DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

MY SOULMATE - BAB 7



Ayuni melangkah masuk kali ke dua ke Menara Holding.  Kali pertama dahulu untuk ditemuduga tetapi berbeza untuk kali kedua, dia melangkah sebagai salah seorang kakitangan syarikat itu.  Bagaikan tidak percaya, bahawa selepas ini kehidupannya ada kaitan dengan salah sebuah syarikat mega yang tersenarai di bursa saham seperti yang diberitahu Hanis. 
Menurut Hanis, dia perlu tahu serba sedikit latar belakang syarikat, supaya jika ditanya pelanggan, dia boleh menerangkan dengan baik.  Seperti biasa, Ayuni akan singgah ke bilik air dahulu.  Bukan untuk melepaskan ‘hajat’ tetapi untuk merapikan diri dan memastikan penampilannya sesuai dengan jawatan barunya itu. 
Dengan bantuan Hanis mendulukan duitnya, dapatlah dia beberapa  pasang baju untuk ke pejabat.  Walaupun Ayuni menolak keras, tetapi Hanis tetap berdegil hendak memberi Ayuni pinjam wangnya untuk membeli pakaian yang sesuai. 
“Kau mesti buktikan yang kau memang layak dengan jawatan tu, bukan sebab hasil pertolongan orang lain, tapi memang atas kebolehan kau sendiri.  So, salah satu cara nak tonjolkan diri kau ialah dari penampilan kau” panjang lebar Hanis menerangkan bila Ayuni mempersoalkan wajarkah tindakan Hanis itu. 
“Pertolongan orang?” soal Ayuni pelik. 
“Errr…maksud aku, aku tak nak staf yang lain sangka kau dapat kerja ni sebab aku yang recommendkan” cepat-cepat Hanis menjawab setelah dia baru perasan yang dia sudah terlepas cakap. 
Huh! Nasib baik Ayuni tidak bertanya lagi.  Kalau tidak habislah rahsia antara dia dan Taufik akan terpecah.
            Ayuni terus menuju ke lif.  Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Ayuni terus masuk dan menekan butang bernombor sepuluh.  Menurut Hanis, dia perlu pergi ke tingkat sepuluh untuk bertemu dengan setiausaha CEO syarikat terlebih dahulu untuk dibawa bertemu dengan CEO syarikat bagi melapor diri sebelum dihantar ke bahagian pemasaran.  Kedatangan Ayuni disambut oleh seorang wanita muda yang bergaya. 
 “Cik Ayuni Zara?” soal wanita itu sebaik sahaja Ayuni sampai di meja utama betul-betul berhadapan dengan pintu masuk.  Ayuni mengangguk sambil tersenyum.  Mereka bersalaman. 
“Saya Puan Zura, setiausaha kepada CEO syarikat” wanita itu mengenalkan dirinya. 
Oh! Dah bergelar puan rupa-rupanya tapi penampilannya seperti anak dara dan tiada siapa menyangka wanita itu sudah berkahwin.  Dia sendiri akan menyangka wanita itu masih bujang jika wanita itu tidak mengenalkan diri.   Dia sempat memerhatikan  penampilan wanita itu.  Sungguh bergaya.  Barulah dia mengaku akan kebenaran kata-kata Hanis. 
Mujurlah dia mengikut cadangan Hanis mengenakan seluar panjang biru gelap yang dipadankan dengan kemeja longgar berwarna biru lembut dari kain satin.  Tudung pula dia memilih yang bercorak juga berwarna biru tetapi agak gelap dari jenama Ariani.  Akhir sekali dia mengenakan blazer dan berkasut tumit tinggi warna hitam yang bertutup penuh, sesuai dengan statusnya sebagai staf sebuah syarikat mega.  Walaupun pada mulanya agak rimas, tetapi bila melihat cara berpakaian staf-staf yang lain, dia berasa lega.  Sekurang-kurangnya dia tidak dipandang rendah.  Dalam diam, dia berterima kasih pada Hanis yang telah banyak membantunya.
 “Cik Ayuni, sila ikut saya” arah Puan Zura dan terus berjalan mendahului Ayuni.  Sudah pasti ingin mengenalkannya dengan ‘Mr. CEO’.  Ayuni menarik nafas panjang.  Kini dia sudah bersedia untuk memulakan hidup barunya bersama Menara Holding.
            Yes, come in” kedengaran suara lelaki yang menyuruh masuk setelah mendengar ketukan pintu Puan Zura. 
Sebaik sahaja Ayuni dan Puan Zura melangkah masuk, langkah Ayuni terhenti.  Matanya terpaku memandang lelaki yang kini betul-betul berada di hadapannya.
 “Encik Hisyam, ini dia Cik Ayuni Zara.  Pembantu akauntan di bahagian pemasaran.  Dia datang untuk melaporkan diri” Puan Zura mengenalkan dirinya kepada lelaki itu.
 “Cik Ayuni, ini Encik Hisyam Datuk Bakri, CEO Menara Holding” sambung Puan Zura. 
Tiba-tiba sahaja, Ayuni merasakan peluh dingin mulai keluar.  Hampir sahaja dia pengsan.  Tidak disangka-sangka, rupa-rupanya lelaki muda yang menemuduganya tempoh hari adalah CEO syarikat. 
Aduh! Malunya bila mengingatkan kembali kata-kata lelaki itu apabila mengetahui dia sebenarnya tidak tahu langsung berbahasa Jepun sehingga dia digelar penipu.  Hanis pun tidak pernah beritahunya perihal CEO syarikat itu. 
“Cik Ayuni…cik Ayuni…are you ok?” pertanyaan Puan Zura serta-merta mematikan lamunannya.
  “Err…yes I’m ok.  Maafkan saya” jawab Ayuni pantas setelah menyedari kedua-dua insan yang berada di hadapannya sedang memandangnya pelik, lebih-lebih lagi Puan Zura. 
Ayuni pula pelik kerana dilihatnya CEO muda itu sungguh bersahaja apabila melihat dirinya seolah-olah dia tidak terperanjat langsung dengan kehadiran Ayuni.  Namun, Ayuni segera menenangkan dirinya.  Dia tidak mahu kelihatan bodoh di hadapan dua orang penting itu.  Segera dia menyapa ‘bos’nya itu untuk menutup keresahannya ketika itu.
 “Assalamualaikum Encik Hisyam.  Saya Ayuni Zara.  Hari ini adalah hari pertama saya bekerja di sini.  Saya nak ucapkan terima kasih kepada Encik Hisyam kerana telah memilih saya untuk bekerja di sini.  Saya berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh dan tidak menghampakan pihak syarikat.  Saya nak buktikan bahawa pemilihan saya untuk jawatan ini bukan satu kesilapan” Ayuni memulakan bicara dengan panjang lebar.
 “Hmm…Zura.  Can you please excuse us?” tiba-tiba bosnya itu bersuara kepada setiausahanya. 
Walaupun Puan Zura agak terkejut, tapi dia hanya mengangguk lalu beredar keluar dari bilik CEO itu.  Ayuni bertambah gerun apabila dia ditinggalkan berdua dengan bos barunya itu.
            “Awak tak perlu nak ucapkan terima kasih kepada saya kerana bukan saya yang memilih awak untuk jawatan ini.  Kalau saya, memang saya rasa awak tidak layak sama sekali untuk berkhidmat di sini dengan sikap yang awak tunjukkan dulu” Hisyam menyambung bicara tanpa memandang wajah Ayuni, setelah setiausahanya keluar. 
Dia seolah-olah tidak sudi dan jijik untuk memandang wajah Ayuni.  Itulah yang Ayuni rasakan berdasarkan reaksi bos muda itu.  Ayuni agak tersentak dengan kata-kata bosnya itu.
 “Habis tu, kenapa saya ditawarkan jawatan ni?  Jadi, siapa  yang memilih saya?  Kalau Encik Hisyam selaku ‘big bos’ tidak memilih saya, siapa lagi lebih layak dari Encik Hisyam untuk membuat keputusan?” tanya Ayuni yang agak berang dengan kata-kata lelaki itu. 
Dia benar-benar sedih.  Terasa sekali lagi maruahnya dijatuhkan oleh lelaki itu.  Rasanya, dia belum mampu hendak melupakan kata-kata pedas lelaki itu yang mengatakan dirinya penipu, kini dia terpaksa lagi mendengar cacian lelaki itu.  Air matanya sudah mula bergenang di kelopak mata.  Semangatnya untuk bekerja serta-merta lenyap setelah mendengar kata-kata Hisyam.
 “Encik Hisyam….saya tanya ni, siapa yang suruh Encik Hisyam terima saya bekerja atau ini semua rancangan Encik Hisyam hendak memalukan saya?” tanyanya keras. 
Suaranya bergetar menahan marah.  Dia sudah tidak kisah jika dia akan kehilangan jawatan barunya itu kerana padanya, apa yang penting ketika ini adalah untuk membersihkan nama dan imejnya yang dianggap penipu oleh lelaki di hadapannya itu.
 Hisyam tersentak dengan suara tinggi Ayuni.  Dia bertambah terperanjat apabila melihat wanita di hadapannya itu menitiskan air mata.  Tidak disangka, kata-katanya itu mengundang air mata Ayuni kerana sebelum ini dia melihat Ayuni sebagai seorang gadis yang tegas dan berani.  Tiba-tiba kedengaran pintu diketuk.  Sebaik saja pintu dikuak, satu lagi kejutan buat Ayuni. 
Taufik! 
Segera dia menyeka air matanya.  Dia tidak mahu Taufik melihatnya menangis.  Dia tidak mahu simpati sesiapa terutama dua orang lelaki yang berada bersamanya ketika ini.  Tidak sama sekali!




No comments:

Post a Comment