DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 4



GAGANG telefon diletakkan di tempatnya. Selesai satu kerja. Zenia hembus nafas lega. Sekarang boleh fokus pada kerja yang lain pula. Baru saja dia mencapai fail yang terletak di tepi meja, matanya menangkap kelibat seseorang yang baru masuk ke dalam ruangan pejabat. Zenia angkat muka. Dari belakang, dia macam kenal siapa lelaki itu. Takkanlah...?
            “Saya nak jumpa Khairil, dia ada?”
            Zenia memasang telinga. Sah, memang Hayyan! Tak berkelip matanya merenung lelaki itu. Apa Hayyan buat kat sini? Nak jumpa Khairil? Untuk apa? Apa hubungan Hayyan dengan Khairil sebenarnya?
            “Ada... Eh, encik ni bukan ke yang datang wedding Encik Khairil itu?” Sempat lagi Amira bertanya. Wajahnya pula ceria semacam.
            Hayyan tertawa kecil. “Ya, saya.”
            “Sekejap ya.” Amira terus menekan interkom untuk memaklumkan kedatangan lelaki itu kepada bosnya.
            Zenia terus memerhati dengan hati yang makin tak sedap. Apabila Hayyan tiba-tiba menoleh ke arahnya, cepat-cepat dia menundukkan kepalanya semula, pura-pura fokus pada kerja. Sementara jantung sedang berdegup pantas, mengepam darah laju ke seluruh tubuh.
            Giliran Hayyan pula ralit merenung Zenia. Tak semena-mena terbit senyuman pada bibir. Gaya Zenia tunduk tu dah macam nak cium fail aje. Tak berubah lagi rupanya...
            “Bos mintak encik masuk bilik dia,” ujar Amira beberapa minit kemudian.
            Perhatian Hayyan teralih. “Thanks.” Kemudian dia terus berlalu ke arah bilik Khairil.
            Zenia terasa perutnya senak ketika itu. Dia bingkas dari tempatnya untuk mendapatkan tandas. Di depan cermin, dia merenung wajah sendiri. Otaknya masih tak dapat menerima mesej kenapa Hayyan ada di sini. Sengaja datang atau memang ada hal penting nak jumpa Encik Khairil? Tapi takkanlah sengaja pulak? Sengaja sebab nak jumpa dia?
            Zenia cepat-cepat geleng kepala. Jangan fikir jauh, Zenia. Kau tak tahu perasaan dia macam mana sekarang. Entah-entah dah kahwin ke, dah jadi ayah orang ke... Sempat Zenia mengingatkan diri sendiri.
            Yakin diri sudah semakin bertenang, Zenia keluar dari tandas. Kelibat Kak Milah yang tiba-tiba meluru ke arahnya mengundang kerut di dahi.
            “Kenapa ni, kak?”
            “Nia... Nia tolong buatkan air untuk bos boleh tak? Dia ada tetamu sekarang ni. Akak dah tak tahan sangat nak masuk tandas ni. Nia tolong eh? Okey, sayang Nia!” Sempat Kak Milah menepuk lembut pipi Zenia sebelum terus masuk ke dalam tandas.
            Zenia terkebil-kebil seketika. Bos? Tetamu? Maksud Kak Milah... Hayyan? Alamak! Zenia gigit bibir sambil tangan menggaru-garu kepala yang tak gatal. Bukan main lagi dia berusaha untuk mengelak daripada Hayyan, semudah itu Kak Milah ‘menyerahkannya’ kepada lelaki itu. Memandangkan tiada alasan untuk menolak dan Kak Milah pula sudah menghilang ke dalam tandas, Zenia bergegas menuju ke arah pantri.
Setelah membancuh dua gelas Nescafe, dulang dibawa ke arah bilik pejabat Khairil. Pintu bilik itu diketuk. Degup kencang dalam dadanya cuba dikawal agar tidak terbias pada riak wajah.
            “Masuk!”
            Zenia menolak daun pintu dengan sebelah tangannya. Langkah diatur kemas menuju ke arah Khairil yang sedang berbual dengan Hayyan di sofa yang sudah tersedia di dalam bilik itu. Ketika meletakkan dulang di atas meja, dia perasan mata Hayyan yang tak lepas-lepas merenung ke wajahnya.
            “Hah, Riz... kenalkan ni Zenia, staf kesayangan aku.” Selamba Khairil memperkenalkan Zenia kepada Hayyan Rizqi.
            Hayyan masih terus merenung Zenia. Wajahnya itu nampak pucat sedikit. Bibirnya pula berkali-kali diketap. Mungkin wanita itu belum bersedia untuk berjumpa dengannya untuk kali kedua, apatah lagi dalam situasi begini. Kekok benar mungkin. Hayyan membuat andaian sendiri dalam hati.
            “Zenia, kenalkan ni adik ipar I, Rizqi.” Khairil tersenyum memandang Zenia.
            Zenia diam tanpa suara. Memang dia sudah maklum, keluarga lelaki itu lebih suka memanggilnya dengan panggilan Rizqi atau Riz. Cuma dia yang lebih senang menggelarkan lelaki itu sebagai Hayyan... suatu masa dahulu. Tapi apa yang mengejutkannya ketika itu, kenyataan yang baru keluar dari mulut Encik Khairil. Adik ipar? Bermakna, Khairil berkahwin dengan kakak Hayyan? Ohh... kebetulan ke apa ni?
            “Hai... Hayyan Rizqi.” Hayyan menghulurkan tangan kepada Zenia. “Nice to meet you... again...” Perkataan ‘again’ itu disebut perlahan dan hampir-hampir sahaja tidak kedengaran. Sengaja menghulur salam perkenalan, kononnya mereka berdua belum pernah saling mengenali.
            Khairil yang mendengar sudah terangkat sebelah kening. Sementara Zenia merasakan nafasnya semput untuk seketika. Bibir dipaksa untuk mengukir senyum.
            “Zenia,” balasnya perlahan tanpa menyambut huluran tangan Hayyan. “Hmm... saya keluar dulu ya, bos.” Zenia meminta diri. Tanpa memandang Hayyan lagi, dia berlalu keluar dari bilik pejabat bosnya itu.
            Zenia duduk di tempatnya semula. Tangannya menyentuh dada. Ada degupan kencang di situ. Hayyan semakin kacak pada pandangan matanya. Renungan redupnya yang sentiasa membuai hati Hawa Zenia, tiada apa yang berubah sejak dulu lagi.
Menyedari fikirannya sudah jauh menerawang, Zenia pantas sedar diri. Tak mungkin Hayyan masih menyayanginya, tak mungkin Hayyan masih mencintainya. Dia yang telah melukakan lelaki itu, dia yang telah menoreh luka pada hati lelaki itu, dia juga yang telah menghadiahkan duka dalam hidup lelaki itu. Jadi mustahil untuk Hayyan masih mengharap padanya lagi.
            Zenia memejam mata rapat-rapat. Hati yang terasa pedih cuba dirawat sendiri. Dia tidak mahu lagi terperangkap dengan kemelut perasaan yang bagai tiada penghujungnya ini. Hayyan bukan lagi Hayyan yang dulu. Walaupun pahit, kenyataan itu tetap harus ditelan.


“DAH berapa lama dia kerja sini?”
            Khairil pelik dengan pertanyaan tiba-tiba itu. Tak ada intro, tak ada apa, terus aje main tanya. Keningnya diangkat tinggi.
            “Maksud aku... staf kau tadi tu. Hmm... Zenia, right?” jelas Hayyan. Air mukanya nampak tenang saja, namun hati tak setenang itu.
            “Ohh Zenia...” Khairil mengangguk-angguk sebelum tersenyum penuh makna. “Dah lama dah, sejak anak dia baru lahir lagi.”
            Giliran Hayyan pula yang mengangguk. Anak...
            “Kenapa tanya? Berminat?” usik Khairil. Walaupun Hayyan itu adik iparnya, mereka lebih senang ‘beraku-kau’. Lagipun dia kenal Hayyan dulu sebelum bertemu Herny.
            Hayyan ketawa kecil. “Hisy, kau ni... takkanlah aku nak minat kat isteri orang.” Kepalanya tergeleng-geleng menafikan. Isteri orang...
            Khairil ketawa besar. “Riz, kalau kau nak tahu, Zenia tu bukan isteri orang.”
            Hayyan kerut kening. Terkejut. “Maksud kau?”
            “Dia dah bercerai. Bercerai mati atau hidup aku tak pasti, cuma yang aku tahu dia dah menjanda sejak anak dia lahir lagi,” cerita Khairil. Dia bukannya tahu sangat kisah hidup Zenia. Apa yang dia tahu, itulah yang dia ceritakan.
            Hayyan terdiam tanpa suara. Dia langsung tak menyangka itu sebenarnya kisah hidup Zenia. Bercerai? Jadi anaknya itu anak siapa? Adakah anaknya bersama...
            “Kalau tak silap aku... umur dia 29 tahun. Kau pun baru masuk 30. Kira okeylah tu!” usik Khairil lagi sambil tergelak-gelak.
            Mungkin pada Khairil itu cuma sekadar gurauan, tetapi gurauan itulah yang terkesan di hati Hayyan. “Banyaklah kau! Kau ingat semudah tu?”
            Khairil ketawa lagi. Dia faham maksud Hayyan. Ya, memang bukan semudah itu kerana ada banyak hati yang perlu dijaga.
            Sementara Hayyan diam mengunci mulut. Dalam pada simpati pada nasib Zenia, jauh di sudut hati, rasa bersyukur dan gembira tetap menyelit sama. Zenia tak bersuami, jadi itu bermakna peluang untuknya masih ada. Kan?


JARUM jam sudah melepasi pukul 5.00 petang. Zenia segera mengemas barang-barangnya. Selepas menyelesaikan sistem punch card, dia terus turun ke tapak parkir mendapatkan keretanya. Ketika hujung ibu jari menekan kunci penggera, Zenia terasa ada seseorang sedang mendekati. Zenia pantas berpaling.
            Hayyan menghulur senyum. Dia berjalan mendekati Zenia dengan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket seluar. Sempat Zenia memerhatikan lelaki itu dari atas ke bawah. Masih lagi segak dengan kemeja hitam dengan tali leher merahnya. Lengan kemejanya itu pula sudah disingsing hingga ke paras siku. Mukanya nampak penat, tapi masih lagi kacak tersenyum.
            Jadi, macam mana Zenia nak lupakan lelaki ini walaupun selepas empat tahun tak bertemu?
            “Dari tadi saya tunggu awak,” ujar Hayyan dengan suara lembut. Renungannya lurus ke wajah Zenia.
            Zenia membetulkan tali beg tangannya. “Kenapa awak tunggu saya?” Terasa kekok berada dalam situasi itu, namun Zenia kuatkan diri. Kalau Hayyan boleh nampak tenang, kenapa tak dia?
            We need to talk,” kata Hayyan ringkas.
            Zenia menggeleng-geleng. “Saya dah lambat, nak kena ambik Adam kat sekolah dia...”
            So his name is Adam...” Hayyan terangguk-angguk pula.
            Zenia menjatuhkan semula tangannya yang sudah pun memegang daun pintu kereta tadi. Wajah Hayyan dipandang.
            “Ikut saya kejap. Ada benda yang saya nak cakap dengan awak,” pinta Hayyan. Nada suaranya sudah separuh merayu.
            “Apa lagi yang awak nak cakap dengan saya? Saya tak rasa pun ada benda yang perlu kita cakap atau bincang. So please... jangan ganggu saya.” Zenia kembali menarik daun pintu kereta. Namun belum sempat dia masuk ke dalam, Hayyan sudah memegang pintu itu membuatkan Zenia tak dapat menutupnya. Bulat matanya merenung Hayyan.
            Please?” Wajah Hayyan masih tenang.
            Zenia merengus. “Saya dah lambat!”
            I won’t take long. Lagi awak cakap tak nak, lagi banyak masa yang kita habiskan. Jadi apa kata kalau awak ikut aje saya. Senang, kan?” Hayyan masih tak mahu mengalah. Tak kisahlah Zenia nak marah ke apa, dia tetap dengan kemahuannya.
            Fine.” Zenia bersetuju akhirnya. Malas nak bertekak.
            Hayyan simpan senyum.
            “Tapi kereta asing-asing. Saya ikut awak kat belakang,” tambah Zenia.
            As you wish.” Hayyan kemudian berlalu ke keretanya.

No comments:

Post a Comment