TERASA
getaran di poket seluar, Zenia pantas mengeluarkan telefon bimbitnya.
Kau tunggu aku kat kafe. 15 minit lagi aku datang!
Mesej daripada Eton. Lantas Zenia
membalas laju.
Roger and out!
Tersengih baca SMS sendiri. Zenia
berjalan mendekati pintu kafe. Pintu kaca kafe itu ditolak dari luar. Entah
mana silapnya, tolakan pintu yang sememangnya tak kuat tu terkena bahu seorang
gadis yang baru saja berjalan melintasi pintu itu. Gelas dalam pegangannya
terlepas jatuh lalu airnya terpercik mengenai seluar yang dipakai. Zenia yang
terkejut pantas menekup mulut. Ops!
Karima memejam mata rapat-rapat. Dia
paling pantang kalau orang berjalan tak pandang kiri kanan. Tajam jelingannya
menghala ke wajah Zenia yang masih terkejut. Kedua-dua rakannya yang berdiri di
sebelah hanya memandang sambil berpeluk tubuh.
“Err... sorry, saya tak sengaja tertolak kuat pintu ni tadi...” ucap Zenia
dengan muka selamba. Cukupkan syarat aje minta maaf tu sebenarnya.
“What?!
Tak sengaja? You tak nampak ke I melintas kat sini tadi? Jalan pakai apa?
Lutut?” Mencerlung anak mata Karima merenung Zenia.
Zenia menggeleng kecil. “Tak, bukan
macam tu. Saya...”
“You ingat baju I ni murah macam
baju you tu? Kalau I mintak ganti, you mampu ke?” Karima terus menyembur sesuka
hatinya. Dialog cliché? Memang. Suka
hati dialah nak cakap apa pun.
“Orang macam perempuan ni mana
mampu, Ima...” Yana yang berdiri di sebelah Karima menyampuk. Sengaja nak
tambahkan bara di hati Karima. Yuni pula sekadar tersenyum mengejek.
“Kan saya dah mintak maaf tadi? Apa
lagi...” Zenia tidak jadi meneruskan ayat apabila seseorang sudah muncul di
situ, sekali gus mengalih perhatian keempat-empat mereka. Hayyan Rizqi! Ni dah
macam ala-ala dalam filem Hindustan aje ni. Hero datang selamatkan heroin!
Eh, tapi betul ke Hayyan datang nak
tolong dia?
“Kenapa ni kecoh-kecoh? Malulah
semua orang tengok.” Hayyan bersuara di tengah-tengah empat orang gadis itu.
“Riz... you tengoklah apa perempuan
ni dah buat. Dah kotor seluar I ni. Macam mana I nak masuk kelas nanti?” Karima
mengadu manja, berharap agar Hayyan akan menyebelahinya.
Hayyan melurutkan pandangan ke
bawah. “Alah... sikit aje pun. Itu pun you nak kecoh? Hmm...” Hayyan
tergeleng-geleng.
Reaksi selamba badak Hayyan itu
buatkan Karima terbuntang biji mata.
Hayyan menoleh ke arah Zenia yang
hanya diam di depan pintu kafe. Tangan gadis itu masih lagi memegang daun
pintu. “Eh, awak...” tegur Hayyan dengan senyuman di bibir.
Kening Zenia terangkat. ‘Eh,
awak...’ Dialog Hayyan tadi diulang sebut dalam hati. Awak? Hayyan panggil dia
‘awak’? Ya ke? Ohh, hati rasa nak berguling atas rumput dalam taman!
Hayyan mendekati Zenia. “Ikut saya.”
Dia berbisik perlahan di telinga Zenia lalu dengan selamba menarik tangan gadis
itu.
Mata Karima yang terbuntang, hampir
tersembur melihat dengan selamba Hayyan menarik tangan Zenia untuk keluar dari
kafe. Yana dan Yuni pula merenung dengan mata yang tidak berkelip.
Zenia mengikut langkah Hayyan dengan
penuh tanda tanya di kepala. Ni dah kenapa tiba-tiba aje tarik tangan orang?
Lepas tu selamba suruh ikut dia keluar kafe. Eh, awak... saya nak makanlah!
Sempat lagi hati Zenia berkata-kata.
Apabila sudah agak menjauh dari
kawasan kafe, barulah Hayyan melepaskan tangan Zenia. Dia berpusing, berdiri
menghadap gadis itu yang sedang merenungnya dengan mata yang bulat.
“Sorry...
saya cuma nak tolong awak tadi. Bingitlah dengar suara mak cik tu,” ujar
Hayyan. Ada gelak kecil di hujung ayatnya.
Zenia terpegun seketika. Ohh,
kacaknya! Adakah gelak itu diciptakan khas untuk dia seorang?
Hayyan yang perasan dengan kebisuan
Zenia macam tengah tengok artis terkenal depan mata itu terus mengerutkan dahi.
Tangannya dilambai-lambaikan di depan Zenia. “Helo... awak okey ke ni?”
Zenia tersedar. Pantas dia memaksa
bibir untuk tersenyum. “Okey, okey... saya okey. Ohh, terima kasih pasal tadi
tu ya. Saya memang tak tahu nak buat apa tadi,” ujarnya dengan suara yang
sedikit tersekat. Kalau boleh, nak aje tambah ayat ‘nasib baik ada awak’ kat
belakang tapi err... segan ahh...
“Ohh, tak ada apalah. Karima tu
memang macam tu. Suka sangat besarkan hal kecik. Dah kebetulan saya lalu kat
situ tadi, tak salahkan kalau saya tolong?” Hayyan tersenyum manis.
Zenia membalas senyuman itu dengan
hati yang berbunga ceria. Indahnya perasaan apabila berhadapan dengan si jejaka
pujaan hati. Rugilah kalau kau orang tak pernah rasa tau?
“Oh yaa...” Hayyan tiba-tiba
teringatkan sesuatu. Pantas dia mengeluarkan sebuah buku dari begnya lalu buku
itu dihulurkan kepada Zenia. “Buku awak, kan? Sorrylah semalam saya terambil... tak sengaja...”
‘Sengaja pun tak apa...’
Eh! Mengada-ngada pulak kau ni Zenia
oii!
“Tak apa, saya tak kisah. Saya nak
ucap terima kasih kat awak sebab sudi jagakan buku saya ni kejap,” balas Zenia
cuba berlagak tenang.
Hayyan senyum lagi. “Sama-sama.”
“Nia!”
Panggilan itu menyentakkan Zenia.
Gugur segala bunga-bunga indah yang baru mekar di sekeliling. Ish! Siapa ni
kacau daun? Zenia menoleh. Terlihat kelibat Eton sedang melambai-lambai ke
arahnya, barulah dia teringatkan rakannya itu. Aduh! Asyik sangat layan
perasaan, langsung lupa terus kat minah tu sorang.
“Err...” Zenia tidak tahu apa yang
harus dipanggil. Nak kata tak tahu nama tu tipulah tapi...
“Hayyan Rizqi. Panggil aje apa-apa,
saya tak kisah.” Hayyan menjawab laju, seolah-olah faham apa yang sedang
bermain di fikiran Zenia ketika itu.
“Ohh... okey. Hayyan... saya kena
pergi dulu.” Zenia tersenyum lagi. Terasa indah benar bunyi nama Hayyan apabila
meniti keluar dari bibirnya.
Hayyan mengangguk. “Okey. Jumpa lagi
lain kali,” balasnya.
Zenia memusingkan tubuh.
Perlahan-lahan dia membuka langkah meninggalkan Hayyan. Kalau boleh, memang dia
langsung tak nak pergi. Entah bila lagi nak dapat peluang berbual macam ni
dengan lelaki itu. Tapi yang menyedihkan... kenapa Hayyan langsung tak tanya
nama dia? Hayyan tak nak tahu nama dia ke? Langsung tak teringin?
Sedih!
MENCERUN
pandangan Eton ke wajah Zenia. Zenia pula buat muka selamba sambil makan
kerepek di tangan.
“Kau buat apa dengan dia tadi? Macam
mana dia boleh ada dengan kau? Dan yang penting, macam mana kau boleh berdiri
dekat dengan dia, siap borak-borak, sengih-sengih, senyum-senyum?” Eton
bercekak pinggang di depan Zenia. Geram pula tengok aksi mengada-ngada Zenia
tu.
Zenia tersengih-sengih. “Panjang
ceritanyaaaa...”
“Kau jangan nak mengada-ngada sangat
boleh tak? Cerita ajelah!” bentak Eton geram.
Zenia ketawa. “Okey, okey aku
cerita. Macam ni...” Lalu dia mula membuka cerita tentang apa yang terjadi
tadi. Tentang Karima dan dua orang kawan gediknya dan bagaimana Hayyan Rizqi
datang sebagai hero yang mahu menyelamatkan heroin. Epik, kan?
Sesaat dua berlalu sepi sebelum
akhirnya Eton terjerit kuat. Jeritan yang menarik pandangan beberapa pelajar
yang lalu-lalang di kawasan itu. Terlompat-lompat dia di situ sambil memeluk
Zenia dengan erat. Zenia pula yang terkejut melihat reaksi Eton. Tak sangka
sampai macam tu sekali dia excited.
“Tahniah, Nia! Aku tumpang gembira
untuk kau!” ucap Eton sambil tergelak-gelak.
“Kenapa nak tahniah pulak? Kau ni...
macamlah dia ajak aku nikah ke apa.” Zenia buat muka tak puas hati.
Eton ketawa lagi. Bahu Zenia dipaut
erat. “Tahniahlah sebab kau akhirnya diberi peluang untuk berkomunikasi dengan
jejaka idaman hati kau tu. Bukan semua orang dapat peluang macam kau ni tau?”
“Eh?” Zenia bertanya lagi, sengaja
mahukan kepastian.
Eton angguk laju-laju. Zenia terdiam
sesaat dua sebelum mereka akhirnya ketawa riang bersama.
Hujung jari Zenia menyelak helaian
buku di tangan. Membaca sebaris nama di situ bersama beberapa angka, senyuman
di bibir makin melebar.
Hayyan Rizqi, 012-XXXXXXX
TELEFON BIMBIT
yang terdampar di atas katil dicapai. Sempat memandang jam yang tertera di
skrin telefon. Pukul 11.36 malam. Dah tidur ke belum Hayyan tu? Ke tengah
tunggu aku SMS dia? Tak pun tunggu aku call
dia? Hmm... Hisy! Perasanlah kau, Nia. Entah-entah dia tak ingat langsung pun
pasal kau. Tapi bukan ke dia yang bagi nombor telefon dia? Maknanya dia nak aku
contact dialah tu, kan?
“Kalau nak SMS tu, SMS ajelah. Tak
payah fikir panjang-panjang.”
Suara Eton itu mengejutkan Zenia. Senyuman
mengusik terukir di bibir gadis itu.
“Err... mana ada. Aku...” Zenia
terkial-kial mencari ayat.
Eton ketawa kecil. “Tak apa, aku
faham.”
Zenia mengetap bibir. Hisy Eton
ni...
“Nanti tutup lampu eh? Aku nak
tidur. Good night and sweet dream!” Eton
mengenyit sebelah matanya sebelum terus baring membelakangi Zenia.
Zenia menghela nafas panjang. Nombor
telefon Hayyan yang sudah selamat disimpan dalam memori telefon bimbitnya
direnung kosong. SMS ke tak? SMS ke tak? SMS ke tak?
Arh, tak payahlah! Tengoklah
esok-esok macam mana. Lalu dia bingkas menutup suis lampu sebelum turut
merebahkan badan di atas katil.
No comments:
Post a Comment