DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 20



“Kew Garden ada macam-macam jenis tumbuhan, lebih banyak compared to any other gardens in the world.
Syarizad tersenyum mendengar penerangan Ben itu. Macam baca skrip. Cuma bezanya sekarang, mereka berdua bukannya berlakon. Realitinya, memang Ben membawanya bersiar-siar di Kew Garden.
“Mana awak tahu?”
“Saya bacalah.” Ben jongket bahu dengan muka bangga.
Syarizad buat muka. Pandangannya dikitarkan ke sekeliling. Suasana di taman itu sangat mendamaikan mata yang memandang. Hijau dengan rumput dan dedaunan serta warna-warni dengan berbagai-bagai jenis bunga-bungaan. Mungkin tidak sebanyak dan sesegar bunga di musim bunga, tapi sudah cukup untuk memukau mata.
“Cantik gila tempat ni!” Syarizad terjerit kecil. “Terima kasih Ben sebab bawak saya datang sini. Kalau awak tak bawak saya, memang sampai bila-bilalah saya takkan dapat jejakkan kaki ke sini tau.”
“Sama-sama.” Ben membalas tenang. Melihat Syarizad gembira, dia pun seribu kali lebih gembira. Terasa bahagia kerana tahu dialah sebab di sebalik senyuman manis gadis itu.
“Awak tahu apa nama bunga-bunga kat sini?” tanya Syarizad. Dia duduk mencangkung di tepi satu batas berbentuk bulat yang ditanami dengan bunga yang berwarna-warni.
“Bab-bab bunga ni memang saya fail,” akui Ben jujur.
“Orang kalau nak tackle perempuan, kenalah kenal bunga-bunga.” Sesuka hati Syarizad menuturkan kata-kata itu. Entah dari mana dia cilok pun tak tahulah.
Ben ketawa kecil.
“Siapa kata saya nak tackle perempuan?”
“Oh, tak eh?” Syarizad mengangkat mukanya mencari wajah Ben.
Ben menggeleng. Kemudian dia duduk mencangkung di sebelah Syarizad.
“Saya tak pernah tackle perempuan. Memang tak pandai pun nak tackle-tackle ni.”
“Serius?” Syarizad buat muka tidak percaya.
Ben tersenyum.
“Habis, saya pun awak tak pernah terfikir nak tackle eh?” Syarizad kecilkan matanya.
“Kenapa? Awak rasa macam saya tengah tackle awak ke?” Ben membalas dengan usikan. Entah sejak bila, dia pun sudah pandai mengusik juga. Tapi cuma dengan Syarizad, dengan gadis lain memang tak mungkin.
Syarizad ketawa sambil bangkit berdiri.
“Encik Ben Ikhzal saya ni dah pandai mengusik sekarang ni...”
Ben ikut bangun. Langkah Syarizad diikut dari belakang. Hati tercuit mendengar baris ayat ‘Encik Ben Ikhzal saya ni’ daripada Syarizad tadi.
“Awaklah yang ajar saya.”
“Eh? Bukan ke awak tak suka saya yang gedik, yang menggoda, yang...”
“Tapi Syarizad yang kat depan saya sekarang ni, Syarizad yang ceria, yang happy, yang seronok diajak berbual,” pintas Ben laju.
Syarizad ketawa lagi. Hati rasa berbunga-bunga indah ketika itu. Sama indahnya dengan warna-warna kelopak yang berkembang mekar di taman itu. Siapa yang buat dia rasa indah macam tu? Siapa lagi kalau bukan Ben Ikhzal Bin Datuk Jaini. Dia tersenyum sendiri.
“Syari!” Ben memanggil Syarizad yang sudah semakin jauh ke depan.
Syarizad berhenti melangkah lalu berpaling.
Yes, Encik Ben Ikhzal?”
Ben mengeluarkan sesuatu dari beg yang digalasnya lalu memakaikannya di atas kepala Syarizad.
“Apa ni?” Syarizad naikkan anak mata ke atas. Pelik pula apabila tiba-tiba Ben memakaikannya topi. Eh, topi ke?
Beanie. Aunt Diana yang bagi pagi tadi. Dia suruh bagi kat awak. Dia kait sendiri tau.” Ben tersenyum. Setelah mengemaskan kedudukan beanie itu di kepala Syarizad, barulah tangannya dijatuhkan. “Biasanya orang pakai waktu-waktu sejuk, but... nevermind.” Ben angkat bahu.
Syarizad mengusap-usap beanie di atas kepalanya. Dia selalu tengok orang pakai benda tu dalam drama atau filem, tapi tidak pernah terfikir pula untuk pakai sendiri. Hasil tangan mak cik Ben pula tu.
Thanks.”
Senyuman Syarizad terasa menusuk terus ke jantung Ben. Ah, makin lama dia habiskan masa dengan gadis itu, makin hatinya parah.
“Jom.” Malas terus menunggu di situ, Ben terus berlalu sambil memasukkan tangan ke dalam poket jaketnya.
“Ingatkan awak nak pegang tangan saya tadi.” Syarizad menguatkan sedikit suaranya. Sengaja menduga Ben.
“Awak boleh jalan sendiri, Syari.” Itu pula jawapan Ben tanpa langsung menoleh ke belakang.
Syarizad mencebik. Namun sesaat kemudian, cebikannya bertukar menjadi tawa kecil.
“Ben, jomlah ambik gambar dulu. Ben Ikhzal!”
Ben terus buat tidak dengar.



“PERNAH pergi zoo?” Ben mengajukan soalan sambil melilaukan matanya ke sekeliling zoo itu. Ramai juga pengunjung yang datang hari itu.
Syarizad mengangguk.
“Pernah, dulu dengan arwah abah saya.” Bibir dikebam sambil menundukkan sedikit kepalanya. Sebut pasal abah, moodnya berubah secara tiba-tiba.
“Saya mengingatkan awak kat arwah abah awak ke? Sorry...” Ben serba salah. Tujuannya membawa Syarizad ke situ untuk membuatkan gadis itu gembira, bukan mencipta suasana sedih antara mereka.
Syarizad menggeleng pula. Tawa kecilnya meletus perlahan. “Tak adalah. Saya okey aje, lagipun best apa pergi zoo. Tengok monyet tu...”
Ben menoleh ke arah yang dituding.
“Macam awak.” Selamba Syarizad memberi komen.
Ben berhenti melangkah.
“Amboi!”
Syarizad ketawa terkekeh-kekeh. Tanpa mempedulikan muka tidak puas hati Ben, dia terus menyambung langkahnya.
Zoo London yang terletak di Regent’s Park menampung lebih daripada 760 spesies haiwan yang pelbagai. Syarizad teruja dapat melihat bermacam-macam jenis haiwan di situ. Ada harimau, ada macam-macam jenis burung, ada angsa dan banyak lagi yang Syarizad sendiri tidak tahu apa namanya. Dia berlari ke sana sini, ambil gambar dari setiap sudut dan gaya serta menjerit setiap kali nampak binatang yang belum pernah dia lihat depan mata. Sampaikan Ben sendiri keletihan melayan. Tapi tak apalah, asalkan gadis itu gembira.
“Ada orang pernah naik kuda belang tak?” Syarizad bertanya tiba-tiba.
Ben tergelak.
“Tak pernah dengar pulak.”
“Kalau saya naik?” duga Syarizad sambil mengerdipkan matanya.
“Dah, tak payah nak buat benda mengarut. Karang saya tinggalkan awak kat sini baru tau,” ugut Ben. Namun begitu dia masih berusaha mengawal tawanya.
Syarizad mencebik. Matanya terpandangkan pula zirafah yang tinggi mencecah awan. Okey, tu tipu. Yang sebenarnya dia kagum melihat zirafah yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
“Apa kata awak pergi berdiri dekat sana. Saya ambik gambar awak,” suruh Ben. Bersedia dengan kamera di tangannya.
Syarizad segera berlari menghampiri pintu pagar kandang yang menempatkan zirafah-zirafah itu. Tanda ‘peace’ diberikan sambil tersenyum riang.
“Saya tak faham kenapa orang ambik gambar suka sangat buat tanda ‘peace’,” ujar Ben.
“Entah. Saya pun tak faham. Maybe tu cara nak tunjuk kita happy kut.” Sesuka hati Syarizad menjawab. Bukannya dia tahu pun. Dah orang selalu buat, dia pun buatlah juga.
“Nak tengok gambar tadi,” pintanya.
“Dah, dah cantik dah...”
“Bak sini!” kamera di tangan Ben diambil. Bulat matanya memandang gambar yang baru diambil Ben tadi. “Alah... tak cantik langsung!”
“Dah cantik dah...”
“Tak, tak.” Syarizad menggeleng-geleng sambil menghalang Ben mengambil kamera itu semula. “Kita ambik gambar sama-sama nak?” cadangnya. Senyuman comel diberikan ke arah Ben.
Ben buat muka.
“Bolehlah... sepanjang kita kat sini, satu gambar kita pun tak ada tau.” Syarizad memuncung, sengaja nak raih simpati.
“Yalah, yalah... jom ambik gambar.” Ben bersetuju akhirnya. Malas nak bertekak. Lagipun nanti boleh juga buat kenangan.
Syarizad bersorak gembira.
“Kita selfie!”
“Ah... no.” Ben menggeleng laju.
“La... kenapa?”
“Kita ambik gambar jarak sehasta. Okey?” putus Ben.
Syarizad ternganga. Tidak terkata apa. Diperhatikan saja Ben meminta salah seorang pengunjung zoo itu untuk mengambil gambar mereka berdua.
“Syari... come on!” panggil Ben. Apabila dia sudah mula excited, Syarizad pula yang masam muka.
Nak tak nak, terpaksalah Syarizad bersetuju juga. Sehasta pun sehastalah, janji ada gambar dengan Ben. Mana tahu nanti boleh letak dekat kad kahwin. Buat kad kahwin guna gambar dengan zirafah, siapa pun tak pernah buat tau! Syarizad tersengih dengan angan-angan sendiri.
Sesudah melawat bermacam-macam jenis haiwan, Ben mengajak Syarizad ke Butterfly Paradise. Tempat di mana para pengunjung dapat merasai ketenangan melihat bermacam-macam jenis dan warna rama-rama berterbangan.
So beautiful!” kata Ben perlahan, lebih kepada memuji ciptaan Allah S.W.T. Subhanallah...
Syarizad tersenyum riang. Tanpa dia sedar, Ben memerhatikan dari sisi. Melihat senyuman ikhlas Syarizad, Ben terasa hatinya tenang. Inilah Syarizad yang berjaya memikat hatinya, yang mengukir namanya sendiri di hati Ben tanpa perlu apa-apa paksaan, tanpa perlu godaan yang berterusan.
“Ben!”
Ben tersedar. Bila masa Syarizad tercegat di depannya pun dia tidak tahu.
“Ya?”
“Kita pergi tengok penguin nak? Boleh bagi makan penguin,” ajak Syarizad teruja. Tanpa sedar tangannya sudah memegang lengan Ben.
Ben tunduk memandang lengannya sendiri. Syarizad yang perasan tingkah itu segera melepaskan pegangannya.
Sorry...”
What?”
Err... tak, saya terpegang tangan awak.” Syarizad mengetap bibirnya.
Ben tersenyum.
“Sejak bila pulak pandai minta maaf kalau pegang saya ni? Sebelum ni, tak pun. Lebih dari tu lagi awak pernah buat.”
Syarizad terasa wajahnya memerah. Terus dipusingkan mukanya ke arah lain.
Hmm... awak nak pergi tak?” Cepat-cepat dia tukar topik.
Ben masih tersenyum. Reaksi malu-malu Syarizad mencuit hatinya.
“Okey, jom.”
Syarizad melepaskan nafas panjang. Lega. Sejujurnya, dia sendiri tiada jawapan untuk soalan Ben tadi.



DUDUK berbual sambil makan burger dan memerhatikan keindahan London Bridge pada waktu malam menghantar rasa tenang di hati Syarizad. Ah, memang sejak datang sini hatinya sentiasa tenang. Sebab apa? Sebab ada Ben di sisinya, melayannya sebagai seseorang yang sangat istimewa.
“Kenapa awak tak duduk sini aje terus? Kalau saya jadi awak, saya duduk aje sini terus. Kat sini best...” Syarizad menggumam sendiri sambil merenung kejauhan.
Ben tersenyum nipis.
There is no place like home.”
“Maksudnya?” Syarizad menoleh ke sebelah.
“Saya dilahirkan di Malaysia. Jadi walau ke mana aje saya pergi, Malaysia tetap di hati.”
Syarizad mengangguk-angguk faham.
“Awak pulak kenapa nak duduk sini?” Ben mengalih soalan.
Syarizad menjongket bahu.
“Mungkin sebab hidup saya sebelum ni... teruk. Maksud saya, tempat saya dilahirkan dah banyak cipta kenangan pahit dalam hidup saya.” Kepalanya menunduk. Hati terasa sayu.
Ben terdiam seketika. Cerita Syarizad menarik minatnya. Mungkin itulah cerita yang selama ini dipendam jauh di sudut hati. Kerana kenangan pahit itu, Syarizad cuba menjadi dirinya yang baharu dengan harapan semua itu akan dapat menolak segala kesedihan yang pernah terpalit dalam hidupnya. Tetapi dia silap. Semakin dia cuba menjadi orang lain, semakin dia terluka.
“Syari... sebenarnya, setiap kesedihan yang berlaku dalam hidup kita, semua tu dugaan yang Allah bagi. Bukan untuk melemahkan, tapi untuk menguatkan. Apa yang perlu kita buat, berdoa, berdoa dan terus berdoa. Sebab setiap kebahagiaan akan ada di sebalik keperitan yang kita lalui.” Lembut dan penuh mendalam Ben menuturkan kata-kata itu.
Syarizad kian menunduk. Air matanya hampir menitis ketika itu, pantas diseka dengan hujung jemari. Kata-kata Ben menusuk masuk ke dasar hatinya.
Ya Allah... betapa jauhnya dia sekarang. Betapa dia lupa siapa dirinya, lupa ada Allah S.W.T. yang sentiasa memerhati, bersedia mencurahkan seluruh kasih sayang-Nya. Cuma dia sendiri yang melarikan diri, takut untuk berdepan dengan realiti.
“Kita kena reda, terima semuanya tanpa langsung persoalkan kenapa Allah jadikan semuanya macam tu. Have faith that He will turn your grief into happiness that you can never imagine.” Ben mengukir senyuman manis.
Syarizad mengangguk-angguk tanda mengerti. Kepalanya diangkat lalu membalas renungan Ben. Bibirnya turut sama tersenyum.
“Jom balik.” Ben segera bangun. Berlama-lama di situ hanya menambah debar dalam dadanya. Jadi sebelum iman yang ada jadi semakin nipis, eloklah mereka terus pulang.
Syarizad mengangguk saja. Ketika bangkit berdiri, telefon bimbitnya berdering. Pantas dikeluarkan dari poket seluar. Notification daripada aplikasi Viber yang membawa nama Herdy di skrin, menandakan lelaki itu sedang menghubunginya.
“Kenapa?” Ben tidak dapat menahan diri daripada bertanya.
Syarizad mengangkat kepala.
No... nothing.” Punat merah ditekan lalu telefon itu dimasukkan semula ke dalam poket seluarnya. “Jom balik.”
Ben malas bertanya lagi.



LIYANA mengeluh panjang. Sejak keluar berdua dengan Herdy sejam yang lalu, tingkah lelaki itu hanya menambahkan rasa tidak senang dalam hatinya. Dia bukan main lagi rancak berbual, tapi Herdy lebih banyak mendiamkan diri. Blackberrynya pula tidak lepas-lepas dari tangan.
“Dy... you ni kenapa?” Liyana bertanya juga akhirnya sambil berpeluk tubuh.
Herdy mengalih pandangan.
“Apa?”
Liyana berdecit.
“Dari tadi I cakap dengan you, you buat tak dengar aje, kan? You buat apa dengan phone you tu? Siapa yang you text dari tadi?”
Soalan Liyana yang bertalu-talu menambah rimas Herdy. Fikirannya berserabut ketika itu, memikirkan Syarizad yang jauh di kota London. Banyak kali dia telefon, satu pun tak dijawab. SMS pun buat tak layan. Kenapa dengan Syarizad? Ada apa-apa yang jadi ke kat dia?
“Tengok tu! I tanya you buat tak dengar aje, kan?” Suara Liyana naik satu oktaf.
Herdy pula yang berdecit.
“Apa you ni? Serang I dengan soalan macam-macam. You tahu tak, I tengah serabut dengan hal kerja I?”
Liyana mengetap bibir. Apabila Herdy tinggikan suara, mulalah dia terasa sentap. Mana hilangnya Herdy yang selalu memujuk tak kira walau apa pun perbalahan yang terjadi antara mereka?
“You serabut dengan kerja ke, you serabut dengan hal lain?”
“Hal apa maksud you ni?” Tajam renungan Herdy ke wajah Liyana. Sudahlah dia pening memikirkan Syarizad, Liyana pula tak habis-habis mengasaknya dengan pertanyaan. Boleh biul kepala dibuatnya.
“Youlah! Dah lain sangat sekarang ni...”
“Apa yang lainnya? You nak I hantar rombongan meminang ke rumah you, I dah hantar. Kita dah pun bertunang. Apa lagi yang you nak sekarang?”
Liyana tersentap. Tak sangka Herdy akan mengungkit tentang hal itu. Adakah itu bermaksud Herdy tidak ikhlas dengan pertunangan mereka?
“I tanya you elok-elok, yang you nak melenting ni kenapa? Atau you tak ikhlas bertunang dengan I? Dy, kalau you hantar rombongan meminang ke rumah I semata-mata sebab I yang minta tanpa you sendiri rela, I lebih rela kalau kita tak bertunang!”
So, now what? You nak putus?”
Liyana terdiam. Bibirnya diketap. Serta-merta dia jadi sedih. Sampai hati Herdy...
Herdy mengeluh berat. Tangannya meraup muka. Macam mana boleh terlepas cakap pula ni? Wajah mendung Liyana direnung redup.
Babe, I’m sorry...” Kedua-dua belah lengan Liyana dipegang kejap. “I’m sorry. I tak maksudkan macam tu.
“Kadang-kadang I rasa I dah tak kenal you, Dy...” akui Liyana. Nada suaranya perlahan dan bergetar. Kolam matanya penuh dengan air jernih yang hanya menanti masa untuk gugur.
Herdy memejamkan matanya seketika. Cuba menenangkan amarah yang kian tegang.
I’m sorry, Yana. I... I tak sengaja. I tak bermaksud pun nak marah you. I’m sorry...”
Liyana mengesat matanya yang basah. Ucapan maaf Herdy seolah-olah sudah tidak lut di telinganya.
“I nak balik...”
“Yana...”
“Hantar I balik.” Liyana tetap dengan kemahuannya. Buat masa ini dia tidak mampu lagi menatap muka Herdy. Biarlah amarahnya reda dahulu.
Herdy menghembus nafas panjang.
Fine. I hantar you balik.”

No comments:

Post a Comment