Idlan dan Abang Bob sedang berbual-bual. Perasan dengan kehadirannya, terus kedua-duanya berpaling.
“Hai!” Syarizad melambai kecil. Kemudian kedua-dua belah tangannya diletakkan di pinggul. Jadi segan tiba-tiba. Macamlah tak biasa datang ke situ sebelum ini. Lebih daripada biasa sebenarnya.
“Ijad! Ya Allah... Aku ingatkan siapalah tadi.” Bob teruja dengan kedatangan Syarizad. Gadis itu dihampiri. “Bila balik?” tanya Bob mesra.
“Baru aje sampai kejap tadi, Abang Bob,” jawab Syarizad. Senyuman dihulurkan kepada Abang Bob sementara mata mengerling ke arah Idlan yang hanya diam, tercegat di tempatnya berdiri sejak tadi.
“Makin cantik aku tengok kau sekarang sejak duduk KL ni,” puji Bob sambil ketawa.
Syarizad tersenyum.
“Mana ada, Abang Bob,” balasnya segan. Langsung tak macam Syarizad yang sebelum ini.
“Elok sangatlah kau datang sini, Jad. Tu, Lan tu nak buat kerja pun tak boleh, asyik teringatkan kau aje,” usik Bob lagi. Masih tidak henti-henti ketawa.
Idlan buat tidak dengar. Badannya dibongkokkan, menjenguk ke dalam bonet Proton Perdana tadi.
“Kau orang berdua boraklah. Aku nak keluar kejap.” Bob berlalu keluar dari bengkel itu, sengaja memberi ruang kepada kedua-duanya untuk meleraikan apa yang kusut. Macam mana dia tahu ada yang kusut? Tengok dari raut wajah Idlan pun dia sudah tahu. Orang buta saja yang tidak boleh nampak semua itu.
Syarizad menggaru-garu kepalanya. Tak pernah-pernah dia rasa kekok macam ni tiap kali jumpa Idlan. Entah kenapa kali ini lain macam saja jadinya. Syarizad berdeham beberapa kali.
“Kau nak aku tolong apa-apa tak?” tanya Syarizad. Dia berdiri tegak di tepi Idlan yang jelas-jelas malas melayannya.
Idlan masih diam. Terus memeriksa bonet kereta itu tanpa sedikit pun menoleh ke arah Syarizad.
“Aku balik sini tak lama pun. Itu pun sebab Yana yang beria-ia ajak aku balik.” Syarizad membuka cerita. Sengaja... dengan harapan cara itu akan dapat menarik perhatian Idlan untuk berbual dengannya. Tidak betah membiarkan suasana diam begitu antara mereka.
Sejak bersahabat, tidak pernah Idlan merajuk begitu dengannya. Kalau pun pernah, cuma sekejap. Itu pun sebab sengaja nak kenakan Syarizad. Dan Idlan sendiri tahu istilah merajuk antara mereka tidak pernah wujud.
“Dia siap belikan aku baju baru lagi. Nak masuk dengan tema pertunangan dia katanya,” cerita Syarizad lagi. “Tak kisahlah. Lagipun sekarang aku dah okey pakai baju kurung. Dah tak geli lagi dah,” tambahnya lalu ketawa kecil sendiri.
Idlan mengerling dengan ekor matanya. Nampak saja tenang, tapi jantung berguling-guling nak balas balik apa yang diceritakan Syarizad. Tetapi entah kenapa, ego terasa berat menutup semuanya. Aduhai, kenapa ni? Tak pernah-pernah pun dia macam ni kalau dengan Ijad.
“Kau sibuk ke ni? Kalau macam tu tak apalah. Aku balik dulu. Esok kau datang rumah aku, kan? Jadi kita jumpa esok ajelah.” Syarizad berura-ura untuk pulang. Melihat Idlan tetap bisu, dia membuka langkah.
Kalau Idlan sudah tidak sudi berkawan dengannya lagi, apa lagi yang boleh dia buat, kan? Terima sajalah. Lagipun dia sendiri juga yang putuskan untuk tidak berhubungan dengan sesiapa lagi yang ada kaitan dengan kisah silamnya. Dan itu sudah semestinya termasuk Idlan sekali.
Idlan berdecit. Dia cuba untuk tidak hiraukan Syarizad tapi dia tahu dia tidak akan mampu.
“Ijad!”
Syarizad yang sudah sampai di muka pintu bengkel berhenti melangkah. Bibirnya memekar dengan senyuman. Kepalanya kembali dipusingkan ke arah Idlan.
“Kau panggil aku?”
Idlan menghela nafas panjang. Dia berjalan ke arah bangsal kecil di luar bengkel. Syarizad mengikut di belakang.
“Aku gembira kau balik,” akui Idlan.
Syarizad tersenyum sambil duduk di sebelah lelaki itu.
“Aku ingat kau marah aku lagi sampai nak pandang aku pun dah tak sudi,” balasnya.
“Memanglah aku marah kau, tapi... tak adalah sampai nak putus kawan.” Idlan memandang Syarizad dengan sepasang mata yang redup.
Syarizad tersenyum lagi. Gembira kerana Idlan masih sudi berkawan dengannya. Terpaksa diakui walaupun dia cuba membuang Idlan daripada hidupnya, dia tetap tidak mampu. Sejak kecil, Idlan yang benar-benar memahami dirinya sampailah sekarang. Idlan yang tetap setia di sisinya walau apa pun yang berlaku.
“Bila kau balik KL?” tanya Idlan.
“Lusa. Aku balik dengan bas sebab Yana nak stay sini lama lagi,” jelas Syarizad.
“Kalau macam tu, tak sempatlah aku nak bawak kau jalan-jalan dulu?” tanya Idlan.
Syarizad ketawa.
“Sempat! Sebab lusa aku naik bas malam,” balasnya.
Idlan mengangguk.
“Okey.”
“Aku tahu, walau apa pun kau tetap sayang aku, kan?” Syarizad buat muka mengada-ada. Sengaja mengusik. Dah lama tak borak sambil gelak sakan dengan Idlan.
“Sebab aku sayang kaulah, aku tak nak kau silap langkah.”
Syarizad terdiam. Deep. Sampaikan jantungnya sendiri terasa bagai disentap kasar.
“Dahlah, jom tolong aku repair kereta.”
“Aku mana reti.”
“Aku ajarkanlah.”
“Baiklah, Encik Amar Idlan!” Wajah Syarizad kembali ceria.



SYARIZAD tidak sempat melarikan diri masuk ke dalam bilik apabila mak ngah sudah memberi arahan supaya dia menolong Mak Cik Samira memasang pelamin. Syarizad berdecit dalam diam. Walaupun cuma pelamin ringkas hasil rekaan Mak Cik Samira, dia tetap berat hati. Inikan pertunangan Liyana dengan Herdy, tak ada maknanya dia nak buat dengan rela hati.
Telefon pintar Liyana berdering tiba-tiba. Melihat senyuman di bibir gadis itu, Syarizad yakin Herdy yang telefon. Syarizad membantu Mak Cik Samira memasang pelamin sambil ekor mata mengerling ke arah Liyana.
“Hai, sayang.” Liyana menyapa mesra.
Syarizad mencemik. Nak muntah!
“Tengah tengok-tengok hantaran. Final touch,” ujar Liyana lagi.
Syarizad masih memasang telinga. Walaupun tidak dapat dengar apa yang dikatakan Herdy, cukuplah dapat dengar daripada pihak Liyana saja.
“Tak sabar nak jumpa awak esok.” Suara Liyana sedikit berbisik. Bibirnya mekar dengan senyuman.
Ambik bunga tu, Ijad,” arah Samira.
Syarizad segera menghulurkan bunga yang dipinta.
Eii... mengada-adalah awak ni. Malas layanlah.” Liyana ketawa manja.
Sakit telinga! Entah apalah yang diguraukan Herdy ketika itu. Makin lama dia di situ, makin dia rasa nak muntah. Jadi sebelum dia betul-betul muntah, baiklah dia masuk bilik sekarang juga. Lagipun pelamin itu sudah siap dipasang, cuma tinggal untuk mengemaskannya saja. Itu tugas Mak Cik Samira. Syarizad terus masuk ke bilik.
Eii... sakit hati! Bukannya dia cemburu sebab Herdy telefon Liyana, cuma dia tak boleh tengok Liyana gembira. Seolah-olah melihat senyuman di bibir Liyana merupakan satu perkara ‘haram’ dalam hidupnya. Dia duduk di birai katil sambil cuba meredakan amarah yang kian memuncak.
“Tak apa, tak apa. Kita tengok aje apa akan jadi esok.” Syarizad memasang azam.
Telefon pintar berdering. Syarizad pantas menyambar gadget itu. Nama Ben muncul di skrin. Membaca sebaris nama itu, serta-merta hati yang panas terasa sejuk. Punat hijau ditekan.
“Helo,” sapa Syarizad.
“Helo. Awak... dah tidur ke?” tanya Ben.
“Belumlah, baru lepas pasang pelamin,” balas Syarizad. Kepala diletakkan di atas bantal. Tidak pernah-pernah Ben menelefon lewat malam begitu. Takkan rindu kut?
“Oh, baguslah...” suara Ben jelas lega.
“Apa yang bagus?”
“Eh, tak ada apalah.”
“Encik Ben suka macam tu. Bila saya tanya balik, tentu Encik Ben jawab 'eh, tak ada apalah'.” Syarizad mengajuk suara Ben.
Ben ketawa kecil.
“Memandai ajelah awak ni.”
“Encik Ben call saya malam-malam ni, rindu eh?” usik Syarizad. Sekali pandang, langsung tak macam hubungan antara bos dan pekerja. Mentang-mentang Ben baik dengannya, suka-suka hati dia saja nak mengusik macam tu.
Just checking up on you.” Ben pantas menafikan. “Manalah tahu kalau-kalau awak ada masalah ke...”
“Encik Ben... saya ni balik kampung, bukannya pergi bercuti kat mana-mana tempat.”
“Tak, maksud saya...” Ben hilang suara tiba-tiba.
Syarizad tahan senyum.
“Alah Encik Ben ni... dah rindu tu mengaku ajelah...” usiknya lagi.
Ben tersenyum dengan kepala tergeleng-geleng. Nak nafikan pun dah tak mampu. Macam manalah Syari ni boleh tahu ya? Takkan ketara sangat kut?
“Saya balik tak lama pun. Nanti bila saya dah balik KL, kita pergi jalan-jalan nak?” Sesuka hati Syarizad mengatur rancangan.
“Syari, awak sedar tak awak tengah cakap dengan siapa sekarang ni?” tanya Ben. Tiada nada marah, cuma sengaja hendak mengusik. Kalau Syarizad pandai mengusik, dia pun boleh.
“Sedar. Encik Ben kan bos saya.”
“Tapi cara awak bercakap tu, macam saya ni bukan bos awak. Sampaikan saya sendiri pun tak sedar yang saya ni bos awak. Tahu?”
Syarizad tergelak. Ben tersenyum mendengar gelak itu. Terasa indah di telinganya sendiri.
“Kan saya dah janji nak bawak Encik Ben jalan-jalan dengan kereta saya. Janji kenalah tunaikan. Betul tak, Encik Ben?” balas Syarizad sambil tersenyum-senyum. Daripada menelentang, dia kini mengiring menghadap dinding.
“Okey kalau macam tu. Awak yang drive,” balas Ben.
“Tak ada hal. Jadi, Encik Ben setujulah ni?” Syarizad sudah semakin teruja.
Ben ketawa.
“Orang tanya, dia gelak pulak.” Syarizad tidak puas hati. Suaranya jadi manja semacam. Bukan dibuat-buat, tapi terjadi dengan sendirinya.
Get some sleep. Esok tentu awak penat.” Itu pula yang dibalas Ben. Habis modal untuk melawan lagi.
Syarizad mencemik. Tahu Ben sengaja mengelak.
“Baiklah, Encik Ben Ikhzal Bin Datuk Jaini.”
“Selamat malam, Cik Syarizad Binti Sabri.”
Syarizad tertawa kecil. Talian dimatikan. Dia sendiri tidak sedar dia akhirnya tertidur dengan senyuman.



TALIAN sudah diputuskan sepuluh minit yang lalu, tapi Ben masih berdiri di tepi tingkap biliknya dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya. Tidak sabar menunggu lusa untuk bertemu Syarizad. Betullah kata Shazwan, dia sudah semakin angau dengan Syarizad.
Ben keluar dari bilik lalu turun ke tingkat bawah untuk ke dapur meneguk air. Ketika melintasi pintu gelangsar yang menghadap taman, dia terdengar suara esakan kecil. Langkahnya terhenti. Dia menoleh ke arah pintu yang terbuka separuh. Allison tercegat di situ dengan bahu yang terhinggut-hinggut.
Ben mendekati dengan dahi yang berkerut.
“Ally?”
Allison tersentak. Sepantas kilat dia mengesat muka yang basah dengan air mata. Kemudian barulah dia berpaling.
“Abang...”
Ben berdiri betul-betul di sebelah adiknya itu.
“Kenapa ni? Hmm? Kenapa nangis?”
Allison tidak menjawab sebaliknya terus memeluk Ben. Air matanya tumpah lagi.
Ben terkejut. Namun pelukan Allison tetap dibalas. Rambut strawberry blond Allison diusap lembut.
“Kenapa ni, dik? Cuba cerita dengan abang,” pintanya.
Allison melepaskan pelukan. Kepalanya menunduk dengan pipi yang masih basah.
“Ally...” lembut Ben memanggil.
Allison mengesat matanya.
He broke up with me.”
Who?” Ben kerut kening. Dia tak pernah tahu pun Allison ada kekasih.
“Zarith.” Perlahan Allison menyebut nama itu. “He broke up with me and...” tangisannya pecah lagi.
Ben memeluk Allison semula. Walaupun dia tidak pernah bercinta, tapi dia faham bagaimana rasanya dikecewakan.
“Apa yang dah jadi sebenarnya?” tanya Ben.
“Dia kata Ally dah tak sayang dia lagi sedangkan dia yang sebenarnya dah jauh berubah,” esak Allison. Walaupun hubungannya dengan Ben sangat rapat, kisah tentang Zarith tidak pernah sampai ke telinga Ben. Tetapi malam itu semuanya terluah juga.
“Dahlah tu, stop crying. You know what? He’s a fool. Sebab dia sanggup lepaskan adik abang yang cantik ni,” pujuk Ben lembut.
Allison tersenyum kecil. Kata-kata Ben membuatkannya rasa tenang semula.
“Betul ke macam tu?” Kepala diangkat memandang Ben.
Ben mengangguk.
Yup. Orang yang bodoh aje sanggup tinggalkan adik abang yang vogue ni.” Hujung rambut Allison ditarik sedikit.
Allison tertawa halus.
“Lagipun... Shazwan kan ada?” usik Ben.
Sekarang dia tahu kenapa Allison terus-terusan menolak Shazwan walaupun mereka pernah ada sejarah bersama. Rupa-rupanya, sepanjang tempoh Shazwan tiada, hati adiknya itu sudah diisi dengan nama lelaki lain.
Allison mencebik. Terbayang-bayang di matanya peristiwa dia dengan beraninya meluahkan perasaan kepada Shazwan tetapi dengan kejamnya ditolak.
I hate him.”
“Kenapa?”
Because he dumped me!”
“Tak, itu kan hal lama. Dia serius dengan Ally sekarang tau.”
“Betul ke?” Renungan Allison penuh mengharap.
Benci konon, walhal hati berharap semua itu benar. Mungkin perasaan terhadap Shazwan tidak pernah padam sepenuhnya. Mungkin juga usahanya untuk melarikan diri daripada Shazwan hanya kerana dia cuba menafikan perasaan sendiri tetapi ternyata dia gagal.
Ben mengangguk.
Trust me.”
Allison diam dengan kepala menunduk.
“Lagipun...” Ben menambah sambil tangannya bermain-main dengan rambut Allison.
Allison sabar menunggu kata-kata Ben yang seterusnya.
“Kalau dia buat hal lagi, I can beat him anytime you want,” kata Ben membuatkan Allison ketawa.


Bab 17
MAJLIS pertunangan Liyana dan Herdy berlangsung juga akhirnya. Tidak mengikut adat Melayu, Herdy juga turut hadir pada majlis itu. Cuma bukan dia yang menyarungkan cincin, sebaliknya mamanya sendiri. Dia hanya duduk di tepi menyaksikan upacara itu berlangsung indah.
Syarizad yang duduk di hujung kiri pelamin menjadi penonton dengan wajah yang bosan. Kerap kali matanya singgah di wajah Herdy, seolah-olah memanggil lelaki itu supaya berpaling ke arahnya. Mungkin perasan dirinya sedang diperhati, Herdy akhirnya menoleh.
Syarizad mengukir senyuman. Herdy pula membalas dengan senyuman nipis sebelum kembali memakukan pandangan ke wajah Liyana. Syarizad merengus dalam diam. Takkanlah tengok Liyana pakai cantik-cantik macam tu Herdy terus lupa tentangnya?
Selesai majlis berlangsung, Syarizad terus menghilang ke dalam bilik. Lagipun tetamu yang hadir dijemput menjamu hidangan ringkas di luar rumah, jadi tak perlulah dia menempel lagi. Satu pesanan ringkas dihantar ke nombor telefon Herdy.
Agak lama menunggu, pintu biliknya tiba-tiba ditolak dari luar. Herdy masuk dengan senyuman nipis.
“Tutup pintu,” arah Syarizad dengan suara yang sedikit berbisik.
Herdy menurut. Kemudian Syarizad yang berdiri di tepi katil dihampiri. Sekejap saja tangannya sudah memaut pinggang gadis itu rapat dengannya.
“Ada orang nampak tak?” tanya Syarizad perlahan. Tangannya dilingkarkan pada leher Herdy.
Herdy menggeleng.
“You yakin?”
Yup.” Herdy senyum. “I miss you...”
Syarizad mencebik.
“Ingatkan lepas dah tunang dengan Liyana you yang tersayang tu, dah lupa terus kat I ni...”
“Hesy, mana boleh lupa. Kalau bukan sebab you, I takkan datang hari ni tau,” balas Herdy. Hidung Syarizad dicuit lembut.
Syarizad tersenyum panjang. Hati menggeletek suka mengenangkan Liyana yang bodoh itu. Kalau Liyana nampak apa yang berlaku sekarang, agak-agak apa reaksi dia? Oh, belum masanya lagi untuk Liyana tahu. Tunggu dan lihat saja.
Herdy mendekatkan wajahnya ke wajah Syarizad. Syarizad yang mengerti tidak langsung menghalang. Hanya membiarkan Herdy melaksanakan apa yang dimahukan, melampiaskan nafsu masing-masing.
Hmm...” Herdy bersuara tiba-tiba di tengah-tengah keasyikan itu. “I kena pergi sekarang. Tak nak nanti Yana perasan I hilang lama.” Dia melepaskan pelukan di tubuh Syarizad.
Syarizad berdecit. “See? Kan I dah cakap yang you memang lebihkan dia daripada I...”
“Hei...” Herdy mencuit pipi Syarizad. “You dah lupa ke? You jugak yang suruh I tunang dengan dia.”
Syarizad tersenyum.
“Mestilah I tak lupa.” Satu lagi ciuman diberikan di pipi Herdy sebelum lelaki itu keluar dari biliknya. Syarizad berdiri di depan cermin, membetulkan ikatan rambut dan juga baju kurung yang dipakai. Sepuluh minit berlalu, barulah dia keluar dari bilik. Dia menuju ke dapur untuk membasahkan tekak.
“Kau buat apa dengan tunang Yana tadi?”
Soalan tiba-tiba itu mengejutkan Syarizad. Nasib baik tidak terlepas gelas dari tangannya. Dikesat air yang meleleh keluar dari bibir dengan hujung lengan baju kurungnya. Tubuh dipusingkan ke arah Idlan yang sedang tercegat di depan pintu dapur yang terbuka luas.
“Lan... apa kau cakap?” sengaja Syarizad bertanya semula. Cover line. Takkan Idlan nampak kut? Mampus!
Idlan menggeleng-geleng. Riak wajahnya penuh kekesalan.
“Aku nampak Herdy masuk bilik kau tadi. Kau buat apa dengan dia?”
Syarizad diam tidak menjawab. Gelas tadi dicuci lalu diletakkan semula di tempatnya. Kemudian dia berjalan ke arah pintu. Selipar disarung dan dengan selamba melangkah keluar.
“Ijad!” Idlan menguatkan suaranya. Dia tahu Syarizad sengaja mengelak dan dia tidak akan berhenti mendesak sehingga Syarizad mengaku. Dia bukannya bodoh sampai tak boleh nampak apa yang sedang cuba disembunyikan Syarizad. Orang lain Syarizad boleh tipu, tapi bukan dia.
Syarizad berhenti melangkah. Matanya dipejamkan sesaat dua. Mengawal debaran jantung yang kian tidak menentu. Sungguh dia tidak sangka Idlan akan nampak apa yang baru berlaku. Mujur Idlan, kalau orang lain macam mana?
“Kau buat benda tak elok dalam rumah Yana sendiri, masa majlis pertunangan dia, dengan tunang dia? Apa semua ni, Jad? Kau dah hilang akal ke?” Idlan mengetap giginya. Marah, tapi tidak tahu macam mana nak lepaskan. Kalau perlu diukur kekesalannya sekarang, dia sendiri tidak pasti sudah sampai ke tahap berapa.
Syarizad berpaling. Renungannya tajam menikam.
“Aku benci Yana.” Selamba dan langsung tanpa rasa bersalah dua patah perkataan itu dituturkan. Mujur tiada orang di kawasan belakang rumah waktu itu. Hanya ada dia dan Idlan.
Idlan tergeleng-geleng. Sangkanya, benci Syarizad hanya di mulut selama ini.  Tak sangka benci itu benci yang betul-betul benci.
“Sampai macam ni kau sanggup buat dia?”
“Kenapa tak?” Riak wajah Syarizad masih selamba.
“Ijad! Kau sedar tak apa yang kau dah buat ni? Otak kau letak kat mana? Dah tak ada akal sampai dah tak boleh fikir? Dah tak ingat dosa pahala?” Kasar bunyi suara Idlan. Dia sudah tidak peduli lagi. Syarizad perlu disedarkan sebelum betul-betul terlambat.
Syarizad ketawa kecil. Sinis bunyinya.
“Kau tak payahlah nak berceramah pulak dengan aku. Kalau kau tak suka, kau boleh berambus daripada hidup aku. Aku pun tak hadaplah nak berkawan dengan kau lagi!”
“Oh...” Idlan kehilangan suara. Hatinya tercalar dengan kata-kata pedih yang dilontarkan Syarizad itu. Sampai hati Syarizad. Sanggup putus kawan hanya sebab dendam yang selama ini dipertahankan.
“Jadi kau tetap nak sanjung dendam kau tu? Okey.” Idlan mengangguk-angguk.
Syarizad mengetap bibir. Terasa dadanya turun naik menahan sebak yang semakin kuat menghentak jantungnya. Ya Allah... apa aku cakap tadi? Dia mahu menarik semula kata-katanya tadi tapi dia tahu sudah terlambat.
“Aku memang dah tak kenal siapa kau sekarang, Jad...” Idlan kecewa. Benar-benar kecewa. Kemudian dia berpaling dan beredar pergi.
Perlahan-lahan setitis air mata jatuh ke pipi Syarizad. Adakah itu bermakna persahabatannya dengan Idlan sudah sampai ke titik noktah? Dia sendiri yang menoktahkannya.Sanggup menggadaikan harga persahabatan yang tidak ternilai hanya kerana dendam yang disanjung.
Syarizad terduduk di tepi rumah. Puas ditahan, esakan sepinya terluah juga.



BEG yang digalas sejak tadi diletakkan di atas riba lalu dipeluk rapat. Kepala disandarkan pada kusyen sambil membuang pandang ke luar cermin tingkap bas itu. Tiga hari menghabiskan masa di kampung yang langsung tiada harganya, sudah tiba masanya untuk dia pulang ke Kuala Lumpur, meneruskan apa yang telah dimulakan.
Dua hari lepas, Idlan berjanji untuk membawanya berjalan-jalan pagi tadi. Tapi selepas apa yang berlaku semalam, Idlan terus menyepi daripadanya. Dia cuba untuk menelefon, tapi sudahnya tak jadi apabila teringatkan hubungan persahabatannya dengan Idlan sudah retak.
Tangannya pantas mengesat air mata yang jatuh ke pipi. Come on, Ijad... Kau tak boleh nangis. Kau kena kuat. Kau tak boleh lemah. Kau yang mulakan semua ni, jadi kau kena teruskan segalanya sampai ke titik noktahnya.
When a person who means the world to you turns his back on you, it hurts like hell, bisik hati Syarizad sendiri. Mata dipejamkan rapat-rapat, mengharap lena yang datang bakal membawa mimpi yang indah.



BEN yang datang menjemput Syarizad di hentian bas. Mengenangkan rasa rindu terhadap gadis itu, dia sanggup tinggalkan katil awal-awal pagi untuk pergi berjumpa Syarizad.
“Sihat?” tanya Ben.
Syarizad mengangguk. Nada suara Ben yang penuh prihatin menghantar satu rasa ke dalam dirinya. Hati yang lara sejak semalam terubat sudah.
“Macam mana majlis tu?” tanya Ben lagi. Kalau boleh semua yang berlaku dalam hidup Syarizad sepanjang gadis itu berada di kampung dia mahu tahu. Pintu kereta dibuka untuk Syarizad masuk sebelum dia sendiri masuk ke tempat pemandu.
“Okey aje...” perlahan suara Syarizad menjawab. Keluhan dilepaskan. Hatinya jadi tidak senang tiba-tiba. Terbayang-bayang wajah kecewa Idlan di ruangan matanya.
“Nampak macam tak happy aje,” rumus Ben. Betullah, tengok dari riak wajah saja pun dia sudah tahu.
Syarizad tersenyum hambar. Keprihatinan Ben semakin menambah sayu di hati.
“Encik Ben, saya tak nak balik rumah lagi boleh tak?”
“Habis awak nak ke mana?” Ben kerut kening. Pelik.
“Mana-mana ajelah. Saya tak nak balik rumah lagi. Nanti kalau saya balik, saya rasa sunyi. Lepas tu mesti overthinking.” Syarizad mengeluh lagi. Jemarinya bertaut sesama sendiri.
Ben tersenyum kecil. Comel sungguh riak wajah Syarizad itu di matanya.
As you wish.”
Syarizad hanya diam apabila Ben melencong ke laluan yang lain daripada jalan ke rumahnya. Dalam banyak-banyak tempat, Taman Tasik Titiwangsa itu juga yang dipilih.
“Tak rasa macam awal sangat ke nak lepak kat taman ni?” tanya Syarizad sambil menoleh ke sebelah.
Ben ketawa halus.
“Jom turun.”
Syarizad hanya menurut. Ben duduk atas bangku, dia juga ikut duduk. Suasana sekeliling masih gelap. Maklumlah, subuh pun belum.
“Kenapa awak nampak macam tak happy? Mind sharing?” Ben bertanya lagi.
Syarizad menggeleng-geleng.
“Tak adalah, penat aje.” Dia malas cerita lebih. Lagipun Ben tidak perlu tahu apa yang telah terjadi kepadanya sepanjang dia ada di kampung.
Ben mengangguk akur.
“Saya cuma nak awak tahu... kalau awak perlukan kawan untuk luahkan apa aje yang ada kat dalam hati awak tu, saya ada.”
Barulah terukir senyuman di bibir Syarizad.
“Encik Ben ni baik sangatlah, sampaikan kadang-kadang saya lupa yang Encik Ben ni bos saya.”
“Pernah ke awak anggap saya ni bos awak?” usik Ben membuatkan Syarizad menyenggol lengannya. Dia ketawa. “Gurau ajelah.”
“Tak apa, saya faham. Saya memang selalu buat benda tak fikir dulu, kan? Tapi Encik Ben tetap baik, tetap layan saya baik-baik.” Puji Syarizad. Dia bukan hendak membodek, tapi memang betul pun Ben tu baik.
Ben ketawa kecil. Segan dipuji begitu.
“Tak adalah. Dah memang saya macam ni sejak azali lagi. Dah tak boleh nak ubah dah.”
Syarizad tersenyum. Duduk berdua di situ sambil bercerita tentang macam-macam perkara membuatkan dia lupa masalah yang baru melanda. Dia lupa apa yang baru terjadi antara dia dan Idlan. Dia lupa yang dia merupakan orang ketiga antara Herdy dan Liyana. Dia lupa tentang perjanjian yang dibuatnya dengan Datin Hazleena. Yang dia tahu, berbual dengan Ben mampu buat dia tersenyum dan ketawa.
“Dah subuh. Saya hantar awak balik.” Ben bangkit berdiri.
Syarizad ikut bangun. Riak mukanya seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu tetapi tiada apa pun yang keluar dari mulutnya.
Fine. Awak boleh cuti hari ni.” Ben yang faham segera bersuara.
Syarizad tersenyum lebar.
“Terima kasih, Encik Ben. Sebab tu saya saaaaayang Encik Ben!”
Ben membalas dengan tawa kecil.
“Dapat cuti terus sayang, kan?”
Syarizad tersengih.
“Tak adalah. Saya memang sayang Encik Ben pun.”
“Dahlah, tak habis-habis mengarutlah awak ni,” balas Ben pura-pura tidak dengar sambil melangkah menghampiri kereta.
“Encik Ben ingat saya mengarut?” tanya Syarizad.
Ben tidak menjawab. Hanya senyumannya masih belum surut dari bibir. Sebenarnya pengakuan Syarizad tadi sangat mengusik hati cuma dia yang malas fikir jauh-jauh. Takut apa yang dia harapkan tidak sama dengan kenyataan sebenar.
“Tak apa, nanti Encik Ben akan tahu jugak sama ada saya mengarut atau tak,” ujar Syarizad masih setia dengan topik yang sama.
“Masuk,” arah Ben lalu dia sendiri masuk ke dalam kereta.

No comments:

Post a Comment