DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 5



ZENIA melarikan wajah daripada terus menjadi mangsa renungan Hayyan. Dia menyandar di kerusi, cuba berlagak tenang walhal dalam hati hanya Allah SWT saja yang mengerti.
            I’m sorry about your marriage,” ucap Hayyan tenang. Matanya masih tidak lepas-lepas merenung wajah Zenia. Wajah yang telah mendapat tempat di hatinya sejak sekian lama. Dan tempat itu masih belum diisi oleh gadis lain sehingga kini.
            Zenia tersentak mendengar kata-kata itu. Pandangan dihalakan ke wajah Hayyan. Dia yakin, pasti Khairil yang menceritakan perihal dirinya kepada Hayyan. Dan sudah pastilah lelaki itu percaya bahawa dia sebenarnya memang seorang wanita yang telah diceraikan suami. Hati Zenia rasa pedih tiba-tiba. Banyak yang Hayyan tak tahu tentang dirinya. Dan kalau Hayyan tahu, masih mahukah lelaki itu datang berjumpanya begini?
            “Empat tahun kita tak jumpa. Tak sangka kita akan jumpa lagi macam ni,” kata Hayyan perlahan.
            “Kita tak perlu jumpa lagi kalau awak tak datang ofis saya hari ni,” balas Zenia. Kepalanya menunduk merenung jari sendiri.
            “Kenapa, awak tak suka jumpa saya lagi?” tanya Hayyan. Sengaja nak dengar sendiri jawapan Zenia, sama ada gadis itu masih ingatkan dia lagi atau sudah lupa seratus-peratus.
            “Kita jumpa pun tak ada makna, Hayyan. Saya dah ada kehidupan saya sendiri, awak pun dah ada kehidupan awak sendiri.”
            “Betul tu... tapi kehidupan saya tak sempurna tanpa awak,” ucap Hayyan, sekali gus membuatkan Zenia terkunci mulut. Bibir yang tadinya berani berkata-kata kini senyap tanpa sepatah kata. “Tiga tahun saya di UK, tak sekali pun saya lupakan awak, Nia. Tapi saya sedar yang awak dah lupakan saya. Jadi bila saya balik sini setahun yang lepas pun, saya tak pernah cari awak sebab saya tahu antara kita tak mungkin akan ada hubungan lagi lepas apa yang dah berlaku. Tapi...”
            Zenia semakin menundukkan kepala. Sebak mula terasa. Luahan Hayyan membuatkan jiwanya meruntun sayu.
            “Tapi... sejak saya jumpa awak masa malam wedding Khairil hari tu, saya sedar yang saya masih tak boleh lupakan awak. Nia... terus terang, walaupun dah empat tahun kita tak jumpa, perasaan saya untuk awak masih sama lagi macam dulu... tak pernah berubah,” tutur Hayyan perlahan. Renungannya redup sekali, menggambarkan rasa yang sekian lama terpendam di lubuk hati. “Mungkin selama ni saya boleh nafikan tapi sekarang saya dah tak mampu lagi.”
            Zenia menahan air mata. Ucapan itu membuat hatinya rasa ngilu. Benarkah Hayyan masih mencintainya? Benarkah setelah apa yang terjadi, Hayyan masih tetap mempertahankan cinta di hatinya?
            “Zenia...” Hayyan memanggil perlahan.
            Zenia menggeleng-geleng. “Awak tak patut cakap macam tu, Hayyan. Kisah kita dah lama tamat. Awak sendiri pun tahu...”
            “Ya... tapi tak mustahil untuk kita mulakan sekali lagi, kan?” Hayyan tidak putus asa.
            Zenia masih lagi menggeleng. “Saya ada Adam.” Tenang nama itu disebut. Dia mahu lihat reaksi Hayyan setelah mendapat tahu dia mempunyai seorang anak. Seorang anak yang masih kecil, yang masih memerlukan perhatian dan belaian kasih seorang ibu sepertinya. Dan paling penting... seorang anak yang tak diakui tarafnya pada mata masyarakat.
            “Saya dah tahu dan saya tak kisah pasal tu. Kalau awak sudi terima saya semula, saya boleh jadi ayah pada Adam.” Hayyan membalas dengan riak tenang. Dia cuba menyentuh tangan Zenia tetapi dengan pantas wanita itu melarikan tangannya.
            “Tak...” Zenia menggeleng kecil. Tangisannya pecah lagi. Terasa hangat air jernih itu mengalir menyentuh pipi.
            “Kenapa, Nia? Atau awak masih berhadap pada bekas suami awak?” Bergetar suara Hayyan menuturkan soalan itu.
            Zenia menggeleng lagi. Dia tak pernah ada suami, jadi pada siapa dia nak mengharap?
            “Habis tu?”
            Zenia mengesat air mata di pipi. “Hayyan, ada satu hal yang awak perlu tahu tentang saya.” Dia menegakkan tubuh menghadap Hayyan yang masih merenungnya. Hayyan perlu tahu tentang kebenaran yang sebenarnya.
            “Hal apa?”
            “Saya tak pernah berkahwin sebelum ni.”
            Sebaris ayat itu membuatkan Hayyan terbius. Tiada kata yang keluar dari mulutnya. Terkejut.
            “Adam tu... anak saya dengan... dengan...” Zenia berusaha sekuat hati melawan sebak yang semakin memberat di hati. “... dengan... Azfar.”
            Seakan-akan runtuh hati Hayyan mendengar pengakuan itu. Dia tersandar di kerusi. Nafas panjang terhela keluar dari mulutnya. Nafas yang diiringi kekecewaan yang bukan sedikit.
            “Saya mengandungkan Adam lepas kita putus dulu. Azfar marahkan saya sebab saya mengandung dan dia tak nak bertanggungjawab. Dia tinggalkan saya.” Zenia menunduk dengan air mata di pipi. Puas ditahan, dia tetap tewas dengan perasaan sendiri.
“Saya bukan perempuan yang baik untuk awak. Saya kotor... Saya bukan lagi Zenia awak yang dulu. Awak tak patut berharap pada saya lagi...”
            “Zenia...” Hayyan menggenggam tangan Zenia dengan erat. Air mata yang masih membasahi pipi wanita itu dikesat dengan hujung jarinya. “Semua tu dah lama berlalu, kan? Saya rela lupakan semuanya... asalkan awak sudi terima saya lagi.”
            Sungguh Zenia tersentuh mendengar kata-kata Hayyan itu. Begitu tuluskah cinta lelaki itu kepadanya? Ya Allah... aku tak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku teringin sekali memulakan hidup baru dengan dia... tetapi aku tak mampu. Setelah apa yang berlaku, mustahil untuk aku kembali kepadanya lagi. Dia berhak mendapat wanita yang lebih baik daripada aku. Aku bukan siapa-siapa, aku tak layak untuk menjadi suri di hatinya.
            Zenia menarik tangannya yang masih berada dalam genggaman Hayyan. “Maaf... tapi saya tak mungkin terima awak lagi.”
            “Nia...” Hayyan ikut sama berdiri apabila melihat Zenia sudah mula membuka langkah.
            “Hayyan, please... Tolong jangan cari saya lagi. Saya bukan untuk awak. Awak carilah perempuan lain yang lebih baik, yang boleh membahagiakan awak. Bukan saya.” Bersama kata-kata itu, Zenia membuka langkah untuk pergi meninggalkan lelaki itu.


“NIA... apa impian awak?”
            Zenia kerut dahi memandang Hayyan. Tiba-tiba tanya pasal impian kenapa? Pelik!
            Hayyan jongket kening. “Saya tanya ni...” Duduknya dibetulkan di sebelah gadis itu.
            Zenia tergelak. “Impian saya... hmm...” Zenia merenung langit yang cerah sambil menggumam. “Tak banyak yang saya nak. Saya cuma nak hidup bahagia sampai bila-bila dengan orang-orang yang saya sayang.” Kemudian dia tersenyum merenung Hayyan.
            “Orang-orang? Kenapa banyak sangat?” Hayyan tak puas hati dengan istilah yang digunakan Zenia tadi.
            “Mestilah ramai. Ibu saya, ayah saya, mak cik saya, pak cik saya, sepupu-sepupu saya...” Zenia menyebut satu-persatu sambil mengira-ngira jari-jemarinya.
            “Habis... saya, bila awak nak sebut?”
            “Eh, kena sebut eh?”
            Jawapan yang membuatkan Hayyan spontan menarik rambut Zenia yang diikat ekor kuda.
            “Aduh! Sakitlah!” Zenia menepis tangan Hayyan dengan muka cemberut. Susah tau nak ikat kemas. Suka-suka hati dia nak tarik rambut orang. Bebelnya dalam hati.
            I’m gonna be your husband someday, so don’t forget to put my name on the list. Okay?”
            Sebaris kata-kata yang membuatkan bibir Zenia tersenyum lebar. Janji terlakar lagi. Hati tak sabar menanti saat itu tiba suatu hari nanti.
            “Mama... tadi kan Haykal cerita kat Adam pasal papa dia...”
            Suara Adam mematikan khayalan Zenia. Cepat-cepat dia mengesat mata yang basah. Hisy Nia, tengah bawa kereta pun boleh berangan.
            “Apa dia, sayang?” tanya Zenia. Tak dapat tangkap apa yang diberitahu Adam tadi.
            Adam memandang mama di sebelah. “Tadi Haykal cerita pasal papa dia kat Adam...”
            “Ohh...” Zenia menelan liurnya. Aduhai... tak habis-habis lagi soal papa. Tapi tak boleh salahkan Haykal juga. Budak tu bukannya tahu apa-apa tentang Adam.
            “Dia bagitahu Adam, papa dia selalu bawak dia pergi tengok bola. Adam tak pernah tengok bola pun. Lepas tu bila Adam cakap Adam tak pernah tengok bola, Haykal gelakkan Adam.” Adam memuncung. Sedih.
            Zenia menghela nafas panjang. Tangan kirinya mengusap-usap kepala Adam. “Adam nak tengok bola? Nanti mama bawakkan Adam tengok bola ya.” Apa yang melintas di kepala, itulah yang disuarakan. Zenia sudah tak mampu berfikir dengan baik ketika itu. Bayangan Hayyan kembali menghantui.
            Adam menggeleng-geleng. Bukan bola yang dimahukan. Dia mahukan papa, cuma itu.
“Adam nak papa...”
            Zenia terdiam lagi. Renungannya lurus pada jalan raya di depan. Terasa lambat pula perjalanan untuk pulang ke rumah.
            “Adam ada papa lagi, kan?”
            Zenia menahan tangisan yang hampir pecah ketika itu. Dia tak boleh menunjukkan semua itu di depan Adam. “Ya, sayang. Papa Adam ada lagi. Tapi dia tak ada kat sini sekarang ni...”
            “Papa Adam kat mana?” Adam memintas laju. Bersinar-sinar matanya mendengar jawapan mama.
            “Jauh, sayang. Jauh sangat...” jawab Zenia sebak.
            Adam menunduk dengan wajah keruh. Sedih dengar jawapan mama. “Papa pergi mana? Dia tak nak balik jumpa Adam ke? Dia tak sayang Adam ke, mama?”
            “Bukan macam tu, sayang. Papa sayang Adam. Cuma papa... papa kena pergi. Tapi Adam jangan risau tau... nanti papa akan tetap balik jugak. Mama janji dengan Adam,” ucap Zenia, melakar janji walhal hatinya sendiri ragu. Mana mungkin lelaki yang suatu masa dulu pernah membuangnya akan pulang dan mencari Adam sebagai anaknya semula?
            Adam terdiam. Tiada balasan lagi daripadanya. Melihat reaksi itu, Zenia dihurung pilu. Betapa anak sekecil Adam menginginkan seorang lelaki yang layak dipanggil papa dalam hidupnya. Ya Allah... apa yang harus aku lakukan? Kesian Adam...




No comments:

Post a Comment