DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 11



AWAL-AWAL pagi lagi Syarizad sudah mendapat panggilan daripada Datin Hazleena. Seolah-olah tahu apa yang dimahukan wanita itu, dia terus menjawab dengan nada bosan.
“Dah hampir tiga bulan kau kerja kat company tu dan aku tak nampak apa-apa progress pun antara kau dengan Ben. Berapa lama lagi nak kena tunggu?”
Syarizad menarik nafas panjang.
“Bagi saya sikit masa lagi, datin. Saya janji, saya akan buat Ben jatuh cinta dengan saya. Datin jangan risau.”
“Okey, aku bagi kau masa dua bulan lagi. Kalau dalam tempoh tu kau gagal jugak, aku akan cari orang lain.” Datin Hazleena mengugut.
“Baik, datin.” Talian dimatikan. Syarizad meraup mukanya sendiri. Tertekan!
Datin Hazleena menekan dari sudut kiri, kata-kata Idlan pula menekan dari arah kanan. Syarizad melepaskan nafas panjang. Dia tahu dia perlu kuat. Dia harus kuat. Walau apa pun yang terjadi, dia tetap tidak akan berundur.
“Kenapa you nampak macam stres aje ni?” Herdy menegur lembut. Rambut yang sedikit menutup dahi Syarizad diselak ke tepi telinga gadis itu.
Syarizad tersenyum. Ralit berfikir sampai boleh terlupa Herdy di depan mata. Nasib baiklah lelaki itu menelefonnya dan mengajaknya untuk makan tengah hari. Tak adalah tertekan sangat duduk di pejabat. Ben pun sibuk dalam biliknya, langsung tak keluar. Jadi tak salah rasanya kalau dia keluar makan dengan Herdy.
“I stres dengan kerja.” Syarizad mencipta alasan.
“I ingatkan jadi PA kerja senang aje,” gurau Herdy.
Syarizad tertawa kecil.
“Tak adalah, lagi memeningkan kepala adalah. Berkepit dengan bos aje...” Dia buat-buat mengeluh. Berlakon, beb... berlakon.
“Kalau macam tu, apa kata you kerja dengan I aje. I boleh bayar you lebih lagi daripada gaji you sekarang,” umpan Herdy.
Syarizad angkat kening. Pura-pura tertarik dengan tawaran Herdy itu.
“Tak apalah, I sayang lagi dengan kerja I ni. Lagipun, nanti apa pulak kata Yana.” Sengaja dia menyebut nama Liyana ketika itu. Hujung matanya mencuri pandang reaksi Herdy.
Herdy tersandar sambil menarik nafas panjang. Dengar nama Liyana, hatinya terasa memberat ibarat dihempap sebuah batu yang besar.
“Yana tak syak you apa-apa?” tanya Syarizad. Dia naklah juga tahu apa yang telah berlaku dalam hubungan Herdy dan Liyana. Dia kan orang ketiga.
“Tipulah kalau dia tak syak apa-apa, tapi setakat ni I masih mampu selamatkan diri.” Herdy tersenyum penuh makna.
Syarizad mengangguk. Hmm, kagum.
“You nak pakai kereta tak?”
Soalan tiba-tiba Herdy itu membuatkan Syarizad pelik.
“Kenapa you tanya? You nak hadiahkan kereta kat I?”
Herdy mengangguk. “Kalau you nak.”
Syarizad menahan senyuman yang hampir terukir. Bab kereta memang tak ada dalam senarai. Tapi kalau Herdy dah offer, takkan dia nak tolak.
“You ada lesen tak? Boleh drive?”
“Dah lama tak bawak. Lesen, I dah ambik masa I sekolah dulu,” jelas Syarizad. Sewaktu di tingkatan lima, arwah abah yang memujuknya supaya mengambil lesen motosikal dan kereta. Kata abah, ambil awal-awal senang. Nanti nak sambung belajar tak payah fikir dah pasal lesen.
Oh, kenangan... menyakitkan!
“Baguslah kalau macam tu. Nanti ada masa, you ikut I. Kita pergi tengok kereta.” Herdy tersenyum gembira.
Syarizad mengangguk. Hatinya berguling-guling mentertawakan Liyana. Padan muka kau!
“Malam ni datang rumah I?” Syarizad bersuara manja.
I’d love to,” balas Herdy. Tangan Syarizad dicapai lalu dikucup mesra.



SPANAR yang digunakan sejak tadi diletakkan di atas lantai. Dia duduk di sebuah kerusi sambil tangan mencapai sebotol air mineral. Setelah meneguk air itu, dia termenung panjang.
“Hah, Lan.”
Suara Abang Bob mengejutkan Idlan. Botol air mineral tadi diletakkan semula di tempatnya.
“Kenapa pergi KL sekejap sangat? Pergilah lama sikit lain kali. Alang-alang dah jumpa buah hati,” usik Bob lalu ketawa.
Idlan tersengih kelat. Usikan Abang Bob itu ditepis daripada sampai ke hati.
“Buah hatilah sangat, Abang Bob. Saya pergi sana pun asyik perang mulut aje dengan Ijad tu.”
“Yang selalu perang mulut dengan kau itulah yang kau rindu, kan?” balas Bob. “Ingat aku tak tahu, kau selalu teringatkan dia? Tengok cara kau pun, aku dah tahulah.”
Idlan terdiam. Ya ke? Ketara sangat ke? Memanglah dia teringatkan Syarizad, tapi setakat itu sajalah. Bukannya ingat sebab rindu ke apa. Eh, betul ke tak rindu?
“Ijad tu cuma anggap saya kawan ajelah, Abang Bob. Tak mungkin punya dia nak kat saya yang selekeh ni.” Idlan merendah diri. Fikirannya melayang mengingati Syarizad lagi. Teringat kata-kata Syarizad tempoh hari.
Sejak malam itu, dia sudah tidak menghubungi Syarizad lagi. Entahlah kenapa, hatinya terasa berat. Namun bak kata Abang Bob, dia tetap tidak boleh berhenti berfikir tentang gadis itu.
“Orang perempuan ni sebenarnya bukan pemilih sangat. Asalkan ada lelaki yang boleh sayang dia, yang boleh jaga dia, yang boleh terima dia seadanya, tentu dia terima punya. Percayalah!” Bersungguh-sungguh Bob memberi semangat. “Lagipun, aku tengok kau dengan Ijad tu sesuai apa?”
Idlan ketawa cuma. Itu perempuan lain, Abang Bob. Syarizad lain. Sangat-sangat lain.




“SIAPA lelaki tu tadi?”
Langkah kaki Syarizad terhenti. Tangan yang sudah memegang tombol dijatuhkan semula seraya berpaling ke arah Ben yang sedang mencari fail di atas rak. Senyuman mula bermain di bibirnya.
“Lelaki mana ya?”
The one with you at the restaurant.” Ben bertanya lagi. Pun begitu, dia tidak berpaling memandang Syarizad.
Herdy ke yang dimaksudkan? Syarizad kembali mendekati Ben.
“Oh... kenapa Encik Ben tanya?”
Just...” Ben berpaling. Syarizad berdiri dekat dengannya membuatkan kata-katanya mati di situ.
Syarizad mengangkat kening, meminta Ben menyambung ayatnya.
Just answer the question,” ujar Ben. Fail diletakkan di atas mejanya.
Hmm...” Syarizad berpeluk tubuh. Sengaja ambil masa untuk menjawab. Dia tahu Ben sudah mula terpikat dengannya. Kalau tak, takkan tiba-tiba tanya? Apa lagi alasannya kalau bukan cemburu?
Boyfriend awak?” tanya Ben lagi. Mencuba sedaya upaya untuk tidak memandang wajah Syarizad.
Hmm...” Syarizad menggumam sambil mengetuk-ngetuk dagu. “Taklah, dia cuma kawan saya.” Langkahnya semakin didekatkan dengan Ben.
Ben telan liur. Mahu tidak mahu, pandangannya singgah juga di wajah Syarizad.
Jemari Syarizad bermain di dada Ben.
“Encik Ben jangan risau. Saya masih lagi single and available.” Sebelah matanya dikenyitkan lalu dia berpaling dan berjalan keluar dari bilik itu.
Ben terduduk di kerusi. Nafas terasa semput tiba-tiba. Semakin lama, Syarizad semakin berani. Dia tidak boleh biarkan semua itu terus berlaku. Dia perlu lakukan sesuatu sebelum terlambat.



BAGAI yang dijanjikan, Herdy muncul di rumah Syarizad malam itu. Sambil makan, sambil berbual, sambil menonton filem. Aktiviti biasa tetapi Herdy tetap berasa bahagia. Maklumlah, kekasih hati jauh di Melaka, jadi dia boleh buat apa saja yang dia suka dengan Syarizad dan Liyana tidak akan tahu.
Syarizad menarik tangan Herdy menuju ke bilik tidurnya.
“You yakin Liyana okey dengan semua ni?” soalnya dengan nada penuh menggoda. Masuk ke bilik, kedua-dua lengannya memaut leher Herdy, membawa wajah lelaki itu dekat dengan wajahnya.
Herdy tersenyum. Pelukan pada pinggang Syarizad dirapatkan. Bayangan wajah Liyana, gadis yang selama ini bertakhta di hati kian memudar. Yang ada dalam fikirannya ketika itu, dia mahukan Syarizad lebih dari segala-galanya.
“Dia takkan tahu,” bisik Herdy rapat di telinga Syarizad.
Pintu bilik tertutup rapat. Dan malam itu, kedua-duanya tewas dalam melawan hawa nafsu yang beraja di hati.
Sementara Liyana, dia gelisah di hotel penginapannya. Berkali-kali dia cuba menghubungi Herdy namun tiada satu pun panggilannya berjawab. Dia berdiri di tepi tingkap, merenung ke luar sambil memujuk hati untuk tidak terlalu berfikir yang bukan-bukan.
Mungkin Herdy sibuk, mungkin Herdy ada kerja. Yana, think positive. Tak mungkin Herdy ada orang lain. Memang dia dah lain sekarang ni, tapi tu tak bermakna dia buat hal di belakang kau. Positif, okey...
Liyana baring di katil lalu memejamkan matanya. Setitis air matanya gugur ke pipi. Titisan yang jatuh dek kerana rasa rindu yang sangat sarat di hati buat lelaki yang sangat dicintai. Herdy...



WHERE are you going?” Ben menegur Allison ketika berselisih dengan adiknya itu yang sedang kalut menuruni tangga.
“Keluar kejap dengan kawan.” Allison menjawab ringkas.
“Shazwan?” teka Ben.
Dengar nama itu, Allison terus berhenti melangkah. Kepala dipusing ke arah Ben dengan riak muka menahan rasa menyampah.
Tell him to stop calling me, okay?”
Ben ketawa.
Why not? He’s really into you.”
But I’m not!” tegas Allison. Susah sangat ke nak faham yang dia sudah tidak ada apa-apa perasaan terhadap Shazwan lagi? Dulu masa dia nak, Shazwan yang tak nak. Sekarang tahu pula terhegeh-hegeh. Serabut tahu tak?
But you were.” Ben mengingatkan.
Were. Past tense. Dahlah, nak keluar dulu. Bye!” Allison mencium ringkas pipi abangnya itu lalu terus melangkah menuruni tangga. “Oh! One more thing.” Allison berpaling semula apabila teringatkan sesuatu.
What?” tanya Ben.
“Ally pinjam kereta boleh tak?” Allison sengaja buat muka comel untuk tarik perhatian Ben.
Ben buat muka.
Please...” Allison menekapkan kedua-dua belah tapak tangannya tanda merayu. “Lagipun kereta abang kan park paling depan, senang nak keluar,” tambahnya lagi.
Ben pura-pura mengeluh. Kunci keretanya dikeluarkan dari poket seluar lalu dilemparkan ke arah Allison.
Allison cekap menyambut.
Thank you. I love you!” Dia membuat aksi flying kiss lalu terus keluar dari pintu rumah.
Ben menjongket kening sebelum menyambung langkah ke tingkat atas. Di dalam bilik, dia duduk termenung di atas katil. Sejak petang tadi, dia tidak dapat berhenti berfikir tentang Syarizad. Bukan sejak petang tadi sebenarnya, malah sejak berhari-hari yang lepas, atau mungkin juga sejak berminggu-minggu yang lepas.
Berat untuk mengakui, tetapi Ben tahu dia sudah jatuh cinta terhadap Syarizad. Dia sendiri tidak menyangka dia boleh jatuh cinta kepada gadis itu. Padahal kalau diikutkan, Syarizad langsung tidak memiliki ciri-ciri isteri idamannya. Tetapi itulah kuasa Allah S.W.T. Cinta yang hadir bukan dipinta, tetapi anugerah daripada-Nya.
Ya, memang dia cintakan Syarizad tetapi keadaan antara mereka tidak mudah. Kadang-kadang dia merasakan Syarizad juga ada perasaan yang sama dengannya. Tapi di sudut yang lainnya pula, dia merasakan Syarizad cuma berlakon. Sukar untuk ditebak apa yang ada dalam fikiran gadis itu.
Malas berfikir lagi, Ben akhirnya bangun menuju ke bilik mandi. Solat isyak lagi baik daripada memikirkan perempuan yang jelas bukan muhrimnya itu.

No comments:

Post a Comment