DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 13



LANGKAH Zenia tergesa-gesa menuruni tangga. Sesekali kepalanya tertoleh ke arah jam yang tersarung di tangan. Alamak... lagi lima minit saja lagi kelas Doktor Rahmah akan dimulakan. Ralit sangat menyiapkan kerja di perpustakaan hingga tidak sedar masa berlalu. Zenia mula kecut perut. Langkahnya dilajukan lagi. Tanpa disengajakan, tubuhnya terlanggar seseorang yang sedang menaiki tangga yang sama dengannya. Buku-buku yang tersusun dalam pelukan tangannya terlucut jatuh.
            “Err... sorry, sorry! Saya tak sengaja terlanggar awak tadi. Seriously saya mintak maaf. Mintak maaf sangat-sangat.” Kelam-kabut Zenia memohon maaf sambil membongkokkan badannya untuk mengutip buku-buku yang sudah bertaburan di situ.
            “Tak apa, tak apa...” Lelaki yang dilanggar Zenia tadi membalas ringkas. Dia turut sama tunduk mengutip buku-bukunya. Langsung tiada riak marah pada wajahnya sebaliknya seulas senyuman manis diukirkan buat tatapan Zenia.
            Zenia yang memandang senyuman itu mula sedar dengan siapa dia sedang berhadapan. Ohh! Hayyan Rizqi? Lelaki yang diminati dalam diam tu? Yang selalu buatkan hari-harinya tak tenang tu? Yang selalu buatkan mimpi malamnya menjadi indah tu? Dan hari ni tiba-tiba mereka dipertemukan di tangga, bertentang mata dan saling berbicara antara satu sama lain! Otak Zenia sudah mula menerawang memikirkan perkara yang tidak sepatutnya.
            “Hmm... awak ni nak ke mana laju sangat ni?”
            Suara lelaki itu yang menampan telinga mengembalikan Zenia ke alam nyata. Tersedar dengan apa yang sedang berlaku, pantas dia tunduk memandang jam di tangan. Ohmamamama! Tinggal lagi satu minit. Kelam-kabut Zenia bangkit berdiri.
            Sorry, saya kena pergi sekarang. Dah lewat. Saya pergi dulu.” Zenia menundukkan sedikit kepalanya sebelum terus menyambung lariannya yang tidak berapa laju itu.
            Hayyan hanya memandang langkah panjang sedepa gadis yang tidak diketahui namanya itu dengan senyuman di bibir. Tingkat kalut gadis itu mencuit hatinya. Ketika hendak meneruskan langkah ke tingkat atas, matanya terpandangkan sebuah buku di tangan. Eh... buku siapa pulak ni? Bila masa aku ada buku ni?
            Ringan sahaja tangan Hayyan menyelak helaian pertama buku itu. Terpampang jelas di situ sebaris nama berserta nombor pelajarnya. Hayyan membaca sebaris nama itu perlahan dalam hati.
            ‘Nur Iris Zenia Binti Mohd Mokhtar...’
            Ketika kakinya sudah melangkah menaiki anak tangga, bibir masih lagi menguntum senyuman manis.


RUANG katil yang tidak seberapa besar sudah bersepah dengan buku-buku, fail-fail dan kertas-kertas kepunyaan Zenia. Habis semua barang diselongkar, buku yang dicari tetap tidak ditemui. Zenia terhenyak di atas katil. Otaknya kosong. Blur. Tak tahu nak buat apa lagi. Dah cari merata tempat tapi tetap tak jumpa.
            “Hishh... kat mana aku letak tadi? Takkan tercicir kat mana-mana kut?” Zenia garu-garu kepala sendiri. Buntu!
            Bunyi pintu terkuak mengalih perhatian Zenia. Muncul Eton dengan sengihan lebarnya. Namun sengihan itu bertukar menjadi kerutan penuh tanda tanya apabila melihat ruang bilik yang bersepah. “Ni apa kehalnya ni? Gempa bumi?” soalnya disertai gelak kecil. Agak sinis bunyinya.
            “Bukanlah!” Zenia memuncung.
            “Dah tu? Dengan buku-buku, kertas-kertas berterabur... Kau buat projek apa ni?” Kepala Eton tergeleng-geleng. Beg yang tersangkut di bahu diletakkan di atas meja.
            “Buku aku hilang!” Zenia bingkas menghampiri Eton sambil mulutnya riuh bercerita tentang buku yang sudah hilang tanpa jejak itu.
            Eton terkelip-kelip. “Kau ada tercicir kat mana-mana tak?”
            “Tak ada!” Zenia menggeleng sungguh-sungguh.
            “Cuba ingat betul-betul.”
            “Betul-betullah ni! Kau nampak aku tengah-tengah main-main ke sekarang? Tak nampak muka aku ni panik macam nak gila?” Zenia bercekak pinggang. Dahlah orang tengah risau gila, dia tanya lagi soalan yang boleh buat otak tambah mereng.
            “Hmm...” Eton menggumam sambil mengetuk-ngetuk dagu.
            Zenia juga ikut berfikir. Puas diperah otak, mengingat semula bila kali terakhir buku itu dalam pegangannya. Tadi lepas habis kelas pertama, dia pergi ke perpustakaan untuk mengisi masa gap dengan kelas kedua. Keluar dari perpustakaan, dia dah lewat. Kelam-kabut punya pasal... err...
            “Hah! Aku dah ingat!” Zenia terjerit tiba-tiba.
            “Apa? Ingat apa?” Eton terpinga-pinga. Terkejut pun ada juga.
            “Tadi masa aku nak pergi kelas Doktor Rahmah, aku terlanggar sorang mamat tu. Lepas tu aku... buku tu jatuh kat situ. Aku rasakan... mamat tu la yang ambik buku aku,” cerita Zenia laju.
            “Kejap, kejap! Siapa yang kau maksudkan ni? Mamat mana? Aku kenal ke?” Eton mula berminat dengan cerita yang dibuka Zenia.
            “Hmm... kau kenal.” Zenia malu-malu hendak berterus-terang.
            Eton kerutkan dahi. “Dah kau tetiba ‘shy-shy cat’ ni kenapa?”
            “Hmm...” Zenia tersengih-sengih.
            Eton kecilkan anak mata. Daripada reaksi itu, dia seolah-olah dapat meneka siapa yang dimaksudkan Zenia. “Haa... kau jangan kata mamat tu...”
            Belum dengar lagi nama yang disebut Eton, Zenia sudah mengangguk dulu. Mata Eton membulat besar.
            “Serius? Hayyan Rizqi ke mamat tu?”
            Zenia angguk lagi.
            “Arrr!!!” Nada suara Eton dah naik sama tinggi dengan suara Zenia. Kalau tadi muka Zenia panik macam nak gila, sekarang dah terjerit-jerit macam orang sewel.
            “Lepas tu dia cakap apa kat kau?”
            “Tak ada cakap apa sangat. Cuma dia tanya mana aku nak pergi. Kebetulan pulak masa tu aku dah lewat sangat nak pergi kelas. Kalau tak, mesti dapat borak lama sikit dengan dia, kan?” Zenia kembali memuncung.
            “Ohh... spoil!” Eton jegilkan mata.
            “Tapi tak apa... okeylah tu untuk permulaan. Manalah tahu lepas ni kalau terserempak kat mana-mana, dia tegur aku ke...” Zenia tersengih-sengih lagi. Betul-betul macam orang angau.
            Eton tergeleng-geleng. “Suka hati kaulah nak berangan jauh mana pun. Cuma masalahnya sekarang, macam mana kau nak ambik balik buku kau yang ada dengan dia tu?”
            Sengihan Zenia mati. “Aah kan? Macam mana ek?”
            “Itu pun kalau betullah buku kau ada dengan dia. Kalau dia tinggalkan buku kau kat tepi tangga tu macam mana?” Eton sengaja menakut-nakutkan Zenia. Satu proses untuk melumpuhkan angan-angan indah Zenia jugak tu.
            “Ish! Kau janganlah cakap macam tu!” Zenia memukul bahu Eton.
            Eton tertawa sakan. Tahu takut! Tapi takkanlah Hayyan nak buat macam tu. Dia tu kan gentleman? Paling teruk pun, dia bagi aje kat mana-mana siswi yang berkemungkinan kenal siapa Zenia. Takkanlah nak tinggal buku tak berdosa tu macam tu aje. Ilmu tu!
            Tapi kalau Hayyan sendiri datang pulangkan buku tu kepada Zenia, sah satu minggu ni Zenia tak tidur malam!


HAYYAN tersentak apabila terasa bahu kanannya ditepuk. Kepala ditoleh ke sebelah.
            “Buat apa? Ralit sangat aku tengok,” tegur Kamil sambil meluruskan kakinya ke depan.
            Hayyan tersenyum nipis. Buku di tangan masih lagi dibelek-belek. “Kau kenal... Nur Iris Zenia Binti Mohd Mokhtar?” Sebelah keningnya terangkat memandang Kamil.
            Kamil membalas dengan kedua-dua belah keningnya diangkat tinggi. “Iris Zenia... macam pernah dengar. Bukan budak freshie ke?”
            “Kau kenallah maknanya?” Hayyan membetulkan duduknya menghadap Kamil.
            “Tak adalah kenal... cuma pernah dengar nama. Cuba kau tanya Faiz. Dia tu kan awek keliling pinggang, semua perempuan dia kenal.” Kamil tertawa kecil di hujung ayatnya. Siapa tak kenal Faiz? Walaupun Hayyan dan Faiz sama-sama popular di kampus,tetapi Faiz lebih dikenali dengan perangai playboynya. Yang menghairankan Kamil, kenapa semua perempuan masih tetap jatuh ke tangan Faiz walaupun dah tahu perangai mamat tu macam mana?
            “Jangan cakap dia pun salah seorang ‘stok’ girlfriend Faiz sudah...” Hayyan meleretkan suaranya sambil mencebik.
            Kamil ketawa. “Setakat yang aku tahu, Zenia tu budak baik.”
            “Budak baik?”
            “Kalau bandingkan dengan Karima, jauh bezalah, bro!” jawab Kamil sebelum ketawa lagi.
            Hayyan senyum senget dengan kepala yang tergeleng-geleng. Sebatang pen dicapai dengan tangan kiri sementara jari tangan kanan membelek helaian pertama buku Zenia. Dicoretkan sesuatu di situ dengan senyuman di bibir tanpa berfikir panjang.
Nur Iris Zenia... Nama itu meniti lagi dalam hati, terasa indah di segenap sudut.



No comments:

Post a Comment