DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 2



KEPALA dijengulkan ke luar bilik. Kelibat mak ngah tiada di ruang tamu. Kat dapur kut, fikir Syarizad. Terus dia keluar dari bilik lalu mengatur langkah menuju ke dapur. Dari arah pintu, dia nampak mak ngah sedang membancuh minuman. Sarapan pagi sudah terhidang lengkap di atas meja makan. Syarizad menapak masuk.
“Sini, Ijad buatkan.” Teko dari tangan mak ngah diambil. Setakat bancuh air teh O, tak jadi masalah punya.
Rosni hanya membiarkan. Tengok dari muka, dia yakin mood Syarizad sudah baik. Begitulah selalunya, hampir hari-hari perang mulut tapi esoknya berbaik semula. Walaupun Syarizad degil dan sering buatkan darah tingginya naik, gadis itu tetap anak saudaranya yang paling dia sayang.
“Mak ngah masak nasi goreng tomyam,” beritahu Rosni dengan suara ceria. Dia tahu Syarizad memang suka makan nasi goreng tomyam. Dulu masa arwah ibunya masih ada, itulah masakan ibunya yang paling dia suka.
Syarizad tersenyum lebar. “Bestnya! Saaaaayang mak ngah!” Dia tersengih sambil menarik kerusi setelah meletakkan seteko teh O panas di atas meja.
“Yalah... kalau sayang mak ngah, ikut cakap mak ngah. Boleh?” balas Rosni lalu duduk di depan Syarizad. Nasi goreng disenduk ke dalam pinggan untuk Syarizad.
“Ijad bukan tak nak dengar cakap mak ngah, Ijad cuma buat apa yang Ijad suka.” Syarizad bersuara perlahan. Dia sayangkan mak ngah, tapi kadang-kadang keadaan memaksanya untuk bersikap kurang ajar.
“Dah, makan banyak-banyak. Ijad nak makan satu bekas ni pun tak apa,” guraunya membuatkan gadis itu tertawa. Pinggan diletakkan di depan Syarizad. Tenang rasa hati melihat wajah itu tersenyum ceria. Memang itulah yang pernah dijanjikan kepada diri sendiri sejak Syarizad tinggal di bawah jagaannya, untuk membuat Syarizad terus gembira biarpun dia tahu masih ada sesuatu yang seakan-akan menghalang kebahagiaan gadis itu.
Hmm... mak ngah, kalau Ijad nak kerja boleh tak?” Syarizad bersuara tiba-tiba. Nasi goreng dalam pinggan sudah habis separuh dimakan.
“Ijad nak kerja? Nak kerja kat mana?” Rosni kerutkan dahi. Sejak tamat STPM, tak pernah dia dengar Syarizad nak kerja. Tiba-tiba saja hari ni suarakan hasrat nak kerja. Tentulah dia rasa pelik.
“Ijad ada dapat tawaran,” cerita Syarizad. Bibirnya diketap apabila teringatkan perempuan berlagak yang hampir melanggarnya semalam. Dia dah fikir masak-masak sebelum tidur malam tadi dan dia yakin dengan keputusannya. Kalau tak, takkanlah dia keluar bilik pagi ini dengan senyuman.
“Tawaran apa, Ijad?”
“Tawaran kerja...”
“Siapa yang tawarkan?”
Err...” Syarizad tercari-cari jawapan. “Hmm... ada la, mak ngah. Ijad cuma nak izin mak ngah aje. Kalau mak ngah izinkan, hari ni jugak Ijad telefon orang tu. Nanti kalau Ijad dapat kerja tu, baru Ijad beritahu mak ngah ya?”
Rosni terdiam merenung Syarizad. Dia boleh nampak kesungguhan pada riak wajah gadis itu. Kalau dengan bekerja boleh merubah diri Syarizad menjadi lebih baik, kenapa perlu dia menghalang?
Hmm... yalah, mak ngah izinkan,” jawabnya.
Syarizad tersenyum lebar.
“Tapi ingat, mak ngah tak nak Ijad buat kerja tak elok,” pesan Rosni lagi.
Syarizad mengangguk-angguk. Walaupun dia belum tahu tawaran kerja apa yang dimaksudkan, dia tetap tidak keberatan untuk tunaikan permintaan mak ngah itu.
“Ijad nak keluar kejap...” Syarizad bangun berdiri.
Rosni memandang wajah Syarizad lama.
“Kejap aje, ya?”
Syarizad angguk laju-laju.
“Janji.”
Kemudian tangan Rosni dicapai untuk bersalam. Topi di kepala dibetulkan lalu dia berjalan mendapatkan pintu rumah. Macam biasa, kasut Conversenya tidak lupa dipakai. Barang paling berharga sepanjang 20 tahun dia hidup.
Ketika duduk di depan pintu, sepasang matanya menangkap bayang kereta Mercedes terparkir tidak jauh dari rumah. Eh, itu bukan ke kereta yang hampir langgar aku semalam? Kereta... datin tu...
Rosni menjenguk ke luar melalui tingkap.
“Hazleena balik rupanya...”
Syarizad terkejut. Spontan kepalanya tertoleh ke belakang. Melihat mak ngah, dia segera bangkit berdiri.
“Apa, mak ngah?”
“Itu... kereta Hazleena la tu. Dah lama dia tak balik. Ini mesti ada apa-apa sampai balik ke sini,” rumus Rosni sambil kepalanya tertinjau-tinjau memerhati. Entah apa yang Datin Hazleena tu buat dekat kawasan rumahnya ini. Pelik betul.
Syarizad berpaling semula ke arah kereta yang sudah mula bergerak pergi.
“Mak ngah kenal ke dia?” Mulut bertanya, tetapi mata masih melekat pada bayang kereta yang semakin menghilang itu.
“Mana boleh tak kenal? Hazleena tu orang sini jugak. Dah lama dia tak balik sejak kahwin dengan orang kaya kat KL tu. Yalah, nak balik pun bukannya ada apa-apa kat sini. Mak ayah dia pun dah lama meninggal. Adik-beradik pulak dah bawak haluan masing-masing,” cerita Rosni sambil berlalu ke ruang tamu untuk menonton drama di TV.
Syarizad menyandar pada pintu sambil memandang ke arah mak ngah.
“Kenapa Ijad tak pernah kenal dia pun?”
“Masa dia kahwin dengan datuk tu, Ijad sekolah lagi. Manalah nak ambik tahu hal-hal orang kampung ni. Jiran sebelah rumah pun tak kenal,” jawab Rosni sambil mata fokus ke skrin TV. Syarizad dah janji nak balik awal pun dah cukup buat dia rasa lega walaupun entah janjinya itu boleh dipercayai atau tidak.
Syarizad tersengih dengan jawapan mak ngahnya itu.
“Okeylah, Ijad pergi dulu. Bye, mak ngah!”
“Balik awal, Ijad!”
“Ya!”



HUJUNG jari telunjuk menekan-nekan nombor satu per satu sambil mata tertancap pada kad yang dipegang dengan tangan kiri. Kemudian gagang telefon awam itu ditekapkan di telinga. Lama menunggu, barulah talian berjawab.
“Helo...”
“Helo... err... Datin Hazleena?” teragak-agak Syarizad bertanya. Manalah tahu kalau-kalau salah nombor ke. Berdebar-debar juga hatinya.
“Ya. Siapa ni?” tanya Datin Hazleena dengan nada hairan.
“Saya... ehem...” Syarizad berdeham dua kali. “Saya Syarizad. Ingat lagi tak yang datin hampir langgar semalam?”
Senyap seketika. “Ohhh... that poor girl...”
Syarizad julingkan mata ke atas. Rasa nak campak aje gagang telefon kat tangan. Suka-suka aje nak gelarkan dia macam tu.
“Pasal tawaran datin tu...”
“Kenapa? Awak nak terima?”
“Sebelum saya terima, saya nak tahu dulu apa kerja yang datin tawarkan untuk saya.” Senafas Syarizad menuturkan baris ayat itu.
Okay, meet me then...”
Syarizad diam mendengar pertemuan yang diatur oleh Datin Hazleena. Keputusan sudah dibuat. Kalau pun tawaran itu diterima, dia tetap mahu tahu pekerjaan apa yang dimaksudkan. Kemudian gagang kembali diletakkan pada tempatnya.
Basikal yang disandarkan di tepi dicapai. Sambil mengayuh, sambil fikiran melayang lagi hingga tidak sedar basikalnya berhenti di satu kawasan. Kepalanya terdongak memandang sepohon pokok besar di depan mata.
Syarizad turun dari basikal. Setelah menongkat basikalnya, dia menghampiri pokok besar itu. Lengan baju kemejanya disingsing hingga ke siku. Kemudian perlahan-lahan pokok itu dipanjat. Dari satu dahan ke satu dahan, hingga berhenti pada dahan besar di bahagian paling atas. Dia duduk di situ sambil menjulurkan kaki ke bawah. Pada batang pokok itu, terukir elok satu sama. IJADABAH. Itulah nama yang diberi kepada pokok itu selama ini.
Sejak umurnya lima tahun, abah sudah mengajarnya memanjat pokok. Walaupun ibu selalu marah-marah, abah tetap tak peduli. Di atas pokok itulah mereka berdua menghabiskan masa bersama, berbual dan bercerita tentang impian. Perlahan jemari Syarizad menyentuh ukiran nama itu. Titis air matanya gugur ke pipi.
“Abah... Ijad rindu abah...” sayu luahan itu meniti keluar dari bibir Syarizad. Dia menyandarkan kepala pada batang pokok itu sambil memejamkan mata, mengimbau kembali kenangan-kenangan yang pernah terukir bersama abahnya.
Masih dia ingat malam sewaktu kejadian itu berlaku. Dia di rumah seorang diri menunggu kepulangan abah, ibu dan juga dua orang adik perempuannya. Namun, bukan mereka bertiga yang pulang ke rumah. Sebaliknya satu berita yang meretakkan seluruh hatinya. Abah, ibu, Syafiza dan Syarlina terlibat dalam kemalangan dan tiada seorang pun yang dapat diselamatkan.
Sejak itu, Syarizad terasa hidupnya sudah tiada erti lagi. Dia tidak mendapat tempat di universiti dan terpaksa melihat rakan-rakan lain meneruskan hidup dengan lebih baik. Atas pujukan Rosni, dia bersetuju untuk mendaftar sebagai pelajar tingkatan enam tapi semuanya bagai tiada makna. Keputusan peperiksaan STPM yang sangat teruk menghalang langkah Syarizad untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Syarizad mengesat pipi yang basah. Sekali lagi ukiran nama itu direnung sebelum turun dari pokok itu.
“Ijad pergi dulu, abah. Nanti ada masa, Ijad datang lagi,” janjinya perlahan bersama sepasang mata yang masih lagi basah.



“SYARIZAD SABRI...” Datin Hazleena menyebut nama itu sambil merenung wajah gadis di depannya.
Syarizad mengangguk kecil dengan wajah menunduk. Demi pekerjaan, dia sanggup datang ke restoran mahal di kawasan bandar itu. Nasib baiklah Idlan sudi meminjamkan motosikal kepadanya. Tak adalah berpeluh nak mengayuh basikal berkilometer jauhnya.
So... dah ready dengan tawaran kerja tu?” Datin Hazleena bertanya lagi.
Syarizad mengangkat muka. “Boleh saya tahu kerja tu, kerja apa?”
Datin Hazleena tersenyum. Sekeping gambar dikeluarkan dari beg tangannya dan diletakkan di atas meja di depan Syarizad.
Syarizad tunduk. Gambar seorang lelaki muda berwajah keinggerisan yang sedang tersenyum manis. Rambutnya sedikit mengeriting tapi tersisir rapi. Sepasang matanya berwarna kelabu kehijauan. Penampilannya pula nampak kemas dan segak dengan sut hitam yang tersarung di tubuhnya. Kacak... macam muka mat salih. Sempat lagi Syarizad memuji dalam hati. Kemudian wajah Datin Hazleena dipandang semula.
“Siapa ni?”
“Anak aku.” Tenang Datin Hazleena menjawab.
“Anak?” Dahi Syarizad berkerut seribu. Cup! Bukan ke Datin Hazleena ni umurnya baru 30-an? Takkan dah ada anak sebesar ni kut? Muka mat salih pulak tu. Kalau tengok luaran, agak-agak lelaki ni umur dalam lingkungan 26 hingga 28 tahun. Biar betul anak dia?
Datin Hazleena berdeham sebelum kembali bersuara.
“Anak tiri aku.”
“Ohh!” Bibir Syarizad muncung ke depan membentuk huruf ‘O’. Anak tiri rupanya... Mungkin anak suami dia dengan isteri pertama. Isteri pertama dia tu memang orang putih kut. Syarizad membuat rumusan sendiri dalam hati.
“Jadi... apa kerja saya?” Dia masih belum faham.
Datin Hazleena membetulkan duduknya. “Minggu depan ada temu duga untuk jawatan PA untuk Ben. Aku nak kau pergi temu duga tu dan pastikan kau dapat jawatan tu.”
Syarizad terlopong. Tawaran apa macam ni? Pelik betullah perempuan ni. Topi di kepala ditanggalkan sebelum kepala yang tidak gatal digaru-garu. Kemudian topi itu diletakkan semula di atas kepala.
“Datin, saya ni kelulusan takat STPM aje. Manalah mampu nak apply jawatan tu. PA pun sekarang pakai ijazah tau?” Ewah kau Ijad, memandai aje kan?
Datin Hazleena mengeluh dengan muka bosan. Lembab betullah! “Kau cuma perlu pergi temu duga dan yang lain-lainnya, aku akan uruskan. Faham?”
Syarizad terdiam. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Dia pelik sebenarnya. Kenapa Datin Hazleena beria-ia nak dia pergi temu duga itu? Siap janji akan uruskan semua benda lagi tu. Tidak dapat tidak, melintas juga rasa ragu di hati Syarizad.
“Tapi kalau saya tak lulus temu duga tu?”
“Kan aku dah cakap, aku akan uruskan semuanya. Kau cuma perlu tunjuk muka sebagai cukup syarat temu duga.”
“Itu aje?” tanya Syarizad hairan.
Datin Hazleena mengukir senyuman. Senyuman yang tidak mampu Syarizad tafsirkan apa maknanya.
“Lepas kau dapatkan kerja tu, tugas seterusnya...”
Syarizad memasang telinga baik-baik.
“Aku nak kau pikat hati Ben sampai dia jatuh cinta pada kau.”
Sekali lagi Syarizad terlopong. Bukan mulut saja yang ternganga, matanya juga terbuntang luas.
Err... pikat dia?”
Datin Hazleena mengangguk.
“Tapi...” Syarizad kematian kata.
“Aku nak kau pikat dia sampai dia betul-betul jatuh cinta pada kau. Buat sampai dia gilakan kau dan nak kahwin dengan kau. Lepas tu, kau boleh tinggalkan dia. Senang, kan?”
“Habis, apa tujuan saya kena buat dia jatuh cinta dengan saya?”
“Aku nak kau bolot semua harta dia. Lepas tu, aku nak semua harta tu jatuh ke tangan aku.”
Syarizad terkunci mulut. Dia tersandar di kerusi tanpa suara. Benarkah apa yang dia dengar tadi? Benarkah sekarang dia sedang berada dalam situasi ini? Situasi gila ini? Benarkah?
“Setuju atau tak?” Datin Hazleena menagih jawapan. Raut wajah Syarizad yang masih terkejut diperhati dalam diam. Dari pandangan matanya, Syarizad sebenarnya punya raut wajah yang sangat cantik. Kulitnya putih, hidungnya mancung, rupanya seolah-olah ada iras-iras gadis Arab. Cuma kecantikan itu tersembunyi di sebalik topi yang tak pernah lekang di kepalanya. Sifatnya yang kasar seolah-olah menutup semua yang cantik untuk dipandang.
Syarizad masih lagi diam. Kalau dia setuju, itu bermakna dia bersetuju untuk mempermainkan hati seorang lelaki. Bukan ke itu tak elok? Mempermainkan perasaan orang lain itu merupakan satu dosa. Sanggup ke dia buat semua tu?
Datin Hazleena mengangkat kening. Diam Syarizad bagai memberi jawapan bahawa gadis itu tidak setuju dengan tawarannya.
“Kalau tak nak tak apa. Tapi ingat, tawaran ni lumayan. RM 50,000 akan jadi milik kau dalam sekelip mata.”
Syarizad masih lagi diam dengan mata yang tidak berkelip. Otak laju berfikir keputusan yang harus diambil. Saat itu, bermacam-macam senario yang cuba dilupakan bermain-main dalam fikiran.
Datin Hazleena bangkit dari kerusi sambil menggalas beg di bahu. “Kau boleh fikir dulu. Kalau kau ubah fikiran, kau boleh contact aku. Tapi... kalau boleh secepat yang mungkin, sebab aku pun dah nak balik KL.”
Syarizad tetap diam di tempatnya. Datin Hazleena sudah mula membuka langkah, sementara otak Syarizad masih bekerja keras. Bukan tawaran RM 50,000 itu yang menarik minatnya. Tetapi...
Tak, tak. Aku tak boleh buat kerja gila ni. Nak permainkan hati orang? Kau gila ke, Ijad? Dah hilang akal? Tak, tak. Aku tak boleh buat semua ni. Aku tak boleh buat.
Sementara akalnya sibuk memujuk hati, muncul pula suara lain yang seakan-akan menghasut.
Ijad, kau lupa apa yang jadi tiga tahun lepas? Kau lupa macam mana kau diperlakukan macam sampah oleh seseorang yang bernama lelaki? Kau lupa macam mana peritnya kau tanggung semuanya selepas tu? Kau lupa ke, Ijad? Lupa!
“Datin!” Syarizad bingkas mengejar Datin Hazleena sebelum sempat wanita itu keluar dari restoran.
Datin Hazleena berpaling semula. “Ya?”
Syarizad menarik nafas dalam-dalam. “Saya setuju.”
Kening Datin Hazleena terangkat tinggi. Dan tiba-tiba, bibirnya tersenyum penuh misteri.



JAM tangan dipandang. Pukul 6.05 petang. Fuh, nasib baik sempat balik sebelum maghrib. Syarizad terus berlalu masuk ke dalam rumah sambil melaungkan salam.
Waalaikumussalam. Hah, kan bagus balik awal macam ni selalu. Ini tak, selagi tak tengah malam, memang tak nampak muka tu,” tegur Rosni yang sedang menonton TV di ruang tamu.
Syarizad menanggalkan topinya. Rambut yang diikat sejak pagi dilepaskan. Panjang melepasi bahu. Kemudian dia duduk di kerusi kayu di depan Rosni.
“Ijad dah dapat kerja. Kalau tak ada hal, lusa Ijad dah boleh pergi KL.”
Rosni spontan mengalih muka ke arah Syarizad. “KL?”
Syarizad mengangguk. Tangannya bermain-main dengan topi di tangan.
“Kenapa nak kena pergi jauh sangat? Mengejut pulak tu...”
“Nak buat macam mana, mak ngah? Dah memang tempat kerja tu kat KL. Ijad tak boleh nak bantah,” jelas Syarizad.
Rosni terdiam seketika. Wajah Syarizad diperhati dalam-dalam.
“Ijad nak kerja apa sebenarnya ni?”
Giliran Syarizad pula yang mengunci mulut. Teringat pesanan mak ngah pagi tadi. Maaf mak ngah, Ijad tak boleh ikut cakap mak ngah. Dah sampai masanya untuk Ijad buat keputusan sendiri. Biar Ijad yang tentukan yang mana baik untuk diri Ijad.
“Ijad?”
“Kerja... PA.” Syarizad palsukan seulas senyuman.
Rosni mengerut muka. Hati rasa tak sedap. PA? Entah kenapa sebaris perkataan itu macam tidak berapa logik di pendengarannya.
“Dia memang tengah nak pakai orang, mak ngah. Walaupun Ijad belajar tak tinggi, tapi Ijad yakin Ijad boleh buat kerja tu. Mungkin dah memang rezeki Ijad,” jelas Syarizad lagi. Dalam hati berharap sangat-sangat moga mak ngah tak ada bantahan. Kalau pun mak ngah bantah, dia tetap akan teruskan.
“Siapa dia yang Ijad maksudkan ni?” tanya Rosni.
Hmm... Datin Hazleena.” Syarizad menjeling wajah mak ngah mencari reaksi. Jelas wajah itu terkejut.
“Datin Hazleena?”
Err... maksud Ijad, Datin Hazleena cari calon PA untuk anak tiri dia. Jadi nanti Ijad akan kerja dengan anak tiri dia itulah,” jelas Syarizad lagi. Setakat itu saja mak ngah perlu tahu. Selebihnya, biarlah dia simpan sendiri.
Rosni mengeluh panjang. Kalau itu kemahuan Syarizad, dia tiada daya nak menghalang. “Yalah kalau macam tu...”
Barulah bibir Syarizad dihiasi senyuman. Lega.
“Nanti Ijad telefonlah Yana, mana tahu nanti Ijad boleh duduk dengan dia kat sana. Tak payah susah-susah nak cari tempat tinggal lain,” cadang Rosni. Dia yakin anaknya yang tinggal di KL itu tidak akan keberatan menghulur bantuan kepada Syarizad.
Terus senyuman di bibir Syarizad berubah kelat. Kalau dia nak kerja dengan Datin Hazleena, dia perlu jauhkan diri daripada semua orang, termasuk ahli keluarga sendiri.
“Tak payah kut, mak ngah. Sebab... orang tu dia dah sediakan tempat tinggal untuk Ijad kat sana nanti.”
“Ijad ni betul ke? Yakin?” Rosni masih lagi ragu.
Syarizad mengangguk laju-laju. “Ijad masuk dalam dulu, mak ngah...”
“Solat asar jangan lupa...”
Pesanan itu seolah-olah hanya berlalu sepi di telinga Syarizad. Dia berjalan masuk ke bilik sambil otak terus bekerja keras memikirkan apa yang bakal berlaku selepas ini.

No comments:

Post a Comment